Mengapa Sulu ceroboh di ambang PRU13?
Aslani M, | 06 Mac 2013 |
KETEREH: Mungkinkah ada kaitan kemunculan penceroboh yang mendakwa pewaris kesultanan Sulu di Lahad Datu dengan tarikh pembubaran parlimen Malaysia?
Dalam kehangatan isu berkenaan, penggal ke-12 Dewan Undangan Negeri Sembilan akan berakhir pada 22 Mac ini, manakala parlimen pula pada 28 April depan.
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, ketika suasana politik sekarang dianggap ramai tidak menyebelahi Umno dan BN, tiba-tiba pula muncul isu lain.
Mungkinkah katanya, dalam suasana itu Umno mencari kaedah lain pula bagi meneruskan kuasa yang ada.
“Sedangkan kita tahu keturunan Sulu ada susur galurnya daripada keturunan Nabi Muhammad saw. Mereka terkenal dengan amalan Islam.
“Bagaimanapun rakyat kecewa cara pengurusan isu Lahad Datu yang dilakukan kerajaan. Kerajaan BN seperti lumpuh. Timbul persoalan kalangan rakyat mengapa penceroboh datang ketika dekat tarikh tarikh PRU13,” katanya pada program solat hajat keamanan di Kok Lanas malam tadi.
Pada program berkenaan diadakan solat hajat diketuai anggota jawatankuasa Dewan Ulama PAS Kelantan, Ustaz Nik Razi Nik Mat. (Gambar atas)
Program yang bermula solat Maghrib diadakan di padang Maahad Tahfiz Sains Kok Lanas disertai ribuan rakyat Kelantan.
Isu pencerobohan di Lahad Datu yang berlarutan hampir sebulan berakhir dengan tragedi berdarah apabila ramai penceroboh dan anggota keselamatan menjadi korban.
Bagaimanapun isu berkenaan menjadi begitu rumit apabila berita dari Manila mendakwa komander Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang pernah dilatih di Malaysia akan datang membantu pasukan Kesultanan Sulu di Sabah.
Bekas ketua propaganda MNLF, Hadji Acmad Bayam ketika memberitahu Buletin Manila, MNLF disebutnya mempunyai simpanan senjata yang banyak disembunyi di Sabah dibekal pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Bayam juga mendakwa ramai penduduk Filipina yang tinggal di Sabah telah menyertai perjuangan pasukan Sulu.
Sebelum ini isu kad pengenalan kepada warga asing dibongkar pada perbicaraan dikendalikan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di Sabah, di mana ada dakwaan ribuan penduduk Filipina diberi IC.
Husam berkata, projek IC ada kaitan dengan usaha bagi menumbangkan kerajaan PBS di Sabah pada 1995.
Oleh itu katanya, kebimbangan sekarang kerajaan boleh mengulangi sejarah yang pernah dilakukan dengan mengisytiharkan Mageran (darurat) di Kelantan pada 1977 bagi menumbangkan kerajaan PAS.
Beliau juga meluahkan rasa terkejut ketika isu keselamatan diperkatakan meluas, Majlis Keselamatan Negara pula dikatakan menganjur forum politik di Tanjung Chat dengan mengundang pemimpin Umno dan wakil dari selatan Thailand.
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, projek IC membabitkan ramai warga asing kemungkinan besar akan menimbulkan krisis serupa pada masa datang.
“Sekarang rakyat Filipina yang membuat onar, mungkinkah pada masa hadapan rakyat Indonesia, Bangladesh atau mana-mana negara yang diberi IC mengambil tindakan serupa.
“Inilah persoalannya sekarang. Di sebalik isu di Lahad Datu seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan kerajaan. Oleh itu kita menuntut Perdana Menteri menjelaskan keadaan sebenar,” katanya.
Tabah semak warga asing dapat tanah di Sabah
Hazayani Zakaria, | 06 Mac 2013 |
Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, semakan tersebut termasuk di Gugusan Felda Sahabat yang berkeluasan 104,000 hektar.
Ini kerana katanya, pemilikan tanah di kawasan tersebut dikhuatiri ada kaitan dengan isu pemberian kad pengenalan segera kepada warga asing sewaktu Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
"Saya minta Tabah buat kajian dan semakan. Kebimbangan saya ialah bila mereka dapat kad pengenalan lama dahulu masa Tun Datu Mustapa. Tapi isu tanah tak berbangkit masa itu sebab Felda belum ada.
"Tapi zaman Tun Dr. Mahathir jadi PM, Felda dah ada dan bila dia beri kad pengenalan segera, masa itu Gugusan Felda Sahabat dibuka.
"Kita akan buat semakan adakah jumlah peneroka dan pekerja ladang ini termasuk puak-puak (yang diberi kad pengenalan) ini," kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, jalan Raja Laut hari ini.
Hasil semakan itu akan dibincangkan dalam seminar melibatkan pakar-pakar mengenai isu tanah yang berkait dengan perundangan yang sedia ada.
"Apakah dia reformasi yang boleh kita kita lakukan terhadap dasar-dasar tenah negara supaya tanah ini yang kepentingan strategiknya patut menjadi keutamaan negara kita tidak mudah terdedah kepada pihak asing.
"Kita akan bentang apa langkah penambahbaikan terhadap akta kanun tanah negara, kedudukan tanah rezab Melayu dan juga enakmen tanah negeri yang sebahagiannya perlu dikaji semula," katanya.
Mazlan juga menyuarakan kebimbangan isu pencerobohan Lahad Datu sekarang ini ada kaitan dengan janji Kerajaan Malaysia untuk memberikan tanah kepada mereka seperti yang didakwa.
"Saya tegaskan, isu kedaulatan terutamanya dalam konteks pemilikan tanah tak harus menjadi percaturan kepada pihak asing. Ini soal dan pemilikan tanah rakyat dalam negeri dan negara dan dengan kata lain kita tak boleh pertaruh soal kedaulatan dan pemilikan tanah ini untuk kepentingan politik.
"Saya merujuk versi cerita bagaimana kononnya tanah di Felda nak diberi kepada pihak luar sebagai janji politik.
"Rakyat dalam negeri kita pun masih terlalu ramai yang perlukan tanah, mereka masih hidup menumpang dan menyewa. dengan kehidupan yang begitu sukar tiba-tiba ada percaturan politik," katanya yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).
Tingkatkan pemantauan di Felda Sahabat
Sementara itu, Mazlan turut menyeru pihak keselamatan meningkatkan pemantauan di Gugusan Felda Sahabat sepanjang Ops Daulat di Kampung Tandou.
Katanya, nyawa peneroka dan pekerja ladang harus diutamakan dan aktiviti mereka untuk mengeluarkan hasil sawit tidak dibiarkan tergendala.
"Aktiviti mengeluarkan hasil sawit mesti diteruskan kerana sawit hanya bertahan hingga sepuluh hari. Kalau tak buah menjadi busuk dan kadar berat tan sawit dan kadar perahan gred merosot," katanya.
Gugusan Felda Sahabat yang berhampiran Kampung Tanduo ialah Felda Sahabat 17, 18, 19, 22 dan 56.
Raja Nazrin bertitah jujur tentang PAS
Subky Latif, | 06 Mac 2013 |
Saya peturunkan petikan titah baginda seperti berikut: PAS telah melalui pahit maung perjuangan, era jatuh dan bangun, bermula dar sebuah organisasi, terdiri dari kumpulan ulama di dalam UMNO, kemudiannya keluar dari UMNO memilih untuk mewujudkan entiti politik sendiri.
“PAS telah melakukan pelbagai anjakan unuk kelangsungan perjuangan dan menerokai pelbagai titik perimbangan untuk mengembangkan pengaruhnya.
“Dari organisasi yang amat daif, menumbanag ihsan berteduh di bawah bumbung madrasah milik ulama UMNO, dengan berbekalkan mesin taip buruk, PAS hari ini telah muncul sebagai kabilah politik yang menguasai pelbagai teknologi komunikasi moden.
“PAS didokong bukan lagi oleh tok guru dan lebai kampung, tetapi oleh barisan profesional dan teknokrat dari pelbagai lapisan dengan pemikiran semakin terbuka, berdaya usahawan tinggi, mengikhtiarkan sumber rezeki secara berdikari."
Titah itu adalah merangkum tentang PAS yang sebenarnya, mencerminkan gambaran sejarah wadah kelahiran dan penampilan gerakan Islam yang terpenting sejak merdeka.
Ia satu pandangan bebas tidak dipengaruhi dan tidak terpengaruh dengan sesiapa, adalah satu penghormatan yang amat berharga dari seorang waris takhta di negara ini.
PAS wajar bersyukur atas pandangan tinggi dari istana itu. PAS tidak ada sebarang peranan bagi mendorong baginda membuat rangsangan yang sangat bermakna itu. Bolah dikatakan PAS memilki jambatan yang ajaib bagi sampai kepada baginda hingga penghomatan terpuji itu datang dari pandangan dan fikiran bebas baginda.
Apa yang disampaikan itu adalah pengamatan dan kajian seorang Raja yang berminat dengan rakyatnya, memerhatikan segala gerakan pekerti masyarakat. Siapa yang ada dalam masyarakat, apa yang difikir dan dibuat oleh rakyat dan apa kecenderungan penududk dan ke arah mana mereka tuju?
Rakyat dan negeri berbangga beroleh seorang warga istana yang memahami dan bersedia memikul peranan wali negeri sesuai dengan tanggungjawab ulil amri yang diamanah Allah.
Dekat-dekat awal kemunculan dan khidmat PAS dalam masyarakat dan politik negara bahawa PAS berhadapan dengan fitnah dari seteru politiknya betapa jamaah Islam itu adalah mewakili kumpulan orang yang sedia setia kepada pemerintahan beraja, ia cenderang kepada khilafah bercorak republik.
Fitnah itu bukan saja mengabui fikiran setengah masyarakat, malah ia menjalar membelenggu benak penghuni istana. Ia telah menjarakkan hubungan dengan istana, sehingga mengelirukan antara kerabat istana.
Sekalipun berulang kali PAS merapakkan bukan pandangan PAS yang mengira parti itu anti raja, tetapi ia adalah angkara mainan politik sempit seterunya yang cemburu dengan potensi pengaruh Islam yang berkembang itu.
Apapun segala perkembangan dan sangka baik yang digambarkan oleh Raja Musa Perak itu adalah tanda jelas betapa PAS sudah melepasi semua tembok yang memisahkan PAS dengan semua lapisan masyarakat termasuk kayakinan penghuni istana betapa PAS bukan pihak yang wajar dicurigai kerana dalam khilafah Islamiyah itu tidaklah menentukan bahawa ulil amri itu berlaku dalam pentadbiran republik, maka sepanjang sejarah Islam ulil amri banyak diwakili oleh pemegang dinasti.
Selain dari Nabi Sulaiman a.s. adalah seorang monarki, khalifah Islam yang terakhir dari Turki adalah Raja yang bergelar Sultan.
Atas kesyukuran ini, PAS telah bebas dari anggapan tidak mahu beraja dan adalah wajar bagi PAS memberikan respons dan reaksi sejajar dengan pandangan jauh orang waris takhta yang menarik perhatian semua pihak.
Gambar mayat penceroboh didedah
Harakahdaily, | 06 Mac 2013 |
(Zahid dan Hishamudin menunjukkan mayat penceroboh yang terbunuh- foto Malaysiakini)
LAHAD DATU: Gambar sekurang-kurangnya 13 mayat penceroboh yang mati akibat serangan tentera di Kampung Tanduo, Lahad Datu didedahkan oleh kerajaan hari ini.
Ia didedahkan bersama oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Mereka berbuat demikian bagi membuktikan bahawa kejadian yang berlaku bukan satu rekaan tetapi realiti yang berlaku di lapangan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media sama menunjukkan kepada wartawan gambar sembilan mayat dalam satu longgokan.
Beliau turut menunjukkan gambar penceroboh yang ditembak mati pagi ini serta tiga lagi di satu kawasan perkuburan yang didakwa digali penceroboh.
Hishammuddin pula bagaimanapun enggan mendedahkan keseluruhan jumlah kematian di pihak musuh, kecuali yang dirakam dalam gambar tersebut.
Selain kematian pada pagi ini, belum dapat dipastikan sama ada 12 yang selebihnya maut semasa serangan semalam atau pertempuran pada hari Jumaat lalu.
Kerajaan mendedahkan gambar tersebut ekoran aduan wartawan yang sukar mendapat akses selepas pasukan keselamatan memasuki kampung tersebut untuk memburu penceroboh bersenjata Filipina selepas jet pejuang mengebom kawasan itu semalam.
Jangan sampai lupa...
Majdan Dagang, | 06 Mac 2013 |
1. Skandal lembu yang membabitkan duit rakyat berjumlah RM250 juta. Sehingga kini, kedudukan wang yang disalahgunakan itu belum dipulangkan. Jumlah itu bukannya sedikit dan bagaimana syarikat yang dimiliki suami Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil merangkap menteri ketika itu boleh mendapat pinjaman yang begitu mudah? Sedangkan pada masa yang sama banyak lagi syarikat bumiputera yang bersusah payah untuk mendapatkan pinjaman bank.
2. Pengkhianatan kerajaan pusat kepada kerajaan negeri Kelantan. Jika mahu disenaraikan memang banyak, antaranya termasuklah menafikan hak royalti minyak, tidak memberi peruntukan tahunan, tidak membina lebuh raya dan pelbagai lagi sekatan termasuk sekatan melaksanakan undang-undang jenayah Islam. Padahal Kelantan merupakan sebuah negeri yang 90 peratus penduduknya Melayu Islam - sepatutnya terus dibantu dan dimajukan, bukan membalas dendam semata-mata kerana politik.
3. Bukan itu sahaja, pengkhianatan terhadap rakyat turut dilakukan di Terengganu apabila duit royalti yang sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri telah ditukarkan kepada wang ihsan. Hal itu dilakukan semata-mata mahu menindas kerajaan Terengganu yang dikuasai PAS pada tahun 1999 – 2004.
4. Salah guna dana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). Kes ini membabitkan Ketua Wanita Umno Selangor, Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah. Yang bersudah payah ialah ahli-ahli LTAT iaitu anggota Angkata Tentera Malaysia yang mengorbankan jiwa dan raga untuk negara. Tetapi ada orang lain yang senang-senang menggunakan duit mereka. Sepatutnya duit LTAT digunakan bagi membantu anggota ATM yang telah bersara meneruskan kehidupan mereka.
5. Isu Felda. Orang Melayu mungkin hilang salah satu aset terpentingnya. Penyenaraian anak syarikat Felda ke bursa saham penuh kontroversi dan tipu muslihat. Walau pun projek ini telah dibatalkan pada zaman Tun Abdullah Badawi, tetapi telah dilaksanakan semula pada zaman Datuk Seri Najib melalui proksinya Tan Sri Isa Samad. Penyenaraian ini lebih menimbulkan banyak polemik daripada keuntungan kepada para peneroka.
6. Isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing secara pukal demi mengekalkan kuasa politik. Hal ini telah pun diakui sendiri oleh Tun Dr Mahathir. Sabah merupakan lubuk untuk warga asing memperoleh kad pengenalan segera. Tindakan ini bolehlah dibaratkan menjual negara dan mengkhianati rakyat sendiri. Boleh jadi wakil rakyat Umno-BN yang ada pada hari ini menang atas kapasiti ini.
7. Harga minyak dan harga barangan terus naik. Hal ini membebankan rakyat keseluruhannya dan tiada tanda-tanda Umno-BN bersedia mengurangkan harga tersebut. Rakyat sepatutnya juga tidak lupa bagaimana perdana menteri menyeru supaya rakyat berjimat cermat kerana kenaikan kos hidup, tetapi pada masa yang sama wakil rakyat Umno-BN terus berbelanja mewah. Contohnya, rakyat terpaksa membeli kereta dengan harga yang mahal kerana dikenakan pelbagai jenis cukai sementara wakil rakyat dapat membelinya dengan harga yanng murah kerana cukainya tidak banyak.
8. Rakyat akan lupa tentang skandal pembelian kapal selam Scorpene yang membabitkan jual beli yang tidak munasabah. Sepatutnya dengan jumlah wang sama, Angkatan Tentera Malaysia beroleh kelengkapan yang lebih canggih dan lebih banyak unit. Namun duit negara dihabiskan untuk membayar kepada orang tengah dan proksi pemimpin negara. Yang menjadi mangsa ialah anggota ATM. Skandal ini juga terpalit dengan kematian seorang wanita monggolia yang dikatakan terbabit dalam rundingan membeli kapal selam ini.
9. Hutang negara meningkat kepada RM500 bilion. Jumlah itu boleh menyebabkan negara muflis. Rakyat perlu sedar bahawa merekalah yang akhirnya terpaksa membayar hutang tersebut melalui kenaikan pelbagai cukai, pengenalan cukai baru dan pengurangan subsidi. Sepatutnya kerajaan berbelanja secara berhemah agar hutang negara tidak meningkat dan tidak berlaku belanjawan defisit.
10. Ramai lagi rakyat yang merempat dan tidak mempunyai tanah. Ada yang telah meninggal dunia sedangkan tanah yang dipohon berpuluh tahun tidak diluluskan. Pada masa yang sama kerajaan melancarkan pelbagai projek mega seperti Iskandar Malaysia dan memajak atau menjualkannya kepada syarikat asing. Rakyat sendiri akhirnya hanya mampu melihat tanah airnya dimiliki warga asing.
11. Janji untuk mengurangkan beban tugasan guru. Janji tinggal janji. Sudah berapa orang Perdana Menteri dan menteri pendidikan bertukar – beban guru bukan semakin kurang bahkan semakin bertambah. Bukan itu sahaja, di sesetengah aliran waktu bekerja rasmi juga ditambah sehingga jam 5 petang dan cuti penggal dipendekkan.
Banyak lagi, tetapi rasanya rakyat sendiri tahu – rampasan kuasa di Perak, isu Memali, PTPTN, menghina raja dan yang paling banyak ialah isu rasuah. Jasa? Ya, memang ada jasanya. Takkan memerintah selama lebih 55 tahun tiada jasa. Namun, kerajaan yang ada pada hari ini tenggelam dalam jasa-jasa silam dan lupa untuk membuat jasanya sendiri. Yang ada hanyalah penguasa-penguasa yang rakus memenuhkan tembolok sendiri.
Cuma saya ingin sebutkan beberapa jasa yang dilakukan oleh sebuah kerajaan negeri tetapi manfaatnya dapat ke seluruh negara. Kerajaan Kelantanlah yang mula-mula melaksanakan cuti dua hari seminggu. Walalupun awalnya dikritik oleh kerajaan pusat tetapi akhirnya dilaksanakan diseluruh negara. Keduanya, cuti bersalin dua bulan juga dimulakan oleh Kelantan dan telah pun diikuti oleh kerajaan pusat – turut dkiritik pada awalnya.
Ingatan ini bukanlah apa-apa, cuma mengingatkan kepada orang Melayu yang mudah lupa. Bukan saya yang kata, Tun Mahathir yang kata!
Kata-kata terakhir Inspektor Zulkifli kepada ibunya
Harakahdaily, | 06 Mac 2013 |
BESUT: "Kalau nok mati, jaga pun mati," itulah kata-kata terakhir Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat kepada ibunya, Khatijah Ismail menjelang keberangkatannya ke Lahad Datu.
Si ibu yang merelakan pemergian anak berjuang demi negara itu terdiam.
"Dua hari saya duduk senyap," cerita ibunya ketika ditemui oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Ustaz Riduan Mohamad Nor di rumahnya dekat sini selepas kematian Inspektor Zulkifli.
(ustaz Riduan [kiri sekali] bertemu dengan keluarga Inspektor Zulkifli di rumahnya dekat sini)
Turut serta dalam pertemuan itu adalah Ustaz Wan Azhar, Yang Dipertua PAS Kawasan Besut.
Inspektor Zulkifli dari pasukan elit VAT 69 polis adalah antara wira-wira negara awal yang terkorban selepas diserang penceroboh di Lahad Datu.
Beliau meninggal bersama rakannya, Koperal Sabaruddin bin Daud selepas diserang. Tiga rakannya turut cedera dalam serangan yang mencetuskan serangan besar-besaran pasukan keselamatan Malaysia ke atas penceroboh itu.
Zulkifli adalah seorang pelajar cemerlang di pusat latihan polis Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, Perak.
Kerana kecemerlangannya itulah beliau terpilih menyertai Pasukan elit VAT 69.
Zulkifli meninggalkan isterinya yang sedang mengandung Nor Aziah Noor, 28 serta dua anak.
Beliau berasal dari Besut, Terengganu.
Sebelum berlepas ke Lahad Datu, Allahyarham Zulkifli memberitahu ibunya di Besut, dia akan ke Sabah menyertai satu operasi di sana.
Ibunya berkata, "Jauhnya nak pergi."
"Takpa lah mak, pergi sekejap je, balik nanti, saya marilah rumah mak," kata si anak.
"Tanggungjawab besar ini mak. Seperti kata mak sebelum inilah, saya memegang amanah," tambah Inspektor Zulkifli kepada ibunya.
Lalu ibunya memberikan pesan agar beliau menjaga diri baik-baik kerana dia akan pergi ke tempat yang dia belum pernah pergi.
"Tak apalah mak, kalau nak mati, jaga pun mati," itulah kata-kata terakhir Zulkifli kepada ibunya sebelum berangkat ke Lahad Datu.
"Selepas dia takda ni, saya tak tahulah..makan dok, apa pun dok," cerita ibunya sambil mengesat air matanya.
Menurut abangnya, Zulkifli memang bercita-cita mahu mati syahid,
"Dia bercita-cita doh nak syahid...dia dah bersedialah," tambah abang kepada Allahyarham dalam pertemuan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan