Jumaat, 8 Mac 2013

JANGAN BODEK TAHAP GABAN

15 berpadu tenaga dalam 'Malam Seni Untuk Perubahan'

Harakahdaily, 08 Mac 2013

KUALA LUMPUR: 15 artis dan aktivis masyarakat akan bergabung bagi menjayakan 'Malam Seni Untuk Perubahan' yang bakal di adakan di Kelab Sultan Sulaiman 16 Mac ini.

Majlis yang bakal bermula jam 9 malam itu akan menggabungkan semua artis yang menyokong perjuangan untuk perubahan di negara ini.

Turut serta adalah Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, Niab Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Dr Syed Azman Ahmad Nawawi di samping ulama selebriti, ustaz Azhar Idrus.

Pada malam ini, penyanyi Yasin dijangka akan menyampaikan lagu 'Menuju Putrajaya' dan 'Reformasi' yang menimbulkan kemarahan para penyokong tegar Umno sehingga mengugut untuk membunuh Yasin.

Selain Yasin, akan turut serta adalah Ito, Aishah, Abby Abadi, Hairie Othman, Noryn Aziz, Ringo, Ali XPDC, Nik Jidam, Meor, Black dan juga pasukan dikir barat.

Turut ke pentas nanti adalah Sastrawan Negara, Datuk A Samad Said.

Selain acara persembahan, satu majlis khas akan turut diadakan sempena program ini.

PRU12 dalam kenangan, PRU13 di persimpangan

Syed Ahmad Fadhli, 08 Mac 2013


Bagaikan bermimpi, sudah 5 tahun berlalu rupanya PRU12 yang lepas. Saat dan detik yang pasti tidak dapat dilupakan dalam lembaran sejarah Malaysia. Pada 8 Mac 2008, 'tsunami' politik telah melanda tanah air ini sehingga merubah lanskap politik Malaysia. BN hampir tumbang pada saat itu, hilang majoriti 2/3 di parlimen, hilang kuasa di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, gagal menawan Kelantan serta kehilangan banyak kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ibu negeri yang lain.

Rakyat khususnya di Semenanjung memberi isyarat dan amaran yang tegas kepada BN. "Tak selamanya kamu boleh tipu kami dengan gula-gula yang ditaburkan tiap kali menjelang pilihanraya. Kami ingin ajar kamu bahasa peti undi dan kuasa rakyat.."

Menyorot kembali keputusan PRU lepas, ia menunjukkan pembangkang (PR belum ditubuh ketika itu) berpotensi besar di kerusi-kerusi urban, dan separa bandar. Antara faktornya ialah akses media baru sebagai alternatif kepada rakyat untuk membuat pilihan. Ia berbeza bagi BN yang mempunyai kelebihan sebagai kerajaan pusat yang mengawal sepenuhnya media arus perdana termasuklah TV, radio dan surat khabar.

Maka, tak menghairankan BN lebih berkubu di kawasan kampung, pedalaman, Felda dan juga 'fixed deposit' di Sabah & Sarawak. Pengundi di kawasan sebegini kurang terdedah kepada sumber maklumat alternatif dan mempercayai seboleh mungkin segala propaganda Utusan, Berita Harian, RTM & TV3. Sebagai bukti, PR mampu menang di negeri maju seperti Selangor, Pulau Pinang dan hampir kesemua ibu negeri di Malaysia.

Mengikut pecahan kaum pula, PRU12 menunjukkan ketika itu kaum Cina dan India bangkit membuat perubahan manakala kaum Melayu agak kurang yang membuat perubahan. Maka hasilnya, PKR yang bertanding di kerusi campuran kaum dan DAP yg bertanding di kerusi majoriti kaum Cina mendapat kerusi yang lebih banyak berbanding PAS. Contoh yang paling mudah, kes di Perak di mana DAP mendapat kerusi DUN paling banyak manakala PAS mendapat paling sedikit.

Mengikut faktor geografi pula, arus 'tsunami' ini deras melanda di sebelah Pantai Barat dan Utara sahaja. Di sebelah Pantai Timur dan Selatan pula hanya tempias sahaja yang melanda. Maka hasilnya, BN masih kekal berkuasa di Johor, Melaka, Pahang dan Terengganu. Di Negeri Sembilan pula, BN gagal mendapat 2/3 kerusi Dun kerana kerusi campuran telah dimenangi DAP dan PKR. Di Sabah dan Sarawak pula jelas menunjukkan ketika itu, mereka sebagai penyelamat kerana berjaya menyumbangkan 55 kerusi parlimen kpd BN berbanding pembangkang hanya mendapat 2 kerusi (Kuching dan Kota Kinabalu). Di Semenanjung, BN hanya menang 85 kerusi manakala pembangkang pula mendapat 81 kerusi. BN juga gagal mendapat undi popular di Semenanjung iaitu 49% berbanding 51% dimiliki pembangkang.

Episod baru politik Malaysia ini tak terhenti di situ. PM, Pak Lah gagal untuk memimpin kerajaan baru pada 2008 ini dengan teguh sepertimana PRU 2004. Beliau ditekan daripada segenap sudut, dari dalam mahupun luar. Antara yang utamanya ialah drama "Kerajaan Baru 16 September" tajaan Anwar dan juga konspirasi kudeta rampasan kuasa di Perak. Akhirnya beliau berundur dan menyerahkan baton PM kepada penggantinya, Najib Razak. Senario politik Malaysia terus berwarna-warni dengan kemunculan NGO tajaan Umno iaitu Perkasa dan deretan NGO lain yang atas namanya pelbagai tapi hakikatnya ia dimiliki BN mahupun PR.

Setelah itu, giliran Pembangkang pula diuji iaitu 'katak-katak' pun muncul melompat ke seberang. Walaupun mereka tidak menyertai BN secara terus tetapi hakikatnya mereka adalah 'bebas' yang pro BN. Antara aktor utamanya ialah Ibrahim Ali, Zahrain Hashim, Wee Choo Keong, dan Zulkifli Nordin.

PRU13: "Harapan baru untuk rakyat atau perubahan yang membawa padah..?"

Kini, pada bila-bila masa sahaja PM, Najib akan mengumumkan pembubaran parlimen dan sekaligus PRU13 akan dilangsungkan.Buat pertama kalinya, kelihatan PM begitu takut untuk membubarkan parlimen sedangkan mandat yang diberikan oleh rakyat secara moralnya tamat pada hari ini 8 Mac setelah genap 5 tahun. Tidak dapat dipastikan mengapa kali ini parlimen begitu lambat dibubarkan..? Mungkin sebab PM masih mencari masa yang terbaik pada ketika sekalian rakyat jelata merasai manisnya  gula-gula yang diberikan itu atau mungkin juga PM belum yakin akan kemampuan BN utk kembali ke Putrajaya setelah kuasa yang ada sekarang diserahkan kepada rakyat.

Antara faktor lain yang menarik untuk kita perhatikan pada PRU13 ini ialah kecenderungan rakyat untuk membuat perubahan. Setakat ini, kelihatannya kaum Cina begitu kuat dan bersemangat untuk menukar kerajaan baru, kaum India sebahagian besarnya sudah mula berpatah balik kepada BN manakala kaum Melayu..? Kaum Melayu masih dalam dilema kerana mereka yang di pedalaman mahupun golongan intelektual ada yang termakan dengan momokan ‘jika PR menang, habislah nasib kita orang Melayu, Islam akan diketepikan, Raja akan hilang kuasa’ dan bermacam lagilah igauan mimpi ngeri yang cuba ditanam dalam minda orang Melayu. Maka usahlah dihairankan apabila munculnya Third Force, arus baru yang mengaku mereka tak berpihak kepada mana-mana tetapi hakikatnya mereka adalah penyelamat kepada BN antaranya ialah Jati dan juga Isma.

Di samping itu, PRU13 ini adalah "perang alam siber". Jika PRU 2008 dahulu, ruang vakum internet ini dikuasai sepenuhnya oleh pembangkang melalui blog, Youtube dan portal berita kini, BN telah pun menyedari kealpaan mereka dahulu. Maka medan pertempuran maklumat di alam maya ini sama ada melalui Facebook,Twitter, Youtube dan Blog menjadi persaingan hebat antara PR vs BN. Pelbagai kaedah dan strategi digunakan sehingga kadangkala ia melampaui batas seperti sebaran fitnah dan gambar yang diubah suai sesuka hati mengikut selera kecenderungan parti masing-masing. Begitu hebatnya penangan media baru ini begitu jelas dapat dilihat seperti contoh fenomena "Listen, Listen, Listen", "Ini semua salah Anwar", dan bermacam lagi virus maklumat yang begitu cepat tersebar dengan adanya fungsi button "share" di FB.

Sebagai akhirnya, PRU13 ini adalah cabaran getir buat kedua-belah pihak. BN akan berusaha dengan begitu bersungguh seperti mana amanat Presiden Umno, Najib pada 2010 iaitu "walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!".

PR pula yang dikemudi oleh Anwar seboleh mungkin memacu bersama PKR, PAS dan DAP ke mercu kuasa Putrajaya. PAS dilihat memikul cabaran yang paling getir kerana secara tradisinya akan bertanding di kerusi majoriti Melayu sedangkan kelihatannya setakat ini arus perubahan dalam  kalangan kaum Melayu masih belum cukup kuat untuk mendayung bahtera ke Putrajaya.

Impian PR untuk sampai ke Putrajaya hanya akan menjadi realiti sekiranya berlaku perubahan besar di Sabah dan Sarawak, serta kaum Melayu dan India turut sama dengan arus perubahan. Dan sememangnya, faktor pengundi muda khususnya Generasi Y yang sifatnya kritikal dalam menilai juga akan menjadi salah satu faktor utama penentu dalam PRU 13 ini. Pengundi lain juga secara umumnya sudah semakin bijak dalam menilai dan membuat pilihan dengan syaratnya akses media yang adil sampai ke segenap lapisan masyarakat.

SPR pula sebagai pengadil perlawanan perlulah menunjukkan kesungguhan dan komitmen mereka dengan berani, telus dan adil untuk mengendalikan the mother of all election yang dijangka paling sengit dalam sejarah Malaysia ini.

Sebagai Muslim, kita tetap yakin dan percaya bahawa tiada kerajaan yang mampu kekal berkuasa selamanya kerana kuasa itu sebenarnya adalah milik Allah. Pemimpin yang dipilih itu perlu melaksanakan amanah dengan panduan dan suluhan wahyu Al Quran dan As Sunnah. Segala perancangan dan tipu daya yang dibuat manusia yang angkuh untuk kekal di puncak kuasa takkan mampu untuk melawan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Berkuasa.

Selamat mengundi. Laksanakanlah hak anda untuk memilih pemimpin dengan pertimbangan akal dan iman demi masa depan baru tanah air Malaysia kita yang tercinta ini.

Penulis ialah mahasiswa tahun akhir jurusan Sains Politik UIAM.

Kesultanan Sulu dakwa Azimuddie masih hidup

Harakahdaily, 08 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Anak kepada Sultan Jamalul Kiram III, Puteri Jacel Kiram mendakwa Azimuddie Kiram, yang mengetui kumpulan penceroboh bersenjata di Sabah, yang juga adik Sultan Sulu Jamalul Kiram III masih selamat.

Portal Philippine Inquirer melaporkan Jacel membuat kenyataan itu dalam satu temubual di radio dzBB.

Jacel juga dilaporkan berkata, hubungan mereka kini sangat terhad ekoran bimbang komunikasi mereka boleh membenarkan pihak berkuasa Malaysia mengesan di mana beradanya Azimuddie.

Tetapi Jacel berkata bahawa kali terakhir mereka bercakap pada Khamis, Azimuddie dan orang-orangnya adalah selamat.

Sementara itu di Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini juga mengesahkan jeneral penceroboh bersenjata yang terbunuh semalam bukan Azimuddie Kiram, yang mengetui kumpulan penceroboh itu.

"Dia bukan (Azimuddie), Dia (mayat) salah seorang pemimpin mereka," kata Ismail dalam satu sidang akhbar di Felda Sahabat Residence pagi ini.

Ismail berkata, pasukan keselamatan membuat kesimpulan bahawa lelaki itu adalah salah seorang daripada pemimpin mereka, berdasarkan kepada pakaiannya, tetapi masih dalam proses mengesahkan identiti sebenarny

Rai Najib: Jangan tenggelam jasa tentera dan polis

Harakahdaily, 08 Mac 2013
KUALA LUMPUR:  PAS mengingatkan Umno-BN supaya jangan terlalu ghairah meraikan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Lahad Datu untuk kepentingan politik hingga menenggelamkan jasa para perajurit yang gugur dan yang masih bertungkus-lumus mempertaruhkan nyawa mereka demi mempertahankan kedaulatan negara dan Sabah.

“Keghairahan Umno-BN untuk meraikan kedatangan Najib ke Lahad Datu seolah-olah 'pertempuran sudah tamat dan kini tiba masa untuk meraikannya' tatkala polis dan anggota tentera masih bertungkus-lumus untuk membasmi penceroboh bersenjata dari Filipina amat dikesali,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim berkata insiden pertumpahan darah di Sabah mendedahkan kelemahan ketara cara pihak kerajaan menguruskan sempadan negara.

“Ternyata tahap penjagaan kedaulatan negara di bawah kerajaan BN kini berada pada tahap yang sangat kritikal. Perkara ini sungguh dikesali,” kata beliau.

Selain gagal mengurus isu dalam negara seperti yang diketahui umum, Tuan Ibrahim berkata rakyat masih ingat bagaimana negara kehilangan Pulau Batu Putih kepada Singapura.

Di bawah kepimpinan Umno-BN, katanya negara juga kehilangan tanah keretapi di sepanjang laluan Singapura tanpa mengetahui apa pulangan hasilnya kepada rakyat, dan kawasan telaga minyak Blok L dan M kepada Brunei ketika Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri.

“Tun Dr Mahathir pernah mendakwa kehilangan telaga-telaga minyak mengakibatkan jumlah kerugian dalam bentuk perolehan berjumlah AS$100 bilion (RM320 bilion),” tambahnya lagi.

Dalam insiden pencerobohan di Sabah, kata Tuan Ibrahim, rata-rata rakyat termasuk pemimpin Umno-BN sendiri tercari-cari jawapan bagaimana pasukan penceroboh dari Filipina yang berjumlah ratusan orang boleh menembusi sempadan negara dengan membawa senjata api.

“Mereka juga dibiarkan berada berminggu-minggu lamanya dalam negara tanpa sebarang tindakan, sehingga ia menjadi suatu ancaman terhadap keselamatan rakyat dan pasukan keselamatan.

"Kerajaan BN perlu tampil menjelaskan perkara ini, dan sekiranya ada rundingan dalam tempoh tersebut, kerajaan BN perlu menjawab maklumat rundingan dan punca kegagalan rundingan kepada rakyat sehingga berlaku pertempuran.

"Kerajaan BN juga perlu menjawab mengapa perkembangan insiden di Sabah tidak dilaporkan secara telus sehingga rakyat terpaksa bergantung kepada berita daripada Filipina untuk mengetahui lanjut mengenai situasi sebenar di Lahad Datu,” tegas beliau.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata rakyat menyambut baik tindakan keras kepada para penceroboh yang telah membunuh beberapa anggota polis.

Akan tetapi, kata beliau, rakyat juga ternanti-nanti ingin mengetahui punca sebenar sehingga menyebabkan pertempuran berlaku sehingga 8 anggota polis terkorban dan juga hukuman berat kepada mereka yang didapati melakukan pengkhianatan terhadap negara dalam insiden ini.

“Sebagai contoh, rakyat ingin mengetahui apakah punca insiden ini lahir daripada tindakan menganugerah warganegara kepada warga asing  secara rakus bermotifkan kepentingan politik dalam Projek IC yang kini hangat dicela merata tempat?

"Lebih menarik perhatian rakyat ialah persoalan kenapa insiden pencerobohan ini berlaku di saat negara berada di ambang pilihanraya umum tatkala laporan kajian mendapati sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri semakin jatuh?” soal beliau.

Selangor ambil alih Syabas terlebih dahulu

Harakahdaily, 08 Mac 2013
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor bersetuju untuk mengambil alih Syabas terlebih dahulu dalam proses pengambilalihan syarikat konsesi pembekalan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Selangor mengulangi bahawa mereka menyambut baik kesediaan semua syarikat konsesi air untuk terus mengadakan perbincangan pengambilalihan bagi menyokong  penstrukturan semula industri perkhidmatan air.

Mengenai perbincangan pengambilalihan ini, kerajaan Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah memulakan perbincangan dengan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) berkenaan pelupusan aset air dan liabiliti.

"Demi kepentingan rakyat, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan untuk terlebih dahulu mengambilalih Syarikat Bekalan Air Sdn Bhd (SYABAS)  yang merupakan pengedar tunggal bekalan air bersih di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.

Justeru, katanya, Kerajaan negeri telah meminta KDEB mempertimbangkan kemungkinan mengambilalih pengagihan bekalan dan operasi SYABAS terlebih dahulu.

Selepas itu, katanya, KDEB akan meneruskan mengambilalih syarikat konsesi lain iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS) yang mana KDEB sudah menjadi pemegang saham terbesar.

Sementara itu, pengambilalihan satu lagi konsesi, Puncak Niaga Sdn Bhd bergantung kepada persetujuan KDEB dengan pemegang saham terbesar, Puncak Niaga Holdings Berhad, jelas beliau dalam kenyataannya.

Kereta rempuh pentas pelancaran China Town

Rizal Tahir, 08 Mac 2013


(Pentas perasmian yang dirempuh kereta malam tadi)

KOTA BHARU: Pentas khas yang dibina oleh kerajaan negeri untuk majlis perasmian ‘China Town’ malam ini dilanggar oleh sebuah kereta kira-kira jam 3.00 pagi tadi.

Ketika kejadian, 10 orang pekerja sedang menyiapkan kerja-kerja terakhir di pentas tersebut, termasuk memasang lampu.

Bagaimanapun kesemua petugas itu terselamat apabila kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri sebaik sahaja melihat kenderaan terbabit menghala ke arah pentas yang sedang disiapkan tersebut.

Pemberita Harakahdaily, Rizal Tahir terus ke tempat kejadian kira-kira jam 7.05 pagi tadi sebaik saja dihubungi oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin tidak menolak kejadian itu disabotaj oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Ini kerana jalan berkenaan telah ditutup kepada semua lalu lintas sejak jam 10.00 malam tadi,”ujarnya kepada Harakahdaily.

Baru-baru ini, Takiyuddin telah mengeluarkan kenyataan, hari ini akan diadakan majlis pelancaran China Town di Jalan Kebun Sultan bagi menggambarkan jalan tersebut sebahagian besarnya didiami oleh masyarakat kaum itu.

Sebagai tempat yang bakal dijadikan antara kawasan pelancongan, kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk mewujudkan China Town di situ.

Majlis perasmiannya bakal dilakukan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malam ini.

Majlis perasmian kekal
Sementara itu, majlis perasmian China Town pada malam ini akan tetap diteruskan walaupun pentas persembahan untuk malam ini dilanggar kereta pada awal pagi tadi.

Pengarah program, Datuk Takiyuddin Hasan memberitahu, majlis persamian berkenaan akan diteruskan  dan orang ramai diminta hadir beramai-ramai.

"Orang rama tidak perlu takut kerana langkah-langkah keselamatan akan dipertingkatkan lagi untuk majlis malam ini," katanya

"Kerja-kerja baik pulih sedang dibuat lakukan dan majlis malam ini tetap diteruskan seperti mana yang dirancang sebelum dari ini," ujarnya lagi.

Takiyuddin menambah, pihaknya mengenali pemandu yang terlibat dengan kejadiaan ini dan meminta agar pihak polis melakukan siasatan.

"Saya difahamkan bahawa ada pihak telah membuat laporan polis pada malam tadi dan pihak urusetia akan membuat laporan polis pada pagi ini pula," ujarnya lagi.

Tiada ulasan: