Isnin, 11 Mac 2013

BAYARAN MASUK TANDAS....RUMAH SEWA...SAYUR2AN DLL HARGA SAMA BILA KITA MEMBELI....TIDAK DIASINGKAN HARGA MURAH DAN MAHAL IKUT KELULUSAN DAN PANGKAT...MAKA ADAKAH ELAUN2 NI NAK DIBEZAKAN JUGA KE

PAS ziarah keluarga Allahyarham Sarjan Sabaruddin

Harakahdaily, 10 Mac 2013
IPOH: Bagi menyatakan sokongan dan berkongsi rasa kehilangan wira negara, PAS Perak hari ini mengunjungi balu dan anak-anak Allahyarham Sarjan Sabaruddin Daud yang terkorban dalam misi mempertahankan negara dari penceroboh di Lahad Datu.

Kunjungan ke kediaman keluarga Allahyarham di kem Kem Polis Komando Ulu Kinta di sini petang tadi itu turut disertai Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain dan isteri, Ahli Parlimen Bukit Gantang Mohamad Nizar Jamaluddin serta wakil Dewan Ulama’, Pemuda dan Muslimat negeri.

Kehadiran mereka disambut balu Allahyarham, Nurunnisa Abu Bakar dan ahli keluarga yang lain.

Dalam kunjungan itu, Ustaz Abu Bakar mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan kehilangan Sabaruddin sebagai kehilangan besar kepada negara.

Menurut beliau, sumbangan anggota keselamatan sama ada dari PDRM atau ATM amat besar ertinya buat seluruh rakyat Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan negara.

"Mereka sanggup berkorban nyawa untuk mempertahankan kedaulatan Negara dan pastinya segala pengorbanan mereka akan terus dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Sementera itu Nizar yang juga bekas Menteri Besar Perak pula menyatakan beliau sangat menyanjungi segala pengorbanan yang diberikan oleh setiap anggota keselamatan Negara.

Beliau juga turut mewakili kepimpinan Pakatan Rakyat Perak menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga-keluarga pahlawan negara yang telah terkorban untuk mempertahankan kedaulatan negara Malaysia baru-baru ini.

Dalam kunjungan itu juga, PAS Perak turut menyampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan bebanan yang ditanggung ahli keluarga Allahyarham.

Sementara itu, Nurunnisa mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan PAS Perak dan semua rakyat Malaysia atas keperihatinan dan sokongan yang diberikan.

Sabarudin, 46, adalah antara dua anggota komando polis VAT 69 yang terkorban dalam kejadian itu pada 1 Mac lalu apabila pasukan keselamatan bertembung dengan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina berkenaan.

Turut terkorban ialah Asisten Superitenden Polis (ASP) Zulkifli Mamat, 29.

Tak yakin prestasi diri punca Najib lengah PRU13

Anis Nazri, 10 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Tidak yakin dengan segala transformasi yang dilakukan menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berlengah-lengah memanggil pilihan raya umum.

Jika dilihat pada hujah yang diberikan beliau sebelum ini, iaitu untuk menyelesaikan Bajet 2013, jelas kelihatan beliau tidak yakin rakyat menyokong Barisan Nasional (BN) biarpun segala bantuan dilimpahkan selama ini.

Namun, menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Hatta Mohd Ramli, pilihan raya ini tidak diukur dengan bajet, sebaliknya prestasi beliau selama ini sebagai perdana menteri.

"Kalau hendak tunggu bajet 2013 selesai, memang lebih panjanglah (tunggu pilihan raya). Sebab lepas dari itu ada pula bajet 2014.  Siapa perintah nanti, masih boleh teruskan bajet 2013 yang sudah diluluskan itu," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah Dr. Hatta, Najib sepatutnya boleh membubarkan parlimen lebih awal lagi sekiranya beliau yakin apa yang dilakukan selama ini benar-benar dapat menarik perhatian rakyat.

Sayangnya, kata Hatta Najib tidak berani berpegang kepada prestasi beliau sendiri selama empat tahun ini, sebliknya bergantung kepada bajet 2013 dan pemberian 'one-off' kepada rakyat muktahir ini.

"Di mana-mana, beliau berkata yakin boleh memperoleh majoriti dua pertiga. Namun hingga kini tarikh pilihan raya terus menjadi teka-teki rakyat Malaysia," kata beliau.

Mengulas lanjut, Dr Hatta berkata Najib mungkin mencuba untuk membawa sejauh mungkin tarikh pilihan raya, namun percaya jika beliau tiada jalan lain, kemungkinan Najib akan membubarkan parlimen dalam tempoh terdekat.

"Najib mungkin akan heret lebih jauh lagi tarikh pilihan raya, walaupun sudah lebih mandat yang diberi rakyat sejak Mac 2008. Tapi, saya percaya, jika beliau tiada pilihan lain, mungkin esok beliau umum bubar parlimen," kata beliau.

35 ahli PAS Jabi sertai Umno hanya 'Umno masuk Umno'

Harakahdaily, 10 Mac 2013
KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Setiu menganggap laporan kemasukan ahli PAS ke dalam Umno adalah drama sinetron biasa disiarkan setiap kali menjelang pilihan raya umum (PRU).

Demikian ditegaskan Naib Yang Dipertuanya, Dr Azman Ibrahim (gambar) yang merujuk laporan akhbar hari ini kononnya 35 ahli PAS dari Cawangan Tok Dor dalam Dun Jabi diketuai seorang bernama Ali Bakar menyertai Umno.

“Plot ceritanya sudah basi, dan skripnya sudah hilang daya tarikan. Kesian kepada yang ditipu dan tertipu,” ujarnya yang juga Pengarah MTD Jabli kepada Harakahdaily.

Justeru, beliau hanya memohon mereka mengemukakan dua perkara mudah sahaja sebelum mengulas lebih lanjut.

Yang pertama, katanya mereka perlu menyatakan nombor keahlian PAS, parti sesat yang didakwa oleh Ali Bakar yang telah disertainya selama 20 tahun.

“Yang kedua, beliau ahli PAS cawangan mana lantaran agak pelik masakan di sebuah kampung seperti Tok Dor yang dikategorikan bersaiz kecil, jawatankuasa PAS Cawangan Tok Dor tak mengenali beliau malah tak pernah bersua sebelum ini.

“Hairan bukan?” ujarnya.

Jelasnya, 35 ahli PAS cawangan Tok Dor menyertai Umno bermakna akan terbubarlah cawangan tersebut sedangkan pada malam sebelumnya, beliau menghadiri satu program di UPU Tok Dor yang disifatkan berjaya.

Tambahnya, tiada angin dan ribut pun tentang kemasukan ahli PAS ke dalam Umno.

“Ramlan dan mereka yang menjadi dalang di belakang kerja bodoh ini, sila kemukakan dahulu dua perkara yang diminta tadi.

“Kegagalan bermakna kamu adalah penipu dan pemutar belit fakta yang tak boleh dipercayai,” katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau ini bermakna lebih tepat dinamakan majlis itu sebagai 'Majlis Ahli Umno Masuk Umno'.

Cadangan PAS untuk membela pegawai kerajaan

Datuk Husam Musa, 10 Mac 2013

Saya difahamkan, esok Perdana Menteri akan bertemu dengan kakitangan awam dan akan mengumumkan beberapa inisiatif baru untuk perkhidmatan awam.


Antara inisiatif yang dijangka diumumkan meliputi pelarasan gaji hingga 10%, peningkatan elaun cola antara RM300 hingga RM500 dan menaikkan elaun perumahan kakitangan awam.


PAS Pusat yang bersidang pada hari ini mengambil ketetapan, mana-mana pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri untuk perkhidmatan awam akan diteruskan jika sekiranya Pakatan Rakyat mentadbir Putrajaya.


PAS Pusat dalam masa yang sama mencadangkan beberapa langkah tambahan.

Antara lain, tumpuan juga harus diberikan  kepada kenaikan pangkat untuk semua kategori pegawai di mana jawatan utama bukan hanya dikhaskan kepada  PTD bahkan  dipeluaskan kepada perkhidmatan lain seperti guru, kastam, polis, tentera dan lain-lain.


Kedua, menerima pakai amalan di Kelantan di mana semua pinjaman perumahan dan kenderaan kakitangan awam dihapuskan kenaan caj  bunga 4% bermula dari tarikh PR mengambil alih Putrajaya.

Bagi pinjaman sedia ada, ia akan dikaji terlebih dahulu untuk menentukan samada kerajaan mampu membiayai implikasi  kewangannya.


Ketiga,  bagi faedah kakitangan awam yang berpendapatan rendah serta rakyat Malaysia  umumnya, kadar pelepasan cukai yang ada sekarang dicadang dikaji semula untuk dinaikkan.

Kadar perlepasan cukai yang rendah  untuk isteri dan anak-anak yang ada sekarang menyebabkan kakitangan awam dan orang ramai tidak mendapat pendapatan benar yang cukup untuk membiayai kos hidup yang tinggi pada hari ini.


PAS Pusat juga ada membincangkan supaya kajian dibuat terhadap panalti yang di kenakan oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri kepada pembayar cukai sebanyak 45% bila jumlah cukai yang diumumkan berbeza dengan yang ditafsirkan oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri.

Penalti tersebut membebankan pembayar cukai. Kutipan cukai negara meningkat kerana penalti 45% itu dikenakan. Pada tahun ini dijangka kutipan cukai termasuk penalti itu akan menjadi yang tetinggi pernah dikutip.

Peningkatan kutipan kerana penalti wajib seperti ini menambahkan lagi tekanan terhadap rakyat jelata.


Cukai ke atas eksport sawit mentah atau CPO sebanyak 23% yang menyebabkan harga kelapa sawit kita lebih mahal di pasaran antarabangsa juga dicadangkan untuk dikaji. Indonesia telahpun dua kali menurunkan cukai CPO menjadikan harga sawit mereka lebih berdaya saing.

Langkah ini boleh membantu meningkatkan harga sawit yang rendah pada hari ini dan ini memberikan faedah termasuk kepada pekebun-pekebun kecil di seluruh negara.

Pada masa yang sama polisi kerajaan Melaysia memberikan AP eksport sawit mentah bertujuan melepaskan cukai eksport kepada syarikat kroni terpilih yang telah digunakan untuk mengeksport 7 juta ton sawit mentah setahun tanpa cukai yang menyebabkan kerugian kepada negara juga dicadang untuk dikaji semula.

Bagi tujuan tersebut sebuah jawatankuasa ditubuhkan dan ia akan mencadangkan pendirian PAS terhadap penalti cukai 45%, kadar cukai CPO yang baru dan menghapuskan sistem AP eksport minyak sawit mentah.

Datuk Husam Musa, Naib Presiden PAS

Tabung khas bantu penduduk Sabah terjejas

Anis Nazri, 10 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Sabah melancarkan tabung kemanusiaan, khusus bagi memenuhi keperluan penduduk yang terjejas ekoran krisis di Lahad Datu.

Ketua Pemudanya, Lahirul Latigu, berkata dengan penubuhan tabung berkenaan, segala keperluan dapat disalurkan PAS Sabah kepada penduduk yang kini ditempatkan di pusat-pusat sementara.

Ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini, Lahirul berkata pihaknya juga dalam rangka untuk menziarahi penduduk di pusat sementara itu dan menghulurkan bantuan.

"Kami juga bercadang akan ke sana. Buat masa sekarang, kami sedang mendapatkan info berkaitan keperluan yang mereka perlukan lagi, selain bantuan yang sudah mereka terima sebelum ini," tegas beliau.

Bagaimanapun, kata Lahirul, beberapa pimpinan PAS Lahad Datu sudahpun mula turun menziarahi dan menghulurkan bantuan kepada mereka.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada tabung berkenaan memandangkan krisis tersebut masih berlanjutan.

Kepada sesiapa yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Dewan Pemuda PAS Sabah, di nombor akaun 560232000360.
Adun Lendu meninggal dunia
NORIZZAH BAHARUIN dan SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
10 Mac 2013
Idderis Kassim
Datuk Idderis Kassim
[DIKEMAS KINI] ALOR GAJAH - Adun Lendu, Datuk Idderis Kassim, 66, meninggal dunia akibat barah usus di Hospital Putra di sini, petang tadi.
 
Idderis yang juga Timbalan Speaker Dun Negeri Melaka disahkan meninggal dunia pada jam 6.50 petang dengan semua ahli keluarga berada di sisi beliau.
 
Menurut anak sulung Allahyarham, Zamran, arwah yang menghidap barah sejak tahun 2011 dimasukkan ke hospital pada 19 Februari lalu selepas keadaan kesihatannya merosot.
 
“Tekanan darah mulai rendah kira-kira jam 4.30 petang dan pada jam 6.40 kami melihat dia tidak lagi bernafas sebelum memaklumkan doktor lalu mengesahkan arwah sudah meninggal dunia pada jam 6.50 petang.
 
“Arwah meninggal dengan mudah dan kami tidak jangka. Semua ahli keluarga ada termasuk adik-beradik arwah,” katanya.
 
Sementara itu anak ketiga Allahyarham, Zulkarnain berkata, kali terakhir dia bertemu arwah kira-kira jam 3.30 petang tadi.
 
“Sebelum pulang, saya minta izin arwah untuk mengadakan bacaan Yasin untuknya yang dirancang selepas solat Isyak dan ayah memberi isyarat setuju dengan kerlipan mata,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Rohani Yunus, 60, serta dua anak, Zamran, 38, dan Zulkarnain, 35, dan empat cucu.
 
Turut mengiringi jenazah Allahyarham ke rumahnya di Kampung Ayer Limau ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam serta pemimpin kenamaan lain.
 
Allahyarham telah melibatkan diri dengan politik sejak 1970-an dengan memegang pelbagai jawatan di peringkat cawangan, bahagian dan negeri.
 
Beliau yang juga seorang penceramah aktif berdakwah di surau dan masjid sekitar Melaka akan dikebumikan jam 11 pagi esok di Ayer Limau, Masjid Tanah.
 
Pada pilihan raya umum ke-12 8 Mac 2008, Allahyarham Idderis yang mewakili Barisan Nasional menewaskan calon Pas, Mohd Amir Yaakub dengan majoriti 1,633 undi.
 
Sementara itu, Mohd Ali melahirkan rasa dukacita dan menyifatkan pemergian Idderis menghadap Ilahi sebagai satu kehilangan besar kepada kerajaan negeri dan rakyat Melaka.
 
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Allahyarham cukup komited dan berdedikasi ketika hayatnya dalam menjalankan tugas sebagai Adun dan Timbalan
Speaker.
 
"Allahyarham amat disenangi rakyat di kawasannya, marilah kita sama-sama berdoa agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman,"
katanya dipetik Bernama.
Menanti 'berita baik' PM hari ini, elaun rumah dan Cola naik?
G MANIMARAN
11 Mac 2013
kakitangan awam
Kakitangan awam menghadiri satu majlis di Kota Bharu baru-baru ini. Hari ini kakitangan awam menanti 'berita baik' daripada perdana menteri. - Foto hiasan Sinar Harian
[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja sektor awam meletakkan harapan tinggi agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan 'berita baik' menjelang tengah hari ini - antara dua hingga lima perkara penting termasuk imbuhan tetap perumahan dan kajian semula isu gaji maksimum.
Beberapa pemimpin Cuepacs yang dihubungi yakin sekurang-kurangnya akan ada dua pengumuman penting iaitu yang berkenaan dengan imbuhan tetap perumahan bulanan 1.4 juta kakitangan dan gaji maksimum yang menyentuh kepentingan sekitar 20,000 penjawat awam.
"Seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara sebelum ini, kami yakin akan ada berita baik berkenaan dua perkara ini, kalaupun tidak kesemua lima perkara," kata pemimpin kanan Cuepacs.
Bagaimanapun kata pemimpin itu, "saya tidak melihat akan ada pengumuman mengenai kenaikan gaji, sebab kenaikan gaji telah dibuat tahun lalu."
Oleh itu katanya, "berita baik lebih kepada soal kajian semula elaun seperti imbuhan perumahan dan elaun sara hidup (Cola)."
Najib dijadual hadir Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MAPPA XIII) di Putrajaya hari ini.
Seorang lagi pemimpin kanan Cuepacs yang tidak mahu namanya dipetik berkata, kajian semula kaedah gaji maksimum dilihat antara perkara penting akan diumumkan oleh perdana menteri.
"Perkara ini menjadi penantian ramai khususnya sekitar 20,000 kakitangan awam... kemungkinan pelaksanaan dikuatkuasakan mulai 1 Januari.
"Walaupun kesan pelaksanaan melibatkan 20,000 orang pada masa sekarang, tetapi dalam jangka panjang ia akan melibatkan kepentingan keseluruhan kakitangan awam," katanya.
Pemimpin itu juga tidak menolak kemungkinan Najib akan mengumumkan hasil kajian awal Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam, yang ditubuhkan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara.
"Kemungkinan beberapa baik dalam sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) (yang telah dibatalkan), seperti penyusunan semula gred akan diumumkan untuk pelaksanaan. Perkara baik dalam SBPA tak salah dikekalkan dan dilaksanakan," katanya.
Suruhanjaya itu yang dibentuk Mac 2012 dan bergerak sejak Jun lalu diberi masa enam bulan untuk membuat kajian.
Penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji transformasi perkhidmatan awam ini, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.
Ia dibentuk susulan pembatalan pelaksanaan SBPA dan kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.
Pada 1 Mac lalu, Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, kertas kajian mengenai perubahan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum telah dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Gaji.
Beliau berkata, kajian itu dilakukan oleh pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berikutan perkara tersebut merupakan antara masalah yang dihadapi dalam perkhidmatan awam negara ini.
Ketua Setiausaha Negara berkata, masalah gaji sudah capai had maksimum atau statik dalam kalangan penjawat awam perlu perubahan selari dengan perkembangan semasa yang menyebabkan kenaikan kos hidup dan inflasi di negara ini pada kadar satu setengah peratus yang turut dihadapi penjawat awam.
Ali berkata, pada Sesi Amanat Perdana Menteri kepada Perkhidmatan Awam, hari ini, perdana menteri dijangka mengumumkan berita gembira kepada 1.4 juta penjawat awam.
"Kita tunggu sahaja perdana menteri membuat pengumuman tidak lama lagi dan kalau ada insentif, kita sama-sama tunggu.
"Tahun ini amat penting kerana kita perlu lihat kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam," katanya.
Katanya, untuk faedah jangka panjang, pihaknya kini meneliti mengenai 86 jenis elaun penjawat awam disebabkan ada antara elaun itu sudah lama belum dikaji semula seperti elaun perumahan.
Pemimpin-pemimpin Cuepacs juga menjangkakan pengumuman menarik mengambil kira pemberian insentif kepada kakitangan Kastam Diraja Malaysia, yang diumumkan akhir Januari lalu.
Warga agensi itu akan menerima insentif setengah bulan gaji sebagai penghargaan kerajaan kerana berjaya mengutip RM32.318 bilion tahun lepas, iaitu peningkatan 6.5 peratus berbanding 2011.
"Keseluruhan nampak ada kelainan kali ini. Jadi, kakitangan agensi lain juga mengharapkan sesuatu... kajian semula elaun ini antara yang penting," katanya.
Cuepacs memohon agar kerajaan menyeragamkan kadar Cola tidak kira zon. Begitu juga imbuhan tetap perumahan yang dilihat rendah mengambil kira kos hidup dan kadar sewa rumah yang semakin meningkat.
2 termasuk remaja mati terkena tembakan pasukan keselamatan

10 Mac 2013
Sabah diceroboh
Sabah diceroboh
LAHAD DATU -  Seorang remaja lelaki maut dan seorang lelaki cedera di kaki setelah terkena tembakan pasukan keselamatan dalam operasi memburu penceroboh di Kampung Sungai Bilis dekat sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kejadian pada 9.45 pagi itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang melakukan pemeriksaan ke atas lima individu yang berada dalam Zon Merah berhampiran Kampung Tanjung Batu.
"Ketika pasukan keselamatan sedang bergerak menjejak pengganas di kawasan sasaran di Kampung Sungai Bilis, muncul dua lelaki dan tiga wanita dewasa dari kawasan belukar berhampiran.

"Mereka segera ditangkap dan ketika sedang diperiksa kedengaran bunyi pergerakan dari kawasan belukar berdekatan di mana pasukan keselamatan secara spontan telah melepaskan tembakan ke arah belukar itu," katanya pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di markas Op Daulat Felda Sahabat 16 di sini.

Beliau berkata, pemeriksaan segera yang dilakukan mendapati remaja lelaki itu yang dipercayai berusia antara 12 dan 15 tahun, terbunuh manakala seorang lelaki 30-an, cedera di kaki.

Ismail berkata, susulan itu, pasukan perubatan dikerah ke tempat kejadian untuk memberi bantuan kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

Katanya, kesemua mereka, termasuk yang cedera dan terbunuh, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri manakala tiga wanita dan dua lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan lain, Ismail mengesahkan enam individu ditahan di Semporna hari ini mengikut Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) kerana disyaki mempunyai kaitan dengan militan penceroboh.

Beliau berkata, dua daripadanya ditahan di Kampung Perigi Simunul pada 6.30 pagi dan selebihnya di Batu 1.5 Jalan Tawau-Semporna kira-kira dua jam selepas itu.
Ismail berkata, sehingga kini seramai 96 orang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh, manakala 66 orang lagi ditahan kerana memasuki zon larangan dalam kawasan Op Daulat. - Bernama
Remaja ditembak mati dalam operasi dekat Tg Batu
 
Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar berkata seorang remaja ditembak mati ketika pasukan keselamatan sedang mengesan penceroboh berhampiran zon merah.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang mengesan kumpulan pengganas pada kira-kira jam 9.45 pagi ini di Kampung Sungai Bilis.

Tiga lelaki dewasa dan dua wanita dewasa secara tiba-tiba muncul dari kawasan semak dan pasukan keselamatan dengan serta menahan dan memeriksa kumpulan tersebut.

Ketika pemeriksaan dibuat, pasukan keselamatan mendengar bunyi dari kawasan semak dan secara spontan melepaskan tembakan ke arah berkenaan, katanya dalam sidang media di Felda Sahabat Residence, Lahad Datu petang ini.

Pemeriksaan selepas itu mendapati, tembakan itu mengenai dua individu.

Seorang remaja dianggarkan berusia antara 12 hingga 15 tahun ditembak mati manakan seorang lelaki dipercayai berusia dalam 30-an cedera di kaki.

Ismail berkata polis masih berusaha untuk memastikan identiti individu terbabit termasuk lima yang ditahan.

"Mereka tidak memiliki apa-apa dokumen jadi kita menyiasat dari mana mereka datang dan apa yang mereka buat di sana," katanya.

Kampung Sungai Bilis merupakan satu kampung yang terletak dekat Tanjung Batu.

Kesemua tujuh individu berkenaan, termasuk yang maut dan cedera dikeluarkan dari lokasi berkenaan oleh satu pasukan medik dengan kenderaan berperisai, katanya.

Kesemua yang ditahan tidak memiliki sebarang senjata, katanya.

Jumlah berkenaan menjadikan seramai 62 orang terbunuh sejak krisis itu bermula pada 12 Februari lalu – 53 di pihak penceroboh, lapan pegawai polis dan kini seorang remaja yang masih belum dikenalpasti.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata polis turut menahan tiga orang di Kampung Perigi, Semporna pada pagi ini dan dua lagi di satu kawasan lapang di jalan menghubungkan Semporna dan Tawau.

Ismail berkata penahanan berkenaan berhubung kait dengan siasatan kejadian di Kampung Simunul, Semporna yang mengorbankan enam orang pegawai polis.
Dua polis cedera dalam pertempuran malam tadi
 
Dua orang anggota pasukan keselamatan Malaysia cedera akibat tembakan dalam pertempuran dengan penceroboh Sulu pada jam 8 malam tadi – yang berlarutan selama lapan jam.
Ketua polis Sabah Datuk Hamza Taib dalam satu sidang media hari ini berkata seorang anggota berkenaan cedera di betis dan seorang lagi di paha.

Anggota berkenaan dihatar ke Hospital Sandakan selepas menerima rawatan di lapangan oleh medik tentera, katanya.

Kedua-dua anggota berkenaan, dari pasukan gerakan am, berusia 25 tahun dari Miri.
Susulan Sabah diceroboh: 'Kejam, tidak berperikemanusiaan'
MOHD FAZLI ZAINUL ABIDIN & NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
11 Mac 2013
Kejam, tidak berperikemanusiaan
Ramlee menunjukkan laluan yang digunakan polis sebelum kejadian serangan hendap.
SEMPORNA - Kejam dan tidak berperikemanusiaan!

Itulah perkataan yang kami luahkan ketika meninjau lokasi yang mengorbankan enam wira negara di perkampungan air, Lorong 5, Kampung Simunul di sini, semalam.

Seminggu selepas kejadian, kesan darah, otak bersepai dan bekas tembakan masih jelas kelihatan umpama baru berlaku dalam tempoh 24 jam.

Kami mula masuk ke kampung terbabit, kira-kira jam 2 petang, ditemani Ketua Kampung, Ramlee Saraman, 56, dengan perasaan yang bercampur baur.

Kami melalui titi kayu usang sejauh 200 meter menuju ke lokasi serangan hendap kumpulan penceroboh bersenjata Sulu. Tidak dapat kami bayangkan suasana getir anggota polis ketika itu apabila diserang hendap oleh militan Sulu dari belakang.

Awalnya, kami menyusuri titi yang memuatkan seorang individu dan kami dapat membayangkan bagaimana keadaan sepasukan polis bergerak secara berkumpulan ditambah dalam keadaan gelap sebelum serangan hendap, kira-kira jam 7 malam.

Ramlee berkata, ketika dia berada di dalam pejabat ketua kampung dan mendengar bunyi tembakan berterusan dalam tempoh 30 minit.

Di persimpangan titi masih kelihatan kesan titisan darah wira negara, yang membawa maksud mereka lari menyelamatkan diri dan cuba berselindung daripada tembakan militan itu.
Kemudiannya kami melihat dua kesan tembakan, mungkin dilepaskan oleh penceroboh dari arah depan dan belakang.

Melalui penerangan daripada Ramlee, penceroboh menyerang dari rumah di hadapan dan belakang ketika wira negara melalui titi tersebut.

Timbul persoalan, adakah polis diperangkap? Selepas serangan itu, melalui kesan tompokan darah, ada wira negara melarikan diri masuk ke rumah penduduk.

Dari situ mereka membuat tindakan pantas membuat serangan balas terhadap penceroboh. Kami juga ditunjukkan sebuah rumah, iaitu lokasi penemuan mayat Superintendan Ibrahim Lebar. Di situ kami sedekahkan surah Al-Fatihah kepada wira negara yang terkorban.

Tambah menyedihkan ketika Ramlee membawa kami ke sebuah rumah yang menyebabkan kami tidak mampu mengungkapkan sebarang perkataan lagi.

Di situ kami temui lencana polis yang tercabut dari uniform umpama gugurnya wira negara di medan perang. Berhampiran lencana itu ada kesan darah mengalir dan cebisan otak perajurit negara.

Kami difahamkan Ramlee, di situ tempat seorang anggota polis dibunuh kejam, namun kami tidak dapat memberitahu bentuk kekejaman tersebut bagi menghormati keluarga mangsa.

Lokasi tersebut ditinggalkan dengan pertanyaan, apakah penceroboh tidak mempunyai sedikit sifat perikemanusiaan walaupun terhadap mayat yang telah berjaya ditembak mereka?

Kami seterusnya menyusuri laluan yang juga mempunyai kesan darah. Tidak dapat dipastikan adakah itu darah wira kita atau  penceroboh. Ada juga kesan darah pada bekas makanan berhampiran lokasi yang membunuh seorang penceroboh.

Mayat itu ditemui terapung di air dan Ramlee memberitahu, dia dan penduduk kampung terpaksa menguruskan mayat tersebut kerana tidak tahan bau busuk selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Selain Ibrahim, wira negara yang terkorban adalah Deputi Superintendan Micheal Padel, Sarjan Mejar Baharin Hamit, Sarjan Mejar Abd Azis Sarikon, Sarjan Salam Togiran dan Koperal Azrul Tukiran.

Selepas hampir sejam di lokasi serangan tersebut, kami terpaksa meninggalkan kawasan itu atas nasihat Ramlee.

Dia menjelaskan keluarga suspek yang ditahan dilihat tidak senang dengan kehadiran kami.

Bimbang akan keselamatan dan atas nasihat yang diberikan, kami meninggalkan lokasi itu dengan segera.

Biarpun hanya meluangkan sedikit masa di situ, kami dapat membayangkan perit getir yang dilalui oleh pejuang negara dalam memartabatkan kedaulatan tanah air.

Tiada ulasan: