Isnin, 28 November 2011

TUTUPLAH KALAU BOLEH TUTUP....JIKA ALLAH KATA 'BUKA'..MAKA TERIMALAH HUKUMAN ALLAH...

Hijrah membentuk negara Islam | Print |
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Perutusan Hijratur-Rasul Al-Mursyidul Am PAS Sempena Tahun 1433 Hijrah

بسم الله الرحمن الرحيم

وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

– Surah al-Nisa’ ayat 100

Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dan kesykuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana taufik dan inayahNya, kita masih diberikan peluang untuk terus hidup melangkah ke tahun baru 1433 Hijrah pada saat ini. Semoga dengan pertambahan umur yang dikurniakan oleh Allah SWT ini memberikan kita ruang untuk terus menambahkan ibadat dan memperkasakan perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah SWT.

Sesungguhnya, menyambut ulang tahun Hijratur-Rasul ini bukanlah satu perayaan suka-suka. Ia bukanlah satu sambutan tahunan semata-mata tanpa sebarang sebab dan juga akan berlalu begitu sahaja untuk menunggu sambutan pada tahun hadapan. Sambutan Hijratur-Rasul ini sebagai menghayati makna dan pengertian peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dan para muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang kemudiannya dikira sebagai tahun pertama Hijrah. Hakikatnya, Hijrah Rasulullah s.a.w tidak berlaku pada awal tahun dan tidak berlaku pada bulan Muharram. Sebaliknya, Rasulullah s.a.w mula keluar dari kota Mekkah pada akhir bulan Safar, bulan yang kedua dalam kalendar Islam. Baginda keluar dari Mekkah bersama-sama dengan sahabat baginda yang paling setia Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a setelah mendapat perintah dari Allah s.w.t agar bersama-sama dengan umat Islam di kota Madinah. Rasulullah s.a.w tiba di kota Madinah dan mula menetap di sana pada hari Jumaat, 12 Rabiul Awal. Sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar Islam sewaktu proses penetapan kalendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA. Kenapakah Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada’? Jawabnya ialah kerana peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Momentum tersebut ialah pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah secara rahsia kepada era dakwah secara bernegara.

Pembentukan negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi berlakunya hijrah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, amatlah salah sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara. Sebagaimana umat Islam diwajibkan untuk mengerjakan solat lima kali sehari, berpuasa selama sebulan dalam satu tahun dan mengerjakan haji sekali sepanjang hidup, demikianlah juga diperintahkan agar bernegara dan melaksanakan undang-undang menurut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Kita tidak rela jika pembangunan fizikal pesat berlaku namun dalam masa yang sama kita menyaksikan runtuhnya nilai-nilai agama dan jauhnya manusia daripada Allah SWT. Alangkah ruginya hidup manusia jika hanya mendapat kemegahan, kemewahan dan kekayaan di dunia semata-mata namun di akhirat dilemparkan Allah SWT ke tempat yang buruk iaitu neraka hanya kerana enggan tunduk patuh kepada Allah SWT. Justeru, PAS mendidik rakyat agar kenal batasan iman dan kufur, batasan syurga dan neraka serta batasan pahala dan dosa, agar tidak berlaku penolakan terhadap mana-mana perintah Allah SWT. Ini kerana iman sifatnya ialah syumul. Menolak satu cabang iman bererti menolak keseluruhan iman itu sendiri.

Dari aspek yang lain, hijrah juga mengajar umat Islam agar berstrategi dalam apa jua langkah dan gerak kerja. Bagaimana kita melihat Rasulullah SAW mengatur strategi yang cukup teratur di dalam berhijrah, demikianlah juga wajib untuk kita mengatur strategi dan mempunyai perancangan yang tersusun di dalam memastikan gerak kerja yang dilakukan berkesan dan berjaya. Strategi Rasulullah SAW dapat dilihat apabila baginda datang ke rumah Saidina Abu Bakr as-Siddiq pada waktu siang hari iaitu waktu yang tidak akan dijangka dipilih untuk keluar dari Mekah. Baginda juga mengupah Abdullah bin Uraiqit yang masih musyrik menunjukkan jalan dan ini mengajar bagaimana harusnya bekerjasama dengan non muslim dalam urusan yang boleh mendatangkan faedah kepada Islam. Baginda juga memilih untuk berlindung di dalam Gua Thur yang bukannya terletak di pertengahan jalan menuju ke Madinah dengan tujuan untuk mengelirukan kaum musyrikin. Nyata sekali semua strategi yang diatur oleh baginda Rasulullah SAW ini berjaya mengeluarkan baginda dari kota Makkah dan menuju ke Madinah dengan selamat. Justeru, apabila kita menyambut peristiwa Hijratur Rasul pada hari ini, kita sebenarnya menyambut peristiwa fatonah atau kecerdikan baginda.

Pada zaman kita hari ini, pengurusan hidup hendaklah bersendikan fatonah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Fatonah ini pula hendaklah disertakan dengan amanah. Fatonah tanpa amanah akan melahirkan generasi yang punah iaitu generasi yang cerdik tetapi jauh dari Allah SWT. Hari ini, kita melihat setiap hari didedahkan pelbagai skandal dalam pengurusan wang samada di peringkat pemimpin maupun di peringkat pegawai. Laporan demi laporan audit yang dibentangkan menyaksikan pelbagai ketirisan yang berlaku sehingga mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit wang rakyat. Ketirisan ini jika diselamatkan nyata sekali dapat memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat jelata. Kenapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan kita mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan rasuah dan penyelewengan? Tidak lain melainkan hanyalah kerana manusia tidak mampu dikawal oleh undang-undang manusia. Yang mampu memagari manusia dari melakukan perbuatan khianat hanyalah taqwanya kepada Allah SWT. Inilah misi PAS di dalam gerak kerja politik. Kita berjuang melalui pilihanraya untuk mendapatkan kuasa dan untuk membangunkan roh dan jiwa rakyat agar sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT. Di Kelantan, kita menguatkuasakan larangan pembukaan premis judi, larangan penjualan arak secara terbuka, memindahkan wang kerajaan ke perbankan Islam serta memperbanyakkan skim-skim kebajikan seperti takaful kifalah, skim armalah, skim al-it’am dan sebagainya semuanya bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada rakyat dari sudut duniawi dan ukhrawi.

Hijrah juga mengajar kita menjadi optimis dalam perjuangan. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjanjikan kepada Suraqah bin Malik untuk dipakaikan dengan alat kebesaran raja Parsi sedangkan baginda sedang di dalam perjalanan menuju ke Madinah. Janji tersebut nyata sekali menjadi kenyataan selepas kewafatan baginda iaitu pada saat kejatuhan kerajaan Parsi pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab RA. Oleh yang demikian, pada saat dunia kelam pekat diselubungi gelap sekular, yakinlah, jahiliyyah pasti akan tumbang, dan Islam pasti akan tertegak juga di bumi Allah SWT ini.

Insya-allah, fajar semakin menyinsing. Malam pasti berakhir. Kebangkitan yang berlaku di seluruh dunia lambat laun akan tiba juga di negara kita yang tercinta. Semoga keamanan terus dikekalkan dan semoga Islam dapat didaulatkan. Selamat berhijrah dan selamat berubah.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,

Al-Mursyidul Am

Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Bertarikh: 28 Zulhijjah 1433H bersamaan 24 November 1433H




Umno ambil mudah tutup skandal besar
| Print |
Tuan Ibrahim Tuan Man
Untuk menutup skandal besar yang tidak terjawabnya saban hari, Umno kini mengambil langkah mudah bersifat murahan untuk menipu rakyat bahawa mereka sedang bertransformasi dan juga giat memberikan gula-gula politik menjelang pilihanraya.

Selepas kegagalannya meningkatkan pendapatan kebanyakan rakyat jelata, kerajaan Umno-BN mengambil langkah mudah untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menubuhkan Kedai Rakyat 1Malaysia, kini muncul pula terbaru Kedai Ikan Satu Malaysia yang menjanjikan pelbagai jenis ikan dengan harga yang murah.

Umno turut mengambil langkah mudah dalam membendung kemarahan rakyat menuntut hak kebebasan berhimpun dengan percubaan membodohkan rakyat bahawa mereka sedang berubah dengan mengemukakan Rang Undang-Undang Perhimpunan Awam 2011, yang hanya harum namanya, tetapi lebih kejam daripada akta sebelumnya.

Setelah melihat kemarahan para mahasiswa yang kian meningkat terutamanya setelah nasib yang melanda professor Aziz Bari dan keputusan mahkamah rayuan terhadap 4 pelajar UKM, kerajaan Umno dilihat sekali lagi mengambil langkah mudah untuk meredakan keadaan dengan mengumumkan pemindaan terhadap Seksyen 15 AUKU untuk membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik, tapi pada masa yang sama tetap merayu keputusan mahkamah rayuan yang mengistiharkan seksyen 15 AUKU tidak sah dari segi perlembagaan.

Semua langkah mudah yang diambil oleh kerajaan Umno telah memberikan signal jelas kepada rakyat bahawa para pemimpin Umno sememangnya tidak ikhlas, tidak ingin berubah, dan malah sedang bertransformasi ke arah lebih teruk kerana tidak berfikir panjang sebelum mengemukakan sesuatu.

Segala langkah mudah yang diambil Umno bermotifkan keuntungan politik pendek semata-mata, dan hanyalah taktik murahan untuk mendapat undi rakyat dalam PRU13 yang semakin mendekat.

Kecelaruan dan kenaifan pemikiran pemimpin Umno dalam mengambil langkah mudah ini turut membuktikan kebimbangan mereka dengan perubahan kesedaran politik rakyat kini.


Skandal National Feedlot Corporation dan RUU Perhimpunan Awam 2011 telah menyedarkan rakyat bahawa sudah tiba masanya untuk mengiatkan kempen ‘Asal Bukan Umno’ demi menyelamatkan negara.

Katakan ‘Cukup’ pada pembohongan Umno dan tunjukkan kepada para pemimpin Umno yang bermuka-muka ini bahawa rakyat Malaysia tidak sebodoh dan semurah yang mereka tanggapkan.

Kini rakyat hanya mempunyai satu jalan keluar untuk mendapatkan transformasi yang diharapkan untuk negara iaitu menunjukkan menunjukkan jalan keluar bagi Umno dalam PRU akan datang, insyaAllah.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
26 November 2011

RUU Perhimpunan Aman: Satu lagi akta drakonian
Juham
Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia mengecam dan membantah usul Kerajaan untuk memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman 2011.

JUHAM berpandangan bahawa akta tersebut hanya seperti menanam tebu di tepi bibir, manis di mulut tetapi hakikatnya membawa bencana dan malapetaka besar kepada hak-hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Akta itu mempunyai nama yang menarik tetapi hakikatnya lebih teruk daripada kawalan sedia ada yang dikenakan di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Akta ini jelas mengongkong kebebasan rakyat untuk berhimpun dengan sekatan dan syarat-syarat yang amat zalim, tidak munasabah dan tidak pernah difikirkan oleh rakyat yang waras. Tujuannya bukanlah untuk mememudahkan sesuatu perhimpunan itu dibuat tetapi sebenarnya ialah untuk menghalang terus himpunan dari diadakan.

Jika di bawah Akta Polis 1967, sekurang-kurangnya hanya perhimpunan di tempat awam yang dikenakan permit, tetapi di bawah akta baru ini mensyaratkan bahawa semua perhimpunan walaupun di premis persendirian atau disewa perlu diberi notis makluman awal kepada polis iaitu 30 hari sebelum tarikh himpunan yang dicadangkan itu hendak dibuat.

Seksyen 9(5) Akta tersebut membenarkan polis mendenda penganjur sehingga RM10,000 sekiranya tiada notis awal diserahkan kepada polis sebelum perhimpunan tersebut diadakan.

Peruntukan ini amatlah tidak munasabah kerana kebanyakan himpunan aman rakyat adalah berkaitan dengan isu-isu semasa yang berlaku dan memerlukan tindakan yang segera.

Inilah prinsip demokrasi dan hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, tetapi malangnya hak-hak yang masih berbaki sedikit inipun cuba dihapuskan sepenuhnya oleh kerajaan Umno Barisan Nasional.

Inikah transformasi yang dibangga-banggakan oleh Perdana Menteri atau transformasi yang dibuat hanya untuk mengubah Negara menjadi Negara diktator dan kuku besi?

Akta baru juga melarang individu di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun secara aman. Ini tentulah merujuk secara khusus kepada para mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi negara.

Apalah malang nasib para siswa-siswi di negara ini, sudahlah dikongkong teruk oleh Auku, sekarang akta drakonian yang baru diperkenalkan ini pula meragut terus hak-hak asasi mereka untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat secara aman. Kerajaan benar-benar memperlekeh dan memperbodohkan terus keintelektualan para mahasiswa dan mahasiswi kita.

Seksyen 21(3) pula membenarkan polis mendenda pihak yang ditangkap sehingga RM20,000, jumlah yang sangat tidak munasabah berbanding RM2,000 sekarang sedangkan kesalahan berhimpun bukanlah merupakan satu kesalahan jenayah yang serius. Banyak lagi peruntukan lain yang tidak munasabah dimasukkan di dalam akta baru ini.

Kelemahan yang ada ini disebabkan sikap ego kerajaan yang enggan mendengar pendapat ramai supaya segala undang-undang baru yang berkaitan hak-hak asasi rakyat patut dirunding secara konsultasi bersama.

Oleh itu, JUHAM menggesa agar kerajaan menarik balik akta ini dengan segera dan berunding dengan rakyat terlebih dahulu sebelum memperkenalkan apa-apa undang-undang yang zalim seperti ini dan menyekat kebebasan rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI

Pengarah,

Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (JUHAM)

Dewan Pemuda PAS Malaysia


Kelantan bukan republik

Idris Ahmad
Isu air di Kelantan, seolah-olah Kelantan bukan sebuah negeri yang terdapat di Malaysia. Pada hal Kelantan masih lagi di dalam peta Malaysia. Ia bukan sebuah negeri yang terpisah daripada Malaysia atau sebuah republik. Malahan banyak hasil yang kerajaan pungut di bumi Kelantan tetapi di bawa kepada kerajaan pusat.

Contohnya bayaran pasport antarabangsa, setem, cukai kastam, cukai pendapatan, saman trafik yang dipungut daripada bumi Kelantan. Nampaknya otak pemimpin BN hanya pandai ambil tetapi tidak pandai memberi. Ketika hendak ambil hasil mereka teringat Kelantan, ketika hendak memberi mereka lupa Kelantan.

Malah selama 13 tahun Kelantan diketepikan dari mendapat sebarang peruntukan atau pinjaman bagi meningkat bekalan air. Hanya pada pada 2011 pinjaman mudah di bawah RMK8 sebanyak RM36 juta baru diberi kepada Kelantan dengan kontraktor dan kerja-kerja pembinaan dilantik dan dilaksanakan kerajaan pusat.

Kenapa perlu ugut rakyat, jika BN menang masalah air di Kelantan selesai? Kenapa tidak dibantu sekarang? Hormatlah keputusan rakyat Kelantan yang telah memilih PAS. Apakah Umno sudah kehabisan modal pilihanraya di Kelantan, hanya modal air sahaja yang ada? Pada hal di negeri yang BN perintah masalah air masih tidak selesai seperti d Sarawak dan Sabah.

Pemimpin Umno Kelantan khususnya cemburu melihat pencapaian kerajaan Kelantan sama ada dari segi pembangunan dunia dan agama. Ketika negeri BN mengalami masalah untuk mengatasi kemiskinan Kelantan berjaya menurunkan kadar kemiskinan daripada nombor dua pada tahun 1990 kepada nombor enam.

Percayalah jika Umno memerintah Kelantan, maka kadar kemiskinan akan naik balik ke tempat asal, seperti di Terengganu setelah turun nombor empat zaman PAS memerintah kemudian naik kembali di tempat kedua pada tahun 2004.

Walaupun dikekang dengan kewangan, Kelantan tetap menunaikan hutang lapok yang ditinggal oleh kerajaan BN sebanyak RM718 juta. Setakat 2010 telah melunaskan sebanyak RM220 juta, sekarang berbaki hanya RM498 juta. Kelantan tetap menunaikan tanggunjawab kepada rakyat dengan membuat pinjaman RM5 juta bagi membina telaga jejari sebagi alternatif membekal air bersih.

Kenapa pemimpin Umno terlalu busuk hati sehingga sanggup mendera Kelantan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi. Tuan Guru Nik Aziz menjadi Menteri Besar dilantik melalui proses demokrasi, bukan revolusi.

Nampaknya pemimpin Umno hanya boleh menerima demokrasi apabila Umno sahaja yang perlu menang, lain daripada Umno maka keputusan rakyat tidak perlu dihormati.

Pemimpin pusat sudah banyak mencabul demokrasi sejak PAS menang di Kelantan pada tahun 1990. Bermula dengan penubuhan Pegawai Persekutuan, penghulu persekutuan, memberi amaran kepada pegawai persekutuan jangan terlibat dengan program negeri seperti yang pernah diarahkan kepada pegawai pertanian yang bekerja di negeri Pakatan Rakyat, terakhir wang royalti tidak diberi kepada Kelantan.

Sebenarnya ini cara politik zaman batu, yang tidak layak memerintah di zaman langit terbuka. PAS yakin bahawa rakat Kelantan yang berjiwa merdeka tidak rela negeri mereka diperlakukan demikian rupa oleh orang sebangsa dan senegeri dengan mereka yang berada di peringkat pusat, insya Allah mereka akan ajar sikap pemimpin seperti begini di dalam pilihanraya akan datang.



Kecaman Mahathir dan nurani Saifuddin | Print |
Ahmad Lutfi Othman
Wawancara Mingguan Malaysia, Ahad lalu dengan Dr Mahathir Mohamad, mengenai persiapan Umno menjelang PRU13, sempena perhimpunan agung parti itu, bermula 29 Nov ini, dikatakan mencetuskan rasa tidak puas hati ramai pemimpin dan aktivisnya. Mingguan dan Utusan Malaysia nampaknya masih menjadikan bekas Perdana Menteri itu sebagai sumber berita utama berbanding akhbar arus perdana yang lain.

Bercakap kelemahan Umno, seperti lazimnya, Mahathir mengecam dan meletakkan sepenuh kesalahan kepada pengganti beliau, Abdullah Ahmad Badawi: "Umno sudah menjadi rosak teruk apabila Abdullah mengambil alih. Ini kerana beliau mengutamakan keluarganya dan macam-macam lagi pertuduhan rasuah. Lepas itu orang tahu tentang penglibatan menantunya."

Bagaimanapun, Mahathir yang dilihat lebih percaya kepada Muhyiddin Yassin, turut menyindir Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Najib Razak: "Umno memerlukan banyak masa supaya ia boleh diperkuatkan. Tapi beliau pun sibuk dan tidak mempunyai masa yang cukup. Pemimpin-pemimpin Umno yang lain pula belum ada kredibiliti dan masih baru."
(Khabarnya Mahathir tidak senang dengan kegemaran Najib yang kerap melancong keluar negara).

Mahathir terus memperlekeh kemampuan pemimpin Umno, termasuk para menteri dan ketua bahagian, yang disifatkannya gagal menjawab serangan pembangkang khususnya mengenai rasuah dan kronisme. "Di kalangan pemimpin Umno tidak banyak yang berkaliber, tambah lagi mereka dikaitkan dengan rasuah seperti (semasa) bertanding untuk Ahli Majlis Tertinggi," bidasnya.

Ditanya apakah orang Melayu sudah kritikal terhadap Umno, beliau menjawab: "Ini adalah soal impression bahawa Umno dipimpin orang yang korup dan orang yang ada kelayakan tidak dibenarkan masuk dan pegang jawatan. Ini adalah benar, malah kita hendak cari pemimpin dalam Umno sekarang pun susah. Di Selangor begitu ramai orang Melayu tapi hendak cari pemimpin cukup susah ..."

Segera saya teringat buku Reformasi Pembiayaan Politik di Malaysia, terbitan tahun 2010, yang dihasilkan sekumpulan pengkaji Transparency International. Mahathir merupakan salah seorang yang diwawancara. Beliau dipetik sebagai berkata: "Hakikatnya setiap orang yang dilantik ke jawatan Majlis Tertinggi Umno dalam tahun 2009 memang kerana mereka menggunakan wang. Jadi bolehlah anda mengatakan bahawa jawatankuasa pusat Umno sebenarnya terdiri daripada orang yang bersikap rasuah."

Seorang teman mengirim emel kepada saya, mengutip respons Ketua Pembangkang Dun Kelantan, Md Alwi Che Ahmad dalam Facebook. Saya tertarik dengan ungkapan Alwi, di antaranya: "Hari ini Tun M kata macam-macam, Melayu gaduh sama sendiri, pemimpin Umno tiada pelapis ... saya nak tanya Tun M, bukankah di zamannya Umno dan PAS mula gaduh? Dia benci PAS sebab Yusof Rawa pernah kalahkan beliau. Lepas itu dia pecat Musa Hitam, kemudian guna Pak Ghafar, lepas itu suruh Anwar kalahkan Ghafar. Sebelumnya dia benci Tengku Razaleigh, kemudian pecat Anwar ...

Dalam FB, Alwi kelihatan berdebat dengan seorang penyokong Mahathir. Beliau turut merakamkan: "Dulu saya selalu hantar Tun M keluar negara. Cium tangan hormat pemimpin dan orang tua. Tetapi suatu hari di bilik bunga raya, saya tengok Pek Khing letak tangan atas bahu Tun M, Vincent Tan pula salam biasa, saya jadi kaget. Lepas itu saya refused menghantarnya tetapi hati saya memberontak. Aku hormatkan dan muliakan pemimpinku, (tetapi) bangsa lain ....

"Saya cuma minta dia berlaku adil dalam kritikannya .... anak-anaknya tiada yang tidak kaya raya, kapalterbang sendiri pun ada, dia hentam Cina, tapi di sekelilingnya semua Cina berjaya, saya hanya mahu dia berlaku adil!"

Apa pun, saya lebih terkesan dengan gesaan Mahathir agar Umno memberikan tumpuan untuk menarik pengundi Melayu. Bekas Presiden Umno ini tidak pula menunjukkan kebimbangannya dengan trend pengundi bukan Melayu, khususnya komuniti Cina, yang dijangka terus menolak BN dalam PRU13 nanti.

Mahathir seperti mahu menyampaikan mesej bahawa jika berlaku swing undi di kalangan orang Melayu -- walaupun sedikit -- peluang BN untuk mengekalkan penguasaan di Putrajaya terjejas dengan teruk.

Dari sisi lain, bukankah selama ini banyak pihak risau tentang keupayaan PAS untuk mendekati dan meraih sokonganmasyarakat Melayu luar bandar, khususnya di kampung-kampung tradisi dan peneroka Felda? Maknanya, yang perlukhuatir dan berusaha berlipat ganda untuk memenangi minda dan hati orang Melayu adalah PAS, bukannya Umno, 'kan?

II.

Dua hari sebelum berlangsungnya majlis diskusi e-buku, Kalau Saya Mahasiswa, di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak, saya menerima SMS Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang mempelawa untuk turut memeriahkan program berkenaan.

Saya memanjangkan jemputan itu kepada rakan-rakan lain. Bukunya itu telah saya hadam, namun saya percaya sudut pandangannya tentang dunia kampus tetap segar dan mencabar, apatah lagi UIAM merupakan gelanggang paling sesuai membicarakan isu-isu yang membelenggu kebebasan akademik, menjerut suara mahasiswa dan memperbudak golongan cendekiawan.

Keuzuran menghalang saya, diganggu pula dengan deadline Harakah. Final bola sepak Sukan SEA di antara Harimau Muda dengan pasukan Indonesia di malam sama memang mengujakan tetapi saya hanya beminat untuk mengetahui keputusannya. Jantung saya masih tidak selesa untuk menanggung debaran yang memenatkan!

Tanpa mengetahui perkembangan diskusi itu, esoknya, pagi Selasa, saya bertanyakan Saifudin melalui SMS, dengan hasrat untuk turut mengulasnya dalam kolum ini. Tanpa menjelaskan, beliau hanya minta alamat emel saya.

Rupanya saya ketinggalan keretapi. Pada saat-saat akhir, UIAM membatalkan program itu. Saya turut merayau ke akaun Facebook Saifuddin. Beliau menyifatkannya, "ini tribulasi dan asam garam perjuangan". Kepada Malaysiakini, beliau berkata, "inilah kali pertama saya dijemput tapi program dibatalkan."

Waduh, alahai ... dan aneh sekali, di waktu Mahkamah Rayuan cuba memberikan ruang untuk warga kampus melaksanakan hak yang dijamin Perlembagaan, Rektor UIAM -- tentunya selepas mendapat arahan menteri, yakni boss Saifuddin sendiri -- yang mempunyai latar belakang undang-undang yang hebat bertindak senekad itu atas alasan "isu Auku sedang hangat diperkatakan".

Belum pun berlalu episod hitam menimpa Prof Aziz Bari, UIAM seperti ghairah menagih kontroversi baru. Kali ini bukan membabitkan mana-mana tokoh pembangkang, kerana yang dihalangnya adalah seorang timbalan menteri dan Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Saya pernah mengusik Saifuddin; nampaknya beliau seperti keseorangan, atau mungkin hanya didokong Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden MCA, Senator Gan Ping Sieu, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Ketiga-tiga mereka popular dengan aktiviti bola keranjang, YB'sCanJump. Jawabnya, "ada ramai lagi tetapi tidak berani bersuara."

Mengapa Saifuddin digeruni? Meskipun tegas mempertahankan prinsip dan berani menongkah hujah lapuk yang dikemukakan rakan-rakannya dalam BN, termasuk menyanggah daleh kolot pegawai kanan universiti, tutur katanya tetap teratur dan sopan. Dalam satu program TV, Saifuddin membidas tajam pendirian bebal bekas Naib Canselor UiTM, Ibrahim Ali Shah.

Dalam e-bukunya, Saifuddin menegaskan, Auku jelas mengongkong dan mengawal gerakan mahasiswa sehingga menjadikan mereka lesu.

Beliau juga menolak hujah yang mendakwa Auku tidak menyekat gerakan pelajar hanya kerana banyaknya jumlah program yang dijalankan di kampus. Beliau mengkategorikan tiga jenis program mahasiswa, iaitu aktiviti, bakti dan advokasi.

Baginya, program yang sekadar aktiviti kurang berkesan, manakala bakti dianjurkan dalam satu siri atau pakej yang punya matlamat tertentu. Sedangkan advokasi ialah prsoes pembuatan atau mempengaruhi pembuatan keputusan, yang dilakukan menerusi memorandum, perundingan, melobi dan sebagainya.

"Ada aktiviti yang sekadar aktiviti. Ada aktiviti yang bersifat bakti. Ada aktiviti yang bersifat bakti dan advokasi. Manakala ada aktiviti yang bersifat advokasi sahaja, dan ada yang bersifat advokasi dan bakti sekali gus, tetapi jarang terdapat advokasi dan aktiviti sekadar aktiviti.

"Gerakan mahasiswa ditandai oleh sifat atau ciri advokasi," jelas Saifuddin. Dan inilah jenis program yang terpaksa menempuh pelbagai halangan di universiti.

"Ada yang berpendapat Auku 1979 perlu untuk mengawal mahasiswa daripada berpolitik kerana bimbang mahasiswa menentang kerajaan. Soalnya, mengapa tidak ditanya mengapakah kerajaan ditentang oleh mahasiswa?" katanya, dipetik daripada e-buku "Kalau Saya Mahasiswa".

Akta baru hanya gimik jahat Umno BN | Print |
Mohd Rashidi Hassan
RANG Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 dibentangkan di Parlimen 22 November 2011 dengan memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis, kemudian mewujudkan satu akta baru yang lebih melampau, kerana ia jelas bertentangan dengan lunas-lunas demokrasi.

Akta baru, antara lain tidak membenarkan protes jalanan manakala penganjuran perhimpunan awam memerlukan notis 30 hari kecuali peserta berada di kawasan yang ditetapkan oleh Menteri Dalam Negeri.

Menurut akta ini, tidak boleh ada perhimpunan di kawasan 50 meter di lokasi-lokasi larangan seperti sekolah, hospital dan tempat beribadat. Semuanya dibentuk dengan memberi kuasa yang besar kepada polis.

Rang undang-undang itu dijangka dibahaskan minggu depan.

Pakatan Rakyat harus bangkit menentang rang undang-undang ini, yang jelas bertentangan dengan janji perdana menteri untuk memberi lebih kebebasan dalam membuat perhimpunan.

Ia memberi kuasa yang besar kepada polis untuk menahan individu yang menyertai perhimpunan, dengan kuasa itu hanya polis sahaja menentukan sama ada sesuatu perhimpunan itu aman atau tidak.

Pada Seksyen 8 akta tersebut, menyatakan bahawa seseorang pegawai polis boleh mengambil langkah yang difikirkannya perlu untuk memastikan perhimpunan berkenaan dikendalikan dengan teratur.

Malah peruntukan yang lebih menekan dan menyekat rakyat mahu dikuatkuasa Umno-Barisan Nasional, dengan melipatgandakan jumlah denda yang boleh dikenakan kepada peserta dan penganjur terlibat.

Seksyen 9(5) dalam rang undang-undang berkenaan memberi kuasa kepada polis untuk mengenakan denda ke atas penganjur sebanyak RM10,000 sekiranya tidak mengemukakan notis untuk mengadakan perhimpunan kepada polis.

Seksyen 21(3) dalam dokumen sama turut memberi kuasa kepada polis untuk mengenakan denda sehingga RM20,000 berbanding denda sebanyak RM2,000 kepada individu yang ditahan dalam perhimpunan.

Malah, rang undang-undang yang dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat itu turut meluaskan lagi kawasan larangan untuk mengadakan perhimpunan.

Tempat larangan yang dinyatakan dalam rang undang-undang berkenaan mengambil takrif kawasan yang diisytiharkan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Ia membawa maksud jelas bahawa di semua tempat tidak dibenarkan rakyat berhimpun, selama mana kawasan tersebut boleh ditafsirkan dalam kuasa polis sebagai tempat larangan.

Menurut rang undang-undang itu juga, polis mempunyai kuasa untuk menyuraikan perhimpunan sekiranya diadakan di kawasan berkenaan atau dalam lingkungan 50 meter daripada kawasan larangan tersebut.

Inti pati sebenar yang dijelmakan daripada akta ini adalah ketakutan Umno-BN terhadap kebangkitan kuasa rakyat, yang sejak mutakhir ini jelas menolaj mereka.

Oleh itu, Umno-BN terpaksa merangka undang-undang untuk menghalang demonstrasi, sekali gus menghalang rakyat berhimpun secara aman.

Umno-BN cuba membuat gimik dengan membuang Seksyen 27 Akta Polis yang mewajibkan permit dipohon untuk sesuatu pihak untuk membuat perhimpunan, digantikan dengan sebuah akta baru yang lebih ketat dan zalim.

Tidak lain dan tidak bukan, ianya dirangka hanya salah satu usaha untuk memanjangkan jangka hayat Umno-BN yang sudah sampai ke penghujung.

Kita percaya akta ini tidak akan mampu mengekang kuasa rakyat, malah ia lebih membulatkan tekad rakyat untuk terus bersama Pakatan Rakyat menggantikan BN selaku peneraju Putrajaya pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Tiada ulasan: