Khamis, 17 November 2011

GUNA DAKWAT KEKAL....GUNA...JANGAN BERBELIT2...BERPUSING2 CAKAP...ADA MUSLIHAT ATAU NAK MENIPU..SEKURANG2 TAHU SAPE TAK MENGUNDI...NAK MENGUNDI 2 KALI

BN acuh tak acuh memartabat Bahasa Melayu | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Kerajaan BN dibidas pada persidangan Dewan Rakyat hari ini kerana didakwa seperti bersikap acuh tidak acuh dalam usahanya untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan di tanah air.

Disebabkan keadaan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terpaksa mengambil usaha mengadakan beberapa kempen penggunaan Bahasa Kebangsaan seperti kempen Bulan Bahasa dan Minggu Bahasa, tetapi tetap gagal mencapai matlamatnya.

Ahli Parlimen Sik, Che Uda Che Nik berkata, kejadian tersebut berpunca dari sikap Kerajaan BN sendiri yang hanya mengambil tindakan untuk memantapkan Bahasa Kebangsaan pada ketika tertentu sahaja.

Menurutnya, bagaimanapun tindakan kerajaan untuk memantapkan Bahasa Kebangsaan itu hanyalah untuk sementara waktu sahaja kerana pada ketika lain ia tidak pula diberikan penekanan seperti yang sepatutnya.

Katanya, keadaan tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan negara kita telah mencapai kemerdekaan sejak lebih 53 tahun lalu.

"Bahasa Melayu telah dijadikan Bahasa Kebangsaan sejak tahun 1957, tetapi amat menyedihkan kerana sehingga sekarang Bahasa Kebangsaan kita ternyata belum mantap," katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Keadaan tersebut, menurut beliau, amat jauh berbeza berbanding negara-negara lain apabila bahasa kebangsaan mereka menjadi begitu mantap.

Dalam hubungan ini, beliau turut mempertikaikan tindakan kerajaan apabila menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi subjek Sains dan Matematik (PPSMI) di sekolah-sekolah sejak beberapa tahun lalu.

"Sekarang kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran telah memansuhkan PPSMI dan pemansuhan itu akan dilaksanakan tidak lama lagi. Langkah ini memang kita sokong," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau bimbang jika suatu masa nanti PPSMI akan dilaksanakan semula oleh kerajaan setelah pemansuhannya dilaksanakan tidak lama lagi, terutama apabila berlaku pertukaran Menteri Pelajaran atau Perdana Menteri dalam Kerajaan BN

"Sehingga sekarangpun, benda ini tak jelas. Setelah ditarik balik dah jadi kucar kacir. Nanti jika dilaksanakan semula pasti akan menjadi lebih kucar kacir," katanya.

Sebelum itu, beliau menyuarakan kekesalannya dengan pihak Kementerian Pelajaran kerana gagal memantapkan jati diri di kalangan pelajar.

Selain itu, beliau turut kesal kerana pihak kerajaan turut gagal melahirkan graduan-graduan yang bermutu dalam sesuatu bidang, sehingga menyebabkan mereka terpaksa dilatih semula setelah memasuki alam pekerjaan.

Beliau turut menyarankan pihak kementerian agar membayar elaun khas kenderaan kepada guru-guru yang membawa murid-murid keluar ke destinasi tertentu berhubung aktiviti kokurikulum.

"Guru-guru yang terbabit itu berada dalam DG41. Jika pegawai-pegawai kerajaan lain naik kapal terbang untuk laksanakan tugasnya di luar, guru-guru ini pula hanya naik teksi.

"Jadi tak patutlah jika elaun kepada mereka tidak diberikan untuk bayar teksi," tegasnya.


Mengantuk: Nik Aziz nasihat pemandu berehat | Print |
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 16 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pemandu kenderaan sama ada dalam perjalanan jauh atau sebaliknya ‘berehat’ sekiranya berasa mengantuk.

Katanya, rehat atau tidur penting untuk mereka yang sedang memandu kenderaan bagi mengelakkan kejadian kemalangan jalanraya.

Tegasnya, kerana meneruskan pemanduan ketika mengantuk antara punca utama penyebab berlakunya kemalangan jalanraya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas melawat Penolong Pengurus Latihan PKINK, Mohd Roslan Mohd Zain, 40 yang terlibat dalam kemalangan pada pagi 11 November lalu selepas pulang dari menghadiri program penyerahan poster amanat bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak sehari sebelumnya.

Roslan yang terselamat bersama seorang pemandu Mohd Riduwan Ilias bagaimanapun cedera parah di kepala, manakala Pegawai Khas Datuk Husam Musa, Kamarulzaman Abdullah meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Tuan Guru, kemalangan jalanraya sebahagian besarnya berlaku akibat mengantuk.

“Saya nasihatlah pada semua pemandu berehat atau tidur di tempat yang sesuai sekiranya mengantuk, insya Allah dengan izin Allah kita akan selamat.

“Saya sendiri dulupun dua kali terlibat kemalangan sewaktu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Pengkalan Chepa, semuanya kerana mengantuk,”ujarnya.
Pesuruhjaya PAS Kelantan itu bagaimanapun bersyukur kerana terselamat dalam dua kejadian itu.

Beliau yang diiringi Setiausaha Akhbarnya, Ustaz Mohd Fadzli Shaari, turut menghulurkan sumbangan kepada Roslan.

Turut menyambut kedatangan Tuan Guru pihak hospital Raja Perempuan Zainab ll termasuk Dr Rosli Allani.

Sementara itu, isteri Roslan, Noraisiah Deraman, 40, ketika ditemui mengucapkan terima kasih pada Tuan Guru termasuk Pejabat Menteri Besar.

Beliau yang juga kakitangan Harakah Cawangan Kelantan, berkata semoga dengan kedatangan Tuan Guru termasuk pimpinan yang lain akan memberikan semangat untuk suaminya.

“Saya ucap terima kasih kepada semua yang sudi menziarahi suami saya termasuk yang mendoakan kesejahteraannya, terima kasih semua,” ujarnya.

Noraisiah bagaimanapun memberitahu suaminya masih mengadu sakit akibat kemalangan itu.


Kembalikan Cikgu Maarof ke sekolah asal | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Kementerian Pelajaran didesak supaya mengambil langkah wajar dengan mengembalikan semula Cikgu Maarof Muttalib ke sekolah asalnya yang terletak di kawasan Dun Tenang di Johor.

Desakan itu dibuat atas alasan dakwaan arahan pertukaran Maarof dari sekolah asalnya ke sebuah sekolah kerajaan di Tanjung Pengelih tidak sah, malah penuh kekeliruan dan tanda tanya dari pelbagai pihak.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata, arahan pertukaran ke atas Maarof dikeluarkan oleh pihak bertanggungjawab pada bulan Jun tahun lalu.

Menurutnya, bagaimanapun Cikgu Maarof dikatakan didapati bersalah setelah Jawatankuasa Tata Tertib mengadakan mesyuarat pada bulan September tahun lalu.

Katanya, dengan itu, arahan tersebut ternyata penuh dengan kekeliruan dan tanda tanya kerana ia dibuat sebelum Maarof disahkan bersalah oleh jawatankuasa itu.

"Ternyata arahan pertukaran itu tidak sah. Jadi kita minta supaya pihak Kementerian Pelajaran mengembalikan semula Maarof Muttalib ke sekolah asalnya di Tenang," katanya ketika mencelah sewaktu Ahli Parlimen Sik, Che Uda Che Nik berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Arahan pertukaran ke atas Maarof, menurut beliau, berlaku apabila isterinya (Normala Sudirman) terlibat dalam pilihanraya kecil Dun Tenang mewakili PAS tahun lalu.

Katanya, arahan tersebut ternyata amat merumitkan Maarof memandangkan jarak sekolah asalnya di Tenang ke sekolah barunya di Tanjung Pengelih agak jauh sehingga sekitar 250 kilometer.

"Manakala isteri dan keluarganya tinggal di Tenang," kata mantan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak.

Disebabkan keadaan itu, beliau yakin arahan pertukaran tersebut mempumyai motif tertentu, memandangkan ia dibuat setelah isterinya terbabit dalam pilihanraya," katanya.

Andaian tersebut, tegasnya, diperkuatkan dengan tarikh arahan pertukaran itu dikeluarkan yang jauh mendahului rumusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tata Tertib terbabit.

"Maarof Muttalib diarah tukar bulan Jun, tapi Jawatankuasa Tata Tertib baru bermesyuarat bulan September. Bersalah atau tidaknya Maarof perlu diputuskan oleh Jawatankuasa Tata Tertib, tetapi kenapa Maarof dah ditukarkan sebelum Jawatankuasa Tata Tertib mengesahkannya bersalah?" tegasnya.


Boleh guna dakwat kekal | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memaklumkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini bahawa dakwat kekal boleh digunakan pada pilihan raya umum nanti.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas itu, Datuk Seri Maxmus Ongkili.

Katanya, Peguam Negara memberitahu bahawa cukup sekadar pindaan kepada peraturan pilihan raya tanpa perlu meminda perlembagaan.

Jelasnya kepada media, ia boleh dilakukan melalui dua cara sama ada meminda peraturan ataupun perlembagaan.

Penggunaan dakwat kekal merupakan satu daripada tuntutan Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih).


PKFZ: Apa maksud Nazri 'isu lebih besar' | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Nov: PAS meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mendedahkan pandangan beberapa anggota kabinet berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada 2002.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, ianya berdasarkan keterangan Nazri di mahkamah sebagai saksi ke-20 perbicaraan pendakwaan dalam kes Tun Dr Ling Liong Sik itu.

Nazri seperti dilaporkan media kelmarin memberikan keterangan kepada mahkamah bahawa ramai anggota kabinet termasuk beliau sendiri tidak bersetuju dengan projek PKFZ namun terpaksa bersetuju atas kerana 'bimbang menjadi isu besar'.

Nazri ketika itu merupakan Menteri Pembangunan Usahawan.

"Saya minta Nazri jelaskan kepada media dan masyarakat, apa butiran pandangan anggota kabinet yang tak berstuju dan apa apa yang dimaksudkan Nazri dengan 'isu yang lebih besar' itu," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mempertikai tindakan anggota kabiet ketika itu yang bersetuju dengan cadangan projek PKFZ walaupun tahu ia akan gagal dan membazirkan wag negara.

Tambahnya, tindakan itu menunjukkan anggota kabinet BN tidak berperanan sepenuhnya sebaliknya hanya menjadi "pak turut".

"Tak sewajarnya bila mereka tak bersetuju tapi akhirnya terpaksa bersetuju sedangkan mereka tahu cara pengendalian projek PKFZ itu akan mendatangkan masalah kepada negara.

"Nampak sangat anggota kabinet ini takut dengan kuasa yang ada pada Perdana Menteri dan akhirnya mereka menjadi pak turut, tak berfungsi dalam kabinet, hanya memberikan pandangan untuk tak bersetuju," katanya.

Beliau juga bimbang amalan in masih berterusan dalam kabinet BN.

"Lemahlah anggota kabinet kalau begini caranya. Mungkin amalan ini masih berterusan dalam kerajaan BN," katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar pada sidang media sama berkata perbicaraan skandal PKFZ lebih banyak menimbulkan persoalan berbanding menemui jawapan.

Justeru beliau mencadangkan Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kes tersebut.

"Perbicaraan PKFZ lebih banyak menimbulkan persoalan daripada menjawab. Nazri sebagai ahli kabinet senior sepatutnya memberi maklumat ini kepada PAC misalnya.

"Ia menimbulkan lebih banyak kekeliruan yang patut diselesaikan bukan sahaja di peringkat mahkamah tapi di peringkat Suruhanjaya Diraja kerana melibatkan berbilion wang rakyat," kata beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.


Hayati 'Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali' | Print |
Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 17 Nov: "Sesiapa yang ingin menjadi calon pada pilihan raya nanti perlu menghayati serta meresapi setiap isi kandungan di dalam buku ini, barulah layak untuk memikul tanggungjawab sebagai calon," jelas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menyatakan demikian pada program pelancaran buku hasil tulisan mantan Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berjudul 'Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali' di Shah Alam Convention Centre malam tadi juga memberitahu perjuangan yang ditunjukkan oleh Syed Husin adalah satu perjuangan politik bukannya bersifat peribadi.

"Jelas apa yang ditunjukkan dalam perjuang beliau bukan untuk kepentingan peribadi dan apa yang dilakukan olehnya perjuangan untuk sebuah landasan politik bagi mengembalikan arah politik negara.

"Ingat dalam kita menongkah arus perjuangan sekarang jangan kita lupa apa yang dulu kerana tanpa perjuangan dulu tidak akan yang sekarang," jelasnya.

Anwar berharap setiap pemimpin di dalam Pakatan Rakyat terutamanya PKR boleh meneliti setiap baris isi kandungannya kerana ia dapat memberi kesedaran pada setiap pembaca tentang langkah perjuangan yang sebenar.

Sementara itu Syed Husin menitik beratkan bukan pujian yang diperlukan oleh setiap individu jika ia merasakan dirinya seorang pejuang tetapi satu keikhlasan yang lahir dari jiwa individu tersebut.

"Bila menyebut tentang perjuangan nada yang sama kita akan katakan, saya ingin jelaskan kita mesti menteladani semangat perjuangan yang telah dilakukan oleh pihak sebelum kita.

"Perjuangan sebelum kemerdekaan kemudian timbulnya reformasi sehingga wujud tsunami politik negara pada pilihanraya yang lepas memberi isyarat yang jelas kepada kita bahawa Putrajaya sebenarnya sudah hampir dengan kita, jadi hayati perjuangan semoga impian kita tercapai," kata beliau.

Buku memoir itu merupakan kenangan hidup Syed Husin tentang perjuangan politiknya untuk menegak keadilan, kebajikan dan kebenaran bagi rakyat.

Ia juga menceritakan mengenai penyertaan, kegiatan, pengalaman dan pandangan beliau terutama berhubung beberapa peristiwa politik yang melibatkan rakyat.

Pendidikan, kegiatan akademik serta luar akademik diceritakan kerana sedikit sebanyak mempengaruhi sikap hidup Syed Husin, terutama terhadap bidang politik yang lebih setengah abad diceburinya.

Selain itu juga soal politik juga ditumpukan di dalam memoir itu berpusat kepada catatan-catatan tentang penyertaan dan pengalaman penulis serta sikap, pandangan dan fikirannya terhadap beberapa isu, perkembangan, peristiwa dan kontroversi politik yang berlaku dalam parti dan negara.

Memoir itu memberi latar belakang dan menjelaskan beberapa perkara seperti apa yang berlaku selepas kemenangan parti-parti pembangkang di lima negeri, pembentukan Pakatan, percubaan Umno-Barisan Nasional untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan terutama Selangor, percubaan Anwar yang dianggap gagal berkaitan 16 September dan sebagainya.

Memoir itu mendedahkan banyak juga hal mengenai pertimbangan yang tidak diketahui umum tentang mengapa dan bagaimana sesetengah keputusan politik telah diambil

Turut hadir semasa majlis perlancaran buku itu adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan juga beberapa pemimpin-pemimpin di dalam PKR.

Tiada ulasan: