KUALA LUMPUR, 23 Nov: Jingga 13 hari ini dipanggil untuk membantu siasatan ke atas dua kes berasingan, masing-masing bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman PDRM dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, berikutan isu skandal penyelewengan pembelian kondominium mewah One Menerung dan penyelewengan Lebuhraya Pantai Timur 2, Jabor. “Kedua-duanya akan berlangsung di Bandaraya Shah Alam pada pukul 2 .00 petang,” kata setiausahanya, Saifuddin Shafi Muhammad dalam satu kenyataan. Menruutnya, Jingga 13 telah membuat laporan SPRM untuk menyiasat skandal penyelewengan pembelian kondominium mewah One Menerung pada 10 November 2011 di Bangunan SPRM Selangor, Shah Alam namun sehari selepas itu, pengadu telah dihubungi oleh pegawai penyiasat SPRM mengatakan kes itu telah diserahkan kepada PDRM untuk disiasat kerana tidak berada dalam bidang kuasa SPRM, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan. “Pengadu telah dihubungi oleh Supt. Ravindan dari JSJ Komersial Bukit Aman lewat petang semalam dan memaklumkan untuk merekodkan kenyataan pengadu di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di Shah Alam pada pukul 2.00 petang,” ujarnya lagi. Tambahnya, manakala untuk isu penyelewengan Lebuhraya Pantai Timur 2, Jabor Terengganu, Jingga 13 telah membuat aduan ke SPRM Terengganu pada 17 November 2011 selalu kepada pegawai penyiasat Ahmad Shukri Mustafa namun tiada sebarang kenyataan direkodkan melainkan salinan laporan diambil. Katanya, awal pagi Ahad yang lalu, pengadu telah dihubungi dan menetapkan tarikh 23 November 2011 untuk proses merekod kenyataan, kemungkinan besar di pejabat SPRM Selangor, Shah Alam. “Jingga 13 telah maklum mengenai dua perkara ini dan akan hadir di tempat-tempat yang disebutkan untuk memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa,” katanya. Sehubungan itu, katanya Jingga 13 menjemput rakan-rakan media untuk turut serta dalam proses mengambil keterangan hari ini. Beliau berkata, Jingga 13 akan terus memberikan komitmen terhadap isu-isu rakyat dan tidak akan sesekali mundur dan menyerah.
Aziz Muda | KUALA LUMPUR, 23 Nov: Selain memberikan bantuan kepada ibu-ibu tunggal dan mereka yang memerlukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, disaran turut menyediakan bantuan kebajikan kepada golongan bapa tunggal.
Ahli Parliimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman berkata, saranan tersebut amat perlu diberikan pertimbangan memandangkan kebanyakan bapa tunggal juga mengalami kesempitan dalam hidup.
Menurut beliau, realiti itu terutamanya berlaku bagi bapa-bapa tunggal miskin yang bekerja sebagai penoreh getah dan seumpamanya.
Katanya, disebabkan kemiskinan, sesetengah bapa tunggal ada yang terpaksa membawa anak-anaknya ke kebun getah untuk bersama-sama dengannya ketika hendak menoreh.
"Ini antaranya ada berlaku di kalangan bapa-bapa tunggal di kawasan saya," katanya ketika bangun mencelah pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 peringkat jawatankuasa oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanta, Keluarga dan Masyarakat pada persidangan Dewan Rakyat, petang semalam.
Dalam melaksanakan tanggungjawabnya, menurut beliau, pihak kementerian terbabit tidak seharusnya hanya memberikan perhatian kepada golongan wanita sahaja khususnya berhubung dengan mereka yang bertitle tunggal.
Sebaliknya, perhatian sewajarnya turut diperlukan oleh bapa-bapa tunggal, terutama gollongan miskin, bagi membolehkan mereka meneruskan hidup dengan sempurna, dengan kadar bantuan yang berpatutan dan sesuai dengan keperluan mereka.
Selain itu, beliau turut mengingatkan pihak kementerian terbabit agar tidak terus mengambil tindakan memotong bantuan kebajikan yang telah diberikan kepada para penerima setelah anak-anak mereka besar dan bekerja.
"Anak-anak bila mereka dah besar memanglah bekerja. Tapi tak patutlah bila anak mereka dah bekerja terus dipotong bantuan kebajikan mereka.
"Walaupun anak meteka dah bekerja, bukan semua anak-anak mereka itu mempunyai gaji besar, malah mereka tetap masih memerlukan bantuan kebajikan dari kementerian," katanya.
Beliau juga berharap agar pihak kementerian memberikan pertimbangan kepada golongan kurang upaya (OKU) atau golongan kelainan upaya, memandangkan sesetengah daripada mereka mengalami pelbagai kerumitan dalam hidup, termasuk untuk mendapatkan lesen memandu.
"Begitu juga dengan bantuan kebajikan PDK. Mereka juga perlu diberikan perhatian yang sewajarnya oleh pihak kementerian," ujar beliau.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 22 Nov: Lajnah Undang-Undang Guaman dan PAS Pusat memandang serius tindakan Kerajaan Barisan Nasional membentangkan rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Perhimpunan Aman 2011 yang menggantikan Akta Polis 1967. AJK PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin (gambar) berkata, setelah meneliti beberapa peruntukkan di dalam rang undang-undang tersebut, mana-mana orang yang waras pemikirannya akan dengan mudah memahami ia adalah akta yang bersifat mencegah atau melarang sama sekali sebarang perhimpunan di negara ini. Menurutnya, menamakan rang undang-undang itu dengan Akta Perhimpunan Aman dalam keadaan akta tersebut hakikatnya melarang sama sekali sebarang perhimpunan adalah jelas satu lagi siri penipuan Kerajaan BN Umno dan Datuk Seri Najib ke atas rakyat. Ujarnya, Akta Perhimpunan Aman sepatutnya memudahkan perhimpunan aman bukan menyusahkan perhimpunan aman. Beliau berkata, jika Akta Polis 1967 khususnya seksyen 27 dan 27A sudah bersifat ‘draconian dan zalim, akta yang ingin digubal itu beribu-ribu kali lebih zalim daripada Akta Polis yang ingin diganti. Katanya, hanya kerajaan zalim seperti Umno sahaja berupaya terfikir untuk menggubal akta sezalim itu. “Sebagai peguam dan AJK PAS Pusat, saya akan mengusulkan kepada pihak PAS untuk mencabar rang undang-undang ini di mahkamah supaya ianya tidak akan dimuktamadkan sebagai akta. “Pada hari ini kami peguam PAS akan melancarkan secara rasmi ‘perang’ ke atas akta zalim ini melalui saluran undang-undang yang sedia ada,” tegasnya. Pada masa ini, beliau berpendapat rang undang-undang itu adalah secara jelas unconstitutional kerana ianya bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya, meskipun Perkara 10 membenarkan sebarang akta digubal oleh Parlimen untuk menghadkan perlaksanaan hak berhimpun namun had tersebut tidak boleh sama sekali sampai ke tahap menghapuskan sama sekali hak rakyat kepada perhimpunan aman. Tambahnya, secara jelas akta yang ingin digubal mempunyai motif sebegitu. “Pengalaman saya mengendalikan banyak kes yang melibatkan tuduhan perhimpunan haram khususnya yang melibatkan ahli dan pemimpin PAS menunjukkan bahawa akta ini digubal sebagai manifestasi kekecewaan pihak Kerajaan melalui Peguam Negara yang acap kali tewas di dalam kes-kes yang melibatkan tuduhan perhimpunan haram,” ujarnya. Katanya, amat malang Peguam Negara dan Kerajaan Umno BN tidak menunjukkan sebarang perubahan yang positif di dalam rekodnya yang sedia buruk dalam isu pencerobohan hak asasi khususnya dalam isu perhimpunan aman. Baginya, akta yang ingin diluluskan di Parlimen itu memburukkan lagi wajah buruk Kerajaan BN dan Peguam Negara. “Apa pun percayalah akta ini akan mempercepatkan lagi ajal Kerajaan Umno BN insya Allah,” ujarnya.
Aziz Muda | KUALA LUMPUR, 22 Nov: PAS kesal kerana saranan-saranan baik yang dikeluarkan oleh ahli-ahli Parlimen dan para pemimpin parti itu untuk memperrtingkatkan mutu penyiaran RTM tidak diberikan layanan yang sewajarnya oleh menteri dan timbalan menteri kementerian itu.
Sebaliknya, ketika perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat, timbalan menteri yang mewakili kementerian terbabit lebih berminat menjawab soalan-soalan tambahan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Parlimen Umno BN daripada memberikan respon terhadap soalan asal yang dibangkitkan oleh pihak PAS.
Ahli Parlimen Baling, Taib Azamuddeen Md Taib berkata, pada hal dalam soalan-soalan asal yang dikemukakan oleh beliau dan ahli-ahli Parlimen PAS lain itu penuh dengan saranan dan pandangan-pandangan yang baik untuk dilaksanakan.
Menurut beliau, respons dari pihak Kerajaan BN termasuk timbalan menteri kementerian terbabit bagaimanapun lebih kepada tuduhan terhadap pihak PAS yang kononnya hanya sekadar tahu menyerang pihak kerajaan.
Katanya, tindakan seperti itu tidak seharusnya berlaku kerana sudahlah saranan baik yang diberikan tidak dilayan, dituduh pula pihaknya dengan tuduhan sedemikian.
"Pada hal saya tak pun menyerang pihak kerajaan dan tidak pernah bersikap sedemikian. Sebaliknya, saya hanyalah memberikan saranan dan pandangan. Tetapi timbalan menteri tak jawabpun pertanyaan asal saya," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Ketika bangun mencelah sewaktu Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 peringkat kementerian itu, beliau berkata, sikap seperti itu tidak akan memberikan keuntungan kepada sesiapa.
Sebaliknya, ia akan menyebabkan mutu penyiaran RTM semakin merosot, malah gagal menarik perhatian lebih ramai penonton, apatah lagi dengan laporan-laporannya yang berat sebelah yang penuh dengan kenyataan-kenyataan negatif terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.
Selain itu, beliau turut kesal kerana pihaknya tidak diberikan ruang yang sewajarnya untuk bersuara bagi menyatakan pandangan-pandangan yang baik pada persidangan Dewan Rakyat.
"Sudahlah saranan saya tak dilayan oleh timbalan menteri, ruang untuk bercakap di Parlimen pun tak diberikan. Peluang untuk bercakap hanyalah diberikan kepada ahli-ahli Parlimen dari BN sahaja," tegas beliau.
Pada hal, tambahnya, soalan-sdoalan asal dan pandangan-pandangan yang diberikan oleh pihaknya itu adalah yang relevan untuk diketengahkan.
"Ia sepatutnya diberikan layanan yang baik, bukan seperti yang diberikan ini," ujar beliau kesal.
Rizal Tahir | KOTA BHARU, 22 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru rakyat Kelantan seluruhnya berdoa semoga mereka dilindungi Allah dari segala mala petaka termasuk banjir. Katanya, doa umat Islam akan bertembung dengan bala atau hujan dari langit. “Andainya kuat doa, akan terselamat manusia dan begitulah sebaliknya. “Apa yang pasti kita perlu berdoa semoga kita, anggota keluarga kita khususnya anak-anak kecil terselamat dari segala bala yang tidak diingini,” ujarnya. Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan rakyat di negeri itu tidak menjadikan banjir sebagai ‘pesta’ kerana ianya akan mengancam keselamatan diri. Katanya, sikap rakyat yang menjadikan banjir sebagai pesta sewajarnya diubah memandangkan ianya boleh mengancam keselamatan diri dan keluarga. “Moga kita tidak lagi mendengar kematian ekoran kecuaian kita sendiri menangani perkara ini,” ujarnya ketika diminta mengulas berhubung perkembangan hujan yang mula turun di negeri itu sejak dua hari lalu. Hujan lebat mula melanda Kelantan sejak dua hari lalu khususnya di Kota Bharu, Pasir Putih, Bachok, Tumpat, Kuala Krai, Machang dan Tanah Merah. Muhammad Faizal | PETALING JAYA, 22 Nov: Pemuda Pakatan Rakyat hari ini menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong adalah tidak bertanggungjawab serta tidak memahami perlembagaan negeri.
Berkata pada satu sidang media di Ibu Pejabat Keadilan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin memberitahu Wee Ka Siong sebenarnya terlupa kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) adalah hak Menteri Besar di sesebuah negeri.
"Kita melihat kenyataan beliau tidak bertanggungjawab serta keterlaluan dan Pemuda Pakatan Rakyat menyambut baik tindakan berani Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim atas pengumuman tersebut.
"Walaupun beliau tidak menetapkan tarikh tetapi beliau berani mengatakan pendirian bahawa Dun Selangor tidak akan dibubarkan sebelum Julai 2012.
"Dan alasan yang dikatakan oleh Khalid ini memang munasabah kerana janji Kerajaan Selangor pada belanjawaan 2012 perlu dilaksanakan terlebih dahulu dan hak untuk rakyat perlu diberikan, ini satu usaha yang baik Kerajaan Pakatan Rakyat," jelasnya.
Tambah beliau lagi, kalau Ketua Pemuda MCA itu ingin bercakap soal demokrasi beliau perlu tuju terus kepada Perdana Menteri agar menetapkan terus tarikh pilihanraya bila akan dilaksanakan bukannya hanya menggunakan konsep 'tunggu ilham'.
"Sebelum menyerang Kerajaan Pakatan Rakyat, Wee Ka Siong perlu tanya Datuk Seri Najib Razak agar meletakkan terus tarikh pilihanraya dan ini barulah dikatakan sebuah negara yang demokrasi," sambungnya lagi.
Sementara itu Timbalan Ketua Penerangan Najwan Halimi melalui kenyataan medianya menjelaskan AMK melihat kenyataan Wee Ka Siong ini datang dari seorang yang tidak memahami Perlembagaan serta satu usaha terdesak untuk meraih publisiti murah.
"Umum sedia maklum bahawa parti MCA kini merupakan salah satu parti komponen BN yang semakin tidak popular serta sudah tidak relevan kepada masyarakat Malaysia khususnya terhadap masyarakat Cina terutama selepas kemerosotan teruk prestasi mereka dalam PRU ke-12 pada Mac 2008.
"Pemuda MCA pula kini dilihat sudah tidak lagi memiliki sebarang kredibiliti di kalangan anak muda, Ketua Pemuda MCA seharusnya membaca kembali Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas menyatakan bahawa kuasa untuk membubar DUN terletak di bawah bidang kuasa Menteri Besar atau Ketua Menteri sesebuah Kerajaan Negeri setelah menerima perkenaan daripada Sultan atau Yang DiPertua Negeri tersebut," jelasnya.
Tambahnya justeru soal cabar mencabar atau dakwaan 'cuba mengelak dari melaksanakan pilihan raya' sewajarnya tidak berbangkit kerana telah jelas bahawa setiap negeri berhak menentukan sendiri tarikh pilihan raya DUN masing-masing tanpa tertakluk kepada pembubaran Parlimen.
"AMK juga menolak dakwaan YB Ketua Pemuda MCA bahawa kerajaan negeri pimpinan PR "gagal memenuhi janji-janji pilihan raya" dan lantaran itu takut untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU.
"Perlu ditegaskan bahawa Menteri Besar Selangor dalam kenyataan beliau pada 17 November 2011 antara lain telah menyatakan dengan jelas bahawa kerajaan Negeri Selangor pimpinan PR akan memastikan segala apa yang dijanjikan pada Belanjawan Negeri 2012 akan dapat dipenuhi sepenuhnya dan rakyat dapat menikmati apa yang telah dijanjikan di dalam rancangan belanjawan tersebut," sambungnya lagi.
Dalam pada itu beliau berharap supaya kepimpinan Pemuda MCA menghentikan budaya politik remeh 'cabar-mencabar' ini dan menumpukan sepenuh usaha kepada usaha pembangunan anak muda, memerangi penyelewengan dan rasuah serta menangani masalah-masalah yang lebih besar dan berkait-rapat dengan kepentingan rakyat terbanyak.
"Hormatilah hak serta mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada kerajaan negeri tidak kira sama ada kerajaan negeri tersebut diterajui oleh Pakatan Rakyat mahu pun BN," sambungnya lagi.
Sebelum itu Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong telah mengeluarkan kenyataan dalam media pada 21 November lepas yang "mencabar kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat supaya mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum akan datang.
Beliau turut mendakwa kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat tidak bersedia menghadapi Barisan Nasional dan cuba mengelak daripada mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU serta menuduh kerajaan negeri pimpinan PR "gagal memenuhi janji-janji pilihan raya".
Aziz Muda | KUALA LUMPUR, 22 Nov: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah terkejut dengan langkah pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kerana membatalkan program yang melibatkan dirinya malam tadi.
Menurut beliau, kejadian tersebut merupakan yang pertama menimpa beliau sepanjang menjadi Timbalan Menteri dan ia menyebabkkan beliau begitu terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh universiti itu.
"Saya sebenarnya dijemput untuk menghadiri program itu oleh persatuan pelajar. Saya terkejut apabila dimaklumkan program itu dibatalkan dan ditangguhkan kerana itulah pertama kali saya akan hadir untuk program yang dijemput dan kemudian program itu diarahkan dibatalkan," katanya.
Ekoran pembatalan program itu, beliau mengakui telah ditanya oleh pelbagai pihak berhubung perkara itu kerana ia penuh dengan tanda tanya.
Menjawab pertanyaan pemberita di lobi Dewan Rakyat hari ini, beliau bagaimanapun tetap menghormati keputusan tersebut kerana ia dibuat oleh pihak pentadbiran universiti itu sendiri.
Katanya, keputusan pembatalan program itu diketahui oleh beliau menerusi pegawai khas medianya, Fadzmel Fadzil yang berkunjung ke universiti itu malam tadi.
UIA dilaporkan telah membatalkan program bicara e-book Saifuddin malam tadi, atas alasan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sedang hangat diperkatakan sekarang.
Menurut jadualnya, Saifuddin akan hadir ke UIA bagi menjayakan program itu jam 8.15 malam tadi, tetapi beliau ternyata dilarang berdialog di universiti itu.
Saifuddin, yang dilihat sebagai pemimpin berfikiran terbuka dan lantang dalam Umno, dijadualkan membincangkan program buku elektroniknya yang bertajuk "Kalau Saya Mahasiswa".
Dialog anjuran Persatuan Pelajar Undang-Undang UIA itu sepatutnya diadakan di auditorium utama universiti itu di Gombak, Kuala Lumpur.
Saifuddin dimaklumkan mengenai pembatalan itu pada saat akhir dan diberitahu ia akan ditangguh ke tarikh yang lain.
Menurut Saifuddin, beliau mendapat maklumat daripada Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIA bahawa pembatalan itu adalah atas arahan Rektor UIA, Profesor Datuk Zaleha Kamaruddin.
'Kalau Saya Mahasiswa' adalah buku kelima sya yang diterbitkan pada tahun 2009. Ia boleh dimuat turun dan dibaca di laman ww.saifuddinabdullah.com.my," jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh.
Oktober lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara.
Aziz Muda | KUALA LUMPUR, 22 Nov: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim diingatkan agar jangan membuat kenyataan jahat dan tidak berasas terhadap para pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya berhubung layanan buruk peminat sukan Indonesia terhadap pasukan Malaysia. Sebaliknya, kenyataan beliau yang menyalahkan pemimpin-pemimpin pembangkang berhubung layanan buruk yang diterima pasukan Malaysia oleh peminat sukan Indonesia pada Sukan SEA ke-26 di Jakarta, mestilah disertakan dengan bukti yang jelas. Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria berkata, bagaimanapun, kenyataan Razali mengenai perkara itu jelas tidak berasas kerana ia tidak disertakan dengan sebarang bukti. [Gambar: Nasir (kiri) dan Razali (tengah) turut menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA 2011 antara Malaysia dengan Indonesia menerusi skrin gergasi di Dataran Merdeka, malam tadi.]
Menurut beliau, malahan kenyataan Razali itu ternyata berniat jahat dan semata-mata untuk mencemarkan imej para pemimpin Pakatan Rakyat.
Katanya, kenyataan itu juga turut dilihat sebagai usaha beliau untuk menyembunyikan dan meletakkan kelemahan Kerajaan BN sendiri ke bahu para pemimpin Pakatan Rakyat.
"Jadi saya minta Datuk Razali jangan membuat kenyataan umum yang tidak berasas. Jika benar begitu, nyatakanlah siapa pemimpin pembangkang itu? Bila dia berkata begitu dan di mana?" katanya ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat, hari ini.
Razali semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Bekalan 2012 peringkat kementerian itu di Dewan Rakyat semalam menyalahkan pemimpin-pemimpin pembangkang berhubung perkara itu.
"Mengapa mereka pendam kebencian sebegitu terhadap kita? Kenapa tidak Thailand? Mengapa tidak orang lain? Ia bukan kerana persepi penganiayaan terhadap rakyat Indonesia.
"Pada pendapat saya, ia adalah kerana pemimpin-pemimpin pembangkang yang seringkali ke Indonesia dan memburuk-burukkan negara ini.
"Mereka melabel perkataan buruk terhadap Malaysia, umpamanya ‘Maling’ yang dalam bahasa Indonesia bererti pencuri," kata Razali.
Malam tadi, pasukan bola sepak Malaysia, Harimau Muda, terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda untuk ke Stadium Gelora Bung Karno bagi perlawanan akhir antara Malaysia dan Indonesia.
Langkah tersebut terpaksa dilakukan bagi keselamatan para pemain dan ia bukanlah asing buat skuad negara dalam menghadapi kira-kira 100,000 penyokong Indonesia yang mahu melihat Malaysia ditundukkan oleh negara itu.
Menurut Nasir, tuduhan seperti itu terhadap para pemimpin Pakatan Rakyat ternyata tidak berasas, sebaliknya mereka sendiri sentiasa berusaha mengangkat martabat dan maruah negara di mata dunia dalam pelbagai bidang termasuk sukan.
Katanya, bagi para pemimpin Pakatan Rakyat, kepentingan negara dan semangat patrotisme mengatasi segala-galanya.
"Jadi tak mungkin para pemimpin Pakatan Rakyat yang memburukkan negara. Sebaliknya, pembangkang bukan kerajaan. Yang pegang polisi dan dasar-dasar kerajaan adalah kerajaan. Jadi kenapa pemimpin-pemimpin pembangkang pula yang dipersalahkan dalam perkata itu," ujarnya.
Beliau menegaskan, para pemimpin Pakatan Rakyat sememangnya menyokong penuh skuad negara, sejajar dengan usaha dan keinginan untuk mempertingkatkan mutu bola sepak dan sukan negara.
Sehubungan itu, beliau juga turut bersama-sama dengan Razali untuk menonton siaran langsung perlawanan bola sepak antara Harimau Muda dan Indonesia menerusi skrin besar di Dataran Merdeka malam tadi.
"Tindakan saya itu jelas membuktikan sokongan saya dan para pemimpin Pakatan Rakyat terhadap skuad negara dan ia sekali gus menolak dakwaan Datuk Razali itu," tegas beliau.
Manakala Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini turut kesal kerana kenyataan tidak berasas Razali itu turut disiarkan RTM.
"Kenyataan Datuk Razali itu ternyata kenyataan dari orang yang bermanteliti rendah dan tidak sepatutnya disiarkan oleh RTM. RTM atau pihak kerajaan sepatutnya malu menyiarkkan kenyataan dari orang yang bermantaliti rendah seperti itu," katanya.
Ketika bangun mencelah sewaktu Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 peringkat kementerian itu, beliau berkata, RTM turut menjadi stesyen penyiaran tanpa standard kerana menyiarkan kenyataan yang tidak mempunyai standard dari Razali itu.
Bukti kenyataan Razali itu tidak berasas, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, boleh dirujuk dengan langkah Nasir Zakaria sendiri yang turut menyokong skuad negara dengan turut mengikuti perlawanan itu menerusi skrin besar di Dataran Merdeka bersama-sama Razali sendiri malam tadi.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 22 Nov: “Nampaknya media baru dan pengundi muda telah menjadi ancaman kepada Umno BN dalam PRU 13 akan datang,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad. Katanya, kebimbangan itu disuarakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kelmarin. “Kerisauan beliau kerana pengundi muda yang berumur 21 hingga 35 tahun adalah kelompok yang akan menentukan kemenangan BN,” ujarnya kepada Harakahdaily. Beliau berkata, Najib sedar bahawa media BN seperti televisyen sudah tidak laku di kalangan anak muda kerana mereka menganggap apa yang keluar daripada corong televisyen hanya sampah sahaja. Sepatutnya, kata beliau Najib tidak perlu takut jika kerajaan dan pemimpin BN adalah kerajaan yang amanah dengan rakyat. Tegasnya, pemimpin Pakatan Rakyat tidak pernah takut dengan anak muda kerana kerajaan PR adalah telus dan berani berhadapan dengan mereka kerana orang salah sahaja yang takut dengan kebenaran. “Mungkin beliau sedar jatuhnya rejim di Mesir, Tunisia, Libya antara pemyumbang terbesar ialah media baru seperti face book, twitter, blog,” katanya lagi. Menurutnya, walau pun Umno BN sudah ada orang upahan mereka untuk membuat fitnah dan cerita rekaan tetapi semuanya tidak menjadi. Ini, katanya kerana ia akan dijawab dengan fakta dan data dalam sekelip mata di dalam media baru. Ini, ujarnya dapat dilihat diruang komen di dalam portal berita Malaysiakini contohnya, daripada 100 komen hanya 5 orang sahaja yang menyebelahi BN. “Ini yang merunsingkan Datuk Seri Najib Tun Razak sehinggakan beliau mengatakan bahawa mereka yang aktif dengan media baru akan menjadi bonus untuk dipilih menjadi calon BN,” ujarnya.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 22 Nov: Koordinator Jingga 13, Fariz Musa mendesak National Feedlot Corporation (NFC) mendedahkan penyewa kondominium One Menerung di Bangsar yang didakwa membayar sewa bulanan RM70 ribu sebulan. Fariz menggesa Pengarah Eksekutif NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail mendedahkan penyewa terbabit sekiranya benar kondominium itu dibeli untuk tujuan pelaburan, lapor KeadilanDaily. “Kami pertikaikan kenyataan Datuk Seri Mohamad Salleh yang menyatakan sewa kondominium itu adalah RM70 ribu sebulan. “Kami gesa Datuk Mohamad Salleh dedahkan siapakah yang menyewa kondominium itu,” kata Fariz. Beliau yang lebih dikenali sebagai cikgu Fariz mendesak perkara itu sebelum membuat laporan polis terhadap NFC di Balai Polis Dang Wangi, tengah hari tadi. Menurut Fariz, pengakuan Mohamad Salleh bahawa NFC membeli bukan satu tetapi dua kondominium kononnya sebagai instrumen pelaburan adalah satu bukti nyata aktiviti pecah amanah. Jingga 13, satu NGO yang memperjuangkan isu-isu yang dekat dengan masayarakat telah membuat laporan pertama di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Putrajaya minggu lalu. SPRM kemudian menghubungi Fariz dan memaklumkan yang laporan itu kini diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia dan disiasat di bawah Akta 613, Seksyen 409 Kanun Keseksaan bersabit aktiviti jenayah pecah amanah. Laporan pertama Jingga 13 itu memetik harga kondominium dibeli NFC sebanyak RM9.8 juta. Namun, pengakuan Mohamad Salleh bahawa NFC, sebuah syarikat penternakan lembu yang dibiayai kerajaan- sebenarnya membeli dua unit kondominium mewah berharga RM13.8 juta mendorong Jingga 13 untuk membuat laporan baru pagi tadi. Semalam, PKR mendakwa NFC membelanjakan RM32,000 wang rakyat bagi membiayai pakej umrah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan keluarganya. | | | | | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan