Sabtu, 12 November 2011

TAKWA DAN TAAT PADA ALLAH ADALAH WAJIB ...TAK KIRA PANGKAT SERTA KEKAYAAN...SESUAI KITA SEBAGAI MAKHLUK ALLAH SWT

Demi ranking, universiti abai pensyarah tempatan? | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 11 Nov: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa pentadbiran Universiti Malaya (UM) lebih mengutamakan pensyarah luar negara berbanding pensyarah tempatan semata-mata untuk menaikkan ranking universiti tertua di Malaysia itu.

Beliau juga meminta Kementerian Pengajian Tinggi menjelaskan tindakan UM yang semakin mendahulukan pelajar luar negara berbanding pelajar tempatan kerana ingin memenuhi kriteria untuk mendapat tempat di peringkat antarabangsa.

Usaha-usaha untuk meningkatkan taraf dan mutu pendidikan dan pengajaran di kalangan graduan ijazah pula katanya lebih memberi tumpuan kepada usaha-usaha pengajian di peringkat sarjana, penyelidikan dan pengeluaran jurnal daripada tumpuan kepada pelajar peringkat ijazah.

Apabila ini berlaku, maka kesannya ialah bahawa pensyarah-pensyarah tempatan mendapati bahawa mereka tidak lagi begitu dihargai dan begitu juga pengambilan pelajar-pelajar tempatan dan kualiti pembelajaran dan pengajarannya," kata beliau pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai membidas jawapan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Hou Kok Chung yang menafikan laporan berhubung ramai pensyarah tempatan meninggalkan Universiti Malaya dan pengambilan pelajar baru menurun.

Beliau sebaliknya menyatakan ranking UM naik ke tangga 167 pada tahun ini berbanding 207pada tahun lepas.

Khalid berkata, tidak guna UM hanya mengejar ranking tapi pada masa yang sama mengenepikan mutu pengajian dan menganak tiri pensyarah dan pelajar tempatan.

"Sekiranya ranking itu menjadi sasaran, maka matlamat utama UM iaitu untuk mengeluarkan graduan-graduan yang bermutu, yang boleh diterima oleh industri tidak lagi tercapai...inilah masalahnya .

"Walaupun disebut bahawa ranking sudah naik kepada 167, kita kita kena ambil kira sebab dulu ianya adalah di antara 100 yang tertinggi," kata beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Sementara itu, beliau juga berkata, kewujudan akta-akta yang mengongkong pelajar dan juga pensyarah seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) menghalang kecemerlangan universiti.

Ini katanya termasuk kes penggantungan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr. Abdul Aziz Bari akibat dikatakan mengkritik Sultan Selangor baru-baru ini.

"Walaupun (kes Aziz Bari) bukan di Universiti Malaya adalah merupakan bukti yang nyata bahawa budaya kebebasan dan intelektual dan academic independent itu tidak dihormati oleh institusi pengajian tinggi," katanya menyebabkan dewan menjadi riuh rendah dengan suara wakil BN yang tidak senang dengan kenyataan itu.




Kemalangan bas sekolah, PR Perak rakam takziah | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 11 Nov: Pakatan Rakyat negeri Perak mengucapkan takziah dan turut bersedih dengan kemalangan membabitkan bas sekolah yang menyebabkan empat pelajar maut di Km382, Lebuhraya Utara-Selatan dekat Slim River awal pagi ini.

Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri Perak, Khalil Idham Lim dalam satu kenyataan melahirkan harapan agar semua yang terlibat dengan kemalangan itu sentiasa sabar dan mendoakan yang cedera cepat sembuh.

Ekoran kejadian itu juga beliau menggesa satu kajian tentang keperluan asas yang ada di sepanjang lebuhraya perlu dijalankan dengan segera memandang dengan jumlah kenderaan yang bertambah setiap hari.

"Kekerapan kejadian kemalangan yang berlaku hampir setiap hari dan meragut nyawa rakyat adalah sesuatu yang mesti dipandang serius oleh semua pihak khusunya pihak kerajaan.

"Kelaziman pemandu yang letih berhenti di tepi lebuhraya adalah sikap yang dipuji namun saya melihat hentian biasa dan hentian rehat dan rawat (R&R) sangat kecil dan tidak boleh menampung keperluan kenderaan untuk berhenti rehat sehingga melimpah ke lebuh raya," katanya.

Dalam kejadian awal pagi ini, empat pelajar maut, lima cedera parah manakala 20 lagi cedera apabila bas yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan.

Ketua Polis Trafik Negeri Supt Wan Abdullah Ishak berkata, kejadian berlaku pada kira-kira 4.45 pagi ketika bas membawa pelajar dan guru dari sebuah sekolah menengah di Kulim, Kedah itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Khalil juga menggesa kerajaan mempercepatkan pembinaan rangkaian alternatif baru untuk mengalihkan kesesakan pergerakan kenderaan yang hanya tertumpu di lebuhraya PLUS utara - selatan.

"Disamping itu laluan tiga lorong yang terhenti di Tol Slim River juga mestilah disambung dengan segera sehingga ke utara semenanjung.

"Hal ini penting bagi menampung pergerakan kenderaan yang bertambah dan sering berlaku kesesakan apa lagi dihari perayaan," katanya.

Terengganu seleweng RM30 juta bantuan persekolahan? | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 11 Nov: Pemimpin-pemimpin Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, didakwa telah melakukan penyelewengan terhadap bantuan persekolahan untuk golongan miskin bernilai hampir RM30 juta.

Penyelewengan tersebut terbongkar menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2010 berkaitan 'Program Bantuan Pakaian dan Alatan Sekolah' negeri Terengganu yang telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC) yang ternyata amat mengejutkan serta memalukan seluruh rakyat Terengganu.

Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad berkata, laporan yang telah dibentangkan di Parlimen itu telah mendedahkan bahawa semakan audit mendapati proses rundingan harga kontrak terbabit tidak memenuhi garis panduan.

Menurut beliau, selain itu didapati tidak ada kontrak formal ditandatangani antara kerajaan negeri Terengganu dengan syarikat pembekal pakaian dan alatan sekolah untuk tahun 2008 hingga 2010.

Katanya, laporan audit itu juga telah mengenalpasti sekurang-kurangnya enam teguran dan kesilapan asas dalam pengendalian projek tersebut.

"Kesilapan pertama, kajian pasaran tidak dijalankan. Kedua, bon perlaksanaan tidak dikeluarkan. Ketiga, pemeriksaan terhadap barangan yang diterima tidak dijalankan. Keempat, kelewatan agihan. Kelima, bantuan tidak diagih ke semua daerah. Keenam, keluarga yang menerima bantuan tidak memenuhi syarat," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, hari ini.

Kronologi penyelewengan itu, menurut beliau, bermula pada 30 November 2008, apabila Ahmad Said telah bersetuju meluluskan permohonan membekalkan 'Pakaian Seragam Sekolah Bagi Seluruh Negeri Terengganu' kepada syarikat Hamie Enterprise dengan jenama “GANU KITA”.

Katanya, projek yang bernilai hampir RM10 juta setiap tahun itu juga telah mendapat kebenaran Menteri Besar agar dikecualikan daripada proses tender dengan harga RM150 satu set, bagi diagihkan kepada 53,300 orang pelajar sekolah rendah yang telah dikenal pasti oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) melalui kaji selidik yang telah dibuat.

"Pada 13 Disember 2008 bermulalah penghantaran pertama ‘Pakaian Seragam Sekolah Rendah’ sebanyak 15,000 set dan seterusnya telah dihantar ke alamat ‘Perkarangan Kediaman Menteri Besar, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dan diterima dengan resminya oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar, Wan Ahmad Wan Muda," katanya.

Pejabat Menteri Besar, jelas beliau, telah ditugaskan untuk melakukan pengagihan kelengkapan sekolah itu bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu sempena Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada awal tahun 2009 lalu.

Katanya, program bantuan itu berterusan selama tiga tahun dan jumlah keseluruhan adalah RM28.47 juta yang telah dibelanjakan untuk 282,966 pelajar di seluruh Terengganu sepanjang tahun 2008-2010.

"Lebih menakjubkan lagi adalah hasil tinjauan audit pada 3 November 2010 di beberapa buah kedai pakaian dan alatan sekolah pelbagai jenama sekitar Daerah Kuala Terengganu mendapati harga pakaian adalah lebih rendah dari yang ditawarkan.

"Harga di pasaran ialah RM26.70 dan RM76.50 berbanding harga pembekal antara RM73.50 dan RM123.30 dan ini bermakna kerajaan dapat berjimat sebanyak RM1.42 juta pada kadar harga yang jauh lebih rendah," tegasnya.

Persoalan besar yang timbul, tambah beliau, bagaimanakah projek yang diurus selia oleh Pejabat Menteri Besar sendiri boleh berlaku salah urus dan kebocoran yang amat ketara?

Katanya, selepas projek e-Book yang menelan belanja hampir RM100 juta dan telah dikesan oleh Laporan Audit kerana ‘tiada perjanjian di antara syarikat dan kerajaan negeri’, projek bantuan kelengkapan sekolah itu juga telah dikesan ‘tidak mempunyai sebarang perjanjian’.

"Siapakah yang perlu bertanggungjawab dalam pelanggaran peraturan perolehan kerajaan ini? Menteri Besar sendirikah atau pegawai kerajaan yang terbabit?

"Selain itu, siapakah yang mendapat keuntungan laba yang besar dengan memeras jerih susah rakyat miskin di seluruh negeri Terengganu ini?" ujarnya.

Bayangkanlah, katanya, bantuan pakaian dan alatan sekolah yang dikhususkan untuk golongan miskin di seluruh Terengganu juga telah berlaku salah laku dan penyelewengan.

"Di manakah sifat amanah dalam menjalankan tugas kalau untuk golongan miskin juga telah berlaku salah urus dan kebocoran yang amat memalukan seluruh rakyat Terengganu?" ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk.

Beliau menyifatkan nasib golongan miskin di Terengganu amat malang kerana sudahlah mereka sentiasa diperas ugut dengan cengkaman pelbagai bantuan dan subsidi serta wang ihsan bagi terus dipaksa menyokong Umno BN, peruntukan untuk mereka juga telah diselewengkan tanpa rasa sebarang belas kasihan oleh pihak-pihak terbabit.

"Mungkin ini tepat dengan tema pentadbiran Menteri Besar Ahmad Said; "Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan", dengan memeras keringat dan air mata rakyat miskin Gganu kite. Nampaknya, penyu akan terus menangis lagi di Gganu kite ini," katanya kesal.


Islam Dijunjung, Raja Disanjung, Rakyat Dipayung | Print |
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 11 Nov: Sultan Muhammad V, Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra selamat menyempurnakan upacara Istiadat Pemeriksaan Perbarisan Kehormatan di Padang Merdeka di sini sebentar tadi.

Istiadat sempena Pemasyhuran Perayaan Menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-42, 2011 itu turut dihadiri Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Turut hadir pada upacara itu Kerabat Diraja dan pembesar negeri.

Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Speaker Dewan Negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Dewan Negara serta pimpinan politik, Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.

Perayaan keputeraan bertema “Islam Dijunjung, Raja Disanjung, Rakyat Dipayung” itu bermula seawal 6.30 petang semalam dengan mengadakan majlis solat Hajat dan doa selamat di Masjid Muhammadi di sini dan di semua masjid utama jajahan.

Istiadat ‘meletak kerja’ pula diadakan di Istana Balai Besar di sini seawal 7.45 pagi tadi sebelum diadakan jamuan rakyat di Masjid Muhammadi di sini selepas solat Jumaat nanti.

Sementara Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri serta Istiadat Menyembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia akan diadakan esok mulai 9.00 pagi di Istana Balai Besar di sini.

Menurut kenyataan rasmi, perayaan menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan itu bermula 10 hingga 12 November 2011.

Majlis Santapan Malam Persembahan Kerajaan Negeri diadakan pada malam ini di Dewan Jamuan Utama, Kota Darulnaim di sini.

Tiada ulasan: