Selasa, 1 November 2011

SIKAP DOUBLE STANDARD YANG TERLALU KETARA....SUKA BUAT KERJA MENYOROK2 BENDA2 SALAH DAN TAK DIGEMARI..PAYAHLAH KALAU MACAM NI

Selangor tidak dimaklum peninju Israel turut serta | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 1 Nov: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar kecil) menjelaskan jawapan yang diberikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam sewaktu sesi penggulungan kementerian itu di Dewan Rakyat adalah tidak tepat dan mengelirukan.

"Saya ingin nyatakan jawapan Menteri Belia dan Sukan tidak tepat serta mengelirukan. Apa yang ingin saya beritahu Kejohanan The Challenger Muay Thai adalah merupakan program di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

"Apabila program telah ada maka kerajaan negeri telah dimaklumkan dan dalam masa yang sama Kerajaan Negeri Selangor memohon agar ianya diadakan di negeri ini," jelasnya.

Tambahnya lagi, mengenai penglibatan peserta Israel, Ilya Grad kerajaan negeri tidak dimaklumkan bahawa terdapat peserta dari negara tersebut.

"Kerajaan negeri tidak dimaklumkan bahawa dalam kejohanan tersebut ada perserta dari Israel kerana semua jemputan dilakukan oleh pihak kementerian dan Negeri Selangor hanya menyediakan tempat sahaja.

"Sekiranya kita tahu jika ada penglibatan peserta dari Israel sudah pasti kita akan membuat bantahan awal tetapi kita tidak diberitahu. Apa yang kita tahu hanyalah mengenai program tersebut sahaja dan kita sanggup untuk menganjurkannya," katanya.

Khalid memberitahu mengenai penglibatan kerajaan negeri dengan peserta Israel itu tidak benar kerana kerajaan negeri hanya terlibat untuk menganjur dan menyediakan tempat.

Kenyataan Ahmad Shabery semalam memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah memberi peruntukan RM5 juta untuk kejohanan tersebut manakala kementeriannya hanya meluluskan penganjuran sebagai aktiviti kesukanan dan tidak terlibat dengan aspek lain.

"Untuk mendapatkan tempat sebahagian daripada kos tersebut, kita diberitahu bahawa ia perlu dibayar oleh Kerajaan Negeri Selangor, apa yang kerajaan negeri lakukan semuanya diketahui oleh kementerian.

"Kita dijemput sebagai penganjur dam penyediaan tempat manakala urusan jemputan dilakukan oleh pihak kementerian.

"Saya jelaskan kenyataan menteri itu tidak benar sama sekali," sambungnya lagi.

Kehadiran Ilya Grad dalam Kejohanan The Challenger Muay Thai yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia, baru-baru ini telah menimbulkan persoalan bagaimana rakyat Negara Israel boleh memasuki Malaysia.

Malah sewaktu memasuki Malaysia beliau ditahan selama 25 jam di pintu masuk sebelum mendapatkan bantuan Persekutuan Muay Thai Malaysia, "dengan sokongan menteri sukan Malaysia" mengikut kenyataan di blog tinju Muay Thai Authority.

Kejohanan tersebut telah dirakamkan dalam kampus Universiti Putra Malaysia, Serdang untuk stesen TV AXN.


PKR gesa Noh semak seluruh dasar kementerian | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 1 Nov: PKR meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar menyemak keseluruhan dasar dan sasaran kementeriannya sebelum mengeluarkan kenyataan yang dianggap memperbodoh rakyat.

Pengarah Strategi Keadilan, Rafizi Ramli berkata, jawapan Noh mempertahankan prestasi National Feedlot Corporation Sdn Bhd yang diterajui keluarga Datuk Seri Sharizat Jalil menimbulkan banyak persoalan.

Ini kerana katanya, beberapa jawapan yang diberikan Noh ternyata berbeza dengan sasaran rasmi yang ditetapkan kementerian dari segi jumlah ternakan lembu, jumlah daging yang perlu dibekalkan dan sembelihan, konsep pelaksanaan projek fidlot kebangsaan, serta dana kewangan projek tersebut.

"Sasaran ini dipaparkan secara jelas untuk diteliti oleh orang ramai di laman Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Oleh itu prestasi Pusat Fidlot Kebangsaan untuk menentukan sama ada projek berimpak ini gagal atau berjaya perlu dikur dengan sasaran-sasaran rasmi kementerian," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, Pusat Fidlot Kebangsaan perlu menyediakan sekurang-kurangnya 60,000 lembu fidlot setahun yang diternak di Gemas.

Namun angka yang dicapai hanyalah 8,016 ekor antara tahun 2009 dan 2010, kurang dari 3,000 lembu setahun.

Dari segi dana kewangan pula, Rafizi berkata Noh menyebut bahawa tidak ada sebarang percanggahan kepentingan dalam projek ini dan dana masih belum dibayar sepenuhnya kepada Pusat Fidlot Kebangsaan.

Namun katanya setakat ini sebanyak RM6 juta geran peruntukan dan RM135 juta pinjaman berkadar rendah telah diberikan kepada Pusat Fidlot Kebangsaan.

"Jumlah ini satu jumlah yang besar dan membazir memandangkan Kementerian sendiri menggariskan anggaran kos sebanyak RM6.37 juta untuk mengusahakan ladang ternakan 9,000 ekor setahun dengan pulangan keuntungan 27.59 peratus setahun," katanya.

Tambahnya, kos yang dibelanjakan sebanyak RM141 juta untuk menternak 8,000 ekor lembu selama tiga tahun adalah 22 kali ganda lebih mahal berbanding anggaran kos yang dibuat kementerian.

Sehubungan itu, beliau berkata PKR akan mengadakan rombongan melawat Pusat Fidlot Kebangsaan di Gemas, Khamis ini untuk meninjau sendiri prestasinya.

Rombongan tersebut akan diketuai Adun Sikamat, Aminuddin Harun.


Pusat beku projek RAKR di Kelantan sejak 1990 | Print |
M Faqih

KOTA BHARU, 1 Nov: Anehnya laporan Ketua Audit Negara 2010 menyebut kerajaan Kelantan diberi RM19 juta bagi melaksanakan projek Rumah Awam Kos Rendah (RAKR), namun peruntukan itu tidak ada di Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Malah sejak Rancangan Malaysia Ke-Enam (RMK-6) sehingga sekarang Kelantan tidak diberi peruntukan bagi membina projek RAKR.

Ini dibuktikan sejak RMK-6 sehingga RMK-9 sebanyak RM91.6 juta yang sepatutnya diberi kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan projek tersebut langsung tidak diterima.

Peruntukan terbabit iaitu bagi RMK-6 sebanyak RM25 juta, RMK-7 (RM24 juta), RMK-8 (RM34.6 juta) dan RMK-9 (RM8 juta).

Namun, tiba-tiba dalam laporan Ketua Audit Negara 2010 menyebut Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri selaku badan pelaksana menerima peruntukan RM19 juta di bawah RMK-9, tetapi semakan audit mendapati kerajaan negeri tidak membina rumah seperti dirancang.

Sumber kerajaan negeri menjelaskan tiada sebarang peruntukan diterima daripada kerajaan pusat bagi melaksanakan projek RAKR di Kelantan seperti mana disebut dalam laporan Ketua Audit Negara 2010.

Pendedahan mengenai pembekuan peruntukan projek RAKR oleh kerajaan pusat sudah acap kali dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

Namun ia tidak mendapat respon wakil rakyat Barisan Nasional dan kerajaan persekutuan.

Bagaimana pun ekoran halangan tersebut menyebabkan kerajaan negeri dengan kerjasama pemaju swasta membina projek RAKR sejak 1990 sehingga sekarang dalam skala lebih kecil.

Peruntukan sebanyak RM3 juta disediakan setiap tahun dalam tempoh tersebut bagi melaksanakan projek berkenaan untuk kepentingan rakyat berpendapatan rendah.

Antaranya RAKR Kampung Dangar II, RAKR Bunut Susu, RAKR Gua Musang II, RAKR Gua Musang Tambahan, RAKR Sungai Ketil, RAKR Semut Api fasa II, RAKR Gunong, RAKR Jeli, RAKR Gaal dan rumah transit di Panji.

RAKR tersebut dijual pada harga RM28,000 hingga RM55,000 seunit. Manakala rumah transit di Panji dibina pada 2006 sebanyak 100 unit diberi sewa sebanyak RM100 sebulan kepada penduduk miskin, armalah dan penduduk yang terbabit projek pembangunan di Jalan Hamzah.

Selain itu kerajaan negeri juga membina rumah mampu milik berharga RM35,000 hingga RM45,000 sebanyak 30 unit di Labok, Machang.

Kerajaan negeri juga melaksanakan polisi setiap projek perumahan yang dibina di Kelantan dipastikan mengandungi 30 peratus rumah kos rendah.


Beri bantuan banjir tanpa pilih kasih | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 1 Nov: "Setiap kementerian yang terlibat dengan memberi bantuan banjir kepada setiap negeri tidak kira negeri di bawah Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional perlu bersikap adil tanpa ada pilih kasih dalam aktiviti menyalur bantuan tersebut," jelas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau bertindak mencelah sewaktu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil pada sesi penggulungan peringkat kementerian.

Tambah Mahfuz lagi setiap kali berlakunya banjir sentiasa ada masalah yang timbul terutamanya pada usaha menyampaikan bantuan yang mana pihak kementerian menyalurkan bantuan kepada wakil rakyat mereka tanpa melalui majlis daerah lebih-lebih lagi negeri di bawah Pakatan Rakyat.

"Saya tidak pasti kenapa perkara menyalurkan bantuan juga perlu melalui wakil-wakil dari kerajaan sedangkan diperingkat negeri juga telah mempunyai badan-badan yang bertanggungjawab dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir.

"Adakah kerajaan tidak yakin dengan agensi yang berada di bawah kerajaan negeri menyebabkan kerajaan bertindak sedemikian?

"Perkara ini perlu dinilai kembali oleh pihak kementerian kerana niat kita sama iaitu menyelamatkan mangsa banjir dan juga memberi bantuan makanan serta pakaian," jelasnya lagi.

Dalam pada itu sikap tidak bertoleransi pihak kementerian akan mewujudkan masalah komunikasi yang selaras dan secara tidak langsung menimbulkan kesukaran dalam usaha murni kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat.

"Saya berharap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dapat mengambil berat perkara tersebut serta mengeluarkan arahan secara jelas bentuk bantuan banjir kepada siapa ia akan disalurkan memandangkan kita sekarang sudah hampir kepada musim bajir," tambahnya lagi.

Sementara itu, Sharizat dalam penjelasannya berjanji akan bertindak bagi memastikan semua proses menghantar bantuan berjalan lancar dan menyarankan agar Mahfuz terus menghubunginya jika perkara tersebut tetap berlaku.

Mahfuz menyambut baik saranan Sharizat dan sebarang perkara yang timbul beliau akan memaklum terus kepada kementerian.

"Terima kasih menteri, kalau mahu saya melaporkan kepada menteri jangan lupa berikan nombor telefon menteri kepada saya agar senang saya hubungi," jelasnya secara bergurau.


Pusat bawa masuk peninju Israel | Print |
Harakahdaily

SHAH ALAM, 1 Nov: Kerajaan Selangor langsung tidak terlibat dalam penganjuran program realitiThe Challenger Muay Thai yang melibatkan peninju Israel, kata Exconya, Elizabeth Wong (gambar).

Beliau mengulas dakwaan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kononnya kerajaan negeri terlibat dalam kemasukan peninju Israel, Ilya Grad yang menyertai sukan itu di Malaysia.

“Menteri Belia dan Sukan tidak patut menunding jari pada pihak lain dan sebagai seorang menteri, beliau patut sedar hal imigresen berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor KeadilanDaily.

Menurutnya, pendirian Pakatan Rakyat sangat jelas bahawa demi semangat setiakawan dengan rakyat Palestin, Malaysia harus menolak sebarang hubungan diplomatik, perdagangan, budaya ataupun sukan dengan rejim Zionis-Israel.

“Kami tidak menjemput mana-mana ahli sukan ataupun menandatangani sebarang dokumen sokongan untuk membolehkan kaum Israel memasuki Malaysia.

“Jika kami dimaklum, Kerajaan Selangor pasti memohon kepada Kementerian Belia dan Sukan serta Jabatan Imigresen agar menolak kemasukan kaum Israel itu,” tegasnya.

Justeru itu, beliau menyeru kerajaan persekutuan menghentikan pengeluaran pas masuk khas kepada kaum Israel dalam apa keadaan sekalipun.

Ilya Grad dilapor memasuki Malaysia pada satu tarikh sebelum ini untuk menyertai kejohanan ‘The Challenger Muay Thai’ yang dirakam di kampus Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang untuk stesen TV AXN.

Dalam satu tulisan di blog tinju Muay Thai Authority pada 15 Oktober, Grad turut menyatakan dia tidak sabar untuk mengibarkan bendera Israel ketika berada di Malaysia.

Beliau yang memasuki Malaysia melalui Thailand ditahan selama 25 jam di satu pintu masuk negara sebelum berjaya mendapatkan bantuan Persekutuan Muay Thai Malaysia, “dengan sokongan menteri sukan Malaysia.”

Kerajaan Malaysia sebelum ini membayar sebanyak RM77 juta setahun kepada syarikat perunding Israel, Apco Wordwide, bagi menaikkan imej. Syarikat itu juga dibayar untuk mengilhamkan slogan 1 Malaysia yang meniru konsep One Israel.

Pendedahan itu pada Mac tahun 2010 menyebabkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga ahli parlimen Pakatan Rakyat digantung dari menghadiri sidang parlimen selama hampir setengah tahun.


Banjir: Pemuda PAS, Amal diarah bersiap sedia | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan mengerahkan seluruh anggota pemuda dari seluruh negara bagi membantu kerja-kerja pemindahan, keselamatan, kecemasan, bantuan serta sumbangan kepada mangsa banjir yang diramal akan melanda tanah air.

“Bagi menghadapi musibah ini, seluruh anggota Amal dan pemuda PAS diarahkan bersiap sedia dengan segala peralatan serta kelengkapan semaksima mungkin,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar).

Mereka juga, katanya akan membantu pasukan keselamatan dalam kerja-kerja menyelamat dan bantuan lain jika tenaga mereka diperlukan.

Menurutnya, pengalaman tahun 2006 lalu di mana anggota pemuda PAS mengharung banjir dan berselut lumpur tatkala musibah banjir besar di negeri Johor, Pahang dan Melaka akan dijadikan panduan berharga bagi menghadapi kemungkinan musibah kali ini.

Beliau memberitahu, seramai 10,000 anggota Amal dan pemuda PAS telah bersedia kali ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“DPPM yakin, hasil dari sentuhan tarbiyah program Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS 2011 yang baru berlangsung pada 28-30 Oktober 2011, segenap pemuda PAS akan turun ke kawasan terlibat dengan ikhlas tanpa mengharap sebarang upah atau ganjaran,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, ujarnya DPPM memperingatkan pemuda PAS serta rakyat umumnya agar sentiasa menjaga keselamatan diri bagi mengelak pelbagai perkara buruk berlaku.

“Awasi anak-anak daripada membiarkan mereka mandi di kawasan sungai atau tali air.

“Jaga kesihatan diri dan anggota keluarga serta mendapatkan rawatan di pusat kesihatan berhampiran jika sakit,” katanya lagi.

DPPM juga, jelasnya meminta semua Pemuda PAS dan rakyat seluruhnya sentiasa berdoa agar negara ini selamat dari musibah buruk.

“Mudah-mudahan ramalan kaji cuaca yang meramalkan banjir besar tahun ini tidak berlaku kali ini di negara ini hasil dari doa kita semua,” ujarnya.

Tiada ulasan: