Ahad, 13 November 2011

MUNGKIN MEREKA MENYANGKA MUSUH2 BODOH MACAM LEMBU...JANGAN NANTI KENA BENCANA DISEBAB KES LEMBU INI...

PAS gesa kaji semula guru kerja 9 jam sehari | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Nov: PAS menggesa kerajaan mengkaji semula projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari yang dilaksanakan di Melaka, Sarawak, Pahang dan Johor.

Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Idris Ahmad ketika mengulas perkara itu berkata, tindakan itu dilihat tidak wajar memandangkan guru memang sedia terbeban pada masa ini termasuk tugasan selain mengajar.

"Rasional apakah guru-guru terpaksa bekerja selama 9 jam? Sebenarnya guru-guru di Malaysia sudah sedia terbeban, bukan sahaja Pembelajaran dan Pengajaran.

"Malahan guru sudah menjadi "multi purpose" kerana semua perkara guru terpaksa melakukan. Guru juga pemandu Ambulan jika pelajar sakit, menjadi polis trafik ketika pelajar keluar sekolah, pengawal disiplin, pegawai kewangan kalau ia guru kelas, menjadi kerani untuk masuk markah," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut Idris, Kementerian Pelajaran sepatutnya mencari jalan untuk menyenangkan guru-guru supaya mereka berada di zon selesa, kerana di tangan mereka yang akan melahirkan modal insan yang berguna untuk masa akan datang.

"Mungkin ada orang cemburu kerana guru banyak mendapat cuti berbanding dengan mereka yang berada di pejabat. Tetapi perlu diingat tugas guru bukan sahaja di sekolah, malahan kerja mereka berterusan sehingga balik ke rumah. Kerana kerja latihan pelajar perlu diperiksa, persiapan mengajar perlu dibuat. Budaya ini berlainan dengan mereka yang bekerja di pejabat, selesai sahaja waktu pejabat ia tidak perlu dibawa balik ke rumah," katanya lagi.

Kerajaan juga ujarnya perlu membanyakkan kemudahan dan membina banyak sekolah supaya mengurangkan bilangan pelajar di dalam sebuah kelas.

Banyak sekolah pada hari ini katanya dibina lebih 20 tahun dahulu dan sudah tidak mampu menampung pertambahan penduduk di sekitarnya sehingga suasana di dalam bilik kelas tidak lagi ada keselesaan kerana bilangan pelajar yanga begitu ramai.

Beliau menasihatkan kerajaan agar tidak jadikan guru sebagai makmal percubaan, sepertu sebelumnya ketika perlaksanaan PPSMI.

"Sekarang terdapat lambakan lebihan opsyen Sains dan Matematk seramai 26000 orang. Pihak Kementerian juga perlu selesaikan masalah graduan Universiti Perguruan Sultan Idris yang tidak ada penempatan bertugas.

"Atas asas inilah maka Pakatan Rakyat menjanjikan RM500 sebulan kepada guru-guru jika diberi mandat ke Putera Jaya. Ini sebagai penghormatan kepada guru-guru yang mendidik rakyat di negara ini," katanya.


Pidato politik: Kami minta penjelasan NC UiTM | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 13 Nov: Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) meminta penjelasan daripada Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkenaan dengan Pertandingan Pidato Politik anjuran Pemuda Barisan Nasional yang diadakan di Dewan Seminar HEA, Menara UiTM (SAAS), Shah Alam pagi tadi yang terang-terangan berunsurkan politik.

“Mahasiswa merasakan keterangan Naib Canselor UiTM bertajuk ‘tidak perlu pinda Auku’ hanyalah sekadar retorik semata-mata,” kata Presiden Kami, Haziq Abdullah Abdul Aziz dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya inginkan penjelasan daripada NC UiTM di atas percanggahan di dalam keterangan Sahol dengan apa yang terjadi pada hari ini.

“Kalau betul tidak mahu mahasiswa berpolitik, jangan bagi kebenaran kepada mana-mana parti politik masuk ke kampus,” katanya.

Tambahnya, tindakan memberi kebenaran kepada parti politik masuk ke kampus sebenarnya akan menimbulkan keraguan kepada masyarakat khususnya mahasiswa.

“Sejujurnya Kami tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan VC UiTM yang mengatakan penglibatan mahasiswa dalam politik akan menyebabkan perpecahan,” katanya lagi.

Katanya, kenyataan VC UiTM bahawa pindaan Auku akan mengancam keamanan serta kesepakatan penuntut Bumiputera dan Melayu di universiti itu dikira sebagai sesuatu yang tidak relevan.

Beliau meminta diberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk meluahkan pendapat walaupun bercanggah dengan apa yang dimahukan oleh pihak universiti.

Ujarnya lagi, tindakan mengongkong mahasiswa sebenarnya tidak membawa apa-apa faedah malah akan melahirkan mahasiswa yang tidak kritikal, konservatif serta jumud dalam berfikir.

“Kalau dah orang politik pemerintah boleh dibawa masuk ke kawasan kampus, apa salahnya berikan sahaja kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik.

“Jangan pula nanti cakap lain tapi buat lain,” katanya.


Seperti Memelihara Lembu Dalam Kondominium | Print |
Nasrudin Hassan At-Tantawi

1. Pilihanraya umum ke 13 adalah peluang terbaik rakyat bangkit membuat perubahan secara total dengan tidak lagi memberi mandat pemerintahan negara ini kepada UMNO dan BN. Penegasan ini saya kemukakan setelah meneliti Laporan Audit Negara 2010. Ternyata kerajaan UMNO dan BN terlalu banyak mengabaikan amanah yang diberi sehingga memberi kesan negatif kepada pertumbuhan dan kestabilan ekonomi negara.

2. Laporan Audit Negara 2010 membuktikan wujudnya amalan pembaziran dan boros yang terlalu ketara dalam mengurus perbelanjaan wang negara. Amalan boros dan tidak telus dalam pengurusan bukan sahaja mengurangkan perbendaharaan negara tetapi turut menyumbang kerugian berskala besar kepada syarikat - syarikat GLC dan tentunya ia menyumbang kepada prestasi ekonomi negara.

3. Lebih malang, ianya telah berulang kali dan nasihat Audit Negara hanya dipandang sepi oleh pihak kerajaan. Inilah adalah penyelewengan dan pecah amanah yang tidak boleh dibiarkan berterusan. Namun apa lagi pilihan yang ada pada rakyat setelah melihat kerajaan UMNO dan BN seperti berdegil dan angkuh apabila mereka terus mengamalkan tradisi pemborosan dan pengurusan kewangan yang tidak telus.

4. Pemulihan dan pertumbuhan ekonomi jangan hanya dilihat pada pendapatan yang bakal dijana oleh pelabur atau melalui peningkatan hasil negara semata - mata tetapi juga mestilah melalui satu sistem pengurusan dan kawalan ekonomi yang baik, cekap dan amanah. Tiada ertinya negara memiliki hasil pendapatan yang banyak kemudian dialir keluar dengan boros dan membazir. Negara rugi dan rakyat menderita.

5. Rakyat mesti bangkit membuat perubahan, sekaligus mendidik UMNO dan BN agar rakyat tidak diperlaku seperti binatang ternakan. Melahirkan negara yang maju dan rakyat yang sejahtera, amanah pentadbiran dan mandat pemerintahan tidak lagi boleh diserahkan kepada UMNO dan BN. Meletakkan UMNO dan BN sebagai pemerintah setelah menyaksikan bagaimana ketidaktelusan mereka mengurus ekonomi, maka tindakan itu samalah seperti bidalan anak - anak muda masakini iaitu seperti "memelihara lembu dalam kondominium" dengan maksud meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya dan tidak juga pada kesesuaiannya.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


Dengan GST, 'lembu' mana pula tinggal di kondo | Print |
Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 13 Nov: 'Lembu' mana pula akan bersedap-sedap di kondominium mewah jika kerajaan berjaya mengutip cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan memotong subsidi untuk rakyat, soal Datuk Mahfuz Omar.

Naib Presiden PAS itu membangkitkan persoalan penuh sindiran tersebut ketika mengecam tindakan pemimpin-pemimpin politik yang berulang kali didedahkan menyalahgunakan projek untuk kepentingan diri.

"Sebelum ini, banyak projek untuk kepentingan negara yang dijadikan lombong emas para pemimpin yang merompak harta negara, dari skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) sehinggalah kepada RM40 juta wang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dilesapkan.

"Jika selepas ini Umno BN menang dalam pilihan raya akan datang, parti itu akan menggasak GST dari rakyat di samping pelbagai subsidi akan mereka ragut dari rakyat.

"Maka 'lembu' mana pula akan bersedap-sedap di kondominium mewah?" kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz melihat teguran dalam laporan Ketua Audit Negara 2010 terhadap projek di bawah Perbadanan Feedlot Nasional (NFC) yang disifatkan kacau-bilau dan pendedahan penyalahgunaan pinjaman untuk NFC untuk membeli sebuah kondominium mewah di Bangsar hakikatnya sebagai perulangan berkali-kali sejarah-sejarah lampau yang sama di bawah Umno BN.

"Pemimpin-pemimpin politik dan kroni-kroni mereka menggasak pelbagai projek dan peluang.

"Bila rugi, mereka bukan sahaja tidak perlu menanggung apa-apa kerugian malah ada bailout pula dan syarikat atau projek yang dirugikan itu boleh dijual kepada kerajaan pula dengan harga mewah seperti yang berlaku ketika saham MAS dijual kembali kepada kerajaan," katanya.

Mahfuz juga menyelar sikap para pemimpin Umno yang berhempas pulas mempertahankan projek NFC yang disifatkan oleh Ketua Audit Negara sebagai kacau bilau itu.

Jawapan Menteri Pertanian, Perdana Menteri dan semua pemimpin Umno bukan sahaja tidak memadamkan keraguan malah menambahkan keraguan, katanya.

"Bagaimanpun, saya mengucapkan syabas kepada Menteri Pertanian.

"Maklumlah, zaman dah berubah. Waktu Tan Sri Sanusi Joned jadi Menteri Pertanian, tanam padi atas bumbung. Bila Datuk Seri Noh Omar jadi Menteri Pertanian, bela lembu dalam kondominium!" sindir beliau lagi.

Kereta ketua srikandi PKR dicuri | Print |
Muhammad Faizal
SHAH ALAM, 13 Nov: Kereta milik Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat, Siti Aisyah Shikh Ismail hilang dipercayai dicuri awal pagi ini.

Kereta jenis Proton Waja berwarna perak dengan nombor pendaftaran WJS 7349 itu disedari hilang jam 7 pagi ini setelah diletakkan di hadapan rumah abangnya di Jalan Kecawi 8/11, Kota Damansara.

"Kereta tersebut saya letak di hadapan rumah abang saya yang hampir dengan Balai Polis Trafik Petaling Jaya dan saya mula sedar kehilangan kereta itu pada jam 7 pagi tadi.

"Laporan yang saya perolehi dari PLUS mengatakan kereta tersebut dilihat berada di Tol Jalan Duta pada pukul 8 pagi," jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Ekoran itu satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Trafik Petaling Jaya.

"Apa yang menjadi kemuskilan saya adalah bagaimana kereta tersebut boleh hilang sedangkan di hadapan dan belakang kereta saya mempunyai kereta iaitu milik abang ipar dan juga abang saya.

"Selain itu juga kereta tersebut memiliki sistem pengera yang tinggi kualitinya dan saya memasang sistem tersebut kerana memikirkan banyak dokumen penting berkaitan dengan parti di simpan di dalam kerete tersebut," katanya yang tidak mahu menuduh sesiapa.

Namun ujarnya, kehilangan itu menimbulkan tanda tanya, kenapa pencuri begitu berani mengambilnya sedangkan ia hampir dengan balai polis.

Beberapa dokumen penting khususnya berkaitan parti juga katanya hilang bersama kereta tersebut.

Sehubungan itu, beliau akan membuat satu lagi laporan polis berhubung kehilangan dokumen-dokumen penting tersebut.

"Laporan ini dibuat bagi memastikan ia tidak akan didedahkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," jelasnya.


Dakwat kekal tak perlu pinda perlembagaan | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Nov: Pakar perlembagaan Profesor Abdul Aziz Bari berkata, penggunaan dakwat kekal semasa pilihan raya boleh dilakukan tanpa pindaan Perlembagaan Pesekutuan.

Menurut Abdul Aziz yang juga Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), pendiriannya itu berdasarkan perinsip 'jika tiada yang menghalang, ia adalah sah dan dibenarkan'.

“Dalam undang-undang, cukup mudah; jika tiada yang menghalang, ia adalah sah dan dibenarkan. Malah, pelajar undang-undang tahun satu juga tahu hal itu,” kata Abdul Aziz dipetik Malaysiakini.

Beliau juga dilapor berkata, tidak timbul kemungkinan keputusan pilihan raya boleh dicabar di mahkamah jika dakwat kekal diperkenalkan tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, beliau tidak tahu dari mana ahli Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) bagi pembaharuan sistem pilihan raya, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad mendapat tanggapan itu.

Sebaliknya, kata Abdul Aziz, pandangan pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan dan presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee bahawa perlembagaan tidak perlu dipinda bagi penggunaan dakwat kekal adalah betul.

“Ambiga dan Lim adalah betul: tak perlu pinda perlembagaan. Malah, saya katakan saya pasti 100 peratus, tak perlu pinda.

“Seperkara, adakah terdapat sebarang peruntukan dalam perlembagaan yang menghalang penggunaan dakwat kekal?

Semalam, semasa pendengaran awam, Mohd Radzi dilaporkan berkata kemungkinan keputusan pilihan raya boleh dicabar di mahkamah jika sistem itu diperkenalkan tanpa meminda perlembagaan persekutuan.


Tiada ulasan: