Isnin, 14 November 2011

KITA PERLU PIMPIN YANG TAKWA DAN ADIL...DAN ADALAH SARANAN RASULLULLAH SAW SENDIRI,,,,

Lynas: MB Pahang dituntut mohon maaf | Print |
Khairil Abdul Rahim

KUANTAN, 13 Nov: Gabungan Hentikan Lynas (GHL) menuntut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob memohon maaf di atas kesilapan beliau menyebut bahawa bahan di Bukit Merah adalah bukan tanah jarang (rare earth) semasa temuramah beliau dengan aktivis Australia Ryan Albrey baru-baru ini.

GHL dalam kenyataan yang diedarkan kepada media menyebut, mereka amat terkilan dengan kenyataan Adnan dalam temuramah tersebut bahawa Asian Rare Earth (ARE) itu hanya merupakan nama syarikat tetapi tidak memproses tanah jarang.

GHL mendakwa, kenyataan Adnan itu merupakan satu tuduhan palsu dan tidak berasas kerana ARE menghasilkan Yttrium daripada Monozite sementara Yttrium pula merupakan bahan mentah untuk menghasilkan tiub untuk televisyen.

“Mengikut definasi International Union of Pure and Applied Chemistry (IUPAC), tanah jarang terdiri daripada 17 jenis bahan, iaitu 15 jenis Lanthanides, Scandium dan Yttrium. Maka jelas bahawa kilang ARE memang menghasilkan tanah jarang, mana pula juga telah mengaut keuntungan besar dengan menggadaikan nyawa dan keselamatan rakyat tempatan.

“Peristiwa pahit Bukit Merah telah memberikan satu iktibar besar kepada Rakyat Malaysia supaya jangan mengulangi kesilapan yang sama. GHL menganggap mungkin Adnan tidak berapa memahami peristiwa Bukit Merah sehingga boleh melontarkan kenyataan yang tidak berasaskan fakta, membuat perbandingan yang meremeh-temehkan perjuangan penduduk, dan menyinggung perasaan mangsa dan keluarga mangsa di Bukit Merah.

“Justeru, GHL menggesa Adnan Yaakob meminta maaf kepada penduduk Bukit Merah atas kesilapan fakta tersebut,” tulis kenyataan tersebut.

Selain itu, GHL juga berasa kesal dengan kenyataan Adnan yang berbaur rasis dan cuba memutarbelitkan isu sebenar di mana dalam temuramah tersebut beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Orang Cina di Malaysia cuba bersuhabat dengan negara China untuk menggagalkan projek Lynas Advanced Material Plant (LAMP) supaya China boleh kekal memonopoli pasaran tanah jarang di dunia.

“Ini merupakan satu tuduhan yang serius dan GHL harap Adnan dapat menunjukkan bukti atas dakwaan beliau. Jika tidak, Adnan selaku Menteri Besar Pahang bukan sahaja tidak peka terhadap kesejahteraan dan keharmonian masyarakt majmuk di Malaysia, malah cuba mengkaburi mata orang awam dengan andaian yang tidak berasas malah bersifat perkauman.

“GHL ingin mengingatkan Menteri Besar Pahang bahawa rakyat Kuantan dan Pahang sedang meneliti tindaklaku dan perbuatan Kerajaan BN sekarang. Rakyat Kuantan yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama telah menghantar satu mesej yang jelas kepada pihak yang berkuasa bahawa mereka menolak Projek LAMP sepenuhnya.

“Walhal, dalam temuramah tersebut Adnan sendiri mengakui bahawa Negeri Pahang tidak mendapat apa-apa daripada Projek LAMP melainkan cukai tahunan tanah dan cukai pintu sahaja.”

Sementara itu, GHL juga meminta Adnan supaya hentikan percakapan yang bercanggah dari segi logik dan rasional. Misalnya, Adnan berkata semua perkara yang dijalani dalam kehidupan seharian ada risiko. Akan tetapi, Adnan sengaja mengabaikan hakikat bahawa Projek LAMP merupakan risiko lebihan yang disuapkan kepada rakyat dan generasi yang akan datang tanpa persetujuan mereka.

“Dalam temuramah tersebut, secara semberono Adnan juga berkata bahawa keadaan hartanah turun harga merupakan satu perkara yang baik dan menasihatkan siapa yang ada duit untuk membeli hartanah yang sedang turun sekarang.

“GHL menganggap kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Adnan ini hanya menunjukkan kelalaian dan kecetekan pandangan beliau terhadap Projek LAMP serta hak dan kepentingan rakyat justeru GHL meminta Adnan berhenti menjadi jurujual kepada LAMP dengan kata-kata yang manis tetapi tidak masuk akal dan tidak membawa makna.

“Apa yang rakyat harap adalah sikap pihak pemerintah yang akur dan mendengar kepada suara rakyat, tetapi bukan sikap politik yang dangkal dan jijik mainan pemimpin yang hanya mahu terus kekal berkuasa sahaja,” kenyataan tersebut dipetik.


Hormat menghormati telah lenyap dari Umno BN | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Nov: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak patut sedar bahawa selama ini pun prinsip hormat menghormati sebenarnya telah lenyap daripada Umno BN.

Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim (gambar) berkata, ini berdasarkan rekod amalan pentadbiran BN yang secara jelas mencabuli prinsip itu secara total.

Menurutnya, Umno BN telah berbohong buat kesekian kalinya apabila Najib menyatakan antara isi perkara pokok mesyuarat Dewan Tertinggi BN kelmarin adalah membincangkan tentang betapa perlunya parti itu kembali kepada prinsip asal BN iaitu semangat hormat menghormati antara sama lain.

Sebagai contoh, katanya hak Kelantan itu sendiri dalam isu tuntutan royalti petroleum yang sememangnya menjadi hak mutlak rakyat negeri itu seperti mana perjanjian asal, di mana jaminan itu sendiri datangnya daripada Tun Razak yang merupakan mantan Perdana Menteri juga bapa kepada Najib.

“Dalam isu ini bukan sahaja beliau selaku pemimpin tertinggi negara yang juga anak kepada Tun Razak tidak menghormati hak rakyat negeri Kelantan, malah beliau juga tidak menghormati amanat ayahanda sendiri,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, lalu bagaimana dan dimanakah rasionalnya tindakan serta ungkapan Najib dalam isu menjaga kepentingan hormat menghormati antara satu dengan lain adalah prinsip dasar BN, tindakan sebegitu tidak masuk akal dan tidak rasional.

Menurutnya, hormat menghormati sesama komponen BN sahaja bukanlah tarsiran tepat untuk menterjemahkan bahawa BN komited dengan prinsip tersebut.

Baginya, parti tua yang kolot seperti BN saban hari jelas menzahirkan bahawa mereka tidak akan berubah dan ingin terus berkuasa dalam masa sama bakal menyusahkan warga Malaysia jika rakyat tidak lakukan perubahan melalui undi khususnya.

“Jalan paling selamat setakat ini ialah selamatkan Malaysia dari dikuasai BN melalui pemberian undi kepada PAS, PKR dan DAP pada PRU13 tidak lama lagi.
“Sikap hipokrit BN mestilah dihentikan dengan segera demi menyelamatkan Malaysia dari mereka,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong.


Sultan Muhammad V prihatin dunia akademik | Print |
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 13 Nov: Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri yang dizahirkan pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri 2011 di Istana Balai Besar semalam bukan saja menggambarkan sikap Sultan Muhammad V dalam memayungi rakyat jelata, bahkan pengurniaan itu adalah sebagai pengiktirafan baginda kepada dunia akademik dan warga univsersiti umumnya.

Ini kerana pada istiadat penzahiran penerimaan ketandaan darjah kebesaran itu terdapat golongan pakar, ahli akademik dan pensyarah universiti turut menerimanya.

“Dan itu menunjukkan Tuanku memberi perhatian kepada perkembangan akademik di negara kita,” kata Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff (gambar).

Pada penzahiran pengurniaan ketandaan darjah dan kehormatan kebesaran itu Agus dikurniakan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yangt Amat Terbilang (Al-Ibrahimi II) (D.P.S.K).

Turut menerima kurniaan kehormatan kebesaran bagi darjah yang sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia Datuk Profesor Dr Rujhan Mustafa.

Menerima kurniaan yang sama Pakar Perunding Kanan Kardiologi Jabatan Perubatan Hospital Universiti Sains Malayusia (USM) Kubang Kerian, Profesor Dr Zurkurnai Yusof.

Majlis itu sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-42 Sultan Muhammad V.

“Yang penting pengiktirafan Tuanku kepada ahli akademik,” tegas Agus.

Mengulas lanjut, beliau melahirkan rasa teruja kerana Sultan Muhammad V turut memberi pengiktirafan itu kepada ahli akademik dan pensyarah universiti.

“Ramai Prof Madya mendapat pingat pada hari ini daripada Tuanku. Dan itu adalah menunjukkan Tuanku memberi perhatian kepada perkembagan akademik di negara kita.

“Dan saya, alhamdulillah, menjunjung kasih mendapat anugerah D.P.S.K, dan pada saya, saya fikir ‘ilmu’ itu akhirnya dihargai oleh baginda Tuanku,” katanya.

Beliau turut mengulas kebebasan dunia akademik.

Menurutnya, kebebasan akademik itu wajib ada pada universiti.

Ini kerana dengan kritikan dan pandangan keilmuan itulah menyebabkan universiti itu wujud.

Beliau mengakui bahawa dari segi menyuarakan pendapat, termasuk membabitkan bidang perundangan aalah tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Saya fikir tiada halangan, dan saya sendiri tidak pernah ada halangan di UKM.

“Ini dibuktikan bahawa kejujuran akademik itu apa yang ilmu kata ianya ‘benar’ maka itu yang kita suarakan.

“Dan insya Allah, kita berperanan dalam membangunkan negara bangsa ini,” katanya sambil akur bahawa perbezaan pendapat itu perlu diraikan.

Bahkan, kata Agus, dalam Islam perbezaan pendapat itu rahmat, dan tidak menjadi masalah.

“Itu dibenarkan oleh agama dan dibenarkan oleh undang-undang untuk kita meraikan perbezaan pendapat.

“Bahkan saya tidak ada masalah di UKM, sebab saya buat sesuatu itu di atas niat dan kejujuran akademik,” katanya.


Apabila nafsu sudah jadi teman setia

Syaz Azman, UM

Hari-hari hitam untuk masyarakat pelbagai bangsa negara kita telah tiba. Atmosfera kehidupan kita telah berubah. Sifat kemanusiaan dalam diri masyarakat kita sudah punah, hancur.

Ini yang kerap kali saya labelkan sebagai kesundalan masyarakat.

Kesundalan ini saya definisikan sebagai kebejatan moral dan akhlak yang membarah. Membarah dengan begitu kronik dalam setiap lapisan hierarki masyarakat kita. Bermula daripada sehina-hina anggota masyarakat hinggalah kepada yang gagah berkuasa. Perhatikanlah perjalanan hidup masyarakat dan jujurlah dengan pemerhatian kita. Si pemegang kuasa, dengan rakus serakah melahap dan merompak hasil kekayaan bumi sendiri untuk kepentingan peribadi. Amanah dipersetan, hingga sanggup dibiarkan rakyat yang miskin bertambah miskin hidup sebagai gelandangan. Ini fakta.

Golongan muda dan nafsu terus jadi teman setia. Mereka diperdaya keghairahan godaan-godaan dunia. Kini negara ini jadi negara maksiat. Dalam keghairahan politikus berikhtiar menjadikan negara ini Negara Maju, Negara Madani, Negara Berkebajikan atau apa sahaja nama yang bersesuaian dengan ideologi mereka, terlebih dahulu negara ini telah menjadi Negara Zina. Negara Zina yang telah menjadi pengeluar bayi luar nikah yang sangat produktif. Negara Zina yang akhirnya menyaksikan ibu bapa membunuh bayi luar nikah tadi sewenangnya, seakan nyawa manusia ini tidak ada nilai walau sebesar zarah sekalipun. Kita semua maklum bunuh bayi adalah perlakuan tidak bertamadun masyarakat Arab jahilliyah dan apabila masyarakat kita mewarisi perlakuan hodoh ini, telah terbukti satu lagi bentuk kesundalan masyarakat. Ini hakikat.

Minda kita disuap dengan berita bahawa negara ini aman harmoni. Berpijaklah pada bumi yang nyata. Apa yang harmoninya jika jauh di sudut hati kita masih diburu ketakutan kepada jenayah dan kejahatan? Secara peribadi, jenayah yang paling terkesan di hati saya ialah yang membabitkan wanita sebagai mangsa. Rogol, simbahan asid, cabul dan lain-lain. Apakah maruah wanita begitu rendah untuk mereka diperlakukan sebegitu rupa? Apakah harga diri mereka begitu murah untuk dikhianati tanpa belas? Wanita juga adalah manusia. Mereka perlukan perlindungan. Jika masyarakat di luar sana tak mampu untuk menjadi masyarakat yang melindungi, jangan pula kalian jadi masyarakat yang merosakkan. Konsepnya mudah.

Cukup sekadar itu sebahagian kebejatan dalam masyarakat saya nukilkan secara umum. Sedarlah, kita tidak lagi hidup dalam keadaan yang selamat. Kita kini hidup di tengah-tengah masyarakat yang defisit moraliti dan bankrap akhlak. Kita perlukan pembaharuan. Cukuplah kebejatan yang kita tanggung kesan daripada menyemai benih sekularisme sejak negara ini merdeka. Carilah penawar kepada racun sekularisme ini. Penawarnya ialah dengan kita berpatah kembali ke pangkal jalan. Jalan yang dimaksudkan ialah jalan yang disediakan oleh Tuhan yang Maha Melindungi. Jalan yang terjamin di sisi agama, jalan pedoman yang akan menghapuskan kesemua kebejatan ini.

Kepada yang masih ragu-ragu bahawa sistem masyarakat kita telah hancur dan binasa, perhatikanlah perjalanan hidup masyarakat dalam negara bertuah ini dan yang paling penting, berlaku jujurlah dengan pemerhatian kalian.


Sultan seru henti perbuatan ‘bermain api’ | Print |
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 12 Nov: Sultan Muhammad V mengingatkan rakyat supaya berwaspada terhadap kemunculan ‘iklim tidak sihat’ yang dicetuskan anasir anti establishment dalam masyarakat.

“Beta ingin mengingatkan rakyat dan masyarakat di segenap lapisan agar sentiasa berwaspada, hati-hati dan peka terhadap kemunculan iklim yang tidak sihat yang dicetuskan oleh anasir-anasir anti establishment dalam masyarakat, dengan cuba mengubah lanskap kehidupan harmoni dan damai dengan menimbulkan ‘sikap buat- buat lupa faktor sejarah’, kontrak sosial yang dipersetujui bersama," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis sempena Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Menyembah UcapanTahniah dan Taat Setia di Istana Balai Besar di sini tengah hari tadi.

Majlis turut dihadiri Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan ismail Petra itu dihadiri pembesar negeri dari dalam dan luar negara serta para Kerabat Diraja.

Turut hadir Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Titah baginda, anasir itu juga cuba mencetuskan isu berkaitan agama Islam, bahkan mencabar kewibawaan raja-raja.

“Mereka juga mencabar kewibawaan raja-raja, kedudukan Bahasa Melayu dan banyak lagi sebagai modal untuk meraih kepentingan diri dan kumpulan,” titah baginda.

Justeru baginda menyeru pihak berkenaan supaya menghentikan perbuatan ‘bermain api’ serta sikap provokasi yang boleh mencetuskan gelora keadaan dan suasana yang tidak diterima dalam masyarakat dan negara.

Baginda turut menyentuh keadaan dunia yang terus mengalami perubahan iklim yang tidak menentu mengakibatkan pemasanan global dan mala petaka seperti gempa bumi, banjir dan kemarau serta taufan.

Sehubungan itu, titah baginda, kesan paling awal yang akan dapat dilihat ialah kemerosotan pengeluaran hasil makanan, pertumbuhan ekonomi global yang lembab dan muram pada tahun ini berbanding tahun lepas.

“Ini, turut memberi kesan yang tidak baik kepada ekonomi dunia,” titah baginda sambil menyeru rakyat menggemblengkan tenaga bekerjasama mempastikan pertumbuhan ekonomi dapat diatasi sekadar yang boleh.

“Semua pihak perlu bergiat mencari pendekatan dan penyelesaian yang inovatif ke arah meningkatkan momentum pertumbuahan dan mengekalkan kesejahteraan rakyat,” titah baginda.

Pada istiadat tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood dianugerahkan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk Paduka.


Kewibawaan sultan lahir ramai ulama | Print |
Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 12 Nov: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata rahsia kejayaan negeri Kelantan melahirkan ramai alim ulama di negeri ini adalah disebabkan kewibawaan sultan yang menaungi pemerintahan.

Menteri Besar berkata, ini terbukti apabila usaha dilakukan nenekanda Sultan Muhammad V iaitu Sultan Muhammad II dan Sultan Ahmad pada masa lalu dalam usaha mendaulatkan undang-undang Islam di negeri Kelantan.

“Sejarah mencatatkan bagaimana pada zaman pemerintahan nenenda Tuanku (Sultan Muhammad V) iaitu Sultan Muhammad II dan Sultan Ahmad telah berusaha untuk mendaulatkan undang-undang Islam di negeri ini,” katanya.

Sambil menyifatkan bumi Kelantan terkenal sebagai Serambi Mekah melahirkan ribuan ulama sejak ribuan tahun lalu, Menteri Besar berkata berdasarkan rekod, Kelantan telah mula menerima ‘gema syahadah’ Islam sebelum Abad ke-12 Masehi lagi.

Beliau berucap pada Istiadat Menyembah Ucapan Taat Setia bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat sempena Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat menyembah Ucapan Tahniah serta Taat Setia di Istana Balai Besar di sini tengah hari tadi.

Majlis itu sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-42 Sultan Muhammad V Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Menurut Menteri Besar, penemuan dinar di Kota Kubang Labu, Pasir Pekan dekat sini lama dahulu juga membuktikan bahawa Islam diamalkan dalam pemerintahan negeri Kelantan pada masa lalu.

Beliau menegaskan Kelantan adalah di antara negeri mula-mula mewujudkan sistem pengajian Pondok di rantau ini bagi pengajian dan penyebaran Islam di mana Pondok pertama didirikan di Kelantan pada 1820 Masehi.

Pondok itu didirikan oleh Haji Abdul Samad Abdullah (Tuk Pulai Chondong) selain Pondok Tuk Bachok dan Pondok Kubang Pasu yang didirikan pada 1900.

Didirikan juga Pondok Haji Abdul Malik, Tumpat (1907), Pondok Haji Yusoff Pulau Ubi, Geting Tumpat(1908), Pondok Sungai Budur, Pondok Kg Banggol, Pondok Tuk Padang dan Pondok Tuk Semian yang antara lain dengan itu menampilkan kecemerlangan pengajian Islam di negeri ini.

Menteri Besar berkata usaha untuk mendaulatkan Islam di Kelantan telah diteruskan oleh Sultan Muhmmmad II (1890–1991).

“Baginda telah menguat kuasakan pelaksanaan undanng-undang syariah sama ada jenayah mahu pun mal.

“Dan pada zaman pemerintahan Sultan Mansur (1890 –1900), undang-undang syariah dilaksanakan sepenuhnya di bumi Kelantan termasuklah Hukum Hudud ke atas pencuri dan Qisas ke atas pembunuh.

“Baginda juga menguat kuasakan Hukum Takzir bagi orang yang tidak berpuasa dan perempuan yang tidak menutup aurat,” katanya.

Lantaran itu, kata Menteri Besar, usaha Kerajan Kelantan kini untuk melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syariah di ngeri ini bukanlah sesuatu yang baru.

“Bahkan ia adalah kesinambungan usaha yang telah dilakukan nenekanda Tuanku (Sultan Muhammad V) bagi melaksanakan undang-undang syariah di negeri ini secara menyeluruh,” katanya.

Justeru, Menteri Besar berharap dengan bersemayamnya Sultan Muhammad V serta pemilihan Tuanku sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, harapannya dan harapan rakyat seluruhnya agar Sultan Muhammad V diberikan kekuatan, taufik dan hidayah oleh Allah swt bagi menaungi rakyat dan negeri Kelantan serta seluruh negara nanti, dengan ruh syariah.

“Patik yakin, insya Allah, Kelantan yang dikenali sebagai Serambi Mekah ini akan terus dilimpahi keberkatan oleh Allah swt dan mencatat sejarah kegemilangan untuk Islam sebagaimana di masa lalu, di bawah naungan pemerintahan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

“Dari selat ke tengah kota, disulam selasih pohon berangan; Tuanku berdaulat di atas takhta, diringi kasih yang berpanjangan,’ katanya mengakhiri ucapan dengan berpantun.

Tiada ulasan: