Rabu, 30 November 2011

SEBENARNYA YANG ZALIM...YANG BERDOSA...YANG KAKI AMPU...YANG TAKUT MANUSIA@SYIRIK...TOLAK HUKUM HUDUD MEROSAKKAN IMAN..MEREKA TAHU...DAN PERASAN...TAPI MEREKA TOLAK JAUH2...RASA DAN PERASAN ITU

Penghinaan Isa memalukan seluruh warga Felda
| Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) menganggap kes terbaru yang melibatkan penghinaan terhadap Ketua Peneroka Felda oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad sebagai kemuncak kemarahan warga Felda terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“DPP Malaysia membayangkan kenyataan beramaran oleh Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka, Shamsuddin Othman menunjukkan warga Felda kini lebih berani, matang, terbuka serta mempunyai prinsip yang teguh dan perlu dihormati oleh semua pihak, termasuk Perdana Menteri,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) kepada Harakahdaily.

Bagi DPP Malaysia, katanya warga Felda telah lama menyimpan perasaan marah dan kecil hati ekoran pelantikan Isa yang dikatakan tidak kena pada tempatnya kerana dilantik tanpa rundingan dengan ahli jawatankuasa Felda.

“Dalam hal ini, Perdana Menteri menggunakan sepenuhnya kuasa beliau dengan mengenepikan segala pandangan rakyat apabila meletakkan Tan Sri Isa sebagai Pengerusi Felda,” katanya.

Menurutnya, insiden penghinaan Isa terhadap Ketua Peneroka Felda dalam satu majlis taklimat di Kuala Pilah menunjukkan tahap kesombongan beliau yang melampau.

Beliau berkata, tidak sepatutnya Pengerusi Felda itu menghina Pengerusi JKPP dalam majlis tersebut memandangkan beliau sendiri tidak sampai setahun memegang jawatan tertinggi di Felda, sedangkan Pengerusi JKPP itu telah berjasa besar terhadap Felda.

Baginya, penghinaan itu amat memalukan bukan sahaja kepada Pengerusi JKPP, bahkan kepada warga Felda keseluruhannya.

Katanya, Isa perlu mengenang segala jasa dan pengorbanan setiap individu yang terlibat dalam membangunkan Felda.

“Merekalah yang selama ini hidup dan mati bersama Felda dan hasil keringat merekalah Felda kini mendapat kuntungan berjuta ringgit,” ujarnya lagi.

Justeru, tambahnya DPP Malaysia mengingatkan, jika warga Felda sendiri melahirkan kemarahan terhadap Isa Samad dan pentadbiran Datuk Seri Najib, ini menunjukkan tiada jalan selamat untuk BN menang mudah dalam PRU ke-13 nanti.

Tambahnya, tiada lagi istilah fixed deposit jika PM terus berdegil mengekalkan Isa di jawatan tersebut.

Oleh itu, ujarnya DPP Malaysia mendesak agar Tan Sri Isa Samad memohon maaf secara terbuka kepada Shamsuddin Othman, Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) di atas penghinaannya terhadap beliau dan meletak jawatan serta merta.

“Bagi DPP Malaysia, ini sebagai mesej jelas kepada PM agar mendengar rintihan hati rakyat dan jangan membuat keputusan sendiri tanpa perbincangan dengan pelbagai pihak.

“Ia juga sebagai peringatan agar pemimpin jangan berlagak sombong dengan menghina orang lain di bawahnya!” ujarnya lagi.


RUU Perhimpunan Aman ada agenda tersembunyi? | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 29 Nov: PAS tidak menolak kemungkinan 'ada agenda tertentu' disebalik tindakan kerajaan yang terburu-buru mahu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Awam yang sedang dibahas untuk diluluskan hari ini.

Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata, agak pelik apabila RUU tersebut mahu diluluskan tanpa mahu mendengar pandangan dari semua pihak.

"Saya tidak nampak sebab utama kenapa ia perlu di segerakan pada hari ini dan saya rasa seperti ada sesuatu yang diselindungkan.

"Perkara ini perlu kita rungkai kenapa kerajaan begitu terdesak untuk menyegerakannya dan sebab kenapa perlu kita ketahui," katanya yang juga ahli parlimen Kuala Krai kepada Harakahdaily.

Beliau ditemui ketika menyertai perarakan anjuran Majlis Peguam Malaysia ke parlimen hari ini bagi membantah RUU tersebut yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat.

Perarakan yang dinamakan "Walk for Freedom to walk" itu berjaya menghimpunkan lebih 1,000 peguam dan orang ramai.

"Ini semua suara-suara rakyat, kerajaan perlu dengar dan ambil perhatian serius terhadap bantahan tersebut," kata Hatta lagi sambil merujuk kepada himpunan itu..

Tambah Hatta lagi, BN sememangnya mampu meluluskan RUU itu kerana mempunyai majoriti di parlimen namun mempersoal apa makna sebuah RUU kalau hak rakyat diambil.

"Bagi saya apa makna sebuah RUU jika hak rakyat yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan ditarik balik dan perhimpunan yang selama ini dibenarkan terus disekat.

"Bagi Pakatan Rakyat bantahan akan terus dilakukan dan berharap di peringkat Dewan Negara ataupun Yang Dipertuan Agong perkara tersebut akan dibatalkan serta mengembalikan hak rakyat," kata Ahli Parlimen Kuala Krai itu lagi.

1,000 berarak ke parlimen

Sebelum itu hampir 1,000 pengamal undang-undang dan orang awam berarak mengemukakan bantahan kepada cadangan kerajaan untuk melaksanakan RUU.

Perarakkan yang bermula dari Kelab Tasik Perdana Di Raja telah dianjur oleh Majlis Peguam Malaysia diketuai oleh Presidennya Lim Chee Wee.

Bagaimanapun, hanya 10 wakil Majlis Peguam yang dibenarkan memasuki parlimen diketuai Presidennya, Lim Chee Wee dan mereka disambut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat selepas melepasi pintu pagar parlimen.

Lee Chee Wee menyifatkan perarakan itu berjaya dibuat secara aman dan berterima kasih kepada pihak polis kerana turut bekerjasama.

"Kita dari Majlis Peguam akan sering mengetuk pintu parlimen dan menggesa agar bil ini tidak diluluskan," katanya

Memorandum bantahan telah diserahkan oleh Lee Chee Wee kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk V.K Liew di Lobi Parlimen.

Sementara itu, terdapat satu kumpulan dipercayai anggota Persatuan Veteran Tentera Malaysia, Majlis Ayahanda Malaysia dan Gerakan Memartabatkan Perjuangan Negara turut mengadakan perhimpunan.

Mereka melaungkan bantahan terhadap majlis peguam, termasuk membuat provokasi dengan membakar T Shirt, memaksa pihak polis bertindak.


MP keluar dewan bantah RUU Perhimpunan Aman | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 29 Nov: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar Dewan Rakyat beramai-ramai petang ini sebagai tanda protes terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman yang sedang dibahaskan.

Tindakan keluar dewan itu sejurus Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membahaskan RUU tersebut.

Selain Abdul Hadi, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur keluar secara aman.

Abdul Hadi dalam kenyataan ringkasnya menegaskan, tindakan protes tersebut kerana RUU tersebut bukan bertujuan menjaga ketenteraman awam sebaliknya hanya mahu menjaga kepentingan kerajaan.

"Rang undang-undang ini bukan untuk menjaga keselamatan negara tapi undang-undang untuk menjaga kepentingan golongan tertentu," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, RUU tersebut jelas dibentangkan dan ingin diluluskan secara tergesa-gesa tanpa membahaskannya semasak-masaknya.

"Bagaimana wibawa seorang Perdana Menteri, pada hari Khamis datang bentang rang undang-undang sendiri, esoknya terus kabinet putuskan ada pindaan dan empat pindaan dibuat pada hari ini.

"Jelas menunjukkan tak ada satu persediaan awal, tak ada kecekapan dari segi menggubal undang-undang," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.


RUU Himpunan: Najib rujuk Zimbabwe, Myanmar | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Nov: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merujuk kepada Zimbabwe dan Myanmar berhubung himpunan aman tanpa senjata.

Menurutnya, di ambang Hari Malaysia yang ke-48 pada 15 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis untuk menyelaraskannya dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan rakyat untuk ‘berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata’, dan supaya mematuhi norma-norma antarabangsa.

“Malangnya, tidak disangka bahawa negara-negara ‘antarabangsa’ yang dirujuk beliau merupakan negara-negara Zimbabwe dan Myanmar,” katanya.

Namun sekarang, kata beliau nampaknya negara Myanmar pun sudah menjadi sebuah negara demokratik yang lebih bebas jika dibandingkan dengan Malaysia.

“Rang Undang-Undang yang baru diluluskan oleh Parlimen Myanmar hanya memerlukan pemberitahuan awal kepada pihak polis selama 5 hari, manakala Rang Undang-Undang yang dibentangkan dalam Dewan yang mulia ini memerlukan pemberitahuan yang jauh lagi awal,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Bagan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perhimpunan Awam di Dewan Rakyat, petang ini.

Katanya, sungguhpun Perdana Menteri mengumumkan pindaan akan dibuat agar notis pemberitahuan dipendekkan daripada 30 hari kepada 10 hari, ia jauh lebih panjang daripada apa yang diamalkan daripada sebuah negara berkuku besi seperti Myanmar.

“Adakah Malaysia kini lebih teruk daripada Myanmar?” soalnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ini, tegasnya jelas membuktikan bahawa Program Transformasi Politik yang diuar-uarkan adalah satu penipuan semata-mata.

Dalam ucapannya tempoh hari, ujarnya Perdana Menteri telah menyatakan bahawa rang undang-undang itu akan menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan tanpa bersenjata, tetapi hakikatnya ia adalah satu cubaan untuk meningkatkan kawalan dan larangan ke atas hak rakyat untuk berhimpun secara aman.

Beliau berkata, jelas juga bahawa rang undang-undang yang dicadangkan intu telah mengambil petikan-petikan yang berbunyi merdu daripada undang-undang negara demokratik lain seperti Queensland dan United Kingdom, dan telah memutar-belitkannya kepada alat untuk menindas rakyat.

Justeru, beliau ingin bertanyakan sama ada rang undang-undang itu diciplak daripada model Queensland Peaceful Assembly Act 1992 dan sekiranya ya, mengapa tidak mengikuti keseluruhannya yang berteraskan hak asasi manusia.

“Sebaliknya yang baik tidak diikuti iaitu rang undang-undang ini telah ambil yang keruh, buang yang jernih pula,” ujarnya lagi.

Justeru, beliau menegaskan DAP dan PR menentang Rang Undang-undang Perhimpunan “Haram” yang akan mengharamkan hak berhimpun, memberikan kuasa mutlak kepada polis yang memihak kepada BN untuk membenarkannya atau tidak dan menghakis lagi hak asasi manusia di Malaysia.

“Jangan cemarkan imej negara Malaysia dengan meluluskan Rang Undang-undang ini. Rang undang-undang ini tidak boleh diselamatkan dengan apa-apa pembetulan atau pindaan, dan harus ditarik balik dengan serta merta dan digubal semula,” katanya.


PAS tolak RUU, desak bawa ke JK Khas Parlimen | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 29 Nov: PAS berpendirian akan memprotes dan menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman melainkan ianya dibawa ke Jawatankuasa Khas Parlimen untuk diteliti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, hal itu kerana pembentangan RUU tersebut dilihat tidak lebih kepada respon negatif kerajaan terhadap kejayaan perhimpunan Bersih 2.0 Julai lalu.

"Pas protes dan menolak sepenuhnya rang undang-undang ini kecualilah ianya dibawa kepada Jawatankuasa Khas Parlimen dahulu.

"Rang undang-undang ini sebenarnya menghukum rakyat terutamanya yang berhimpun di Bersih 9 Julai lalu.

"Ini adalah reaksi negatif kerajaan bagi menghukum rakyat kerana mengadakan perhimpunan 9 julai yang lalu dan untuk memastikan rakyat tidak boleh lagi berhimpun bukan 100 ribu, bukan 500 ribu malah beberapa ratus ribu pun tidak boleh lagi berhimpun dan melakukan apa yang berlaku pada 9 julai lalu," kata beliau pada sidang media bersama Majlis Peguam di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Tumpat itu juga berkata, RUU tersebut jelas membuktikan kerajaan tidak bersedia menghadapi kemaraan rakyat yang berlansung dalam keadaan aman.

"Umno BN tidak toleran, tidak sanggup untuk menghadapi rakyat yang boleh berhimpun dan berarak secara aman seperti yang berlaku pada perhimpunan Bersih itu," katanya.

Majlis Peguam wakili rakyat


Sementara itu, Setiausaha DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, tindakan Majlis Peguam mengadakan perarakan aman membantah RUU tersebut adalah mewakili suara rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi.

"Apa yang dijalankan oleh Majlis Peguam memang menyuarakan hasrat rakyat Malaysia kerana kita tidak mahu satu akta perhimpunan haram sebaliknya hendak dibebaskan daripada pengharaman ataupun pemenjaraan hak asasi manusia selama ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah membuktikan kebenaran berhimpun secara aman yang diberikan kepada rakyat tidak mendatangkan keburukan malah dihormati rakyat.

"Kita telah buktikan di Pulau Pinang kita adakan satu sudut pidato sebanyak dua kali seminggu dan rakyat dibenarkan berhimpun secara bebas tanpa sebarang provokasi.

"Ini berjalan hampir dua tahun dan tak ada masalah dan saya rasa kerajaan Malaysia harus mempunyai keyakinan terhadap kematangan rakyat," katanya sambil berkata, DAP bersama Pakatan Rakyat menyokong penuh Majlis Peguam untuk menolak RUU tersebut.

Cintakan kebebasan


Dalam pada itu, Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee berjaya menyerahkan draf RUU yang disediakan pihaknya dan surat terbuka kepada Timbalan Menteri di Jabata Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Leong dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan, Majlis Peguam tidak anti kerajaan atau pro pembangkang sebaliknya hanya pencinta undang-undang dan kebebasan.

"Majlis Peguam tidak anti kerajaan atau pro pembangkang tapi kami anti ketidakadilan, perlanggaran perlembagaan dan pencinta undang-undang," kata beliau yang sebelum itu berarak secara aman dari Taman Tasik Perdana bersama lebih kurang seribu peguam termasuk penyokong demokrasi menuju ke bangunan Parlimen.

Turut diserahkan ialah surat terbuka kepada Ahli Parlimen yang menyatakan beberapa peruntukann dalam RUU Perhimpunan adalah lebih ketat berbanding sebelum ini.

Ia termasuk penyenaraian tempat-tempat larangan berhimpun yang disifatkan sebagai tidak munasabah seperti sekolah, rumah ibadat dan stesen minyak.


Hanya pemimpin zalim takut himpunan rakyat | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 29 Nov: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) mendakwa hanya pemimpin dan kerajaan yang zalim sahaja yang takut untuk berdepan bantahan dan himpunan rakyat.

Bercakap sewaktu membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perhimpunan Aman di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata tindakan kerajaan memperkenalkan RUU itu dilihat seolah-olah semakin menyempitkan ruang kebebasan rakyat.

Selain itu beliau mendakwa, pemimpin yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa tentunya takut akan perhimpunan aman rakyat.

"Apa alasan kerajaan Malaysia mempersulitkan lagi perhimpunan aman sehingga menjadi teruk daripada negara Zimbabwe dan Myanmar yang demokrasi mereka semakin baik?

"Pemimpin yang zalim sahaja yang takut rakyat buat perhimpunan," katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi dengan tegas menggesa RUU itu ditarik balik dan dibawa ke Jawatankuasa Khas Parlimen untuk dibincang dan diteliti.

"Saya mencadangkan sebaik-baiknya menteri tarik balik rang undang-undang ini dan sebaiknya kemukakan dalam tempoh yang singkat untuk dikaji dan diteliti oleh Jawatankuasa Khas Parlimen dan berikan satu contoh bagaimana nak memperkenalka RUU yang begitu penting ini," kata beliau .

Menurut Anwar, ianya kerana RUU itu memberikan impak yang besar kepada rakyat yang mahukan kebebasan untuk bersuara dalam sesuatu isu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga berkata, RUU itu gagal dibahaskan dengan semasak-masaknya sebaliknya kerajaan hanya menggunakan kuasa majoriti mereka untuk meluluskannya.

"Di Malaysia, (kerajaan)selalu guna kuasa majoriti untuk memaksa terima rang undang-undang tanpa perbahasan panjang dan tanpa mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia yang inginkan kebebasan.

"Saya tegaskan sikap Pakatan Rakyat kepada rakyat untuk menuntut kerajaan menarik balik rang undang-undang ini," katanya.


RUU Himpunan: Transformasi palsu halal kezaliman | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Nov: PAS mengingatkan kerajaan Umno BN bahawa transformasi yang dicanang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mestilah ke arah lebih baik, bukan undur ke belakang.

“Jangan sesekali cuba memperkenalkan transformasi palsu yang berlindung di sebalik akta atau rang undang-undang (RUU) bagi menghalalkan tindakan zalim pemerintah,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Katanya, PAS menegaskan pendirian bahawa RUU Himpunan Aman (RUUHA) 2011 mesti ditarik balik kerana mempunyai kecacatan melampau dan ianya tidak langsung memberi gambaran “aman” sebagaimana dicanangkan.

“Rakyat melihat RUU ini adalah gambaran kecelaruan dan kebimbangan parti Umno-BN yang kini berhadapan dengan kebangkitan rakyat.

“Apakah Umno tidak belajar daripada pelbagai akta zalim yang dilaksanakan di Timur Tengah sehingga menyebabkan kemarahan rakyat?” tanya beliau.

Bahkan, ujarnya mereka bangkit bukan sahaja medesak undang-undang dipinda tetapi menumbang terus kerajaan yang zalim itu.

RUUHA, katanya merupakan kebimbangan pemerintah terhadap keputusan yang akan dibuat oleh rakyat dalam PRU13 akan datang, bagi membolehkan kerajaan bertindak menangkap dan menghukum sesiapa sahaja yang berhimpun menunjuk perasaan tidak puashati terhadap tindakan kerajaan.

Rakyat umum perlu disedarkan tentang implikasi RUUHA ini, kerana seandainya ia diluluskan, maka rakyat sudah pasti hampir tidak boleh langsung berhimpun bagi meluahkan bantahan terhadap sebarang isu-isu yang tidak berpihak pada kerajaan Umno BN walaupun ia jelas menindas mereka, ujarnya.

“Ingatlah, kemarahan rakyat tidak akan dapat disekat dengan undang-undang. Ambillah pengajaran daripada sepucuk surat yang dihantar oleh Saidina Umar bin Abdul Aziz tatkala beliau menerima permohonan peruntukan kewangan bagi membuat benteng untuk menyekat sekumpulan golongan pemberontak,” ujarnya.

Jelasnya, kata Umar bin Abdul Aziz: "Bentenglah kemarahan rakyat kamu dengan keadilanmu, payungi rakyatmu dengan kasih sayangmu, kerana itu lebih baik dari kamu membina benteng besi menyekat kemarahan rakyatmu”.

Tiada ulasan: