KUALA LUMPUR, 29 Nov: Pendedahan demi pendedahan telah dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui Lajnah Mobilsasi Rakyat mengenai pemberian kad pengenalan kepada warga asing, namun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih lagi tidak bertindak mengikut tahap profesionalism mereka. Pengerusi Lajnah Pekerja dan Profesional Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Ghazali Hasbullah berkata, jawapan yang dikeluarkan setakat ini adalah kenyataan politik, seolah-olah mewakili Umno BN. “Antara jawapan yang dikeluarkan adalah, pihak-pihak tertentu tidak mengemukakan bukti kepada SPR. “Bukti yang bagaimana lagi yang diperlukan oleh SPR dan JPN?” ujarnya dalam satu kenyataan. Sehingga kini, katanya SPR telah mengiktiraf kenyataan PAS bahawa wujudnya pengundi hantu. Pengiktirafan itu, ujarnya dibuktikan melalui pendedahan nama-nama meragukan yang bukannya seorang dua, tetapi sehingga lebih 60,000 nama. Menurutnya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan berkata nama-nama itu disiarkan untuk tatapan umum di laman web dan media bagi membolehkan individu berkenaan mengunjungi pejabat SPR bagi membantu menjelaskan kedudukan. “Namun, sehingga kini, kita menyedari bahawa ini hanyalah tindakan yang sekadar ingin melepaskan jerut di tengkuk bahkan ianya acuh tidak acuh,” katanya lagi. Tambahnya, terdapat beberapa sudut tindakan yang hanya dengan itu membuktikan SPR telus dan benar-benar menegakkan demokrasi di dalam negara. “Nama-nama yang disiarkan, mempunyai rekod alamat tempat tinggal. “Mengapakah tiada agensi, baik SPR, mahupun JPN melakukan penjejakan terhadap mereka ini?” soalnya. Ini, ujarnya adalah suatu kesalahan jenayah, kerana memalsukan maklumat diri seseorang warganegara. Beliau berkata, sebelum mereka mendaftar sebagai pengundi, ‘hantu-hantu’ itu perlu mempunyai kad pengenalan yang berasingan supaya dapat didaftar sebagai pengundi kedua atau berganda. Ujarnya lagi, penghasilan kad pengenalan ini dibuat di Jabatan Pendaftaran Negara dan rekod petugas yang mendaftar mereka di kaunter ada di dalam simpanan JPN. Maka, soalnya mengapa petugas-petugas yang mendaftar itu tidak disoal siasat. Bahkan, katanya jika didapati bersalah, mereka perlu ditangkap dan dibicarakan kerana mencemarkan institusi demokrasi negara dan secara lebih jelas, memperjudikan keselamatan negara kita. Katanya, pihak PDRM perlu menahan ‘hantu-hantu’ itu kerana mereka telah menipu kesemua rakyat negara ini dan memperjudikan keselamatan negara. Setelah siasatan dibuat, katanya pendedahan siapakah yang merupakan dalang utama ini pendaftaran haram hantu-hantu ini perlu dibuat. “Dalang-dalang ini perlu disiarkan muka mereka dikaca televisyen, dituntut meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia yang mendambakan keadilan. “Pihak SPRM juga perlu melihat kes ini dengan lebih kritis kerana mungkin membabitkan salah guna kuasa pihak SPR atau JPN,” ujarnya. Sepatutnya, kata beliau tindakan diatas perlu dikoordinasikan oleh pihak SPR jika benar-benar ingin melihat demokrasi negara ini menjadi bersih dan adil. Tambahnya, jika tindakan-tindakan itu tidak diambil, maka ternyata, SPR bahkan JPN memang dianggap hendak membela ‘hantu-hantu’ itu atas sebab-sebab menjaga kepentingan ahli politik dan parti pemerintah kerana SPR dan JPN adalah dilantik oleh pemerintah BN yang zalim. “Kami memperingatkan SPR dan JPN, supaya harta yang mereka cari, demi menjaga kerajaan BN serta diri mereka sendiri tidak menjadi bahan bakar api neraka di akhirat nanti,” ujarnya.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 29 Nov: ‘Tak Nak BN’ adalah jawapan kepada rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat supaya memilih lagi BN untuk memastikan agenda transformasi beliau terlaksana. AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, pada mula rakyat mungkin kagum dengan gagasan awal Datuk Seri Najib, seolah-olah beliau mahu membuat perubahan di negara ini. Tetapi, katanya lama-kelamaan Najib menunjukkan siapa sebenarnya beliau kerana rakyat sudah mual dengan slogan transformasi yang bertukar menjadi nasi basi. Apa tidaknya, jar beliau semakin hari semakin terserlah siapa sebenarnya Datuk Seri Najib. “Ahli Umno sudah maklum beliau memang terkenal sebagai seorang yang kaya dengan retorik sejak daripada beliau memegang Ketua Pemuda Umno lagi. “Buktinya ketika beliau mengumumkan untuk menghapuskan ISA, 13 mangsa di Sabah ditangkap,” ujarnya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, ketika Najib mengumumkan untuk memberi kelebihan kepada rakyat berhimpun, tiba-tiba pindaaan yang lebih teruk daripada sebelumnya, malahan lebih teruk daripada Myanmar. Katanya lagi, ketika indeks rasuah negara semakin teruk, beliau masih berasmara dengan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda, walaupun beliau memang disabit rasuah di dalam pemilihan Umno. “Cuba bayangkan daripada 3.2 juta ahli Umno, yang dipilihnya ialah Tan Sri Isa Samad, apa kelebihan yang ada pada Isa Samad, sehingga Datuk Seri Najib tidak nampak selain daripada beliau, sedangkan Felda adalah satu institusi yang cukup penting yang mempunyai dana dan eset yang begitu banyak selepas Petronas. “Sekarang beliau merayu supaya rakyat memilih lagi BN?” soalnya. Idris berkata, dengan sikap yang ditunjukkan oleh beliau selama menjadi Perdana Menteri telah gagal menggulakan rakyat dengan slogan 1Malaysia yang terbaru ialah slogan wasatiah. “Beliau tidak sedar ketika beliau beretorik dengan slogan transformasi rakyat menunggu dengan penuh ketekunan dan mencatat apa yang beliau cakap. “Tiba-tiba rakyat nampak ini hanya slogan kosong setelah menunggu sekelian lama,” ujarnya. Belia menambah, rakyat percaya jika BN menang maka GST, cukai 6 % prepaid, harga minyak, gula, tepung dan keperluan rakyat akan naik. Akhirnya, kata belia rakyat akan menjawab ‘Tak Nak BN’ dalam PRU ke-13 nanti.
Nazri Abdullah | KUALA LUMPUR, 29 Nov: Sebuah badan induk yang mewakili seluruh peneroka semalam memberi kata dua kepada Perdana Menteri sama ada sayangkan undi mereka pada pilihan raya umum akan datang atau lebih sayangkan Tan Sri Isa Samad.
Dilihat sebagai peringatan tegas kepada Najib, Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Felda dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda yang menaungi sejumlah 120,000 peneroka seluruh negara, menggesa perdana menteri itu menunaikan tuntutan mereka agar menyuruh Isa yang juga Pengerusi Felda berundur segera.
Selain Isa, yang dilihat 'membawa masalah' sejak dilantik setahun lalu, mereka juga menggesa Pengarah Seranta Felda Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd, Datuk Sabri Ahmad agar berundur sama.
“Di atas segala polemik, isu dan masalah yang timbul, JKPP dan GPW dengan ini sebulat suara mengusulkan kepada Tan Sri Isa Samad, Datuk Sabri Ahmad dan Datuk Noor Ehsanuddin agar mengundur diri secara terhormat.
"Jika hasrat kami ini tidak ditunaikan oleh YAB Persana Menteri, jelaslah sokongan peneroka Felda semasa pilihan raya umum ke-13 tidak lagi diperlukan oleh kerajaan memerintah,” kata mereka dalam satu kenyataan media semalam.
Satu sidang media juga turut diadakan di sebuah hotel di Ampang semalam yang dikendalikan Ketua Peneroka Kebangsaan Shamsuddin Othman (gambar) yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah Felda.
Turut serta pada sidang media itu, naib-naib pengerusi JKPP Wilayah serta GWP.
Kata dua itu dibuat sebagai bantahan dan rasa kesal mereka ekoran didakwa telah dipinggirkan oleh Isa daripada membuat keputusan berhubung penyenaraian Felda Global Ventures.
Selain itu, ianya juga sebagai bantahan kepada tindakan Isa yang didakwa secara terbuka telah mengeluarkan kenyataan menghina Shamsuddin selaku ketua kepada peneroka.
Mereka mendakwa, Isa pada satu taklimat mengenai proses penyenaraian di Kuala Pilah pada 12 November lalu telah menghina Shamsuddin dengan mengeluarkan ayat seperti “jika budak kecil, saya dah lempang”, “munafik”, “pembohong”, “penipu”, “jika saya jumpa saya akan lutu dia”.
Tindakan tersebut dilihat bukan sahaja menghina Shamsuddin, malah juga menghina seluruh peneroka.
"Segala pendapat dan pandangan kami pada hari ini adalah melampaui kepentingan parti politik dan sebagai bukti, ramai JKPP pada hari ini mempunyai jawatan tinggi dalam Umno Bahagian dan lain-lain.
"Namin ini tidak bermakna para peneroka dan penerokawati mudah untuk diperkotak-katikkan dan dihina ilmu dan pengalaman kami dalam bersama-sama mentadbir Felda," kata kenyataan mereka lagi. | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan