Pertamanya tahniah kepada komponen Pakatan Rakyat atas sikap saling menghormati dan cuba memahami kerenah serta kehendak antara parti-parti komponen. Pertembungan ketegasan generasi senior PAS dan DAP berkaitan dapat direda oleh generasi pertengahan serta generasi baru bukan saja dalam Pakatan Rakyat, bahkan mereka yang sekadar memerhati dari luar. Tulisan ini sekadar mengajak pembaca membuka sedikit ruangan minda terhadap kekalutan yang berlaku. Mungkin tidak sehebat tulisan mereka yang berpengalaman. Cuma kadangkala timbul persoalan terutama kepada yang mengaku beragama Islam, kenapakah sukar untuk mengakui, redha, menggunapakai serta menjadi duta Islam menerangkan keindahan hukum Islam kepada masyarakat keseluruhannya? Kebiasaannya mereka yang menentang hukum Islam yang dilihat agak tegas tetapi penuh keindahan ini, samada jahil , atau kerana mereka sendiri terlibat melakukan jenayah seperti yang terkandung di dalam hukum Islam itu? Tak pasti, hanya Allah saja mengetahuinya. Maka, mungkin boleh disimpulkan Hudud digeruni oleh Muslim yang bersalah sahaja, yang tidak melakukan jenayah tak perlu takut. Memang sukar untuk mereka yang tidak memahami untuk mudah menerima sesuatu yang di luar lingkungan pemahaman mereka. Apatah lagi jika majoriti menganggap “adil” dalam erti kata samarata. Timbulnya persoalan (kadangkala dari mulut celupar pemimpin mengaku Islam) berkenaan tidak adilnya jika berzina, yang non muslim hanya membayar denda sedangkan yang muslim disebat 100 kali sebatan di khalayak ramai (bagi yang belum berkahwin), dan rejam sampai mati bagi yang sudah berkahwin. Tidak pasti persoalan itu timbul kerana kejahilannya, atau supaya masyarakat umum memandang serong terhadap usaha PAS mendaulatkan hukum Islam. Mufti-mufti, ulama’ samada dalam UMNO atau non partisan mendiamkan diri, tidaklah diketahui samada mereka takut bersuara kerana jawatan, atau memang kenyataan begitu tidak sesat dan menyesatkan orang lain. Tidaklah juga janggal jika non muslim dalam MCA, DAP, PKR, MIC, PBS, SNAP atau mana-mana parti atau individu menyanggah hasrat PAS mengangkat hudud untuk dilaksanakan. Bukankah adil mereka mempersoalkan atau menyanggah kerana ianya bukan aspirasi, bahkan bukan termaktub di dalam agama mereka? Adil bagi mereka mempersoalkan mahupun menyanggah, tetapi zalim bagi yang mengaku beragama Islam bersikap sama. Namun, jika ahli UMNO sendiri menyanggah dan cuba mengelirukan dengan memberikan gambaran negatif, sedangkan non muslim dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) boleh menyokong bahkan sedia memberi penerangan kepada rakan-rakan non muslim, mungkin UMNO boleh berkursus atau mengambil subjek Perundangan Islam dari mereka (sekadar sindiran). Jikalah ada yang berkata, kita kena ambil masa supaya “semua” rakyat tahu apa itu HUDUD barulah boleh dilaksanakan. Baik, cuba kita survey “semua” rakyat di Malaysia, adakah mereka tahu kandungan undang-undang sedia ada? Adakah mereka tahu undang-undang terkini yang digubal? Adakah mereka tahu hak mereka jika ditahan dan disoal siasat penguatkuasa? Adakah mereka tahu hak mereka apabila dibicara di mahkamah? Pastinya ramai yang berkata, “Entah”. Tiada pula yang mengatakan undang-undang sedia ada samada undang-undang sivil mahupun syariah perlu dihentikan sementara dan dilaksanakan semula apabila “semua” rakyat mengetahui kandungannya dan hak mereka. Dalam kes qazaf, agak pelik juga Jabatan Agama Islam negeri-negeri seolah-olah tidak memberi respon terhadap tuduhan demi tuduhan terhadap dakwaan liwat oleh Dato Seri Anwar Ibrahim. Paling tidak pun, mereka kata ini bukan di mahkamah syariah sebagai mencuci tangan. Sehingga JAWI ( Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) pun menolak untuk dilibatkan atas alasan bukan urusan mereka. Jangan nanti ada yang berkata bila ada organisasi agama lain yang campurtangan terhadap urusan perjalanan tuduhan liwat ini, barulah geng-geng nasionalis bertempik supaya orang non muslim jangan campurtangan urusan agama Islam. Apa yang susahnya untuk membuktikan UMNO yang mengaku beragama Islam mendakwa DSAI dibawah undang-undang Islam? DSAI beragama Islam, Dr Munawar Anees seorang muslim, Sukma Darmawan seorang muslim, Mohd Saiful Bukhari Azlan juga muslim, apakah susah untuk dibawa ke mahkamah syariah? Islam sebagai satu cara hidup yang merangkumi keseluruhan perjalanan kehidupan termasuk undang-undang sudah pasti sepatutnya digunakan demi menegakkan keadilan. Satu ketika kononnya negarawan kita berkata lebih kurang maksudnya jika nak makan sup tangan boleh ke Kelantan. Juga kenyataan lebih kurang maksud jika tangan orang Islam kudung, macam mana mereka umat Islam nak maju? Bgaimana mereka nak berkerja? Termenung sekali logiknya macam ya. Termenung sekali lagi, terserlah kebodohannya. Persoalannya, adakah dengan hukuman potong tangan maka orang Islam berebut-rebut mencuri untuk dipotong tangan untuk melariskan industri sup tangan? Mungkin saki baki pencuri adalah non muslim kerana mereka hanya dikenakan denda wang ringgit? Maka yang muslim pun berkata, tak adillah begitu. Umat Islam diwajibkan berpuasa, dan tidak kepada non muslim melainkan mereka ingin mencuba. Tiada pula yang bersuara tidak adil puasa dalam bulan Ramadhan tidak dilaksanakan kepada non muslim? Apa maksud adil? Sama rata? Seorang anak perempuan mengatakan bapanya tak adil (samarata) kerana membelikannya baju kurung sedangkan adik lelakinya baju melayu bersamping. Seorang budak berumur 3 tahun mendakwa ibunya tidak adil (samarata) kerana nasi dan lauk untuk sedikit sedangkan abangnya berumur 13 tahun banyak. Apatah lagi jika ada yang berkata tak adil (samarata) kerana suami boleh mempunyai lebih seorang isteri dalam masa yang sama, sedangkan perempuan sebaliknya. Adakah mereka membuat neraca keadilan berdasarkan kefahaman dan keyakinan terhadap perintah Allah, atau berdasarkan kejahilan, nafsu serta dakwaan Islam mengikut kacamata orientalis? Apa pun, tahniah buat pimpinan Pakatan Rakyat kerana cermat menghadapi isu ini. PAS perlu lebih berkerja keras untuk menerangkan kepada rakyat menggunakan segala medium terhad yang ada sebagai jihad bekal mengadap Allah di akhirat kelak. Datuk Dr Haron Din | Soalan Saya sudah berbulan-bulan tidak tidur bersama suami kerana dia menjauhkan daripada saya. Setiap kali saya mendekatinya dia merungut “panas, rimas dan jauh daripada aku, aku tidak boleh mendekati kamu.” Apabila saya mengajaknya berubat dia enggan, sebaliknya mendakwa saya yang sakit dan perlu diubati. Ramai pengubat yang saya temui mengatakan suami saya disihir. Jika benar, apakah yang perlu saya lakukan untuk mengatasi masalah ini yang semakin genting. Aniza, Kuala Lumpur Jawapan Masalah dalam rumah tangga memang banyak. Salah satu daripadanya berkenaan kisah yang puan paparkan. Permasalahan sebegini banyak berlaku dan saya selalu diadukan hal-hal seperti ini. Ramai ahli perubatan mudah menyimpulkan dan mengaitkan masalah ini dengan sihir. Bagaimanapun saya sendiri tidak pandai untuk mengatakan bahawa suami disihir kerana saya tidak mengetahui perkara yang sebenar. Sebenarnya tiada orang yang boleh tahu ia adalah fenomena daripada sihir. Sihir memang wujud. Ia perkara ghaib. Nama atau istilah sihir itu sendiri bermakna sesuatu yang disembunyikan atau tersembunyi daripada orang ramai. Jika ia sihir, ia dilakukan secara sulit dan penuh rahsia. Jika ia rahsia, bagaimana para pengubat boleh mengatakan ia adalah sihir. Jika pengubat berkenaan memberitahu bahawa suami puan terkena sihir, maka ertinya dia mengetahui perkara ghaib. Saya pernah menjelaskan dalam ruangan ini sebelum ini, bahawa insan mana pun tidak akan mengetahui perkara yang ghaib kerana Allah berfirman (mafhumnya): "Katakanlah ‘Tiada sesiapapun mengetahui perkara yang ghaib sama ada yang menghuni langit atau bumi, melainkan Allah SWT sahaja...(hingga akhir ayat)." - Surah an-Naml ayat 65 Firman Allah (mafhumnya): "Allah sahajalah yang mengetahui segala yang ghaib, maka ada yang dizahirkan keghaiban itu kepada sesiapapun.” - Surah al-Jinn, ayat 26. Dalam peristiwa lain dalam hadis sahih diceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. disihir seorang Yahudi yang bernama Labeed bin al-A'ksam dan baginda sendiri tidak mengetahui disihir sehinggalah diberitahu oleh Jibril a.s. Jika Rasulullah s.a.w. sendiri tidak mengetahui disihirkan, bagaimana kita mudah-mudah mengetahui ada orang disihirkan? Oleh yang demikian saya berfikir kes puan ada kaitannya dengan permasalahan suami isteri. Ada kalanya saya bersetuju, apa yang dipaparkan ia ada kena mengena dengan sihir. Salah satu senario sihir seperti Firman Allah (mafhumnya): "...Dalam pada itu ada yang mempelajari ilmu sihir daripada Harut dan Marut, dengannya boleh menceraikan antara suami dan isteri...(hingga akhir ayat)." - Surah al-Baqarah, ayat 102. Ayat ini jelas menunjukkan wujudnya ilmu sihir dan antara perkara yang boleh berlaku adalah (dengan izin Allah) memusuh, melaga-lagakan sehingga mencerai beraikan suami isteri. Apa yang puan alami adalah kerengangan yang merosakkan fungsi perkahwinan. Seolah-olah telah hilang kemesraan dan kasih sayang sudah bertukar kepada permasalahan yang membawa keadaan yang tidak diingini. Kejadian seperti ini tidak semestinya daripada sihir perbuatan orang. Jika tidak kerana disihirkan pun, boleh terjadi kejadian sedemikian itu. Mungkin antaranya adalah kerana suami berpenyakit mati pucuk (sebagai contoh), dia malu memberitahu isterinya, lalu bersikap dingin, menyalahkan orang lain, kononnya dia disihirkan. Atau, suami hilang minat kepada isteri di atas kelemahan-kelemahan isteri yang suami tidak tahu untuk mengatasinya dan tidak mahu membincangkannya. Atau, kerana perangai-perangai isteri yang keterlaluan hingga menyebabkan suami menyampah terhadapnya. Atau dengan sebab-sebab lain seperti ada campur tangan pihak ketiga dan sebagainya yang menyebabkan suami hilang minat terhadap isteri, maka berlakulah perkara yang puan sebutkan tadi. Saya tidak bermaksud untuk meletakkan hal-hal yang sedemikian itu berlaku kepada puan. Saya sekadar ingin mengajak puan dan semua yang berlaku kes seumpama ini pada diri mereka, melihat dahulu faktor-faktor fizikal melanda kehidupan kita. Sekalipun berlaku apa yang puan sebutkan itu, maka ubatilah masalah itu dengan bersungguh-sungguh tanpa melabelkan ia perbuatan sihir. Ada kemungkinan bahawa hal seperti ini berlaku kerana gangguan syaitan yang tidak disuruh mana-mana atau dipergunakan ilmu sihir yang berinsusiasi dengan makhluk halus. Sememangnya syaitan itu musuh utama yang sentiasa berusaha memporak perandakan kehidupan anak Adam. Pun demikian tidak dikatakan sihir, walaupun tanda-tandanya semacam sihir. Jika mudah-mudah dianggap sebagai sihir, ia menimbulkan satu lagi penyakit iaitu sakit hati kepada orang yang buat sihir. Lebih malang lagi jika ada yang menuding jari 'si pulan itu membuatnya, si anu itu membuatnya' atau lebih teruk mendakwa jiran, kawan sepejabat atau orang terdekat melakukannya. Keparahan itu menyebabkan penyakit tidak terlerai, penyakit tidak disembuhkan. Apapun puan perlu cuba mengubati orang yang berpenyakit, cuba berjumpa orang yang diyakini boleh menolong, tiada penyakit yang tiada penawarnya. Sekurang-kurangnya puan dan suami berdoa ke hadrat Allah untuk disembuhkan, beramal dengan ayat-ayat al-Quran seperti yang tersebut dalam hadis-hadis sahih. "Nabi menyuruh keluarganya beramal dengan membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Naas, ayat al-Kursyi dan lain-lain." (Hadis riwayat A'ishah r.anha) Atau puan dan suami boleh tambah membawa 11 ayat dalam Surah al-Baqarah, ayat 1, 2, 3, 4 dan 5, baca ayat 255, 256, 257 dan 284, 285 serta 286. Berbuatlah demikian, lakukan cara yang disarankan oleh syarak untuk mengubati penyakit suami puan. Wallahua'lam.
Datuk Dr Haron Din | Soalan: Ustaz, saya ingin bertanya perihal yang berkaitan dengan bunian. Perkara ini timbul dalam keluarga saya sendiri, iaitu mengenai adik perempuan saya yang berperangai agak aneh. Kami sekeluarga amat musykil apabila beliau menolak pinangan orang, sebaliknya mengaku sudah berkahwin dengan makhluk halus atau bunian. 1. Soalan saya, apakah perkahwinan antara manusia dengan jin boleh berlaku? 2. Apakah hukumnya perkahwinan tersebut, sah atau tidak dari sisi Islam? Halimatussaadiah Bota, Perak Jawapan 1 Puan, Perkahwinan dalam erti kata yang kita fahami hari ini, tidur bersama selepas perkahwinan yang sah, memang berlaku di antara manusia dengan manusia sahaja seperti yang disebut oleh Allah S.W.T dalam Surah ar-Rum, ayat 21 (mahfumnya): "Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T, dijadikan bagi kamu (manusia) untuk pasanganmu dari jenis kamu juga (manusia), supaya kamu mendapat ketenangan dengannya dan dianugerahkan kepada kamu kasih sayang dan rahmat dari Allah S.w.T." Ayat ini menjelaskan bahawa pasangan hidup manusia dalam rumahtangga yang dirahmati Allah, adalah di antara manusia dengan manusia. Mengenai dakwaan adik puan yang menyatakan bahawa dia telah berkahwin dengan jin. Pada saya hal ini memang boleh berlaku pada suatu kemungkinan (possibility). Dalam sejarah sebagai contoh, berlaku kisah Puteri Balqis, Raja Perempuan di negeri Saba' (Yaman). Ada pendapat yang mengatakan bahawa, salah seorang daripada ibu bapanya adalah jin. Sama ada bapanya jin, ibunya manusia atau sebaliknya. Hal ini saya dapati ada tercatat dalam Tafsir al-Qurtubi, juzuk yang kesepuluh halaman 289, ketika membuat tafsiran kepada Surah al-Isra' ayat 64, yang menyebut firman Allah bahawasanya jin akan berusaha keras memperdayakan manusia untuk menderhaka kepada Allah dengan berbagai-bagai cara. Mereka menggunakan seni suara (nyanyian), tentera-tentera mereka digunakan, sehingga boleh bermusyarakah bersama untuk mendapatkan harta benda dan anak-anak milik bersama manusia hasil perkongsian dengan makhluk-makhluk halus ini. Disebut di antaranya, berlakulah perkahwinan tadi (ibu bapa Puteri Balqis). Dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.ha, Nabi pernah bersabda yang bermaksud, "Bahawasanya ada kalangan manusia ini yang akan menjadi mugharribeen, maka Aishah bertanya Nabi maksud mugharribuun itu? Maka Nabi bersabda yang bermaksud ialah mereka-mereka yang telah bermusyarakah dalam kehidupan rumahtangga dengan jin." Daripada rujukan ini menunjukkan bahawasanya ada kemungkinan manusia itu mengahwini jin sama seperti apa yang didakwakan. Kerana makhluk ini, seperti disebut dalam beberapa hadis, mereka boleh menyerupai dengan rupa-rupa yang diizinkan Allah kepada mereka menyerupainya. Tetapi dalam keadaan-keadaan yang amat sempit atau peluang yang mereka ada amat terhad, demi menjaga kemaslahatan anak Adam tidak terdedah dengan luas untuk ditanggung oleh makhluk-makhluk halus. Penjelmaan mereka menjadi makhluk seperti manusia, disabitkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, iaitu kejadian pencurian harta zakat yang dikawal selia oleh Abu Hurairah, sehingga Abu Hurairah boleh menangkapnya dan dibawa kepada Rasulullah s.a.w untuk pendakwaan. Walaupun akhirnya jin tersebut dilepaskan tetapi Nabi telah menyatakan bahawasanya yang mencuri itu adalah syaitan. Disabitkan juga bahawa penjelmaan jin itu wujud dalam bentuk yang jelas menyerupai manusia dalam peristiwa peperangan Badar seperti yang disebut dalam Surah al-Anfaal ayat 48 (mahfumnya): "Dan ketika dihiasi oleh syaitan kepada mereka, tentera Islam dengan katanya kepada mereka, kamu tidak dikalahkan oleh musuhmu oleh manusia dan saya adalah jiran kepada kamu yang akan membantu dalam peperangan ini. Maka apabila kedua-dua kumpulan (Islam dengan Kafir Jahilliyah) bersemuka untuk peperangan yang berjanji untuk menolong mereka orang-orang kuffar itu telah cabut lari mengatakan saya tidak lagi boleh bersama-sama dengan kamu kerana saya dapat melihat apa yang kamu tidak boleh lihat dan saya sesungguhnya amat takut kepada Allah dan Allah itu amat dahsyat keseksaan-Nya". Ayat ini merujuk kepada adanya kepada satu makhluk yang menjelma sebagai manusia kununnya untuk membantu askar-askar musuh (kuffar) menentang Islam dan sabit bahawa makhluk itu bukan manusia, tetapi jelas mereka adalah syaitan. Dengan demikian, jelaslah bahawasanya syaitan ini boleh menyerupai manusia dan dengan sendirinya boleh menjadi suami atau isteri kepada manusia. Jawapan 2 Hukumnya adalah jelas, jumhurnya ulama sudah berijma' bahawa hukumnya (mengahwini jin) tidak sah! Tidak boleh perkahwinan manusia dengan jin dilakukan. Melainkan ada seorang ulama yang bernama Qamuli yang menyatakan perkahwinan tersebut boleh. Namun saya berpegang kepada pandangan jumhur ulama bahawa hukum perkahwinan tersebut adalah tidak sah, kerana ianya menyalahi dengan ayat Surah ar-Rum yang disebut di atas. Perkahwinan antara manusia dengan jin tidak akan melahirkan ketenangan, kebahagiaan ataupun mendapat rahmat Allah SWT. Perkahwinan yang tidak sah pada hukum syarak tidak mungkin dirahmati Allah dan tidak mendapat restu Allah. Tidak mungkin kebahagian dan ketenangan berlaku! Kita dapat merasakan jika berlaku suatu krisis rumahtangga dengan mereka (golongan jin), bagaimana rumahtangga boleh aman daripada gangguan mereka? Malahan anak-anak yang mungkin lahir dari hubungan itu, akan menjadikan masalah kepada manusia, mereka tidak boleh bergaul dalam alam manusia dengan sanak saudara. Jika berlaku pula masalah dengan anak-anak jiran, maka ianya akan mengundang berbagai kecelakaan. Nasihat saya kepada keluarga puan, hindarilah hal-hal ini daripada berlaku. Wallahu a'lam. Ustaz Ahmad Adnan Fadzil | Soalan: Assalamualaikum..saya nak tanya, apakah hukum seorang lelaki dan perempuan yang bukan muhrim bersentuhan dan bercumbuan pada pertama kali tanpa melakukan zina? Adakah dosa keterlanjuran ini sangat berat walaupun tidak berlaku zina? Apakah Allah akan mengampunkan dosanya sekiranya mereka ini telah insaf dan tidak mengulangi perbuatan ini untuk kali kedua? Saya kurang jelas tentang hal ini.. Jawapan: Perbuatan tersebut sekalipun belum berzina tetapi ia telah membabitkan pelbagai dosa dan kesalahan yang ditegah Syariat, iaitu: - Ia menghampiri zina. Firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah kamu menghampiri zina” (Surah al-Isra’, ayat 32). Berkata Imam Ibnu Kathir; “Dengan ayat ini Allah menegah hamba-hambaNya dari zina, dari menghampirinya dan dari terlibat dengan segala sebab dan pendorong kepada zina” (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir).
- Berdua-dua antara lelaki dan wanita bukan mahram. Sabda Nabi; “Tidak bersunyian (berdua-duaan) seorang lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi yang ketiga antara mereka” (Sunan at-Tirmizi).
- Menyentuh bukan mahram. Sabda Nabi; “Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi, itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal untuknya” (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi. Berkata al-Haithami; para perawi hadis ini adalah perawi hadis soheh. Berkata al-Munziri; para perawinya adalah tsiqah Lihat; Faidhal-Qadier, hadis no. 7216). Jika menyentuh sudah begitu hebat ancamannya, bagaimana dengan saling bersentuhan dan bercumbuan.
- Membuka aurat kepada bukan mahram. Firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah mereka (perempuan-perempuan beriman) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak-anak lelaki mereka…” (Surah an-Nur, ayat 31). Di dalam hadis, Rasulullah bersabda kepada orang lelaki; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau hamba perempuan yang kamu miliki” (HR Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, an-Nasai dan at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Lihat hadis ini dalam al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 264)
- Tidak menjaga pandangan mata. Firman Allah; “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kemaluan mereka…. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kemaluan mereka” (Surah an-Nur, ayat 30-31).
- Melepaskan nafsu seks mengikut jalan yang haram. Di dalam al-Quran Allah menyebutkan di antara sifat orang beriman ialah; “Mereka yang menjaga kemaluan mereka, kecuali kepada isteri mereka atau hamba sahaya mereka, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela. Maka sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian itu, maka mereka adalah orang-orang yang melampaui batas” (Surah al-Mukminun, ayat 5-7). Perhatikan Allah menegaskan “sesiapa mengingini selain dari yang demikian itu” (yakni mencari jalan untuk melepaskan nafsu selain kepada isteri dan hamba sahaya) mereka adalah orang yang melampau batas. Dengan ayat ini Imam as-Syafiie menegaskan; Haram mengeluarkan mani dengan tangan (yakni melakukan onani) kerana ia termasuk melepaskan nafsu bukan kepada isteri atau hamba sahaya (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir). Jika melepaskan nafsu secara sendirian sudah dianggap haram, apatahlagi jika membabitkan pasangan yang bukan mahram, maka lebih-lebih lagilah haram.
Orang yang melakukan perbuatan sedemikian wajiblah ia segera bertaubat kepada Allah. Pintu taubat sentiasa dibuka oleh Allah dengan syarat ia benar-benar bertaubat nasuha iaitu dengan melaksanakan rukun-rukun taubat berikut; - Meninggalkan maksiat tersebut sepenuhnya.
- Menyesali ketelanjuran lalu dengan sesungguh hati.
- Bertekad tidak akan mengulangi lagi.
Sebagai bukti kejujuran taubatnya, ia hendaklah mengubah hidupnya dari suasana maksiat kepada suasana taat (menjaga ibadah terutamanya solat, menjauhi pergaulan luar batasan antara lelaki dan wanita, bergaul dengan orang-orang soleh, mendampingi masjid dan majlis ilmu, menanamkan rasa takut kepada Allah dan balasan di akhirat). Hanya dengan berada dalam suasana ketaatan sahaja kita dapat memelihara diri dari terjerumus ke dalam maksiat. Di dalam hadis, Rasulullah bersabda; “Seseorang manusia itu berada di atas agama teman rapatnya. Maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa ia berteman” (HR Imam at-Tirmizi dan Abu Daud dari Abu Hurairah. Menurut as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4516) Wallahu a’lam. Sumber: http://www.islamituindah.my
www.muzir.wordpress.com | Pada bulan Zulhijjah, terdapat padanya satu ibadah yang sangat besar pahalanya di sisi ALLAH `Azza wa Jalla, iaitu ibadah mengerjakan haji bagi sesiapa yang mampu. Ia melengkapkan rukun ISLAM pada diri seseorang Muslim. Disebut di dalam hadith bahawa ganjaran yang menanti bagi jemaah haji yang memperolehi haji yang mabrur ialah Syurga. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: “Satu umrah sampai umrah berikutnya adalah kafarat (penebus) dosa-dosa yang terjadi di antara kedua umrah itu. Dan haji yang mabrur tiada balasannya kecuali Syurga” (HR al-Bukhari & Muslim) Bagi ummat ISLAM yang tidak mempunyai kesempatan untuk mengerjakan ibadah haji, ALLAH `Azza wa Jalla tetap menyediakan keistimewaan yang besar untuk direbut pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Apakah amalan-amalan itu? 1. Memperbanyakkan amalan kebaikan dan ibadah sunnat sepanjang 10 hari pertama pada bulan Zulhijjah. Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhu bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih di kasihi ALLAH selain dari hari-hari yang sepuluh ini (pada bulan Zulhijjah).” Para sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan Allah?” Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: “Walaupun berjihad di jalan ALLAH, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu(syahid).” (HR al-Bukhari) 2. Puasa pada hari `Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah Dari Abu Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah ditanya tentang puasa hari `Arafah, kemudian Baginda menjawab: “Puasa itu dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang.” (HR Muslim) 3. Solat `Eidul-Adha Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan dua hari istimewa kalian itu dengan dua hari yang lebih istimewa daripadanya, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha” - Hadith riwayat Abu Daud: 1134, al-Albani mensahihkannya di dalam as-Silsilah as-Sahihah: 2021. “Sesungguhnya sebaik-baik hari di sisi ALLAH adalah Hari Raya Aidiladha.” - Hadith riwayat Abu Daud: 1765, al-Albani mensahihkannya di dalam Sahih Abu Daud. 4. Menyembelih haiwan korban selepas Solat `Eidul-Adha. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: “Amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang sangat disukai ALLAH ialah menyembelih korban. Sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat dengan tanduk, kuku dan bulu-bulunya. Sesungguhnya ALLAH akan menerima penyembelihan korban itu sebelum darahnya tumpah ke bumi. Maka, kamu hendaklah ikhlaskan diri semasa melakukan korban itu.” - Ibn Majah: 3117 dan at-Tirmizi: 1412 Begitulah di antara beberapa amalan yang wajar menjadi rebutan buat kita ummat ISLAM dalam menambah bekalan menuju Hari Akhirat. Semoga dengan adanya peringatan ini menjadikan kita di kalangan insan yang beruntung dalam mengambil faedah 10 hari-hari terawal bulan Zulhijjah. ALLAHU A`LAM. | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan