Selasa, 15 November 2011

MAHU KE LETAK JAWATAN...BILA LETAK JAWATAN KUASA DAN KUKU MULA HILANG...KITA TAK DISANJUNG LAGI....TUNGGU AJE HUKUM DIAKHIRAT

Di mana SPRM dalam isu skandal NFC | Print |
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 14 Nov: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad mempersoal tiada sebarang siasatan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun laporan sudah dibuat mengenai National Feedlot Corporation (NFC) dengan menamakan individu tertentu termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kenapa sampai hari ini belum ada tindakan daripada SPRM?

“Jika isu ini melibatkan Pakatan Rakyat, sudah tentu awal-awal lagi kita sudah disiasat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor pada sidang media di lobi Parlimen.

Katanya lagi, skandal NFC itu membuktikan kegagalan transformasi Najib yang ingin memerangi ketirisan.

"Ini satu skandal yang boleh menjatuhkan menteri apa lagi bila diberi kepada suami dan anak.

"Apa lagi yang ingin dipertahankan sedangkan Ketua Audit Negara laporkan demikian.

"Najib hilang wibawa dan kelayakan untuk bawa reform yang katanya untuk menentang ketirisan," katanya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, Ketua Wanita dan Pengarah Strategi PKR, Zuraida Kamaruddin dan Rafizi Ramli.

Sementara itu, SPRM dalam satu kenyataan ingin merujuk kepada laporan beberapa media yang tersiar berhubung dengan www.sprm.gov.my National Feedlot Corporation (NFC) mengesahkan bahawa satu aduan telah diterima daripada orang ramai berhubung dengan isu pembelian kondominium mewah bernilai RM 9.8 juta yang dikatakan menggunakan wang NFC.

Aduan ini telah dirujuk kepada Bahagian Perundangan Dan Pendakwaan SPRM dan setelah diteliti aduan tersebut, bahagian itu telah mengaklasifikasikan aduan tersebut di bawah kesalahan Kanun Keseksaan dan bukannya satu kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM sepertimana termaktub dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM 2009).

Sehubungan itu SPRM telah diminta merujuk aduan tersebut kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia juga selaras dengan nasihat daripada Lembaga Penasihat dan Pencegahan Rasuah yang meminta SPRM tidak menjalankan siasatan selain daripada kesalahan di bawah ASPRM 2009.

Tindakan telah diambil dengan merujuk aduan ini kepada pihak PDRM.

Pengadu telahpun dimaklumkan berkenaan keputusan tersebut dan beliau bersetuju dengan tindakan SPRM.


Kekalkan perpaduan hadapi PRU13 | Print |
Muhammad Faizal

AMPANG, 14 Nov: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti perlu memastikan perpaduan antara kaum dikekalkan.

Beliau yang berucap sewaktu perasmian bilik gerakan utama pilihanraya Parlimen Ampang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa hari ini memberitahu selain perpaduan kaum setiap jentera perlu bekerja keras bagi memastikan setiap undi di perolehi dari setiap penduduk.

"Kalau kita ingin memastikan kemenangan pada PRU13 nanti perkara utama adalah kekalkan perpaduan kaum dan adakah kita sudah pasti perpaduan kaum ini telah kita patuhi sepenuhnya.

"Ingat Malaysia milik semua dan jangan hanya kita pentingkan diri sendiri, kita jangan ikut apa yang Umno lakukan kerana mereka hanya memperjuang satu kaum sahaja malah tidak menghiraukan kaum lain," jelasnya.

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh meminta setiap jentera perlu kerja dengan lebih kuat lagi bagi memastikan setiap undi diperolehi dari mereka yang berdaftar.

"Selain perpaduan kaum perlu dipertingkatkan dalam masa yang sama kita kena kerja lebih kuat dalam memastikan undi menjadi milik kita.

"Kita tahu apa yang telah Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) lakukan yang mana terdapat peningkatan nama-nama baru di dalam daftar pemilih mereka, melihat dari apa yang berlaku kita akan rasa sukar untuk kita perolehi kemenangan tetapi kalau kita bekerja kuat itu bukan satu yang mustahil.

"Peringkat atas setiap pemimpin akan bekerja tetapi saya harap peringkat jentera perlu pastikan kerja kita juga melebihi apa yang kita buat sebelum ini," sambungnya lagi.

Dalam pada itu beliau juga telah mengumumkan kemasukan bekas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Brid. Jen (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab ke dalam PKR bagi memastikan kekuatan jentera parti pada pilihanraya nanti.


Satu lagi bukti projek ‘antarabangsa’ LTAM | Print |
http://wwwaizatlegendz.blogspot.com/

Projek gajah putih Kerajaan negeri Melaka iaitu projek Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) yang berjumlah RM131 juta yang sebelum ini sunyi dari kapal terbang difahamkan telah dikendalikan oleh Melaka Air Sdn.Bhd (MASB) iaitu sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Melaka yang ditubuhkan pada 17 Jun 2011.

Justeru bagi mencapai status antarabangsa, sebuah laman web rasmi Melaka Air telah dibina (http://www.yayasanmelaka.gov.my/melakair_bm/index.html) bagi memudahkan orang ramai membuat tempahan penerbangan di mana segala maklumat penerbangan di muatkan di dalam laman web tersebut.

Peliknya, setelah di tinjau laman web tersebut, hanya seorang kakitangan sahaja di lihat menguruskan tempahan tiket dan tempahan adalah melalui panggilan telefon dan email.

Ianya sangat berbeza dengan syarikat penerbangan yang menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan tempahan melalui laman web. Kebiasaannya 3 atau 4 orang paling sedikit di perlukan bagi urusan tempahan itupun sekadar menjawab sebarang pertanyaan. Bahkan jika di bandingkan dengan syarikat penerbangan laintempahan tiket penerbangan kebiasaan di buat secara on-line bukannya melalui panggilan telefon atau email.

Ianya suatu yang pelik, bagaimana airport ini boleh diiktiraf sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) sedangkan kelengkapan dan kemudahan tempahan sahaja tidak memenuhi ciri-ciri antarabangsa tersebut.

Sebelum ini jualan dan tempahan tiket penerbangan domestik dari Melaka ke Pulau Pinang dan Kelantan di lakukan melalui laman web FireFly. Namun selepas pelancaran Melaka Air, jualan tiket tersebut sudah tiada lagi pada website Firefly.

Suatu perkara pelik yang lain adalah bagaimana Ketua Menteri Datuk Ali Rustam boleh membenarkan penerbangan domestic ke Pulau Pinang dan Kelantan yang di perintah oleh pembangkang sedangkan suatu ketika dahulu beliau sendiri pernah mengeluarkan arahan menghalang kakitangan kerajaan ke Kelantan.

Mungkin Ali Rustam lupa yang Kelantan sebuah Negeri ‘miskin dan mundur’ sehingga terpaksa membenarkan kapal terbang ‘antarabangsa’nya mendarat ke negeri tersebut.


Fidlot: Bung gesa Shahrizat letak jawatan | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 14 Nov: Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) menggesa menteri kabinet yang bertanggungjawab dalam Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) patut meletakkan jawatan.

Bercakap di Dewan Rakyat sewaktu penggulungan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Chor Har berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2012, Bung berkata, tindakan itu perlu kerana isu tersebut menyusahkan parti.

Beliau yang berang ketika membangkitkan isu yang dikaitkan dengan syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil itu juga mahu tindakan segera diambil kepada pemimpin wanita Umno itu yang didakwa mencalar imej Umno.

"Pendirian saya cukup jelas, macam isu Fidlot, saya memang setuju ini bukan kerja Umno, ini kerja perseorangan. Pada saya orang ini harus bertanggungjawab.

"Kalau saya pada tempat ini, saya letak jawatan, menyusahkan. Dia punya kerja semua musnah. Mana tidak betul, kita kena betulkan.

"Walaupun dia menteri Umno, siapa dia, dia bersalah, letak jawatan lebih baik daripada jadi liabiliti keapda Umno dan Barisan. Kita tegas, sebab kita memerintah negara ini dengan adil," katanya.

Tambahnya lagi kerana seorang individu yang terlibat dengan isu fidlot kebangsaan itu menyebabkan seluruh Umno susah.

"Kerana seorang individu yang terlibat dalam isu fidlot seluruh Umno susah, saya harap letak jawatan segera dan jangan menyusahkan Umno kerana dia kita yang susah nak menjawab setiap pertanyaan rakyat di luar," sambungnya yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC)

PKR sebelum ini mendedahkan status dana rakyat sebanyak RM256 juta (RM250 juta dalam bentuk pinjaman dan RM6 juta dalam bentuk geran) telah disalurkan sepenuhnya kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

Ini termasuklah pindahan wang ke dalam akaun-akaun deposit tetap milik NFC yang bakinya berjumlah RM119 juta pada 31 Disember 2009, pindahan wang kepada syarikat-syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil sehingga mencecah jumlah RM83 juta pada 31 Disember 2009, perbelanjaan perjalanan luar negara dan keraian berjumlah RM828,000 dalam tahun 2009 dan subsidi kepada restoran Meatworks milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil berjumlah RM3 juta dalam tahun 2009.


Adun Umno diperintah bayar gantirugi kepada PKINK | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Nov: Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini mengarahkan Adun Umno Kubu Gajah, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar membayar gantirugi kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Mahkamah juga menetapkan 30 November ini untuk Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu menetapkan tarikh bagi mendengar taksiran gantirugi yang perlu dibayar oleh Raja Ahmad Zainuddin.

Pada 30 Oktober yang lalu Yang Arif Hakim Datuk Ahmad Zaidi bin Ibrahim membenarkan tuntutan Plaintif (PKINK) dengan kos ke atas Raja Ahmad Zainuddin (Defendan Ketiga) di atas penerbitan berita fitnah yang diterbitkan oleh akhbar Mingguan Watan Bil 17, Ahad 21-27 Disember 2008 bertajuk “ Siasat Pemimpin-Pemimpin PAS Kelantan Seleweng Ekuiti PKINK” .

Raja Ahmad Zainuddin telah disaman atas kapasitinya sebagai Penasihat Jabatan Pengarang Mingguan Watan .

Semasa perbicaraan, beliau didakwa cuba menafikan bahawa beliau mempunyai pengetahuan terhadap berita fitnah yang dilaporkan oleh akhbar Watan tersebut.

Namun semasa pemeriksaan balas oleh peguam PKINK beliau bersetuju bahawa beliau tidak pernah membuat apa-apa aduan kepada pihak Watan berhubung penerbitan berita fitnah tersebut.

Beliau juga mengakui tidak ada membuat apa-apa laporan polis di atas berita fitnah tersebut.

Beliau juga mengakui bahawa beliau adalah salah seorang penulis di akhbar Watan tersebut.

Raja Ahmad Zainuddin juga sebelum ini pernah cuba membatalkan saman PKINK ke atas beliau namun hakim yang sama juga menolak permohonan beliau dan meminta kes saman tersebut dibicarakan .

PKINK diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin bersama-sama Encik Hisham Fauzi dari Tetuan Hisham Fauzi & Associates manakala Dato Raja Ahmad Zainuddin pula diwakili oleh peguam Umno iaitu Dato Hafarizam Harun dan dibantu oleh Encik Faizal dan Encik Badrul Hisham dari Tetuan Ong-Hanim & Badrul .


Bajet 2012 Kedah dibentang esok | Print |
Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 14 Nov: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah dan pembentangan Bajet 2012 akan berlangsung selama tiga hari bermula esok dan berakhir Khamis ini.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah akan merasmikan pembukaan persidangan Dun ke-12, mesyuarat kedua, penggal keempat ini.

Menurut Timbalan Speaker Dun Kedah, Ustaz Ahmad Izzat Shauki, persidangan kali ini akan disiarkan secara langsung menerusi laman rasmi amantv.net.

"Kita telah memberikan kebenaran kepada Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah untuk menyiarkan secara langsung persidangan kali ini melalui webtv.

"Mereka sedang berusaha untuk berbuat demikian dan insyaAllah kalau tak ada apa-apa halangan sidang kali ini boleh diikuti di amantv.net," katanya.

Tiada ulasan: