Rabu, 30 November 2011

SAPE YANG CELIK DAN SAPE YANG BUTA ATAU BUAT PEKAK SAJA

Kita bising ahli sukan Israel masuk tapi senyap dengan hubungan dagang? | Print |
http://chegubard.blogspot.com
Ini gambar Menteri Umno dan dibelakng beliau berdiri seorang peninju Israel yang masuk ke negara ini melalui sempadan Malaysia - Thailand. Dikatakan peninju tersebut ditahan oleh Imegresen ketika cuba memasuki negara. Jelas Malaysia tidak membenarkan warga negara malaysia memasuki Israel dan begitu juga sebaliknya namun kerana campur tangan Menteri sendiri peninju tersebut kemudian dibenarkan masuk. Imegresen hanya akur arahan Menteri, membenarkan peninju itu masuk.

Memang benar kononya Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin dengan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel. Walaupun begitu ramai yang sudah maklum pemutusan hubungan diplomatik itu bersifat lemah dan longgar. Pernah didedahkan seorang warga negara Malaysia yang terdiri dari kerabat diraja pernah memasuki Israel atas urusan perniagaan. Malah Malaysia sendiri berapa banyak kali telah ditembusi oleh warga Israel atas nama persidangan dan sukan. walaupun putus hubungan diplomatik tetapi ia boleh disambung dalam keadaan tertentu berdasarkan kepentingan semasa. maka apa erti pemutusan hubungan diplomatik ini?

Terbaru masuk seorang peninju dari Israel dan kali ini menjadi sedikit heboh kerana kononya peninju ini telah ditahan Imegresen tetapi kerana campur tangan menteri dia dibenarkan masuk. Menteri tersebut pula secara dangkal menyalahkan pula orang lain kononya tindakan dia halal hanya semata-mata acara sukan tersebut turut mendapat tajaan Kerajaan Selangor. Adakah kalau perkara salah tetapi turut dibuat PR maka ia menghalalkan tindakan salah tersebut turut dilakukan Bn ? seperti hujah anak tahun 3 sekolah rendah sahaja. Kerajaan Selangor dalam respon mereka kemudian menyatakan dengan jelas tajaan diberikan kepada penganjur kerana penganjuran secara tidak lansung mempromosikan pelancongan Selangor dan penganjur tidak dimaklumkan kehadiran peninju Israel tersebut.

Namun bagi SAMM isu ini masih kecil dalam perihal menangani keganasan Israel. Tahukah kita semua bahawa Malaysia telah lama punya hubungan dagang dan membantu ekonomi Israel. Soalan ini telah dibangkitkan dalam parlimen minggu lepas oleh Ahli Parlimen Bakri. usaha beliau menuntut jawapan telah menyebabkan beliau dihalau dari dewan.



di atas ialah bukti jelas bergambar bahan - bahan rujukan berkaitan perdagangan Malaysia - Israel yang terdapat di perpustakaan MITI di Kuala Lumpur.
Malah dalam satu petikan ucapan pimpinan utama negara haram israel Micha Harish, Israel Minister of Industry & Trade dalam Israel-Asia Chamber of Commerce menulis pernah menulis kata-kata aluan yang dipetik dalam satu makalah promosi perdagangan Israel mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia kerana sudi punya hubungan dagang membantu ekonomi Israel.

Dahulu sememangnya Malaysia ada satu undang – undang yang dipanggil Akta Larangan Perdagangan yang menghalang sebarang hubungan dagang lansung dan tidak lansung dengan dua buah negara iaitu Israel dan Afrika Selatan kerana dasar Apartheid.

Namun sebaik sahaja dasar Apartheid di Afrika Selatan ‘runtuh’ maka pada tahun 1994 dibawah kabinet Dr. Mahathir dasar kerajaan telah diubah dengan meluluskan pindaan Akta Larangan Import (pindaan bil.7) yang bukan sahaja menarik balik sekatan larangan dagang dengan Afrika Selatan tetapi kesempatan diambil untuk jalin hubungan dagang dengan Israel.

Sejak itu Malaysia menjadi antara rakan dagang utama dan penyumbang kekuatan ekonomi kepada negara haram Israel ketika kebanyakan negara memboikot Israel.

Kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya organisasi yang memperjuangkan isu Palestin, tidakkah kita membuang masa mengumpul dana kecil atau baju terpakai untuk rakyat Palestin sedangkan regim penguasa sedang giat secara rasmi jalin hubungan dagang bantu ekonomi negara haram Israel.

Seluruh rakyat harus malu dengan hakikat ini, melawan Israel itu wajib khususnya bagi umat Islam. Tidak ada yang paling bangsat bagi satu-satu umat itu apabila kiblatnya dijajah. Maka bangkitlah, hanya satu cara sahaja jatuhkan Bn regim pewaris penjajah penjaga legasi perang salib maka kita meletakkan negara ini dalam trek betul membantu perjuangan pembebasan Palestin khususnya Al Aqsa.

Kenyataan terbuka

che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
2 Nov 2011

Monyet dan kucing tunggu janji Ali Rustam | Print |
http://mutaligat.blogspot.com

Monyet dan kucing di Merlimau sudah menunggu lebih 8 bulan untuk melihat taman mereka dibina di Merlimau. Ini kerana Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pernah berjanji pada kempen Pilihanraya Kecil Merlimau bahawa satu taman untuk mereka akan dibina di Jeti Merlimau.

Mohd Ali dalam kenyataannya pada 10 Februari lalu memberitahu bahawa kerajaan negeri bercadang mewujudkan taman rekreasi yang mengandungi habitat binatang ternakan berhampiran Jeti Muara Sungai Merlimau di pada masa depan.

Beliau berkata, rancangan tersebut termasuk dalam projek menaik taraf jeti berkenaan yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM5.6 juta.

Menurutnya, peruntukkan itu disediakan di bawah kerajaan Pusat selepas perlaksanaanya diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengadakan lawatan ke jeti tersebut tahun lalu.

”Jeti Muara Sungai Merlimau ini akan menjadi salah sebuah taman rekreasi di negeri ini malah di situ bukan sahaja ada jeti tetapi ada taman hidupan monyet dan kucing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan nelayan Jeti Muara Sungai Merlimau di Merlimau semasa berkempen untuk memancing undi pengundi Merlimau.

Saya yakin jika monyet dan kucing di Merlimau boleh berkata-kata dan menulis sudah tentu mereka akan membuat temujanji dan menghantar memorandum kepada Ketua Menteri untuk meminta pembinaannya disegerakan.

Nampaknya Ketua Menteri cuba memperdayakan bukan sahaja manusia malah binatang pun diperdayakan.

Saya menuntut beliau memohon maaf kepada kucing dan monyet.


Satu lagi bukti projek ‘antarabangsa’ LTAM | Print |
http://wwwaizatlegendz.blogspot.com/

Projek gajah putih Kerajaan negeri Melaka iaitu projek Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) yang berjumlah RM131 juta yang sebelum ini sunyi dari kapal terbang difahamkan telah dikendalikan oleh Melaka Air Sdn.Bhd (MASB) iaitu sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Melaka yang ditubuhkan pada 17 Jun 2011.

Justeru bagi mencapai status antarabangsa, sebuah laman web rasmi Melaka Air telah dibina (http://www.yayasanmelaka.gov.my/melakair_bm/index.html) bagi memudahkan orang ramai membuat tempahan penerbangan di mana segala maklumat penerbangan di muatkan di dalam laman web tersebut.

Peliknya, setelah di tinjau laman web tersebut, hanya seorang kakitangan sahaja di lihat menguruskan tempahan tiket dan tempahan adalah melalui panggilan telefon dan email.

Ianya sangat berbeza dengan syarikat penerbangan yang menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan tempahan melalui laman web. Kebiasaannya 3 atau 4 orang paling sedikit di perlukan bagi urusan tempahan itupun sekadar menjawab sebarang pertanyaan. Bahkan jika di bandingkan dengan syarikat penerbangan laintempahan tiket penerbangan kebiasaan di buat secara on-line bukannya melalui panggilan telefon atau email.

Ianya suatu yang pelik, bagaimana airport ini boleh diiktiraf sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) sedangkan kelengkapan dan kemudahan tempahan sahaja tidak memenuhi ciri-ciri antarabangsa tersebut.

Sebelum ini jualan dan tempahan tiket penerbangan domestik dari Melaka ke Pulau Pinang dan Kelantan di lakukan melalui laman web FireFly. Namun selepas pelancaran Melaka Air, jualan tiket tersebut sudah tiada lagi pada website Firefly.

Suatu perkara pelik yang lain adalah bagaimana Ketua Menteri Datuk Ali Rustam boleh membenarkan penerbangan domestic ke Pulau Pinang dan Kelantan yang di perintah oleh pembangkang sedangkan suatu ketika dahulu beliau sendiri pernah mengeluarkan arahan menghalang kakitangan kerajaan ke Kelantan.

Mungkin Ali Rustam lupa yang Kelantan sebuah Negeri ‘miskin dan mundur’ sehingga terpaksa membenarkan kapal terbang ‘antarabangsa’nya mendarat ke negeri tersebut.


Hakisan Pantai Tok Jembal, di mana kesudahannya? | Print |
http://www.drazmanibrahim.com/

Tanpa kajian teliti impak alam sekitar terhadap perlaksanaan sesuatu projek, fenomena alam semulajadi tentu tidak akan bersimpati dengan kita. Ilmu tentang ombak, arus laut, pasang-surut air, arah tiupan angin semunya telah ada tetapi kecuaian diperingkat awal selalunya terpaksa dibayar dengan harga yang sangat mahal di samping impak negatif yang memberi kesan kepada sejumlah besar penduduk. Inilah realiti yang menimpa persisiran Pantai Tok Jembal sehingga keindahan semulajadinya sebagai pantai pelancongan dan lokasi pendaratan bot-bot nelayan pesisir pantai semakin hilang ditelan rakusnya ombak Laut Cina Selatan. Phenomena ini akan lebih menjadi igauan kepada penduduk sekitar terutamanya menjelang musim tengkujuh yang mula melanda sekarang. Tentunya tindakan menyalahkan takdir atas apa yang berlaku adalah sekadar untuk lepas tangan.

Walaupun pihak berwajib yang berkelayakan tidak pernah mengeluarkan suatu kenyataan rasmi akan punca dan penyebab hakisan yang berlaku, pemerhatian penduduk setempat mengesyaki dan meyakini bahawa puncanya adalah penambakan laut bagi projek pemanjangan landasan terbang, Lapangan Terbang Sultan Mahmud ekoran hakisan ini yang memanjang kira-kira 1 km bermula dari kawasan berhampiran lapangan terbang sehingga ke pesisiran pantai berhampiran Universiti Malaysia Terengganu dikesan mulai merebak beberapa bulan setelah projek pemanjangan landasan terbang disiapkan.

Kita dimaklumkan pengunjuran landasan terbang ke dalam laut adalah menggunakan kaedah 'tebusguna' dimana pasir dari dasar lautan dipam untuk penambakan.
Apabila pasir dasar laut di alihkan, bermakna berlaku pemusnahan 'beting pasir' yang selama ini dapat menahan gelombang terutamanya dimusim tengkujuh. Kaedah tebusguna (reclamation) tersebut menyebabkan tiada lagi halangan gelombang bawahan menyebabkan ombak terus menghempas ke pinggir pantai. Akibatnya, ombak akan menghakis apa sahaja yang terdapat dipinggir bagi mewujudkan beting pasir baru didasar lautan. Sebab itulah berlaku hakisan dan selagi mana beting pasir itu tidak terbina selagi itulah akan berlaku hakisan.

Kontraktor projek tentunya telah mengaut puluhan juta ringgit keuntungan. Orang-orang tertentu juga tentunya telah menerima komisyen masing-masing. Boeing 747 pun sudah boleh mendarat di LTSM sebagaimana yang diimpikan oleh sebahagian pemimpin negeri walaupun pendaratan pesawat untuk penerbangan antarabangsa ini cuma berlaku ketika musim haji dan musim pertandingan kuda. Hari-hari biasa, penerbangan komersial ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa jauh mengatasi bilangan penerbangan ke sini walaupun LTSIP bukanlah sebuah lapangan terbang antarabangsa.

Soalnya sekarang, siapa yang sepatutnya mengambil tanggungjawab menangani hakisan dan kemusnahan yang berlaku? Apakah telah ada suatu kajian teliti akan sebab dan musababnya? Kalau telah ada, rakyat berhak untuk mengetahuinya. Ahli Parlimen Kuala Nerus sendiri, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri pada 28 Februari lalu pernah menjanjikan suatu kajian untuk mengenalpasti puncanya akan dilakukan, tetapi akhirnya senyap tanpa khabar berita.

Belajar dari tragisnya kehilangan Kampung Pantai Sabak di Pengkalan Chepa ekoran hakisan pantai, kita tentunya tidak ingin melihat sejarah pahitnya berulang di Kampung Tok Jembal. Tindakan sambil lewa sekadar sebagai modal politik tidak akan banyak menyumbang untuk memperbaiki keadaan walaupun banyak duit rakyat telah dicurahkan ke laut.

Difahamkan kerajaan telah memperuntukan RM50 juta bagi kerja-kerja penambakan dan pencegahan hakisan di kiri dan kanan Lapangan Terbang, tetapi jelas kerja-kerja yang dilakukan masih gagal menghadirkan ketenangan kepada penduduk. Sekali lagi kontraktor berkenaan yang kekenyangan.

Bagi pihak Lujnah Alam Sekitar PAS Terengganu, kita menuntut suatu kajian teliti oleh agensi yang berkelayakan dilakukan segera, hasil kajian perlu didedahkan untuk makluman umum dan seterusnya perlaksanaan tindakan pemulihan dan pembaikian berdasarkan hasil kajian. Duit rakyat juga tidak sewajarnya dibelanjakan untuk menanggung puluhan juta ringgit kos. Kontraktor Pembesaran Lapangan Terbang juga perlu bersama tampil bertanggungjawab menanggung sebahagian kos kerana sebagai kontraktor mereka tentunya mempunyai pakar perunding yang sepatutnya telah mengambil kira semua kemungkinan yang bakal dan mungkin berlaku. Tidak sepatutnya setelah mengaut keuntungan, mereka berlepas tangan. Setiap projek juga pastinya mempunyai tempoh edah jaminan di mana segala impak sampingan yang berlaku masih di bawah tanggungjawab kontraktor terbabit.

Mungkin hanya beberapa kerat penduduk Kampung Tok Jembal yang mampu memanfaatkan kemudahan lapangan terbang tetapi ‘tempias ombak Laut Cina Selatan’ membasahi mereka serta menggugat ketenangan dan keharmonian kehidupan seharian yang rata-ratanya adalah kelompok nelayan pantai.

Dr Azman Ibrahim

Pengerusi Lujnah Alam Sekitar dan Pengguna Badan Perhubungan PAS Terengganu

Penjawat awam terlalu ramai? | Print |
http://gm-ukm.blogspot.com





Kecoh seketika apabila isu jumlah kakitangan kerajaan sama ada di persekutuan dan pentadbiran negeri dikatakan terlalu ramai sehinggakan terdapat usul untuk mengurangkannya oleh seorang Ahli Parlimen baru-baru ini.

Permis pertama, bilangan penduduk negara kini mencecah hampir 28 juta orang dan daripada maklumat sumber JPA, kakitangan awam kini mencecah 1.4 juta orang; Itu adalah fakta. Bukan menjadi pertikaian lagi.

Premis kedua. Saban tahun kakitangan awam ditambah, dan saban tahun akan berlaku kenaikan gaji dan imbuhan bonus kepada mereka; kos yang amat tinggi yang perlu ditanggung oleh kerajaan. Terbaru dalam Bajet 2012, pihak kerajaan mengumumkan akan wujud lebih banyak mata gaji. Ini bermakna, penjawat awam akan mendapat gaji maksimum lebih tinggi, sehingga kepada 37.7 peratus. Malah usia wajib bersara dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun.

Kewajipan pihak kerajaan

Tapi itu bukan isunya. Memang menjadi kewajipan sesebuah kerajaan perlu malah wajib menjaga dan membela kebajikan kakitangan mereka.

Isunya di sini nisbah antara jumlah kakitangan awam dan jumlah keseluruhan rakyat Malaysia membawa kepada 1:20, satu angka yang agak besar bagi sebuah negara yang kecil seperti Malaysia. Isunya juga di sini, bagaimana pihak kerajaan mahu memastikan rakyat Malaysia yang di luar penjawat awam turut terbela ?

Guru 400 ribu, polis-tentera 200 ribu

Di negara kita, bilangan guru-guru sahaja sudah menjangkau 400 ribu orang, ditambah pula dengan bilangan polis seramai 100 ribu orang, ditambah lagi dengan pasukan tentera seramai 100 ribu orang, bilangan ini telah menduduki separuh daripada bilangan kakitangan awam yang lain.

Harus difahami isu di sini, 1.4 juta orang kakitangan awam adalah meliputi kakitangan awam yang berada di peringkat kerajaan negeri serta kerajaan tempatan. Faktanya adalah memang benar kakitangan awam kita ramai, sebuah organisasi yang menggelembung besar (big fat in small bottle).

Antara salah satu faktor berlaku limpahan 'gelembung besar' itu kerana banyak jawatan dan fungsi yang bertindan berlaku antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri mahupun kerajaan tempatan. Berlaku masalah bertindan dari segi struktur dan fungsinya ataupun tugas yang berulang.

Contohnya jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pertanian & Asas Tani, banyak bertindan dengan fungsi jabatan-jabatan pertanian di bawah pentadbiran negeri yang menjadikan asas tani sebagai komoditi seperti negeri Kedah, Kelantan dan Perlis. (MADA, KEDA, KESEDAR)

Apa yang dikemukakan Ahli Parlimen tersebut yang mahu kurangkan jumlah kakitangan awam itu, mungkin dialu-alukan oleh rakyat marhaen, sebaliknya kakitangan awam pula yang merasa tidak senang dengan cadangan tersebut. Justeru atas sebab itu Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dengan mudah membidas kembali cadangan tersebut sehari selepas cadangan tersebut dikemukakan.

Harapan mahasiswa

Di peringkat mahasiswa, yang mungkin sebilangan bercita-cita ingin bekerja di sektor awam, amat mengharapkan isu ini, sama ada mahu menambah dan mengurangkan kakitangan awam tidak sepatutnya dijadikan bahan politik antara ahli parlimen, dengan memanipulasi permainan angka dan bilangan tersebut dijadikan isu.

Sebaliknya yang lebih penting adalah menyelesaikan organisasi dan struktur serta fungsi kakitangan awam yang bertindan itu atau tugas yang berulang itu sama ada mahu dibaiki atau tidak, perlu dilakukan dalam perhatian serius dalam kadar segera.

Atau sekurang-kurangnya bagi kami mahasiswa yang mungkin 'tidak berkesempatan' memasuki sektor awam, pihak kerajaan wajar menyediakan ruang dan peluang pekerjaan yang sesuai dengan komposisi dan kapasiti seorang graduan Universiti.

Tiada ulasan: