Selasa, 8 November 2011

SEMALAM..HARI INI..ESOK ..CAKAP LAIN2...MANSUH BERTANGGUH2..YANG RUGI PELAJAR2..MEREKA TAK MAHIR BERBAHASA INGGERIS..MAAF CAKAP TERMASUK CIKGU..

Pakatan tidak bincang kurangkan kakitangan awam | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 7 Nov: Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah membincangkan pengurangan jumlah kakitangan awam, tegas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Kalau ada-mana pihak yang membangkitkan perkara itu, itu adalah pandangan peribadinya dan tidak mewakili PR," tegas beliau lagi.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menekankan kepada perlaksanaan pengurusan bijak dan berkesan bagi mengoptimumkan pulangan dari kakitangan awam yang ada kini.

"Jika pulangan tidak optimum demi kesejahteraan rakyat, adalah tidak bermakna dan sia-sia jumlah kakitangan awam yang banyak.

"Begitu juga, apa makna dan sia-sia sahaja dikurangkan jumlah kakitangan awam jika pulangan tidak optimum demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Mahfuz berkata, banyak yang boleh dipelajari dari sektor korporat dan swasta mengenai kaedah-kaedah mengoptimumkan pulangan dari jumlah pekerja yang ada.

"Setakat ini, kita tidak pernah mendengar sebarang berita tentang tenaga kerja yang ada diagih-agihkan secara bijaksana dan berkesan mengikut keperluan dan tuntutan tenaga kerja untuk mengoptimumkan pulangan.

"Yang tidak henti-henti kita dengar ialah aduan-aduan awam yang berterusan tentang tindakan yang lambat, "red tape" yang berlebihan dan ada jabatan-jabatan tertentu yang seolah-olah sudah menjadi dinosaur yang besar tetapi lambat bergerak sedangkan pada masa yang sama ada jabatan-jabatan yang agak kritikal dari segi tenaga kerja," katanya.

Semua itu, kata Mahfuz, bukan salah kakitangan awam tetapi salah pentadbiran dan pengurusan negara yang tidak cekap dan tidak bijak.

Lebih penting dari itu, tegas beliau, ialah memastikan ditamatkan segera campur tangan politik dalam urusan kakitangan awam.

"Jika sesuatu urusan sepatutnya membabitkan keputusan di peringkat sektor awam sahaja, mestilah dipastikan tidak ada campur tangan politik sama sekali," katanya.

Beliau yakin, pengurusan bijak dan berhemah tanpa campur tangan politik akan membantu mengatasi banyak masalah ketirisan dan kebocoran sehingga menjadi teguran Ketua Audit Negara setiap tahun.

"Banyak kakitangan awam yang mengadu bahawa kebocoran, ketirisan dan pembaziran serta amalan rasuah berpunca dari campur tangan ahli-ahli politik yang berkuasa," kata beliau.

Mahfuz berharap rakyat bersungguh-sungguh memainkan peranan mengatasi perkara itu.

"Amalan rasuah dan penganiayaan kakitangan awam seperti pendakwaan beberapa Ketua Setiausaha kementerian akibat kerja jahat ahli-ahli politik tidak akan berhenti selagi parti perasuah menjadi pemerintah.

"Kakitangan awam sendiri mestilah memilih sama ada untuk terus menjadi mangsa seperti yang berlaku ke atas beberapa Ketua Setiausaha kementerian atau memilih era baru dengan usaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan undang-undang yang memastikan kerajaan dihalang dari menganiayai rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mahfuz mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada para jemaah haji dan selamat menunaikan ibadan korban sempena Eidul Adha.


Majlis korban rapatkan PAS dengan masyarakat
Harakahdaily

BINTULU, 7 Nov: Bersama sama umat Islam seluruh dunia, PAS Kawasan Bintulu telah mengadakan majlis korban bertempat di Markas PAS Jepak.

Aktiviti melapah, memotong daging dan tulang, membungkus dan mengagihkan daging yang melibatkan penduduk kampung tersebut telah merapatkan lagi ukhuwah di antara para petugas PAS dan penduduk setempat.

Di samping itu, semangat korban yang ditunjukkan para petugas sememangnya menyuburi ibadah korban tersebut.

Tidak terhenti sekadar itu, program diteruskan lagi di sebelah malamnya dengan aktiviti ceramah kelompok dan jamuan daging korban.

Bagi bagi kawasan, semoga perjuangan Islam akan berkembang subur dengan segala pengorbanan yang dicurahkan oleh setiap anggotanya.


Henti pinjaman PTPTN tindakan tidak waras | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 7 Nov: Jangan binasakan masa hadapan negara dengan cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menghentikan pinjaman perbelanjaan, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Tindakan itu akan mengganggu tumpuan para pelajar kepada pelajaran mereka dan akhirnya negaralah yang akan menanggung kerugian jika tindakan itu mengakibatkan pertambahan peratusan yang gagal atau amat sederhana pencapaian mereka," kata beliau.

Ketika menolak cadangan yang disifatkannya tidak adil dan tidak waras itu, Mohamad meminta para pemimpin kerajaan membuat tinjauan sendiri untuk melihat penderitaan para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari keluarga miskin.

"Lihat sendiri berapa ramai pelajar IPT yang terpaksa mengikat perut malah ramai yang sering menahan lapar dalam keadaan PTPTN masih lagi memberikan pinjaman perbelanjaan. Bayangkan jika diragut dari mereka kemudahan itu.

"Saya harap para pemimpin kerajaan datang tengok sendiri beban dan penderitaan mereka kerana saya tidak yakin PTPTN berani mengumumkan cadangan hendak menamatkan pinjaman perbelanjaan itu tanpa restu pemimpin kerajaan," kata beliau.

Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PTPTN pada 31 Oktober lalu membuat cadangan supaya pinjaman perbelanjaan diberhentikan pada tahun 2013 dan hanya memberikan pinjaman pembiayaan yuran pengajian sahaja.

"Tidak cukup meragut poket rakyat dengan keghairahan memaksakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) termasuk cukai enam peratus ke atas pengguna telefon pra bayar jika mereka menang dalam pilihan raya akan datang, semakin menjadi trend pentadbiran Umno Barisan Nasional (BN) untuk meragut apa sahaja saki baki kemudahan rakyat, dari subsidi hinggalah kepada pinjaman PTPTN," katanya.

Tugas kerajaan yang bertanggungjawab, kata Mohamad, ialah mencari jalan untuk memberikan pendidikan percuma sekurang-kurangnya kepada rakyat miskin.

"Tidak perlu disebut negara-negara seperti Denmark, Finland dan Sweden yang memberikan pendidikan percuma kepada semua rakyat sehingga ke peringkat IPT, negara seperti Sri Lanka pun memberikan pendidikan tinggi dari sekolah rendah hingga ke peringkat IPT walaupun pendidikan percuma di peringkat IPT adalah terhad," katanya.

Mohamad yakin, pendidikan percuma hingga ke peringkat IPT, walaupun terhad, bukan perkara mustahil di negara ini jika wang negara digunakan dengan cara yang betul.

"Lihat laporan Ketua Audir Negara, berapa bilion yang tiris, membazir dan diselewengkan. Itu belum lagi diambil kira subsidi kepada pembekal tenaga bebas (IPP) yang semakin menghampiri jumlah ratusan bilion ringgit," katanya.

Sebab itulah, kata beliau lagi, selagi Umno BN memerintah, jangankan pendidikan percuma hingga ke peringkat IPT, subsidi kepada pelajar miskin pun kerajaan berdolak dalik untuk menyembunyikan hakikat sebenar bahawa kerajaan Umno BN memang tidak mahu memberikan subsidi itu.

"Itu subsidi, memang kerajaan tak mahu bagi, tetapi sekarang kemudahan pinjaman pun kerajaan nak ragut dari para pelajar kita. Melampau," katanya.

Mohamad percaya sikap melampau kerajaan Umno BN itu pasti semakin menjadi-jadi jika menang dalam pilihan raya akan datang.


Pulau Pinang ucap tahniah pada Nicol | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Nov: Kerajaan Pulau Pinang mengucapkan tahniah atas pencapaian cemerlang Ratu Skuasy Dunia, Datuk Nicol David (gambar) yang mencipta sejarah dengan memenangi gelaran perseorangan wanita jaguh dunia untuk kali yang keenam di Rotterdam, Belanda.

“Kejayaan bersejarah ini bermakna anak negeri Pulau Pinang merupakan pemain wanita yang memenangi gelaran juara dunia yang paling banyak kali dalam sejarah skuasy,” ujar Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Katanya, kebolehan Nicol memang tidak dipertikaikan tetapi yang menakjubkan adalah kemampuan beliau mengekalkan prestasi cemerlang dalam tempoh masa yang begitu lama.

Guan Eng menambah, apa yang lebih mengkagumkan ialah kekuatan mental dan kecekalan semangat berjuang Nicol untuk menang.

Tambahnya, itulah perbezaan di antara jaguh dunia dan jaguh kampung.

“Kerajaan negeri akan menunggu kepulangan beliau ke Pulau Pinang untuk meraikan kemenangan beliau dalam satu jamuan rasmi.

“Pulau Pinang memang bangga atas pencapaian Datuk Nicol David,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga mengucapkan tahniah kepada Zulfadli Zulkifli yang mencipta sejarah Malaysia setelah muncul juara remaja perseorangan dunia badminton daripada Malaysia buat kali pertama dalam pertandingan di Taipei.

Nicol selaku pemain No. 1 dunia, mudah membenam pemain No. 2 dunia, Jenny Duncalf dari England 11-2, 11-5, 11-0 untuk ditabal sebagai juara dunia, semalam.

Sementara, Zulfadli pula melakar sejarah dengan menghadiahkan gelaran sulung Malaysia dalam perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia selepas menumpaskan Viktor Axelsen dari Denmark 21-18, 9-21, 21-19.


Pemansuhan sepenuhnya PPSMI perlu disegerakan | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Nov: Keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah sangat dialu-alukan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

“Walau bagaimanapun, tarikh pemansuhan sepenuhnya yang hanya berkuatkuasa pada 2021 dilihat kurang wajar,” kata presidennya, Abdullah Zaik Abdul Rahman.

Beliau berkata, Isma menganggap pengumuman itu adalah satu penangguhan.

Tambahnya, Isma bimbang sikap tidak konsisten pembuat keputusan akan menimbulkan keresahan berterusan majoriti rakyat, terhadap masa depan pendidikan anak-anak mereka dan nasib Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi telah diperjudikan.

Ia, ujarnya berdasarkan kajian Kementerian Pendidikan sendiri menunjukkan hanya 5-7% sekolah seluruh negara telah menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya sebelum ini, manfaat daripada penangguhan ini adalah kurang jelas.

Di samping itu, katanya kajian-kajian lain juga jelas menunjukkan pencapaian pelajar dalam sains dan matematik lebih baik sebelum dasar PPSMI dilaksanakan.

“Oleh itu, penangguhan ini akan lebih banyak memberi kesan buruk,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Isma berpandangan pemartabatan Bahasa Melayu tidak dapat dicapai hanya melalui slogan-slogan dan saranan-saranan yang dilaungkan dalam Bulan Bahasa Kebangsaan sahaja.

Menurutnya, iltizam yang kukuh perlu ditunjukkan melalui polisi pendaulatan Bahasa Melayu yang konsisten.

Justeru, tegasnya Isma memberi amaran agar tidak ada pihak-pihak yang terus menerus mengambil kesempatan dalam senario politik semasa untuk mengugut kerajaan dengan risiko kehilangan sokongan, jika tidak meneruskan dasar PPSMI.

Isma, ujarnya lagi menuntut agar kerajaan tidak berlembut dalam mempertahankan prinsip kenegaraan, terutama berkaitan kedudukan Bahasa Melayu, hanya disebabkan tekanan politik.

Ini katanya kerana, jika semua prinsip asas dan dasar kenegaraan dijadikan bahan berpolitik, negara akan terdedah kepada bahaya besar.

“Isma yakin kekayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa intelektual dan bahasa kebangsaan dan ia mampu menjadi bahasa pengantar yang berkesan untuk pelajaran Sains dan Matematik.

“Ia adalah bahasa yang setanding dengan pelbagai bahasa bangsa lain di dunia,” ujarnya.

Oleh itu, katanya Malaysia akan tetap mampu menjadi negara maju seperti Jepun, German, Itali dan Perancis, walaupun tidak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa sains dan teknologi.

Beliau menambah, Isma menyeru agar seluruh rakyat Malaysia terus memupuk rasa cinta dan bangga terhadap Bahasa Melayu kerana ia merupakan lambang jatidiri unggul dan unik yang perlu dipertahankan.


MCCBCHST harus hargai toleransi agama | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Nov: Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) seharusnya menghargai sifat toleransi penganut agama Islam yang tidak masuk campur hal ehwal agama lain.

Justeru, merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh MCCBCHST yang menggesa supaya amalan menyembelih lembu-lembu tidak diteruskan di perkarangan sekolah dan tempat-tempat awam, pihak Sekretariat Persefahaman dan Kerjasama Gerakan Dakwah (SPKGD) yang disertai oleh 3 NGO Islam iaitu Isma, Abim dan PUM rasa terpanggil untuk membuat kenyataan balas.

Dalam satu kenyataan, SPKGD berharap pihak MCCBCHST juga perlu memberikan kerjasama seperti mana umat Islam bekerjasama terhadap penganut agama Hindu bagi merayakan Thaipusam, masyarakat Cina merayakan pesta tanglung, penganut Taoisme merayakan pesta hantu lapar dan seumpamanya.

“Kami menyarankan agar mereka dapat mencontohi rakan mereka di Singapura, Thailand dan Indonesia yang tidak menimbulkan isu remeh yang memalukan masyarakat di negara ini,” kata Abdullah Zaik Abd. Rahman (Isma), Amidi Abdul Manan (Abim) dan Dr Fauzi Draman (PUM) dalam kenyataan bersama itu.

Penuhi jiwa gapai kemenangan
Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor, UIAM

Perjuangan meletakkan kalimah Allah sebagai kalimah agung adalah satu perjuangan yang menuntut redha Allah. Perjuangan ini tidak pernah senang dan mudah. Tiada masa untuk berehat kecuali di alam kubur, tiada masa untuk bersenang kecuali di akhirat sana.


Darah muda kadang kala membuak. Setiap semangat anak muda berjuang tidak kira apa landasan dan aliran sekali pun, pasti berapi dan bertenaga. Lihat sajalah demonstrasi jalanan, yang hadir paling ramai sudah pasti anak muda yang dahagakan pembaik pulih dengan jiwa berkobar-kobar. Jangan dipandang remeh anak muda.

Namun amatlah rugi andai perjuangan hanyalah berkitar perjuangan demokrasi atau pun sosialis. Jangan hanya berjuang kerana mahukan kebebasan yang mutlak kerana sudah pasti Allah telah menyediakan peraturan dan had sempadan di dunia ini. Kita hanya berjuang menuntut kebenaran dan menghapus kezaliman. Kerana hak kebebasan itu milik sejagat.

Setiap langkah juang ini bukan sekadar 'mencurahkan air dari bekas hingga habis' tetapi perlu senantiasa ada penambahan isinya. Pengisian inilah yang akan membantu pejuang Islam untuk terus thabat dan istiqamah sepanjang berjuang. Tarbiyah diri wajib dijadikan teras kepada diri.

Telah berkata Tuan Guru Muda, Al-Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz: "Dakwah dan jihad di jalan Allah penuh dengan onak dan duri. Ramai yang rebah dan gugur semata-mata kerana gagal melalui dan melawan ujian dan rapuhnya diri dengan sifat sabar. Justeru medan dakwah memerlukan tenaga para amilin yang mesti memasuki madrasah tarbiyah dengan sempurna demi mempersiapkan amalan diri dengan sifat sabar yang terlalu didambakannya"

Jangan kosongkan bekas air. Isilah air ke dalam bekas dari semasa ke semasa. Supaya ia tidak dibuang selepas digunakan. Jangan kita abaikan tarbiyah kepada diri pejuang ini, sangat takut andai terlalu awal untuk beruzlah. Sedangkan perjuangan ini hanya berakhir dengan dua kemungkinan iaitu mati di jalan juang atau kemenangan.

Ayuh anak muda Islam, pasakkan aqidah pertingkat ibadah perbanyak ilmu di dada. Semoga bekalan ini dibawa berterusan ibarat air sungai yang mengalir tanpa henti. Ngauman singa sudah berbunyi, hanya menanti semboyan ditiup mencapai kemenangan dalam medan peperangan.

Mengapa gelanggang futsal belum dibuka
Harakahdaily

MIRI, 7 Nov: PAS Miri mempesoalkan mengapa gelanggang futsal di Kampung Luak yang sudah lama dibina sehingga kini masih belum dibuka untuk penduduk kampung disebabkan masalah penyerahan kunci belum dapat disempurnakan oleh yang pihak berkenaan.

“Kita sentiasa menyokong hasrat kerajaan membina lebih banyak tempat permainan untuk rakyat dan penduduk kampung tetapi masalahnya sekarang apakah tempat tersebut dapat digunakan sepenuhnya,” kata Yang Dipetua PAS kawasan, Jofri Jaraiee.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Politik Kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato Sebastian Ting bahawa kawasan Parlimen Miri akan mendapat tiga gelanggang futsal bernilai RM150, 000 setiap satu yang akan dibina dalam masa terdekat.

Gelanggang futsal berkenaan akan dibuat di Kampung Wireless, Kampung Sungai Adong dan Kampung Muhibah, Kuala Baram.

Peruntukan itu disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Belia dan Sukan kepada Parlimen Miri yang merupakan kawasan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui selaku Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, untuk kemudahan penduduk kampung.

“Mengapa perkara tersebut boleh terjadi sedangkan pembinaan gelanggang futsal ini sudah lama dibina?” soalnya berhubung gelanggang futsan di Kampung Luak.

Soalnya lagi, apa erti gelanggang serba guna kalau tidak dapat digunakan, apa erti kemudahan untuk penduduk kampung kalau hendak masuk ke dalam gelanggang tersebut pun susah.

Menurutnya, ada orang kampung kata itulah gelanggang futsal yang tidak berguna.

“Kita mendesak pihak yang bertanggungjawab dan yang berkenaan agar membuka gelanggang futsal tersebut dengan segera agar dapat dimanfaatkan oleh penduduk kampung tersebut.

“Kita juga mendesak agar semua tempat permainan awam dibuka dengan percuma bukan dikunci seperti sekarang kerana buat apa membina tempat kemudahan awam sedangkan ianya menyusahkan orang awam menggunakannya,” katanya.

Katanya, kalau pun hendak menjaga tempat tersebut dari kerosakan pihak kerajaan sepatutnya melantik pihak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kampung untuk menjaga tempat tersebut dengan baik agar semua penduduk kampung yang ingin menggunakan tempat tersebut akan sama-sama menjaga tempat mereka dengan baik.

PAS kawasan, ujarnya tidak mahu ada pihak tertentu membina gelanggang futsal semata-mata untuk kepentingan peribadi dan hanya sebagai ‘gajah putih’ seperti perasmian ketika musim pilihan raya kerana ianya adalah hasil wang pembayar cukai dan hak rakyat.

Sepatutnya, tambah beliau semua tempat kemudahan awam terbuka kepada semua penduduk kampung tanpa mengira fahaman politik.

“Diharap pihak yang berkenaan dapat bertindak dengan segera dengan membuka gelanggang futsal tersebut dan dapat digunakan oleh semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik,” ujarnya.

Tiada ulasan: