Sabtu, 12 November 2011

PENCERAMAH NI BERGANTUNG PADA...HUBUNGANNYA DENGAN ALLAH...AMALAN YANG IKHLAS...GANJARAN DUNIA BUKAN MATLAMAT..IA DE AURA DAN NUR DARI ALLAH...

Keindahan hudud bergantung kepada pendakwah | Print |
Aziz Muda

GOMBAK, 12 Nov: Keindahan hukuman hudud pasti akan terserlah jika seseorang pendakwah yang menerangkannya berkemampuan menyampaikannya dengan betul kepada sesuatu pihak, sejajar dengan keistimewaannya yang datangnya dari Allah.

Oleh itu, seseorang pendakwah perlu memainkan peranannya dengan baik bagi membolehkan kesemua pihak dapat memahami hukuman itu dengan betul yang terkandung pelbagai hikmah di dalamnya.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, pendekatan terbaik yang perlui digunakan oleh seseorang pendakwah dalam menerangkan hukuman hudud kepada orang ramai dengan mengambil contoh yang telah ditunjukkan oleh Rasuilullah saw.

Menurutnya, suatu ketika, Rasulullah saw pernah didatangi seorang pemuda yang meminta kebenaran untuk berzina dan mengecualikannya dari hukuman hudud.

Katanya, meskipun tindakan pemuda itu agak keterlaluan, tetapi Rasulullah saw tidak memarahinya, sebaliknya dilayani dengan baik dengan pendekatan yang cukup bijak bagi menyelesaikan masalah itu.

"Rasulullah bertanya kepada pemuda itu, "Apakah kamu suka jika seseorang lelaki ingin berzina dengan adik perempuan kamu?" Lelaki itu menjawab, "Langkah mayat aku dulu."

"Kemudian Rasulullah bertanya lagi, "Apakah kamu suka jika ada seseorang lelaki ingin berzina dengan kakakmu?" Dan kemudian ditanya, "Apakah kamu suka jika seseorang lelaki ingin berzina dengan ibumu?" Dan kemudian jika dengan saudara-saudara perempuanmu?" katanya.

Menjawab pertanyaan peserta selepas membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk "Hudud Satu Keperluan" pada Multaqa Pendakwah PAS di KUIZM di Taman Melewar, di sini, hari ini, beliau berkata, kesemua pertanyaan Rasulullah itu dijawab oleh pemuda tersebut dengan tidak bersetuju.

"Malah jika seseorang lelaki itu ingin berbuat demikian terhadap keluarganya, seseorang itu mestilah melangkah mayatnya terlebih dahulu," jelasnya.

Pertanyaan Rasulullah itu, tambahnya, segera menyedarkan lelaki tersebut bahawa perzinaan adalah sesuatu yang amat hina dan mengundang pelbagai kemusnahan terhadap diri, keluarga dan masyarakat dan itulah sebabnya ia diharamkan oleh Allah.

Katanya, dengan itu, sebagai orang Islam dan manusia yang bermoral, pemuda itu segera sedar bahawa perbuatan itu juga mestilah dielakkan oleh belliau sendiri.

"Tindakan Rasulullah itu penuh dengan hikmah dan ia turut menggambarkan berapa indahnya hukum hudud yang diperintahkan oleh Allah untuk dilaksanakan ke atas orang yang berzina kerana di dalamnya penuh dengan hikmah pengajaran kepada seluruh manusia," katanya.

Dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan hukum hudud penuh dengan kekerasan, tambahnya, jelas tidak berasas dan ia menunjukkan kejahilan individu terbabit mengenainya.

"Sebaliknya, hasil perbincangan saya dengan orang-orang bukan Islam dari DAP di Pulau Pinang baru-baru ini, mereka juga bersetuju jika hukum hudud dilaksanakan di negara ini kerana diakui sendiri oleh mereka sebagai satu bentuk hukuman yang cukup baik," katanya yang juga Adun Manir, Terengganu.

Beliau merumuskan bahawa mereka yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan hukum hudud sebagai manusia yang tidak bermoral yang sememangnya hidup bergelumang dengan maksiat walaupun mengaku beragama Islam.

"Itulah sebabnya mereka tidak bersetuju dengan hukum hudud kerana jika dilaksanakan ditakuti akan dikenakan ke atas mereka sendiri," ujar beliau.


Cukai baru selepas PRU 13 | Print |
Aziz Muda

GOMBAK, 12 Nov: Seluruh rakyat negara ini diyakini akan terus dibebani dengan pelbagai cukai baru jika Umno BN terus diberikan mandat memegang tampuk pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Keyakinan itu boleh disandarkan kepada pelbagai tindakan semasa yang dilakukan oleh Kerajaan BN, di samping amalan tradisi parti itu setelah berjaya mencapai kemenangan pada PRU-PRU lalu.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu boleh direnungi dan dihayati sendiri oleh setiap rakyat negara ini berdasarkan pengalaman masing-masing setelah lebih 50 tahun berada di bawah pemerintahan BN.

Menurutnya, sejajar dengan itu, cukai baru yang dioleh dalam bentuk cukai perkhidmatan atau GST itu bolehlah disifatkan sebagai "Gasak Sampai Teruk" yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan BN terhadap rakyat selepas PRU Ke-13 nanti.

Katanya, tindakan Kerajaan BN itu pasti amat berbeza berbanding sikap PAS terhadap rakyat, apatah lagi dengan keinginan parti itu untuk melaksanakan "Negara BerKebajikan" sekiranya berjaya memerintah negara pada PRU Ke-13 nanti.

"Perlaksanaan "Negara Berkebajikan" PAS itu pula turut dipersetujui parti-parti lain termasuk PKR dan DAP yang bersama PAS dalam Pakatan Rakyat, malah sebahagian daripadanya sudah pun dilaksanakan di negeri-negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat sekarang," katanya.

Ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk 'Strategi Teras Penerangan' Menggarap Isu-isu Besar Dalam PRU Ke-13 pada Multaqa Pendakwah PAS di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, hari ini, beliau berkata, tindakan BN itu ternyata amat membebankan rakyat dan bercanggah dengan perlaksanaan sebenar.

Menurutnya, cukai baru sebenarnya tidak boleh dikenakan oleh kerajaan jika perkapita rakyat tidak berada dalam keadaan yang baik dan memberangsangkan.

Katanya, bagaimanapun perkapita rakyat di Malaysia kini berada dalam keadaan yang amat tiidak memuaskan, malah semakin teruk dari jangkaan sehingga sebaris dengan Vietnam dan Indonesia.

"Kedudukan perkapita yang sebegitu teruk di kalangan rakyat negara ini tidak akan berlaku sekiranya BN memerintah dengan baik.

"Namun setelah negara mencapai kemerdekaan lebih 53 tahun, cengkaman BN terhadap rakyat semakin teruk sehingga desakan supaya gaji minima RM1,100 turut ditolak oleh kerajaan BN," katanya yang juga Pengarah Eksekutif, Pusat Penyelidikan PAS.

Dalam masa yang, tegasnya, negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat khususnya Selangor mengambil langlah sebaliknya dengan meluluskan had gaji minima agak tinggi sehingga RM1,500.

"Tindakan buruk BN terhadap rakyat turut terbukti dari sudut lain apabila tender-tender terbuka yang dikeluarkan tidak diagihkan secara adil kepada rakyat, tetapi kesemuanya hanyalah diberikan kepada kroni-kroni pemimpin BN sahaja," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Kajian yang dibuat oleh pelbagai pihak dan turut diakui oleh pegawai-pegawai kerajaan, tambahnya, jelas menunjukkan setiap peruntukan kerajaan pasti akan tiris paling kurang sebanyak 20 peratus.


Artis turut bincang Negara Berkebajikan | Print |
Aziz Muda

GOMBAK, 12 Nov: Konsep Negara Berkebajikan yang diperkenalkan sekarang dan akan dilaksanakan oleh PAS sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti, dikesan turut dibincang oleh pelbagai pihak termasuk di kalangan artis di negara ini.

Minat golongan artis untuk membincangkan perkara itu terbukti apabila beberapa orang artis datang menemui beberapa orang pemimpin PAS untuk bertanyakan tentang konsep Negara Berkebajikan yang diperkenalkan oleh parti itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengalaman tersebut turut dikumpulkan oleh beliau apabila beliau juga turut didatangi dua orang artis di negeri Pahang baru-baru ini.

Menurutnya, kedatangan kedua-dua orang artis itu adalah untuk bertanyakan kepadanya tentang nasib golongan artis sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat akan diberikan mandat oleh rakyat untuk memerintah negara ini pada PRU Ke-13 akan datang.

Katanya, selain itu, kedua-dua orang artis itu juga turut bertanyakan kepadanya tentang konsep Negara Berkebajikan PAS dan kaitannya dengan golongan artis serta kegiatan seni di negara ini.

"Mereka tanya saya macam mana dengan Siti Nurhaliza jika PAS menang nantii? Bolehkah Siti Nurhaliza terus menyanyi?" katanya ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk Konsep Negara Berkebajikan pada Multaqa Pendakwah PAS di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Pertanyaan itu, katanya, dijawab dengan baik oleh beliau dengan penjelasan berdasarkan peruntukan yang terdapat dalam konsep Negara Berkebajikan PAS itu sendiri khususnya berkaitan dengan golongan artis dan kegiatan seni di tanah air.

Katanya, dalam konsep Negara Berkebajikan PAS, golongan artis termasuk Datuk Siti Nurhaliza tidak perlu bimbang dengan pemerintahan PAS jika menang dalam PRU Ke-13 nanti kerana nasib mereka tetap akan dibela.

"Siti Nurhaliza dan artis-artis lain juga boleh terus menyanyi dan terus bergiat dalam bidang masing-masing jika PAS memerintah negara.

'Malah nasib mereka akan lebih terbela jika berada di bawah pemerintahan PAS, selaras dengan konsep Negara Berkebajikan yang diperkenalkan itu," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tambahnya, konsep Negara Berkebajikan berbeza dengan negara kebajikan kerana Negara Berkebajikan adalah penekanan kepada keadilan dan ihsan yang menjadi teras pentadbiran kerajaan.

"Di bawah kerajaan yang seperti itu yang ingin dilaksanakan oleh PAS, keadilan yang ditekankan bukan hanya kepada sesama umat Islam, tetapi juga orang bukan Islam," katanya.

Konsep Negara Berkebajikan yang diperkenalkan oleh PAS itu, tegasnya, sememangnya amat ditakuti malah amat mencemaskan Umno BN sekarang kerana ia berkeupayaan menarik sokongan orang ramai terhadap PAS.

"Sokongan yang semakin meningkat daripada orang ramai terhadap PAS sekarang termasuk juga dari kalangan bukan Islam.

"Fenomena ini tercetus hasil kehebatan konsep Negara Berkebajikan yang diperkenalkan oleh PAS yang kini semakin difahami oleh orang ramai termasuk dari kalangan bukan Islam," ujar beliau.


Bukan Islam terima PAS berbeza 5 tahun lalu | Print |
Aziz Muda

GOMBAK, 12 Nov: Sikap orang bukan Islam terhadap PAS kini ternyata amat jauh berbeza berbanding 5 tahun lalu sehingga menjadikan parti itu tidak lagi dianggap musuh oleh mereka.

Perkembangan tersebut ternyata memberikan gambaran yang amat baik terhadap PAS sehingga lebih memudahkan para pemimpin dan ahli-ahli parti itu mendekati golongan bukan Islam di tanah air.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, kejayaan tersebut dicapai oleh PAS hasil penglibatan dan kesabaran semua pendokong parti dalam perjuangan untuk mendaulatkan Islam di bumi bumi ini.

Menurut beliau, kejayaan itu juga dicapai berkat pendekatan-pendekatan yang tepat yang diambil oleh para pemimpin dan ahli-ahli PAS dalam perjuangannya selaras dengan kehendak Islam.

Katanya, realiti itu lebih terserlah dengan pendekatan "Tahaluf Siyasi" yang diambil oleh PAS terutama dengan DAP dan PKR sehingga menyebabkan para pemimpin dan ahli-ahli PAS turut dijadikan rakan oleh orang bukan Islam.

"Ini ditambah pula dengan konsep Negara Berkebajikan yang diperkenalkan oleh PAS sehingga menyebabkan orang-orang bukan Islam turut berminat untuk mengetahuinya dengan lebih jauh," katanya ketika berucap di majlis penutup Multaqa Pendakwah PAS di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di KUIZM di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Dalam ruang kejayaan yang semakin terbuka seperti sekarang, menurut beliau, ahli-ahli PAS perlu mempertingkatkan lagi usaha masing-masing untuk menyampaikan mesej Islam kepada seluruh rakyat negara ini.

Dalam hubungan ini, beiau menasihatkan setiap ahli-ahli PAS agar berdakwah dengan pendekatan yang tepat agar dakwah yang disampaikan itu memberikan kesan baik kepada golongan sasarnya.

"Selain menguasai ilmu syariat, kita juga perlu menguasai ilmu mantik dan corak penerangan yang baik ketika mendekati pihak terbabit seperti yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.

Ketika mendekati golongan yang minum arak atau gemar melakukan maksiat walaupun beragama Islam, katanya, ahli-ahli PAS perlu menggunakan pendekatan yang berbeza ketika berceramah dan menyampaikan tazkirah di dalam masjid.

Tambah beliau, sewaktu mendekati golongan bukan Islam pula contohnya, ahli-ahli PAS perlu menggunakan pendekatan lain selaras dengan tuntutan Islam, dengan tidak mengenengahkan perkara-perkara yang tidak difahami oleh mereka malah boleh menimbulkan salah faham dan ketakutan mereka terhadap Islam.

"Sekiranya pendekatan-pendekatan yang diambil itu tepat, mesej dakwah yang disampaikan pasti akan memberikan kesan baik, lebih-lebih dalam suasana sekarang yang lebih memihak kepada perjuangan Islam," katanya.

Suasana yang memberangsangkan itu, tambahnya, antara lain boleh dirujuk kepada perkembangan dunia masa kini yang menyaksikan masyarakat di Barat semakin rosak akibat sistemnya yang tidak betul.

Manakala di negara-negara sosialis pula termasuk Sosialis Cina kini sedang dilakukan perubahan agar sistem yang diketengahkan oleh mereka itu dapat diterima dengan baik oleh rakyatnya," tegasnya.

Beliau menegaskan, perkembangan itu juga tidak terkecuali di tanah air dan jika berjaya ditangani dengan baik oleh ahli-ahli PAS pasti akan lebih memudahkan parti itu melangkah ke Putrajaya bersama Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 nanti.

Tiada ulasan: