Isnin, 28 November 2011

KESEDERHANAAN JANGAN SAMPAI GADAI AKIDAH...JANGAN SAMPAI HUKUM ALLAH DICAMPUR ADUK KEFAHAMAN MAIN AKAL..SEDANG AKAL KITA TERBATAS

PAS dakwa Umno beralih ke gagasan wassathiyyah

PAS mendakwa bahawa selepas gagal menjayakan konsep 1Malaysia kerana didakwa ketebalan sifat perkaumannya, Umno kini bertukar arah ke konsep gagasan wassathiyyah.

"Namun, lebih daripada itu, adakah kemunculan gagasan wassatiyyah petanda Umno kini kian bergelora?" soal ketua penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man

Ataupun, dakwanya, ada pemimpin yang tidak sabar untuk menonjolkan kepimpinannya sehingga melancarkan slogan baru yang lebih mudah difahami berbanding slogan 1Malaysia yang masih belum difahami rakyat.

Tuan Ibrahim juga bertanya sama ada konsep 1Malaysia perdana menteri sudah hampir tenggelam sehingga mendorong mereka mengemukakan idea gagasan wassatiyyah sebagai alternatif dan persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum.

"Tidak menafikan bahawa wassatiyyah adalah satu asas penting selaras dengan gagasan Islam.

"Namun harus tegas diingatkan bahawa gagasan wassathiyyah wajib dibina di atas asasnya yang betul, yakni dasar dan paksi yang tidak bertentangan dengan prinsip Islam," tambahnya.

Menurutnya, gagasan wassatiyyah hanya akan dapat dicapai bilamana parti pemerintah melaksanakan sistem pemerintahan dengan adil dan saksama.

"Selain itu, parti pemerintah mesti melaksanakan amanah yang diletakkan dengan menghayati seluruh sistem Islam kerana seluruh dasar Islam berpaksi kepada keadilan sejagat, tanpa mengira perbezaan warna kulit dan bangsa.

"Parti pemerintah juga diwajibkan melaksanakan perjanjian seperti pembayaran royalti minyak kepada Kelantan dan menghormati dan menjunjung dasar federalisme dalam Perlembagaan Persekutuan," tegas Tuan Ibrahim.

Namun tegasnya, mana mungkin parti yang didakwanya bersifat tebal perkauman dan sering 'flip-flop' seperti Umno, dapat mengambil jalan tengah dalam pendekatan politik dan urus tadbir negara.

Beliau mendakwa, tindakan Umno membiarkan beberapa badan NGO pro-Umno, terutamanya PERKASA memainkan sentimen perkauman ekstrem bermotifkan politik selama ini jelas mencerminkan gagasan wassatiyyah yang diutarakan hanyalah slogan kosong, sebagaimana berakhirnya gagasan Islam Hadhari dan lainnya.

"Walau apapun, gagasan wassatiyyah yang disebut Umno hanya sekadar pemanis bicara bagi memberi ruang kepada segolongan intelek berbicara.

"Gagasannya tidak lebih dari sekadar wacana dan seminar tanpa apa- apa tindakan dan pelan bertindak. Gagasan wassatiyyah hanyalah satu slogan kosong sebagaimana slogan-slogan terdahulu," tambahnya.

Katanya, selagi Umno terus dan masih gagal menunaikan amanah dan gagasan sistem federalisme yang telah diterima pakai dalam sistem politik negara, "lancarlah apa- apa slogan sekalipun kerana ianya tidak lebih hanya fatamorgana, kosong yang tidak mempunyai apa-apa makna kepada rakyat selain sebagai satu cubaan baru untuk memperdayakan mereka".


Konsep wasatiyyah kekang kewujudan pelampau
Penerapan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dapat mengekang kewujudan golongan pelampau di kalangan masyarakat yang dikhuatiri boleh memporak-perandakan keteguhan institusi negara, kata tokoh pemikir tamadun Islam Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas.

Menurut bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu, golongan pelampau dikenal pasti sebagai mereka yang sering merosakkan ilmu, melampaui had berkenaan urusan dunia dan akhirat serta mereka yang mencuri buah fikiran orang lain.

"Zaman kita sekarang, ketiga-tiga golongan yang disebut itu wujud dengan luasnya dalam dunia Muslim... Ibn Taymiyyah ada menyebut sekiranya ditutup mata dan lempar batu, pasti batu itu akan terkena satu daripada tiga golongan tersebut kerana bilangan mereka yang terlalu ramai," katanya.

Ketika menyampaikan ucaptama pada seminar kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah & 1Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Kuala Lumpur hari ini, Syed Ali Tawfik berkata golongan berkenaan bukan sahaja jahil kerana kekurangan ilmu, tetapi juga jahil dan degil dalam menerima hakikat.

"Usaha perlu dilakukan untuk kembalikan semula golongan ini ke landasan wasatiyyah, seiring dengan aspirasi Malaysia, sebuah negara yang berbilang kaum dan agama," katanya.

Syed Ali Tawfik berkata semua pihak harus bersatu menonjolkan kembali kedudukan institusi ilmu negara ke persada dunia bagi memastikan konsep wasatiyyah itu lebih berkesan untuk diamalkan.

Hanya pendidikan dan peradaban dapat membantu menghidupkan semula kegemilangan tamadun Islam di samping mengasaskan kembali usaha menterjemah karya-karya Islam yang banyak menerangkan mengenai konsep wasatiyyah, katanya.

Penasihat Yayasan Al-Bukhary itu berkata adalah penting bagi Malaysia mempunyai sebuah maktabah (perpustakaan) yang mempunyai rujukan-rujukan dalam bentuk manuskrip bagi menarik kedatangan ilmuan dari dunia Barat belajar mengenai tamadun Islam.

"Malaysia telah mengemukakan hasrat untuk menjadi pusat pendidikan antarabangsa, tetapi bukan saja Malaysia, malah seluruh Asia Tenggara tidak mempunyai maktabah yang boleh dibandingkan dengan kemudahan yang terdapat di dunia Barat.

"Dalam kata lain, dengan ketiadaan maktabah yang menyeluruh, yang menjadi khazanah menyimpan rujukan-rujukan agung, (maka) tiada kecenderungan untuk para ulama datang ke Malaysia. Natijahnya para pelajar tidak akan berhasrat untuk menyertai universiti di Malaysia," katanya.

Beliau berkata jika Malaysia mempunyai maktabah yang mempunyai khazanah ilmiah yang besar termasuk buku-buku karangan ulama Muslim yang agung, Malaysia boleh mengambil peranan sebagai pusat pengajian Islam yang berwibawa.

"Hakikatnya, Malaysia ada menyimpan sejumlah manuskrip yang amat bernilai, tetapi ketiadaan budaya belajar tersebut dan ketiadaan kemudahan maktabah, telah menyekat impian Malaysia untuk menjadi pusat pendidikan antarabangsa," katanya.

- Bernama

PM: Umno perlu ada semangat Harimau Muda

Menggunakan analogi semangat dan perjuangan skuad Harimau Muda yang menggondol pingat emas pada Sukan Sea ke-26 di Jakarta-Palembang baru-baru ini, walaupun menghadapi cabaran sengit, perdana menteri berkata Umno juga perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal dalam menghadapi pilihan raya.

"Kalau kita ada kekuatan mental dan kita ada jiwa yang kental, kita boleh berdepan dengan persekitaran yang sangat mencabar walaupun pihak musuh membuat apa jua tekanan terhadap kita termasuk tekanan psikologi dan emosi," katanya kepada Bernama semasa wawancara khas menjelang Perhimpunan Agung Umno 2011 semalam.

"Kalau kita kental dari segi kekuatan minda kita, dan semangat kita pun kukuh, maka sudah terbukti seperti analogi Harimau Muda itu, kita boleh mengatasi keadaan yang sangat berat menekan kita, mencengkam kita, walaupun gelanggang tidak sama rata seperti di Jakarta, tapi pasukan kita akhirnya berjaya juga," katanya.

Mengenai pengundi muda, beliau berkata sudah terbukti dalam pilihan raya kecil sejak dua tahun yang lepas, biasanya majoriti golongan itu menyokong Umno.

"Bererti sudah terbukti bahawa tidak semestinya orang muda bersikap "anti-establishment" (anti kerajaan) dan tidak menyokong parti kerajaan iaitu parti BN, mereka akan menilai, siapakah yang lebih memahami kehendak dan naluri
mereka sebagai orang muda," katanya.

Menurutnya lagi, pergerakan Pemuda dan Puteri Umno perlu prihatin dalam mereka merealisasikan perjuangan mereka untuk generasi muda.

Beliau memberi contoh projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang berbangkit dalam makmal Pemuda BN yang seterusnya dicadangkan kepada kerajaan.

Najib berkata perkara seperti itu memerlukan pertimbangan daripada kerajaan, dan kerajaan hari ini adalah kerajaan yang amat peka dan amat prihatin kepada kehendak dan tuntutan generasi muda.

Calon boleh menang

"Jadi, maknanya walaupun saya bukan orang muda...walaupun saya rasa saya muda (ketawa), tetapi maknanya kita mesti melakukan pendekatan dengan generasi muda sepertimana juga dengan wanita, golongan warga emas, kelas pertengahan dan pelbagai lagi kelompok dalam masyarakat," katanya.

Mengenai calon boleh menang atau "winnable candidate", perdana menteri berkata mereka mestilah seseorang yang boleh diterima majoriti pengundi dalam masyarakat tempatan serta jentera parti.

Menurutnya, sekiranya jentera parti menolak, seseorang yang ada kebolehan atau mempunyai rekod kerja yang baik pun pada akhirnya tidak akan berjaya, seterusnya parti akan kalah dan kehilangan kuasa.

"Kalau kita sebagai anggota parti tidak ada sikap yang terbuka dan kita tekankan orang tu (calon itu) mesti merupakan calon yang ikut hierarki (parti) tapi calon kita itu tak mungkin berjaya, calon kita akan gagal," katanya.

Presiden Umno itu menegaskan pentingnya semua pihak dalam parti memahami maksud "winnable candidate" yang mahu ditonjolkan semasa pilihan raya.

"Kalau tidak, sukar nak mencapai kejayaan. Kalau winnable candidate tu ditampilkan dalam kelompok dalam bahagian tanpa mengambil kira kehendak pengundi teramai, calon itu pun tak akan berjaya," kata Najib.

Beliau mengakui adalah sukar untuk memuaskan hati semua pihak, terutama di peringkat bahagian Umno, tetapi menurutnya, "rumusan calon boleh menang itu adalah supaya setiap kerusi yang ditandingi mempunyai peluang terbaik untuk menang".

Terima keputusan parti

Bagaimanapun katanya, proses pemilihan calon belum muktamad dan penilaian akan dibuat bukan sahaja secara subjektif tetapi juga objektif.

"Ini yang paling penting sekali, bukanlah orang yang kita sukai secara peribadi tetapi orang yang boleh diterima sebahagian besar pengundi dalam kawasan berkenaan. Itulah yang mesti kita lakukan," katanya.

Katanya soal menentukan calon ini adalah satu perkara yang sangat mencabar dan sukar dilakukan dan mustahil parti dapat memuaskan semua orang.

"Mengikut pengalaman saya 35 tahun dalam politik, tak pernah berlaku dalam pilihan raya (calon yang dipilih memuaskan hati semua orang).

"Tapi apapun yang dibuat parti, keputusan parti, pada kesudahannya kita kena terimalah, sebagai orang parti keputusan parti walaupun keputusan itu tidak mengikut selera atau kehendak kita," katanya.

Beliau berkata banyak juga peristiwa di mana beliau melihat orang yang setia kepada parti, walaupun keputusan parti tidak disenanginya tetapi menerimanya dan akhirnya calon akan menang.

"Sebaliknya kalau dia terus menentang, dia nak kata apa nak jadi-jadilah, aku nak menentang. Jadi maknanya dia tak setia pada parti dan calon itu kalah dan maknanya parti akan kalah. Dia patut sedar bila parti kalah makna kita akan kehilangan kuasa," katanya.

'Utamakan kepentingan parti'

Najib juga mengakui bahawa di peringkat bahagian pun, anggota parti tidak sependapat mengenai calon terbaik di kalangan mereka dan apa yang harus ada ialah disiplin parti.

"Maknanya bila sampai pada masanya (pemilihan calon), keputusan itu perlu diterima, disokong dan terus dipertahankan oleh setiap ahli parti," katanya.

Katanya, kriteria pemilihan calon ini difikirkan wajar berikutan keputusan pada pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional dan Umno tewas di lima buah negeri dan perlu menjadi pengajaran yang tidak harus dilupakan.

Menjelang Perhimpunan Agung Umno yang akan bermula Selasa depan, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu anggota Umno mengutamakan parti melebihi kepentingan diri.

Presiden Umno itu berkata anggota Umno mesti memperlihatkan iltizam untuk melakukan pengorbanan dan tidak membiarkan perasaan atau perhitungan peribadi mengatasi pertimbangan yang lebih besar iaitu kepentingan parti.

"Orang yang menganggotai parti itu ramai tapi orang yang berparti, yang tahu tentang semangat parti, tahu tentang matlamat dan kepentingan parti, itu yang mesti kita tanam di kalangan 3.4 juta ahli Umno," katanya.

Perhimpunan Agung Umno 2011 yang berlangsung selama lima hari, dilihat banyak pihak sebagai yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13.

Perjuang kepentingan Melayu

Najib berkata anggota Umno mesti mempunyai perasaan "cinta dan kasih" kepada parti serta sanggup berkorban untuk parti.

"Ini satu daripada prinsip kita berparti. Kita tidak suruh orang melakukan seperti mereka kena buat pengorbanan daripada segi harta mereka untuk parti atau pun kita suruh mereka mengambil risiko atas diri mereka dan sebagainya.

"Cuma kita minta dalam perhitungan mereka, jangan membiarkan soal peribadi atau pun tuntutan mana-mana kelompok mereka itu mengatasi kepentingan parti," katanya.

Pada masa sama, Najib berkata semua anggota Umno tahu perkara yang boleh merugikan parti dan mereka perlu mengelak daripada berbuat demikian kerana ia boleh melemahkan parti.

Najib juga menafikan dakwaan bahawa Umno tidak lagi memperjuangkan kepentingan Melayu sehingga menyebabkan kaum itu berasa terpinggir kerana sejak dulu hingga kini, agenda itu terus diperjuangkan parti itu.

"Itu tidak benar. Walaupun kita dengan slogan 1Malaysia tetapi kita tidak pernah kata bahawa agenda bumiputera itu kita sudah tiadakan. Malah ia masih lagi merupakan agenda utama (Umno) dan sebahagian agenda nasional kita.

"Apa yang kita lakukan terhadap kaum-kaum lain ialah untuk melakukan apa yang perlu untuk menunjukkan kerajaan kita, kerajaan yang adil dan kerajaan yang berdiri atas tonggak keadilan sosial," katanya.

Hasil perjuangan Umno

Najib berkata agenda bumiputera tetap diteruskan, misalnya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), yang dilancarkan beliau pagi ini.

"Ia merupakan satu hala tuju di mana beberapa inisiatif baru telah kita umumkan. Bererti kita tidak pernah ketepikan atau mencairkan perjuangan kita untuk kaum bumiputera," katanya.

Ditanya mengenai pendirian sebilangan orang Melayu yang menyatakan mereka boleh hidup tanpa Umno, Najib berkata rakyat harus sedar bahawa kejayaan negara ini adalah hasil perjuangan Umno.

Sambil memetik teori pakar psikologi Amerika, Abraham Maslow, beliau berkata Umno telah berjaya menyelesaikan tuntutan asas rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan.

Beliau berkata kepelbagaian pendapat adalah satu tanda masyarakat yang semakin sofistikated dan matang.

"Saya bukan kata bahawa mereka wajib berasa terhutang budi kepada kita sebab ramai yang tak senang hati jika saya cakap sedemikian. Apa yang saya nak kata bahawa selain daripada track record (rekod kerja yang baik) kita, selain daripada jasa kita yang tidak ternilai ialah perancangan kita untuk masa depan.

"Apa yang boleh kita janjikan untuk rakyat Malaysia, bukan sahaja kepada ahli Umno tapi rakyat Malaysia adalah jaminan sebenarnya dan itu mereka boleh rasa yakin, seperti mana dulu kita boleh lakukan, sepertimana dulu kita boleh laksanakan... InsyaAllah kita boleh bukan sahaja janji tapi mampu laksana dan tunaikan kepada rakyat," katanya.

- Bernama


Tiada ulasan: