Khamis, 3 November 2011

TAK MASUK AKAL...KURANGLAH JUGA...JANGAN TAK BERAKAL...RAMAI TAK BERAKAL...YANG ORANG MUSLIM TOLAK HUDUD....AKIDAH TERGADAI....

Audit: Wujud FAC kaji ketirisan berulang | Print |
Muhammad Faizal
KUALA LUMPUR, 2 Nov: Pakatan Rakyat (PR) menggesa agar sebuah Suruhanjaya Kebertanggungjawaban Kewangan (FAC) diwujudkan segera bagi meneliti semula Laporan Ketua Audit Negara atas perkara ketirisan yang sentiasa berulang setiap tahun.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang ditemui di parlimen menjelaskan penubuhan FAC adalah amat perlu disegerakan memandangkan laporan audit tersebut banyak kepincangan berlaku pada setiap kementerian.

"Setiap kali keluar laporan audit kita melihat perkara yang sama berlaku perbelanjaan di luar jangka, pembelian tanpa kelulusan mahupun ketirisan tender-tender kerajaan serta pemilihan kontraktor yang tidak layak.

"Sebagai contoh pembelian kuda tetapi tidak digunakan kerana tidak dapat bersaing serta satu lagi isu pinjaman RM55 bilion oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah dibuat kepada tiga belas penerima dan akhirnya kita dapati ia adalah kerajaan sendiri.

"RM55 bilion itu bukannya satu nilai yang kecil dan perlu penilai semula terhadap laporan audit," jelasnya.

Tambah Dr Dzulkifly lagi penubuhan FAC perlu terdiri dari mereka yang bebas dari ikatan kerajaan seperti juruaudit luar yang mahir dalam bidang perakaunan serta mereka yang mempunyai pakar dalam peringkat undang-undang.

Dr Dzulkefly juga memberitahu penubuhan FAC mesti berbeza dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mana PAC terdiri daripada ahli-ahli parlimen dari Pakatan Rakyat dan juga Barisan Nasional, yang bertindak sebagai audit dalaman, manakala FAC perlu terdiri dari badan yang bebas.

"FAC perlu bebas untuk melakukan pemeriksaan semula setiap kementerian mengikut laporan audit itu dan bila dikenal pasti wujud kesilapan mahupun penyelewengan dalam perbelanjaan peruntukan maka tindakan perlu diambil.

"Setiap tindakan yang akan diambil bukan hanya tertumpu kepada kakitangan kerajaan tetapi is perlu melibatkan menteri dan timbalan menteri," sambungnya lagi.

Katanya, kerajaan perlu dengan segera mewujudkan FAC sebagai bukti bahawa ada ketelusan dalam pentadbiran Perdana Menteri dalam menangani soal ketirisan perbelanjaan pada setiap kementerian.

"Jika Perdana Menteri mengatakan beliau telus dalam pentadbiran untuk mengatasi ketirisan perbelanjaan maka FAC perlu diwujudkan segera," ulasnya lagi.


UKM 4: Najib patut terima keputusan mahkamah | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Datuk Seri Najib Razak perlu menerima keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pihak universiti tidak berhak mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar kerana mencabul hak kebebasan bersuara mereka.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata keputusan mahkamah itu yang mengatakan Seksyen 15 (5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sebagai tidak sah serta melanggar Perlembagaan Persekutuan, tidak perlu dirayu kerana ia menjadi ujian awal kepada Perdana Menteri yang telah mengaku mahu melaksanakan transformasi politik dan pendemokrasian negara, lapor Roketkini.

Beliau memuji keberanian Hakim Mahkamah Rayuan Hishamudin Yunus dan Linton Albert yang menegakkan kedaulatan undang-undang dan keluruhan Perlembagaan.

Menurutnya, keputusan bersejarah itu penting dan tepat pada masanyanya apabila demokrasi dan hak asasi di Malaysia telah sekali lagi diserang oleh tokoh-tokoh seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor dengan kenyataan-kenyataan bahaya mereka yang berbau konspirasi.

“Persoalannya sekarang ialah sama ada Najib dan kabinetnya bersedia untuk melangkah ke depan dengan menyokong keputusan majoriti Mahkamah Rayuan, dengan menunjukkan semangat dan minda pendemokrasian serta transformasi politik,” katanya.

Pada 28 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak saman pemula yang dikemukakan oleh empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mencabar tindakan tata tertib terhadap mereka kerana didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April tahun lalu.

Empat pelajar tersebut adalah Hilman Idham, Ismail Aminuddhin, Azlin Shafina Adzha dan Wong King Chaì.

Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September tahun lalu yang memutuskan bahawa Seksyen 15 (5) tidak melanggar Perlembagaan.

Seksyen 15 (5) AUKU menetapkan bahawa pelajar universiti tidak dibenarkan menyokong atau membangkang mana-mana parti politik atau apa-apa pertubuhan yang ditetapkan oleh Menteri “sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau universiti itu”.

Kit Siang melontarkan penyataan kepada Najib dan kabinetnya sama ada mereka bersetuju dengan keputusan hakim-hakim Mahkamah Rayuan atau mahu melanggar kata-kata pemimpin kerajaan sendiri yang inginkan perubahan politik yang lebih terbuka dan bebas.

Menurutnya, Najib dan kabinetnya perlu menilai keputusan Hakim Hishamudin Yunus yang menyatakan: “universiti perlu menjadi tempat memupuk reformis dan pemikir, dan bukannya institusi yang melahirkan pelajar yang dilatih menjadi robot”.

Beliau juga mahu pemimpin kerajaan Barisan Nasional menghayati keputusan Hakim Linton Albert yang menyatakan bahawa Seksyen 15 (5) sebagai sesuatu yang tidak masuk akal kerana pelajar university terpaksa berdepan dengan kemungkinan dipecat dari pengajian semata-mata kerana hadir dalam kempen pilihan raya kecil. – Roketkini.com


Imej negara: Apa peranan kementerian luar | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli mempertikaikan peranan Kementerian Luar Negeri mahupun kedutaan di luar negara dalam usaha menaikkan imej negara di peringkat antarabangsa.

"Bukankah kita telah mempunyai kementerian yang memainkan peranan di luar negara termasuk kedutaan kita yang berada di luar negara?

"Apakah peranan yang mereka mainkan dalam menaikkan imej negara, dalam pada itu kita juga mempunyai jaringan melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang juga bertanggungjawab mempromosikan negara dalam sektor pelaburan," soalnya sewaktu sesi jawab lisan di parlimen pagi tadi.

Dr Hatta mempersoalkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berhubung dengan tindakan kerajaan menggunakan syarikat media asing bagi menonjolkan imej Malaysia yang begitu lunak di peringkat negara serta mempersoalkan kos yang telah dibelanjakan.

"Adakah terdapat kekurangan kepada mereka yang telah dilantik untuk mewakili negara di luar sebagai kedutaan, Matrade dan juga Kementerian Luar sehinggakan kita terpaksa melantik media asing sebagai konsultan bagi menaikkan imej negara ini?

"Kita melihat lantikan media asing itu bukan mendatangkan kebaikan tetapi sebaliknya telah menjatuhkan imej negara di persada antarabangsa apatah lagi FactBased Communication (FBC) Media yang berada di United Kingdom itu telah dikenakan tindakan kerana salah laku yang dilakukan oleh mereka," katanya yang juga Ketua Pengarah Pilihan raya PAS.

Sebelum itu, Nazri menjelaskan kerajaan telah melantik FBC Media sebagai konsultan untuk menaikkan imej Malaysia dan juga Perdana Menteri di peringkat antarabangsa.

Nazri juga memberitahu kontrak selama setahun itu telah disambung sebanyak dua kali dan telah tamat pada tahun 2010 dengan kos perbelanjaan selama tiga tahun sebanyak Euro 19.6 juta.

Dr Hatta yang merujuk kepada jawapan Nazri itu berkata, kalau dilihat secara menyeluruh ia mengambarkan satu usaha yang baik tetapi hakikat yang sebenarnya ia telah mendatangkan kesan yang buruk kepada negara.

"Walaupun isu ini telah selalu dibahas tetapi bagi saya ia adalah satu isu yang penting kerana usaha kerajaan itu telah mendatangkan kesan yang buruk kepada negara ini.

"Kita melihat apa yang dilakukan oleh FBC Media itu melanggar etika kewartawanan dan juga pengeluaran di United Kingdom sehinggakan British Broadcasting Corporation (BBC) telah mengambil tindakan kepada FBC Media," tambahnya lagi.

Beliau juga memberitahu FBC Media sekarang sudah hampir bankrap.

Katanya, pihak-pihak lain juga tidak lagi mahu menggunakan khidmat mereka sebagai konsultan yang mana lebih mendatangkan keburukan daripada kebaikan kepada sesebuah negara.


Usul potong gaji PM ditolak | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (gambar) yang meminta kerajaan memotong satu bulan gaji Perdana Menteri sebanyak RM22,826.65 ditolak pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Usul tersebut ditolak setelah dibahaskan oleh beberapa orang ahli Parlimen termasuk dari Pakatan Rakyat dan BN dan mendapat tentangan hebat dari BN termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz.

Yang Dipetua Dewan Rakyat, Tan Sri Panglima Pandikar Amin Mulia ketika memutuskan perkara itu berkata, disebabkan lebih suara tidak bersetuju, usul itu tidak disetujukan.

Tian Chua dalam usulnya mencadangkan perbelanjaan diluluskan dengan syarat dikurangkan sebanyak RM22,826.65 daripada perkara Maksud Bekalan\Pembangunan 6 - Jabatan Perdana Menteri Kod 1000 Emolumen iaitu dengan memotong gaji satu bulan Perdana Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM22,826.65.

Usul tersebut dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9) dalam Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2012 bagi Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Tian yang juga Naib Presiden PKR, usul tersebut dikemukakan selaras dengan kedudukannya sebagai seorang wakil rakyat yang diamanahkan oleh para pengundi dan pembayar cukai untuk menyuarakan perkara-perkara berkepentingan awam.

Katanya, tindakan beliau itu bukan bertujuan untuk memalukan atau menimbulkan kesulitan kepada mana-mana pihak, namun pemotongan gaji sebulan itu cuma simbolik untuk memperingatkan pentadbir supaya menjalankan tugas dengan amanah dan telus.


Auku: Kenyataan Khaled tak masuk akal | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Nov: PKR menyifatkan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Norden berhubung Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) tidak masuk akal.

“Bagaimanakah tindakan menghalang pelajar menyertai parti politik membolehkan mereka berfikir secara kritis tanpa sebarang sekatan?” tanya pengarah komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satui kenyataan.

Katanya, banyak universiti berprestij dunia tidak mempunyai sekatan tersebut namun kerajaan kita menghantar pelajar-pelajar terbaik negara ke universiti-universiti tersebut.

Apatah lagi, ujarnya Khaled seolah-olah terlupa bahawa ada segelintir kecil individu di dalam partinya sendiri yang ada pandangan mereka sendiri termasuk mengenai Auku.

“Adakah beliau terlupa tentang timbalan menterinya sendiri, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno?” soalnya lagi.

Nazmi menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan akhbar The Star hari ini bahawa Khaled akan merujuk kepada Kabinet sama ada untuk membuat rayuan atau tidak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang mengumumkan satu seksyen Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sebagai tidak sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.

Khaled dilaporkan berkata:

“Objektif utama pendidikan ialah untuk menggalakkan pelajar berfikir secara konstruktif dan kritis tanpa sebarang sekatan.

“Atas sebab itulah kami merasakan tidak wajar membenarkan pelajar menyertai parti-parti politik. Sekiranya pelajar memegang jawatan dalam sesebuah parti, mereka terikat kepada ideologi parti tersebut.

“Dengan menurut pendirian parti, pelajar tersebut akan hanya mempunyai pandangan orang lain bukan dirinya…

“Sekiranya kita benar-benar mahu memberikan keutamaan kepada kebebasan berpersatuan dan bukan pelajaran, saya tiada masalah.”

Nazmi berkata, kerajaan tidak patut membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu untuk membenarkan pelajar-pelajar hak yang telah dinafikan sekian lama.

“Akta inilah yang menyumbang terhadap sekatan pemikiran konstruktif dan kritis yang Khaled nyatakan sebagai matlamat pendidikan,” ujarnya.


Rakyat wajib kenang 1,000 hari ‘rampasan kuasa’ | Print |
Muhammad Faeez

IPOH, 2 Nov: Esok genap 1,000 hari ‘rampasan kuasa’ yang berlaku di Perak.

Peristiwa hitam itu berlaku akibat pengkhianatan 3 Adun daripada DAP dan PKR yang telah mengakibatkan tumbangnya kerajaan yang dipilih oleh Rakyat.

Setiausaha Majlis Pakatan Rakyat Negeri, Dr Khairuddin Abd Malek berkata, peristiwa itu wajib dikenang dan menjadi pedoman oleh rakyat khususnya di Negeri Perak.

“Rakyat wajib mengenang dan mengambil iktibar daripada peristiwa hitam dalam sejarah moden Perak. BN perlu ingat, rakyat belum lupa dengan peristiwa hitam ini,” katanya pada sidang media di Pejabat PAS Perak, di sini pagi tadi.

Tambahnya lagi, setelah ‘kerajaan haram’ mengambil alih negeri Perak, negeri ini ketinggalan terutama pendapatan negeri, pengurusan negeri dan kutipan wang zakat berbanding di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat yang sepatutnya mampu ditandingi oleh Perak.

“Kami begitu kesal kerana tidak sempat untuk mengangkat kemajuan Perak setanding dengan negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat,” ujarnya lagi.

Justeru, rakyat hendaklah menjadikan peristiwa hitam itu sebagai gelombang semangat bagi menghadapi PRU 13 nanti.

Sehubungan itu, Pakatan Rakyat Negeri akan mengadakan Ceramah Perdana sempena 1,000 hari ‘rampasan kuasa’ Perak yang akan diadakan di Markas PAS Chemor dan akan dihadiri oleh ikon rakyat Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan pakar undang-undang, Prof Dr Abdul Aziz Bari.


Rakyat cerdik, tak 'makan' putar belit Umno | Print |
Ahmad Danial

MELAKA, 2 Nov: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata Umno BN berada dalam keadaan nazak sekarang.

Katanya, cubaan mereka untuk menggunakan senjata 3R iaitu 'racist, religion, royal' ternyata gagal mempengaruhi majoriti rakyat supaya menyokong mereka.

Ini, katanya kerana rakyat sudah matang dan faham bahawa semua itu hanyalah permainan politik Umno BN yang sudah ketandusan isu, sengaja memutarbelit fakta untuk kepentingan politik mereka.

"Pada mulanya mereka rasa rakyat bersama mereka, tetapi akhirnya mereka sedar bahawa rakyat sudah semakin sedar permainan politik Umno BN.

"Mereka cuba menggunakan isu komunis untuk menarik sokongan orang Melayu, tapi isu ini akhir tak 'makan', mereka mainkan isu agama untuk menakutkan orang Cina, juga tak 'makan', akhirnya mereka gagal menipu rakyat, rakyat sudah cerdik," ujar Mohamad.

Beliau berkata Umno BN menggunakan isu perkauman melayu, MCA menggunakan isu perkauman Cina dan MIC menggunakan isu perkauman India untuk mendapat undi.

"Mereka memainkan sentimen perkauman untuk menarik sokongan Melayu, Cina dan India. Tetapi sekarang rakyat sudah faham. Kalau ada 10 orang Cina yang mengundi hanya seorang sahaja yang sokong BN itupun kerana tersilap," tambahnya.

Menurutnya, kini Umno hanya tinggal satu talian hayat iaitu pengundi pos, peneroka Felda dan Felcra, orang-orang kampung yang buta maklumat dan orang-orang miskin yang boleh dibeli dan digula-gulakan dengan benda dan duit.

"Umno BN sudah benar-benar nazak mereka hanya bergantung kepada talian hayar mereka yang terakhir iaitu pengundi pos, peneroka Felda dan Felcra, orang kampung yang buta maklumat serta orang-orang miskin yang mereka boleh beli dan beri benda serta duit," katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah sempena Majlis Makan Malam PAS Negeri Melaka sempena Sambutan 60 Tahun PAS malam tadi di Jalan Bukit Baru-Duyong.

Turut berceramah bersama beliau pada program tersebut ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dan pimpinan Pakatan Rakyat negeri Melaka.

Majlis yang berlangsung dalam hujan tersebut menarik lebih dari 2,000 orang walaupun keadaan tapak program tersebut becak digenangi air.

Orang ramai mula memenuhi khemah jamuan sebelum jam 8.00 malam lagi. Suasana basah dan becak di kawasan jamuan tidak sedikitpun melemahkan semangat mereka untuk memberikan sokongan terbuka kepada PAS dan PR.

Pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama bersama-sama khusyuk mendengar ceramah pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat.

Berbeza dengan program anjuran Perkasa Melaka yang dijalankan kira-kira 100 meter, hanya kira-kira 80 orang yang hadir.

Difahamkan program Perkasa yang dianjurkan secara adhoc bagi mengganggu program makan malam ini dilihat hambar di mana penceramah jemputan mereka, Zulkifli Noordin pun tidak hadir.

Orang ramai menyifatkan program makan malam itu berjaya mencapai matlamatnya walaupun keadaan tidak selesa disebabkan hujan turun sejak awal petang lagi.

Program ini berakhir kira-kira jam 12.00 malam dengan tiada sebarang gangguan dari mana-mana pihak.


Seksualiti Merdeka: Bukan bebas tapi babas | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru penganjur dan penyokong program Seksualiti Merdeka 2011 agar tidak meneruskan perjuangan dan kempen mereka.

“Sedarlah bahawa gaya hidup seperti ini akan berdepan dengan kemurkaan Allah SWT selain ia membuka pintu kepincangan sosial dan budaya negara kita,” kata ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar).

Beliau mengulas mengenai program yang dikenali sebagai Seksualiti Merdeka 2011 dengan temanya Queer Without Fear yang berlangsung semalam hingga 13 Nov 2011 di The Annaxe Gallery.

Program itu kononnya berteraskan perjuangan human right, menuntut hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.

Sekilas pandang, kata Nasrudin mereka sedang memperjuangkan hak dan kebebasan dengan gaya hidup pilihan mereka dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia.

Justeru itu, ujarnya mereka tidak lagi teragak-agak untuk mengiklan, memperjuang dan menganjurkan programnya secara terbuka.

“Sungguhpun mereka tampil dengan prinsip perjuangan human right, Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri mengenai perkara ini, sementara Dewan Pemuda PAS Malaysia berpaksi teguh kepada ajaran Islam, justeru Islam adalah agama petunjuk dari Allah yang mencipta manusia,” tegasnya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, Islam adalah agama fitrah sementara fitrah manusia ialah hidup berpasang-pasangan lelaki dan perempuan.

Justeru itu, katanya lagi perkahwinan yang sah di sisi Islam hanyalah perkahwinan yang melibatkan lelaki dengan pasanganya perempuan yang bukan mahramnya.

Tambahnya, sementara perkahwinan atau hubungan sesama jenis adalah suatu noda yang dilarang oleh Islam ke atas penganutnya kerana ia jelas bertentangan dengan fitrah kejadian atau ciptaan manusia di atas muka bumi.

Justeru, tegasnya Pemuda PAS menyeru penganjur dan penyokong program tersebut agar tidak meneruskan perjuangan dan kempen mereka ke arah menuntut kebebasan pada gaya dan cara hidup barat yang salah dengan norma, tatasusila, budaya dan agama.

“Ia adalah satu bentuk kemungkaran yang tidak wajar diperjuang dan diamalkan, bahkan ia sangat menyentuh sensitiviti ummat manusia yang menjalani kehidupan normal,” jelasnya.

Katanya, Dewan Pemuda PAS yakin, jika mereka mendapat bimbingan wajar dari pihak berkuasa agama dan lainnya yang berkaitan, perkara itu dapat dibendung dengan baik daripada terus menular lalu membentuk satu budaya.

“Inilah rasionalnya Dewan Pemuda PAS menasihati dan menegur pemerintah agar tidak meluluskan penganjuran konsert icon gay Elton John di negara ini sebagai langkah menutup pintu-pintu mungkar yang mengundang kemurkaan Allah SWT,” ujarnya lagi.

Tambahnya, walaupun dikatakan Elton John tidak akan menyeru rakyat Malaysia meniru gaya hidup gaynya, tetapi sudah cukup pengiktirafan yang diberikan kepada beliau menyuburkan budaya gay di Malaysia yang semakin hari semakin menular.

Katanya, kebebasan bukan bermakna manusia bebas melakukan apa sahaja sehingga bertentangan dengan fitrah dan agama.

Menurutnya, kalaupun seseorang tidak beragama sekalipun, akal yang masih dimiliki tidak mungkin membenarkan manusia melakukan apa sahaja di atas tiket kebebasan.

Sebaliknya, kata beliau manusia mesti hidup berasaskan peraturan-peraturan tertentu yang mengikat komitmen dirinya agar tidak terbabas dari kebaikan dan kemuliaan.

“Secara analoginya boleh saya contohkan seperti memandu kereta. Sungguh pun kereta itu milik kita yang sah, pula kita telah membayar road tax dan insuransnya, maka atas nama kebebasan lalu kita bebas untuk memandu laju tanpa menghirau peraturan lalu lintas.

“Ini sangat merbahaya terutama pemanduan dengan had kelajuan melampau seperti 160 kmj di selekoh tajam yang bertanda 20 kmj.

“Awas! Ini bukan lagi bebas tetapi babas,” katanya.

Tiada ulasan: