Khamis, 10 November 2011

JAWAB MESTI KENA JAWAB...TAK JAWAB DIDUNIA....AKHIRAT KENA JAWAB...SALAH GUNA DAN SABIT PEMBELIT...MAKA NERAKALAH TEMPATNYA...

Royalti: Harap PM terbuka hati lepas tunai haji | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 10 Nov: Kerajaan Negeri Kelantan hari ini menyerahkan 'Amanat Tun Abdul Razak' kepada Perdana Menteri berhubung hak negeri itu mendapat bayaran 5 peratus royalti petroleum.

Penyerahan itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan, Datuk Husam Musa kepada wakil perdana menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di parlimen hari ini.

Turut serta dalam rombongan menyerahkan amanat itu, lebih 30 orang terdiri daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), ahli-ahli parlimen Kelantan, serta wakil Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) dan Jawatankuasa Anak-anak Kelantan Perantauan Tuntut Royalti (ROYALTI).

Mereka masing-masing membawa poster amanat tersebut termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

'Amanat' itu merupakan jawapan Tun Abdul Razak selaku perdana menteri terhadap pertanyaan Lim Kit Siang di dewan rakyat pada tanggal 12 November 1975 yang berbunyi;

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan (onshore) atau di luar perairan (offshore) negeri tersebut, yang dijadual oleh PETRONAS ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontarktornya,".

Menurut Husam yang juga exco negeri Kelantan, penyerahan itu dibuat sempena merayakan ulang tahun ke-36 ucapan bekas perdana menteri ke-2 itu.

Ianya juga sebagai penerusan tuntutan kerajaan negeri kepada pusat, agar membayar wang 5 peratus yang sekian lama dinafikan itu.

"Kami berharap dengan pulangnya haji Datuk Seri (Najib Razak) Perdana Menteri, hati beliau terbuka untuk bayar balik royalti, kerana ini adalah pesanan Tun Razak, ayahanda beliau," kata Husam pada sidang media bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di lobi parlimen selepas itu.

Selain amanat Tun Razak itu, satu surat mengandungi bukti jawapan menteri di Dewan Negara juga turut diserahkan kepada perdana menteri.

Ianya termasuk jawapan menteri tidak berpotfolio, Tan Sri Chon Hon Nyan terhadap soalan Senator Raja Nong Chik Raja Ishak pada 7 Januari 1977.

Jawapan tersebut antara lain berbunyi;

"Dalam Gerakan mencarigali minyak ini di dalam kawasan Continental Shelf, hak itu sudahpun diberikan kepada PETRONAS dan PETRONAS sudahpun mengadakan perjanjian dengan negeri-negeri yang berdekatan dengan dasar laut itu, sebagaimana saya katakan tadi supaya royalti 10% itu dibahagi kepada dua pihak".

Satu lagi bukti adalah jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Kasitah Gaddam pada 4 April 1989 terhadap soalan Senator Tuan Hassan Harun yang berbunyi;

"Sekiranya minyak diperolehi di kawasan berhadapan dengan negeri Kelantan, maka Kerajaan Negeri Kelantan akan menerima hasil royalti sebanyak 5% daripada minyak dan gas yang dikeluarkan sebagaimana yang diterima oleh negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak".

Telaga Bumi dan Suria

Selain itu, Kelantan juga menuntut pengeluaran gas di Telaga Bumi dan Telaga Suria di kawasan bertindih dengan Terengganu yang beroperasi April lalu juga didaratkan di negeri itu.

Setakat kini katanya, Petronas pada 24 September lalu telah membuat pengumuman akan mendaratkan gas tersebut di Kerteh iaitu sepanjang 2000 kilometer pipeline di lautan.

"Kami sangat berharap gas ini dapat didaratkan di Kelantan.

"Kelantan telah menyediakan satu zon petroleum industri di Bachok seluas 2000 ekar dan saya telah menulis surat kepada presiden Petronas supaya isu pendaratan gas daripada Bumi dan Suria ini dilakukan di Kelantan," kata Husam.


Bajet segera naik taraf jalan utama Pasir Puteh | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 10 Nov: Kerajaan BN didesak supaya lebih bertanggungjawab dengan mengeluarkan bajet segera bagi menyelesaikan masalah jalan utama di Pasir Puteh antara sempadan Kelantan-Terengganu di Bukit Yong.

Desakan tersebut dibuat terutama bagi menaik taraf jalan utama jajahan Pasir Puteh antara sempadan Kelantan-Terengganu di Bukit Yong hingga sempadan Pasir Puteh-Bachok di Kampung Jerus.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhammad Husin berkata, keadaan jalan utama di Pasir Puteh kini agak menyedihkan dan amat perlu dinaik taraf dengan segera bagi kepentingan orang ramai.

Menurut beliau, tambahan pula jalan tersebut agak berbeza berbanding jalan bersempadanan dengan Besut di Terengganu.

Katanya, disebabkan keadaan jalan yang tidak memuaskan, laluan utama di Pasir Puteh itu sering berlaku kesesakan sehingga menyebabkan banyak terjadi kemalangan setiap tahun yang turut melibatkan kematian.

"Sepanjang jalan itu juga terdapat 20 jambatan kecil yang sudah lama tidak dibaiki dan sudah tidak sesuai lagi untuk digunakan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Perkara itu, menurut beliau, amat perlu diberikan perhatian segera oleh pihak kerajaan, lebih-lebih lagi setelah dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Dalam soalan lisan yang dikemukakan semalam, beliau bertanya kepada Menteri Kerja Raya sama ada kerajaan bercadang untuk menaik taraf jalan berkenaan.

Menjawab pertanyaan itu, pihak Kementerian Kerja Raya menjelaskan, Kerajaan Persekutuan akan memberikan keutamaan tinggi bagi membina dan menaik taraf rangkaian jalan raya di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Ini termasuk Jalan Persekutuan dari Pasir Puteh (Kampung Jerus) ke sempadan Kelantan-Terengganu (Bukit Yong) yang merupakan sebahagian daripada Jalan Persekutuan FT003 dari Kota Bharu ke Pasir Puteh dan berakhir di Kuala Terengganu sepanjang 169 kilometer.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan projek menaik taraf Jalan Persekutuan itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam setiap Rancangan 5 Tahun Kerajaan berikutan kos projek yang sangat tinggi.

Hasil kajian awal pihak kementerian didapati jalan tersebut sememangnya sering mengalami kesesakan akibat peningkatan jumlah kenderaan khususnya semasa musim perayaan dan cuti sekolah.

Banci lalu lintas pada tahun 2010 telah mencatatkan jumlah kenderaan sebanyak 19,240 setiap hari dan jalan tersebut diklasifikasikan sebagai Level of Sevice (LOS) E iaitu jalan sesak ketika waktu puncak.

Sehubungan itu, cadangan projek itu telah dikenal pasti antara projek berkeutamaan tinggi dan pihak kementerian akan berusaha berbincang dengan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk dilaksanakan dalam RMK10.

Menurut Muhammad, projek tersebut sememangnya amat perlu disegerakan memandangkan kawasan Pasir Puteh kini sedang mengalami perkembangan pesat.

"Oleh itu, di kawasan itu tentunya memerlukan jalan raya yang lebar dan sempurna bagi menampung keperluan pengguna," ujar beliau.


Negeri Pakatan tidak kurangkan kakitangan awam | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 10 Nov: Tiada pengurangan kakitangan perkhidmatan awam di negeri-negeri yang ditadbir Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) membuktikan ia tidak pernah menjadi dasar yang dipersetujui.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kakitangan perkhidmatan awam tidak perlu risau mengenai perkara itu kerana tidak ada sebarang persetujuan mengenai pengurangan kakitangan perkhidmatan awam dalam PR.

"Jangan sampai tak tidur lena pula kerana pandangan seseorang kerana ia bukan satu keputusan," katanya.

Sebagai persefahaman politik yang mengamalkan nilai-nilai demokrasi, kata Mahfuz, PR tidak pernah menghalang sebarang pandangan dikemukakan.

"Tetapi, saya tekankan sekali lagi, sekadar pandangan bukanlah satu keputusan jauh lagi persetujuan bersama.

"Sebab itulah tidak berlaku dan tidak ada sebarang cadangan atau perancangan untuk mengurangkan kakitangan perkhidmatan awam di Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah yang ditadbir kerajaan PR," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz berharap semua pihak memahami bahawa bukan di dalam PR sahaja berlaku perbezaan pandangan.

"Di dalam Umno pun ada orang Umno yang memberikan pandangan berbeza.

"Umpamanya, bila Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Saifuddin Abdullah kata Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) melesukan gerakan mahasiswa dan tidak menjana kepemimpinan, ia bukanlah keputusan dan keinsafan Umno. Ia hanya pandangan Saifuddin.

"Umno masih tetap sama dan memandang AUKU sebagai talian hayat kerana Umno beriman dengan keyakinan bahawa AUKU diperlukan untuk mengawal mahasiswa daripada menentang kerajaan," katanya.

Mahfuz juga mengecam percubaan golongan rasis yang memperalatkan sentimen bangsa dan agama yang hendak menjadikan isu itu sebagai isu perkauman.

"Jangan percaya golongan rasis yang pembohong ini. Semua perkara mereka hendak jadikan isu perkauman.

"Harga ikan mahal di pasar pun mereka jadikan isu perkauman. Sedangkan, harga mahal mungkin berpunca dari soal bekalan, cuaca hinggalah kepada kegagalan kerajaan mengawal harga barangan," katanya.

Mahfuz berharap kakitangan perkhidmatan awam yang rajin dan berdedikasi terus memberikan tumpuan kepada tugas mereka dan jangan membuang masa dengan kebimbangan terhadap perkara yang bukan-bukan.


Dakwat kekal: Apa kata mantan Pengerusi SPR | Print |
Subky Latif
SEKALIAN penyokong reformasi dan transformasi Suruhanjaya Pilihan Raya boleh terhibur atas kenyataan mantan Penegerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman tentang ketawanya dengan hasrat SPR bagi merojokkan penggunaan dakwat kekal kepada Majlis Fatwa.

Dia ketawa atas hasrat terbaru SPR itu mungkin justeru itu ia satu lawak jenaka yang menggelikan, tetapi ketawanya itu boleh memberi menghiburkan sedikit hati pejuang reformasi dan transformasi SPR seperti yang dituntut oleh Bersih 2.0 yang dipengerusikan oleh Dato Ambiga.

Salah satu dari tuntutan Bersih 2.0 ialah penggunaan dakwat kekal di jari pengundi yang sudah mengambil kertas undi seperti yang digunakan oleh banyak negara did dunia. Yang terakhir di Tunisia.

Rashid mengambil masa lebih dari tiga tahun bagi menyatakan rasa terdongkolnya tentang pembatalan penggunaan dakwat kekal itu beberapa hari sebelum PRU 8 Mac, 2008 dulu.

Pembatalan itu dibuat setalah ada pertemuan antara Perdana Menteri masa itu, Tun Abdullah Badawi dengan SPR kononnya timbul isu keselamatan tentang penggunaan dakwat itu.

Ada waham ketika itu bahawa pembatalan itu justeru campur tangan Perdana Menteri. Tetapi Perdana Menteri menafikan dia yang mengarahkannya. Katanya dia sekadar memberi pandangan tetapi SPRlah membuat keputusan membatalkannya.

Boleh dibuat kesimpulan kerajaan semasa tidak mahu ia disalahkan atas kejadian itu tetapi seperti SPRlah yang disalahkan.

Ertinya wibawa SPR itu yang diuji dan benar ia tidak tahan uji. Perdana Menteri itu orang politik. Kepada SPR dilambakkan semua ketempangan.

Rashid dikatakan berkata, dia seperti hendak meletak jawatan masa itu, tetapi dia disabarkan. Demikianlah cerita wibawa SPR hang hingga hari ini terus dipersoal.

Apa rugi Rashid yang bersabar dan tidak meletak jawatan? Tiada orang yang menghormatinya. Umno dan kerajaan diragui menghormatinya sekali pun dia ada jasa pada Umno. Kalau Umno dan kerajaan menghormatinya, masakan ada komen Perdana Menteri menolak pertanggungjawaban atas isu pembatalan guna dakwat kekal sebaliknya melambakkannya kepada SPR sendiri.

Masakan Rashid tidak jasa langsung di SPR. Tetapi siapa yang mengenangnya? Bagaimana namanya di tengah masyarakat selepas dia bersara?

Tetapi kalau dia meletak jawatan masa itu, dia akan dipuji dan disanjung sebagai orang berintegriti dan bermaruah. Macam Tan Sri Syed Jaafar Albar yang tidak seuju dengan tindakan Tunku Abdul Rahman Putra melepaskan Singapura dari Malaysia, dia meletak jawatan dari Setiausaha Agung Umno. Orang hormatinya.

Pelanggan SPR telah lama membangkitkan isu penggunaan dakwat kekal itu. PAS pelanggan awal yang mengemukakannya. Tetapi SPR semasa Rashid berkelentong. Tidak nampak reaksi positifnya. Hingga dia berdalih dakwat jenis itu dibantah oleh ulama kerana ia tidak telus wuduk. Hatta DAP bertanya PAS, kerana alasan SPR tidak menggunakannya ia ditentang PAS atas sebab halangan air wuduk tadi.

PAS tidak pernah membantah, bahkan menuntut penggunaanya. Lalu PAS membantah kelentong SPR itu.

Jika Rashid meletak jawatan bila dakwat itu dibatalkan, kelentong yang dulu-dulu itu nescaya dilupakan.

Gara-gara Nik Rashid bersabar atas pembatalan itu dan berdiam diri, hingga hari ini isu itu tidak selesai dan menyebab pengerusi SPR yang beru terpaksa memikul segala Nik Rashid tidak selesaikan dulu.

Bagaimana pun sedikit pendedahan Rashid tentang pembatalan dakwah itu dulu menjadi keterangan dakwat itu tidak jadi masalah. Masalahnya ialah tekanan kerajaan. Masalah SPR dan pengerusinya yang baru boleh dikira sebagai belenggu dari campur tangan kerajaan.

Bersih 2.0 dan pelanggan SPR boleh terhibur dengan pendedahan kecil Nik Rashid itu bahawa dakwat kekal itu releven.

Akhirnya Rashid bersuara. Walau pun terlambat tetapi suaranya mengandungi banyak persoalan. Antara dia meninggalkan banyak beban yang tidak selesai. Pengerusi baru SPR janganlah berkelentong lagi. Jangan tinggalkan SPR sebagai suruhanjaya yang bermasalah.

Nik Rashid masih ada masa menolong Bersih 2.0 menyelesaikan segala yang tidak selesai.


RM1.4b Bajet Luar Jangka hilang belum terjawab | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 10 Nov: Kehilangan dana Bajet Wang Luar Jangka RM1.4 bilion daripada RM1.5 bilion yang diperuntukkan masih penuh dengan tanda tanya kerana belum terjawab oleh Kerajaan BN.

Sebaliknya Laporan Ketua Audit Negara berhubung perkara itu cuba disembunyikan oleh pihak Kerajaan BN sehingga dibangkitkan oleh pihak pembangkang pada persidangan Parlimen semalam.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kehilangan wang tersebut berjaya dikesan apabila Laporan Audit Negara 2010 berbeza dengan belanjawan yang dibentangkan.

Menurut beliau, ketika menjawab pertanyaan pembangkang semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin menjelaskan, wang itu tidak lesap tetapi jumlah sebenar bagi tahun 2010 telah pun diisi semula melalui Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan 2011.

Katanya, jawapan tersebut bukanlah jawapan sebenar kerana laporan audit negara mestilah sama dengan belanjawan yang dibentangkan.

"Perkara ini dibangkitkan oleh Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) dan kemudian dilanjutkan oleh saya pada persidangan Dewan Rakyat semalam dengan menggunakan peraturan 68A.

"Kumpulan Wang Luar Jangka dan Laporan Audit Negara hendaklah dibentangkan dan tidak boleh dibahaskan, tetapi yang boleh dibahaskan adalah belanjawan yang dibentangkan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, ketika menjawab pertanyaan itu, Awang Adek mengatakan perkara itu telah dibentangkan dan dibahaskan pada persidangan Parlimen tahun lalu.

Lebih jauh dari itu, Awang Adek turut menuduh pihak pembangkang sengaja hendak memutarbelitkan fakta-fakta untuk mengelirukan rakyat.

Katanya, jawapan timbalan menteri kewangan itu ternyata bercanggah dengan peraturan Parlimen, di samping bercanggah dengan prinsipnya yang sepatutnya dilihat kepada semua laporan berkenaan.

"Jawapan timbalan menteri kewangan itu bercanggah dengan peraturan 68A. Sepatutnya beliau menjawab ada kesilapan yang berlaku, bukannya telah dibahas di Parlimen," ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, perbezaan laporan audit negara dan belanjawan itu merupakan kejadian pertama dalam sejarah kewangan negara dan ia tidak sepatutnya berlaku.

"Jawapan timbalan menteri kewangan itu tidak menggambarkan kejadian yang sebenar, sebaliknya cuba menyorok Laporan Ketua Audit Negara.

"Kami sedang menunggu jawapan sebenarnya. Diharap Perdana Menteri dapat menjelaskannya nanti kerana ini soal perlembagaan bagi memudahkan perlaksanaan," ujar beliau.


Daftar pemilih Lembah Pantai pincang | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 10 Nov: "Pameran awam daftar pemilih yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) di kawasan Parlimen seluruh Malaysia bagi sesi 2011/2012 menimbulkan banyak keraguan," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Tambah Nurul Izzah lagi pameran daftar tersebut dilakukan bagi mendapatkan maklum balas dan juga bantahan orang ramai dan juga setiap parti yang akan bertanding pilihan raya akan datang.

Namum jelasnya tindakan SPR ini bagaimana pun dilihat penuh kemusykilan apabila pemberitahuan tentang pameran tidak dibuat kepada Ahli Parlimen termasuk tempoh pameran dan maklumbalas yang begitu suntuk.

"Saya melihat selain tidak dimaklumkan tentang tempoh pameran tersebut, prosedur yang menyulitkan ini mengambil masa seperti mana yang diketahui setiap individu hanya boleh membantah secara maksima sepuluh nama dengan yuran sepuluh ringgit untuk setiap nama yang dicurigai.

"Walaupun terpaksa berkejar menyiapkan bantahan, saya ingin menyatakan tentang wujudnya kepincangan dalam daftar pemilih SPR bagi kawasan Parlimen Lembah Pantai.

"Melalui pemeriksaan yang dilakukan, saya dapati seramai 457 nama pemilih yang bukan sahaja tidak bermastautin di Lembah Pantai tetapi merupakan kakitangan di Pusat Tahanan Polis Bukit Jalil yang malangnya mereka telah disenaraikan di dalam daftar pemilih Parlimen Lembah Pantai bagi suku ketiga sesi 2011/2012," jelasnya yang juga Naib Presiden PKR.

Nurul Izzah memberitahu senarai nama yang meragukan itu melibatkan empat pusat pengundian polis iaitu Balai Polis Pantai dengan 469 nama pemilih dengan penambahan sebanyak 75 nama pemilih.

Manakala Balai Polis Petaling dengan 497 nama penambahan sebanyak 63 nama pemilih, Balai Polis Bangsar/Travers penambahan sebanyak 121 nama dengan daftar pemilih seramai 478 orang, Balai Polis Kerinci pula seramai 41 nama pemilih dengan penambahan sebanyak 25 nama pemilih.

Dalam pada itu terdapat dua pusat pengundian baru polis yang dibuat di Parlimen Lembah Pantai iaitu Ibu Pejabat Polis dan Polis Pantai Dalam yang membabitkan tiga nama pemilih baru.

"Selain itu juga kita menemui senarai pengundi di lokaliti kosong iaitu pendaftaran nama pemilih di Kampung Haji Abdullah Hukum di mana kampung tersebut tidak lagi wujud setelah penduduk asal dipindahkan atau diusir dengan pembayaran pampasan di bawah projek KL ECO CITY usahasama SP SETIA-DBKL.

"Bagaimana mungkin wujud pengundi di kampung yang sudah lagi tidak wujud. Apa yang lebih mengejutkan ialah pada masa yang sama berlakunya penambahan nama pemilih daripada 3,204 nama pemilih kepada 3,300 pemilih, penambahan sebanyak 96 nama pemilih walaupun Kampung Haji Abdullah Hukum tidak lagi wujud di dalam peta Lembah Pantai," sambung Nurul Izzah lagi.

Pada masa yang sama Nurul Izzah juga memberitahu penemuan-penemuan itu membuktikan wujudnya kecacatan di dalam senarai pemilih yang dipamerkan oleh SPR.

"Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera atas penyelewengan yang wujud dalam daftar pemilih tersebut.

"Sebaliknya sistem sedia ada dan keengganan SPR bersikap dengan lebih terbuka membantutkan sebarang usaha untuk membersihkan daftar pemilih yang akan digunapakai di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

"Ini bukti jelas bahawa daftar pemilih belum bersih sepenuhnya dan saya berharap pihak berkuasa bertindak dan bukan bersekongkol dengan SPR," jelasnya lagi pada sidang media di lobi Parlimen.

Tiada ulasan: