Rabu, 23 November 2011

INGATLAH KUASA ALLAH YANG MUTLAK...KEHENDAK ALLAH YANG MENENTU...INGATLAH KITA MAKHLUK YANG LEMAH..TAATLAH PADA ALLAH...

SPR wajar nasihat Najib umum tarikh p’raya awal | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) membidas tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ‘menyibuk’ terhadap urusan parti politik lain dengan mengusahakan agar Pilihanraya Umum di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di seluruh negara kecuali Sarawak didakan serentak.

Ketua DPP Malaysia, Riduan Mohd Nor berpendapat SPR tidak berhak masuk campur terhadap urusan pihak lain sedangkan urusan kendaliannya banyak lagi yang tidak selesai.

“Dari segi undang-undang tidak menyekat mana-mana kerajaan negeri untuk mengadakan pilihan raya umum secara berasingan, mengapa SPR pula ‘terhegeh-hegeh’ mahu menasihati parti politik untuk mengadakan PRU secara serentak,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Sepatutnya, kata beliau urusan mengadakan pilihan raya umum secara serentak atau berasingan diputuskan oleh Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, dan SPR tidak berhak mempertikai atau campur tangan terhadap perkara itu.

Tambahnya, tugas utama SPR adalah melaksanakan perjalanan pilihanraya agar ia berlangsung dengan baik, sistematik, telus, dan adil.

Menurutnya lagi, mencampuri urusan parti-parti politik terutama pembangkang akan dilihat oleh rakyat bahawa SPR terikat dengan arahan pihak tertentu yang berkepentingan.

“DPP Malaysia mengesyorkan, jika SPR benar-benar mahu menasihati pemimpin parti politik, adalah lebih baik Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohamad Yusof menasihati dahulu Perdana Menteri agar mengumumkan tarikh pilihan raya umum kepada rakyat daripada awal,” katanya.

Ini, katanya lebih penting supaya semua pihak dapat membuat persiapan bagi menghadapinya.

Menurut Riduan, merahsiakan tarikh pilihan raya merupakan suatu tindakan yang tidak bijak kerana boleh mengganggu jadual parti politik dan rakyat keseluruhannya.

“DPP Malaysia juga mencadangkan agar SPR menasihati Perdana Menteri untuk mewujudkan Kerajaan Sementara selepas pembubaran parlimen sehingga tarikh pengundian,” katanya lagi.

Ini akan lebih adil kepada semua pihak yang bertanding dalam PRU ke 13 nanti kerana boleh mengekang budaya rasuah, projek segera, penyalahgunaan kuasa dan wang dan lain-lain lagi.


Politik haji dan hijrah | Print |
Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Para jamaah haji yang baru pulang, masih tersemat dalam ingatan mereka laungan talbiyah yang berkumandang di tanah suci, bermaksud: ”Ya Tuhanku!, ya Tuhanku!, tiada sekutu bagimu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan kerajaan menjadi milikmu“.

Diajar oleh Rasulullah S.A.W kepada sesiapa yang memakai pakaian ihram untuk haji dan umrah, menggantikan ucapan syirik oleh kaum jahiliyyah yang menunaikan haji sebelum menganut Islam.

Lafaz bagi menyahut seruan nabi Ibrahim A.S, sebutan bahasa al-Quran Ibrahim atau Abraham mengikut sebutan penganut agama lain. Ibrahim diberi penghormatan kerana perjuangannya mengajak maharaja Namrud dan rakyat kepada ajaran yang benar daripada Allah iaitu Islam sehinggalah beliau dihalau. Perjuangan ini di sambung oleh para Rasul di kalangan Bani Israil dan Rasul akhir zaman Muhammad S.A.W. Menunjukkan bahawa perjuangan Islam yang sempurna tidak memisahkan politik daripada agama. Sabda Rasulullah S.A.W: “Pemimpin politik Bani Israil ialah para Anbiya.” (Riwayat al-Bukhari). Menunjukkan juga bahawa amalan syirik bukan sahaja berlaku dalam perkara ibadat, bahkan berlaku dalam cara hidup yang melibatkan amalan politik.

Musim haji menjadi salah satu medan perjuangan Rasulullah S.A.W untuk berdakwah. Setelah para pemimpin musyrikin Makkah menolak Islam dan tawaran menegakkan negara yang adil untuk semua dan Rasulullah S.A.W juga menolak tawaran mereka untuk melantiknya menjadi raja atau pemimpin serta tawaran harta kekayaan yang melimpah ruah. Diikuti dengan penentangan secara kekerasan terhadap Rasulullah S.A.W dan orang-orang yang mengikutnya di Makkah. Para sahabat yang beriman diperintah bersabar menghadapi kezaliman, walaupun ada yang mati dibunuh.

Akhirnya Rasulullah S.A.W berkempen kepada pemimpin kabilah Arab yang berpengaruh supaya menerima Islam dan mengizinkan Islam ditegakkan dalam masyarakat dan negara. Allah berjanji bahawa kemenangan pada akhirnya kepada Islam.

Firman Allah, maksudnya: Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi itu dan hendak menjadikan mereka para pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (memerintah bumi). (al-Qasas: 5)

Kedatangan pemimpin kabilah Arab di musim haji dijadikan kesempatan mengajak mereka kepada Islam dan tawaran kemenangan daripada Allah. Rasulullah S.A.W ditemani oleh sahabatnya yang setia, Abu Bakar R.A memulakan pertemuan dengan pemimpin Bani ‘Amir yang ramai pengikut. Rasulullah S.A.W mengajak mereka kepada Islam dan menerima supaya negeri mereka menjadi tempat berlindung bagi menegakkan Islam dan Allah menjanjikan kemenangan.

Apabila mereka mendengar janji kemenangan daripada Allah, mereka bertanya: ”Apakah janji habuan harta dan kedudukan yang hendak diberi kepada kami apabila kemenangan dicapai, adakah kami akan menjadi ketua selepas kamu?“. Rasulullah S.A.W menjawab: “Akan diberi kepada kamu mengikut kehendak Allah, kerana Allah yang memiliki kerajaan, diberi kepada sesiapa yang dikehendakiNya“. Pemimpin Bani ‘Amir berkata “Kalau itulah jawapannya, maka kami tidak bersedia, kerana janji begini hanya menempah kesusahan sahaja“.

Rasulullah S.A.W meninggalkan khemah Bani ‘Amir dengan rasa sedih, kemudian mengunjungi khemah pemimpin Bani Syaiban. Apabila mengajak kepada Islam dan tawaran janji kemenangan daripada Allah, pemimpin Bani Syaiban bertanya: “Terangkan kepada kami, apa dia Islam?“. Apabila Rasulullah S.A.W menerangkan makna Islam dan membaca beberapa ayat-ayat al-Quran, pemimpin Bani Syaiban berkata: ”Ini bukan ucapan penduduk bumi, apa yang dinyatakan ini benar, tetapi cabarannya besar kerana ditentang oleh musuh dari seluruh pelosok dunia. Kalau berdepan dengan kabilah-kabilah Arab kami bersedia, tetapi menghadapi Parsi (kuasa besar dunia) yang bersempadan dengan kami sangat berat, kami tidak mampu“. Seterusnya mereka berjanji untuk berfikir dahulu. Rasulullah S.A.W memberitahu bahawa untuk bersama dengan Islam sekarang mestilah bersedia menghadapi cabaran daripada segenap penjuru dan mempersilakan mereka datang apabila mendengar kemenangan Islam.

Akhirnya Rasulullah S.A.W menemui rombongan kabilah Aus dan Khazraj, penduduk Yathrib (nama asal Madinah) yang bermasyarakat majmuk dengan kaum Yahudi (Ahli Kitab) yang menceritakan berita kelahiran nabi akhir zaman yang di nanti-nanti. Apabila pemimpin Aus dan Khazraj ditemui oleh Rasulullah S.A.W, mereka terus menganut Islam dan mengadakan Bai’ah (perjanjian setia) menyerahkan diri, harta dan tanah air mereka menjadi tempat hijrah. Maka berlakulah peristiwa hijrah yang terkenal.

Ketika bersedia untuk berhijrah Rasulullah S.A.W meminta menantunya Ali bin Abi Talib R.A menyerahkan barang-barang simpanan yang diamanahkan kepadanya oleh kalangan penduduk Makkah, (ahli sejarah ekonomi Islam menyatakan bahawa inilah muamalah Bank yang pertama dalam sejarah manusia). Rasulullah S.A.W selamat keluar daripada Makkah dengan menembusi kepungan musuh yang lengkap bersenjata untuk membunuhnya dengan pertolongan Allah secara mukjizat (luar biasa).

Dalam perjalanan hijrah itu Rasulullah S.A.W menggunakan pemandu, seorang bukan Islam yang tidak bermusuh dengannya bagi melalui jalan pintas yang tidak diketahui umum. Peristiwa ini menunjukkan ada kerjasama dengan bukan Islam yang bencikan kezaliman. Setelah berlakunya hijrah dengan sepenuhnya maka Rasulullah S.A.W telah mempersaudarakan kalangan penganut Islam yang berhijrah, mereka yang dikenali dengan Muhajirin dengan penduduk tempatan yang menganut Islam yang dikenali dengan Ansor.

Seterusnya menerima kehadiran masyarakat majmuk bersama kalangan bukan Islam daripada kaum Yahudi, kaum Arab musyrikin dan diikuti oleh penganut kristian yang tinggal di Najran. Satu perjanjian dimaterai, dikenali dengan Sahifah Madinah (Piagam Madinah). Yathrib ditukar nama kepada Madinah (Bandar).

Projek pertama ialah mendirikan sebuah masjid, tempat berhimpun untuk beribadat, mendengar khutbah sekurang-kurangnya sekali seminggu, majlis ilmu, pusat arahan pentadbiran, mahkamah dan menerima rombongan daripada luar, termasuk daripada kalangan bukan Islam. Projek kedua ialah pasar Madinah yang menjadi pusat perdagangan bagi seluruh rakyat semua kaum. Maka lahirlah sebuah negara dan masyarakat madani, mengambil sempena perkataan Madinah yang bererti bandar atau perkataan Tamadun yang bermaksud keadaan masyarakat manusia yang berkembang kemajuan pemikiran dan kebendaan melalui ilmu, politik, ekonomi dan Islam pula menambahnya dengan akhlak yang berteraskan iman.

Islam telah memperkasakan manusia dengan iman dan ilmu, bukan sahaja menerima manusia yang menganut Islam tanpa paksaan, dalam masa yang sama menerima ilmu akal dan pengalaman daripada pelbagai kaum dengan membawa konsep tiada pemisahan di antara perkara dunia dan akhirat, kerana dunia adalah tempat manusia beramal untuk akhirat, samada beribadat atau memakmurkan dunia berpandukan syariat Allah.

Haji dan Hijrah mencipta titik tolaknya amalan mengislamkan manusia dan negara yang menjadi mesej Rasulullah S.A.W, nabi akhir zaman yang menjadi Rasul ketika manusia seluruh dunia ditemukan dengan kemajuan perhubungan dan maklumat yang menemukan manusia seluruhnya dengan berbagai alat ciptaan yang canggih dengan meletakkan batas baik dan buruk, manfaat dan mudarat, adil dan zalim .

Firman Allah, maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.(Al Nisa’: 58)

Di antara amanah yang paling besar dalam ajaran Islam ialah memilih pemimpin, sehingga para sahabat R.A bermesyuarat ketika wafatnya Rasulullah S.A.W dan menjadikannya lebih penting daripada menghadiri upacara mengkebumikan jasad Rasulullah S.A.W. Sebahagian besar para sahabat menghadiri mesyuarat dan hanya sedikit sahaja yang berada di tempat pengebumiannya.

Imam al-Ghazali menegaskan: ”Agama Islam adalah asas, pemerintahan (politik) adalah pengawas, tanpa asas menjadi runtuh dan tanpa pengawas menjadi sia-sia. Umat Islam menjadi lemah kerana lemah pegangan agamanya dan hukum Islam banyak yang menjadi sia-sia kerana politik dipisahkan daripada agama Islam atau Islam menjadi slogan tanpa kuasa politik yang beramal dengan seluruh syariatnya.

Di zaman kelemahan umat Islam pula, sehingga tanah air dijajah, umat Islam dipecah dan diperintah, para ulama yang berkumpul di Makkah mengambil kesempatan musim haji mengajak jamaah haji yang datang daripada seluruh pelosok dunia supaya menentang penjajah di negeri masing-masing dan mendidik anak-anak mereka dengan ilmu Islam yang sempurna supaya Islam ditegakkan semula bagi meneruskan perjuangan Rasulullah S.A.W.

Beginilah hubungan haji dengan urusan umat, sehingga seorang pemikir orentalis menegaskan bahawa Islam tidak boleh dihapuskan selagi masih ada al-Quran dan Makkah.


Pemuda PAS buka bilik gerakan banjir | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengumumkan bilik gerakan banjir telah dibuka di seluruh negara bagi menghadapi kemungkinan banjir kelak.

“Sukarelawan untuk membantu pasukan penyelamat yang akan bertugas semasa banjir sangat diperlukan,” kata setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Kenyataan beliau merujuk kepada laporan Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan menerima lebihan hujan di antara 20 peratus hingga 40 peratus daripada normal berbanding tahun lepas, di antara bulan November 2011 hingga Mac 2012.

Berdasarkan ramalan itu, dan sekiranya intensiti hujan yang tinggi turun dalam masa singkat, serta ditambah pula dengan keadaan air pasang, maka situasi banjir akan menjadi lebih buruk.

Negeri-negeri yang dijangka menerima hujan yang tinggi antara lain adalah negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis, Kedah dan Sabah.

Fenomena air pasang besar pula diramalkan akan berlaku pada 25 Disember 2011 dan 23 Januari 2012.

“DPPM mengingatkan kepada negeri-negeri yang dijangka akan mengalami banjir besar ini supaya sentiasa berjaga-jaga terutama di musim hujan,” kata Khairul Faizi lagi.

Menurutnya, DPPM sudah siap terutamanya tenaga yang akan bertugas, tenaga penyelamat dan bantuan kecemasan.

DPPM juga, ujarnya siap menghulurkan tenaga bantuan dan kerjasama kepada pihak kerajaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Beliau berkata, Bilik Gerakan Banjir dan Bencana Alam ditubuhkan di peringkat negeri.

Katanya, untuk mendapatkan maklumat lanjut sila hubungi Pejabat Pentadbiran Dewan Pemuda PAS negeri-negeri.


PRU13: BN bukan lagi pilihan rakyat Sarawak | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Kemelut yang sedang berlaku di dalam parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak terutama terhadap pucuk piminan di dalam Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) semakin jelas berlaku.

“Ini menunjukkan bahawa BN Sarawak sedang berhadapan masalah kepimpinan yang amat ketara,” kata ketua Pemuda PAS negeri, Mohammad Arifiriazul.

Katanya, sejak beberapa minggu lepas jelas terpampang di dada akhbar tempatan berita-berita berkenaan masalah kepimpinan dalam SUPP dan SPDP terutama sekali berkenaan kemelut parti-parti berkenaan dalam pemilihan parti tersebut.

“Perkara ini lebih jelas berlaku di dalam SUPP dimana penyandang presiden partinya tewas dalam pilihanraya dewan undangan negeri Sarawak yang lepas dan terpaksa mengundur diri dalam pemilihan parti akan datang,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Miri dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, kemelut yang melanda parti-parti komponen BN Sarawak itu merupakan bebanan tambahan terhadap BN Sarawak yang sebelum ini telah terlepas 16 kerusi dewan undangan negeri dalam pilihan raya negeri pada 16 April lepas.

Ini, ujarnya menyebabkan Pengerusi BN negeri yang juga merupakan Ketua Menteri Sarawak terpaksa campur tangan dalam menyelesaikan kemelut itu namun masih belum dapat meleraikan permalahan ini.

“Atau adakah sebenarnya kepimpinan Ketua Menteri sendiri sudah tidak diterima oleh pucuk kepimpinan parti-parti komponen BN Sarawak?” soalnya.

Menurutnya, permasalahan yang sedang berlaku di dalam parti-parti komponen BN Sarawak jelas menggambarkan bahawa BN Sarawak telah ketandusan kepimpinan yang mampu membawa Sarawak kepada negeri yang lebih baik.

Justeru, tambahnya, telah tiba masanya bagi rakyat Sarawak membuat pertimbangan untuk memilih selain daripada BN dalam pilihan raya khususnya dalam pilihan raya umum yang ke-13 akan datang.

"Dan momentum itu perlu diteruskan bagi membuat perubahan besar dalam kerajaan negeri Sarawak dengan memilih kerajaan negeri baru dalam pilihanraya negeri akan datang," katanya lagi.


Himpunan 50,000 rakyat Sabah 4 Februari | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Nov: NGO Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) akan mengadakan himpunan 50,000 rakyat negeri itu di hadapan pejabat Ketua Menteri Sabah pada 4 Februari 2012 yang akan datang.

Ianya bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan negeri yang didakwa berterusan merampas tanah rakyat di negeri itu.

Tabah yang merupakan NGO dibawah Lajnah Pembangunan Tanah & Wilayah PAS Pusat membuat ketetapan itu dalam bengkel tahunan Tabah pada 20 November lalu di Pejabat PAS Kawasan Putatan bersama pimpinan masyarakat pelbagai kaum yang terlibat dengan isu rampasan tanah.

Menurut pengerusi Iajnah itu Mazlan Aliman, himpunan tersebut dicadang ekoran pendirian Kerajaan BN Sabah yang diketuai Datuk Seri Musa Aman yang masih berterusan merampas tanah rakyat biarpun beberapa bantahan telah dikemukakan beberapa pihak.

"Rakyat hilang sabar meskipun pendekatan diplomatik digunakan tetapi tiada respon positif dari Kerajaan BN Sabah," katanya dalam satu kenyataan.

Pesuruhjaya Suhakam Sabah, Jannie Lasimbang sebelum ini melaporkan dari tahun 2005 hingga tahun 2010 Sabah mencatat aduan tertinggi mengenai isu tanah di negara ini dengan 977 kes, diikuti Semenanjung Malaysia dengan 654 kes dan Sarawak 251 kes.

Bagi tahun 2010 sahaja daripada 92 aduan diterima di Sabah, Suhakam hanya mampu menyelesaikan dua kes sahaja kerana keengganan kerajaan negeri dan agensi terbabit memberi kerjasama yang sepatutnya.

Sebelum ini ujar Mazlan, sebuah sekumpulan NGO yang diketuai PACOS TRUST bersama hampir 50 wakil-wakil komuniti daerah seperti Pensiangan, Sepanggar, Kudat dan Kota Marudu, gagal untuk menyerahkan memorandum isu rampasan tanah kepada YAB Ketua Menteri pada 18 November lalu.

Meskipun menunggu lebih satu jam di perkarangan Dewan Undangan Negeri Sabah katanya, memo yang menyentuh bantahan pengeluaran geran komunal dan tuntutan Pemilikan Tanah Hak Adat Anak Negeri (NCR) hanya diterima kemudiannya oleh Pegawai Khas Ketua Menteri.

Sehubungan itu, mereka merancang untuk meggerakkan rakyat Sabah yang menjadi mengsa ramapasan tanah bangkit menyatakan bantahan kepada ketua menteri.

Dalam pada itu menurut Mazlan, Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat dalam rangka lawatan kerja ke Sabah dari 18 hingga 21 November lalu sempat melawat beberapa kawasan termasuk Kota Belud, Sepanggar, Kudat dan Beufort.

Selain beliau, turut serta Ust Aris Faesol Ismail selaku Setiausaha Lajnah Tanah, Nasaei Ismail, Pesuruhjaya PAS Sabah Tuan Aminudin Aling, Setiausaha Perhubungan Ust Awang Laiman, Ketua Penerangan Hishamudin Sulaiman, dan Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah Lahirul Latigu.

Menurut Mazlan lagi, sesi ramah mesra dan dialog meskipun jauh di pendalaman mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

Lebih menarik katanya penyertaan masyarakat suku kaum yang bukan beragama Islam lebih ramai dari kelompok bumiputera termasuk Bekas Timbalan Menteri, Datuk Kalakau Untol, mantan Ketua Daerah, Ketua-ketua Kampung dan pemimpin masyarakat.

"Terlalu banyak penemuan dan bukti kegagalan pemerintahan BN. Arus perubahan semakin kuat lantaran kekecewaan rakyat dengan pemerintahan sedia ada.

"Mereka menunggu masa pembubaran Parlimen untuk mengajar Musa Aman dan kuncu-kuncunya," katanya.


Kelantan sedia 729 pusat pemindahan banjir

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 23 Nov: Persiapan menghadapi kemungkinan banjir yang akan melanda Kelantan telah disusun secara rapi dan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa sahaja.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Kelantan Datuk Dr.Zainuddin Ibrahim, sehingga kini sebanyak 729 buah pusat pemindahan mangsa banjir telah ditetapkan dan boleh menampung sejumlah 150,700 mangsa.

Zainuddin juga berkata sebanyak 170 buah Pengkalan Hadapan telah dikenalpasti. Bagi penyediaan bekalan makanan pula, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat telah dipertanggungjawabkan bagi penyediaan bekalan seperti beras, sardine, biskut, minyak masak, gula, teh dan kopi dan dianggarkan peruntukkan awal berjumlah RM495 ribu.

Zainuddin berkata demikian di sidang media di Bilik Gerakan Kompleks Kerajaan Darulnaim, Kelantan.

"Sekiranya keadaan banjir menjadi serius, mungkin peruntukan akan ditambah menjadi RM600 ribu,” ujar beliau lagi.

Menyentuh soal penglibatan agensi kerajaan dan badan sukarelawan, Zainuddin berkata seramai 30,754 orang dari pelbagai agensi kerajaan dan seramai 610 dari NGO sudah bersedia untuk digerakkan bagi operasi menyelamat dan memberi bantuan kepada mangsa banjir.

"Pihak Pengurusan dan Bantuan Bencana juga pada tahun ini akan menyediakan sebanyak 105 tempat pendaratan helikopter bagi tujuan kecemasan,” katanya.

Bagi penyebaran maklumat kepada umum, penggunaan laman web ebanjir.kelantan.gov.my akan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini kedudukan suasana banjir di seluruh Kelantan.

Memandangkan Kelantan adalah bersempadan dengan negara Thailand, pihak kerajaan juga telah membuat kerjasama sepenuhnya dengan kerajaan Thailand dalam usaha membantu kedua-dua sempadan dalam menghadapi banjir iaitu dengan mewujudkan “ Disaster Management Working Group” dan di negeri Kelantan diselaraskan melalui Majlis Keselamatan Negeri Kelantan dengan Wilayah Narathiwat, Thailand.

"Dengan adanya persiapan awal dan rapi ini, saya berharap kita dapat menangani sebaik mungkin bencana banjir sekiranya ia berlaku," ujar beliau lagi.

"Saya juga ingin menyampaikan nasihat kepada semuar rakyat di Kelantan agar sentiasa mendengar arahan dari pihak berkuasa untuk berpindah ke pusat pemindahan mangsa banjir yang disediakan oleh kerajaan dan diharapkan tidak menunggu sehingga lewat terutamanya di waktu malam yang akan menyusahkan kerja menyelamat dan ini bukan sahaja membahayakan nyawa mereka malah anggota penyelamat juga,” katanya.


Akta Perhimpunan menekan rakyat, lebih zalim | Print |
Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 23 Nov: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin kesal dengan tindakan kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menyifatkan undang-undang baru itu secara jelas bertentangan dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya untuk memberikan ruang dan kebebasan dalam menjalankan perhimpunan dan demonstrasi aman.

"Langkah kerajaan membentangkan rang undang-undang ini tidak lebih sekadar gimik politik murahan dan satu lagi reformasi bersifat kosmetik seumpama yang berlaku terhadap pengumuman beliau untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada bulan September yang lalu.

"Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya dan seramai 13 individu telah ditahan di Sabah di bawah akta tersebut baru-baru ini.

"AMK melihat bahawa undang-undang yang diperkenalkan ini jelas bersifat lebih menekan dan lebih zalim berbanding peruntukan Seksyen 27 di bawah Akta Polis 1967 serta mencabuli hak kebebasan berhimpun," katanya.

Menurutnya lagi, undang-undang baru itu, pihak polis akan diberikan kuasa yang lebih luas dan berhak menahan individu yang menyertai mana-mana perhimpunan.

"Pihak polis juga, menerusi Seksyen 15(2)(h) diberikan kuasa besar dalam membuat keputusan melibatkan tarikh, masa, tempoh dan lokasi perhimpunan serta kaedah berhimpun dan bagi individu yang melanggar mana-mana sekatan dan syarat yang ditetapkan oleh pihak polis boleh didenda tidak melebihi RM10,000.

"Justeru AMK melihat bahawa langkah terkini kerajaan dalam membentangkan rang undang-undang ini adalah bertujuan untuk terus menyekat dan menghalang kebebasan rakyat dari berekspresi dan menyatakan protes," sambungnya lagi

Beliau juga bimbang undang-undang ini kelak bakal disalahguna oleh kerajaan yang didukung oleh Umno Barisan Nasional dalam usaha mereka untuk mengekang dan menyekat aktiviti politik parti-parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat serta menghalang majlis-majlis ceramah penerangan dengan justifikasi yang tidak munasabah berasaskan peruntukan di dalam undang-undang tersebut.

Tiada ulasan: