KOTA BHARU, 3 Nov: Kerajaan Kelantan sekali lagi meletakkan kepentingan rakyat di hadapan apabila memperuntukkan RM400,000 kepada Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK). Ini ekoran syarikat pengendali pengangkutan awam itu telah menyampaikan hasrat untuk memberhentikan operasi di 17 laluan dalam negeri. Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, SKMK yang ditubuhkan pada 24 Februari 1947 itu telah banyak menabur jasa kepada rakyat negeri ini dalam soal penyediaan pengangkutan awam. Namun, ujarnya kerana kenaikan harga minyak dan pelbagai kos termasuk penyelenggaraannya, SKMK telah melahirkan hasrat tersebut kepada kerajaan negeri. “Kerajaan negeri melalui keputusan mesyuarat kerajaan telah diberi taklimat sebanyak dua kali oleh SKMK dan kita amat memahami permasalahan ini dan kita tahu sekiranya mereka memberhentikan perkhidmatan, maka ia akan menyukarkan pergerakan rakyat terutamanya pelajar sekolah,” ujar beliau pada sidang media selepas meraikan pemain The Red Warriors bertempat di Dewan Teratai hari ini. Sehubungan itu, katanya kerajaan telah bersetuju pada peringkat awal untuk menyelamatkan SKMK dari memberhentikan perkhidmatannya dengan membantu dari segi kewangan dan ia akan dibantu bermula pada bulan November ini sebanyak RM100,000 dan akan diteruskan selama empat bulan. Menurutnya lagi, sekiranya SKMK memberhentikan perkhidmatannya ia akan memberi implikasi besar kepada rakyat bawahan. Justeru, katanya kerajaan akan bekerjasama dengan pengurusan SKMK untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal pengangkutan bas bagi membincangkan langkah pemulihan operasi syarikat tersebut yang dipengerusikan oleh Exco negeri, Mejar Datuk Mohd Anizam Abdul Rahman. Sementara itu, bagi memberi penghargaan kepada pasukan bola sepak The Red Warriors, kerajaan telah memperuntukkan RM84,000 kepada semua pemain dan pegawai pasukan yang disampaikan sendiri Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 3 Nov: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mempersoalkan kenapa pihak kerajaan telah membenarkan program Seksualiti Merdeka sejak 2008 lagi. Justeru, Mapim mendesak Perdana Menteri tidak perlu menyenangkan hati golongan sekular dan liberal Barat hanya kerana mahu mendapat sokongan mereka. “Ketegasan terhadap nilai dan dasar negara mesti dipertahankan tanpa rasa terikat dan tertekan,” kata setiausaha agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) kepada Harakahdaily. Katanya, Mapim tidak menolak pihak berkuasa menggunakan pendekatan yang bijak untuk mencegah kemungkaran seks bebas, tetapi ia tidak boleh sama sekali bermaksud menerima perlanggaran undang-undang Islam sebagai hak . Azmi menegaskan pihaknya membantah keras penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011. Katanya, ini jelas dinyatakan oleh salah seorang pengasas Seksualiti Merdeka, Pang Khee Teik bahawa festival itu bertujuan untuk menyokong dan memperkasa (empower) golongan lesbian, gay, bisexual and transgender (LGBT). Katanya, walaupun Khee Teik menyatakan acara tersebut bukan untuk mempromosi homoseksualiti namun jelas penganjur mahu mengenengahkannya sebagai suatu kebebasan dan hak peribadi. Ujarnya, mereka mendakwa negara ini mengamalkan diskriminasi ke atas golongan tersebut. Tegasnya, Mapim menolak dengan tegas alasan Majlis Peguam supaya hak LGBT diketengahkan atas nama demokrasi. Katanya, mengutip kenyataan Perdana Menteri bahawa Malaysia adalah negara yang ‘progresif dan liberal’ tidak boleh dijadi alasan untuk perlakuan yang melanggari akhlak yang ditetapkan oleh Islam dibolehkan. “Kami ingin menegaskan sesebuah negara berdaulat seperti Malaysia berhak untuk meletakkan nilai dan asas undang-undangnya mengikut peruntukkan Perlembagaan. Ia tidak boleh dilihat sebagai suatu penderaan atau ketidakadilan hanya kerana ia tidak selaras dengan budaya hidup Barat,” katanya yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras). Katanya, sikap liberal dan membiar budaya yang bertentangan dengan nilai dan adat resam rakyat Malaysia telah mengakibat kumpulan sekular-liberal Barat tidak henti-henti meneruskan kempen mereka supaya Malaysia turut memasukkan ke dalam polisi awam dan undang-undang negara mengenai hak kumpulan LGBT berkenaan. Beliau berkata, Mapim menegaskan bahawa tuntutan golongan itu seperti yang terbayang dalam beberapa acara yang terkandung dalam festival tersebut adalah bertentangan dengan adab dan nilai akhlaq yang ditekankan oleh Islam. Mapim juga, ujarnya kesal dengan Majlis Peguam yang turut terlibat dengan penganjuran program tersebut. “Apa urusan Majlis Peguam untuk terlibat melaksnakan kempen supaya Malaysia merombak polisi awam dan undang-undang Malaysia termasuk undang-undang Islam atas nama hak asasi manusia?” soalnya. Katanya, peguam Muslim dalam Majlis Peguam perlu bersuara supaya hal yang menyentuh persoalan dan kedudukan undang-undang Islam serta kebebasan mengamalkan gaya hidup yang bertentangan dengan budaya hidup Islam yang didokong oleh Majlis Peguam hendaklah dibantah.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 3 Nov: Slogan Queer Without Fear program Seksualiti Merdeka 2011 menunjukkan golongan berkenaan terlalu menginginkan revolusi gila mereka itu terlaksana. Justeru, Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (Unggas) berpendapat program itu amat bertentangan dengan norma budaya segenap lapisan masyarakat yang wujud di Malaysia. “Baik agama Islam, Buddha, Hindu bahkan Kristian sekalipun melarang hubungan sejenis mahupun ‘kemerdekaan gender’ yang mereka perjuangkan,” kata jurucakapnya, Ciffi Faizal Zahinor. Katanya, golongan yang menubuhkan kumpulan ‘seksualiti merdeka’ itu bukanlah terdiri dari golongan yang biasa-biasa sahaja tetapi kebanyakannya terdiri daripada golongan artis, pelukis, penceramah, peguam, pakar perubatan serta golongan elit yang berorientasikan pemikiran liberal. Golongan itu, ujarnya bijak memilih perkataan ‘merdeka’ seumpama mereka dijajah, didikriminasikan oleh kerajaan dan ‘golongan agama’. “Namun realitinya, golongan inilah yang sebenarnya dijajah oleh pemikiran ‘kuning’ budaya barat yang sebelum ini tidak pernah digembar-gemburkan di rantau Asia ini,” ujarnya lagi. Menurutnya, slogan queer without fear atau ‘ganjil tanpa rasa takut’ jelas mengajak mereka yang sefahaman dengan golongan itu tampil ke hadapan untuk meninggalkan adab susila budaya Timur. Beliau menambah, jika dilihat pada tentatif program, ternyata penganjuran program kali ini amat tersusun jika hendak dibandingkan tahun 2008 dahulu yang hanya menjalankan persembahan pentas dan beberapa ceramah bebas. Namun, katanya berlainan pula pada tahun ini di mana mereka telah berjaya mengumpulkan aktiviti berbentuk forum dan ceramah yang berfokus kepada ke arah menjadikan Malaysia negara yang menerima seksualiti songsang sebagai satu gaya hidup. Selain itu, ujarnya golongan itu juga giat berusaha agar satu polisi bagi melindungi hak-hak mereka terlaksana. “Program ini harus disekat daripada terus diadakan kerana ia amat bertentangan dengan akidah dan sudah tentu terang-terangan melanggar fitrah kejadian manusia,” tegasnya. Selain itu, tambah beliau impak kepada program itu adalah ia akan lebih banyak menyebabkan dan menggalakkan penyakit jangkitan seksual seperti HIV/Aids dan penyakit kelamin. Menurutnya, melalui program itu juga, dikhuatiri fahaman liberalisma semakin tersebar dan akhirnya akan menyebabkan kerancuan kepada masyarakat. Beliau berkata, dari satu sudut yang lain pula, penganjuran program seperti itu sebenarnya amat bercanggah dengan norma budaya masyarakat Asia sendiri yang terkenal dengan kesopanannya dan amat berpegang teguh kepada agama dan adat warisan. “Unggas amat khuatir sekiranya berlaku kepincangan rumahtangga jika pihak-pihak berwajib mengambil langkah untuk ‘menghalalkan’ program-program sebegini seperti yang sedang berlaku di negara barat,” ujarnya. Katanya, kerosakan dan kepincangan masyarakat memang tidak akan dirasai dalam masa yang singkat tetapi akan tetap berlaku jika semua pihak menganggap program-program seperti itu sebagai suatu perkara yang remeh.
Subky Latif | KEHADIRAN Dr Hassan Ali, Exco Kerajaan Selangor dalam HIMPUNAN sejuta ummat di Stadium Shah Alam 22 Oktober lalu telah menjadi pertikaian panas dalam media. Yang terjadi demikian ialah kerana partinya, PAS membuat keputusan tidak menyertai himpunan memprotes gejala murtad yang dianjurkan oleh beberapa NGO Islam. Kerajaan Selangor yang dia adalah Exconya menyatakan tidak terlibat lalu menyerahkan kepada rakyat sama ada menyertainya atau berkecuali. Lalu tiada mana-mana pemimpin PAS menjenguk ke stadium itu kecualilah Dr. Hassan. Demekian juga tidak diketahui mana-mana pimpinan kerajaan negeri hadir kecuali Dr. Hassan. Dr. Hassan adalah pakar motivasi yang ulung. Sebelum bidang motivasi itu dikenali umum, maka Dr. Hassan sudah terjun ke situ. Ada dipercayai puluh ribu orang mendapat manfaat didikan dan latihan minda dari khidmatnya itu. Tidak terhingga bilangan orang yang telah terbuka mindanya setelah mendapat asuhan daripada kursus motivasi yang dianjurnya. Jika sekalin yang kurang terbuka minda dari khidmatnya, maka tentulah sebagai pemecah kebekuan minda semua orang, lebih terbuka mindanya dari semua orang. Tiada sebarang kesalahannya kepada partinya dan kerajaan yang didukungnya dengan kehadirannya itu. Partinya membuat keputusan tidak serta kerana menghormati penganjur tidak mahu ada penglibatan politik dalam himpunan itu, tetapi parti itu tidak melarang sesiapa menyertainya. Jika pemimpinnya seperti Dato' Dr. Haron Din, atau Mohamad Sabu atau Mustafa Ali hendak pergi, maka mereka boleh pergi, bukan mewakili parti, tetapi atas nama diri sendiri. Bagaimana pun mereka menggunakan kelonggaran yang diberi oleh partinya. Yang diketahui pergi Dr. Hassan. Tidaklah dia salah apabila dia menggunakan kelonggaran yang ada itu. Kerajaan Negeri Selangor juga tidak melarang mana Exco dan kaki tangan kerajaan seperti Setiausaha Kerajaan Negeri atau Penasihat Undang-Undang. Mereka boleh pergi dan boleh tidak pergi. Maka tiada exco yang dilihat kecuali Dr. Hassan. Kerana tidak larangan dari kerajaan, tiadalah salah bagi Dr. Hassan. Dr. Hassan adalah pakar motivasi, pemecah segala fikiran yang buntu, pembuka saluran kepada pemikiran yang sempit. Jika dia boleh selesaikan semua masalah orang yang tersimpul, maka tentulah dia amat tahu apa yang dibuatnya. Justeru itu kehadiran Dr. Hassan ke himpunan tidak wajar menjadi topik polemik mana-mana pihak kerana tindakannya tidak bercanggah dengan mana undang-undang dan prinsip demokrasi. Partinya dan kerajaannya juga tidak membuat peraturan yang melarangnya hadir di majlis itu. Hassan memiliki kelebihan dan keistimewaan dari lain-lain orang politik termasuk Dr. Mahathir. Orang lain payah pisahkan politiknya bila menyertai mana-mana kegiatan yang bebas politik. Kalau Dr. Mahathir dan isteri singgah ke mana-mana gerai di pasar malam atau Najib jenguk pondok India miskin, tanpa sebarang motif politik, tetapi orang kata adalah politiknya. Kalau Tok Guru Nik Aziz singgah sembahayang sunat di mana-mana surau, lalu orang surau melihatnya minta beliau bagi sedikit tazkirah. Tetapi ia katakan berpolitik juga. Payah bagi mereka hendak menyangkutkan baju politik di luar dinding. Tetapi Dr. Hassan boleh sangkut jeket politik di luar pagar stadium untuk menyertai protes anti murtad itu dan tidak sesiapa melihat dia membawa sebarang makna politik. Orang yang hadir tidak terasa dia orang politik dan yang tidak pergi yang melihat gambar hadir juga tidak terasa dia orang politik. Mungkin orang lebih melihatnya sebagai pakar mativasi. Dalam polemik kehadirannya itu dia telah menyatakan pendiriannya tentang mengapa dia hadir walau pun partinya membuat keputusan tidak hadir. Kenyataannya itu langsung tidak berbau politik dan tiada sebarang kesan politik. Dia sangat berjaya membebaskan diri dari ikatan politik. Itulah agaknya dia jadi orang politik pembangkang yang sangat disenangi oleh Prof. Zainal Kling. Saya teringat mula-mula Dr. Hassan Ali mula-mula menyertai PAS. Tak sampai beberapa tahun dia hendak bertanding Naib Presiden. Dia tanya pandangan saya. Kata saya, ‘Masuklah! Tiada undang-undang yang melarang dan demokrasi dalam PAS tidak menyekat.’ Dia menang. Dia kata pada saya, ‘Orang cepat naik, cepat juga turun...!’ Saya gelak saja. Apa yang dia kata itu, macam dia meramalkan dirinya.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 3 Nov: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengumumkan bahawa tarikh tutup pencalonan untuk Anugerah Hak Asasi Manusia telah dilanjutkan pada 9 November ini. Suhakam dalam satu kenyataan hari ini memberitahu anugerah itu diberikan kepada individu dan kumpulan atas usaha-usaha serta sumbangan yang cemerlang dalam mempromosi dan mempertahankan hak asasi manusia di negara ini pada dua atau tiga tahun sebelum ini, khususnya antara 31 Oktober 2010 dan 1 November 2011 namun tidak terhad kepada tarikh tersebut. Calon-calon untuk anugerah itu bersaing dalam tiga kategori iaitu Anugerah Komuniti (individu) kepada individu yang mempunyai rekod prestasi yang cemerlang dalam mempromosi dan memajukan hak asasi manusia dalam masyarakat atas dasar bukan untuk keuntungan. Anugerah Komuniti (organisasi) pula dianugerahkan kepada organisasi bukan kerajaan atau berasaskan komuniti yang mempunyai rekod prestasi yang cemerlang dalam mempromosi dan memajukan hak asasi manusia dalam masyarakat. Kenyataan itu menambah, Anugerah Media pula kepada hasil kerja yang diterbitkan dalam majalah atau akhbar-akhbar Malaysia; atau untuk drama, berita atau program hal ehwal semasa, atau dokumentari yang disiarkan di TV atau. Pemenang akan diberi penganugerahan berkenaan pada satu majlis makan tengah hari yang diadakan pada hari Sabtu, 10 Disember 2011 di Kuala Lumpur. Borang boleh diperolehi menerusi laman web www.suhakam.org.my atau menghubungi komunikasi korporat untuk mendapatkan maklumat lanjut di talian 03-2612 5689/5683/5656.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 3 Nov: Bagi menyatakan bantahan terhadap panganjuran Seksualiti Merdeka 2011 yang sedang berlangsung sehingga 13 November ini, Dewan Pemuda PAS pusat akan mengadakan himpunan aman di di seluruh Masjid Negeri esok.
Menurut ketuanya, Nasruddin Hassan, arahan itu telah dikeluarkan kepada ketua dewan pemuda PAS negeri-negeri hari ini.
"Hari ini kita telah mengarahkan kepada Dewan Pemuda PAS Negeri agar mengadakan himpunan aman di masjid negeri masing-masing selepas solat Jumaat esok," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Himpunan itu ujarnya bagi membantah program yang disifatkan sebagai bertentangan dengan cara hidup semua agama itu dan menuntut ianya dibatalkan dengan segera.
Bagaimanapun menurutnya, masjid yang akan diadakan himpunan tersebut akan diputuskan oleh dewan pemuda PAS negeri mengikut kesesuaian negeri masing-masing. Sehubungan itu beliau menyeru kepada seluruh masyarakah perihatin agar turun beramai-ramai menyatakan bantahan bersama dewan pemuda PAS esok. Selain himpunan tersebut, Dewan Pemuda PAS Negeri juga diarahkan membuat laporan polis serentak pada jam 10 pagi esok di Ibu Pejabat Polis Negeri masing-masing.
Program yang dikenali sebagai Seksualiti Merdeka 2011 dengan temanya Queer Without Fear djadual berlangsung 9 hingga 13 Nov 2011 di The Annaxe Gallery.
Program itu kononnya berteraskan perjuangan hak asasi, menuntut hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.
Banyak pihak berpandangan, ianya sama sekali tidak sesuai dengan kehidupan masyarakat di Malaysia apatah lagi sangat bertentangan dengan ajaran agama Islam. Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, bagi Kuala Lumpur demonstrasi tersebut akan di adakan di Masjid Kampung Baru esok. Dalam pada itu, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) turut akan mengadakan bantahan isu sama esok.
Dalam satu kenyataan hari ini, mereka memaklumkan bantahan tersebut akan diadakan di Masjid Negeri, Shah Alam, sejurus solat Jumaat.
"Demonstrasi ini adalah bertujuan membantah kepada gerakan jahat yang tidak bermoral ini serta rancangan mereka untuk mendesak pemerintah supaya memberi pengiktirafan kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)," kenyataan mereka dipetik.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 3 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengalu-alukan dan menyambut baik ‘penghijrahan’ beberapa orang artis yang kini berkecimpung di dalam bidang dakwah seperti Akhil Hayy, Wardina, Sham Kamikaze, Radhi Melissa, Azmil Mustapha, Iwan Dangdut dan ramai lagi selain Bob Lokman. Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, kehadiran artis-artis itu telah mencetuskan revolusi dakwah baru yang telah menarik minat anak-anak muda remaja untuk kembali memahami dan mengamalkan ajaran agama Islam secara menyeluruh. “Sehingga kini sambutan masyarakat terhadap program-program yang membabitkan para artis-artis yang telah ‘berhijrah’ ini mendapat sambutan yang cukup hebat,” ujarnya kepada Harakahdaily. Tambahnya, selain peminat-peminat ‘tegar’ artis-artis terbabit, rakyat Malaysia secara keseluruhannya telah dapat menerima penglibatan artis-artis ini di dalam bidang dakwah dan berkongsi pengalaman mereka menerima ‘hidayah’ petunjuk daripada Allah SWT. “Janganlah disebabkan perkara yang terlalu remeh menyebabkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hilang pertimbangan sehingga mengambil tindakan yang tidak wajar di dalam menghentikan revolusi dakwah baru itu,” katanya. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, katanya mencadangkan pihak Jais sepatutnya mengambil pendekatan yang lebih mesra terhadap para artis yang telah ‘berhijrah’ ini dan menjadikan mereka sebagai ‘ikon’ dakwah Jais kepada masyarakat. Beliau berkata, Jais perlu menyediakan kursus-kursus dan garis panduan dakwah kepada para artis selain mengatur seliakan program-program dakwah yang perlu diisi oleh para artis tersebut untuk menarik minat masyarakat kembali kepada pengamalan agama Islam yang sebenar. "Akhirnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melahirkan rasa kebimbangan dengan tindakan ‘menghukum’ yang akan diambil oleh pihak Jais ke atas Bob Lokman dan rakan-rakan artis seangkatannya akan ‘menghanyutkan’ semula anak muda yang kini dilihat semakin jinak dengan agama selain akan meninggalkan persepsi negatif masyarakat yang melihat Jais sebagai agensi yang tidak mesra dakwah dan anti artis hijrah," ujarnya lagi.
Muhammad Faeez | IPOH, 3 Nov: PAS Perak kecewa dengan Ketua Penolong Pengarah Penyelidikan dan Keurusetiaan Cawangan Khas Bukit Aman SAC 1 Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail kerana menjadikan majlis pertemuan khas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan warga pendidik Sekolah Agama Negeri Perak baru-baru ini sebagai medan menghentam dan memfitnah PAS. Ketua Penerangannya, Ustaz Nuri Al-Amin Endut berkata, Abdul Rahman telah menayang video kemalangan yang menimpa Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang dilanggar ketika himpunan aman Bersih 2.0 sedangkan isu tersebut telah pun di bawa ke mahkamah dan kini masih dalam perbicaraan. Malah, katanya Abdul Rahmani juga ingin melibatkan Mohamad dan PAS dalam menyokong perjuangan komunis yang mana dasar yang dibawa komunis jelas sekali bertentangan dengan dasar Islam yang didukung PAS. “Kami mendesak Abdul Rahman agar lebih bersikap profesional dan tidak mempolitikkan isu yang kini telah dibawa ke mahkamah agar menghormati undang-undang negara,” tegasnya. Sikap seperti itu, katanya jelas boleh memberikan gambaran buruk terhadap pihak polis yang dilihat turut sama berpolitik bagi memastikan sokongan Barisan Nasional (BN) terus kekal dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.
Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 3 Nov: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menentang keras program Seksualiti Merdeka 2011 kerana bertentangan dengan cara hidup semua agama khususnya Islam. Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, pihaknya tidak menafikan hak berhimpun seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Negara namun dalam isu ini, ianya tidak harus disokong kerana mencemarkan budaya timur. "Muslimat tak sokong penganjuran program ini dan menentang keras kerana ia jelas melanggar norma kehidupan manusia. "Memang hak berhimpun dijamin dalam Perlembagaan namun dalam konteks ini, ia jelas merupakan cara hidup Barat," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini. Ahli Parlimen Rantau Panjang itu juga berkata, pihak yang menganjurkan program tersebut juga harus menghormati agama Islam yang merupakan agama rasmi negara. "Bagaimana hak berhimpun seumpama ini harus disokong dalam keadaan agama Islam merupakan agama rasmi negara. "Islam secara jelas menghalang segala bentuk hubungan sejenis jadi sebarang bentuk himpunan yang menjurus ke arah itu tidak boleh disokong," katanya. Seksualiti Merdeka 2011 dengan tema Queer Without Fear berlangsung di The Annaxe Gallery bermula 1 hingga 13 November. Program itu difahamkan berteraskan perjuangan human right, menuntut hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka. Mengulas isu yang sama, Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (Muis) melahirkan kegusaran dan kebimbangan akan menularnya fahaman liberal dan songsang dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia yang bertopengkan ‘hak asasi manusia’. Pengerusinya, Dr Aznan Hasan berkata, Muis berpendirian, hak asasi manusia adalah sesuatu yang diiktiraf oleh Islam. Namun begitu, katanya penerimaan hak asasi ini mestilah diterima di dalam ruang lingkup yang tidak menyanggahi prinsip-prinsip agama dan nilai-nilai moral, budaya, etika, dan adab sopan. “Sebarang aktiviti songsang sebegini bukan sahaja menyentuh sensiviti umat Islam malah boleh dianggap satu usaha ke arah mencabar kedaulatan negara yang berpaksikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan,” katanya. Sehubungan itu, Muis menegaskan bahawa Islam adalah agama fitrah yang memberi keadilan dan meratakan kebebasan kepada semua pihak tanpa mengira gender, namun begitu, kebebasan dan keadilan tersebut mestilah bersendikan neraca dan prinsip agama. Jelas beliau, perhitungannya bukan berasaskan logik akal semata-mata tetapi haruslah dipandukan oleh wahyu. “Oleh kerana itu, sesuatu kebebasan itu bukanlah bersifat mutlak, tetapi mestilah berteraskan keadilan sejagat yang bermatlamatkan memberi maslahah kepada kemanusiaan dan menolak sebarang kerosakan kepada kehidupan mereka (jalb al-masalih wa dar’ al-mafasid),” ujarnya lagi. Selain itu, katanya penafsiran kesaksamaan gender haruslah dirujuk berasaskan nilai agama dan budaya ketimuran yang amat menekankan adab sopan dan tata susila. Tambahnya, budaya gay, lesbian dan perhubungan bebas antara jantina merupakan budaya hidup songsang ciptaan Barat yang cuba menyelinap masuk ke dalam masyarakat Malaysia. Mohd Shubihi Muhamad Zain | YAN, 3 Nov: Kesemua 35 mangsa ribut yang mengalami kerosakan rumah akibat bencana alam yang berlaku pada Ahad dan Isnin lalu menerima bantuan kewangan dari Tabung Bencana Alam Daerah Yan.
Bantuan disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Adun Sungai Limau pada pertemuan dengan mangsa tersebut di Surau Kampung Kuala Sedaka, petang semalam.
Hadir sama Pegawai Daerah Yan, Zahari Ismail, isteri kepada Ahli Parlimen Jerai, Kasmuri Jaafar dan Pegawai Khas Kawasan, Muzaini Azizan.
Terdahulu, Pejabat Menteri Besar Kedah melalui wakilnya juga telah melawat kesemua mangsa dan menghulurkan bantuan kewangan sehari selepas kejadian alam itu menjadikan keseluruhannya berjumlah RM600 setiap mangsa.
Azizan dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri bersimpati dengan mereka yang terbabit dengan bencana itu dan berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan bebanan membaik pulih kerosakan rumah yang dialami.
"Saya sedih kerana ketika kejadian saya tak ada di sini, dan apabila mendapat berita saya telah arahkan pegawai menghulurkan bantuan segera kepada mangsa yang terlibat.
"Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung akibat kejadian bencana alam yang berlaku tanpa kehendak manusia," katanya.
Azizan kemudiannya dibawa melawat rumah-rumah yang mengalami kerosakan akibat bencana itu. | “Budaya ini amat bertentangan dengan kehidupan beragama dan menyalahi norma-norma kehidupan masyarakat Malaysia secara umumnya dan masyarakat Muslim secara khususnya,” katanya.
Selain itu, ujarnya penghuraian hadith dan tafsiran ayat-ayat al-Quran hendaklah dirujuk kepada kitab-kitab muktabar dan orang yang mempunyai kelayakan dalam bidang berkenaan. Katanya lagi, sebarang nukilan secara terpisah merupakan dakyah dan senjata yang sengaja digunakan oleh pihak-pihak tertentu bertujuan menyongsangkan kefahaman umat Islam. Justeru, ujarnya Muis menyarankan pihak kerajaan selaku agen penguatkuasa hendaklah menghalang aktiviti seperti ini dan sentiasa peka terhadap aktiviti-aktviti songsang yang menyelinap masuk ke dalam masyarakat umat Islam dan bertujuan melenyapkan identiti dan jati diri anak bangsa dan negara. Justeru, kata beliau seluruh umat Islam perlu berganding bahu memikul tugas membangunkan umat dan menyuburkan akhlak terpuji selaras dengan mesej perutusan baginda s.a.w. “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang unggul”. “Seluruh umat Islam wajib berganding bahu memikul tanggungjawab membangunkan umat, menyuburkan akhlak terpuji dan memandu masyarakat ke arah menghayati ajaran Islam yang sebenar. “Muis berpandangan penglibatan umat Islam di dalam festival ini adalah haram hukumnya dan sewajibnya dielakkan,” katanya lagi.
Bersifat Rendah Diri Seseorang muslim mestilah bersifat tawaduk atau merendah diri khususnya terhadap saudara-saudaranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberikan layanan) sama ada yang miskin mahupun yang kaya. Rasulullah s.a.w sendiri memohon perlindungan kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur (membangga diri). Baginda bersabda:bermaksud....
Yang bermaksud: Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarrah (sedikit) sifat takbur".
(Hadis riwayat Muslim).
Di dalam Hadis Qudsi pula Allah berfirman:
Yang bermaksud:
Kemuliaan itu ialah pakaian-Ku dan membesarkan diri itu ialah selendang-Ku. Sesiapa yang cuba merebut salah satu dari kedua-duanya pasti Aku akan menyeksanya".
(Hadis Qudsi riwayat Muslim). | | | |
| | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan