Rabu, 30 November 2011

BILA ARTIS JADI TUMPUAN SEBAB CANTIK@KACAK SERTA POPULAR....BAGAIMANA PERJUANG2 YANG IKHLAS SEMATA2 KERANA ALLAH SAJA

Ramai peminat ingin dampingi artis ‘berhijrah’ | Print |
Khaulah Azwar

GOMBAK, 30 Nov: Catriona Ross (gambar) melahirkan rasa terkilan dengan sikap dan pandangan syarikat perfileman dan masyarakat terhadap artis yang sudah berubah.

“Fenomena hari ini memang amat mendukacitakan. Tidak seharusnya mereka mengenepikan artis-artis yang sudah ‘berhijrah’ menjadi mukmin yang lebih baik,” ujarnya pada Program Maal Hijrah di Masjid Kampung Nakhoda, petang semalam.

Menurutnya, semua artis yang telah ‘berhijrah’ itu harus diberikan sokongan 100 peratus.

Sebaliknya, kata beliau apa yang berlaku, pintu rezeki mereka ‘ditutup’ oleh syarikat perfileman kerana bimbang dengan perubahan artis tersebut yang akan mencemarkan nama syarikat mereka.

Baginya, pandangan negatif itu seharusnya diubah kerana apabila artis-artis telah berhijrah, semakin ramai peminat ingin mendampingi dan mengenali mereka dengan lebih dekat lagi yang sekaligus akan mengharumkan industri perfileman negara.

“Alhamdulilah apabila saya sudah berhijrah, rezeki yang Allah SWT berikan lebih baik dan kehidupan saya lebih tenang, bahkan saya dikelilingi oleh orang-orang yang beriman dan sentiasa membantu saya dalam mencari erti kehidupan sebenarnya.

“Bagi saya, rezeki dan kehidupan kita telah ditetapkan oleh Allah SWT dan kita perlu percaya apa yang telah ditetapkan-Nya.

“Semua artis yang berubah tidak perlu bimbang mengenai rezeki tersebut kerana Allah SWT sudah aturkan kehidupan hamba-Nya,” katanya.

Artis kelahiran Kelantan itu juga menggesa syarikat perfileman agar kreatif mengeluarkan filem-filem berbentuk Islamik dan ilmiah yang mengajak orang ramai membuat kebaikan bagi membendung gejala sosial.

Ini, katanya adalah bertujuan untuk membuka mata masyarakat agar memikirkan kebaikan dan keburukan sesuatu perkara sebelum melaksanakannya.

“Kita bimbang dengan penyiaran filem-filem berunsurkan negatif yang semakin berleluasa tanpa dibendung.

“Janganlah kita hanya mengaut keuntungan sebelah pihak tetapi akan datang generasi yang penentu masa depan negara dirosakkan dengan unsur-unsur negatif yang disiarkan dalam filem tersebut,” ujarnya.

Takungan Lynas di Australia bocor sisa radioaktif | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Gabungan Hentikan Lynas (SLC) terkilan dengan pendedahan Rangkaian Toksik Nasional (NTN) dari Australia pada 28 November lalu bahawa sejak Mei 2011, tasik takungan Lynas di Mt Weld, Australia mengalami kebocoran sisa radioaktif sebanyak 14,000 liter sehari, ataupun kira-kira 5 juta liter setahun.

Pengerusi SLC Andansura berkata, peristiwa tersebut tidak munasabah sekali kerana Lynas telah memberikan jaminan berkali-kali bahawa bahan galian adalah begitu rendah tahap radioaktifnya sehingga boleh diangkut sebagai bahan tidak beradioaktif dari Mt Weld ke Pelabuhan Freemantle di Australia Barat berjarak 1,000 km.

Andansura menganggap jaminan yang dibuat oleh Lynas adalah lebih bersifat omong-mong kosong daripada berdasarkan fakta dan sains.

“Bahkan pihak pengurus Lynas di Malaysia juga berjanji bahawa sisa-sisa radioaktif yang ditinggalkan di Malaysia akan dikitar semula serta digunakan sebagai papan gipsum dan baja melalui kajian dan penyelidikan (R&D).

“Hakikatnya, R&D tersebut belum lagi dibuktikan berjaya di mana-mana bahagian di dunia ini,” katanya kepada Harakahdaily.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan SLC, Lee Chean Chung juga membidas sikap Lynas yang seperti talam dua muka.

“Hakikatnya, Lynas telah mengambil kesempatan ke atas akta-akta Australia iaitu Peraturan Keselamatan Radiasi WA 2002 bahawa jika bahan yang diangkut tidak digunakan untuk proses kimia ataupun pengeluaran bahan radioaktif (uranium dan thorium), maka tahap radiaktiviti yang dibenarkan boleh mencapai 10 Bq/g,” katanya.

Menurut Chean Chung, tahap sebenar radioaktiviti bahan yang diangkut tersebut mencecah 3.5 and 8 Bq/g, jauh melebihi standard antarabangsa yang diikuti oleh Australia mahupun Malaysia, iaitu 1.0 Bq/g.

Sehubungan itu, Andansura mendesak kerajaan memberhentikan kerja pembinaan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan sementara menunggu hasil siasatan di Australia dan Malaysia.

“Antara siasatan bebas yang harus dijalankan harus merangkumi dakwaan New York Times pada hujung bulan Jun 2011 bahawa LAMP mengalami kecacatan struktur dan rekaan yang serius. Ini adalah perkara tersebut belum lagi diperjelaskan oleh Lynas sehingga hari ini dan mencetuskan kebimbangan dan keraguan orang ramai,” katanya.

SLC juga menyeru agar kerajaan membatalkan perjumpaan antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan Lynas.

Menurut Andansura, masa perjumpaan tersebut adalah terlalu sensitif kerana bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Syarikat Lynas di Sydney, Australia.

“Kita tidak mahu kerajaan dilihat sebagai diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu untuk memberikan gambaran positif kepada pelabur-pelabur Lynas, terutamanya selepas insiden kebocoran sisa radioaktif yang berlaku di Mt Weld,” ujarnya.


Jihad: Lucunya kenyataan Muhyiddin | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa cukup sedih dan kecewa di atas ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sama sekali tidak menunjukkan beliau selaku orang nombor 2 negara yang mempunyai daya fikir intelek yang tinggi dan budi bahasa yang baik.

Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan (gambar) berkata, semasa merasmikan serentak Persidangan Tahunan Puteri, Pemuda dan Wanita Umno malam tadi, Muhyiddin meneruskan perseteruan terhadap Pakatan Rakyat dan PAS secara khususnya dengan alasan yang berbentuk fitnah dan dangkal.

“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin mengingatkan Umno bahawa keangkuhan mereka sebagai parti yang tiada galang ganti untuk meneruskan agenda perjuangan bangsa Melayu sudah lapuk ditelan zaman kerana PAS sudah bersedia untuk memimpin bangsa Melayu ke arah suasana politik yang lebih kondusif bahkan lebih lagi PAS menawarkan perjuangan bangsa Melayu menurut ajaran Islam yang syumul,” ujarnya kepada Harakahdaily.

PAS, tegasnya akan menggantikan Umno untuk membela nasib bangsa Melayu yang selama ini menjadi mangsa ‘belasahan’ Umno.

Jadi, tambahnya Umno sememangnya berada di dalam keadaan cukup terdesak kerana PAS dan Pakatan Rakyat semakin mendapat tempat di hati rakyat untuk memerintah negara ini.

“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendapat bahawa cabaran Timbalan Perdana Menteri kepada para Puteri, Pemuda dan Wanita Umno untuk menjadi mujahid dan mujahidah yang akan berjihad untuk mempertahankan bangsa Melayu di dalam Pilihanraya Umum yang akan datang adalah sebuah lelucon yang amat menggelikan hati,” katanya lagi.

Menurutnya, Umno sebagai sebuah parti sekular yang memisahkan agama di dalam agenda perjuangan politik mereka sanggup menggunakan istilah-istilah Islamik supaya nampak agenda Islam mereka tetapi sebaliknya bersifat munafik semata-mata.

Mohd Sany berkata, sepatutnya jihad yang utama adalah menegakkan hukum syariat Allah Taala di atas muka bumi ini dan bukannya berjihad di atas nama bangsa.

Beliau menambah, Jabatan Pilihanraya DPPM turut mengingatkan kepada seluruh jentera pemuda di semua peringkat supaya meningkatkan kewaspadaan dan kebersediaan untuk menghadapi pilihanraya yang mendatang.

Katanya lagi, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat Umno kini semakin gawat dan tidak keruan, tidak mustahil sepanjang perhimpunan Agung Umno ini akan menjadi perhimpunan yang akan dipenuhi dengan segala macam kenyataan-kenyataan yang bersifat hasutan, ancaman, tuduhan, prejudis, rasis dan sebagainya.

Oleh itu, ujarnya, pihaknya meminta supaya rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan menolak secara total parti Umno dan Barisan Nasional kerana pembawaan politik sempit mereka sudah tidak diterima lagi oleh rakyat.

Selain itu, kata beliau, pihaknya mengarahkan jentera pemuda di semua peringkat untuk membuat laporan polis di atas kenyataan Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan Umno yang bersifat menghasut dan menimbulkan kebencian orang Melayu untuk terhadap orang-orang bukan Melayu dan orang-orang yang bukan beragama Islam.

'Politik meracau' Umno bakal jatuhkan Najib | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 29 Nov: Kenyataan terbaru Ketua Penerangan Umno bahawa Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah memperlihatkan sikap sebenar 'perkauman melampau' parti itu.

AJK PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata kenyataan Datuk Ahmad Mazlan itu juga menggambarkan Umno kini berada dalam keadaan 'meracau' dan diambang kehilangan kuasa.

"Kenyataan itu menggambarkan psikologi Umno yang berada dalam ketakutan ekoran diambang kehilangan kuasa.

"Mereka (Umno) masih belum jumpa strategi jelas, maka mereka meneruskan strategi lama dengan mencetuskan rasa takut (politic of fear) di kalangan rakyat dengan isu kuasa orang Melayu, agama dan sultan" katanya kepada Harakahdaily.

Dalam kenyataan pagi tadi, Datuk Ahmad Maslan dipetik berkata orang Melayu akan hilang segala hak dan kuasa mereka sekiranya Pakatan Rakyat memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahmad berkata, senario paling buruk berkenaan masa depan orang Melayu negara ini ialah apabila wujud “Parlimen tergantung” seperti di Australia, di mana Barisan Nasional tidak mampu melaksanakan agenda polisi-polisi ekoran hanya majoriti mudah.

“Bahasa Melayu akan hilang (kedudukan), kata selamat tinggal kepada Kesultanan Melayu, malah pembangkang DAP tidak akan hormati institusi diraja... mereka tidak pernah terima gelaran diraja meskipun mereka ditawarkan.

“Kata selamat tinggal kepada Islam sebab mereka (DAP) adalah ejen Kristian... dalam bercakap mengenai agenda Melayu, kita tidak boleh lari daripada ini,” kata Ahmad pada satu forum parti sempena perhimpunan agung tahunan 2011.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly juga menyifatkan kenyataan Ahmad itu sebagai kegagalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak untuk membawa transformasi politiknya kepada pemimpin Umno lain termasuk Ahmad.

Najib juga ujarnya masih tindak menentu dalam mencari strategi dan pendekatan untuk mempertahankan kuasanya.

"Mungkin juga ketua penerangan Umno ini mewakili suara majoriti ahli Umno dan suara Najib (yang mahu transformasi) hanya minoriti.

"Ini juga bukti 'banyak kepala' dalam Umno yang semakin bersimpang-siur dan bercelaru. Umno tetap Umno yakni parti berteraskan perjuangan perkauman Melayu sempit, Melayu Umno, masih ramai Melayu yang terpinggir, jurang miskin-kaya paling lebar dalam etnik Melayu di negara ini" kata Dr. Dzulkefly yang juga ahli parlimen Kuala Selangor.

Sementara itu juga, beliau menjangkakan perhimpunan agung Umno yang akan dirasmikan malam ini menjadi medan anggota parti itu membangkitkan isu perkauman.

Ianya memandangkan parti itu kini berada dalam keadaan terdesak selepas hilang sokongan bukan Melayu sejak tsunami politik 2008 lalu.


Menang penalti bukan jantan | Print |
Subky Latif

SAYA boleh bersyukur dan bersama warga Malaysia yang lain boleh gembira atas kemenangan Harimau Muda menjadi johan sepak bola Sukan SEA Jakarta 21 November lalu.

Ia adalah kejayaannya yang kedua berturut-turut dan kemenangan bola kita ke atas Indonesia itu adalah kali kedua berturut-turut setelah memenangi Piala Suzuki sebelumnya.

Untuk dua tahun terakhir ini Malaysialah juara sepak bola serantau Asia Tenggara.

Tetapi sepanjang perlawanan akhir antara Harimau Muda dan Garuda Muda, walau pun Harimau Muda mengulangi kemenangannya ke atas Garuda Muda dalam masa seminggu, Malaysia tidak boleh seronok sangat kerana kemenangan itu ditentukan oleh sepak penalti.

Sehingga ke tahap penalti kedua-dua pasukan adalah seri satu sama. Sesudah ditambah masa bagi menentukan kemenangan tetap seri juga.

Ada pun kemenangan melalui sepak penalti adalah kemenangan nasib. Ia bukan kemenangan jantan atau kerana kehandalan.

Dalam mana-mana pertandingan di dunia sejak dari dulu kemenangan melalui sepak penalti bukanlah kehandalan pasukan tetapi kerana nasib. Boleh dikatakan 98 peratus dari tendangan penalti tidak dapat dihalang oleh penjaga gol. Hanya penyepak yang leceh saja tendanngannya dapat ditangkis oleh penjaga gol.

Tendang penalti itu adalah satu kaedah yang ditentukan bagi menentukan satu dari pasukan yang berlawan mesti menang di akhir permainan itu. Ia bagi mengelakkan ada perlawanan semula di hari lain bagi menentukan kemenangan.

Logiknya dari segi keadilan, setelah kedua-dua pasukan berhempas pulas selama 90 minit atau 100 minit atau 120 minit, sesudah masing-masing terlalu penat dan tiada lagi peluh yang hendak dikeluarkan, pertandingan wajar diulang di hari lain.

Biar masing-masing segar dan datang dengan penuh tenaga semula untuk mempamer kehandalan masing-masing.

Seperti kejohanan Suzuki, johan tidak ditentukan satu perlawanan. Ia ditentukan oleh pertandingan ulangan. Siapa yang dapat lebih banyak gol dari dua perlawanan itu yang menjadi juara. Tetapi kalau setiap pertandingan terikat dengan seri, tetapi kaedah tendang penalti juga diadakan.

Kaedah penalti diadakan bagi mengelakkan acara penyampaikan hadiah tidak ditunda dan penonton yang ramai dalam temasya itu tidak datang lagi di hari lain bagi menyaksi penyampaian hadiah.

Dalam pertandingan akhir antara Harimau Muda dan Garuda Muda ternyata kedua pasukan sama handal. Mereka berhepas pulas selama 120 minit, tetap seri.

Harimau Muda menang bukan kerana Garuda Muda tidak handal. Garuda Muda kalah kerana sepak penalti bukan kerana ia lemah atau Harimau Muda terlalu handal, tetapi ia ditentukan oleh nasib.

Yang menang tidaklah boleh seronok sangat dan yang kalah pula wajar kecewa. Dengan keupayaannya terikat dengan seri sebelum penalti, ia adalah tanda kekuatannya dan ia juga boleh menang.

Bagaimana media di Malaysia wajar gembira merayakan kemenangan itu tetapi raikanlah piala kejohanan itu dapat dibawa pulang.

Jangan berlebihan menyesali sikap dan tindakan penyokong pasukan lawan sebelum temasya, ketika perlawanan dan reaksi selepas perlawanan. Adalah benar sikap yang ditunjukkan itu tidak rasional dan tiada semangat kesukanan, jangan kita memberi reaksi terlalu emosional.

Biarkan bangsa yang kaya seni dan budaya itu menilai sendiri kewajarannya, apakah ia sedia mengubah budi adabnya atau ia mahu jadi masyarakat yang sentiasa panas.

Apa yang peminat sukan Malaysia patut buat ialah mencari jalan bagaimana penyokong pasukan bola Kelantan tidak jadi macam penyokong bola Indonesia setiap kali kalah perlawanan. Seolah-olah penonton Kelantan di stadium tidak banyak beza dari penonton di Jakarta itu.

KeADILan dan isu Melayu | Print |
Ahmad Lutfi Othman
Apabila KeADILan memilih Johor sebagai lokasi Kongres Nasional Tahunan Ke-8, ia dilihat bukan sahaja sebagai isyarat jelas parti itu untuk "mara ke selatan" tetapi juga keseriusan "untuk menembusi negeri yang suatu ketika dahulu merupakan fixed deposit Umno", seperti diluahkan Timbalan Presidennya, Azmin Ali.

Di majlis sama, Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mohd Akin, menekankan: "Kongres ini menjadi alamat, petanda bahawa kubu (Umno) itu sudah pecah dan tidak lama lagi negeri Johor ini akan kita bebaskan daripada cengkaman Umno."

Saya menelah, mungkin tidak ramai aktivis dan pemimpin KeADILan sendiri yang memandang serius penegasan penuh bersemangat itu memandangkan laluan sukar Johor buat ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat, namun realiti politik pasca Mac 2008 sememangnya sukar diduga. Upaya rakyat untuk mencetuskan perubahan, walaupun tanpa sebarang amaran awal, tidak boleh dipandang remeh.

"Apa pun, janganlah kerana keputusan PRU12 yang di luar jangka itu, maka kita semua boleh berteori dengan mudah bahawa segalanya mungkin berlaku kejutan dalam PRU13, termasuk di Johor, sedangkan gerakerja kita masih terbatas. Usah sekadar mengharap nasib memihak kira kali ini," pandangan seorang pemerhati politik, yang ternyata masih kurang yakin kemampuan Pakatan untuk menawan wilayah tradisi Umno di selatan.

Tsnami politik hampir empat tahun lalu dapat disekat daripada melimpah keluar Lembah Klang, iaitu Negeri Sembilan -- meskipun majoriti dua pertiga BN dalam sidang Dun buat pertama kali berjaya dinafikan -- dan Umno tetap gagah di Melaka dan mampu bertahan di Johor dengan beberapa "kecederaan kecil".

Waktu itu, kecuali Perlis dan negeri-negeri selatan, semua negeri Pantai Barat, yakni Kedah, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor mencipta sejarah. Bagaimanapun, penganalisis melihat pengundi Melayu masih berbelah-bahagi, dengan Umno menguasai sisa-sisa kawasan tertentu, khususnya penempatan luar bandar.

Sekiranya Sabah dan Sarawak tidak dapat diusik dengan berkesan oleh Pakatan dalam pilihan raya umum ke-13 nanti, maka kubu Umno di selatan Semenanjung, khususnya Johor, mesti ditembusi, bagi memastikan peralihan kerajaan persekutuan berjalan lancar di Putrajaya.

Bagaimanapun, keupayaan Pakatan di Johor, dan juga Melaka serta Pahang, masih menjadi tandatanya, manakala keazaman politik yang tinggi untuk menawan Negeri Sembilan -- yang kini hanya dibezakan dengan empat kerusi Dun -- tetap menagih komitmen luar biasa, terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Kunjungan saya ke Seremban hujung minggu lalu dan kesempatan berbicara dengan aktivis PAS di sana masih gagal untuk meredakan kerisauan saya tentang trend mengundi masyarakat luar bandar, di kampung tradisi dan kawasan Felda. Selain berusaha menyampaikan maklumat (kisah pengkhianatan BN dan cerita kejayaan Pakatan) terus langsung kepada mereka, persepsi dan tanggapan pengundi Melayu di desa itu perlu diubah segera.

Empat kerusi Dun yang diperlukan untuk menukar kerajaan Negeri Sembilan memang nampak kecil bilangannya, tetapi cabaran dan gugatannya ternyata lebih sukar. Umno -- dengan segala sumber dan kemudahan -- yang menyedari takhtanya bakal dirampas akan melakukan apa sahaja taktik kotor dan tipu helah, apatah lagi kerusi Dun sasaran Pakatan bukannya mudah untuk direbut.

Dalam keluaran ini, Harakah memilih Negeri Sembilan sebagai fokus fikrah menjelang PRU13. Dibantu wartawan Negeri Sembilan, Faiz Abdullah, rakan-rakan dari Kuala Lumpur, Wan Nordin Wan Yaakob, Shafri Shamsuddin, dan jurufoto Wan Zahari Wan Salleh menyiapkan bahan.

Ketika mereka melakukan tinjauan di Seremban, Sabtu 19 Nov, sebahagian besar perkhidmatan bas di seluruh negeri itu terhenti. Ramai pengguna marah. Cuma ada yang merungut kerana tidak melihat kelibat pemimpin Pakatan menjuarai isu rakyat itu.

Selain wawancara dengan pimpinan utama PAS Negeri Sembilan, kami sebenarnya mahu menyediakan analisis lebih menyeluruh. Bagaimanapun, kesuntukan ruang membatasinya. Bagi saya, selagi Dun atau Parlimen belum dibubarkan, apa jua kelemahan masih boleh diperbaiki.

Aktivis parti tentunya bersedia melakukan penambahbaikan dan menerima setiap kritikan sebagai cabaran yang mesti ditangani dengan dada terbuka. Biar impian mencecah awan, namun persiapan dan gerakerja harus berpadanan agar hasrat murni untuk membela rakyat dan menyelamatkan negeri/negara terkabul.

Sementara itu, semasa menyelak helaian ucapan Shamsul, saya terkesan beberapa penekanannya yang menarik, terutama berkaitan isu-isu Melayu. Rupanya bukan PAS sahaja yang memandang serius agenda berkenaan, malah KeADILan turut memberi keutamaan. Bagi saya, ini perkembangan (atau boleh sahaja menjadi polemik) yang diharap berimpak positif dan produktif.

Di antara yang disentuh adalah peruntukan saham RM52 bilion di bawah DEB yang "lesap", isu pengurusan Felda dan peneroka, Tanah Rizab Melayu yang berpindah tangan kepada syarikat bukan Melayu, pembangunan Kampung Baru, institusi raja-raja Melayu, memperkukuhkan fungsi dan peranan bahasa Melayu serta tentangan terhadap usaha menghidupkan semula PPSMI.

Shamsul turut mencabar pemimpin Umno: "Hakikatnya, Umno yang membahayakan kepentingan dan kedudukan orang Melayu.
Maka demi menjamin benteng terakhir orang Melayu, yakni kuasa politik, tidak menjadi dagangan Umno; AMK mencabar Umno meminda Perlembagaan bagi memasukkan syarat dan jamina bahawa jawatan Perdana Menteri hanya boleh disandang oleh seorang Melayu. Alasan jawatan tersebut dipegang oleh seorang Melayu hanya semata-mata kerana Umno berkuasa tidak boleh diterima. Sejarah membuktikan Umno sanggup menggadaikan dan memperdagangkan apa sahaja."

Ucapan perasmian Azmin turut menyinggung isu-isu Melayu, dengan mempersoalkan perjuangan Umno terhadap kepentingan bangsa. Antara lain, puisi Usman Awang dan karya Syed Muhammad Naquib Alatas dijadikan hujah Azmin untuk menempelak pengkhianatan Umno kepada orang Melayu.

Ketika menulis kolum ini, malam Sabtu, saya terbaca usul tergempar yang diluluskan kongres AMK, iaitu untuk mengadakan rancangan komprehensif bagi meningkatkan undi daripada pengundi Melayu. Saya tidak pasti bagaimana respons kongres KeADILan yang berlangsung esoknya terhadap usul berkenaan.

Dalam perkembangan lain, jaminan Perdana Menteri, Najib Razak untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bagi membolehkan mahasiswa yang mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik, disambut positif, meskipun masih ramai yang curiga. Saya lebih suka melihat sisi positif pengumuman itu, demi kepentingan masa depan anak-anak muda kita. Gelombang pendemokrasian tidak boleh disekat lagi.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah, yang dilarang menyertai program mengenai e-bukunya, "Kalau Saya Mahasiswa", di UIAM, minggu lalu, mungkin merupakan orang paling lega. Beliau paling lantang dan konsisten menyuarakan hak berpolitik pelajar (mungkin mengatasi pemimpin Pakatan Rakyat) walaupun dikecam hebat rakan-rakannya (dan terpaksa berkonfrantasi dengan menterinya sendiri) dalam Umno dan kerajaan.

Demonstrasi lebih 200 siswa UIAM selepas solat Jumaat, 25 Nov lalu pasti merungsingkan rektor barunya, Zaleha Kamaruddin. Sukar untuk menjangkakan mengapa Zaleha bertindak nekad menghalang dan membatalkan beberapa program di universiti berkenaan. Semuanya memburukkan imej beliau dan memalitkan imej buruk buatnya.

Alasan beliau ditekan pihak luar tidak boleh diterima sebagai daleh. Rektor atau naib canselor harus mempunyai integriti tinggi dalam usaha menegakkan idealisme dan mempertahankan prinsip.

Saya agak kerap mendengar bicara Zaleha mengenai hal-ehwal kekeluargaan Islam dalam siaran radio IKIM khususnya dalam perjalanan ke pejabat. Ya, bicara yang menarik dan bermanfaat. Malang bagi profesor undang-undag ini yang terpaksa menempuh siri kontroversi yang langsung tidak bermanfaat itu. Kasihan ...

Bermula dengan kes pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang dilarang berkuliah dalam Masjid UIAM, pembatalan penyertaan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIAM sebagai panel dalam program Hujah TV9, diikuti Prof Dr Aziz Bari digantung tugasan dan dikenakan siasatan, dan terkini program membabitkan Saifuddin yang dibatalkan secara ad-hoc.

Tiada ulasan: