KUALA LUMPUR, 11 Nov: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih menyanyi lagu yang sama mengenai perpecahan orang Melayu. “Ungkapan ini tidak lebih daripada untuk meniupkan emosi orang Melayu supaya jangan jauh daripada Umno,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad. Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Mahathir yang dilaporkan Bernama semalam bahawa orang Melayu akan menjadi kumpulan minoriti yang tidak mampu memperjuangkan hak mereka jika mereka terus berpecah belah. Sambil menyatakan orang Melayu kini berpecah kepada tiga kumpulan, katanya hanya dengan bersatu, orang Melayu boleh menjadi kumpulan majoriti yang berkesan untuk bertindak memelihara kepentingan mereka. "Dulunya orang Melayu bersatu dalam satu parti hingga berjaya menentang (rancangan penubuhan) Malayan Union,” katanya semasa menjawab soalan peserta yang hadir pada syarahan perdana oleh beliau bertajuk “Pembinaan Tamadun dan Budaya Masyarakat Malaysia Ke Arah Pembentukan Sebuah Negara Maju”, di sini. Mengulas lanjut, Idris berkata zaman untuk menganggap Umno parti keramat untuk orang Melayu sudah berlalu terutama di kalangan Melayu terpelajar dan bermaklumat. Menurutnya, mereka sudah mempersoalkan kenapa Melayu merempat di tempat Umno kuat. Katanya, Melayu berpecah kerana dasar Umno Putera yang sudah menjadi darah daging pemimpin Umno akhirnya Melayu yang tidak berdosa menjadi mangsa. “Dasar inilah menyebabkan Kelantan dipinggirkan oleh kerajaan pusat, pada hal Kelantan sebuah negeri majoriti penduduknya Melayu. “Sebanyak 118 projek Persekutuan disekat sejak Rancangan Malaysia Keenam (1991),” katanya kepada Harakahdaily. Beliau menambah, pengkhianatan royalti kepada Kelantan yang jelas termaktub di dalam undang-undang telah dicabul. Menurutnya, Pusat menafikan pendaratan minyak ke Kelantan yang hanya jarak 150 km berbanding dengan ke Songkla Thailand yang jaraknya 270 km. Ini, ujarnya tidak termasuk diskriminasi oleh pimpinan Umno di peringkat akar umbi seperti menahan projek jalan kampung, bantuan kemiskinan dan lain-lain lagi. “Kesemua ini dilakukan kerana dasar Umno Putera. Sikap yang ditunjuk oleh dasar Umno Putera menyebabkan Melayu lemah,” katanya. Tambahnya, terbukti bukan bangsa lain yang menindas, sebaliknya Melayu ditindas dan dilemahkan oleh orang yang sebangsa, semata-mata kerana kerakusan kuasa dan tidak boleh menerima selain daripada parti Umno sahaja.
Mahasiswa sedia hidup tanpa Auku Mohd Syahid Mohd Zaini | Saya tertarik untuk menjawab kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan AUKU ketika beliau menjawab soalan seorang peserta Konvensyen Integriti Nasional 2011 di PICC, Putrajaya, baru-baru ini. “Are you ready for it? Kalau saudara kata yes, mengapa tidak? Mungkin kerajaan akan kata, kalau begitu kita tak perlu akta lagi ataupun kita pinda akta itu untuk memberi ruang supaya pelajar boleh membuat keputusan tanpa digagahi oleh mana-mana satu kuasa perundangan,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. “Kalau pelajar sudah kata, “saya tahu apa yang saya patut buat dan kerajaan tidak perlu bimbang, dan kami akan tumpukan sepenuh masa kepada pelajaran serta penglibatan dalam politik hanyalah untuk mengetahui apakah politik itu supaya mereka tidak terasing daripada perubahan semasa dalam negara,” soal pokok goes back to you (mahasiswa). “Kalau saudara kata kami sudah bersedia dan tak perlu kerajaan mengadakan sistem untuk perundangan kawalan, maka selepas ini kita akan katakan eloklah ia dikaji. Ini adalah pandangan secara kasar saya,” kata Muhyiddin. Jawapan yang berani dan mengkagumkan.Namun jika sekadar retorika, politik itu suatu penipuan dan omongan kosong yang sangat menjijikkan.Jika ditanya mahasiswa adakah sudah bersedia atau tidak, saya selaku pimpinan mahasiswa akan menjawab "mahasiswa sudah lama bersedia untuk hidup tanpa AUKU". Akan tetapi persoalannya sekarang adakah kerajaan benar-benar serius untuk memansuhkan AUKU? Kita sedia maklum bahawa AUKU merupakan akta yang memang bercanggah dengan perlembagaan Malaysia. AUKU juga merupakan alat yang paling berbisa kepada Hal Ehwal Pelajar di kampus bagi mengekang kemaraan gerakan mahasiswa dalam memperjuangkan sesuatu isu. AUKU sememangnya perlu di mansuhkan kerana substance AUKU itu sendiri jelas zalim dan langsung tidak menjunjung tradisi keintelektualan mahasiswa dan Universiti. KPT telah menerima kertas putih dari Jawatankuasa Mengkaji dan Mereputasi kedudukan IPTA tempatan sebelum ini. Jawatankuasa tersebut ditubuhkan pasca kejatuhan ranking IPTA (merujuk pada Universiti Malaya) dari tangga ke-89 ke tangga 169 pada tahun lepas sebagaimana yang dikeluarkan oleh Times Higher Education Supplement (THES). Jawatankuasa tersebut telah menyatakan beberapa cadangan. Salah satunya adalah memansuhkan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti). Namun, sehingga kini KPT seolah-olah memandang enteng cadangan-cadangan yang telah disampaikan oleh ahli akademik dan cendekiawan tempatan. Perkara seumpama ini sepatutnya dikesali bersama. Pada pandangan saya,niat pengubalan AUKU ini demi menutup pekung kerajaan semata-mata daripada diketahui umum melalui suara mahasiswa. Sudah lebih 37 tahun, AUKU ini dikuatkuasa ke atas mahasiswa.Saya telah meneliti beberapa perkara dalam AUKU ini dan saya dapati banyak perkara dalam AUKU ini jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sebagai yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, 1948 dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Islam Sejagat, 1981. Saya ingin menyebut beberapa seksyen dalam AUKU ini yang jelas bertentangan dengan hak asasi manusia, Seksyen-seksyen tersebut adalah Sekyen 12, Sekyen 15(1), Sekyen 15(2), Sekyen 15(3), Sekyen 15(4), Sekyen 15A(1), Sekyen 15A(2), Sekyen 15B(1), Sekyen 15D(1), Sekyen 16 dan banyak lagi. Pendek kata, AUKU hampir kesemua seksyen adalah bertentangan dengan Hak Asasi Manusia. Saya ingin membawa contoh, merujuk pada Seksyen 15(3) dan 15(4), AUKU: Melarang pelajar dan pertubuhan pelajar menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan lain-lain pertubuhan. Kewujudan AUKU telah menyekat peranan mahasiswa yang sepatutnya menjadi agen semak dan imbang kepada pihak kerajaan. Bagi saya, mahasiswa mempunyai kapasiti, dan lebih berautoriti untuk berbicara dan mengutarakan pendapat kerana mereka lahir dan hadir daripada kelompok cerdik pandai dan berilmu pengetahuan. Adakah kerajaan takut dan bimbang dengan keberhadiran kelompok mahasiswa yang mempunyai kesedaran ini? Apa bezanya mahasiswa dengan belia muda yang berusia 21 tahun yang diberikan ruang tanpa sekatan, cuma mahasiswa diberikan peluang melanjutkan pelajaran. Natijahnya, apabila bergelar mahasiswa, aku janji dan AUKU dijadikan taruhan dan cagaran, diusung ke sana ke mari hanya dengan tujuan untuk mengekang segala kelibat dan menyekat idealisma mereka sebagai mahasiswa, adakah ini demokrasi? Saya fikir seandainya mahasiswa terlibat dengan politik tidak bermaksud mereka akan mengabaikan pelajaran mereka.Pelajaran tetap perkara pertama yang perlu diutamakan.Namun dalam masa yang sama mahasiswa itu perlulah tahu dan cakna terhadap isu-isu semasa negara mahupun isu-isu bersifal global. Bahkan bukan sekadar perlu tahu dan cakna terhadap isu-isu semasa,mahasiswa juga perlu merespon dan membawa solusi terhadap sesuatu isu itu di atas idea pandang mahasiswa. Justeru saya berharap agar segala persoalan yang dijawab oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam konvensyen intergriti baru-baru ini perlulah dikotakan dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.Jika ISA boleh dimansuhkan,saya fikir AUKU juga tidak ada masalah untuk dimansuhkan.Saya amat yakin seandainya AUKU dimansuhkan, mahasiswa Malaysia akan lebih matang dan bijak dalam menilai sesuatu perkara dengan lebih baik.Lantas mencerminkan bakal tampuk kepimpinan negara yang benar-benar berkualiti dan berintelektual. Penulis adalah YDP Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 11 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyelar sikap hipokrit pemimpin Umno BN negeri apabila setelah menjadi pembangkang cuba untuk menjadi wira dan juara rakyat dengan melaporkan perkara-perkara yang tidak berasas dan berfakta. Justeru, timbalan ketuanya, Mohd Sany Hamzan merasakan kenyataan Adun Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kassim yang mempersoalkan kewajaran langkah Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor meletakkan anggota majlis dari kalangan wakil parti politik dalam jawatankuasa tender dan sebut harga pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai orang yang ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’. Menurutnya, rakyat Selangor sedia maklum bagaimana semasa zaman pemerintahan Umno BN, jawatan ahli majlis diberikan kepada orang-orang yang mempunyai jawatan di dalam parti dan sentiasa mendapat keuntungan daripada mesyuarat jawatankuasa tender. Katanya, ada pihak yang menyebut bahawa pada zaman tersebut ahli majlis Umno BN tidak perlu kepada elaun bulanan dan elaun mesyuarat kerana telah menyapu semua projek dan tender yang ada di PBT. Ujarnya, berbanding keadaan semasa di zaman pemerintahan Pakatan Rakyat, ahli majlis berada di dalam jawatankuasa tender adalah sebagai pemantau perjalanan tender tersebut berjalan dengan telus dan adil tanpa ada kepentingan peribadi. “Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasa cukup kasihan kepada pemimpin-pemimpin Umno BN yang apabila kehilangan kuasa pemerintahan disebabkan keangkuhan dan kerakusan diri mereka sendiri telah menjadi seperti kapal yang tidak mempunyai nakhoda, teroleng-oleng di tengah lautan, cuba menyelamatkan diri dengan berpaut kepada apa sahaja benda yang ada di hadapan mata walaupun ianya sekadar fatamorgana,” ujarnya kepada Harakahdaily. Oleh itu, tambah beliau pihaknya menyifatkan segala tohmahan dan fitnah yang cuba dilemparkan oleh pihak Umno BN selaku pembangkang di Selangor terhadap pengurusan Kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan berhasil. Ini, ujarnya kerana ianya akan mencerminkan kebobrokan dan penyelewengan kuasa semasa zaman Umno BN memerintah dan rakyat Selangor sendiri telah boleh menilai segala keburukan pengurusan kerajaan semasa zaman mereka berbanding zaman sekarang di bawah Pakatan Rakyat. “Jadi tidak perlulah Umno BN cuba berlagak mulia dan alim sedangkan rupa sebenarnya adalah musang berbulu ayam,” ujarnya lagi.
Tidak terdetikkah hati Najib tunai amanat ayahanda? . | Hari ini 11 November 2011. Tanggal 12 Novem 1975 Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdul Razak memberikan jawapan kepada Lim Kit Siang dalam parlimen mengenai royalti minyak. Jawapan itu boleh dilihat pada posterer di sebelah yang dihadiahkan oleh pihak kerajaan Kelantan kepada PM Malaysia sekarang, DS HJ Najib yang merupakan anak kepada mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Malangnya jawaban Najib dalam Parlimen tentang royalti minyak Kelantan menyanggahi apa yang dijawab bapanya. DS HJ Najib baharu pulang dari Mekah menunaikan haji. Orang balik haji yang dipanggil Pak Haji ni biasanya orang baik, atau orang mahu menjadi baik. Lepas lihat Kaabah, lepas tawaf, lepas saie, lepas wukuf di Arafah, lepas minum air zam-zam sepatutnya ada perubahan positif yang berlaku. Dalam konteks seorang Perdana Menteri, perubahan yang berlaku antaranya perubahan sikap dan pandangan terhadap hak royalti Kelantan. Apatah lagi poster yang dibawa itu pula bukan setakat poster orang biasa, bukan poster orang Myanmar atau Kemboja di Seri Bandi atau Sungai Miang tetapi poster ayahandanya sendiri. Tidak terdetikkah di hatinya yang baharu menunaikan ibadah haji itu untuk terasa menunaikan amanah bapanya sendiri dan membenarkan kata-kata bapanya itu, melampaui batas sempadan rasa sakit hati terhadap Kelantan? Atau merasai kuasa adalah segala-galanya sehingga menolak kebenaran ucapan bapa sendiri? Kalau pembaca sebagai seorang anak, kemudian ditunjukkan gambar bapa dengan ucapannya yang tertentu bercanggah dengan ucapan saudara, apa perasaan saudara? Tidak terasa langsung dalam hati? Tidakkah hubungan bapa dan anak itu ada nilai sentimentalnya yang tersendiri? Justeru, amat wajar tindakan kerajaan Kelantan membawa poster Tun Razak bersama jawapannya berkenaan royalti itu kepada anaknya Najib yang baharu pulang dari Mekah. Ia bukan perbuatan menangguk di air keruh dan semata-mata mengumpan sentimen bapa dan anak, tetapi mencedok di air jernih dan mahu menjadikan si anak itu menghormati kata-kata bapanya.
Nik Nasri Nik Malek, Kemaman, Terengganu
Harakahdaily | KUALA KRAI, 11 Nov: Pembantu khas kepada Datuk Husam Musa, Kamarulzaman Abdullah (gambar, berdiri kiri) meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya terbabit kemalangan dekat Paloh di sini awal pagi ini. Ketika kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, beliau bersama dua lagi rakannya menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero, bertembung dengan sebuah kereta Produa Myvi di kilometer 40 jalan Kuala Krai-Gua Musang. Mereka ketika itu dalam perjalanan pulang dari Kula Lumpur selepas menghadiri majlis penyerahan 'Amanat Tun Razak' kepada perdana menteri di parlimen berhubung tuntutan bayaran royalti Kelantan. Akibat kemalangan itu, beliau yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazah Allahyarham kini dibawa ke Hospital Gua Musang. Dua lagi rakannya Roslan Mohd Zain juga cedera di kepala dibawa ke Hospital Kula Kerai manakala Ridwan Elias hanya mengalami mengalami cedera ringan. Pemandu dan penumpang Myvi juga cedera parah dan turut dibawa ke Hospital Kula Kerai untuk rawatan lanjut. Solat jenazah allahyarham akan diadakan di rumah ayahnya di Batu 4 Wakaf Che Yeh selepas solat Jumaat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Panjang, Kampung Kota. Allahyarham yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Kelantan, meninggalkan seorang balu dan seorang anak. Sementara itu, Exco Kelantan, Datuk Husam Musa yang kini dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Kamarulzaman. "Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan mereka yang beriman...Al-Fatihah," katanya. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Kamarulzaman. | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan