Selasa, 1 November 2011

DAKWAH UTAMAKAN MENTAUHIDKAN ALLAH...JANGAN SEKALI DAKWAH TUJUAN UNTUK DUNIA SERTA KEMASYHURAN...BUKAN BERDAKWAH KERANA ALLAH...KHUATIR MENYESATKAN...

Auku: Pemuda PAS sambut baik keputusan mahkamah | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham) menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada hari ini yang memutuskan bahawa Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 bercanggah dengan hak-hak kebebasan asasi yang dijamin di bawah perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pengarahnya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi (gambar) berkata, Juham dari dulu lagi sentiasa berpegang teguh kepada kebebasan mahasiswa-mahasiswi untuk bersuara di mana ia adalah hak asasi kepada semua rakyat Malaysia dan ia jelas termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Malangnya hak-hak ini dinafikan oleh Kerajaan Umno Barisan Nasional kepada mahasiswa/i yang dilihat tidak sealiran dengan pemikiran mereka,” katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, Umno Barisan Nasional sedar bahawa mahasiswa-mahasiswi merupakan kuasa perubah yang besar dan mampu menggulingkan kerajaan Umno Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum yang akan datang.

Justeru, katanya Umno Barisan Nasional cuba menyekat kuasa mahasiwa ini dengan menggunakan undang-undang kuku besi yang bernama Auku untuk menakut-nakutkan mahasiswa daripada terus menyuarakan kebenaran.

Akan tetapi, ujarnya tidak ada apa-apa tindakan pun diambil ke atas pelajar-pelajar yang menyokong mereka, malah Umno seringkali menggunakan premis kolej dan universiti untuk program-program parti.

Beliau berkata, pelaksanaan undang-undang yang double standard itu jelas sekali menunjukkan sikap jumudnya Umno Barisan Nasional dan ketidak pekaan mereka terhadap kebangkitan dan idealisme para mahasiswa-mahasiswi.

“Malah, Malaysia telah menyaksikan ramai mahasiwa/i yang menjadi mangsa kerakusan Umno Barisan Nasional yang tanpa malu berselindung di sebalik Auku untuk mengekang suara mahasiswa dengan menghukum mereka dengan menggantung daripada pengajian, dan ada yang sampai dibuang daripada universiti kerana menyuarakan perkara yang benar namun pahit untuk ditelan oleh Umno Barisan Nasional,” ujarnya.

Justeru, katanya keputusan Mahkamah Rayuan ini dilihat sebagai suatu kemenangan kepada seluruh mahasiswa mahupun graduan universiti dari dulu hingga kini yang setia dan tanpa jemu menongkah arus dalam menghadapi kerakusan Auku.

Ini, katanya membuktikan bahawa kezaliman dan keangkuhan Umno Barisan Nasional akhirnya akan rebah juga dibadai keadilan dan kebenaran yang hakiki dan penangan students power.

Beliau menambah, sebagai golongan yang terpelajar dalam masyarakat, mahasiswa-mahasiswi berhak menyuarakan apa sahaja sokongan, simpati atau bangkangan mereka terhadap mana-mana parti politik di dalam mahupun di luar negara.

Menurutnya, menghalang hak-hak asasi ini bermakna negara mengamalkan pemikiran ke belakang dan memalukan dalam suasana arus moden dunia tanpa sempadan ini.

Akhirnya, kata beliau Juham mengucapkan syabas kepada empat orang pelajar UKM tersebut dan seluruh mahasiswa-mahasiswi atas kemenangan ini.

“Juham menyeru mahasiswa-mahasiswi sekalian supaya terus maju ke hadapan tanpa rasa gentar dan takut dalam menyuarakan kebenaran yang merupakan hak asasi semua dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, mahasiswa-mahasiswi adalah penyambung kepimpinan negara di masa akan datang yang mana peranan dan suara mereka tidak patut dipandang ringan atau diperkecilkan oleh kerajaan.


PPSMI tidak jamin Malaysia jadi negara maju | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR 31 Okt: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menjamin negara ini maju.

"Dasar Kerajaan Umno ni bila ada menteri baru datang, ada saja dasar baru dan cara sedemikian akan merosakkan masa depan anak bangsa kita. Dari awal lagi kita sudah menegaskan bahawa dasar ini sebenarnya tidak akan menjamin Malaysia menjadi sebuah negara maju.

"Negara maju seperti Jepun, Korea dan Jerman juga tidak mengajar teknikal subjek dalam inggeris malah mempertahankan bahasa ibunda mereka," jelasnya yang ditemui di parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Gombak itu juga memberitahu terdapat satu kajian oleh Unesco bahawa untuk menjadi sebuah negara maju dalam bidang industri teknologi sains, maka mata pelajaran perlu diajar dalam bahasa ibunda.

Azmin turut membidas pimpinan Umno sekali lagi tidak langsung mahu buat sebarang rujukan bincang tentang perlaksanaan dasar PPSMI dan akhirnya tujuan untuk mewujudkan kontrak-kontrak bagi kroni-kroni mereka.

"Perlaksanaan dasar dalan negara sentiasa dibuat tergesa-gesa tanpa perbincangan menyeluruh terutamanya dengan pihak yang mempunyai kepakaran," ujarnya.

Menurutnya dasar itu dibuat tanpa perancangan yang teratur sebagai contoh guru-guru masih lagi tidak cekap dan tidak dihantar utk melatih lebih awal serta buku-buku teks yang tidak disiapkan.

Mengulas tentang Persatuan Ibu Bapa Pendidikan Malaysia (Page) yang tidak bersetuju dengan pemansuhan dasar tersebut, Azmin memberitahu kerajaan perlu berbincang dengan badan tersebut agar mereka lebih memahami dan menerima perlaksanaan tersebut.

"Saya kira kementerian mesti bertanggungjawab untuk bertemu dengan semua pihak dalam mencari jalan penyelesaiannya. Ini kerana sebarang perancangan dasar mestilah dibuat secara terperinci dan tidak tergesa dan bukan kerana kepentingan politik tetapi kepentingan anak bangsa," sambungnya lagi

Azmin memberitahu setiap pihak mesti hormati pandangan mereka namun jika perancangan ini dibuat dari awal, supaya ada pertimbangan bagaimana dasar-dasar baru hendak dilaksanakan dan beliau pasti setiap pihak mesti akan bersetuju.


Ugut Aziz Bari macam mafia Mexico | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang mengancam pakar undang-undang, Prof Dr Abdul Aziz Bari dengan mengirim beliau sebutir peluru ke rumahnya, kelmarin.

“Bagi DPPM, tindakan ini melampau serta keterlaluan bagi sebuah negara yang aman seperti Malaysia. Ia juga ibarat tindakan kumpulan mafia atau gangster di negara seperti Mexico atau Colombia,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Katanya, DPPM bimbang, trend mengugut seperti ini pastinya akan menganggu gugat keharmonian negara ini.

“Rumah disimbah cat, kiriman peluru, mengugut ahli keluarga, dilontar molotov cocktail adalah budaya baru masyarakat yang amat menggerunkan.

“Ia juga merendahkan nilai intelektualisme dalam negara ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, jika tokoh akademik pun boleh dilayan seperti itu, apakah lagi nilai yang boleh diharapkan di negara kita.

atanya, rRakyat akan hilang kewarasan untuk berfikir manakala tokoh-tokoh akademik pula takut untuk memberi pandangan mereka kerana akan menjadi mangsa ugutan di masa hadapan.

Ujarnya, DPPM mengingatkan mana-mana pihak, bahawa Prof Dr Abdul Aziz Bari tidak sesekali bercakap luar daripada kerangka perlembagaan.

Riduan berkata, sebagai seorang yang pakar terhadap perlembagaan, tidaklah salah beliau mengutarakan pendapatnya yang selari pula dengan perlembagaan negara.

Meskipun kenyataan beliau mengundang sikap tidak senang bagi sesetengah pihak, ia perlu dibalas hujah pula dengan akademik.

Menurutnya lagi, mengugut sambil berselindung ibarat ‘melontar batu sembunyi tangan’ adalah tindakan pengecut bagi mereka yang terdesak.

Katanya, kebenaran tidak akan terserlah selagi mana mereka yang seperti ini berada dalam masyarakat.

“DPPM yakin, isu ini pasti akan dapat diselesai dengan baik jika semua pihak berlapang dada dan menerima teguran dengan hati terbuka,” ujarnya.

Oleh itu, katanya DPPM meminta pihak polis jalankan siasatan secara terperinci berhubung kes itu dan ambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang terlibat.

Beliau menambah, pihak polis juga diharapkan dapat mengawal keselamatan Prof Dr Abdul Aziz Bari dan keluarga beliau dari sebarang tindakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“DPPM menyeru, mana-mana golongan yang tidak berpuashati untuk tampil ke depan bagi mendapatkan penjelasan serta berhujah dengan cara yang baik,” katanya.


Masalah Najib-Muhyiddin macam kartun CatDog | Print |
MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my


JIKA hendak diberikan gambaran permasalahan dalam Umno hari ini, ianya tidak ubah macam rancangan animasi televisyen kartun CatDog. Ia hanya ada satu badan, tetapi ada dua kepala. Satu kepala cat (kucing) satu lagi kepala dog (anjing).

Dua-dua kepala ini punyai perangai, citarasa, pendekatan dan minat yang berbeza, sehingga sering bercanggah antara satu sama lain. Tetapi tiada pilihan kerana terpaksa berkongsi badan yang sama.

Badan yang dikongsi dan hendak dibawa adalah Umno, yang hayatnya sudah hampir sampai ke penghujung. cara mana hendak bawa Umno, pendekatan mana yang paling sesuai untuk menyelamatkan Umno daripada kepupusan.

Perbezaan ini semakin ketara dari hari ke sehari. Ianya umpama 'api dalam sekam' cuba dikambus media talibarut Umno-Barisan Nasional, namun ia tetap membara.

Pertelagahan senyap di antara Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dengan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semakin ketara dirasai dalam Umno, dirasai oleh pemimpin-pemimpin Umno di peringkat negeri dan sudah menjalar sehingga ke akar umbi

Masalah dan percanggahan wujud dalam banyak aspek. Terutama sekali dasar 1Malaysia dan pelbagai tindakan Najib mengetepikan hak Melayu dan kuota bumiputera, tidak disenangi Muhyiddin dan juak-juaknya kerana ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Malah media berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, yang khabarnya dikuasai kumpulan Muhyiddin, juga enggan memberi ruang kepada Najib, jika kenyataan PM itu dilihat merugikan orang-orang Melayu.

Antara masalah yang besar dihadapi Muhyiddin dan Umno adalah datangnya dari isteri PM sendiri. Dominasi Datin Seri Rosmah Mansor dalam banyak perkara, yang libatkan parti, kerajaan, projek dan media, amat-amat tidak disenangi mereka.

Ketidaksenangan ini disampaikan seorang kenalan lama bergelar Dato', dalam satu temu janji dengan saya di Bangsar Village baru-baru ini.

Tujuan pertemuan diadakan untuk beliau nyatakan pendapatnya tentang masa depan Melayu, yang katanya hanya akan dapat diselamatkan hanya jika PAS dan Umno boleh bekerjasama dalam hal-hal tertentu.

Saya hanya mendengar sahaja, kerana memang bukan bidang kuasa saya untuk bersetuju atau menolak pandangannya. Saya sekadar mahu meneropong dari sudut hati orang Umno, apa yang sebenarnya berlaku dewasa ini.

Sambil-sambil beliau berusaha meninjau peluang untuk melunakkan hubungan PAS-Umno, saya bertanya kepadanya tentang perubahan kepimpinan dan kepincangan yang terus berlaku dalam Umno.

Kata saya,"Dato' apa agaknya obstacle yang menghalang Umno untuk kelihatan solid dalam menghadapi PRU akan datang?"

"Rosmah," jawabnya ringkas, sambil menghirup cappucino.

"Mengapa Rosmah?" tanya saya sebelum sempat beliau meletakkan cawan kembali ke atas meja.

"Kita pun tak tahu mengapa Najib begitu menurut kata Rosmah. Semua urusan 'stuck' kalau ada campur tangan Rosmah. Sehingga pelantikan politik, termasuk GLC pun Rosmah campur tangan," dakwanya.

"Ooo lebih kurang Rosmah ni macam Khairy (Khairy Jamaluddin) masa zaman Abdullah lah ya," ujar saya kepadanya.

Dato' hanya mengangguk, mengiyakan telahan saya. Banyak ceritanya yang tidak boleh ditulis di sini. Off record katanya.

Pada saya, dakwaan terhadap Rosmah barangkali betul, barangkali tidak. Masalah Najib dan Rosmah adalah masalah Umno. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menghadap apa yang ada.

Masalah sebenarnya adalah masalah perebutan kuasa dan power broker serta juak-juak yang berpihak kepada Najib dengan puak penyokong Muhyiddin.

Keadaan menjadi semakin panas apabila masalah ini meleret-leret, sehingga kepada perihal pemilihan dan penentuan calon Umno untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang. Habis semua hendak jadi calon.

Daripada Ketua Bahagian yang sudah lapuk, sehinggalah budak-budak hingusan dalam Umno, berebut-rebut hendak jadi calon. Mereka melobi Najib dan Muhyiddin. Semuanya kata mereka adalah winning candidate. Habis hiruk pikuk Umno di peringkat bahagian.

Masalah ini diakui oleh Muhyiddin. Kenyataan beliau baru-baru ini merujuk kepada masalah dalaman Umno yang tidak boleh selesai sehingga kini.

Oleh sebab itu MT Umno terpaksa menangguhkan pemilihan dalam Perhimpunan Agung Umno, untuk tempoh 18 bulan bermula Mac 2011.

Penangguhan terpaksa dibuat kerana, pemilihan parti menyebabkan Umno dalam keadaan berisiko tinggi. Umno terpaksa gamble kerana pemilihan akan berlaku di segenap peringkat, meliputi cawangan, bahagian dan kebangsaaan akan memberi natijah yang negatif kepada masa depan mereka. Oleh itu maka pemilihan Umno ditangguhkan, untuk memberi laluan terlebih kepada PRU terlebih dahulu.

Oleh itu, jika diteliti dan dibandingkan tempoh kerajaan BN akan berakhir pada Mac 2013 dengan tempoh penangguhan pemilihan Umno akan tamat pada September 2012, maka tidak dapat tidak PRU mesti diadakan enam bulan lebih awal dari pemilihan Umno.

Maka dijangkakan, tarikh terbaik untuk Najib mengadakan PRU ke-13 adalah di antara Disember 2011 hingga Mac 2012. Itu andaian Najib.

Namun Najib tidak akan selamat jika Umno-BN tewas atau hanya menang dengan majoriti yang lebih kecil daripada PRU 2008. Jika BN tewas, habis cerita. Sama ada Najib atau Muhyiddin, sama-sama akan dimasukkan dalam muzium bersekali dengan Umno-BN

Jika BN menang tipis bagaimana? Sekarang pun dalam Umno, terdapat golongan yang mendesak Najib berundur dan memberi laluan kepada Muhyiddin. Alasan mereka mudah. Najib terlalu lemah dan tidak mampu mengemudi BN berhadapan dengan Pakatan Rakyat. Ada kelompok veteran Umno yang berpendapat, jika Najib terus menjadi PM, masa depan Umno akan terus kelam.

Malah ada antara kalangan Umno yang melabel Najib sebagai PM flip-flop, sama atau lebih teruk daripada Abdullah Ahmad Badawi.

Oleh kerana itu, jika BN menang tipis, Najib bakal mengalami nasib yang sama dengan Abdullah. Justeru bagaimana Najib hendak mengelakkan daripada Muhyiddin naik menggantikan beliau.

"Saya yakin Hisham (Dato' Seri Hishammuddin Hussein) tidak akan benarkan Muhyiddin menggantikan Najib," kata seorang penganalisis Umno.

"Bagaimana nak sekat Muhyiddin? Jika hendak halang, kena ada orang lawan dia jawatan Timbalan Presiden," kata saya.

"Tak perlu. Itu lambat lagi. Kalau saudara hendak tahu, sekarang ini budak-budak Hisham sudah buat kerja di Pagoh (kawasan Parlimen Muhyiddin), nak jatuhkan dia," dakwanya.

Cara mana hendak jatuhkan Muhyiddin tidak dihuraikan lanjut. Barangkali itu hanyalah andaian beliau. Tetapi beliau mengatakan wujud banyak kemasukan pengundi baru di Pagoh, yang akan memberi kesan kepada masa depan Muhyiddin.

Pada saya itu hanya fikiran simplistik. Bukan mudah hendak mengalahkan Muhyiddin. Pagoh ini kawasan hulu. Pedalaman dan masih mundur. Orang-orang yang miskin dan mundur, sentiasa menjadi aset Umno. Tambahan lagi orang Johor. Biarlah PRU nanti menentukan.

Tetapi mesej yang hendak disampaikan di sini, bau wujudnya, unsur pertelagahan dan sabotaj di antara puak Najib dengan Muhyiddin semakin kuat. Mereka boleh cuba menafikan kewujudan masalah ini.

Kita tunggu dan lihat sahaja. Bagi kita sama ada Najib atau Muhyiddin tidak menjadi soal. Asalkan mereka mewakili Umno-BN, mereka harus ditewaskan pada PRU ke-13!


JKKKP naik turun rumah penduduk agih beras | Print |
Aslani M

KOTA BHARU, 31 Okt: Anehnya tiba-tiba pemimpin Umno di sini seminggu dua ini menjadi baik sangat, kelam kabut turun naik rumah penduduk membawa beras, gula dan biskut.

Pasukan yang naik turun rumah penduduk terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan wanita Umno cawangan.

Kelibat mereka mudah dicam, wanitanya mengenakan tudung atau seledang kepala berwarna merah.

Namun bekalan makanan yang dibawa hanya akan diberi sekiranya borang yang dibawa diisi tuan rumah. Borang itu juga terdapat ruangan nombor kad pengenalan.

Ada penduduk yang enggan menyerahkan kad pengenalan tidak diberi sumbangan tersebut, biar pun mereka sudah naik ke rumah mereka.

Ketika ditanya orang ramai mengapa perlunya diberi kad pengenalan, jawapan lazim bagi mereka sekadar hendak isi borang sebab Dato’ Fatmi Che Salleh hendak tengok.

Di kawasan Dun Kota Lama Sabtu lalu petugas Umno menyerahkan sumbangan kepada penduduk yang tinggal di kawasan pusat bandar.

Petugas Umno membawa beg plastik yang tertera gambar Fatmi dan Datuk Seri Najib Razak.

Persoalannya mengapa baru sekarang pemimpin Umno nampak baik hati sangat sehingga JKKKP menjaja nama-nama ketua bahagian mereka.

Penduduk memberitahu mereka diberi beras 5 kg, gula 2 kg, susu 2 tin, minyak masak, biskut satu tin dan ada yang sudah dibuka serta milo paket kecil.

Di Tumpat pula orang ramai memberitahu mereka hanya diberi beras sahaja tanpa ada makanan lain.

Mungkinkah semuanya itu angkara wang royalti yang kini disihir menjadi wang insan.

Malah isu tersebut juga dibangkit anggota Exco, Datuk Husam Musa pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini.

Menurutnya perairan Kelantan sudah lama diteroka minyak dan gas oleh Petronas.

Misalnya telaga Bintang dan Lawit yang bertindih dengan Terengganu sudah diteroka sejak 25 tahun lalu.

Manakala di lapangan PM301 dan PM302 terdapat 16 telaga. Selain itu lapangan minyak dan gas juga ada di kawasan yang bertindih dengan Vietnam dan Thailand.

Kata Husam jumlah tunggakan royalti yang sepatutnya dibayar Kelantan sekarang sebanyak RM6 bilion.

Apakah jumlah royalti itu kini menjadi sebahagian duit insan sehingga diguna Umno untuk membeli beras dan barangan keperluan lain. Sedangkan wang royalti berbilion ringgit, tidak sepadan dengan bantuan beras sahaja.

Duit royalti juga difahamkan ditukar kepada projek membaiki rumah penduduk di kalangan penyokong Umno di Kuala Krai dan Gua Musang.

Penyelia Parlimen Gua Musang, Abdullah Hussin berkata, pemimpin Umno mengagihkan kayu, zink dan batu bata bagi membaiki rumah penyokong mereka.

”Saya yakin segala peruntukan itu adalah daripada wang royalti yang ditukar menjadi wang ihsan,” katanya.

(Ikuti analisis lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang).


Presiden PAS di forum bicara asia barat esok
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Dewan Pemuda PAS akan menganjurkan program "Bicara Asia Barat" yang kan berlangsung di Dewan Bankuet MBSA Shah Alam malam esok esok.

Dengan tajuk "Lakaran Masa Depan", forum tersebut bakal menampilkan empat orang panel iaitu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Mantan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin Mesir Dr Mehdi Akif, wakil kerajaan Hamas Palestin Ahmad Al Najjar dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan.

Program tersebut akan bermula jam 8.30 malam dan semua orang ramai dijemput hadir.


Pendekatan Dakwah: Kami sedia dialog | Print |
Nasruddin Hassan
1. Dakwah adalah sebahagian dari jalur perjuangan PAS selain siasah [politik] dan tarbiah [pengkaderan] untuk meninggikan Islam mengatasi kebathilan. Ia juga sebahagian daripada makenisme perjuangan Islam bagi memastikan risalahnya dapat disampaikan kepada seluruh ummat manusia.

2. Asas dakwah ialah hikmah [kebijaksanaan], nasihat yang baik dan dialog untuk mencari kebaikan. Berpaksi kepada kebenaran yang diperjuangkan, gerakkerja dakwah tidak terhenti di atas satu kaedah pendekatan atau satu cara penampilan. Malah kebijaksanaan dalam gerekkerja dakwah juga tidak statik.

3. Dewan Pemuda PAS Malaysia telah melangkah ke pelbagai sudut ruang dakwah sepanjang tempoh perjuangannya dan senantiasa sedia untuk menerokai pelbagai pendekatan baru pula jika ia memberi kebaikan dan memulangkan keberkesanan dalam gerakkerja dakwah Islam. Justeru itu, kita positif menerima pandangan dan cadangan ke arah penambahbaikan kualiti dakwah pemuda PAS ke arah membawa masyarakat khasnya anak - anak muda agar memahami Islam dan memilih Islam sebagai cara hidup mereka.

4. Saya dan rakan - rakan exco malah seluruh warga Dewan Pemuda PAS senantiasa lapang dada dan bersikap terbuka untuk berbincang dan berdialog dengan semua pihak. Saya mengalu - alukan semua pihak termasuk tokoh akademi yang kini kebanyakkan mereka sedang memantau dan memberi perhatian mereka kepada kehadiran dan penampilan Dewan Pemuda PAS Malaysia di pentas politik dan dakwah Islamiyah negara ini, termasuklah Dr. Mohd Asri Zainal Abidin yang baru - baru ni melalui twitternya telah mengkritik Dewan Pemuda PAS yang disifatkan oleh beliau sebagai diresapi unsur toliban yang kuat apabila pemuda PAS tidak bersetuju dengan Konsert Elthon John.

5. Sungguhpun kritikan itu agak keterlaluan dan saya percaya bagi mereka yang mengikuti perjuangan PAS dari dekat, khasnya setelah melalui apa yang dilakukan oleh Dewan Pemuda PAS menganjak masa dan sejarah perjuangannya sejak awal penubuhan sehingga kini, mereka tidak mungkin menerima tohmahan yang mengatakan pemuda PAS telah diresapi unsur Toliban. Jika tohmahan sedemikian bermaksud untuk mengaitkan Pemuda PAS sebagai eksterim, maka ia semakin jauh tersasar dan tohmahan itu semakin keterlaluan.

6. Hanya kerana tidak sependapat dengan kaedah dan pendekatan dakwah yang diambil oleh Dewan Pemuda PAS, tidak bermakna pemuda PAS boleh ditohmah begitu sahaja dan sesedap rasa untuk menanggapi kononnya pemuda PAS telah diresapi unsur Toliban. Telah banyak perkara baru dan bidang dakwah yang telah diterokai oleh Dewan Pemuda PAS malah ia berkembang mengikut keperluan semasa disamping mengekalkan apa jua bentuk pendekatan tradisi yang masih bermanafaat.

7. Kini kita tidak lagi hanya bergantung kepada ceramah umum untuk menyampaikan maklumat dan mesej perjuangan kita. Malah Pemuda PAS telah turun ke tengah masyarakat dengan pelbagai aktiviti dan gerakkerja untuk mendekati mereka khasnya anak muda, agar mereka dekat dengan perjuangan Islam yang diperjuangkan lalu memahami dan menerimanya. Saya juga yakin dan optimis, bagi mereka yang positif dan tidak "sceptical" terhadap Dewan Pemuda PAS, mereka akan nampak dengan jelas apa yang telah dilakukan oleh pemuda PAS di arena dakwah dan juga pentas politik tanahair.

8. Biarpun masih banyak kelemahan yang perlu ditegur dan dikritik, malah kita juga tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian sendiri justeru masih banyak perkara yang perlu diperbaiki namun, untuk menganggap pemuda PAS telah diresapi unsur Taliban adalah suatu yang tidak masuk akal dan keterlaluan.

9. Justeru itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia sedia berdialog dengan siapa sahaja termasuk Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, samaada secara terbuka atau secara tertutup untuk menilai dan mencari pendekatan dakwah yang terbaik ke arah menyelamatkan ummah yang kini sedang tenggelam timbul dalam arus jahiliyah moden dan alpa dengan budaya hedonismenya. Saya harap benar tawaran ini bersahut.

10. Dialog ini penting untuk masa depan perjuangan Islam justeru dakwah dan Islam ini bukan ekslusif milik satu -satu pihak tetapi ia adalah milik semua dan semua berhak untuk memberi pandangan serta cadangan. Namun sikap saling sinis menyinis tidak membawa sebarang kebaikan. Sebaliknya saya menyeru semua pihak agar turut sama menyampaikan mesej dakwah kepada "penganjur mungkar" agar sang penganjur juga sedar implikasi penganjuran aktiviti mungkar, jangan hanya sekadar menempelak golongan yang mahu membasmi kemungkaran tersebut semata - mata langkah yang diambil tidak serupa dengan kehendak kita.

11. Sebagai seorang muslim, kita tidak boleh membiarkan kemungkaran atau aktiviti yang meruntuhkan moral berlaku begitu sahaja di atas tanahair kita dengan membuat tanggapan bahawa kemungkaran itu hanya untuk non muslim terutama yang dianjur secara terbuka. Bahkan saya percaya bahawa non muslim juga tidak suka aktiviti yang meruntuhkan moral anak bangsa mereka.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


Pastikan suruhanjaya tenaga berfungsi | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air diseru memastikan Suruhanjaya Tenaga melaksanakan fungsi-fungsi yang sepatutnya supaya dapat melindungi kepentingan setiap lapisan pengguna elektrik di negara ini.

Seruan tersebut dibuat ekoran rundingan semula PPA masih berlarutan tanpa kesudahan disebabkan jalan buntu di antara permintaan kerajaan, Penjana Bebas (IPP) dan Tenaga Nasional Berhad.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran berkata, adakah penyelesaian berpaksikan rakyat (people centric) dapat dimeterai seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri dan adakah IPP akan terus mencabar janji Perdana Menteri?

Menurutnya, dalam sektor tenaga elektrik, kerajaan dan perunding yang dilantik terlalu risau bagaimana peniaga (IPP) akan terjejas disebabkan rundingan semula.

Katanya, sebenarnya IPP generasi pertama telahpun mendapat balik pulangan pelaburan mereka pada kadar kurang daripada 10 tahun.

"Sekarang kerajaan dan perunding yang dilantik sepatutnya lebih risau tentang jumlah pelaburan lain yang kita akan hilang jika IPP masih dilindungi dan kadar tarif masa depan kekal tidak kompetitif," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Seorang peniaga, menurut beliau, tahu bagaimana untuk berniaga, dengan rundingan semula adalah sebahagian daripada perniagaan, sehingga menjadikan peniaga kompeten dan beretika.

"Awer telah mencadangkan model rundingan semula yang lebih munasabah di laporan kami yang bertajuk ‘Perjuangan – Masa Depan Industri Elektrik Negara’ yang telah dilanjutkan kepada agensi-agensi berkaitan untuk tindakan mereka pada bulan Jun tahun ini," katanya.

Selain itu, jelasnya, Awer turut memberikan contoh rundingan semula untuk industri perkhidmatan air di Johor, dengan pelaksanaan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006, bagi membolehkan rundingan semula dilaksanakan dengan cepat dan mengelakkan kenaikan tarif yang tinggi.

"Ini telah dicapai pada tahun 2009. Ini adalah rundingan semula yang dilaksanakan dalam masa 1 tahun dan tiada apa-apa rungutan mengenainya," ujarnya.

Awer, tegasnya, berdiri teguh dengan tarikh luput yang telah dicadangkan kepada perunding PPA bagi proses rundingan semula PPA, dengan 30 November 2011 sepatutnya adalah tarikh terakhir proses rundingan semula.

"Jika tiada keputusan yang konkrit dan berpaksikan kepada rakyat dicapai melalui rundingan semula PPA, kami menyeru Suruhanjaya Tenaga untuk memulakan bidaan terbuka bagi loji janakuasa yang baru mulai 1 Disember 2011.

"Rakyat tentu tidak mahu mendengar alasan-alasan seperti tidak cukup masa pembinaan atau proses bidaan yang dikompromi atau keputusan-keputusan yang tidak berpaksikan rakyat selepas ini," katanya.

Ketelusan dalam penetapan tarif dan memecahkan struktur pengebilan adalah penting, katanya, dan ini adalah proses yang mudah untuk dilaksanakan kerana ia hanya melibatkan pengurusan pangkalan data (database management).
"Pemecahan kos elektrik telahpun dilaksanakan oleh negara jiran kita seperti Filipina dan Thailand. Kami tidak faham mengapa terdapat keengganan yang tinggi oleh sesetengah pihak untuk melaksanakan perkara ini," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air melaksanakan Incentive Based Regulation (IBR) dengan pindaan yang dicadangkan (untuk mengawalselia sektor penjanaan) dengan kadar segera.

"IBR dirangka untuk memastikan kecekapan dalam perkhidmatan dan penetapan tarif yang saksama, sama seperti penstrukturan semula industri perkhidmatan air," tegasnya.

Di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), jelasnya, Suruhanjaya Tenaga telah diberikan kuasa luas untuk mengawalselia industri tenaga elektrik.

"Seksyen 4 akta ini yang mentakrifkan fungsi-fungsi Suruhanjaya Tenaga telah memberikan penerangan jelas mengenai mandat ini melalui subseksyen (b), (c), (d),(l), (la) and (m)," ujar beliau.


Auku: DAPSY tempelak hipokrasi Pemuda MCA | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan menempelak hipokrasi Pemuda MCA.

Ketuanya, Loke Siew Fook (gambar) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang memutuskan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara.

“Keputusan ini adalah satu kemenangan moral kepada kebangkitan gerakan mahasiswa di Malaysia yang telah lama memperjuangkan pemansuhan Auku.

“4 pelajar UKM yang membawa kes mereka ke mahkamah sehingga terhasilnya keputusan ini perlu dipuji di atas keberanian dan semangat perjuangan mereka yang cukup tinggi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

DAPSY juga, katanya bersetuju dan menyokong saranan pertubuhan pelajar Gamis yang menuntut supaya Auku dimansuhkan serta merta.

Kata ahli Parlimen Rasah itu, sememangnya Auku perlu dimansuhkan seperti ISA dan mengembalikan autonomi dan kebebasan akademik kepada pihak universiti.

Tambahnya, Auku telah lama mengongkong pemikiran mahasiswa tempatan dan melenyapkan budaya pemikiran kritis di kampus-kampus universiti awam.

Namun, ujar beliau hipokrasi politik Pemuda MCA cukup terserlah dalam kenyataan Ketua Pemudanya, Datuk Wee Ka Siong yang mengalu-alukan keputusan mahkamah hari ini.

Ka Siong mengatakan Pemuda MCA konsisten dalam pendirian mereka selama ini yang menuntut supaya Seksyen 15 AUKU dibatalkan.

“Saya ingin mengingatkan Ka Siong semasa Rang Undang-undang untuk meminda Auku dibahaskan di Parlimen pada tahun 2008, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen MCA yang memperjuangkan supaya Seksyen 15 Auku dibatalkan,” kata Anthony Loke.

Malah, katanya cadangan-cadangan untuk meminda Seksyen 15 oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di peringkat Jawatankuasa juga ditentang oleh Ahli Parlimen BN termasuk MCA.

Tegasnya, DAPSY akan terus memperjuangkan pemansuhan Auku dan akan menyokong segala usaha yang dibawa oleh gerakan mahasiswa untuk menghapuskan Auku.

“Malah, pemansuhan AUKU merupakan salah satu agenda utama Pakatan Rakyat sekiranya kita mendapat mandat rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU yang ke-13 nanti,” ujarnya.


Penduduk terima hak milik kekal
Rizal Tahir

TANAH MERAH, 31 Okt: Seramai 112 dari 315 masyarakat kampung dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Bunga dan Dun Kemahang, menerima sijil hak milik tanah masing-masing tengah hari tadi.

Sumbangan berkenaan disampaikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, pada majlis penyampaian hak milik tanah dan bantuan sosial peringkat Jajahan Tanah Merah.

Seramai 100 orang penerima sumbangan, manakala 20 orang lagi penerima cek skim Takaful Kifaalah.

Ahmad ketika berucap pada majlis itu berkata, kerajaan negeri tidak menaikkan kadar cukai tanah sejak mentadbir negeri ini 21 tahun lalu walaupun berhadapan dengan kos keperluan yang berkaitan semakin meningkat.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak ingin membebankan mereka dengan kenaikan kos tersebut walaupun terpaksa berhadapan dengan kenaikan kos lain.

“Apa yang penting kita mahu rakyat dapat membayarnya dengan baik demi untuk faedah bersama,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata tanah merupakan keperluan penting pada masyarakat apa lagi pada mereka yang langsung tidak bertanah.

Kerana itu, katanya ada pihak luar bertelagah dengan pihak lain untuk berebut tanah kerajaan negeri.

“Kita sedang memerhatikan perkara ini sebelum kerajaan negeri mengambil sebarang tindakan,”ujarnya.


Tiada ulasan: