Khamis, 17 November 2011

DIDIK KITA..DIDIK RAKYAT...DENGAN ILMU ALLAH...DENGAN PERATURAN ALLAH...BUKAN DENGAN PERATURAN@CARA KITA...DAH ALLAH HIDUKAN PUN DAH UNTUNG..

Selangor tetapkan dasar pembangunan tanah | Print |
Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 16 Nov: Bagi membantu rakyat memiliki rumah, Kerajaan Negeri Selangor telah menetapkan dasar khusus bagi pembangunan tanah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad (gambar) memberitahu bagi pembangunan tanah yang melebihi sepuluh ekar dalam kawasan Lembah Klang dikenakan syarat pembinaan dua puluh peratus rumah kos rendah dan sederhana rendah manakala sepuluh peratus pula kepada kos sederhana.

"Bagi kawasan di luar Lembah Klang pula dikenakan syarat pembinaan iaitu dua puluh peratus rumah kos rendah dan sepuluh peratus kepada rumah sederhana rendah dan juga sederhana.

"Manakala bagi pembangunan yang kurang daripada sepuluh ekar iaitu antara dua hingga kurang sepuluh ekar, syarat penyediaan iaitu tiga puluh peratus rumah kos sederhana dikenakan bagi kawasan dalam Lembah Klang," jelasnya.

Selain daripada penetapan komposisi pembangunan perumahan tersebut, harga jualan maksimum terhadap rumah mamnpu milik turut ditetapkan.

katanya, dalam kawasan Majlis Perbandaran (Lembah Klang) RM42 ribu ditetapkan kepada rumah kos rendah, RM72 ribu kepada kos sederhana rendah dan rumah kos sederhana pula ditetapkan kepada RM100 ribu.

Untuk kawasan majlis daerah pula, katanya RM35 ribu ditetapkan kepada rumah kos rendah, RM60 ribu kepada rumah kos sederhana rendah dan RM85 ribu kepada kos sederhana.

Manakala luar kawasan Majlis Daerah ataupun Majlis Perbandaran pula bagi rumah kos rendah telah ditetapkan sebanyak RM30 ribu, RM50 ribu untuk rumah kos sederhana rendah dan RM70 ribu bagi rumah kos sederhana.

Bagi lain-lain jenia bangunan tidak ditetapkan harga untuk semua kawasan yang dibangunkan.

"Disamping dasar sedia ada, kerajaan negeri juga telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Rumah Mampu Milik Selangor konsep baru yang boleh memberi lebih pilihan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah yang lebih selesa dan berkualiti.

"Secara keseluruhannya dari tahun 2005 hingga 2010, Negeri Selangor telah diunjurkan memerlukan kira-kira 432,775 unit rumah bagi menampung kira-kira 7,369,030 orang penduduk pada ketika itu," ujarnya sewaktu menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri Bangi Dr Shafie Abu Bakar sewaktu sesi persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor.

Beliau memberitahu berdasarkan rekod dan angka yang diperolehi, keperluan pembinaan rumah di Negeri Selangor akan dirancang dan dilaksanakan untuk disesuaikan dengan keperluan setempat.

"Satu kajian sedang dilakukan sekarang terhadap perumahan di Selangor masakini. Kajian ini dilakukan oleh Unit Perunding Universiti Malaya yang akan siap pada 31 Disember 2011.

"Sesuatu kelulusan pembangunan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah berdasarkan kepada cadangan pembangunan yang dikemukakan oleh pemaju.

"Kebiasaannya pemaju pula akan membina sesuatu projek perumahan setelah mengambilkira segala keperluan sesuatu kawasan berdasarkan kepada kajian fisibiliti yang dijalankan," katanya lagi.
Katanya, walau bagaimanapun untuk Skim Perumahan Mampu Milik Konsep Baru, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah mensasarkan untuk membina sejumlah sepuluh ribu Rumah Mampu Milik.


PAS Sabah tuntut aktivis Islam dibebaskan | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Nov: PAS Sabah menuntut supaya semua tahanan aktivis Islam di Tawau dibebaskan serta merta tanpa syarat.

Pesuruhjayanya, Mohd Aminuddin Aling berkata, masyarakat seluruh Tawau gempar dengan berita penangkapan 10 pendakwah dan aktivis Islam di daerah itu pada hari Isnin, 14 November lepas.

“PAS Sabah mohon supaya pihak polis mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan kedudukan sebenar supaya berita ini tidak disalah tafsir dan akan menimbulkan pelbagai sangkaan buruk terhadap setiap orang yang ditangkap,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, tangkapan pendakwah dan aktivis Islam dengan perbagai profesion tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman Omar.

Meenurutnya, keluarga atau waris orang yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian yang mereka ditangkap di bawah Seksyen 73(1) AKDN 1960 (ISA).

Katanya, penangkapan tanpa waran, tanpa notis atau dimaklumkan dilakukan di hadapan isteri dan anak-anak terlalu tragis.

Beliau menambah, situasi itu dilakukan oleh pihak polis yang lengkap bersenjata dengan cara yang kasar bagai satu rompakan dan dirampas beberapa komputer riba (laptop) dan sejumlah wang tunai.

“Baru sahaja Perdana Menteri menghebahkan dengan gahnya bahawa ISA akan dimansuhkan kini kelegaan rakyat dikejutkan dengan tangkapan ISA.

“Di manakah kesungguhan Perdana Menteri?

“Jujurkah beliau semasa membuat kenyataan pamansuhan ISA?” tanya beliau

Kini, katanya ISA yang ‘draconian’ (mengerikan) itu menjelma kembali.

Menurutnya lagi, antara yang ditangkap adalah pendakwah yang disegani di seluruh Tawau.

“Apakah tangkapan ini menunjukkan sikap ‘bengis’ kerajaan Umno BN terhadap kerja-kerja Islam?” soalnya lagi.

Menurutnya, masyarakat yang sakit moral kini sangat memerlukan pendakwah, jadi kenapa mereka ditangkap.

Anehnya, kata beliau pembawa punca keruntuhan akhlak dan moral dibiar berleluasa tanpa tindakan yang proaktif.

“PAS Sabah sangat dukacita dan kesal terhadap tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan yang akan menyebabkan porak-poranda kepada seluruh keluarga orang-orang yang ditahan dan sekali gus memberi kesan atau impak yang negatif terhadap masa hadapan anak-anak mereka,” ujarnya.


KPF: Isa bukan peneroka, kakitangan Felda | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) memandang serius dakwaan bahawa pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) sebagai tidak sah dan ‘ikut pintu belakang’.

“Bagi DPP Malaysia, isu ini sangat berat dan perlu disiasat segera kerana dianggap sebagai mengkhianati amanah rakyat khususnya peneroka Felda,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Tambahnya, DPP Malaysia mempersoalkan mengapa perlu campurtangan Perdana Menteri sedangkan KPF mempunyai Ahli Lembaga Pengarahnya sendiri dan mereka mempunyai ahli jawatankuasa yang dilantik dalam mesyuarat agung melalui saluran yang betul.

Sepatutnya, kata beliau Perdana Menteri atau mana-mana menteri yang lain menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Mesyuarat Agung KPF yang telah melantik Datuk Dzulkifli Wahab sebagai pengerusi.

Tambahnya, Isa tidak perlu dilibatkan dalam hal itu kerana beliau tidak ada kena mengena dalam isu KPF dan beliau tidak layak menjadi ahli KPF kerana bukan peneroka dan bukan kakitangan Felda.

“Mengapa kerajaan tidak memikirkan seorang tokoh lain yang ada kaitan rapat dengan Felda untuk diangkat sebagai Pengerusi Felda dan KPF?” soalnya lagi.

Tindakan itu, ujarnya mungkin boleh mengelakkan pertikaian banyak pihak.

Bagi DPP Malaysia, katanya campurtangan politik dalam sesuatu urusan yang berkaitan dengan agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) amat menyusahkan organisasi tersebut.

“Ia juga mengundang keresahan rakyat jelata. Inilah yang menyebabkan banyaknya birokrasi, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, tidak telus, kronisme, campurtangan ‘orang luar’ dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau menambah, dalam keadaan banyak skandal pemimpin negara dibongkarkan termasuk penyelewengan dana projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) serta pembelian kondominum mewah bernilai RM9.8 juta, dan banyak lagi isu lain, DPP Malaysia mengingatkan agar PM mengambil iktibar dan pengajaran berharga.

“Biarkan Felda dan Koperasi Permodalan Felda diuruskan oleh mereka yang benar-benar berhak dan layak bagi menjaga kepentingan semua pihak,” ujarnya.


Dedah beza harga RM500 juta EMU KTMB | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad meminta Menteri Pengangkutan mengemukakan maklumat pembelian komponen utama 38 set Keretapi Unit Gandaan Elektrik (EMU) enam gerabak dari Syarikat Zhuzhou Electric Locomotive Co. Ltd (ZELC).

Beliau berkata, maklumat pembelian ini diperlukan bagi membolehkan beliau menyemak sama ada terdapat penambahan harga yang tidak munasabah atau sebaliknya.

Ini kerana katanya, Timbalan Menteri Pengangkutan, Jelaing Anak Mersat kelmarin mengumumkan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur penyelewengan berhubung pembelian yang dibuat pada tahun lepas ini.

"Saya mohon Menteri Pengangkutan membenarkan saya dan juru perunding yang telah saya lantik untuk menyemak dokumen spesifikasi EMU yang telah dijadikan asas rundingan harga bagi pembelian 38 set EMU enam gerabak dari ZELC," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dzulkefly menegaskan, beliau perlu membuat perbandingan dokumen spefikasi terkini dengan yang terdahulu untuk merungkai dakwaan berlaku ketirisan sehingga RM500 juta dalam pembelian itu.

Beliau mempersoal harga yang ditawarkan ZELC melalui rundingan terus melonjak kepada RM48 juta bagi setiap set EMU enam gerabak berbanding harga tender sebelumnya RM13.725 juta bagi setiap set EMU tiga gerabak.

"Saya percaya rundingan harga dengan ZELC tidak dibuat mengikut spesifikasi asal KTMB memandangkan tender terdahulu telah dibatalkan ada April tahun lalu.

"Mengapa perlu dibatal tender terdahulu sedangkan pemilihan ZELC dibuat berasaskan tender tersebut?" soal beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Ogos lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) mendapati isu ini mempunyai asas dan wajar disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya percaya harga yang amat tinggi yang ditawarkan oleh ZELC termasuk elemen komisyen atau lebih tepat lagi kickback agen tempatan," katanya yang mula membangkitkan isu tersebut Jun tahun lalu.


Anak luar nikah: Umno tidak relevan didik rakyat | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Umno telah gagal untuk mendidik rakyat ke arah hidup yang lebih seimbang dan tidak bermoral, kata Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din.

Katanya, Umno sentiasa mendakwa bahawa hanya mereka yang boleh menjaga umat Islam di negara ini tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

Ini, katanya membuktikan kegagalan Umno untuk melaksanakan amanah mentadbir generasi muda di negara ini.

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas media hari ini yang melaporkan bahawa seramai 152,182 anak luar nikah atau anak tak sah taraf direkodkan antara tahun 2008 dan 2010 yang memetik kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie.

“Apa yang berlaku adalah kerana dasar pendidikan kita yang gagal dalam mengeluarkan insan yang mampu merubah masyarakat, kementerian yang terbabit diseru melihat kepada angka ini dengan serius.

“Kita percaya seluruh rakyat Malaysia mahukan dasar pendidikan yang lebih ‘bermakna’ dalam kehidupan mereka dan bukan hanya mnegejar kecermelangan akademik sahaja semata-mata” kata beliau lagi,” katanya.

Tambahnya, Umno tidak serius menangani masalah sosial, pandangan para ulamak tidak menjadi keutamaan dalam membuat keputusan, konsert-konsert yang tidak bermoral masih berleluasa, rakyat dihidangkan dengan kehidupan yang melangkaui batasan tanpa pemantauan yang sewajarnya melalui media massa sama ada surat khabar atau televisyen.

“Inilah akibat apabila Islam tidak dijadikan asas utama dalam perjuangan, media arus utama terutamanya televisyen dan pembikinan filem lebih cenderung menghidangkan pengisian-pengisian yang tidak sepatutnya, rakyat menjadi lalai untuk mengenali tujuan manusia dicipta oleh Allah s.w.t di atas muka bumi ini,” ujar beliau lagi.

Tiada ulasan: