KUALA LUMPUR, 9 Nov: Adakah Datin Paduka Marina Mahathir juga dajal di sisi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kerana menyokong dan pernah merasmikan program Seksualiti Merdeka sebelum ini? Ketika membangkitkan persoalan itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau hairan mengapa Marina tidak didajalkan oleh Perkasa atau mana-mana "pertubuhan rasis yang setiap hari berbohong kononnya memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam". "Mengapa tidak ada seorang pun dari gerombolan itu yang mendajalkan, menuntut supaya dilucutkan kewarganegaraan Marina dan dihalau dari negara ini? "Tak tahulah kalau-kalau (bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) yang dilaporkan sebagai penaung Perkasa atau (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk) Mukhriz (Mahathir) yang akan tampil sebagai junjungan besar puak itu dan mendajalkan serta menuntut dilucutkan kewarganegaraan Marina serta dihalau dari negara ini. "Maklumlah, sebelum ini Perkasa melabelkan Ambiga sebagai dajal dan menuntut supaya ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menyokong program songsang itu dan beberapa pertubuhan rasis pula menuntut dilucutkan kewarganegaraannya dan dihalau dari negara ini," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu. Mahfuz menyifatkan sifat membisu pertubuhan-pertubuhan rasis dan pembohong itu terhadap Marina sebagai bukti yang tidak dapat disangkal lagi yang memperjelaskan kepada rakyat bahawa penentangan mereka terhadap Seksualiti Merdeka bukan didorong oleh kesedaran agama dan moral tetapi semata-mata diapi-apikan oleh hawa nafsu oportunis untuk menghukum Ambiga yang pernah terlibat menuntut pilihan raya adil dan bersih. "Bila anak Dr Mahathir bertegas dengan pendiriannya, mereka tutup mulut rapat-rapat. Sikap dan perangai mereka jelas membuktikan bahawa bukan Tuhan, halal haram dan akhlak yang menjadi perkiraan dan penyebab tindakan mereka. "Apa mereka peduli tentang Tuhan, halal haram dan akhlak sedangkan tidak henti-henti nafsu oportunis mereka menggasak upah dari pemimpin-pemimpin perasuah dan perompak harta negara?" tegas beliau. Pertubuhan-pertubuhan rasis itu, kata Mahfuz, tidak pernah lantang pun sebelum ini tentang keruntuhan akhlak dan kebejatan moral. "Bersepah-sepah kelab-kelab maksiat, lorong maksiat serta sarang pelacuran dan pondan, mereka tidak ambil peduli, kerajaan tidak ambil peduli dan polis juga tidak mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan sebarang pengharaman. "Agaknya kerana Ambiga tidak merasmikan kelab, lorong dan sarang-sarang itu," sindir beliau. Mahfuz yakin, sebahagian besar rakyat merasa amat jijik apabila orang-orang yang diketahui umum sebagai pemakan upah dan pembodek pemimpin-pemimpin perasuah dan perompak harta negara bercakap tentang ugama semata-mata untuk mengapi-apikan sentimen umat Islam. "Dengan penglibatan Ambiga merasmikan Seksualiti Merdeka, dapatlah juga mereka bercakap fasal agama dan akhlak walaupun nampak sangat penuh kepalsuan dan bercakap semata-mata demi kepentingan perut dan nafsu mereka. "Kalau tidak, mereka asyik memikirkan cara-cara untuk menggasak upah dari pemimpin perasuah dan perompak harta negara. Itu sahaja kerja mereka, tak habis-habis," katanya lagi. Mahfuz berharap umat Islam yang menolak dan menentang Seksualiti Merdeka melakukannya semata-mata dengan niat untuk menjunjung peraturan dan ajaran Allah serta mencari keredhaan-Nya.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 9 Nov: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas ) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan menolak permohonan pihak Syabas untuk memenjarakan Ahmad Lutfi Othman dan peguam Kerajaan Selangor, Fahdah Nur Ahmad Kamal di atas dakwaan menghina mahkamah. Pada 5 Julai lalu, Hakim Tuan Mohamad Arif Md Yusuf menolak permohonan Syabas yang mendakwa artikel Harakah yang bertajuk 'SAR bantu kempen bantah kenaikan tarif air ' adalah satu penghinaan mahkamah. Mohamad Arif di dalam keputusannya memutuskan artikel tersebut bukan satu penghinaan kepada mahkamah meskipun ianya diterbitkan dalam keadaan kes Syabas menyaman Kerajaan Selangor masih dalam proses mahkamah. Hakim tersebut memutuskan artikel Harakah tersebut adalah menyentuh kepentingan awam dan Ahmad Lutfi dan Fahdah dilindungi oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara yang merangkumi kebebasan media. Beliau juga mengarahkan Syabas membayar kos RM20,000 kepada Ahmad Lutfi dan RM20,000 kepada Fahdah. Ketika menolak rayuan pihak Syabas, hakim-hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Zainon Ali, Datuk Ramly Ali dan Datuk Zaharah Ibrahim memutuskan bahawa mereka tidak nampak wujudnya kesilapan di dalam keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan enggan mengganggu keputusan tersebut. Mahkamah Rayuan juga memutuskan supaya Syabas membayar kos RM60,000 iaitu RM30,000 kepada Ahmad Lutfi dan Fahdah. Ahmad Lutfi diwakili oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin (gambar atas) manakala Fahdah pula diwakili peguam Tommy Thomas.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 9 Nov: Dewan Ulamak PAS Pusat amat berdukacita terhadap apa yang berlaku di Syria yang melibatkan lebih 3,500 rakyat negara itu dibunuh. “Kita amat berdukacita terhadap apa yang berlaku, khususnya apabila melibatkan negara umat Islam,” ujar penolong setiausaha dewan itu, Ustaz Nazmi Nik Din. Beliau mengulas al-Jazeera yang memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia menyatakan bahawa sejak bulan Mac yang lalu, jumlah rakyat Syria yang telah dibunuh sepanjang konflik yang berlaku di negara itu telah melebihi 3,500 orang. Sehubungan itu, Dewan Ulamak PAS Pusat mendesak Pertubuhan Negara Persidangan Islam (OIC ) yang mana Malaysia adalah salah satu anggotanya agar memainkan peranan yang sewajibnya agar pembunuhan tersebut dapat dihentikan sesegera mungkin. Ini, katanya adalah kerana apa yang berlaku di sana turut akan memberikan kesan kepada umat Islam di negara ini kerana umat Islam adalah bersaudara. “Kita mahu Malaysia bertindak memainkan peranan yang lebih ke hadapan dan efisien dalam menyelesaikan kemelut di Syria, walaupun kita tahu kemampuan negara kita agak terbatas dalam memberikan tekanan namun sekurang-kurangnya kita menyatakan pandangan dan pendirian kita. “Mana mungkin kita hanya melihat sahaja dengan mata kita sedangkan saudara kita dibunuh saban hari tanpa belas kasihan,” tegas beliau lagi.
Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 9 Nov: Pakatan Rakyat menggesa pemimpin BN berhenti membuat promosi kononnya harga produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) lebih murah dan menjimatkan kerana perbandingan harga yang dibuat menunjukkan sebaliknya. Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, tinjauan harga yang dibuat di KR1M dan pasaraya Carrefour menunjukkan perbezaan harga yang kecil malah ada sesetengah produk di Carrefour lebih murah berbanding di KR1M. "Dalam pada sesetengah produk lebih murah di KR1M, ada produk yang jauh lebih murah di Carrefour iaitu 30 hingga 50 peratus," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. Beliau turut membawa pencuci lantai serbaguna dan cecair peluntur KR1M yang harganya lebih mahal berbanding di Carrefour serta mengedarkan salinan senarai harga produk KR1M yang lebih mahal berbanding pasaraya lain. "Untuk 1 liter cecair peluntur KR1M, harganya RM1.90 iaitu 30 peratus penjimatan tetapi bila pergi ke Carrefour atau Tesco, harganya cuma RM1.29 iaitu 40 peratus lebih jimat daripada KR1M," katanya sambil menunjukkan produk tersebut kepada pemberita. Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pada sidang media sama mempersoal peruntukan RM40 juta untuk KR1M yang didakwa tersasar daripada tujuan sebenar kewujudannya. Beliau berkata, sangat malang apabila kerajaan memperuntukkan dana yang besar dengan alasan untuk meringankan beban rakyat namun pada masa yang sama melakukan penipuan harga. "Bagaimana kerajaan membelanjakan RM40 juta ke arah mewujudkan 85 unit KR1M apabila di lapangan harga yang ditawarkan adalah jauh menyasar daripada pengumuman? "Iklan yang dibuat oleh GTP serta pengumuman kementerian tidak terlalu kasar jikalau hakikat sebegini dikatakan adalah satu bentuk penipuan kepada rakyat," katanya. Selain itu turut dipersoal mengenai tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mewujudkan Kedai Rakyat MAIWP Oktober lalu yang dikatakan menawarkan harga rendah sehingga 40 peratus daripada pasaran biasa bagi membantu rakyat di sekitar ibu kota terutama golongan asnaf dan rakyat termiskin. Sedangkan katanya sudah terbukti dakwaan produk jenama 1Malaysia mempunyai kualiti setanding dengan pasaran biasa adalah satu penipuan. "Bagaimana pihak MAIWP menjustifikasi penggunaan duit rakyat dalam mewujudkan kedai-kedai ini? "Berapakah jumlah dana yang akan diguna, berapa jumlah kedai yang akan diwujudkan, dan dari sumber apakah dana ini diambil?" soalnya. Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata tiada gunanya kerajaan mempunyai hasrat yang murni untuk membantu rakyat tetapi pelaksanaannya tidak menunjukkan demikian. "Kerajaan tidak ada pertanggungjawaban dalam memastikan pelaksaannya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. "Apa gunanya kalau produk yang sama, harga lebih tinggi tetapi cuma ditulis 'dibungkus oleh Kedai Rakyat 1Malaysia', katanya.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 9 Nov: Sekumpulan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertindak mengahantar memorandum kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ekoran isu lambakan graduan ijazah pendidikan yang 'dianak tiri' dan tidak diserap sebagai guru.
Kumpulan sembilan orang yang mewakili Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) UPSI itu menyerahkan memorandum tersebut kepada Timbalan Menteri, Datuk Ir Dr. Wee Ka Siong di parlimen hari ini.
Penyerahan itu diketuai jurucakap LMP Mohd Fauzie Mando, koordinator Amirul Afzan dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Afiq Fikri Mislan.
Antara lain memorandum itu menuntut menteri memberi jaminan 'posting' kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).
Mereka juga mahu graduan ISMP diberi keutamaan berbanding Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) dan guru Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) serta Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI).
"Kenapa orang KPM dan GSTT sahaja diterima tapi kami dianak tiri.
"Sedangkan kami secara langsung diberi latihan orientasi sekolah dan praktikel," kata Fauzie sambil menyifatkan pengajian empat tahun mereka seperti sia-sia.
Selain itu mereka juga mahu kerajaan memberi pengiktirafan lebih kepada graduan pendidikan disamping menghentikan pengambilan guru GSTT.
Pada 3 November lalu, hampir 1,000 mahasiswa universiti itu mengadakan demonstrasi berikutan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengarahkan graduan UPSI "cari kerja lain".
Kenyataan berkenaan telah menimbulkan kemarahan ribuan graduan dan bakal graduan di UPSI dan kampus-kampus lain.
Sementara itu, mereka juga mengadakan bantahan melalui Facebook atas nama GGIM atau Gabungan Graduan ISMP Malaysia.
Menurut mereka, lebih 7,000 graduan pendidikan sekarang ini terpaksa menganggur sejak setahun lalu.
Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 9 Nov: Pakatan Rakyat menyifatkan laporan akhbar harian Utusan Malaysia kononnya DAP akan mengurangkan saiz perkhidmatan awam yang didominasi orang Melayu sebagai satu lagi usaha jahat dan rasis. Sebaliknya, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, cadangan untuk mengurangkan saiz perkhidmatan awam tidak terkandung dalam Buku Jingga dan Belanjawan Pakatan Rakyat 2012. Umno BN dakwanya tidak cuba memahami kenyataan penuh Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua minggu lalu sebaliknya cuba memanipulasi kenyataan tersebut. "Jelas apa yang dimainkan media Umno BN menjelang pilihan raya umum menjurus ke arah memujudkan kebencian orang Melayu terhadap DAP. "Sedangkan dalam mana-mana dokumen Pakatan Rakyat tidak pernah sebut mengenai perkara ini," kata Salahuddin pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. Menafikan tuduhan jahat media milik Umno BN itu, Salahuddin menjelaskan, Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 mengiktiraf peranan utama yang dimainkan pegawai dan kakitangan awam dalam merealisasikan dasar yang ditetapkan. Namun katanya, pegawai dan kakitangan awam mestilah melaksanakan tanggungjawab berdasarkan piawaian yang diaspirasikan oleh rakyat Malaysia, iaitu mereka perlu bertugas dengan gigih serta berkualiti tinggi, membantu melaksanakan dasar-dasar dengan penuh iltizam serta mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh peraturan kakitangan perkhidmatan awam. "Kedudukan 1.2 juta pegawai dan kakitangan awam adalah terjamin seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia di bawab perkara 132: Perkhidmatan-perkhidmatan Awam dan Perkara 135: Sekatan mengenai pembuangan kerja dan penurunan pangkat," jelasnya. Menyokong penjelasan tersebut, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkara tersebut disebutkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Program Transformasi Kerajaan. "Perkara 266 Fasa 31 ada disebutkan mengurangkan saiz kakitangan awam. Jadi jelas media punya niat jahat sedangkan perkara ini disebut sendiri secara hitam putih oleh Perdana Menteri," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor sambil menunjukkan buku Program Transformasi Kerajaan itu. Justeru Salahuddin meminta Jabatan Perdana Menteri menerangkan maksud Perdana Menteri untuk mengurangkan saiz kakitangan awam itu. "Saya minta JPM beri definisi apa maksud mengecilkan saiz kerajaan seperti yang terkandung dalam buku ini. Jangan lari daripada tajuk," katanya. Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 9 Nov: Undang-undang dan pusat-pusat pemulihan yang ada pada hari ini tidak memadai bagi menyedar dan menakutkan mereka yang terus bergelumang dengan dosa dan noda membuang bayi. “Saya percaya, undang-undang dan pusat-pusat pemulihan tidak memadai bagi menyedar dan menakutkan mereka daripada terus bergelumang dengan dosa dan noda, tetapi kekuatan suara masyarakat awam mengecam dan memandang jijik perbuatan tidak senonoh mereka yang berzina dan tidak bertanggungjawab itu boleh membuat mereka berfikir dua kali untuk melakukannya,” kata Ketua Wanita dan Keluarga Isma Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Norsaleha Mohd Salleh dalam satu kenyataan. Beliau merujuk laporan Berita Harian bertarikh 7 Nov 2011 yang dipetik daripada hasil temuramah dengan Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berkaitan 73 kes buang bayi yang dilaporkan sejak Januari hingga Ogos lalu melibatkan 44 bayi ditemui mati, manakala 29 masih hidup. Daripada keseluruhan kes pembuangan bayi tahun ini, 26 daripadanya adalah lelaki, 30 perempuan selain 17 lagi tidak dapat dikenal pasti jantinanya kerana sudah reput. Malah, semakan Berita Harian mendapati, sekurang-kurangnya 10 lagi kes pembuangan bayi dilaporkan sepanjang dua bulan lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes tahun ini hampir menyamai 91 kes sepanjang 2010. “Laporan ini perlu dipandang serius oleh seluruh lapisan masyarakat, ibu bapa, guru-guru, majikan dan badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan,” ujar Norsaleha lagi. Katanya, tiba masanya semua agensi kerajaan, swasta dan badan agama berganding bahu membenteras gejala ini dengan melakukan berbagai-bagai-bagai tindakan yang boleh mencegah dan mengawal daripada terus bertambah parah. Menurutnya, kesatuan suara yang ditunjukkan oleh berbagai-bagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta dan badan kerajaan dalam menangani sesuatu isu dan kes seperti isu seksualiti merdeka dilihat telah berjaya menarik perhatian masyarakat dan pihak berkuasa untuk membuat tindakan yang sewajarnya. “Hari ini, saya menyeru semua NGO, badan-badan agama untuk mengambil posisi membuat desakan demi desakan bagi memerangi gejala buang bayi yang tidak berperikemanusiaan ini,” ujarnya. Beliau menambah, gejala seumpama itu boleh dikawal sekiranya semua masyarakat dan pihak berkuasa mengambil tanggungjawab menghalang segala bentuk maksiat dan kebebasan seksual yang amalkan oleh golongan muda mudi kita di tempat-tempat awam, pesta-pesta hiburan, hari kekasih, sambutan tahun baru dan lain-lain lagi. “Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan membuang bayi yang tidak berdosa dan menganggap perbuatan tersebut di luar norma kemanusiaan bahkan binatang sendiri tidak tergamak melakukan yang sedemikian. “Oleh itu, saya menyeru seluruh masyarakat yang berbilang kaum dan agama untuk sama-sama mengutuk dan mengecam perbuatan tersebut dan perkara-perkara maksiat yang boleh membawa kepada tragedi buang bayi,” katanya. | | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan