Rabu, 30 November 2011

BERHIJRAH TU JADI WAJIB...BAGI MENINGGALKAN KERJA2 MUNGKAR@AMALAN AHLI2 NERAKA...KE KERJA2 MAKRUF@AMALAN2 AHLI SYURGA..DEGIL JUGA BAGAI IBLIS LAH KITA

Soberi Shafii saman Facebooker sebar fitnah | Print |
Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 30 Nov: Gara-gara mengaibkan seseorang menggunakan facebook, seorang facebooker, KG JAMBU MERAH MELOR (KJMM) bakal berdepan dengan tindakan mahkamah.

Petang semalam mantan Ketua Pemuda Umno Ketereh, Mohd Soberi Shafii membuat laporan polis terhadap facebooker terbabit di ibu pejabat Polis Daerah Kota Bharu di Pengkalan Chepa.

Mohd Soberi berkata, berdasar penyelidikan yang dibuat dapati KJMM dipunyai akaun seorang pensyarah di Politeknik Kok Lanas yang beralamat di Bt 12, Jalan Pasir Puteh, Melor.

“Fitnah yang dimuatkan dalam facebooknya telah menjatuhkan maruah saya. Kemungkinan facebooker terbabit mahu menghalang saya kerana sering menggunakan pentas ceramah mendedahkan isu-isu rasuah,” katanya di sini.

Tulisan tersebut dimuat turun dalam laman sosial berkumpulan Umnotumpas menyebut “Lo ni hok ambo tahu MSS ambik komisen RM2 juto…Buat Projek jalan kat K.Lanas” dan satu lagi “Gapo dia fungsi MSS ini…Biso sampai ore bui 2 juto“.

Soberi berkata, facebook terbabit menggunakan nama samaran bagi menyebarkan fitnah terhadapnya.

Menurutnya juga notis saman terhadap facebooker terbabit akan dihantar peguamnya.

“Sekiranya dia gagal untuk menunjukkan bukti, saya akan meneruskan saman pemula dan menyserah kepada mahkamah untuk menentukan kebenaran,” katanya.

Beliau juga memberitahu sudah melapor kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat siapa sebenarnya yang mendapat komisen projek pembinaan jalan tersebut.


Pemuda PAS saran terbit filem positif, ilmiah | Print |
Khaulah Azwar

GOMBAK, 30 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa penerbit filem negara memikirkan untuk mengeluarkan filem yang berunsur positif sebelum untuk ditonton oleh masyarakat umum.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, rakyat khususnya ibu bapa dihantui perasaan bimbang apabila menonton filem yang diterbitkan hari ini langsung tidak menyerapkan unsur-unsur positif dan ilmiah.

“Saya tidak tahu bagaimana pihak penerbit boleh mengeluarkan filem-filem yang berunsurkan seks, tahyul, mat rempit, dan sebagainya yang telah disajikan kepada masyarakat tanpa memikirkan kesan akan datang kepada golongan muda khususnya,” ujarnya pada Majlis Maal Hijrah di Masjid Kampung Nakhoda, petang semalam. Turut menjadi panel ialah artis Catriona Ross.

Katanya lagi, masyarakat yang sememangnya mudah terpengaruh dengan aksi-aksi yang dipaparkan melalui filem-filem seperti dan ingin mencuba.

Bahkan, ujarnya ada filem komedi dan berunsur khayalan yang mempermainkan kalimah syahadah yang merupakan isu sangat sensitif di sisi Islam.

“Pada hal Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) yang dikatakan mempunyai panduan penapisan filem seharusnya dapat menghalusi dan melihat implikasi hasil daripada penayangan setiap filem yang hendak diberi kelulusan tayangan.

“PAS berharap jangan hendaknya industri filem di negara ini mulai cenderung untuk menghasilkan karya secara bebas seperti pengusaha filem Barat sehingga sensitiviti agama dan nilai sakral yang ada pada masyarakat timur diketepikan hanya kerana mahu bersaing dan setaraf dengan industri perfileman Barat,” katanya.

Secara jujur, beliau kecewa dengan filem-filem yang kepada masyarakat hari ini.

Beliau juga menggesa masyarakat agar bersama dengan Kerajaan Selangor yang berusaha mengatasi masalah gejala sosial di kalangan belia seterusnya melahirkan Generasi Idaman Selangor (GeMS).

“Kami sentiasa memberi kerjasama dengan semua badan NGO, masjid dan surau dengan menganjurkan pelbagai program pendekatan rakyat terutamanya mendekati golongan beliawanis agar mereka tidak rasa disingkirkan,” ujarnya.

Rumah hadiah Kelantan kepada ‘Apek’ siap | Print |
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 30 Nov: Kediaman khas untuk penjaga gawang pasukan bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat atau ‘Apek’ yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kini siap sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood (gambar), berkata majlis penyerahan akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di Kota Darulnaim, di sini sebentar tadi.

“Kebetulan semalam pegawai dari Syarikat Binaraya milik PKINK menghubungi saya memberitahu kediaman untuk Khairul Fahmi sudah siap sepenuhnya.

“Bagaimanapun kita terpaksa menentukan tarikh yang sesuai antara Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Khairul Fahmi sendiri,” ujarnya.

Fatah seterusnya memberitahu, Tuan Guru mencadangkan majlis jamuan diadakan pada hari berkenaan sebagai tanda kesyukuran.

Tahun lalu, kerajaan negeri mengisytiharkan untuk menyerahkan sebuah rumah kepada bintang bola sepak itu berikutan kecemerlangannya pada Kejohanan Piala Suzuki AFF yang menyaksikan pasukan negara muncul juara.

Kediaman berkenaan terletak di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa setelah ia mula didirikan tahun ini.

Menjawab soalan, beliau memberitahu kediaman berkenaan tiada kaitan dengan masaalah peribadi jaguh bola sepak berkenaan sebelum ini.

“Bagaimanapun kita berharap beliau lebih berhati-hati selepas ini kerana sebagai seorang bintang sahsiah diri perlu dijaga sebagaimana yang dikehendaki oleh kerajaan negeri khususnya Tuan Guru.

“Golongan ini menjadi cermin masyarakat, kerana itu mereka perlu menonjol syahsiah yang murni. Untuk itu kami juga mengharapkan bantuan para media supaya membantu kerajaan negeri untuk mengingatkan mereka agar lebih berhati-hati,” ujarnya.


PRU 13: Apa maksud Najib kata ‘luar biasa’ | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) merasa terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya jentera Umno bersiap sedia menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 yang disifatkan sebagai ‘luar biasa’ dengan tindakan ‘luar biasa’.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, DPP Malaysia menganggap kenyataan Datuk Seri Najib sebagai bahaya kerana boleh disalah tafsir oleh pelbagai pihak, memandangkan beliau adalah Perdana Menteri dan mempunyai kuasa di negara ini.

“DPP Malaysia hairan, bagaimana ungkapan sedemikian boleh keluar dari mulut Perdana Menteri Malaysia,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, walaupun ia diucapkan terhadap jentera dalaman Umno, namun ia sudah menjadi berita yang semua rakyat membaca dengan pelbagai persepsi.

Bagi sesetengah pihak, ujarnya ucapan Najib boleh memberi makna akan berlaku sesuatu yang buruk terhadap rakyat dan negara.

Justeru, katanya DPP Malaysia mempersoalkan, apakah PM sudah meramalkan sesuatu yang luar dari kebiasaan akan berlaku dalam PRU ke 13 kali ini.

“Mungkinkah akan berlaku insiden-insiden buruk dalam PRU ke 13 nanti?” tanya beliau lagi.

Bagi DPP Malaysia, ujarnya ucapan itu tidak sepatutnya keluar dari mulut Perdana Menteri, seakan-akan mengejutkan serta memakutkan rakyat.

Sepatutnya, beliau berkata Najib menenangkan rakyat dengan jaminan PRU ke 13 adalah PRU yang terbaik, paling aman, serta berlangsung dalam suasana penuh demokrasi.

Untuk itu, tambahnya DPP Malaysia telah sedia mempersiapkan jentera pemuda PAS diseluruh peringkat juga dengan persiapan ‘luar biasa’.

“Kali ini seluruh jentera pemuda PAS diingatkan supaya bersedia menghadapi apa juga serangan yang bakal dilakukan oleh Umno BN dalam pelbagai bentuk,” ujarnya.

Menurutnya, sudah 12 kali PRU dihadapi, dan sudah acap kali juga serangan bertali arus dikenakan terhadap jentera PAS khususnya pemuda PAS di seluruh negara.

Malah, ujarnya pemuda PAS pernah dipukul seperti di Pilihan Raya Kecil Ijok, Bagan Pinang dan lain-lain lagi.

Tambahan pula, katanya PRU ke 13 nanti akan berlangsung dalam suasana sistem pilihan raya yang masih tempang dan pincang dan dalam keadaan demokrasi yang kontang dari kebenaran.

Justeru, katanya tidak hairanlah jika berlaku sekali lagi manipulasi undi, undi pos yang meningkat mendadak, pengundi hantu yang kembali turun mengundi, beli undi, rasuah pilihanraya, rakyat negara asing yang turun mengundi, fitnah melalui media, akses media yang berat sebelah dan lain-lain lagi.

“Semua insiden ini pernah berlaku sebelum ini dan tidak mustahil akan berlaku lagi nanti.

“Insya Allah, DPP Malaysia telah mempersiapkan mental kesemua petugas dengan kesemua kemungkinan sesuatu yang ‘luar biasa’ yang akan berlaku,” katanya lagi.

Beliau menambah, PRU 13 adalah masa terbaik untuk menukar kerajaan yang sudah tamat tempoh.

“Selamatkan Malaysia dari pemimpin yang korup, rasuah dan mementingkan diri sendiri,” katanya.


Selebriti usah rasa gentar untuk ‘berhijrah’ | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 30 Nov: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengajak para artis dan selebriti tempatan agar segera ‘berhijrah’ dengan menjadi insan mukmin yang soleh dan bertaqwa kepada Allah SWT.

“Hijrah ini penting sebagai usaha mengajak dan mendidik masyarakat untuk menjadi generasi yang berakhlak mulia di negara ini,” kata Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) DPPWP, Fadhil Osman.

Bagi DPPWP, katanya para artis serta selebriti adalah golongan yang menjadi idola dan ikon masyarakat.

Menurutnya, mereka digilai oleh ribuan anak-anak muda yang ingin melihat aksi mereka dalam dunia hiburan.

Katanya, setiap pergerakan mereka pasti dalam pengetahuan peminat fanatik mereka.

Justeru, ujarnya para artis atau selebriti adalah umpama magnet yang boleh menarik anak-anak muda di negara ini ke mana sahaja.

“Apa yang mendukacitakan, ada kalangan artis atau selebriti tempatan tidak menunjukkan contoh yang baik terhadap masyarakat,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, meskipun jumlah mereka tidak ramai, namun gejala negatif yang dilakukan oleh mereka turut menjadi ikutan para peminat.

Antaranya, kata beliau seperti penyalahgunaan dadah, bersekedudukan, jenayah, budaya hidup sosial yang melampau serta berpakaian yang menjolok mata.

Justeru, ujarnya penghijrahan mereka akan menarik sama anak-anak muda untuk turut jejak langkah mereka.

Jelasnya, DPPWP tidak pula bermaksud meminta para artis meninggalkan dunia hiburan yang mereka ceburi kerana mungkin ia telah menjadi sumber pendapatan mereka, namun apa yang penting adalah mereka menjadi insan teladan yang baik dan boleh dicontohi oleh masyarakat.

“Dalam hal ini, DPPWP memuji beberapa orang artis yang telah berhijrah seperti Catriona Ross, Bob Lokman, Sham Kamikaze, Iwan, Wardina, Irma Hasmie serta beberapa orang artis wanita yang telah mengubah penampilan dengan memakai pakaian menutup aurat dan menjaga solat,” katanya.

Beliau menambah, meskipun mereka masih berlakon dan aktif dalam dunia seni, mereka tidak mengabaikan syariat Islam.

Bahkan, kata beliau imej baik itu akan menjadi contoh teladan yang baik para artis Malaysia di pentas antarabangsa.

DPPWP juga, ujarnya mengharapkan agar para artis dan selebriti tidak merasa gentar terhadap usaha penghijrahan.

“Insya Allah, perubahan pada penampilan tidak akan merencatkan rezeki mereka, malah rezeki akan lebih mencurah-curah.

“Daripada pentas lakonan sehingga ke masjid-masjid, para artis yang telah berhijrah ini akan dijemput untuk memberi perkongsian serta persembahan,” ujarnya.


RUU himpunan: Wujud agenda ‘membebal’ masyarakat | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sekali lagi mengulangi bantahannya terhadap penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman 2011 di parlimen, semalam.

Presidennya, Amidi Abd Rahman berkata, Abim menilai penggubalan undang-undang itu seakan tidak menghiraukan sensitiviti serta pandangan yang diketengahkan oleh pelbagai pihak berhubung implikasi negatif yang bakal dicorakkan menerusi kelulusan undang-undang itu.

“Dalam hal ini, Abim amat menyesali sikap tertutup kerajaan yang enggan membicarakan penggubalan rang undang-undang ini secara terbuka dan meluas sambil membabitkan konsultasi awam dan suara masyarakat sivil di negara ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, Abim memandang keengganan tersebut bertentangan sama sekali dengan komitmen keterbukaan yang menjadi intipati agenda perubahan yang dilaungkan oleh pihak kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, Abim menanggapi pendekatan tersebut tidak lain dan tidak bukan, seakan menzahirkan wujudnya agenda ‘pembebalan’ ke atas masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi, dengan menutup serta menafikan sama sekali ruang ekspresi bersuara di kalangan rakyat.

Beliau menambah, adalah amat menyedihkan kerana ia hanya akan menghalang kepada perkembangan wacana demokrasi dan kenegaraan yang sihat serta progresif di negara ini.

Tegasnya, demokrasi merupakan intipati penting kepada perkembangan sesebuah negara maju.

Katanya lagi, lunas-lunas demokrasi meraikan sebarang perbezaan pendapat dengan menjamin kebebasan bersuara di peringkat akar rumput.

Demokrasi juga, jelasnya merupakan wahana penting yang merapatkan jurang di antara rakyat dan pemerintah menerusi komunikasi dua hala rakyat-pemerintah dan rakyat-pemerintah.

“Kelulusan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 sekaligus menafikan fungsi serta potensi demokrasi itu sendiri sebagai agen perkembangan ekonomi dan politik di negara ini,” katanya lagi.

Baginya, adalah amat malang amalan demokrasi dinafikan di atas nama prerogatif menjaga ketenteraman awam, walhal ia (demokrasi) merupakan wahana paling berpengaruh dalam menjamin keamanan serta kestabilan politik di sesebuah negara.

“Menilai implikasi-implikasi tersebut, Abim ingin mengulangi gesaan agar rang undang-undang ini ditarik balik,” ujarnya.

Abim juga, katanya menggesa pihak kerajaan agar bersikap terbuka terhadap sebarang teguran serta mengadakan konsultasi awam sebelum menggubal sebarang undang-undang di masa akan datang.

Tiada ulasan: