KUALA LUMPUR, 3 Nov: Pakatan Rakyat mengesyaki terdapat ‘muslihat politik’ apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) enggan meluluskan permohonan pendaftaran mereka untuk menjadi satu parti. Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke berkata, ROS sengaja tidak mahu meluluskan pendaftaran Pakatan Rakyat kerana takut mereka menjadi satu gaubungan yang kuat dalam pilihan raya umum ke-13. Mereka (ROS) sengaja tidak mahu mendaftarkan Pakatan Rakyat kerana takut kita akan menjadi satu entiti yang kuat untuk mencabar BN. "Untuk pilihan raya akan datang, kita tidak boleh letak calon Pakatan tapi letak calon PAS, DAP dan PKR kerana belum berdaftar. Saya lihat ini ada muslihat politik," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menyelar jawapan Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Osman baru-baru ini bahawa pedaftaran Pakatan Rakyat tidak diluluskan kerana mereka tidak membuat permohonan baru selepas pengerusi Pakatan waktu itu, Datuk Zaid Ibrahim keluar parti. "Majlis Presiden Pakatan kesal dengan kenyataan tersebut kerana Pakatan telah ambil langkah yang perlu sejurus Datuk Zaid tinggalkan Pakatan. "Kita lantik pengerusi Pakatan Rakyat yang baru iaitu Ahli Perlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaffar menggantikan Datuk Zaid," katanya yang juga Ahli Parlimen Machang. Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun lalu, mereka sering mengadakan pertemuan dengan pihak ROS untuk mengetahu perkembangan mengenai permohonan tersebut tapi gagal mendapatkan sebarang jawapan. ROS, katanya masih memberi alasan bahawa permohonan lama Pakatan Rakyat iaitu sewaktu Zaid masih bersama PKR masih belum diluluskan dan Pakatan tidak membuat permohonan baru. "Mengikut perlembagaan Pakatan Rakyat, sesiapa yang keluar parti, kedudukannya sebagai pengerusi akan terbatal. Jadi tiada masalah dalam hal itu," katanya. Sehubungan itu katanya, Majlis Presiden Pakatan yang bermesyuarat petang semalam memutuskan untuk membuat keputusan baru sekiranya permohonan mereka masih tergantung. "Sekarang kita buat keputusan untuk teruskan permohonan tapi kalau tidak ada jawapan juga, kita akan putuskan tindakan baru," katanya. Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr, Hatta Ramli pula berkata, tindakan ROS itu menggambarkan kelemahan pegawai-pegawai kerajaan menjalankan tugas. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, ROS sepatutnya memaklumkan kepada Pakatan sekiranya terdapat kesalahan dalam borang permohonan atau sebagainya. "Kalau ada sebarang kesilapan dalam permohonan atau perlu maklumat biasanya mereka akan hubungi pemohon tapi tiba-tiba kata tak hantar permohonan baru sedangkan pertukaran individu dalam jawatankuasa penaja adalah perkara biasa. "Ini memberi gambaran yang tidak baik kepada pegawai kerajaan dan ada orang yang dijadikan mangsa," katanya.
Muhammad Faizal | SHAH ALAM, 3 Nov: Himpunan yang dianjurkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di sini hari ini menyaksikan pekerja-pekerja kilang hadir memberi sokongan kepada perjuangan yang dibawa oleh MTUC terhadap Akta Kerja 1955 yang dilihat telah merampas hak pekerja.
Akta yang telah diluluskan di parlimen pada 6 Oktober yang lepas menyaksikan kerajaan akan mengembalikan sistem kontrak yang telah dihapuskan oleh penjajah British sewaktu Akta Kerja digubal pada tahun 1955 dulu.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang turut hadir memberi sokongan kepada tuntutan hak pekerja itu berkata, akta tersebut dibuat secara haram tanpa mempedulikan hak pekerja di negara ini.
"Sambutan amat baik sekali kita lihat pada hari ini begitu juga sokongan pekerja-pekerja yang balik dari kerja dan mereka singgah bagi memberi sokongan agar kerajaan menarik balik akta yang zalim itu.
"Saya melihat akta ini dibuat secara haram tanpa mempedulikan hak seorang pekerja, yang mana kita lihat kelulusan yang diperolehi oleh akta tersebut maka pekerja kontrak akan terus menjadi pilihan kepada setiap majikan dan ini kerana majikan tidak akan menanggung kos yang tinggi jika mereka mengambil pekerja kontrak.
"Kita tahu setiap pekerja kontrak tidak mempunyai potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan juga SOCSO, jadi tiada lagi kos tambahan ditanggung oleh majikan," jelasnya.
Beliau memberitahu risiko yang paling besar akan dihadapi oleh pekerja adalah mereka tidak mempunyai perlindungan keselamatan yang akan menimbulkan kesulitan yang besar kepada pekerja dan juga keluarga mereka jika sesuatu terjadi ke atas diri mereka sewaktu menjalankan tugas.
Mantan Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud yang juga turut serta piket tersebut memberitahu piket hari ini merupakan satu isyarat jelas yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
"Kerajaan perlu memandang serius apa yang berlaku hari ini kerana ia baru permulaan dan kita akan pastikan perhimpunan bantahan ini akan terus diadakan selagi kerajaan mengambil sikap berdiam diri.
"Kita tidak pasti kesan yang akan kita perolehi melalui apa yang berlaku hari ini tapi saya pasti kerajaan akan buka mata bahawa pekerja di negara ini tidak lagi boleh ditindas sesuka hati mereka," katanya.
Sebelum itu piket yang berlangsung hampir sejam setengah itu dihadiri seramai 250 orang pekerja dari pelbagai kilang dan juga agensi.
Perhimpunan itu berlangsung secara aman dan pihak polis telah bertindak mengawal lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan.
Nazri Abdullah | KUALA LUMPUR, 3 Nov: Ekoran pengharaman program Seksualiti Merdeka oleh pihak polis, Dewan Pemuda PAS membatalkan rancangan mereka untuk mengadakan demonstrasi di seluruh negara esok.
Perkara itu dimaklumkan Ketuanya Nasruddin Hassan ketika menghubungi Harakahdaily malam ini.
"Ekoran pengisytiharan haram oleh pihak keselamatan itu, kita membatalkan hasrat membuat laporan polis dan mengadakan himpunan di seluruh negeri selepas solat Jumaat esok.
"Kita juga mengucapkan terima kasih kepada pihak keselamatan yang telah mengambil tindakan sedemikian," katanya.
Pada satu sidang media petang tadi, Timbalan Ketua inspektor-polis Khalid Abu Bakar mengisytiharkan pengharaman semua aktiviti penganjur 'Seksualiti Merdeka' yang dijadual akan diadakan pada 9 hingga 13 November.
Menurutnya, tindakan itu dibuat atas faktor menjaga ketenteraman awam ekoran bayak aduan yang telah diterima pihak mereka.
Sehubungan itu juga, Nasruddin menasihatkan penganjur program tersebut agar mematuhi arahan pihak polis tersebut.
Beliau juga mengingatkan, Dewan Pemuda PAS tidak teragak-agak untuk terus mengadakan bantahan jika penganjur masih bertegas mahu melaksanakan program itu.
"Kita harap penganjur akur arahan tersebut.
"Jika mereka berdegil, dewan pemuda akan mengambil tindakan selanjutnya," katanya.
Sebelum ini Dewan Pemuda PAS merancang akan membuat laporan polis serentak jam 10 pagi esok dan himpunan aman selepas solat Jumaat di seluruh masjid negeri.
Seksualiti Merdeka 2011 dengan temanya Queer Without Fear akan berlangsung sehingga di The Annaxe Gallery.
Program itu kononnya berteraskan perjuangan hak asasi, menuntut hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.
Banyak pihak berpandangan, ianya sama sekali tidak sesuai dengan kehidupan masyarakat di Malaysia apatah lagi sangat bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Ianya juga adalah festival tahunan yang meraikan hak asasi manusia rakyat yang terdiri daripada pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina.
Ia dianjurkan oleh sekumpulan gabungan longgar NGO, artis, aktivis dan individu sejak 2008.
Aziz Muda | KUALA LUMPUR, 3 Nov: PAS menegaskan sokongan parti itu terhadap Datuk S Ambiga hanyalah terhadap isu yang dibawanya terutama mengenai tuntutan Bersih baru-baru ini, tetapi bukanlah sokongan ke atas batang tubuhnya.
Oleh itu, PAS tetap tidak bersetuju malah menentang keras pendirian Ambiga terhadap hak asasi manusia yang diperjuangkannya mengenai seksualiti termasuk sokongannya terhadap program Seksualiti Merdeka yang dianjurkan oleh pihak-pihak terbabit baru-baru ini.
Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata, perkara itu perlu difahami oleh kesemua pihak dan tidak sepatutnya disalah anggap sejajar dengan dasar perjuangan PAS sejak ditubuhkan untuk menegakkan Islam di tanah air.
"Dalam hubungan ini, saya sememangnya bersetuju dengan kenyataan dan pendirian Dewan Ulamak PAS yang menentang penganjuran Pesta Seksualiti Merdeka dan sebarang aktiviti seks luar tabie melibatkan lesbian dan gay," katanya.
Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab pertanyaan kontroversi Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu (Bebas), Zulkifli Noordin mengenai sokongan PAS ke atas Ambiga, sedangkan Ambiga jelas menyokong Pesta Seksualiti Merdeka atas alasan hak asasi manusia.
Menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Zulkifli ketika mencelah ucapannya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, sejak dulu sokongan PAS terhadap seseorang bergantung kepada isu, bukan ke atas batang tubuh seseorang dan ia tidak terkecuali dengan Ambiga.
Menurutnya, sokongan PAS dalam isu Bersih yang dibawa oleh Ambiga sesuai dengan tuntutannya yang selaras dengan perjuangan PAS, tetapi dalam isu seksualiti yang membawa sokongan Ambiga terhadap Pesta Seksualiti Merdeka berbeza sama sekali.
"Dalam isu Pesta Seksualiti Merdeka, PAS tidak menyokong Ambiga kerana isu tersebut ternyata bertentangan dengan perjuangan PAS," tegasnya yang juga AJK PAS Pusat.
Sebelum itu, beliau menjelaskan, dalam perkara perjuangan hak asasi manusia oleh pihak-pihak terbabit, ada perkara yang diterima oleh PAS dan ada pula yang ditolak oleh parti itu.
Katanya, penolakan PAS terhadap sesuatu perkara melibatkan hak asasi manusia itu berdasarkan sebab-sebab tertentu selaras dengan dasar perjuangannya dan parti itu tetap mempunyai hujah mengenai perkara itu.
Begitu juga, tegasnya, dengan penolakan PAS terhadap aktiviti seks luar tabie dan perzinaan tetap mempunyai hujahnya kerana ia diharamkan dalam Islam dan amalan itu bertentangan dengan norma-norma kemanusiaan serta mengundang kemusnahan individu terbabit, keluarga dan masyarakat
Sungguhpun begitu, beliau menyarankan agar pihak-pihak terbabit mengambil langkah lunak terhadap mereka yang terlibat dengan aktiviti haram itu untuk menyedarkan mereka supaya kembali menjalani hidup dengan cara normal.
"Tapi kalau kita guna undang-undang sahaja ke atas mereka, takut nanti mereka akan menjalani aktiviti bawah tanah. Ini pasti lebih merumitkan untuk diatasi," katanya.
Dalam masa yang sama, beliau menyarankan kerajaan agar turut menggubal undang-undang khusus bagi membolehkan zina dikategorikan sebagai jenayah, setelah liwat diletakkan sebagai jenayah di bawah Seksyen 377.
Beliau juga mendesak kerajaan agar mengambil pendirian tegas mengutuk kezaliman yang dilakukan oleh pihak pemerintah Syria terhadap rakyatnya sehingga menyebabkan kematian ratusan ribu orang awam di negara itu. Sementara itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (kiri) menegaskan bahawa dewan itu sama sekali tidak akan menyokong apa sahaja langkah yang bertentangan dengan nilai fitrah manusia. Penganjuran program itu dilaporkan oleh akhbar perdana kelmarin dipromosikan melalui laman sesawang www.seksualitimerdeka.org yang kononnya bertujuan mempertahankan hak golongan homoseksual agar boleh diterima dalam kalangan masyarakat negara ini. “Kebebasan ada peraturannya, memang manusia diberikan kebebasan menyuarakan pandangan tetapi hendaklah di dalam kerangka yang dibenar dan tidak bertentangan dengan fitrah kejadian manusia” kata beliau yang juga Adun Manir, Terengganu. “Namun Dewan Ulamak PAS menyeru supaya golongan seperti ini diubati sehingga dapat hidup bersama masyarakat secara fitrah dan bukannya memberikan pengiktirafan yang tidak akan menyelesaikan masalah, Dewan Ulamak melihat dari sudut penyelesaian masalah iaitu golongan ini mesti diubati dan bukannya meneruskan masalah,” ujar beliau lagi.
Mohd Nor Yahya | KOTA BHARU, 3 Nov: Di atas keperihatinan serta sokongan penuh kepada pasukan bolasepak Kelantan, kerajaan negeri hari ini memberikan RM85 ribu untuk diagihkan kepada semua pemain dan pengurusan The Red Warriors.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Turut hadir exco negeri Abdul Fattah Mahmood dan Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman di jamuan makan meraikan pemain hari ini.
Sementara itu rombongan The Red Warriors pula diketuai oleh Pengurus Pasukan yang juga Setiausaha Agung KAFA Azman Ibrahim.
Abdul Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,Belia, Sukan dan NGO ketika menyampaikan ucapan berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau perjalanan pasukan The Red Warriors.
Walaupun tahun ini gagal ke final Piala Malaysia, namun kejayaan memiliki dua piala iaitu Piala Presiden dan Piala Liga Super sudah cukup memberangsangkan.
“Saya berharap pemain yang menerima sumbangan ini menjadikannya sebagai perangsang untuk meneruskan perjuangan dalam musim akan datang”ujar beliau.
Abdul Fattah juga berkata sebelum ini kerajaan hanya bercadang untuk memberi RM60 ribu tetapi di atas keperihatinan Menteri Besar Tuan Guru , peruntukkan tersebut ditambah menjadi RM84 ribu dan sumbangan peribadi sebanyak RM1 ribu dari Tuan Guru disumbangkan kepada tabung kebajikan pemain.
Sementara itu Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata Islam tidak pernah melarang mana-mana umatnya menyertai sukan atau dikenali sebagai Riadah.
“ Dalam Islam, kita boleh lakukan apa sahaja namun ia ada batas-batas tersendiri dan dalam bersukan juga ada batasannya,oleh itu saya berharap pemain The Red Warriors ini sentiasa mematuhi kehendak agama agar tidak terjerumus dalam perkara yang tidak elok”ujar beliau.
Nik Aziz juga mengimbau kembali yang beliau pernah bermain bolasepak di zaman era penjajahan Jepun lagi dan sehingga kini kenangan tersebut masih segar.
“ Saya amat meminati sukan bola sepak ni, sebab tu saya sanggup hadir menonton sendiri perlawanan di peringkat akhir ketika Kelantan layak dulu” ujar beliau.
Bagi Pengurus pasukan The Red Warriors, Azman Ibrahim pula ketika ditemui berkata sumbangan kerajaan negeri kepada pemain ini adalah satu lagi tanda keperihatinan kerajaan kepada sukan bolasepak Kelantan.
“Saya yakin dengan sumbangan yang pemain terima hari ini, mereka akan lebih bersemangat lagi pada musim hadapan dan diharapkan kerajaan akan sentiasa menyalurkan pelbagai bantuan demi pembangunan sukan bolasepak negeri ini,” katanya. | |
| | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan