Jumaat, 18 November 2011

PERINGATAN SPR...BAGAIMANA PERINGATAN ALLAH YANG JELAS DALAM QURAN..JANGAN TERLEPAS PANDANG...JIKA ALLAH TAK PANDANG..NAYA KITA...

Isteri tahanan ISA ke Parlimen bantah Najib | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 18 Nov: PAS bercadang membawa isteri-isteri tahanan terbaru di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar) berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Ahli Parlimen PAS dan pihaknya akan berbincang dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk memudahkan urusan membawa mereka dari Sabah.

"Saya sudah menghubungi Ahli Parlimen PAS dan kita akan bekerjasama dengan GMI untuk membawa isteri-isteri tahanan sementara sidang Parlimen masih berbaki dua minggu," kata beliau ketika menghubungi Harakahdaily.

Mazlan berkata, selain Najib, pihaknya juga mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerima memorandum bantahan tersebut kerana mereka mungkir janji terhadap rakyat Malaysia.

Menyifatkan penahanan tersebut sebagai bercanggah dengan pengumuman Najib pada sambutan Hari Malaysia 16 September lalu, beliau menuntut Najib memberi penjelasan berhubung penahanan tersebut.

"Kita minta Perdana Menteri jelaskan mengenai perkara ini kerana tindakan ini jelas menunjukkan sikap hipokrit mereka," katanya.

PAS tegasnya mengulangi pendirian mahu tahanan dibicarakan di mahkamah jika benar dakwaan mereka terlibat dengan kumpulan militan.

"Apa yang malang, isteri mereka tidak tahu kenapa suami mereka ditangkap.

"Saya ulangi bagi pihak PAS kalau mereka ditahan kerana menggerakkan kumpulan militan seperti didakwa, bawa ke mahkamah," tegasnya.


Tanah: PAS akan bantu rakyat Sabah | Print |
Mohd Firdaus

KOTA KINABALU, 18 Nov: PAS akan cuba sedaya upaya membantu rakyat Sabah dalam menghadapi ancaman, penipuan terutama urusan tanah mereka.

Disebabkan itu, Akta Kanun Tanah Negara perlu disemak semula, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman.

Katanya, Sabah merupakan bumi yang kritikal pengambilan atau rampasan tanah yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional di mana, laporan yang diterima oleh pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menunjukkan Sabah adalah yang tertinggi laporan diterimanya.

“PAS akan mengadakan perbincangan demi perbincangan dengan rakyat mengenai urusan tanah. Antara lain ialah bagaimana menghadapi strategi untuk berhadapan dengan pihak berkuasa (Barisan Nasional),” ujarnya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambahnya, tidak hairan sekiranya dalam Pilihanraya Umum ke-13, Barisan Nasional terutama di Sabah akan menghadapi serangan daripada rakyat.

Menurutnya, PAS juga memaklumkan bahawa undang-undang tanah perlu disemak dan dikaji semula bagi memberi peluang kepada rakyat mendapatkan hak dan keadilan yang sepatutnya dimiliki oleh mereka.

“Sekirannya berlaku pergelutan, pertindihan dan rampasan tanah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, PAS bersedia menyediakan khidmat guaman yang terdiri daripada aktivis atau peguam PAS sendiri,” ujarnya.

Walaubagaimanapun, ujarnya kesukaran mendapatkan khidmat guaman dari Semenanjung mungkin akan ada disebabkan Sabah mempunyai undang-undang enakmen negeri yang mana, hanya peguam dari Sabah sahaja yang dapat menghulurkan bantuan guaman.

Pada 14 November lalu, seramai 13 orang ditahan di bawah Seksyen 73(1) AKDN 1960 (ISA), 7 daripadanya ialah warganegara Malaysia.

Tangkapan pendakwah dan aktivis Islam dengan perbagai profesion tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman Omar.


Fidlot: Rafizi hantar surat ajak Khairy debat | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Nov: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini mengutus surat jemputan kepada Ktua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk berdebat berhubung isu skandal National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd.

Dalam surat yang salinannya dihantar kepada Harakahdaily hari ini, beliau menyatakan tarikh cadangan debat tersebut dibuat pada 12 Disember ini.

"Mengambil kira kekangan jadual kerja seperti yang saudara suarakan di dalam media, saya mencadangkan supaya debat tersebut diadakan pada hari Isnin 12 Disember 2011," kandungan surat itu dipetik.

Beliau melalui surat tersebut juga mencadangkan supaya perkara-perkara lain seperti tempat dan format debat dipersetujui bersama setelah tarikh debat dimuktamadkan

"Saya percaya saudara seorang pemimpin Umno yang berjiwa besar dan memiliki kekuatan intelek yang mengkagumkan.

"Kesudian saudara untuk membahaskan isu-isu rakyat seperti penyelewengan wang rakyat melalui NFC akan dikenang orang muda selama-lamanya," ujar Rafizi.

Khairy Jamaluddin beberapa hari lalu memaklumkan beliau bersedia untuk bertemu Rafizi dalam debat berhubung dakwaan penyelewengan RM250 juta oleh NFC iaitu syarikat milik anggota keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau ini memberitahu bahawa “saya sentiasa bersedia untuk berdebat dengan sesiapa pun.”

“Pada dasarnya saya bersedia. Tetapi soalannya adalah masa,” kata beliau dengan merujuk kepada perhimpunan agung tahunan partinya akhir bulan ini.

Sebelum ini, Rafizi telah mencabar Khairy agar berdebat dengannya sambil mendakwa Ahli Parlimen Rembau itu sebahagian daripada “Budak Tingkat Empat” — yang merujuk kepada pengaruhnya ke atas Pejabat Perdana Menteri ketika era pentadbiran Tun Abdullah.

Pentadbiran Abdullah meluluskan Pusat Fidlot Kebangsaan pada 2006.

Minggu lalu Khairy mempertahankan projek itu dengan merujuk kepada pembelian hartanah kondominum hampir RM10 juta di Bangsar menggunakan wang projek tersebut.

Khairy menyifatkan pembelian itu sebagai pelaburan yang selamat.


RM100 belum boleh bersihkan dosa Umno BN | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 18 Nov: Pemberian wang sebanyak RM100 kepada para pelajar di seluruh negara sejak minggu lalu belum boleh membersihkan dosa-dosa Umno BN terhadap rakyat sejak sekian lama.

Malah, pemberian wang tersebut turut dilihat jelas oleh orang ramai sebagai umpan murahan Umno BN kepada rakyat bagi mendapatkan sokongan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, pemberian wang RM100 itu sebenarnya tidak mempunyai sebarang erti kepada rakyat jika dihitung dengan keadaan sekarang.

Menurut beliau, sebaliknya jika Kerajaan BN benar-benar ingin menolong rakyat bukan RM100 yang diberikan, tetapi jauh lebih besar daripada itu.

Katanya, dengan keadaan sekarang yang menyebabkan rakyat terbeban dengan kenaikan harga barangan keperluan harian, pemberian wang RM100 itu tentunya tidak memberikan sebarang makna kepada orang ramai.

"Nak buat apa dengan wang RM100? Dengan kos sara hidup yang tinggi dan harga barangan keperluan harian yang meningkat, apa nilainya wang RM100 itu?" katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Rakyat Malaysia sekarang, menurut beliau, sememangnya semakin cerdik dan umpan murahan Umno BN itu pasti dapat dibaca dengan mudah oleh orang ramai.

Katanya, dengan itu, rakyat pasti dapat menilai pemberian Kerajaan BN itu kerana jika benar kerajaan prihatin dan hendak menolong rakyat bukan nilaian wang sekecil itu yang akan diterima oleh mereka.

"Dalam keadaan sekarang, perkara yang lebih diutamakan oleh rakyat tentunya tindakan yang jujur dari kerajaan untuk menurunkan harga barangan keperluan utama bagi menstabilkan ekonomi.

"Dengan pemberian wang RM100, tekanan hidup yang dialami oleh rakyat tidak juga dapat diatasi, malah keadaan itu pula terpaksa ditanggung oleh rakyat sejak sekian lama sepanjang berada di bawah pemerintahan BN," ujarnya.

Umpan murahan Umno BN dengan pemberian itu, tambah beliau, turut kelihatan jelas oleh orang ramai apabila wang tersebut bukan diberikan terus kepada para pelajar.

Sebaliknya, tegas beliau, ia diberikan kepada ibu bapa dengan memaksa ibu bapa pelajar datang ke sekolah sehingga turut menimbulkan pelbagai kerumitan kepada ibu bapa sendiri.

"Selain itu di beberapa tempat, turut diadakan ceramah politik terlebih kepada ibu bapa yang datang oleh pihak Umno BN sebelum wang itu diberikan.

"Ini pasti lebih merumitkan ibu bapa yang bukan sekadar terpaksa bersusah payah datang ke sekolah hanya untuk mengambil wang RM100, tetapi juga membuang masa sehingga terganggu pula urusan penting mereka yang lain," tegas beliau.


ISA: Tindakan terdesak Umno BN menjelang PRU13 | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Nov: Majlis Pimpinan PKR Sabah menyifatkan tangkapan terbaru aktivis Islam di negeri itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai satu lagi tindakan terdesak Umno BN untuk pilihan raya.

Setiausahanya, Dr Roland Chia Ming shen berkata, tindakan itu bertujuan membangkit isu agama dalam kalangan masyarakat di daerah itu yang terkenal dengan perkembangan ilmu yang amat baik, lapor KeadilanDaily.

“Media di Sabah hari ini melapor salah seorang tangkapan itu ialah Ustaz Nazri Dollah, tokoh agama berkelulusan dari Jordan dan kerap diundang oleh masyarakat untuk menyampaikan ilmu di sekolah dan surau di daerah itu.

“Maka dakwaan beliau terlibat dengan keganasan sungguh aneh, mana mungkin orang yang diundang untuk menyampaikan ilmu boleh dianggap pengganas kononnya mengancam keselamatan rakyat,” katanya menghubungi Keadilandaily.com hari ini.

Menurutnya, kalaupun beliau didakwa kononnya terlibat dengan aktiviti keganasan, mengapa mesti menggunakan akta ISA yang sebelum ini dijanjikan Najib sudah dimansuh sepenuhnya.

“Nak kata Ustaz Nazri ini PAS tidak juga kerana antara pendengar setia beliau dalam ceramahnya ialah ahli Umno selain tangkapannya turut tidak diketahui polis di daerah Tawau.

“Datuk Najib harus segera tampil menjawab persoalan ini,” katanya yang turut bimbang ekonomi Sabah terjejas akibat laporan mengenai dakwaan kononnya ada aktiviti keganasan di negeri itu.

Beliau mengulas laporan media di Sabah hari ini yang menyatakan Ustaz Nazri salah seorang yang ditahan di bawah Seksyen 73 (1), akta ISA kerana didakwa terlibat dengan keganasan.

Manakala laporan Berita Harian dan New Straits Times melapor antara 10 hingga 11 orang ditahan di bawah akta itu sejak Isnin lalu hingga semalam.


PRU: SPR patut ingatkan Najib | Print |
Subky Latif

REAKSI Timbalan Pengerusi SPR terhadap kemungkinan Pulau Pinang dan lain-lain negeri Pakatan Rakyat tidak mengadakan PRU serentak dengan PRU 13 ialah ia akan melibatkan perbelanjaan yang lebih besar. Ia akan tambah membebankan kewangan negara.

Lalu dia memuji kerajaan PAS Kelantan kerana tidak pernah mengadakan pilihan raya negeri yang berlainan dengan PRU.

Kesedaran SPR tentang beban kewangan dan beban kerja yang bertambah bagi SPR kerana mengendalikan satu lagi pilihan negeri pula adalah sikap prihatin yang munasabah. Adalah wajar jika pilihan raya iu diadakan serentak.

Tetapi pandangan SPR itu tidak wajar dituju atau disalahkan kepada kerajaan Pulau Pinang saja. Ia wajar diingatkan sama kepada Perdana Menteri yang ada kuasa bagi mengadakan pilihan raya bila-bila yang dia suka.

Zaman bagi Perdana Menteri membuli parti-parti minoriti sudah berakhir. Tidak wajar lagi Perdana Menteri boleh menggunakan kuasa mutlaknya tanpa memikirkan keselasaan pihak lain.

Kerajaan Pulau Pinang tidak sengaja mahu membebankan kerja SPR dan bukan ia tidak sedar akan kesan kewangannya, tetapi ia hanya diadakan di waktu yang berbeza kiranya Perdana Menteri tidak mengambil kira waktu matang penggal pilihan raya itu.

Tempoh matanya lima tahun. Maka waktu yang terbaik ialah masuk tahun terakhir atau lebih tepat menjelang tamat tempoh penggalnya. Kecuali berlaku kejadian yang yang tidak diduga seperti rampas kuasa di Perak dua tahun lalu, maka munasabah pilihan raya tergempar diadakan bagi menentukan supaya yang berkuasa ialah pihak majoriti yang ditentukan rakyat.

Tetapi setiap Perdana Menteri yang sombong tidak pernah memikirkan keselesa orang lain. Justeru dia diberi kuasa, maka dia suka menggunakan kuasanya.

Kerajaan PAS Kelantan di bawah pimpinan Dato Asri dulu dan yang dipimpin oleh ulama sejak 21 tahun dulu tidak pernah tidak serentak dengan PRU ialah ia cukup tenaga dan keupayaan untuk mencabar kuasa Perdana Menteri.

Jika ia mengadakan pilihan raya bersendirian sedang ia bukan parti yang disokong oleh kerajaan pusat, ia tidak terdaya untuk menghadapi tumpuan serangan kerajaan pusat dan tenaga parti BN yang dikerah dari seluruh negara.

Sama ada Kelantan suka atau tidak suka, ia terpaksa terima hakikat keupayaannya. Dengan pilihan raya serentak, ia dapat mengurangkan kesan tekanan musuh politik.

Tetapi dalam suasana Pakatan Rakyat berkuasa di empat buah negeri dan ia mempunyai sokongan yang menggalakkan di beberapa negeri yang dikuasai BN, maka ia mampu bersaing dengan penyokong Perdana Menteri.

Malah tindakan yang demikian adalah bagi mencabar Perdana Menteri yang sombong supaya tidak bongkak dengan kuasa sendiri. Kuasa itu adalah sepatutnya diguna seadilnya, bukan untuk membuli seteru politik yang tidak kuat.

Tentang SPR terpaksa menghadapi beban kerja bertambah, ia adalah tanggungjawab yang SPR terpaksa pikul. Ia ditubuhkan untuk menguruskan pilihan raya, maka ia mestikan bersedia menghadapinya dalam apa keadaan sekali pun.

Sekarang SPR jangan bangkit soal kewangan sebagai bahan propaganda UMNO dan Perdana Menteri. Individu di SPR sebagai rakyat boleh menimbulkannya betapa bertambah beban yang bakal ditanggung rakyat. Tetapi ia tidak ditumpukan pihak yang mencabar saja. Ia juga perlu ditujukan kepada pemegang kuasa supaya tidak lagi bersikap zalim terhadap pelanggan SPR yang lain.

SPR wajar menjadi penasihat yang baik kepada Perdana Menteri. Ingatkan dia beban dan risiko yang bakal dihadapi kira PM terus berbangga dan sombong dengan kuasa mutlak yang ada padanya.

Perdana Menteri tidak lagi boleh sesuka hati untuk mengadakan pilihan raya mengejut. Dia mesti meninjau pandangan pelanggan SPR yang lain yang ada kuasa dalam perkara itu.

Jika Perdana Menteri juga prihatin tentang kewangan negara, maka ia mesti adil dalam menggunakan kuasa dan haknya.

Tiada ulasan: