Jumaat, 8 Mac 2013

SESUATU AKAN BERAKHIR JUGA...MAKA TERIMALAH PADAH YANG TELAH DITENTUKAN OLEH ALLAH SWT

Yayasan Selangor sasar taja 5,000 pelajar tahun ini

Harakahdaily, 07 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Jumlah pelajar negeri Selangor yang mendapat penajaan pendidikan oleh Yayasan Selangor (YS), meningkat mendadak sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri 2008 lalu.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, Yayasan Selangor iaitu sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk memajukan pendidikan anak-anak negeri Selangor telah menunjukkan perkhidmatan cemerlang di bawah Pakatan Rakyat.

Sejak 2008 katanya, penajaan pendidikan terus menunjukkan trend peningkatan ketara dari tahun ke tahun di bawah Program Rancangan Khas Pendidikan YS (RKPYS).

Pada 2007, jumlah pelajar yang ditawar penajaan adalah 1,385 dan meningkat kepada 1,409 pada 2008.

Kemudian pada tahun 2009, jumlah itu terus ditingkatkan kepada 1,554 orang dan melonjak kepada 3,288 orang pada 2012.

Pada tahun ini pula katanya, Yayasan Selangor mensasarkan peningkatan kepada kepada 5,000 orang.

“Peningkatan ini menunjukkan YS berjaya memberikan perkhidmatan pendidikan kepada lebih ramai pelajar berbanding sebelum tahun 2008 dengan gandaan yang besar,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Bangunan SUK semalam, yang dipetik Selangorku.

Dalam pada itu katanya, Yayasan Selangor juga telah menambah peruntukkan biasiswa dari tahun ke tahun bermula tahun 2008.

Pada 2007, hanya 518 pelajar mendapat Biasiswa Kecil, 159 mendapat Biasiswa Khas dan 36 pelajar mendapat Dermasiswa.

Namun pada 2012, YS menawarkan 1,783 pelajar mendapat Biasiswa Kecil, 1,140 pelajar mendapat Biasiswa Khas dan 96 pelajar mendapat Dermasiswa.

Bagi pinjaman pula katanya, Yayasan Selangor berjaya membuat kutipan bayaran balik dengan lebih efisien.

Ianya telah menyaksikan peningkata kutipan RM2.1 juta pada 2008 kepada RM2.2 juta pada 2009, ke,udian RM2.9 juta pada 2010 dan terus meningkat kepada RM3.8 juta pada tahun 2011 serta RM3.9 juta pada 2012.

“Ia membabitkan peningkatan sebanyak 186 peratus prestasi kutipan itu.

"Malah, bilangan sekolah tajaannya juga meningkat daripada 27 buah pada 2008 kepada 53 buah pada 2012 dan 63 buah pada tahun 2013,” katanya.

Bantah hukuman mati, demo di kedutaan Bangladesh esok

Harakahdaily, 07 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk keputusan mahkamah Pengadilan Internasional Bangladesh yang diasaskan oleh Sheikh Hasina Wajed, Perdana Menteri Bangladesh yang telah menjatuhkan hukuman mati terhadap pemimpin tertinggi parti Jamaat El Islami, Syeikh Abi al Kalam, manakala Prof Dr Ghulam Azam (gambar), Syeikh Abdul Kadir Malaa dan beberapa pemimpin tertinggi yang lain dihukum penjara seumur hidup.
“DPPM berpendapat keputusan Mahkamah Internasional Bangladesh tersebut amat tidak wajar, berat sebelah  dan bersifat politik kerana menjadikan lawan politik Perdana MEnteri, Sheikh Hasina Wajed sebagai mangsa dan sasaran,” ujar Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam satu kenyataan.

Bagi DPPM, katanya tuduhan kerajaan Bangladesh bahawa pemimpin Jamaat El Islami yang ditangkap adalah tali barut kerajaan Pakistan untuk menjatuhkan negaranya sendiri kerana tidak bersetuju dengan proses pemisahan Pakistan-Bangladesh adalah suatu tuduhan tidak benar dan suatu fitnah sama sekali.

Menurutnya, DPPM bersama umat Islam seluruh dunia menganggap perbicaraan di Bangladesh terhadap tujuh pemimpin kumpulan Islam (Jamaat-I-Islami) tersebut melanggar hak keadilan sejagat dan merupakan tuduhan bersifat politik (tuduhan kerajaan pemerintah terhadap parti Islam), bukannya tuduhan jenayah.

Justeru, katanya DPPM mendesak supaya mereka diberikan ruang perbicaraan yang adil di mahkamah sebelum hukuman dijatuhkan.

Selain itu, kata beliau prosedur mahkamah terbabit juga dipertikaikan banyak pihak kerana ia beroperasi tanpa melibatkan pengawasan PBB.

Tambahan pula, katanya Human Rights Watch yang berpusat di New York turut berpandangan prosedur hukuman yang digunakan oleh mahkamah itu tidak memenuhi standard internasional.

Katanya lagi, keputusan itu telah memarakkan api kemarahan umat Islam seluruh dunia khususnya di Bangladesh.

“Umat Islam melihat Sheikh Hasina sengaja mahu memadamkan kebangkitan Jamaat El Islami Bangladesh yang berjaya memberikan pengaruh yang besar dalam memimpin rakyat di negara tersebut,” ujarnya.

Katanya, DPPM difahamkan ribuan umat Islam Bangladesh telah bangkit membela pemimpin mereka yang dipenjara atau dihukum mati dan dilaporkan beberapa puluh aktivis gerakan Islam itu telah terbunuh dalam himpunan aman.

Sehubungan itu, ujarnya sebagai suatu solidariti umat Islam seluruh dunia, DPPM bersama masyarakat Islam melalui badan bukan kerajaan (NGO) Islam serta orang awam seluruhnya akan mengadakan suatu himpunan aman esok bermula selepas solat Jumaat bertempat di depan kedutaan Bangladesh, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Menurutnya, memorandum bantahan juga akan diserahkan oleh Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama pimpinan DPPM serta pemimpin-pemimpin NGO yang lain.

Katanya, himpunan aman itu akan dimulakan dari Masjid Tabung Haji, Jalan Ampang dan seterusnya perarakan aman menuju ke kedutaan Bangladesh.

Sehubungan itu, ujar beliau umat Islam dan pencinta keadilan seluruh negara dijemput hadir.

Presiden PAS arah solat hajat Jumaat ini

Harakahdaily, 07 Mac 2013
KUALA LUMPUR: PAS mengarahkan seluruh ahlinya untuk mengadakan solat hajat di seluruh negara sejurus selesai solat Jumaat 8 Mac ini berhubung operasi menangani pencerobohan di Sabah.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, solat hajat itu bagi memohon kepada Allah agar isu keselamatan yang melanda negara kita ini dapat diselesaikan dengan segera.

"Perkembangan terkini isu pencerobohan kedaulatan negara di Sabah hingga kini belum menampakkan tanda-tanda ianya akan reda dalam waktu terdekat.

"PAS merasakan bahawa tanggungjawab untuk mewujudkan keamanan dalam negara kita ini adalah tanggungjawab semua pihak, tanpa mengira samada dari pihak kerajaan, semua parti politik dan rakyat seluruhnya,' katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sejak pencerobohan oleh kumpulan yang mendakwa pengikut Sultan Sulu di Sabah itu, lapan anggota polis negara kita telah terkorban dalam beberapa siri pertempuran dengan mereka.

Ekoran itu pihak keselamatan termasuk polis dan tentera sejak kelmarin melancarkan serangan ofensif terhadap kubu penceroboh tersebut.

Dalam pada itu, PAS Tuan Guru Abdul Hadi mempunyai pendirian yang sama dengan ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Katanya, anggota keselamatan yang terkorban dalam misi mempertahankan kedaulatan negara dari unsur hirabah ini adalah tergolong sekurang-kurangnya syahid akhirat bahkan kita mendoakan agar mereka dikurniakan pahala yang lebih besar lagi.

Media perdana hanyalah 'political bouncers'

Aspan Alias, 07 Mac 2013
Pihak pimpinan UMNO dan BN semakin terhimpit dengan krisis keyakinan yang mereka sedang hadapi. UMNO sekarang mungkin telah sedar tiada apa yang kita sembunyikan selama ini akan kekal tersembunyi buat selama-lamanya. Perkembangan dan pembangunan industri media dan maklumat dalam dunia tanpa sempadan ini sangat menyusahkan UMNO. Tiada apa yang buruk mereka lakukan tidak dapat disorokkan dan dengan sekelip mata sahaja akan diketahui umum.
Apabila sampai sahaja maklumat ke satu-satu tempat maka dengan pantas UMNO akan menghadapi kejatuhan tahap keyakinan rakyat terhadapnya. Tetapi UMNO masih ada sedikit saki-baki kawasan yang belum ditempuhi oleh maklumat dan di sinilah UMNO mengharapkan pergantungan sokongan dari kawasan itu untuk mengharapkan dukungan.

Sejak dua tiga hari ini pimpinan tertinggi UMNO meminta supaya rakyat jangan percaya dengan media baru yang sedang berkembang dengan pesat sekarang. Isu ini di jadikan isu harian oleh pimpinan UMNO kerana mereka tahu yang rakyat lebih percaya kepada kredibiliti media alternatif jika dibandingkan dengan media arus perdana. Bagaimana mungkin UMNO terus-terusan bertahan dengan menjadikan media arus perdana sebagai alat propaganda mereka

Sekarang pimpinan UMNO amat gusar dengan media baru ini kerana mereka (UMNO) tidak dapat menutupi kerja-kerja mereka yang tidak semenggah selama ini. Jika tiada media baru ini bagaimana rakyat hendak tahu tentang isu NFC dengan betul misalnya. Tidak mungkin media perdana akan melambakkan apa yang sebenarnya berlaku dalam isu lembu dan pinjaman kewangan terhadap seorang keluarga  Ahli Jemaah Menteri yang terlibat itu.

Tanpa media baru tidak mungkin rakyat tahu bagaimana pimpinan UMNO menjual harta benda Kementerian Pertahanan yang melibatkan Senator Raja Ropiah berhubung dengan transaksi tanah Kementah seluas 200 ekar itu? Jika media baru tidak wujud kita tidak mungkin tahu yang akuan bersumpah kedua PI Bala itu adalah akuan bersumpah palsu. Rakyat tidak akan tahu tentang Rosmah berlumba-lumba dengan suaminya dalam pembahagian bisnes dan kontrak kepada kawan dan sahabat masing-masing.

Semua ini tidak akan diketahui oleh ramai jika tiada media baru kerana media arus perdana dikuasai oleh UMNO dan semua ketidak telusan UMNO itu tidak akan disiarkan oleh mereka (media perdana). Bagi orang ramai media baru ini merupakan saluran alternatif kepada media perdana dan banyak telah merubah keadaan di negara kita ke arah perubahan yang baik.

Media baru ini penting kerana ia boleh membuat ‘check and balance’ terhadap laporan media arus perdana. Media baru telah merungkai banyak hal dalam UMNO. Mereka (UMNO) tidak suka dengan ‘check and balance’ kerana media baru akan menyusahkan mereka untuk mendapatkan ‘cheque and all the balances’ yang ada dalam perbendaharaan negara untuk pimpinan mereka.

UMNO sendiri telah mengupah ramai penulis-penulis dalam media baru tetapi UMNO masih lagi takut menghadapi media baru ini. UMNO telah mengupah dan membariskan penulis yang handal-handal dan mempunyai pengalaman yang luas dalam penulisan dan kewartawanan sedangkan di pihak pembangkang mereka terdiri dari penulis yang amatur dan mereka menulis dengan sukarela tanpa apa-apa bayaran dan imbuhan.

Saya sendiri bukannya seorang penulis pun tetapi saya mula menulis di atas desakan keadaan untuk memberikan pandangan yang berbeza dengan media perdana yang tidak mempunyai laporan yang seimbang. Saya tidak mahu melihat orang ramai termakan dengan dakyah lapuk UMNO yang tertanam dalam parti itu sekian lama. Saya begitu sensitif terhadap tindakan mana-mana pihak memperbodohkan pihak yang lain yang telah berluas-luasa dalam masyarakat media kita.

Tetapi pihak pembangkang mendapat banyak sokongan dalam media baru bukan kerana mereka yang berpihak kepada pembangkang itu orang pandai-pandai, tetapi mereka lebih telus dan jujur serta mempunyai pemikiran yang jelas dan telus. Orang ramai bukan hendak membaca betapa hebatnya penulisan dalam media baru itu tetapi mereka memilih untuk memberikan sokongan kepada berita dan penulisan yang lebih jujur dan boleh diyakini.

Jika benar apa yang di siarkan oleh media arus perdana itu tidak dikotori dengan pembohongan masakan rakyat memilih untuk membandingkan kualiti laporan serta penulisan pihak media baru itu. Pihak UMNO tidak mungkin dapat mengekang rakyat dari mendekati media baru kerana rakyat bijak memilih yang mana satu yang telus dan yang mana satu yang bertujuan untuk mengelirukan mereka sahaja.

Rakyat telah sedar tentang peranan yang berguna yang dimainkan oleh media baru itu adalah untuk memberikan pandangan yang berbeza dengan pandangan media perdana yang penuh dengan elemen dakyah yang merosakkan pemikiran rakyat yang ramai.

Saya pernah dicerca oleh pihak penyokong UMNO dalam media baru ini yang mengatakan saya mempunyai penulisan yang kurang ‘standard’ nya, dan tidak seperti ‘standard’ mereka. Saya akui saya bukan seorang penulis dan saya menumpukan kepada pemikiran dan bukannya kepada nahu dan tata bahasa yang baik. Saya lebihkan untuk memberikan pandangan dan pemikiran saya dan saya tidak mahu masuk pertandingan menulis untuk mendapat hadiah yang besar.

Walau bagaimanapun saya dapat merasakan respons dari masyarakat sangat baik terhadap pandangan dan kritikan saya terhadap isu yang mengelilingi UMNO dan BN. Saya tahu kelemahan saya dan itulah sebabnya saya tidak menggunakan perkataan-perkataan yang kotor seperti ‘bangang’, ‘bodoh’ ‘babi’ dan superlatives yang buruk-buruk dalam penulisan saya. Saya tahu yang penggunaan istilah kasar dan kotor itu adalah satu pancaran jelas sama ada seseorang itu terdidik oleh ibu bapa dan keluarga yang baik-baik.

Kata-kata yang keluar dari mulut seseorang itu melambangkan tahap darjat seseorang itu. Darjat kita bukan terletak kepada wang ringgit dan kekayaan kita sebaliknya darjat itu merupakan bayangan kepada darjat diri kita yang sebenar-benarnya. Semasa saya mula membuat kritikan terhadap kerajaan melalui penulisan di media baru dahulu, saya pernah dilemparkan dengan kata-kata kesat seperti bodoh, sial, dan berbagai-bagai lagi panggilan yang buruk-buruk oleh penyokong UMNO dan BN.

Tetapi saya memilih untuk berdiam diri sahaja kerana yang mengatakan saya dan yang lain itu sebagai bodoh itu, adalah orang bodoh yang sebenar-benarnya. Saya tidak perlu memberikan respons terhadap tindakan mereka yang tidak mempunyai keperibadian itu. Saya berdiam diri dan hanya menyandarkan segala-galanya kepada kebenaran tentang apa yang saya tulis itu. Saya masih mempunyai masa untuk membuktikan segala ketelusan penulisan saya, malah setengah dari apa yang saya jangkakan itu telah pun terbukti kebenarannya.

Saya berkeyakinan media baru itu juga mampu untuk memberikan pelajaran kepada masyarakat tentang perkara baik walaupun tidak semua boleh memahami nilai sebenar seorang manusia itu. Seseorang yang tahu membuat penilaian itu hanya lah dari mereka yang terdidik dari keluarga yang baik.

Dalam media baru ini kita dapat belajar bermacam-macam perkara. Pengalaman saya selama beberapa tahun ini membuatkan kita lebih memahami manusia. Kita sudah boleh memahami yang sesiapa yang jiwanya kotor dan gundah gulana tanpa ketenangan akan dipaparkan oleh mereka sendiri melalui penulisan dan komen mereka terhadap sesuatu isu itu.

Bahasa mereka akan lebih kasar dan tidak akan membahaskan sesuatu isu itu secara terbuka malah mereka terus sahaja melepaskan kata-kata kesat yang tidak selayaknya keluar dari insan yang secantik-cantik kejadian Tuhan itu.

UMNO sememangnya dalam keadaan terdesak sekarang ini. Sekarang media baru pula yang mengancam mereka. Bagaimana UMNO boleh bersandar kepada media arus perdana lagi? Sudah terbukti media perdana sudah menjadi bahan sindiran akhir-akhir ini kerana terlalu kerap gagal mempertahankan kewibawaan mereka di mahkamah.

Utusan misalnya telah terbukti sebagai salah satu punca fitnah dengan kegagalan mereka dalam beberapa saman yang difailkan oleh beberapa orang pimpinan Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini. Mahkamah telah membuktikan yang media perdana telah melakukan banyak fitnah yang tidak ada batasnya terhadap pimpinan pihak alternatif. Mereka ini (media arus perdana) hanyalah merupakan ‘political bouncers’ untuk mengekang kebenaran dari di ketahui umum.

Utusan sahaja terpaksa membayar jutaan ringgit kepada mereka yang telah menjadi mangsa fitnahnya sejak akhir-akhir ini. Itu sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa media arus perdana itu merupakan sumber besar fitnah yang berkeliaran di mana-mana sekarang. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

MNLF belayar ke Sabah, M'sia perketat kawalan

Harakahdaily, 07 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Belumpun selesai operasi menghapuskan kumpulan penceroboh di Sabah, Pejuang Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dari Filipina pula mendakwa sedang menuju ke Lahad Datu untuk mengukuhkan kedudukan pengikut Sultan Sulu itu.

Media Filipina semalam melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Agama Islam MNLF, Habib Hashim Mudjabab mendakwa, kira-kira 10,000 kumpulan gerila kaum Tausung dari Basilan, Sulu dan Tawi-Tawi sudah belayar ke Sabah.

Menurutnya, kumpulan gerila itu menyertai kumpulan pengikut Sultan Sulu dan mereka kini bersembunyi di sebuah kampung di Sabah melalui sebuah laluan di Filipina dikenali sebagai Southern backdoor (jalan belakang Selatan), laluan yang biasa digunakan pedagang kecil.

Laporan itu turut memetik, beliau tidak mendedahkan jumlah sebenar kumpulan yang telah berjaya membolosi sempadan Sabah tetapi hanya menegaskan ia mencecah ribuan.

Kehadiran mereka itu dipercayai sebagai tindakan balas selepas Malaysia bertindak melancarkan serangan ofensif besar-besaran terhadap kumpulan pengikut sultan Sulu Jamalul Kiram III itu di Lahad Datu kelmarin.

Kumpulan itu sudah tiga minggu berkubu di situ sehingga keganasan meletus minggu lalu yang mengakibatkan lapan anggota polis Malaysia terbunuh.

Kawalan diperketat

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dilaporkan berkata, pasukan keselamatan Malaysia sudah memperketat kawalan sama ada di periaran mahupun daratan menuju ke Sabah.

Menurutnya, pihak keselamatan kini membuat kepungan di laut dan darat bagi mengekang kemasukan bekalan makanan dan persenjataan kepada kumpulan penceroboh tersebut.

Katanya, pihak polis telah telah mengadakan kerjasama erat dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi tujuan itu.

Dalam pada itu, terdapat juga maklumat bahawa pasukan polis Filipina juga megadakan kawalan ketat di perairan mereka bagi menghalang pasukan MNLF belayar menuju ke Sabah.

Debat Manifesto Rakyat demi rakyat – Anwar

Harakahdaily, 07 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia maklum bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri akan memberikan bidasan-bidasan terhadap Manifesto Rakyat.


“Saya percaya rakyat lebih gemar jika bidasan-bidasan ini diberikan secara langsung di dalam satu perdebatan dasar, bukannya bidasan bersembunyi seperti yang selalu dibuat oleh beliau sebelum ini,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau yang juga Ahli Permatang Pauh mengingatkan Barisan Nasional bahawa Pakatan Rakyat telah membentangkan secara telus analisa kira-kira kewangan yang diperlukan sebanyak RM45.75 bilion untuk membiayai kesemua program Manifesto Rakyat.

Maka, kata beliau wajarlah Barisan Nasional juga memperincikan analisa kira-kira yang mereka guna pakai untuk menyokong tuduhan mereka, supaya rakyat dapat membandingkan kedua-duanya.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Manifesto Rakyat yang diluncurkan minggu lepas zahir kepada iltizam Pakatan Rakyat demi melaksanakan agenda perubahan di negara ini. Peluncuran manifesto tersebut adalah tuntas dengan ikhtiar Pakatan Rakyat selama ini yang senantiasa mengemukakan saranan serta kebijakan segar dan cergas.

Alhamdulilah maklum balas yang kita terima sangat memberangsangkan. Saya menerima secara terbuka cadangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak untuk memperkemaskan lagi manifesto itu, selagi ia tidak mengubah prinsip dasar Pakatan Rakyat yang menolak politik perkauman dan mengangkat tata kelola, amanah dan keadilan untuk rakyat.


Saya mengambil inisiatif untuk mendengar sendiri pelbagai pandangan yang diutarakan, disamping menjelaskan beberapa perkara. Misalnya, pertemuan dengan wakil-wakil badan yang mewakili orang berbeza upaya menguatkan persefahaman bersama mengenai program-program khusus untuk mengangkat martabat dan menjaga kebajikan mereka.


Saya juga banyak berbincang dengan pimpinan masyarakat India sejak seminggu lalu untuk mengambil kira pandangan mereka. Saya telah mengulangi pendirian mengenai perkara-perkara besar yang melibatkan masyarakat India seperti berikut:


1. Masalah kerakyatan yang kebanyakannya melibatkan rakyat Malaysia dari kaum India di samping kaum-kaum lain di seluruh Malaysia akan diselesaikan dalam tempoh 100 pertama pentadbiran Pakatan Rakyat di Putrajaya;


2. Program khusus untuk menyediakan latihan teknikal yang digabungkan dengan peluang pekerjaan untuk anak-anak muda lepasan sekolah dengan sasaran utama kepada anak-anak miskin. Masyarakat India akan mendapat manfaat utama dari program ini untuk membasmi kemiskinan dan menaiktaraf kedudukan sosio-ekonomi;


3. Pakatan Rakyat akan memastikan semua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil menjadi sekolah bantuan penuh agar kemudahan infrastrukturnya setanding dengan piawai pendidikan nasional. Pengiktirafan ini dimuatkan secara jelas di dalam Manifesto Rakyat;


4. Reformasi institusi Polis diRaja Malaysia (PDRM) yang disebut di dalam Manifesto Rakyat turut melibatkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Pengurusan dan Perlakuan Polis (IPCMC); dan


5. Peranan Perbadanan Perumahan Negara yang bakal ditubuhkan oleh Pakatan Rakyat untuk membina rumah-rumah rakyat akan mengambil kira keperluan mendesak rumah-rumah mampu milik bagi bekas-bekas pekerja estet di seluruh negara.

Kesemua perkara ini sudah pun terkandung di dalam Manifesto Rakyat yang dibina di atas semua dasar-dasar dan pengumuman yang pernah dibuat oleh Pakatan Rakyat.  Pun begitu, untuk menguatkan lagi komitmen Pakatan Rakyat, perkara-perkara ini akan disebut secara jelas di dalam Manifesto Rakyat edaran umum, seperti mana juga beberapa perkara melibatkan kumpulan lain yang mengutarakan pandangan kepada Pakatan Rakyat.


Saya mempertahankan pendekatan berdasarkan keperluan (needs based approach) kerana setiap program perlulah dilaksanakan kelak secara berkesan. Demi menjamin keberkesanan dan kejayaan program-program rekayasa nasional yang digariskan di dalam Manifesto Rakyat, kita memerlukan sokongan setiap kumpulan masyarakat.


Contohnya, pelaksanaan Skim Perantis Rakyat akan melibatkan puluhan ribu majikan di seluruh Malaysia yang dijemput kerajaan menyertai skim penempatan anak muda lepasan sekolah bagi tujuan latihan teknikal di premis milik mereka. Majikan ini akan bekerjasama dengan kerajaan melatih anak-anak muda mengikut piawaian kemahiran teknikal kebangsaan.


Perkongsian pintar ini membolehkan majikan mendapat khidmat tenaga kerja tempatan pada kadar yang lebih murah kerana kerajaan menyumbang sebahagian besar dari kos penggajian sepanjang tempoh latihan. Kerajaan pula mempunyai platform untuk melatih puluhan ribu anak muda sebagai program teras memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi keluarga berpendapatan rendah, disamping meningkatkan guna tenaga anak muda di dalam ekonomi.


Program sebegini memerlukan majikan dari pelbagai sektor dan pelbagai kaum menyertai skim secara terbuka dan berlapang hati menyumbang atas semangat khidmat nasional. Jika program-program seperti ini dirangka mengikut perspektif perkauman, ia akan serta-merta mengenepikan penyertaan kumpulan-kumpulan tertentu kerana ia dilihat khusus untuk kaum tertentu sahaja.

Kegagalan banyak program yang dijalankan oleh Barisan Nasional ialah kerana ia tidak mendapat sambutan dan kerjasama yang meluas apabila setiap program dikhususkan mengikut kaum.
Sebab itu, saya pertahankan pendekatan berdasarkan keperluan kerana hanya program-program seperti itu yang akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.


Serangan dari Barisan Nasional masih berkisar kepada propaganda lapok yang menghamburkan angka-angka tidak tepat untuk mengelirukan rakyat. Misalnya, Barisan Nasional mempersoalkan kewajaran mengambil alih lebuhraya untuk membatalkan tol, sedangkan peruntukan yang mereka telah gunakan setakat ini untuk BR1M1 dan BR1M2 telah melepasi jumlah RM6 bilion setahun yang diperlukan.
Saya mengingatkan Barisan Nasional bahawa Pakatan Rakyat telah membentangkan secara telus analisa kira-kira kewangan yang diperlukan sebanyak RM45.75 bilion untuk membiayai kesemua program Manifesto Rakyat. Makanya, wajarlah Barisan Nasional juga memperincikan analisa kira-kira yang mereka gunapakai untuk menyokong tuduhan mereka, supaya rakyat dapat membandingkan kedua-duanya.

Saya sedia maklum bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri akan memberikan bidasan-bidasan beliau terhadap Manifesto Rakyat. Saya percaya rakyat lebih gemar jika bidasan-bidasan ini diberikan secara langsung di dalam satu perdebatan dasar, bukannya bidasan bersembunyi seperti yang selalu dibuat oleh beliau sebelum ini.

Kerajaan Persekutuan BN berakhir Sabtu ini

Harakahdaily, 07 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Walaupun Kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional akan meneruskan hayatnya Jumaat ini, genap lima tahun selepas Pilihan raya Umum 2008 diadakan, kesahihannya dari segi politik boleh dipersoal, kata pakar perlembagaan.

“BN berada di dalam kerajaan dari 9 Mac hingga 28 Jun, 2013 adalah mengikut Perlembagaan dan sah di sisi undang-undang, tapi dari segi kesahihan politik dan autoriti moral di dalam persoalan.

"Pengundi boleh secara sah berkata mereka mengundi untuk kerajaan BN pada 8 Mac, 2008 untuk memerintah selama 5 tahun, dan jika kerajaan tersebut memilih untuk mendapatkan mandat baru dalam tempoh tersebut, ia akan menjadi caretaker government (kerajaan sementara),” kata peguam Tommy Thomas dalam satu artikel beliau yang disiarkan Malaysiakini.

Menurut Tommy, sesi parlimen kali ini akan berakhir pada 28 April, dan pilihanraya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, iaitu sebelum 28 Jun berakhir.

Namun demikan, beliau berkata sekiranya pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ingin mengekalkan tradisi untuk mengadakan pilihanraya Dun dan parlimen serentak, maka parlimen perlu dibubarkan awal sebelum 26 Mei.

Ini kerana 26 Mei ialah hari terakhir untuk Negeri Sembilan mengadakan pilihanraya, kerana sesi Dewan Undangan Negerinya akan terbubar sendiri pada 26 Mac.

Tommy berkata sistem ala-Westminster yang digunakan di Malaysia bermaksud Perda Mneteri boleh menentukan tarikh pilihanraya, termasuk ingin mengadakan pilihanraya lebih awal.

Beliau mengimbas kembali kuasa istimewa ini di mana semua bekas Perdana Menteri termasuk Tun Abdullah Badawi telah membubarkan parlimen lebih awal.

“Jadi mengapa Najib masih tidak menggunakan hak istimewa ini untuk menasihati Agong untuk membubarkan parlimen sebelum tarikh luputnya, dan kemudiannya diikuti dengan pilihanraya umum ke 13? Hanya satu jawapan untuk itu, BN takut ditewaskan,” kata Tommy.

Beliau turut berkata hubungan antara politik dan perniagaan mungkin memperkukuhkan kepercayaan kepada teori bahawa kerajaan ingin untuk memasuki kontrak yang memberi manfaat kepada tabung politik mereka menjelang pilihan raya.

Tersentuh hati ziarah balu mangsa Lahad Datu

Anis Nazri, 07 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Biarpun kehilangan insan tersayang, semangat dan ketabahan yang ditunjukkan waris benar-benar menimbulkan kekaguman di hati Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Riduan Mohd Nor.

Beliau yang menziarahi waris anggota polis komando yang terkorban, Inspektor Zulkifli Mamat, di Kampung Kubang Ikan, Besut, benar-benar tersentuh hatinya.

Berkongsi kisahnya dengan Harakahdaily, ibu arwah berkata panggilan terakhir yang diterimanya dari arwah ialah sehari sebelum keberangkatannya ke Lahad Datu.

"Ibunya benar-benar sebak dan tidak dapat menahan kesedihan ketika menceritakan perbualannya dengan arwah. Lebih-lebih lagi ketika arwah ada menyebut selepas selesai operasi, arwah akan pulang terus ke rumah ibunya," cerita Riduan ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut Ridhuan, isteri arwah, Noraziah Nor, kini sedang menjalani kursus perguruan dan menetap di Perlis, bagaimanapun ketika kunjungan beliau masih berada di sisi ibu mertuannya.

Tambah Ridhuan, sepanjang kunjungannya, isteri arwah begitu tenang, namun ada ketikanya kelihatan air mata di sudut matanya.

"Dia beritahu, anaknya yang sulung yang berumur 5 tahun itu mengadu letih bergambar sejak ayahnya terkorban. Biarpun masih kecil, jelas anak kecil itu menyedari kehilangan paling besar yang dihadapinya," cerita Riduan.

Beliau juga dimaklumkan oleh abang arwah tentang keinginan arwah yang sering menyebut untuk mati syahid, lebih-lebih lagi peranannya sebagai anggota pasukan keselamatan negara.

Dalam pertemuan tersebut, Riduan turut memberikan dua buah buku motivasi kepada ibu arwah, selain menghulurkan sumbangan peribadi berbentuk wang tunai.

Turut serta menziarahi keluarga waris, Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.

Zulkifli, 29, bersama Koperal Sabarudin Daud, 46, dari Sabak Bernam, Selangor ketika kejadian, sedang berkawal di satu daripada pos di sekitar Kampung Tanduo, Lahad Datu sebelum terkena mortar dilepaskan kumpulan penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina.

Tiada ulasan: