Jumaat, 8 Mac 2013

AGAK2 SAPE TERPESONG DAN TERUK@TAIK

Kontroversi Video Di Youtube, Yassin Terima Ugutan Bunuh
Posted on Thursday, March 07 @ 22:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjualCendol

Oleh OhBulan



Sekiranya minggu lalu pelawak dan penyampai radio terkenal Salih Yaacob berhadapan dengan isu video yang dikatakan memburukkan parti politik di YouTube, terbaru penyanyi yang terkenal menerusi lagu ‘Mimpi Laila,’ Yassin pula diugut bunuh gara-gara menyanyikan lagu berjudul ‘Reformasi’ di laman YouTube pada 24 Februari lalu.

Menerusi sebuah akhbar tempatan, Yassin dikatakan telah menerima ugutan daripada dua individu yang menonton video tersebut dan video itu turut mendapat pelbagai respon daripada penonton, sama ada negatif mahupun positif.
Yassin
Menurut Yassin, ugutan yang diterima adalah satu perkara serius dan dirinya sendiri telah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membela diri daripada ugutan bunuh berkenaan.
“Perselisihan pendapat adalah perkara biasa dan sebelum ini saya pernah menerima pelbagai pandangan negatif. Namun ugutan bunuh adalah perkara serius.
“Saya tidak tahu sama ada ugutan ini serius atau hanya main-main. Mungkin ada pihak yang tidak berapa senang dengan pelantikan saya sebagai duta Angkatan Muda Keadilan baru-baru ini. Jadi saya telah serahkan kes ini kepada peguam saya untuk diselesaikan.”
Menurut laporan yang sama, Yassin turut menyatakan bahawa, kebebasan bersuara seharusnya digunakan dengan cara yang baik dan bukannya dengan cara yang negatif seperti ini.
“Sekiranya saya silap dalam penulisan, kita boleh dialog, boleh mengkritik dengan platform yang betul. Bukan dengan ugut-mengugut begini.
“Saya harap individu terbabit berhentilah daripada melakukan perkara begini kepada sesiapa pun. Kebebasan bersuara perlu digunakan untuk kebaikan bukan untuk mengugut dan mencaci orang lain.”
Berikut kami lampirkan video tersebut untuk tatapan anda semua :

 

 

 

 Jeneral Pengganas Sulu Terbunuh, Kematian Pengganas Meningkat 52 Orang
Posted on Thursday, March 07 @ 21:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjualCendol

Oleh FH

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan jumlah pengganas Sulu yang dibunuh dalam Op Daulat sehingga kini ialah seramai 52 orang.

Menerusi sidang media pada petang Khamis, Ismail berkata anggota keselamatam berjaya menembak mati seramai 31 lagi pengganas bersenjata dalam operasi mopping-up yang dijalankan pada Khamis.

Menurut Ismail, kesemua 52 musuh yang dibunuh itu termasuk sejak pertempuran pertama setelah pasukan keselamatan Malaysia diserang hendap Jumaat minggu lalu di Kampung Tanduo di sini.

Antara yang terbunuh ialah pemimpin pengganas yang berpangkat jeneral namun belum dipastikan sama ada mangsa ialah adik kepada Sultan Sulu iaitu Raja Muda Agbimuddin Kiram yang mengetuai kumpulan itu menceroboh Sabah. 


 Pandai Dakwah Belum Pandai Siyasah
Posted on Thursday, March 07 @ 19:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjualCendol

Oleh Dr Asri

Apabila dunia Islam bergolak disebabkan kebosanan dan keme‘nyampah’an rakyat kepada regim ataupun penguasa mereka yang korupsi dan tidak jujur, mereka mula mencari alternatif pemimpin baru untuk diberikan amanah memimpin negara. Dalam carian mereka, tokoh-tokoh agamawan ataupun mereka yang dilihat sebagai pendakwah antara yang dicalonkan untuk amanah tersebut. Malangnya, dalam masa yang sama, kelompok agama ini pula ada yang seakan dalam dilemma ataupun kekaburan dalam melihat persamaan dan perbezaan antara tugasan dakwah dan tugasan politik.

Persamaan
Sebelum kita sebut perbezaan, kita tahu dakwah dan siyasah dalam Islam ini ada persamaan dalam beberapa sudut. Antaranya, keduanya hendaklah dilakukan sebagai menunaikan perintah Allah. Maka keikhlasan wajib untuk keduanya. Dakwah ke jalan Islam bermaksud mengajak manusia kepada ajaran Islam yang begitu luas. Siyasah syar’iyyah itu pula sebahagian dari ajaran Islam. Dalam gerakerja dakwah, seseorang mungkin menyeru atau memfokuskan seruan dakwahnya kepada mana-mana ajaran Islam seperti akidah, ibadah, akhlak muamalat dan juga siyasah. Dengan itu seruan kepada menghayati siyasah syar’iyyah merupakan sebahagian dari aktiviti dakwah.

Kerja dakwah itu menyuruh kepada yang baik, mencegah dari kemungkaran, itulah juga tanggungjawab seseorang muslim yang mendapat kuasa siyasah. Firman Allah dalam Surah al-Hajj ayat 41 (maksudnya):
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemungkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”
Dari ayat di atas kita tahu kekuasaan bagi membolehkan manusia aman menunaikan ibadah badaniyah dan maliyah yang diwakili oleh solat dan zakat. Kemudian dengan kekuasaan ditegakkan yang makruf iaitu segala bentuk kebaikan untuk kehidupan manusia daripada akidah, ibadah, kebajikan kehidupan harian seorang insan tanpa mengira latar agama, keadilan dan ihsan. Begitu dengan kuasa dicegah kemungkaran yang diperintahkan oleh Islam untuk cegah. Kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penindasan dan sebagainya.
Menegakkan kemaslahatan rakyat adalah tugasan penguasa, sementara mengajak manusia kepada kemaslahatan awam adalah tugasan pendakwah. Konsep al-Khair ataupun kebaikan dengan makna yang luas yang diminta oleh al-Quran untuk pendakwah seru kepadanya, al-Khair yang sama dituntut kepada pemerintah untuk menegakkannya. Justeru, Pemerintah yang soleh sebenarnya melakukan tugasan dakwah, sementara pendakwah yang soleh membantu kepada menegakkan siyasah syar’iyyah. Maka Ta’awun ‘ala al-Birr wa al-Taqwa boleh berlaku antara dua pihak.
Perbezaan
Walaupun terdapat persamaan antara gerakerja ataupun tugasan dakwah dibandingkan siyasah, namun di sana juga terdapat perbezaan antara keduanya yang jika tidak difahami dengan betul akan menyebabkan kekeliruan kepada yang terlibat. Ia juga akan membawa kepada sesetengah keliru dan berada dalam dilemma dalam memahami perbezaan antara keduanya.
Antaranya, dalam dakwah, yang penting ialah kejelasan mesej yang disampaikan kepada mad’u. Ini kerana tujuannya untuk memudahkan mereka beriman dan beramal. Sementara dalam dakwah yang penting adalah terlaksananya kemaslahatan sekalipun mungkin tidak difahami oleh orang bawahan. Inilah yang berlaku dalam Perjanjian Hudaibiyyah. Majoriti sahabat Nabi s.a.w melihat perjanjian itu tidak selaras dengan semangat juang mereka. Mereka terpaksa membatalkan hasrat mereka yang datang untuk menunai umrah ke Mekah dan menerima isi perjanjian yang sepintas lalu tidak selaras dengan jiwa mereka yang bersedia untuk mati membela kebenaran.
Paling tegas membantah ialah ‘Umar bin al-Khattab sendiri. Umar berkata:
“Wahai Rasulullah! Tidakkah kita di atas kebenaran dan mereka atas kebatilan?!” Jawab Nabi s.a.w: ‘Ya’. Kata ‘Umar: “Tidakah orang yang mati dalam kalangan kita di syurga, sedangkan yang mati dalam kalangan mereka dalam neraka?! Jawab Nabi s.a.w: ‘Ya’. Kata ‘Umar: “Maka atas alasan apa kita mengurangkan agama kita dan pulang (ke Madinah) sedangkan Allah belum lagi menurunkan hukumanNYA antara kita (siapa yang menang ataupun kalah).” Jawab Nabi s.a.w: “Wahai anak al-Khattab! Aku ini Rasulullah, Allah tidak akan mensia-siakan aku sama sekali”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim.)
Namun Nabi s.a.w melihat perjanjian itu di sudut politik yang mempunyai kesan yang lebih mendalam dan berterusan. Perjanjian itu telah memberi nafas baru dalam penyebaran risalah Islam dengan cara yang lebih luas dan berwibawa. Semangat dakwah menolak, tetapi strategi siyasah menerimanya.
Pemimpin
Mereka yang boleh melakukan tugasan dakwah belum tentu boleh melakukan tugasan politik. Justeru, Nabi s.a.w memberikan jawatan kepimpinan kepada mereka yang soleh tetapi tidak mempunyai kemampuan kepimpinan. Sabda Nabi s.a.w kepada sahabatnya yang soleh Abu Zar:
“Wahai Abu Zar! Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).
Dalam bahasa tempatan kita, bukan semua yang bergelar ustaz tahu berpolitik. Bahkan dalam Sirah, Rasulullah s.a.w melantik muka-muka baru yang mungkin ‘tidak terkenal dengan warak’ tetapi tangkas dan menetapi sasaran kepimpinan. Ini seperti melantik ‘Amr bin al-As menjadi gabenor ‘Oman walaupun beliau masih baru menganut Islam dibandingkan sahabat-sahabat yang lain.
Bahkan Nabi s.a.w mengiktiraf mereka yang mempunyai kualiti kepimpinan yang tertonjol semasa zaman jahiliah. Apabila mereka menganut Islam dan dapat memahami Islam dengan baik, maka mereka yang terpilih semasa zaman jahiliah akan terpilih juga semasa Islam. Seniority dalam menganut agama bukan penentu kepada kepimpinan. Ini disebut dalam hadis
“Manusia bagaikan bahan galian, seperti galian emas dan perak. Mereka yang terpilih semasa jahiliah, terpilih juga semasa Islam sekiranya mereka itu memahami Islam” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kurang Soleh
Dakwah itu menuntut kepada uswah hasanah ataupun teladan yang baik. Mereka yang tertonjol dalam dakwah itu terdiri dari mereka yang terpuji akhlak di khalayak manusia. Hal ini tidak semestinya berlaku dalam politik. Dalam politik amanah kepimpinan dirujuk kepada tuntutan ataupun keperluan jawatan. Sekalipun akhlak dan nilai diri amat penting, namun kadang-kala keadaan menuntut jawatan diberikan berdasarkan kepada keperluan semasa sesuatu jawatan.
Ini disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
“Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani -walaupun padanya ada kejahatan- diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah. Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi soleh tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: “Yang kuat dan jahat. Ini kerana kekuatannya untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri. Adapun yang soleh tetapi lemah maka kesolehannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam”. Maka berperang bersama yang kuat dan jahat.” RasululLah s.a.w juga pernah bersabda: Sesungguhnya Allah menguatkan agama ini dengan lelaki yang jahat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). [Ibn Tamiyyah, al-Siyasah al-Syar’iyyah fi Islah al-Ra’iy wa al-Ra’iyyah, m.s 29. Kuwait: Dar al-Arqam]
Kerjasama
Secara umumnya, muslim tidak perlu perkongsian dengan penganut agama lain dalam menyeru kepada akidah dan ibadah. Namun, dalam politik kerjasama dibolehkan jika ada keperluan untuk melakukan hal tersebut demi kemaslahatan awam. Bahkan kadang-kala tolak ansur antara pihak muslim dan selain muslim dibolehkan jika kemaslahatan menuntut berbuat demikian. Justeru Nabi s.a.w mengiktiraf dan menyokong perjanjian yang dibuat oleh Quraish semasa jahiliah kerana isinya membela golongan yang ditindas. Al-Tahawi dalam Mushkil al-Athar, juga al-Baihaqi (dalam as-Sunan al-Kubra meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya aku telah menyaksikan satu sumpah setia di rumah Abdullah bin Jad’an. Aku sukakan perjanjian itu melebihi unta merah. Jika aku diajak kepadanya semasa Islam pun, aku akan sertai.”
Banyak lagi perbezaan yang perlu difahami oleh golongan agamawan tentang neraca politik serta gerakerjanya yang mungkin berbeza sebelum mereka menyertai dan mengulas mengenainya.


 Media perdana itu hanya lah 'political bouncers'
Posted on Thursday, March 07 @ 20:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjualCendol

Oleh Aspan Alias
Pihak pimpinan UMNO dan BN semakin terhimpit dengan krisis keyakinan yang mereka sedang hadapi. UMNO sekarang mungkin telah sedar tiada apa yang kita sembunyikan selama ini akan kekal tersembunyi buat selama-lamanya. Perkembangan dan pembangunan industri media dan maklumat dalam dunia tanpa sempadan ini sangat menyusahkan UMNO. Tiada apa yang buruk mereka lakukan tidak dapat di sorokkan dan dengan sekelip mata sahaja akan di ketahui umum.


Apabila sampai sahaja maklumat ke satu-satu tempat maka dengan pantas UMNO akan menghadapi kejatuhan tahap keyakinan rakyat terhadapnya. Tetapi UMNO masih ada sedikit saki-baki kawasan yang belum di tempuhi oleh maklumat dan di sinilah UMNO mengharapkan pergantungan sokongan dari kawasan itu untuk mengharapkan dukungan.

Sejak dua tiga hari ini pimpinan tertinggi UMNO meminta supaya rakyat jangan percaya dengan media baru yang sedang berkembang dengan pesat sekarang. Isu ini di jadikan isu harian oleh pimpinan UMNO kerana mereka tahu yang rakyat lebih percaya kepada kredibiliti media alternatif jika di bandingkan dengan media arus perdana. Bagaimana mungkin UMNO terus-terusan bertahan dengan menjadikan media arus perdana sebagai alat propaganda mereka

Sekarang pimpinan UMNO amat gusar dengan media baru ini kerana mereka (UMNO) tidak dapat menutupi kerja-kerja mereka yang tidak semenggah selama ini. Jika tiada media baru ini bagaimana rakyat hendak tahu tentang isu NFC dengan betul misalnya. Tidak mungkin media perdana akan melambakkan apa yang sebenarnya berlaku dalam isu lembu dan pinjaman kewangan terhadap seorang keluarga  Ahli Jemaah Menteri yang terlibat itu.

Tanpa media baru tidak mungkin rakyat tahu bagaimana pimpinan UMNO menjual harta benda Kementerian Pertahanan yang melibatkan Senator Raja Ropiah berhubung dengan transaksi  tanah Kementah seluas 200 ekar itu? Jika media baru tidak wujud kita tidak mungkin tahu yang akuan bersumpah kedua PI Bala itu adalah akuan bersumpah palsu. Rakyat tidak akan tahu tentang Rosmah berlumba-lumba dengan suaminya dalam pembahagian bisnes dan kontrak kepada kawan dan sahabat masing-masing. DAN tidak akan tahu juga kita perhubungan Najib dengan Flora Ong misalnya.

Semua ini tidak akan di ketahui oleh ramai jika tiada media baru kerana media arus perdana di kuasai oleh UMNO dan semua ketidak telusan UMNO itu tidak akan di siarkan oleh mereka (media perdana). Bagi orang ramai media baru ini merupakan saluran alternatif kepada media perdana dan banyak telah merubah keadaan di negara kita kearah perubahan yang baik.

Media baru ini penting kerana ia boleh membuat ‘check and balance’ terhadap laporan media arus perdana. Media baru telah merongkai banyak hal dalam UMNO. Mereka (UMNO) tidak suka dengan ‘check and balance’ kerana media baru akan menyusahkan mereka untuk mendapatkan ‘cheque and all the balances’ yang ada dalam perbendaharaan negara untuk pimpinan mereka.

UMNO sendiri telah mengupah ramai penulis-penulis dalam media baru tetapi UMNO masih lagi takut menghadapi media baru ini. UMNO telah mengupah dan membariskan penulis yang handal-handal dan mempunyai pengalaman yang luas dalam penulisan dan kewartawanan sedangkan di pihak pembangkang mereka terdiri dari penulis yang amateur dan mereka menulis dengan sukarela tanpa apa-apa bayaran dan imbuhan.

Saya sendiri bukanya seorang penulis pun tetapi saya mula menulis di atas desakan keadaan untuk memberikan pandangan yang berbeza dengan media perdana yang tidak mempunyai laporan yang seimbang. Saya tidak mahu melihat orang ramai termakan dengan dakyah lapuk UMNO yang tertanam dalam parti itu sekian lama. Saya begitu sensitif terhadap tindakan mana-mana pihak memperbodohkan pihak yang lain yang telah berluas-luasa dalam masyarakat media kita.

Tetapi pihak pembangkang mendapat banyak sokongan dalam media baru bukan kerana mereka yang berpihak kepada pembangkang itu orang pandai-pandai, tetapi mereka lebih telus dan jujur serta mempunyai pemikiran yang jelas dan telus. Orang ramai bukan hendak membaca betapa hebatnya penulisan dalam media baru itu tetapi mereka memilih untuk memberikan sokongan kepada berita dan penulisan yang lebih jujur dan boleh di yakini.

Jika benar apa yang di siarkan oleh media arus perdana itu tidak di kotori dengan pembohongan masakan rakyat memilih untuk membandingkan kualiti laporan serta penulisan pihak media baru itu. Pihak UMNO tidak mungkin dapat mengekang rakyat dari mendekati media baru kerana rakyat bijak memilih yang mana satu yang telus dan yang mana satu yang bertujuan untuk mengelirukan mereka sahaja.

Rakyat telah sedar tentang peranan yang berguna yang di mainkan oleh media baru itu adalah untuk memberikan pandangan yang berbeza dengan pandangan media perdana yang penuh dengan elemen dakyah yang merosakkan pemikiran rakyat yang ramai.

Saya pernah di cerca oleh pihak penyokong UMNO dalam media baru ini yang mengatakan saya mempunyai penulisan yang kurang ‘standard’ nya, dan tidak seperti ‘standard’ mereka. Saya akui saya bukan seorang penulis dan saya menumpukan kepada pemikiran dan bukannya kepada nahu dan tata bahasa yang baik. Saya lebihkan untuk memberikan pandangan dan pemikiran saya dan saya tidak mahu masuk pertandingan menulis untuk mendapat hadiah yang besar.

Walaubagaimana pun saya dapat merasakan respon dari masyarakat sangat baik terhadap pandangan dan kritikan saya terhadap isu yang mengelilingi UMNO dan BN. Saya tahu kelemahan saya dan itulah sebabnya saya tidak menggunakan perkataan-perkataan yang kotor seperti ‘bangang’, ‘bodoh’ ‘babi’ dan superlatives yang buruk-buruk dalam penulisan saya. Saya tahu yang penggunaan istilah kasar dan kotor itu adalah satu pancaran jelas samada seseorang itu terdidik oleh ibu bapa dan keluarga yang baik-baik. 

Kata-kata yang keluar dari mulut seseorang itu melambangkan tahap darjat seseorang itu. Darjat kita bukan terletak kepada wang ringgit dan kekayaan kita sebaliknya darjat itu merupakan bayangan kepada darjat diri kita yang sebenar-benarnya. Semasa saya mula membuat kritikan terhadap kerajaan melalui penulisan di media baru dahulu, saya pernah dilemparkan dengan kata-kata kesat seperti bodoh, sial, dan berbagai-bagai lagi panggilan yang buruk-buruk oleh penyokong UMNO dan BN.

Tetapi saya memilih untuk berdiam diri sahaja kerana yang mengatakan saya dan yang lain itu sebagai bodoh itu, adalah orang bodoh yang sebenar-benarnya. Saya tidak perlu memberikan respon terhadap tindakan mereka yang tidak mempunyai keperibadian itu. Saya berdiam diri dan hanya menyandarkan segala-galanya kepada kebenaran tentang apa yang saya tulis itu. Saya masih mempunyai masa untuk membuktikan segala ketelusan penulisan saya, malah setengah dari apa yang saya jangkakan itu telah pun terbukti kebenarannya.

Saya berkeyakinan media baru itu juga mampu untuk memberikan pelajaran kepada masyarakat tentang perkara baik walaupun tidak semua boleh memahami nilai sebenar seorang manusia itu. Seseorang yang tahu membuat penilaian itu hanya lah dari mereka yang terdidik dari keluarga yang baik.

Dalam media baru ini kita dapat belajar bermacam-macam perkara. Pengalaman saya selama beberapa tahun ini membuatkan kita lebih memahami manusia. Kita sudah boleh memahami yang sesiapa yang jiwanya kotor dan gundah gulana tanpa ketenangan akan di paparkan oleh mereka sendiri melalui penulisan dan komen mereka terhadap sesuatu isu itu.

Bahasa mereka akan lebih kasar dan tidak akan membahaskan sesuatu isu itu secara terbuka malah mereka terus sahaja melepaskan kata-kata kesat yang tidak selayaknya keluar dari insan yang secantik-cantik kejadian Tuhan itu.

UMNO sememangnya dalam keadaan terdesak sekarang ini. Sekarang media baru pula yang mengancam mereka. Bagaimana UMNO boleh bersandar kepada media arus perdana lagi? Sudah terbukti media perdana sudah menjadi bahan sindiran akhir-akhir ini kerana terlalu kerap gagal mempertahankan kewibawaan mereka di mahkamah.

Utusan misalnya telah terbukti sebagai salah satu punca fitnah dengan kegagalan mereka dalam beberapa saman yang di failkan oleh beberapa orang pimpinan Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini. Mahkamah telah membuktikan yang media perdana telah melakukan banyak fitnah yang tidak ada batasnya terhadap pimpinan pihak alternatif. Mereka ini (media arus perdana) hanyalah merupakan ‘political bouncers’ untuk mengekang kebenaran dari di ketahui umum.

Utusan sahaja terpaksa membayar jutaan ringgit kepada mereka yang telah menjadi mangsa fitnahnya sejak akhir-akhir ini. Itu sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa media arus perdana itu merupakan sumber besar fitnah yang berkeliaran di mana-mana sekarang.


 Ceroboh: PAS tubuh JK Bertindak Kedaulatan Negara
Posted on Thursday, March 07 @ 20:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjualCendol

Oleh Abdul Hadi Awang
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengambil berat dan memantau dengan serius perkembangan isu pencerobohan yang berlaku di Sabah kerana ia berkaitan dengan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat Malaysia dalam negara mereka sendiri.
Kehilangan nyawa anggota keselamatan yang menjalankan tugas secara professional menjaga keselamatan negara ini pula tentulah akan dikenang dalam lipatan sejarah sebagai satu pengorbanan yang teramat tinggi nilainya.


Pada masa yang sama, pendedahan demi pendedahan terhadap wujudnya kelemahan wibawa kepimpinan negara dalam menguruskan isu tuntutan serta menyelesaikan punca masalah (root–cause) krisis ini dari mula berputik sehingga kini menjadi satu tragedi sebagaimana yang dipaparkan kepada kita melalui berbagai bentuk media, telah membuka mata kita betapa bahayanya negara ini jika kita meletakkan masa depan negara di tangan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah selama lebih 50 tahun ini.

PAS juga berpendirian dalam situasi hari ini keselamatan rakyat Malaysia sama ada dari kalangan pasukan keselamatan yang sedang bertugas dan rakyat keseluruhan perlu menjadi keutamaan, bukannya mempertikaikan kesetiaan mana-mana pihak terhadap negara.
PAS yakin seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai kaum termasuklah mereka dari keturunan Sulu yang menjadi warga negara Malaysia itu akan menumpahkan taat setia kepada Malaysia.
Dengan sebab itu, tindakan mana-mana pihak yang menggelar rakyat Malaysia yang lain sebagai pengkhianat atau musuh dalam selimut boleh mencetuskan ketegangan kaum dan akan menimbulkan satu lagi masalah baru kepada Malaysia.
Menyedari betapa pentingnya isu kedaulatan negara yang bukan sahaja menjadi tanggungjawab pasukan keselamatan, serta keperluan rakyat Malaysia bersatu padu menumpahkan taat setia kepada negara dalam keadaan yang genting seperti ini, PAS dalam Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihanraya semalam telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Kedaulatan, Keselamatan Negara dan Rakyat.
Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Timbalan Pengerusi Datuk Fauzi Shaari (mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Di Raja Malaysia, Bukit Aman) dan akan dianggotai oleh tokoh-tokoh dari kalangan bekas-bekas pegawai tinggi polis dan tentera, mantan pegawai-pegawai kerajaan dan veteran politik.
Jawatankuasa ini berperanan utama untuk meneliti, menilai dan membuat cadangan terhadap isu-isu kedaulatan dan keselamatan negara serta rakyat setelah kita melihat kegagalan dan kelemahan ketara di pihak kerajaan pimpinan BN yang ada ini.
PAS juga mengalu-alukan langkah pro-aktif Dewan Pemuda PAS yang mewujudkan tabung khusus bagi membantu keluarga anggota keselamatan yang ditimpa musibah ini, dan saya meminta agar setiap ahli PAS di seluruh negara turut sama memberikan sumbangan sekurang-kurangnya seringgit bagi setiap orang sebagai satu amal kebajikan.
Akhir sekali, PAS menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya mempertingkatkan iltizam kita untuk mempertahankan kedaulatan negara dan terus memupuk semangat perpaduan bagi mengelakkan ketegangan kaum yang boleh timbul akibat isu pencerobohan ini.
Rakyat Malaysia keseluruhannya mesti menghindari provokasi mana-mana pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’ untuk meraih kepentingan mereka yang sempit, dan mengutamakan solidariti rakyat Malaysia di saat-saat genting seperti ini.


 Lahad Datu: Jangan lekas jatuh hukum
Posted on Thursday, March 07 @ 21:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjualCendol

Oleh Roslan SMS

Seluruh rakyat Malaysia saya percaya sedang menunggu dengan memberi perhatian penuh kepada perkembangan di Lahad Datu. Pastinya berbagai anggapan timbul dan membuak di dalam hati tetapi yang pentingnya diperingkat ini kita perlu beri perhatian dengan meletakkan kepentingan dan kedaulatan Negara diperingkat teratas.Jangan lagi prejudis dan celupar dengan pelbagai spekulasi sedang kita sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku di “ground zero”. Berilah keyakinan kepada pasukan keselamatan kita. Biarlah pengganas Suluk dari luar tempat kejadian khasnya Sultan Kiram dan kerabatnya keluar dengan kenyataan mereka, kita berlapang dadalah dahulu.

Saya terbaca komen seorang pengunjung di sebuah portal berita menyebut:Wow..how come an airstrike with bomb pounding on them can't manage to kill at least 5 - 10 gunmen instead only 1 was killed?? Every time a bomb was released from the plane it cost $100,000 plus and it not a small amount of money and it tax payer money. So is the bomb faulty or the pilot missed their target or the onboard equipment faulty?? Malaysia spend billion of USD to buy sophisticated weapon and train the personnel and this is the result. Malaysia boleh!!

Ini masalah keselamatan dan pertahanan Negara yang melibatkan nasib dan masa depan kita khasnya rakyat di Sabah. Tidak bolehkah kita buat seketika berikan keyakinan kepada pihak yang bertanggungjawab. Bagaimana kita boleh tergamak menghamburkan maki dan kata nista sedang kenyataan akhir secara rasmi belum dikeluarkan.
Ingat ketika Amerika Syarikat menjejaki Osama ben Ladin di pergunungan Tora Bora, ratusan bom dan peluru digugurkan dengan kecekapan ketenteraan dunia berpusat di sana, namun Osama lolos jua. Tetapi tidak pula rakyat Amerika mengutuk dan mengata nista tentera mereka sebaliknya terus berdiri teguh dan memberikan sokongan.

Kita di sini, baru sehari pihak keselamatan kita berjuang “all out” terus kita perlekehkan begitu sahaja.
Saya yakin semua yang terlibat bersungguh-sungguh mahu mengakhiri episode hitam ini, darah wira kita yang gugur tempuh hari perlu dibela, kedaulatan Negara dipertahankan. Tidak ada seorang pun mahu pengganas Suluk ini bebas lolos, berilah keyakinan kepada yang bertanggungjawab selain berdoa kehadrat Allah swt. Sabar.


 Anwar Ibrahim Mengaku Minyak Naik Kerananya
Posted on Thursday, March 07 @ 21:30:26 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Oleh: DukunPasir

"

Bermula malam ini, para pengguna minyak RON97 termasuk penulis yang sesekali menggunakan RON97 untuk elakkan enjin rosak...akan merasa satu lagi peningkatan dalam harga minyak.
 Peningkatan harga ini memang ditunggu dan dinantikan oleh semua rakyat bagi menyaingi peningkatan kadar rasuah dan index jenayah ...jadi dengan adanya peningkatan begini...ianya akan dapat meningkatkan daya saing kesusahan rakyat....


Errr....Macam biasa......Anwar Ibrahimlah punca kenaikan 20sen RON97 ini dan ini diakui sendiri oleh Anwar dalam Facebook milik beliau....


 Lahad Datu: Tian Chua Mangsa Politik Jahat BN
Posted on Thursday, March 07 @ 22:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjualCendol

Oleh Tian Chua

Sejak tanggal 1 Mac, pemimpin-pemimpin BN dan kerajaan telah melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap saya. Blog dan cybertrOoper pro-BN juga meyebarkan numbor telefon saya dan menghasut penyokong BN hantar mesej ancaman kepada saya.

Pada tanggal 4 Mac, Parti Umno telah hantar surat tuntutan kepada saya bahawa saya harus memohon maaf kepada Umno. Di sini saya tegaskan sekali lagi, saya tidak pernah keluarkan apa-apa kenyataan yang menghina mana-mana pihak. Saya akan serah kepada mahkamah untuk membersihkan nama saya.

Tuduhan bahawa saya telah menghina Pasukan Keselamatan adalah fitnah dan pembohongan jahat oleh pemimpin-pemimpin BN. Saya ingin ulangi pendirian saya bahawa saya menghormati perana Pasukan Keselamatan dan jasa mereka dalam tugasan mempertahankan negara. Saya juga bersimpati dengan anggota-anggota keselamatan yang berkorban atau menjalankan tanggungjawab dalam keadaan yang sangat mencabar.

Di sini saya ingin buat kali terakhir untuk menjelaskan kenyataan yang telah diwara-warakan oleh pemimpin-pemimpin BN dari perdana menteri ke bekas Ketua Polis Negara yang mendakwa saya menghina anggota keselamatan.

Saya ingin terangkan kontek kenyataan saya dalam KeadilanDaily.com:

Saya dihubungi wartawan untuk komen tentang pecerobohan di Lahad Datu pada pagi 1 Mac ketika ada berita antarabangsa melaporkan ada tembakan berlaku. Saya secara jelas menyatakan perkara ini belum ada kesahihan dan ada media black-out di Malaysia.

Perenggan yang kemudian, sesiapa pembaca celik sudah tentu faham ia dinyatakan dalam kontek ada usaha setengah-tengah pemimpin BN dan blogger cuba kaitkan pihak pembangkang dalam pencerobohan Lahad Datu. Ia mesti dibaca bersama banyak artikel-artikel sebelum ini yang mendakwa saya dikirim oleh DS Anwar ke Manila untuk berunding dengan MNLF. Juga ada dakwaan Anwar mendalangi peristiwa Lahad Datu. Segala ini telah disifatkan sebagai sandiwara oleh ramai pemimpin-pemimpin yang lain.

Perkara ini dirumitkan lagi bila ada blogger Umno termasuk Papagomo dan lain-lain rekakan berita bahawa saya berucap di Puchong menyifatkan pengorbanan anggota keselamatan dengan ayat "Komando Mati Katak". Ini fitnah yang keterlaluan dan telah membawa ancaman terhadap keselamatan peribadi saya. Saya menasihatkan semua blogger yang menyiarkan berita palsu ini untuk berhenti dalam 24 jam, dan saya akan hantar surat saman kepada sesiapa yang meneruskan sebaran berita palsu ini.

Saya amat kesal terhadap pemimpin-pemimpin BN dan juga media yang dikuasai mereka memular-belitkan kenyataan saya sehingga menghasut kebencian orang ramai yang tidak ketahui kebenaran. Ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan bermotif politik.

Dalam keadaan negara kita menghadap ancaman anasir-anasir ganas, keseluruhan rakyat Malaysia sepatutnya berdiri teguh memberi sokong penuh kepada Pasukan Keselamatan kita. Malangnya, kerajaan tidak terhenti-henti menyerang politik lawan. Sepatutnya ahli-ahli politik harus menunjukkan rasional dan kematangan untuk membina kesepakatan menghadapi krisis negara.

Saya harap episod tuduh-menuduh ini boleh dihentikan serta-merta. Kepada anggota keselamatan yang mengorbankan nyawa dan kesejahteraan diri, saya sampaikan penghormatan tertinggi dan harap adu-domba politik di antara kerajaan dan pembangkang tidak melemahkan semangat. Teruskan perjuangan, rakyat Malaysia menyanjungi kamu semua. 


 

Tiada ulasan: