Jumaat, 3 Jun 2011

BEKERJASAMA PADA SAPE PUN BOLEH...IAITU PERKARA YANG MAKRUF DAN BUKAN YANG MUNGKAR...JIKA YG MUNGKAR..TU JERAT LEHER NAMANYA....

PAS dan Umno boleh kerjasama bukan berpakat
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 3 Jun: PAS sedia bekerjasama dengan Umno untuk hal-hal tertentu tetapi sama sekali tidak akan berpakat dengan parti nasionalis itu.

"Dengan Umno, kerjasama boleh tetapi untuk pakat tak ada. Bincang untuk pilihan raya adil dan lebih demokratik, kita bersedia," kata Abdul Hadi dalam sidang medianya tengahari tadi.

Abdul Hadi berkata, pelbagai kerjasama yang telah PAS buat dengan Umno termasuk dalam isu nukleur, Palestine dan juga berusaha sama-sama untuk menghadapi masalah ekonomi melalui Majlis Perunding Ekonomi Negara (Mapen).

Beliau menjawab soalan wartawan ekoran sikap Umno yang terus-terusan mengajak PAS bersama dengannya.

Untuk menjawab sikap Umno yang terus-terusan membuat kenyataan meminta PAS meninggalkan Pakatan Rakyat, Abdul Hadi berkata, "Itu kena tanya Umno, kenapa tawar PAS sampai begitu sekali, susah sangat ke hingga tawar PAS."

Dalam sidang media yang disertai oleh timbalannya, Nasharudin Mat
Isa dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali itu, Abdul Hadi mengucapkan terima kasih kepada semua petugas muktamar yang telah memastikan muktamar berjalan dengan baik.

"Terima kasih khasnnya ditujukan kepada Jawatankuasa Pemilih pimpinan Datuk Halim yang telah berjaya menjalankan tugas dengan baik dan berjalan lancar," katanya.

Pemilihan peringkat pusat berjalan hari ini manakala keputusannya akan dimaklumkan pagi esok.

Abdul Hadi juga berpuashati dengan kerjasama yang baik antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

"Saya turun ke bawah, ke negeri-negeri dan kawasan, saya lihat kerjasama yang baik di kalangan petugas kita dari pelbagai parti Pakatan, kaum dan agama," kata beliau.


Beliau mengaku, PAS, PKR dan DAP boleh berbeza idealogi, agama pendekatan "tetapi kita boleh kerjasama dalam titik persamamaan."

Ketiga-tiga parti juga mencapai kata sepakat dalam perkara asas iaitu menerima Islam sebagai agama persekutuan, Bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu.

"Masalah yang berbeza agama itu hak masing-masing dan tidak perlu kita perbetulkan," katanya.

Ketika ditanya tentang isu negara berkebajikan yang menjadi tema muktamar kali ini berbanding negara Islam, Abdul Hadi menjelaskan PAS sekarang mementingkan isinya.

"Tema kita negara berkebajikan, ia sememangnya dah ada dalam Islam. Dalam al Quran tak sebut negara Islam, dia sebut negara kebajikan, jadi kita laksanakan iaitu kita dahulukan yang ada persamaan," kata Abdul Hadi.

Beliau mengaku antara parti-parti ini ada beza antara satu sama lain.

"Kita berikan hak mereka yang benarkan minum arak tetapi kita tidaklah turut sama minum arak dengan mereka sebagaimana sesetengah pihak," katanya.

Berhubung dengan perbezaan latar belakang pemimpin dalam PAS pula, Abdul Hadi berkata, ia wujud sejak awal PAS lagi jadi tidak berbangkit soal PAS berpecah.

"Perpecahan dalam PAS tidak berlaku kerana wujudnya kumpulan ini sejak ditubuhkan lagi, Dr Haji Abas adalah Yang Dipertua PAS, Aminudin Baki dan juga Datuk Asri Muda semuanya bukan ulamak namun PAS kukuh kerana kepimpinannya secara kolektif untuk laksakan Islam yangluas bukan fahaman barat yang sempit," jelas Abdul Hadi.

PAS Perkenal Dasar Undang-undang Didik Rakyat

GOMBAK, 3 Jun - Undang-undang yang mendidik rakyat adalah objektif PAS dalam menerajui negara yang berkebajikan, ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, kaedah denda yang ditetapkan oleh kerajaan kepada pesalah di negara ini tidak menjurus ke arah pendidikan akhlak dan pemantapan rohani. Sebaliknya, ia hanya bertujuan menakutkan rakyat.

Tegas Abdul Hadi itu lagi, kaedah perundangan Islam menjadikan orang yang dituduh belum bersalah dengan wajib melindungi dan membelanya. Sementara seorang hakim pula mencari jalan untuk membebaskan tertuduh bukan menjatuhkan hukuman.

"Islam juga menggalakkan orang yang bersalah bertaubat. Justeru balasan yang bakal dilalui oleh tertuduh bukan di dunia malahan di akhirat juga tetap dihitung,

"Islam juga membuktikan bahawa wujudnya hukuman dalam Islam adalah bersifat adil dan bukan bersifat zalim," jelasnya.



Ucapan bernas ke arah pengukuhan dasar - NGO
Aziz Muda
KUALA LUMPUR 3 Jun: Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sememangnya layak diberikan pujian kerana berjaya mengenengahkan fakta-fakta yang bernas bagi kemantapan PAS dan kepentingan negara, menerusi ucapan dasarnya.

Dalam ucapan dasarnya pada Muktamar PAS Ke-57 di Kolej Univeriti Islam Zulkifli Mohamad di Taman Melewar, di sini, hari ini, beliau antara lain telah menyentuh pelbagai perkara bagi pengukuhan dasar PAS yang tidak boleh lari dari perjuangan Islam.

Timbalan Pengerusi 1 Sekretariat Misi Cakna Pallestin, Wan Mohd Sharafi berkata, menerusi ucapannya itu, Presiden PAS telah meletakkan harapan yang tinggi kepada ahli-ahli parti agar istiqamah dengan perjuangan walaupun menghadapi tekanan hebat.

Menurut beliau, serentak dengan itu, Presiden PAS telah mengingatkan ahli-ahli parti agar terus mempertahankan nilai-nilai murni yang tetdapat dalam perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Katanya, konsep syura', konsep ukhwah islamiah perlu dijaga oleh setiap pemimpin dan ahli-ahli parti walaupun ketika berhadapan dengan pemilihan jawatan dalam parti.

"Sebaliknya, pertandingan untuk jawatan dalam parti bukanlah untuk merebut jawatan, tetapi untuk sama-sama menyumbang bagi kepentingan parti demi meneruskan perjuangan untuk Islam.

"Dalam masa yang sama, ikatan ikhwan pada semua peringkat perlulah diaga. Itulah mesej awal Presiden yang disampaikan untuk renungan para perwakilan khasnya dan seluruh umat Islam di tanah air amnya," katanya ketika ditemui di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad, di sini, hari ini.

Selepas itu, menurut beliau, ucapan Abdul Hadi dikembangkan pula dengan menjurus kepada kerangka kerja menerusi rangka yang jelas menerusi lajnah-lajnah dan saluran-saluran parti di semua peringkat supaya bergerak lebih efektif menerusi dasar utama menegakkan Islam.

"Ucapan itu memberikan garis panduan yang jelas ke arah pengukuhan parti yang sekali gus boleh mendidik kefahaman awam yang ingin mendapatkan penjelasan yang jelas tentang kedudukan dan perjuangan PAS yang kini turut berada dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Walaupun berada dalam Pakatan Rakyat, katanya, PAS tetap meneruskan parti yang konsisten dengan nilai-nilai perjuangannya.

"Itulah dasar, identiti dan jati diri PAS yang diharapkan berlaku secara berterusan oleh orang ramai yang ditegaskan sendiri oleh Presiden PAS menerusi ucapan dasarnya itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi 11 Sekretariat Misi Cakna Palestin, Ausaini Ibrahim ketika ditemui berkata, sebagai pemimpin NGO yang turut komited dengan perjuangan Islam, beliau menyokong penuh ucapan Abdul Hadi itu.

Menurut beliau, ucapan Abdul Hadi antara lain jelas ke arah memperkuatkan PAS bersama Pakatan Rakyat lebih-lebih lagi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tidak lama lagi.

Katanya, dalam mentadbir negara, Kerajaan BN ternyata gagal dalam pelbagai perkara termasuk dalam mengurus ekonomi negara.

"Selain kenaikan harga petrol dan barangan keperluan utama yang cukup membebankan rakyat, pentadbirtan BN juga penuh dengan rasuah.

"Perkara itu berbeza sama sekali dengan PAS yang bukan sekadar bersih dengan rasuah, tetapi juga sentiasa menjaga kebajikan rakyat.

"Itulah konsep dan pendekatan PAS jika diberikan amanah memerintah negara bersama Pakatan Rakyat," katanya.

Untuk melihat kebenaran dan perubahan itu, katanya, rakyat negara ini yang meliputi pelbagai kaum dan agama perlu memberikan undi kepada PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 nanti.

"Dengan itu, rakyat sendiri bolehlah menilainya. Semua pemimpin dan ahli-ahli PAS pula perlulah bersedia ke arah itu. Itulah antara mesej ucapan Abdul Hadi menerusi ucapannya itu," ujar belia

Proses pengundian bermula
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 3 Jun: Seramai 1077 perwakilan memulakan proses pengundian bagi memilih ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat bagi sesi 2011/2013 petang ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memulakan proses membuang undi setelah mendengar taklimat daripada Pengerusi jawatankuasa pemilihan PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Ianya kemudian diikuti barisan kepimpinan utama lain termasuk Syura, AJK PAS Pusat dan Pesuruhjaya Negeri yang keseluruhannya berjumlah 52 orang.

Turut mengundi adalah wakil ketiga-tiga dewan iaitu Ulama, Pemuda dan Muslimat berjumlah 60 orang.

Paling ramai adalah dari kawasan yang berjumlah 963 pengundi.

Pemilihan kali ini tentunya tertumpu kepada jawatan Timbalan Presiden yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Manakala untuk Naib pula menyaksikan enam nama yang bertanding merebut tiga tempat yang ditetapkan.

Mereka adalah Datuk Husam Musa, Idris Ahmad, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Mohd Amar Abdullah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Salahuddin Ayub.

Bagaimanapun, keputusan difahamkan hanya akan diketahui esok.

PAS tawar pengurusan ekonomi lebih baik
Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 3 Jun: PAS memberi tawaran mengurus kahazanah negara lebih baik berbanding BN jika diberi peluang memerintah negara bersama Pakatan Rakyat.

Di bawah agenda 'membetulkan salah urus ekonomi', Presiden PAS dalam ucapan dasarnya berkata, PAS berperinsip pengurusan kekayaan negara adalah amanah dari Allah dan bukan untuk kepentingan kelompok tertentu seperti diamalkan Umno BN.

Dengan perinsip itu kata Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bakal menjauhkan salah urus, rasuah dan penyelewengan yang selama ini gagal diamalkan Umno BN.

Sesuai dengan perinsip Islam yang menuntut keadilan kepada semua, PAS juga mahu memastikan pengagihan kesejahteraan ekonomi sampai kepada rakyat bawahan tanpa mengira latar belakang politik, kaum dan agama.

"BN tidak memahami semua perhitungan ini kerana tidak mengambil kerangka dan asas pemikiran yang dianjur Islam.

"Sebaliknya urus tadbirnya hanya untuk kepentingan kelompok tertentu yang ada hubungan dengan elit politik kerajaan Umno BN,"katanya.

Ianya termasuk projek Menara Warisan yang bernilai RM5 bilion yang sewajarnya digunakan untuk perkara asas lain yang lebih diperlukan rakyat.

Rakyat ujarnya boleh melihat kesan pengurusan yang tidak dilandaskan pada agama seperti kerugian RM12.5 bilion wang rakyat dalam PKFZ, tambahan RM1 bilion projek empangan Bakun, Istana Negara dan lain.

Selain itu, rakyat juga ujarnya terus dibebankan dengan kenaikan harga barangan keperluan asas, atas nama 'merasionlisasikan' subsidi sedangkan pada masa sama kerajaan Umno BN ghairah dengan projek membazir.

Komitmen untuk melaksanakan urus tadbir yang baik ini tegasnya lagi, telah diterjemah dalam Buku Jingga yang menjanjikan perubahan 100 hari pertama sejurus Pakatan Rakyat memerintah.

"Sesuatu 'Perubahan Ekonomi' hanya akan dapat direalisasikan oleh sebuah kerajaan yang juga melaksanakan 'Reformasi Politik'.

"Kami yakin sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat diberi mandat untuk mentadbir negara ini, kami akan uruskan demokrasi agar ia berfungsi dengan betul, seterusnya mengembalikan keyakinan, kewibawaan dan integriti kepada institusi kritikal negara, sekaligus mewujudkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran, maka kegiatan ekonomi dan pelaburan akan dapat dirancakkan dalam satu ekosistem yang menggalakkan,"katanya dihadapan ribuan hadirin di dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhamad (KUIZM) hari ini.

Turut hadir mendengar ucapan dasar itu adalah para pemimpin dari parti rakan Pakatan Rakyat termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail and Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Ucapan Dasar: PKR, DAP puji komitmen PAS
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 3 Jun: Ucapan dasar Presiden PAS bertemakan "Membangun Negara Berkebajikan" di Muktamar PAS Pusat kali ke-57 mendapat reaksi positif daripada rakan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang hadir sebagai tetamu ke muktamar yang bermula hari ini di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) berkata, ucapan dasar tersebut mempunyai mesej yang jelas mengenai peranan PAS untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13.

"Satu ucapan yang dinamik yang merangkumi pelbagai aspek untuk kita menghadapi pilihan raya dan juga memberi mesej kepada ahli PAS sendiri dalam pemilihan kali ini.

"Satu ucapan yang memberangsangkan dan memberi peringatan dan merangkumi semua aspek yang saya rasa begitu baik sekali," katanya kepada pemberita selepas selesai majlis perasmian muktamar tengah hari tadi.

Ditanya mengenai pandangan beliau bahawa wujudnya perbezaan pendapat di kalangan rakan Pakatan, beliau berkata Pakatan selalu berbincang dan mempunyai objektif yang jelas.

"Kita memang selalu berbincang.Itu lainnya Pakatan dengan BN.BN tak boleh bincang kena ikut sahaja.Ini perhubungan yang dinamik,ada perbezaan pendapat tapi ada objektif yang utama," katanya.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution pula menyifatkan ucapan itu sebagai konfrenhensif dan merangkumi pelbagai perkara untuk menghadapi PRU 13.

Beliau berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara jelas menyebut mengenai pelan orientasi bagi menghadapi PRU 13 dan rancangan PAS untuk mengukuhkan lagi Pakatan.

"Fungsi dan tugas-tugas penting cawangan-cawangan dalam PAS, Dewan Muslimat dan Pemuda disebutkan.

"Ucapan bersifat dalaman, kritikan terhadap isu negara amat kurang tapi lebih fokus kepada membina kekuatan dalaman sebagai prasyarat menghadapi BN," kata beliau kepada pemberita selepas selesai majlis perasmian muktamar tengahari tadi.

Zahir kebersamaan dalam PR

Sementara itu, ahli Parlimen Seputeh daripada DAP, Teresa Kok berkata ucapan dasar tersebut telah menzahirkan arah dan tujuan PAS bersama Pakatan Rakyat.

"Dalam ucapan ada disebut hubungan PAS dalam Pakatan yang mana kita perlu ada kerjasama yang lebih erat. Memang ini satu tanda yang menunjukkan Pakatan Rakyat akan terus teguh dan bekerjasama menuju Putrajaya.

Beliau juga melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian muslimat PAS yang menjadi golongan penting dalam penggubalan dasar negara.

"Saya rasa sangat gembira kerana dalam PAS sendiri ada wakil rakyat di Dun, Parlimen dan Senator.

"Saya harap muslimat PAS akan terus mengembangkan pengaruh dalam parti dan memainkan peranan ke arah pusat," katanya.


Amalan politik Umno sesatkan orang Melayu
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Jun: Ajaran sesat mengatakan politik tidak ada hubungan dengan ajaran Islam menyebabkan berlakunya khianat dalam pentadbiran negara, kata Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

“Ajaran sesat ini telah melahirkan pemimpin Melayu yang tidak ada perhitungan agama dalam amalan politik mentadbir negara, seterusnya berlaku khianat dalam memimpin rakyat dan mengurus sumber negara yang melimpah ruah,” kata Abdul Hadi dalam ucaptamanya di Mukmatar PAS ke 57 di Taman Melewar pagi ini.

Hadi berkata walaupun kini ramai di kalangan orang Melayu Islam telah menerima politik sebahagian dari agama, namun tindakan politik mutakhir ini telah dibejati oleh amalan-amalan yang tidak mengikut batas agama dan syariat.

“Kemurnian politik telah dicemari oleh tindakan jijik menerusi rasuah politik wang, fitnah, sikap perkauman sempit, pembohongan, dan segala macam perkara kotor yang memalukan anak-anak yang menjadi penonton di sekeliling kita,” kata Abdul Hadi sambil menegaskan bahawa Umno Barisan Nasional tidak boleh diharap untuk membersihkan budaya politik yang dikotorkan oleh tangan mereka sendiri.

Akibat dijangkiti keruntuhan moral dan zalim, rasuah dan penyalahgunaan kuasa sehingga tidak menunaikan amanah besar yang diwajibkan oleh Islam kepada penganutnya, kata Abdul Hadi pemimpin Melayu Islam telah membebalkan majoriti rakyat beragama Islam telah gagal menjadi model Islam yang sebenar kepada rakyat bukan Islam.

Umno, kata beliau walaupun merupakan parti majoriti Melayu dan Bumiputera yang telah diberi amanah pemerintahan sejak keluarnya penjajah asing, masih dibarahi penyakit warisan penjajah yang memisahkan amanah ini daripada perhitungan agama.

“Akibatnya amanah yang besar ini dijadikan peluang kebendaan yang menyuburkan perbuatan rasuah dan khianat. Akhirnya, harta negara menjadi milikan peribadi pemimpin mereka, meninggalkan rakyat berhempas pulas untuk melangsungkan kehidupan di dunia ini,” selar beliau.

Tambah beliau lagi, perkara ini akan berterusan selagi urus tadbir dan tata-kelola pengurusan sumber dan khazanah kekayaan negara tidak mengambil dan merujuk kepada falsafah dan jauh sekali menghayati tuntutan Islam.

“Cita-cita murni untuk membina sebuah negara yang sejahtera dan aman telah digagalkan oleh sebuah pemerintahan yang terus memimpin secara tidak bertanggungjawab,” kata Abdul Hadi.

Menurut Abdul Hadi, umat Melayu Islam sebagai teras politik dalam negara kita ini, semakin hari semakin lemah jati diri kerana lemah kefahaman Islamnya, apabila kerajaan hari ini tidak menjadikan Islam agama yang memerintah dan tidak mampu menunjukkan model Islam kepada masyarakat majmuk.

“PAS wajib menyelamat negara dan penganut Islam yang hilang punca dan membetulkan fahaman yang salah ini,” tambah beliau.

Mengenai perjuangan Umno, Abdul Hadi berkata mereka hanya sekadar berminat untuk mengekalkan kuasa mereka dan bukannya untuk memartabatkan Melayu dengan Islam.

“Ini kerana Melayu Umno tetap menyokong BN walaupun di kawasan PAS bertanding menentang calon MCA dan MIC, sebaliknya sudah ramai bukan Melayu dan bukan Islam yang komited mengundi calon PAS yang menentang calon MCA dan MIC dari Barisan Nasional. Hakikatnya, Umno telah menjadikan penyokong Melayu Islam buta dan pekak dengan politik wang, media dan hiburan yang melalai dan membodohkan mereka,” terang beliau.

Adalah menjadi tanggungjawab besar bagi PAS, kata Hadi untuk terus menerus memperkenalkan ajaran Islam secara ilmu kepada seluruh rakyat dengan mengembalikan umat Islam yang jahil kepada Islam, supaya membebaskan diri daripada khurafat politik Umno bahawa mereka sahaja boleh memerintah.

“PAS wajib menyelamatkan negara dan rakyat daripada belenggu kejahilan dan kezaliman politik dengan peringatan Allah SWT,” tegas beliau.




Wajib daftar jadi pengundi
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 2 Jun: Setiap umat Islam di negara ini diingatkan agar tidak memandang mudah dengan pendaftaran menjadi pengundi kerana perkara itu wajib hukumnya dalam Islam.

Tanpa pendaftaran menjadi pengundi, seseorang itu tidak dapat membuang undi pada pilihanraya, sedangkan setiap umat Islam wajib menyokong perjuangan Islam dan menolak kemungkaran dalam hidup.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib sehubungan itu menyeru para pemimpin Dewan Ulama menyampaikan perkara itu dengan jelas kepada orang ramai agar setiap umat Islam faham dengan peranan masing-masing dalam pilihanraya.

Menurut beliau, selain itu, para pemimpin Dewan Ulama di semua peringkat perlu berusaha menambah ilmu masing-masing bagi mempersiapkan diri dengan tugas lebih mencabar dalam menyampaikan dakwah.

Katanya, ahli-ahli Dewan Ulama sepatutnya bukan hanya boleh menguasai ilmu agama, tetapi juga ekonomi, undang-undang dan cabang-cabang ilmu lain.

"Namun untuk mentarbiyah seseorang menjadi Muslim sejati bukanlah perkara yang mudah dan pasti memakan masa. Jadi ahli-ahli Dewan Ulama tidak sepatutnya gopoh dalam usahanya ke arah itu," katanya ketika berucap pada sessi ucapan penangguhan pada Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat Ke-50 di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Dalam melaksanakan tanggungjawab, menurut beliau, ahli-ahli Dewan Ulama tidak seharusnya terpengaruh dengan isu pertembungan golongan ulama dan profesional dalam PAS yang dimainkan oleh pihak tertentu, sebaliknya rahsia kekuatan PAS sejak dulu hingga kini sebenarnya adalah atas gabung jalin ulama dan profesional itu sendiri.

Sebelum itu, Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad ketika berucap pada sessi penggulungan berkata, PAS bukan sahaja parti politik yang turut mengambil bahagian dalam pilihanraya, tetapi juga sebuah badan dakwah.

"Oleh itu, sama ada kalah atau menang dalam pilihanraya, PAS mestilah meneruskan perjuangannya untuk menyampaikan dakwah kepada orang ramai demi mencari keredhaan Allah, di samping menitikberatkan soal pentarbiyahan dalam PAS sendiri bermula dari atas ke bawah," tegasnya.

Manakala Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Mohd Zawawi Salleh ketika berucap sebelum itu berkata, PAS tidak boleh mengurangkan menyebut soal negara Islam dalam menyampaikan risalah perjuangannya kepada orang ramai kerana perkara itu sememangnya merupakan perjuangan PAS sendiri sejak ditubuhkan dulu.

Dalam menangani isu-isu yang dimainkan oleh Umno BN pula, katanya, PAS amat perlu berhati-hati agar tidak terjerat dengan jerat yang sengaja dipasang oleh Umno BN.

Menurutnya, ada kalanya, isu-isu yang dibangkitkan itu tidak perlu dilayan kerana ia sengaja diciptakan oleh Umno BN untuk menutup isu-isu lain yang cukup banyak berkaitan dengan kelemahan Umno BN itu sendiri.

"Contohnya termasuklah isu mengenai dakwaan kewujudan golongan paderi untuk menjadikan Kristian agama rasmi di negara kita yang kalau dilayan akan menyebabkan kita berbalah dengan orang bukan Islam atau menyerang agama lain.

"Jadi, kita amat perlu berwaspada dengan isu-isu yang dibangkitkan itu. Manakala jika isu-isu yang dibangkitkan itu pula adalah isu-isu yang memang perlu dilayan, kita bukan sekadar perlu menjawabnya dengan lembut, tetapi dengan menyerang bagi mematahkannya," katanya.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Husain Awang pula ketika berucap sebelum itu berkata, ahli-ahli Dewan Ulama amat perlu melakukan perubahan dengan turut memainkan peranan aktif bagi menjelaskan isu-isu penting yang berlaku dalam negara.

Menurutnya, antaranya termasuklah menjawab isu mengenai video lucah, kenaikan harga petrol, kenaikan harga barangan dan sebagainya, di samping aktif mengadakan ceramah berkelompok.

Sebelum itu, beliau memuji barisan kepimpinan Dewan Ulama PAS Pusat sessi 2009-2011 yang telah menunjukkan prestasi baik, sehingga laporan kewangan dan laporan tahunan tahun-tahun lalu yang dibentangkan pada Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat Ke-50 hari ini, tidak langsung dibahas oleh para perwakilan.

"Selain itu, pencapaian itu juga boleh diukur dari wang terkumpul dalam tabung Dewan Ulama PAS Pusat hari ini yang berjumlah sehingga RM200,000, berbanding sebelum ini yang tidak pernah mencapai angka sebesar itu.

"Barangkali, inilah antara punca yang menyebabkan kesemua jawatan dalam Dewan Ulama PAS Pusat tidak ditandingi pada muktamar tahun ini, dengan dikekalkan barisan kepimpinan sessi 2009-2011 yang lalu," katanya dengan nada bergurau.

Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulama PAS Pusat Sessi 2009-2011 lalu yang terus dikekalkan dengan menang tanpa bertanding pada Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat Ke-50 hari ini, untuk terus memikul tugas bagi sessi 2011-2013:

Pengerusi Tetap
Ustaz Hamdan bin Mohamad

Timbalan Pengerusi Tetap
Ustaz Abdul Manaf bin Othman

Ketua
Ustaz Harun bin Taib (Datuk/YB)

Timbalan Ketua
Ustaz Ahmad bin Yakob (Datuk)

Naib Ketua
Mahfodz bin Mohamad (Dr/Datuk)

Setiausaha: Ustaz Muhammad Zain bin Abdul Rahman

Penolong Setiausaha 1: Ustaz Badruzzaman bin Yusof (Dr)
Penolong Setiausaha 2: Ustaz Azahari bin Aripin (Dr)
Penolong Setiausaha 3: Ustaz Shahbudin bin Ngah (Dr)

Bendahari: Ustaz Khairuddin bin Razali

Ketua Penerangan: Ustaz Nik Muhammad Zawawi bin Salleh

Ketua Pengarah Pilihanraya: Ustaz Husain bin Awang (Datuk)

Ahli Jawatankuasa Kerja:
Ustaz Mohamed bin Daud Al-lraqi (Datuk)
Ustaz Hassan bin Mohamad (Datuk)
Ustaz Mohamad bin Mustaffa (YB)
Ustaz Salleh Sani bin Harun Al-Hafiz
Ustaz Abdullah bin Abdul Razak
Ustaz Abu Bakar bin Abdullah
Ustaz Abdul Ghani bin Shamsuddin
Ustaz Ismail bin Noh
Ustaz Abdullah bin Husain
Ustaz Jaliluddin bin Abdul Wahid
Ustaz Soid bin Md. Amin
Ustaz Wan Abdul Halim bin Wan Chik
Ustaz Khirul Muntanazar bin Ismail
Ustaz Mokhtar bin Senik
Ustaz Mustafa bin Shaari
Ustaz Zolkharnain bin Abidin Al-Hafiz
Ustaz Nor Najhan bin Mohd Salleh
Ustaz Mohd. Khairi bin Zainuddin

Pemeriksa Kira-kira 1: Ustaz Ibrahim bin Omar
Pemeriksa Kira-kira 2: Ustaz Mohd Noor bin Din




Tiada ulasan: