• Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.
1 / 1
SHAH ALAM – Keputusan Jawatankuasa Pas Pusat yang menamakan calon lain bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor senada dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, keputusan sebelum ini yang mahu mengekalkan Abdul Khalid itu diputuskan ketika beliau masih lagi ahli PKR.

"Kami bukan tolak Khalid. Sekarang ini, apabila dia bukan ahli, maka parti kita (Pas) yang duduk dalam PR perlu bersama dengan PR menganggap dia ini bukan lagi calon PR," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Menurutnya, tidak timbul keputusan bercanggah antara Majlis Syura dan Pas.

"Majlis Syura buat keputusan itu ketika Abdul Khalid masih lagi ahli PKR. Maka ia tidak bercanggah dengan keputusan Pas Pusat.

"Perkara ini telah pun kita bincang dalam parti dan ia tidak bercanggah. Semua pihak bersetuju, Majlis Syura pun bersetuju sebagaimana yang diputuskan," katanya.

Mengulas lanjut soal tindakan Pas mengemukakan dua nama sedangkan PKR telah menamakan Presidennya sebagai calon menteri besar, Nik Zawawi berkata perkara itu adalah hak parti.

"Itu hak parti masing-masing. Kita (Pas) berhak mengemukakan dua calon jadi kita kemukakan dua calon," katanya.

Menurut Nik Zawawi, mesyuarat PR petang ini bukan untuk membincangkan tentang kedua-dua calon itu sebaliknya sekadar untuk memberitahu PR keputusan Pas.

"(Mesyuarat petang ini untuk pilih antara Wan Azizah dan Azmin ) Tak. Nama itu akan dikemukakan kepada Sultan dan akan dipilih.

"Itu mesyuarat PR, bukan kita nak bincang dalam PR. Kita nak maklum saja," katanya.

Sebelum ini, Majlis Syura Pas sebulat suara mahu kedudukan Abdul Khalid dikekalkan sebagai menteri besar selagi tiada pelanggaran terhadap amanah yang dipegangnya.