Wednesday, August 29, 2012Puasa Qadha, Puasa Sunat 6 Hari Di Bulan Syawal & Matematik…
Bolehkah menggabungkan puasa qadha Ramadhan dengan
puasa sunat 6 hari bulan Syawal?
..
Kebanyakan masyarakat di Malaysia khususnya kaum
wanita keliru dengan masalah menggabungkan puasa qadha/ganti Ramadhan dan puasa
6 hari di bulan Syawal. Lebih merumitkan keadaan, apabila ada sebahagian ustaz
atau ustazah menyatakan bolehnya menggabungkan puasa qadha dan puasa sunat, dan
ada sebahagian pula tidak membolehkannya.
..
Penulis ada mendengar Ustaz Don Daniyal dalam
rancangan 60 minit Ustaz Don sempena Raya menyatakan tercapainya pahala
puasa 6 bagi wanita yang mengqadhakan puasa Ramadhan di dalam bulan Syawal.
Menurut beliau, pandangan ini disokong oleh Syeikh Daud Fathani dalam kitabnya
Furu’ Al-Masail.
(Sila rujuk kitab beliau). ..
Menurut satu sumber, Ustaz Abu Hasan Din Al-Hafiz menyatakan tercapainya
pahala puasa 6 bagi wanita yang mengqadhakan puasa Ramadhan dalam bulan
Syawal. Sila baca : http://keranakasihnabi.blogspot.com/2012/08/puasa-sunat-syawal-1-tanyalah-ustaz.html
..
Manakala Dr. Zaharuddin Abdul Rahman menganggap adalah lebih
baik tidak digabungkan. Sila baca : http://zaharuddin.net/fiqh-ibadah/96-a-isu-gabung-puasa-qadha-a-sunat-b-cara-ganti-puasa-berganda-ganda.html
..
Begitu juga jawapan yang diberikan oleh Jabatan Mufti Negeri
Perlis, dan diperakui oleh Dr. Juanda Jaya, adalah lebih baik tidak
menggabungkannya. Sila baca : http://mufti.perlis.gov.my/soal-jawab/187-hukum-gabung-puasa-qadha-dan-puasa-enam-syawal
..
Bagi pandangan peribadi penulis, pendapat yang menyatakan adalah
lebih baik tidak menggabungkan puasa qadha dengan puasa sunat adalah lebih
kuat dan lebih utama untuk diamalkan daripada pendapat yang
membolehkan penggabungan tersebut.
..
KENAPA SAYA BERPENDAPAT DEMIKIAN?
..
Tidak
menggabungkan puasa qadha dengan puasa sunat adalah lebih baik.
Terdapat banyak hujah yang telah dikemukan oleh Dr. Zaharuddin
Abdul Rahman dan Jabatan Mufti Negeri Perlis (Sila baca). Dalam tulisan
ini
penulis hanya ingin mengemukakan 1 hujah sahaja yang tidak dinyatakan
oleh Dr.
Zaharuddin & Jabatan Mufti Negeri Perlis. Hujah penulis dari sudut matamatik
sahaja, dan ini bukanlah hujah konkrit, hanya sekadar pandangan penulis.
..
Al-Hafiz Ibnu Katsir dalam kitabnya Tafsir Al-Quran Al-Azhim
(Tafsir Ibnu Katsir) menyatakan :
..
“Pada permulaan Islam, puasa dilakukan tiga hari pada setiap
bulan. Kemudian hal itu dinasakh (dihapus) dengan puasa satu bulan penuh, iaitu
pada bulan Ramadhan.. Diriwayatkan dari Mu’adz, Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, ‘Atha’,
Qatadah dan Adh-Dhahhak bin Muzahim, bahawa puasa itu pertama kali dijalankan
seperti yang diwajibkan kepada umat-umat sebelumnya, iaitu tiga hari setiap
bulan. Ditambah oleh Adh-Dhahhak, bahawa perlaksanaan puasa seperti itu masih
tetap disyariatkan pada permulaan Islam sejak Nabi Nuh a.s sehinggalah Allah
menasakhnya dengan puasa Ramadhan.” (Lihat Tafsir Ibnu Katsir Tafsir ayat 183
Surah Al-Baqarah)
..
Penjelasan
..
Kita sedia maklum bahawa dalam setahun ada 12 bulan, maka kiraan
berpuasa di awal Islam sebelum disyariatkan puasa Ramadhan ialah :
12 bulan X 3 hari = 36 HARI PUASA.
..
Kemudian
setelah turun ayat 183 Surah Al-Baqarah yang menfardhukan puasa di
bulan Ramadhan. Lalu Rasulullah SAW menganjurkan kita berpuasa sunat 6
hari di bulan Syawal.
..
Maka apa relevannya Rasulullah SAW menganjurkan kita berpuasa
sunat 6 hari di bulan Syawal sepertimana hadis daripada Abu
Ayyub Al-Anshori, Nabi SAW bersabda :
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ
أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ صَامَ الدَّهْر
Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti
dengan puasa enam hari bulan Syawal maka seakan-akan ia berpuasa setahun".
(HR Muslim No. 2758. 204-(1164), Abu Daud No. 2433, At-Tirmizi No. 759, Ibnu
Majah No. 1716)
..
Pada
pandangan penulis, relevannya Nabi SAW menganjurkan
berpuasa sunat 6 hari pada bulan Syawal adalah untuk mencukupkan puasa
kita 36
hari sepertimana jumlah disyariatkan sebelum datangnya perintah puasa
Ramadhan. (Harap maklum bahawa adakalanya puasa Ramadhan 30 hari,
adakalanya 29 hari sahaja).
..
30 hari puasa Ramadhan + 6 hari puasa sunat Syawal = 36 HARI
PUASA
..
Justeru, bagi wanita yang tidak menyempurnakan puasa
Ramadhannya, jika menggabungkan puasa qadha dengan puasa sunat Syawal, maka
angka ini tidak akan tercapai. Sebagai contoh, dia perlu mengqadhakan 4
hari puasa ramadhan. Dia berpuasa di bulan Ramadhan hanya 26 hari, kemudian
mengqadha 4 hari pada bulan Syawal, dan menambah lagi 2 hari puasa di bulan
Syawal untuk mencukupkan bilangan 6 hari. Maka jumlah puasanya hanyalah 32
hari sahaja.
..
Untuk menguatkan lagi hujah ini, penulis membawakan satu lagi
hadis :
عَنْ أبي ذَرٍّ قال ,قال رسول الله
صلى الله عليه وسلم : (مَنْ صَامَ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ فَذَلِكَ
صِيَامُ الدَّهْرِ) فَأَنْزَلَ اللهُ عز وجل تَصْدِيقَ ذَلِكَ فِي كِتَابِهِ {مَنْ
جَاءَ بِالحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا} اليَومُ بِعَشْرَةِ أَيَامٍ.
..
Maksudnya : Daripada Abu Dzar r.a dia berkata,
Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa berpuasa tiga hari setiap bulan, maka
itulah puasa satu tahun. Lalu Allah menurunkan pembenarannya di dalam kitab-Nya
: {Barangsiapa membawa amal yang baik, maka baginya pahala sepuluh kali lipat}
(Al-An’aam : 160). Satu hari senilai dengan sepuluh hari. (HR
At-Tirmizi No. 762. At-Tirmizi menyatakan hadis ini Hasan Shahih. Hadis ini
dinilai Shahih oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, lihat Shahih At-Targhib
Wa At-Tarhib Hadis No. 1035. Juga diriwayatkan oelh Ahmad, An-Nasa’i, Ibnu
Majah dan Ibnu Khuzaimah dalam Shahihnya)
..
Jelas kepada kita dalam setahun ada 365 hari (Masehi)
atau sekitar 354 hari (Hijrah). Maka untuk mendapatkan pahala seolah-olah
berpuasa selama setahun seperti yang dinyatakan dalam Hadis Riwayat Muslim di
atas, maka perlulah kita mencukupkan puasa selama 36 hari.
..
36 hari puasa X 10 ganjaran = 360 hari puasa = 1
tahun puasa
..
Maka bagi yang tidak mencukupkan puasanya sebanyak 36
hari, tidak tercapailah pahala puasa sebanyak 360 hari sepertimana yang
dinyatakan dalam Hadis Riwayat At-Tirmizi di atas.
..
Semoga penjelasan ini bermanfaat kepada semua…
..
Wallahu a’lam…
..
Zainul Ariff Husaini Bin Zainul Fuad
Rumah Warden SMS Johor
31 Ogos 2012
1.10 a.m.
|
Ditulis oleh Dewan Asatidz |
Rasulullah saw. bersabda: "Barang siapa berpuasa Ramadhan dan meneruskannya dengan puasa enam hari di bulan Syawwal, berarti dia telah berpuasa satu tahun." (HR. Imam Muslim dan Abu Dawud). Dan masih hadits yang sama dengan perawi lain. (HR. Ibn Majah).
Dalam hadits tersebut diterangkan, bahwa pahala
orang yang berpuasa Ramadhan dan enam hari di bulan Syawwal sama pahala
dengan puasa setahun. Karena satu pahala kebaikan nilainya sama dengan
sepuluh kali kebaikan (QS. Al-An' am:160). Jika satu kebaikan dihitung
sepuluh pahala, berarti puasa Ramadhan selama satu bulan dihitung
sepuluh bulan. Dan puasa enam hari di bulan Syawwal dihitung dua bulan.
Jadi total jumlahnya adalah satu tahun.
Sebagian ulama memperbolehkan tidak harus
berturut-turut enam hari, namun pahalanya sama dengan yang
melaksanakannya secara langsung setelah Hari Raya. Puasa Syawal juga
boleh dilakukan di pertengahan atau di akhir bulan Syawwal.
Hikmah disyari'atkannya puasa enam hari di bulan
Syawwal adalah sebagai pengganti puasa Ramadhan yang dikhawatirkan ada
yang tidak sah. Demikian juga untuk menjaga agar perut kita tidak lepas
kontrol setelah sebulan penuh melaksanakan puasa, kemudian diberi
kesempatan luas untuk makan dan minum. Lebih dari itu, puasa Syawal
adalah ibadah sunnah yang sangat dianjurkan oleh ajaran agama kita.
Imam Malik menghukumi makruh puasa tersebut.
Karena ditakutkan adanya keyakinan dan anggapan bahwa puasa enam hari di
bulan Syawwal masuk puasa Ramadhan.
Apabila tidak ada kekhawatiran seperti alasan
Imam Malik di atas, maka disunahkan puasa enam hari. Berlomba-lomba
untuk memperbanyak pahala.
Qadla Ramadhan Sambil Puasa Syawal, sahkah?
Permasalahan menggabung dua niyat dalam ssatu
ibadah juga berlaku bagi mereka yang ingin melakukan puasa qadla
Ramadhan sambil melakukan sunnah Syawal. Apakah puasanya sah?
Ulama berbeda pendapat dalam masalah tersebut.
Ada yang mengatakan jadi puasa qadla dan puasa syawalnya tidak sah. Ada
yang mengatakan yang sah puasa sunnahnya dan hutangnya belum gugur.
Bahkan ada yang mengatakan tidak sah keduanya dan amalnya sia-sia.
Namun demikian Imam Ramli salah seorang ulama
besar madzhab Syafii berfatwa ketika ditanyai tentang seseroang yang
qadla Ramadhan di bulan Syawal sambil niat puasa enam hari bulan Syawal
apakah sah? Beliau menjawab, gugur baginya hutang puasa dan kalau dia
berniat juga sunnah syawal maka baginya pahala puasa sunnah tersebut.
Imam Ramli mengatakan bahwa itu pendapat beberapa ulama kontemporer.
Akhirnya, bagi yang mampu dan kuat, maka
sebaiknya niat itu satu-satu. Artinya kalau mampu, maka puasa qadla dulu
baru melakukan sunnah syawal. Atau kalau kurang mampu, maka puasa
syawal dulu karena waktunya pendek hanya sebulan, lalu mengqadla
Ramadhan di bulan lain karena waktunya fleksibel selama setahun hingga
Ramadhan berikutnya. (Kalau terlambat terkena denda fidyah). Kalau
merasa kurang mampu juga, maka baru bisa melirik pendapat imam Ramli
tadi. Wallahu a'lam bissowab.
Ditulis oleh Muhammad Niam dari berbaga
|
[Soal Jawab Ibadah] Puasa Enam Di Bulan Syawal Jangan Dibiarkan Berlalu
Oleh : Mufti Brunei
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Bulan Ramadhan yang baru saja berlalu selain banyak membentuk dan mendidik kita, memberi peluang pula bagi kita merebut pahala berlipat ganda sekaligus meningkatkan keimanan serta ketaqwaan.
Kini dengan tibanya bulan Syawal iaitu bulan kembali kepada fitrah, boleh menjadi pengukur sejauh mana bulan Ramadhan yang baru saja berlalu telah memberi kesan dalam jiwa kita.
Kalau di bulan Ramadhan kita biasanya merebut peluang untuk mengerjakan amalan-amalan sunat seperti sembahyang Tarawih, Witir, bertadarus atau membaca al-Qur’an, bersedekah dan sebagainya, adakah di bulan-bulan selepas Ramadhan kita akan meneruskan amalan tersebut?
Antara amalan-amalan sunat yang menjadi rebutan para salihin di bulan Syawal ini ialah amalan puasa sunat enam. Apakah dia puasa sunat enam itu?
Definisi Serta Fadhilat Puasa Enam
Puasa enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan Syawal. Ianya sunat dan lebih afdhal dikerjakan secara berturut-turut di awal bulan Syawal iaitu bermula dari 2 haribulan Syawal, dan boleh juga dikerjakan secara berselang-seli ataupun dikerjakan bukan pada awal bulan Syawal.
Puasa sunat enam ini sangat besar fadhilat serta ganjarannya, diriwayatkan daripada Abu Ayyub Al-Anshari Radhiallahu ‘anhu, beliau telah berkata bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun.”
(Hadits Riwayat Imam Muslim)
Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawal di samping mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun. Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadits riwayat Tsauban bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.”
(Hadits Riwayat Imam Al-Darimi)
Apa yang dimaksudkan dengan penyamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya dari puasa fardhu. Jadi, pahala mengerjakan puasa bulan Ramadhan dan puasa enam adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.
Hukum Dan Kedudukan Orang Berpuasa Sunat Menghadiri Jemputan Rumah Terbuka
Amalan berziarah atau berkunjung-kunjungan di Hari Raya Aidil-Fitri sudah menjadi adat bagi kita. Tuan rumah sudah pasti menghidangkan berbagai jenis juadah khususnya ketika mengadakan majlis rumah terbuka atau yang lebih biasa disebut dengan "open house".
Bagi mereka yang sedang berpuasa sunat enam, ini adalah satu dilema yang sukar dielakkan di hari raya ini, apatah lagi jika tuan rumah itu mengkhususkan jemputannya di waktu siang. Sehinggakan ada yang menjadikan alasan berpuasa sunat itu untuk tidak menghadiri jemputan ataupun menjadikannya alasan untuk tidak berpuasa enam.
Perlu diingat bahawa berpuasa bukanlah tiket serta alasan untuk tidak memenuhi jemputan. Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun beliau sedang berpuasa. Dalam satu hadits riwayat Imam Muslim, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan maka hendaklah dia memenuhinya. Jika dia sedang berpuasa maka doakanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak berpuasa maka hendaklah dia makan.”(Hadits Riwayat Imam Muslim)
Orang yang diundang menghadiri jemputan sedangkan dia berpuasa, maka tidaklah diwajibkan ke atasnya untuk memakan makanan yang dihidangkan kepadanya oleh tuan rumah. Jika puasa yang dikerjakannya itu adalah puasa fardhu, misalnya puasa qadha Ramadhan atau puasa nazar maka adalah haram baginya untuk berbuka. Cukuplah baginya sekadar menghadiri jemputan tersebut dan disunatkan juga ke atasnya untuk mendoakan keberkatan serta keampunan dan sebagainya ke atas tuan rumah dan para hadirin.
Adapun jika sekiranya puasa yang dikerjakannya itu adalah puasa sunat, maka adalah dibolehkan baginya untuk berbuka dan tidak meneruskan puasa sunatnya itu bahkan adalah sunat baginya untuk berbuka seandainya tuan rumah itu merasa tersinggung jika dia tidak memakan makanan yang dihidangkannya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menyuruh orang yang sedang berpuasa sunat supaya berbuka dalam majlis jamuan makan, Baginda bersabda:
Maksudnya: “
"Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu." Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: "Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.”
(Hadits Riwayat Imam al-Baihaqi)
Ini sama halnya dengan tuan rumah yang menjemput ataupun didatangi oleh tetamu padahal tuan rumah itu sedang berpuasa sunat, lalu tetamunya itu berkeberatan untuk memakan makanan yang dihidangkan olehnya dan tidak mahu memakannya kecuali jika tuan rumah yang sedang berpuasa itu turut makan bersamanya – maka dalam hal ini, sebagai menghormati tetamu itu, adalah lebih afdhal bagi tuan rumah itu untuk berbuka dan makan bersama-sama tetamunya tadi kerana Ummu Hani’ Radhiallahu ‘anha sewaktu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pergi berkunjung ke rumahnya, Ummu Hani’ menghidangkan minuman kepada Baginda. Setelah minum, Baginda memberikannya semula kepada Ummu Hani’, lalu Ummu Hani’ pun meminum bakinya. Kemudian Ummu Hani’ pun berkata:
Maksudnya:
"Aku telah berdosa, maka mintalah keampunan untukku, Baginda bersabda: Apakah ia (dosamu itu)? Katanya: Aku ini berpuasa, dan aku berbuka. Baginda bersabda: Adakah puasa qadha yang engkau kerjakan itu? (Ummu Hani’) berkata: Bukan. Baginda bersabda: (Berbuka puasa sunat itu) tidak memberi mudharat kepadamu."
(Hadits Riwayat Imam at-Tirmidzi).
Akan tetapi jika tuan rumah atau tetamu itu tidak tersinggung ataupun tidak keberatan jika dia meneruskan puasanya, maka dalam hal ini adalah lebih afdhal dan lebih utama baginya untuk terus berpuasa.
Jika dia berbuka juga maka dia tidak akan beroleh pahala puasa yang telah dilakukannya tadi. Berlainan halnya, jika dia berbuka kerana keuzuran misalnya kerana ingin menemani tetamunya makan atau untuk menjaga hati tuan rumah, maka puasanya tadi itu akan diberikan pahala sungguhpun dia tidak dapat menyempurnakannya sepertimana yang disebutkan dalam kitab Mughni al-Muhtaj.
Bagaimanapun, tidak meneruskan puasa sunat tanpa keuzuran adalah makruh di sisi hukum syara‘ berdasarkan zahir firman Allah Ta‘ala dalam Surah Muhammad ayat 33:
Tafsirnya:
“Dan janganlah kamu batalkan amalan kamu!”
(Surah Muhammad:33)
Hukum Menqadha Puasa Sunat
Orang yang sedang berpuasa sunat adalah berkuasa ke atas dirinya samada ingin meneruskan puasanya ataupun tidak. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Ummu Hani‘ Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya:
“Orang yang sedang berpuasa sunat itu adalah raja bagi dirinya, jika dia mahu dia berpuasa dan jika dia mahu dia berbuka.”
(Hadits Riwayat Imam Ahmad)
Menurut pendapat mazhab Imam as-Syafi‘e, orang yang tidak meneruskan puasa sunat samada kerana keuzuran ataupun tidak, maka tidaklah wajib ke atasnya menqadha puasanya itu bahkan hukumnya adalah sunat. Ini kerana jika hukum menqadhanya adalah wajib, maka sudah pasti hukum tidak meneruskannya (puasa sunat) adalah haram.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘ed al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya:
“Aku membuat makanan untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu Baginda dan sahabat-sahabat Baginda pun datang. Maka apabila makanan dihidangkan, seorang laki-laki daripada suatu kaum berkata: "Sesungguhnya aku sedang berpuasa." Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu." Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: "Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu."”
(Hadits Riwayat Imam al-Baihaqi)
Maka ambillah peluang ini dengan sebaiknya kerana puasa enam ini berserta kelebihan-kelebihannya hanya hadir setahun sekali. Jadi janganlah ia dilepaskan begitu saja kerana agama Islam dengan penuh tolak ansur telah memberikan kemudahan bagi kita untuk mengerjakan puasa enam itu bukan dalam suasana hari raya.
Sumber: Pejabat Mufti Negeri, Brunei Darussalam
Cara Puasa Sunat Enam Hari Di Bulan Syawal
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Islam menganjurkan umatnya supaya
melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan, walaupun sedikit.
Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia, marilah kita melaksanakan ‘Puasa Enam’ iaitu puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang besar keutamaannya dan amat digalakkan oleh Islam. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, Allah سبحانه وتعالى berfirman (dalam hadis Qudsi):
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ. رواه مسلم.
“Setiap amal
manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Daku
memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).”
.
.
Ganjaran Pahala Setahun
.
Orang yang berpuasa Ramadhan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun.
Abu Ayyub Al-Ansari radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ. رواه مسلم.
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)”
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)”
(Riwayat Muslim, hadis no: 1164).
.
Di dalam hadis ini Nabi Muhammad ﷺ menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan
akan diberi ganjaran pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Hal
ini disebabkan puasa sunat satu hari, pahalanya bersamaan dengan sepuluh
hari. Manakala puasa Ramadhan pahalanya bersamaan dengan sepuluh bulan,
maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian
dicampurkan dengan sepuluh bulan jumlahnya menjadi setahun.
Para ulama’ menghuraikan rahsia di
sebalik ganjaran tersebut dengan menyatakan bahawa setiap amalan
kebaikan manusia akan diberi ganjaran sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30
hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6
hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira
jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam
setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى Maha
Berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.
.
.
Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
.
Seseorang yang hendak berpuasa sunat di
bulan Syawal adalah lebih afdhal berturutan seperti puasa bulan Ramadhan
tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh
bulan Syawal itu.
Puasa sunat enam Syawal
paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah
hari Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu
Hurairah radhiallahu ‘anhu berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ . رواه مسلم.
“Rasulullah ﷺ melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha.”
“Rasulullah ﷺ melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha.”
(Sahih Al-Bukhari no: 1991).
.
Syarat-syarat dan segala adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.
.
.
Cara Melaksanakan Puasa Enam
.
Adalah menjadi amalan sunat mengerjakan puasa 6 hari dalam bulan Syawal.
Ia boleh dilakukan mulai 2 Syawal hingga 7 Syawal secara berterusan,
berselang-seli atau pada mana-mana 6 hari dalam bulan tersebut. Sebagai
contoh, mari kita lihat pada kalendar di atas (Ogos-September 2013).
.
1. Paling afdal ialah puasa enam hari berturut-turut mulai 2 Syawal (Hari Raya Aidil Fitri kedua) hingga 7 Syawal.
Berdasarkan kalendar di atas, jika Hari Raya Aidil Fitri jatuh pada 8. Ogos, maka bolehlah berpuasa enam mulai 9 Ogos sehingga 14 Ogos (7 Syawal).
2. Berpuasa secara berselang-seli, iaitu
puasa sama ada selang sehari, selang dua atau tiga hari sekali,
sebanyak enam hari dalam bulan Syawal, mengikut kemampuan masing-masing.
Jika antum berpuasa secara berselang hari:
a) Selang Sehari ~ Sekiranya puasa enam dimulakan pada hari Isnin, ianya akan berakhir pada hari Khamis minggu berikutnya. Contohnya pada kotak hijau di atas, jika antum berpuasa mulai 12 dan ianya akan berakhir pada 22 Ogos.
b) Selang Dua hari ~ Seperti pada petak kuning,
sekiranya mula berpuasa pada hari Isnin 12 Ogos, selang dua hari
berikutnya adalah pada 15, 18, 21, 24 dan berakhir pada 27 Ogos.
c) Selang Tiga hari ~ Contohnya jika mulai berpuasa pada 9 Ogos, selang tiga hari berikutnya adalah pada 13, 17, 21, 25 dan akan berakhir pada 29 Ogos.
3. Berpuasa sebanyak enam hari pada awal, tengah dan akhir bulan Syawal. Sebagai contoh di petak biru, berpuasa sehari pada 2 Syawal (9 Ogos), diikuti tengahnya pada ‘Hari Putih’ iaitu 13,14 dan 15 Syawal (20, 21, 22 Ogos).dan berakhir pada 29 dan 30 Syawal (5 dan 6 September).
4. Puasa sunat Syawal juga boleh
dilakukan sebanyak 6 hari pada mana-mana tarikh di sepanjang bulan
Syawal. Pilihlah 6 hari bermula dari 2 Syawal sehingga 30 Syawal (petak tarikh berwarna kuning).
.
.
Puasa secara berturut-turut atau secara terputus?
.
Pandangan di kalangan para ulama’ yang lebih disepakati adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari
dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila
Rasulullah ﷺ menganjurkan puasa sunat enam hari ini, Baginda ﷺ hanya
menyebut bulan Syawal secara umum, tanpa memberi ketentuan hari-harinya.
Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam
bulan Syawal, asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan selepas berakhir
bulan Syawal.
Namun begitu adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan firman Allah سبحانه وتعالى:
وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ . آل عمران: 133
“Dan
bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk
mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga
yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang
yang bertaqwa.”
(Surah Al-Imran: Ayat 133)
.
Sebagaimana yang sedia maklum, semua
amalan sunat adalah sebagai penampung dan penambah kepada mana-mana
kekurangan dalam amalan fardhu. Seharusnyalah kita mengambil peluang ini
untuk berpuasa enam hari
di bulan Syawal. Selain mendapat pahala puasa setahun, kita juga dapat
memperbaiki segala kekurangan dalam ibadat puasa di sepanjang Ramadhan.
.
والله أعلم بالصوابWallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
.
.
Artikel Berkaitan:Puasa Enam Bulan Syawal (Klik Di Sini)
Semangat Ramadhan Bantu Beristiqamah Di Bulan Syawal (Klik Di Sini)
.
وَالسَّلاَمْ
.
Posted by; shafiqolbuSoal Jawab Agama : Hukum Gabung Puasa Qadha dan Puasa Enam Syawal |
Soalan:
Salam, saya hendak bertanya tentang posa ganti dalam bulan Syawal bagi wanita. Bolehkah digandingkan niat ganti puasa Ramadan dengan puasa sunat syawal sekali? Apakah kita akan mendapat pahala kedua-duanya sekali? Adakah ada spesifik hari untuk puasa bagi mendapat kedua-dua pahala inini? jika tidak, amalan bagaimana lebih afdal?
Terima kasih
Jawapan:
Terima kasih kepada saudara yang bertanya. Jawapannya adalah seperti berikut:
Persoalan pertama berkaitan niat puasa ganti Ramadan yang tertinggal adakah mendapat pahala puasa sunat Syawal.
Persoalan ini terdapat khilaf (perbezaan pandangan) di kalangan ulama.
Pendapat pertama: Sebahagian ulama berpendapat, tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan niat puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain. Sekiranya dilakukan, maka puasa itu tidak sah, sama ada bagi yang fardhu ataupun yang sunat. Pendapat ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ صَامَ الدَّهْر
Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari bulan Syawal maka seakan-akan ia berpuasa setahun". (HR Muslim)
Bagi memenuhi maksud hadis ini, dalam usaha memperolehi pahala yang dijanjikan iaitu pahala berpuasa setahun, maka hendaklah seseorang itu menyempurnakan puasa Ramadan (yang merupakan puasa wajib) kemudian ditambah dengan puasa enam hari di bulan Syawal (yang merupakan puasa sunat). [Syeikh Muhammad Sholih Al-Munajid – www.islamqa.com]
Pendapat kedua: Di kalangan ulama Syafie ada yang berpendapat bahawa ganjaran puasa enam Syawal tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun dia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya. Namun, pahala yang diperolehi itu adalah kurang berbanding seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Fatawa al-Azhar 9/261]
Setelah diteliti, dapat disimpulkan bahawa pendapat kedua iaitu pandangan ulama yang membolehkan ‘puasa dua dalam satu’ ini tidak disandarkan kepada mana-mana nas Al-Quran ataupun Al-Sunnah yang sahih. Mereka juga mengatakan bahawa amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha pada bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus mengerjakan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid)
Timbul persoalan, yang manakah yang lebih afdal untuk dilakukan bagi memperoleh pahala kedua-duanya; mendahulukan puasa sunat enam hari dalam Syawal atau mengqadhakan puasa Ramadan? Dalam persoalan ini terdapat dua pendapat.
Pendapat pertama: Boleh mendahulukan puasa sunat Syawal, berdasarkan hadis Aishah RA yang menyatakan bahawa:
( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إلَّا فِي شَعْبَانَ. قال يحيى:الشغل من النبي أو بالنبي )
Maksudnya: “Aku berpuasa di bulan Ramadan dan aku tidak mengqadha kecuali dalam bulan Syaaban”. Kerana sibuk melayani Rasulullah SAW.” (HR Bukhari:1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah SAW” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Said.)
Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah bahawa sudah tentu isteri Rasulullah SAW iaitu Aishah RA tidak meninggalkan puasa sunat enam Syawal. Tindakannya yang mengqadhakan puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan bahawa adalah dibolehkan untuk berpuasa sunat Syawal meskipun seseorang itu belum mengqadhakan puasa Ramadan.
Pendapat kedua: Tidak boleh mendahulukannya, berdasarkan hadis yang menyatakan kelebihan puasa sunat Syawal tadi. Rasulullah SAW mensyaratkan puasa Ramadan terlebih dahulu sebelum mengiringinya dengan puasa enam Syawal bagi mendapatkan ganjaran pahala yang dijanjikan.
"Jika seseorang tertinggal beberapa hari dalam Ramadan, dia harus berpuasa terlebih dahulu, lalu baru boleh melanjutkannya dengan enam hari puasa Syawal, kerana dia tidak boleh melanjutkan puasa Ramadan dengan enam hari puasa Syawal, kecuali dia telah menyempurnakan Ramadannya terlebih dahulu." [Fataawa Al-Lajnah Ad-Daa'imah lil Buhuuth wal Ifta', 10/392]
Sekiranya diteliti dan dihalusi, maka pendapat kedua adalah lebih rajih (kuat) kerana ia bertepatan dengan dalil puasa sunat Syawal itu sendiri. Selain itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan daripada memberi sedekah yang sunat.
Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan kerana keuzuran untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam, tetapi dia berkeyakinan bahawa akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama tadi boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aishah RA.
Manakala berkaitan hari-hari yang tertentu pula, dinyatakan bahawa:
"Hari-hari ini (berpuasa dalam bulan Syawal) tidak harus dilakukan langsung setelah Ramadan. Boleh melakukannya satu hari atau lebih setelah hari raya, dan mereka boleh melakukannya secara berurutan atau terpisah selama bulan Syawal, mana-mana yang lebih mudah bagi seseorang. ... dan ini (hukumnya) tidaklah wajib, melainkan sunnah."
[Fataawa Al-Lajnah Ad-Daa'imah lil Buhuuth wal Ifta', 10/391]
Imam An-Nawawi RH berkata:
"Sahabat-sahabat kami berkata: Adalah dianjurkan untuk berpuasa 6 hari Syawal. Dari hadis ini mereka berkata: Sunnah mustahabah melakukannya secara berurutan pada awal-awal Syawal, tapi jika seseorang memisahkannya atau menunda pelaksanaannya hingga akhir Syawal, ini juga dibolehkan, kerana ia masih berada pada makna umum dari hadis tersebut. Kami tidak berbeza pendapat mengenai masalah ini dan inilah juga pendapat Ahmad dan Abu Daud." [Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab]
Adalah dianjurkan untuk menyegerakan dan berlumba-lumba dalam melakukan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah Taala:
وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat) ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” [Surah Ali Imran:133]
Wallahu a’lam.
Sumber : http://http://mufti.perlis.gov.my/soal-jawab/187-hukum-gabung-puasa-qadha-dan-puasa-enam-syawal
SUDAHKAH ANDA BERPUASA ENAM?
Fadhilat Berpuasa 6 Syawal
Dalam usaha menambah pahala dan meningkatkan amalan berterusan selepas Ramadhan, digalakkan bersegera melaksanakan puasa enam hari selepas Aidilfitri, yang dikenali sebagai ‘Puasa Enam’.
Ibadat puasa perlu dilakukan sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh untuk taqarrub kepada Allah SWT, demi menundukkan hawa nafsu dan membersihkan diri. Sabda Rasulullah SAW :
“Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruk-nya), melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu untuk-Ku (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendiri akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.” (Riwayat Imam Bukhari)FADILAT PUASA ENAM
Ibadat puasa enam mempunyai pelbagai ganjaran dan kelebihan yang boleh diperolehi umat Islam jika mereka merebut peluang melaksanakannya. Daripada Abu Ayub al-Ansari, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” – (Riwayat Muslim)Di antara manfaat lain Puasa Enam Syawal adalah:
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa semata-mata mencari keredhaan Allah SWT., nescaya akan Allah menjauhkannya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
- Sebagai penampal terhadap segala kekurangan amalan puasa di bulan Ramadhan.
- Semua amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. pada Ramadhan, tidak akan terputus dengan berlalunya bulan mulia itu, selama dia masih hidup.
- Mudah berpuasa selepas Ramadhan menandakan diterimanya puasa Ramadhan kerana melakukan kebaikan kemudian diteruskan dengan kebaikan lain, maka ianya sebagai tanda terkabulnya amal pertama.
- Allah SWT menjauhkan orang yang berpuasa enam daripada api neraka dengan jarak tujuh puluh tahun.
- Puasa selepas Aidilfitri adalah antara tanda kesyukuran atas nikmat pertolongan dan keampunan yang dianugerahkan Allah ketika Ramadhan.
PAHALA SETAHUN PUASA
Pahala puasa Ramadhan yang diamalkan menyamai pahala puasa satu tahun penuh. Ini kerana setiap hasanah (kebaikan) diberi ganjaran 10 kali ganda. Imam Ahmad dan An-Nasa’i, meriwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah SAW. bersabda:
“Puasa sebulan di bulan Ramadhan sama seperti ia berpuasa selama 10 bulan dan berpuasa selama 6 hari selepasnya (Syawal) menyamai puasa 2 bulan. Maka yang demikian bererti (kamu) telah berpuasa untuk setahun.” – (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)Manakala di dalam kitab Sabila al-Muhtadin pula, dinyatakan; puasa 30 hari pada bulan Ramadhan ganjarannya sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari pada bulan Syawal pula ganjarannya sama dengan 60 hari.
Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari, bersamaan dengan setahun (kalendar Qamari). Maka seolah-olah kita telah berpuasa sepanjang tahun hingga Ramadhaan tahun depan.
CARA PUASA ENAM
Puasa sunat enam itu boleh dilakukan pada mana-mana hari, di sepanjang bulan Syawal sama ada secara berterusan atau berselang-seli:
1. Paling afdal ialah puasa enam hari berturut-turut mulai Aidilfitri kedua (2 Syawal) hingga 7 Syawal.
2. Berpuasa secara berselang-seli, iaitu puasa sama ada selang sehari, dua atau tiga hari sekali, sebanyak enam hari dalam bulan Syawal, mengikut kemampuan masing-masing.
Lafaz niat puasa enam:
HIKMAH PUASA ENAM
- Hikmah atau rahsia puasa enam hari pada Syawal adalah:=
- Mendidik kesabaran insan daripada godaan makanan yang melimpah ruah menerusi rumah terbuka.
- Memberi kesempatan kepada tubuh untuk menyesuaikan diri sesudah dilatih sebulan penuh menahan lapar dan dahaga.
- Allah SWT sebenarnya ingin menguji hamba-Nya apakah sanggup meneruskan puasa selepas sebulan Ramadhan walaupun hanya enam hari.
- Penyempurna daripada kekurangan. Pada hari kiamat, perbuatan fardu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan sunnah.
- Memberi peluang kepada wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadhan, menggantikan puasanya di samping mendapat pahala puasa sunat.
- Mengelakkan budaya suka melewat-lewatkan qada puasa sehingga hampir Ramadan berikutnya.
- Segera kembali melaksanakan puasa selepas Aidilfitri dengan rasa ringan dan gembira, adalah bukti kecintaannya terhadap ibadah puasa.
- Berpuasa selepas Ramadhan bagaikan orang yang cepat-cepat kembali daripada pelariannya, yakni orang yang baru lari daripada peperangan fisabilillah lantas kembali lagi.
QADA’ DAN PAHALA SUNAT
Seseorang yang ingin melakukan puasa qada’ dan puasa enam dalam bulan Syawal, para ulama mempunyai beberapa pandangan di antaranya:
- Berniat puasa qada’ Ramadhan dan sunat Syawal, akan perolehi dua ganjaran, dengan syarat mendahulukan niat puasa qada’ kerana puasa qada’ adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.
- Berpuasa qada’ sekalipun tanpa berniat menggabungkannya, ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi, namun pahalanya kurang daripada orang yang berniat kedua-duanya.
- Berpuasa qada’ wajib atau sunat pada bulan Syawal akan tetap dapat pahala puasa enam, sekalipun ia tidak berniat dan tidak mengetahui tentang puasa enam. Ini kerana ia telah mencapai maksud hadis Rasulullah SAW. agar berpuasa pada bulan Syawal.
- Sesetengah ulama menjelaskan bahawa pahala puasa sunat enam diperolehi juga dengan niat puasa qada’ atau puasa nazar. Maka sesiapa yang uzur atau tertinggal puasa Ramadhan, lalu digantikan pada Syawal, maka pahala sunat puasa Syawal turut diperolehnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan