Isnin, 1 Oktober 2012

TIPU2 SUSAH DIAKHIRAT SAPE YANG TERLIBAT...TIPU PUN BELUM TENTU MENANG...MENANG TIPU...ELAUN HARAM...TAK CAYA TANYA MUFTI2

Jual aset: PAS Perak tuntut penjelasan Zambry

Muhammad Faeez Azahar, 01 Okt 2012
IPOH: PAS Negeri Perak terkejut dikhabarkan bahawa beberapa aset penting negeri seperti Rumah Perak di Batu Ferringhi, Pulau Pinang telah dijual.

Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Negeri, Salman Saleh berkata, PAS ingin mendapatkan kepastian daripada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tentang perkara tersebut.

“Adakah benar rumah tersebut telah dijual kepada ‘orang’ Datuk Seri Zambry?,” soal beliau ketika ditemui Harakahdaily di Pejabat PAS Perak, dekat sini.

Menurutnya, persoalan juga timbul jika ianya benar, kenapa Kerajaan Negeri menjual aset Perak itu dan apakah rasionalnya.

“Adakah Kerajaan Negeri Perak pimpinan Datuk Seri Zambry menghadapi masalah kewangan untuk menampung kos pentadbiran negeri sehingga terpaksa menjual rumah tersebut?

“Mungkinkah kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat? ,” soal beliau.

Beliau yang juga Setiausaha Pemuda PAS Negeri menyoal, adakah kerajaan negeri sudah membeli rumah yang baru bagi menggantikan rumah yang telah dijual itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, persoalan-persoalan ini menuntut penjelasan segera dari Zambry kerana ianya melibatkan maruah dan integriti kepimpinan kerajaan negeri.

Katanya, PAS Perak juga mahu penjelasan siapakah pembeli rumah tersebut dan apakah hubungannya dengan Zambry jika ianya telah dijual.

“Mengapakah tindakan untuk menjual Rumah Perak tersebut diambil dan apakah faktor sehingga memaksa penjualan rumah tersebut yang boleh dianggap amat bernilai dan berstrategik di Pulau Pinang," katanya.

Keganasan politik: Siapa pula mangsa seterusnya?

Harakahdaily, 01 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam tindakan pihak tertentu merosakkan tiga kenderaan milik pemimpin NGO termasuk kenderaan yang dinaiki Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika program Himpunan Hijau Lestari Pengerang di Johor semalam.


Turut dirosakkan adalah dua kereta aktivis sosial Hishamuddin Rais dan wartawan Suara Keadilan, Sidiqin Omar yang disimbah asid.

“DPPM menganggap tindakan pihak berkaitan adalah tindakan pengecut golongan yang tersepit dan terdesak bagi menyekat arus kebangkitan rakyat,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Katanya, mereka ini adalah golongan yang cemas apabila melihat rakyat Johor bangkit bersama-sama dalam himpunan Hijau Lestari Pengerang semalam.

Menurutnya, apabila rakyat Johor juga sudah mula membuka mata dan bersuara, ini menandakan hayat politik pemerintah sudah semakin menuju ke pengakhirannya.

Justeru, kata beliau ada pihak tertentu yang sukar menerima hakikat pasang surut politik negara ini melakukan tindakan sedemikian sebagai amaran kepada PR agar jangan terlalu agresif memimpin gelombang rakyat.

“DPPM merasa bimbang kerana trend keganasan sudah semakin menular akhir-akhir ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, setelah pemimpin PAS dan PKR dibaling kasut dan hampir diserang di Kedah, ceramah Pakatan Rakyat diganggu dengan dilontar batu, penontonnya dipukul, siri simbahan cat merah ke rumah pemimpin PAS, bas PKR, markaz PAS serta Pejabat Pakatan Rakyat, rumah pemimpin PR dibaling molotov cocktail, dibakar dan lain-lain lagi, kini muncul pula serangan ke atas kenderaan milik pemimpin Pakatan Rakyat.

Justeru, tegasnya DPPM mengingatkan pihak terbabit bahawa budaya keganasan bukanlah budaya yang diterima oleh rakyat di negara ini.

Katanya, rakyat semakin matang dan bijak berpolitik, dan rakyat memilih politik aman sebagai jalan perjuangan mereka.

Beliau menambah, rakyat mahu melihat apakah tawaran parti-parti politik terhadap mereka bagi menarik hati mereka.

Malah, katanya lagi rakyat menunjukkan sikap simpati dengan PR kerana kerap menjadi mangsa pelbagai tindakan sabotaj yang dilakukan siang dan malam.

“Nyawa pemimpin PR adalah ibarat kertas yang tidak bernilai dan boleh melayang pada bila-bila masa sahaja,” katanya lagi.

Oleh itu, ujar beliau DPPM menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar dapat mempertingkatkan kawalan keselamatan ke atas pemimpin PR dan rakyat umumnya khususnya menjelang pilihan raya umum yang bakal tiba.

“Suhu politik negara sudah semakin panas dan PDRM perlu menjangkakan sesusatu yang lebih buruk mungkin terjadi menimpa pemimpin PR atau penyokong mereka pada bila-bila masa,” ujarnya.

Lestari Pengerang: Kereta Zulkefly dipancitkan tayar

Harakahdaily, 01 Okt 2012
JOHOR BAHRU: Selain memecahkan cermin kereta Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, tayar kereta Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS, Zulkefly Mohd Omar juga telah dirosakkan.
(Zulkefly melihat tayar keretanya ditukar selepas dipancitkan di Masjid Pengerang, semalam)

Menurut Zulkefly, dua tayar kereta jenis Nissan Teana beliau telah di bocorkan iaitu dibahagian kiri hadapan dan belakang.

Kereta ini diletakkan di Masjid Penggerang, Johor ketika beliau bersama-sama penduduk Pengerang berhimpun membantah projek Rapid Pengerang.

"Kami sedar tayar dicucuk dengan benda tajam pada pukul 2.00 petang bila tayar hadapan kiri pencit lalu kami tukar dengan simpanan.

"Dalam perjalan balik, tayar belakang sebelah kiri pula bocor dan pencit teruk di R & R Machap.

"Kami mendapat bantuan dari Plus Ronda kemudian telah menampal tayar yang bocor tersebut," cerita beliau kepada Harakahdaily.

Bagi beliau, yang jelas sikap khianat pihak tertentu di Pengerang tidak mengira tempat walaupun kereta itu diletakkan di kawasan masjid.

"Yang mengejutkan kami bahawa masjid tidak lagi menjadi kawasan selamat bagi kami," katanya.

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan bagaimana cermin kereta Pengerusi Institut Peduli Rakyat, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin dipecahkan manakala dua tayar ditoreh di Sungai Rengit, Pengerang tengah hari semalam.

Perbuatan khianat itu dipercayai dilakukan oleh kumpulan yang tidak senang dengan Himpunan Hijau Lestari Pengerang di Dataran Sungai Rengit pagi semalam.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang turut menaiki kereta tersebut bersama Abdul Rahman berkata, perkara itu disedari ketika mereka selesai menunaikan solat Zuhur di masjid berdekatan.

FDI: Negeri Pakatan Rakyat antara 5 tertinggi

Harakahdaily, 01 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Negeri Pulau Pinang, Selangor dan Kedah yang ditadbir Pakatan Rakyat termasuk dalam lima negeri yang mencatat jumlah pelaburan asing (FDI) paling tinggi bagi tempoh 2008 hingga Julai tahun ini.

Di kedudukan pertama adalah Sarawak dengan nilai pelaburan sebayak RM30.3 bilion dikuti Pulau Pinang (RM25b), Selangor (RM23.9b), Johor (RM20.1b) dan Kedah (RM11.1b).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir pada sesi soal jawab lisan persidangan dewan rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Gopeng Dr. Lee Boon Chye yang mahu kementerian itu menyatakan jumlah pelaburan asing mengikut negeri bagi tenpoh tersebut.

Jumlah keseluruhan pelaburan FDI negara sepanjang tempoh itu menurut Mukhriz adalah RM145.3 bilion.

Selain Sarawak, dua lagi negeri yang terkenal dengan sumber bumi iaitu Sabah dan Terengganu masing-masing berada di tangga ke-8 dan ke-10 dengan nilai pelaburan RM6.3 bilion dan RM4.2 bilion.

Negeri Pahang iaitu negeri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada ditangga ke-11 dengan nilai pelaburan RM2.8 bilion diikuti Kelantan pada tangga ke-12 dengan nilai pelaburan RM297 juta.

Berikut adalah kedudukan negeri mengikut kadar jumlah pelaburan paling tinggi:

1- Sarawak (RM30.3b)
2- P.Pinang (RM25b)
3- Selangor (RM23.9b)
4- Johor (RM20.1b)
5- Kedah (RM11.1b)
6- Melaka (RM7.9b)
7- Negeri Sembilan (RM7.2b)
8- Sabah (RM6.3b)
9- Perak (RM5.8b)
10- Terengganu (RM4.2b)
11- Pahang (RM2.8b)
12- Kelantan (RM297 juta)
13- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM196 juta)
14- Perlis (RM109 juta)
15- Wilayah Persekutuan Labuan (RM22.9 juta)

Mahal betul harga nak kekalkan BN dan Najib ini

Aspan Alias, 01 Okt 2012
Najib setiap hari keluar berkempen memaki hamun semua parti-parti yang dalam PR dan kerajaan negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyat. Bagi kita yang sudah berumur dan ada sedikit pengalaman berpolitik ini memahami apa yang ada di dalam hati dan sanubari pemimpin utama negara kita itu. Beliau gentar dan resah gelisah.


Cara beliau bercakap bergegar-gegar itu tidak lebih dan tidak kurang menunjukkan yang beliau amat gelisah dengan apa yang berlaku dikalangan rakyat akar umbi. Najib sedang panik dan masih tidak berkeyakinan yang BN akan mendapat mandat kali ini walaupun berbillion-billion ringgit telah dibelanjakan membeli hati dan jiwa rakyat sekalian.

Cara beliau berucap tidak menampakkan yang beliau seorang Perdana Menteri. Mungkin beliau terlupa sekejap yang beliau itu Perdana Menteri kerana selalunya pemimpin utama negara akan bercakap dengan nada yang rendah tapi meyakinkan. Di Pulau Pinang semalam Najib bercakap dengan nada yang begitu tinggi dan nampak jelas beliau terlalu banyak kelemahan yang beliau mahu lindungi dari pandangan rakyat. Beliau mempunyai banyak perkara yang putus yang perlu disambung dan yang koyak untuk ditampal.

Setiap malam tidak ada orang lain di kaca TV selain dari Najib berkempen melaluinya. Bahan kempennya tidak lain hanya memperlekehkan pentadbiran semua kerajaan negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Najib tidak nampak apa kebaikan yang telah dilakukan oleh PR di P Pulau Pinang, Selangor dan Kedah serta Kelantan. Najib amat resah dengan pengaruh kerajaan-kerajaan negeri dalam PR kerana kerajaan Pakatan Rakyat melakukan pembersihan segala politik dan ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan BN dahulu.

Seboleh-bolehnya Najib mahu mengajak rakyat menafikan kelebihan berada di bawah tadbiran PR. Kejayaan PR mentadbir negeri-negeri yang diperintahnya amat menyulitkan Najib siang dan malam. Najib terpaksa mencemuh dan bergegar-gegar menempelak kebaikan yang di tunjukkan oleh PR di empat buah negeri tersebut. Tetapi bagi kita yang faham, jangan diambil pusing dengan apa yang dikatakan oleh Najib itu.  Kita faham yang beliau sedang berada di hujung tanduk. Beliau sedang terkapai-kapai meminta tolong dan merayu untuk diberi peluang kali ini.

Tetapi selama ini rakyat telah memberi peluang kepada BN sejak negara merdeka. Tetapi kebaikan rakyat selama ini diambil sebagai kelemahan yang mereka boleh mengambil kesempatan ka atas mereka dengan melakukan perkara-perkara yang menjolok mata. Najib sudah menganggap rakyat sekarang degil dengan kerajaan. Justeru Najib sekarang sedang bertempur dengan rakyat dengan menghina pilihan rakyat dan ini adalah satu pencemaran kepada semangat persekutuan.

Orang yang menjadi sasaran Najib ialah Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang serta Khalid Ibrahim MB Selangor. Najib amat agresif dan mahu memaksa rakyat memberikan sokongan kepada BN. Usaha Najib dan BN untuk memecahkan perhubungan baik di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah gagal dan kegagalan beliau memecah belahkan komponen PR itu membuatkan Najib tidak lalu makan dan tidak lena tidur. Seperti biasa apabila tidak ada perpecahan UMNO akan hanyut.

Seperti ilmu matematik, cara memilih dalam pilihanraya dengan baik ada formulanya. Jika sesebuah parti dan pemimpin itu menjadi sasaran cemuhan yang kuat oleh Najib dan pimpinan BN, itulah parti atau pemimpin yang rakyat perlu sokong. Kalau di ikutkan formula ini maka yang perlu diberikan sokongan ialah mana-mana parti yang berada di dalam Pakatan Rakyat.

Sebabnya mudah. Apa yang dikecewakan oleh BN dan Najib ialah rakyat sudah merasakan dan nampak dengan jelas yang PR boleh memimpin walaupun ditekan dengan hebat oleh kerajaan persekutuan yang di kuasai oleh BN. BN sedang cuba menggelapkan mata rakyat untuk tidak nampak apa yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat. Kejayaan Pakatan Rakyat adalah kegagalan kepada BN. Itulah sebabnya Najib terpaksa berucap sampai terkeluar anak tekak untuk melindungi rakyat dari mengakui kewibawaan PR itu.

Itulah sebabnya rakyat wajar memberikan sokongan kepada PAS, DAP dan PKR untuk menguasai Putrajaya kerana jika PR dapat menguasai Putrajaya maka kerajaan–kerajaan Pakatan Rakyat di negeri-negeri tidak akan ditekan dan mudah untuk melaksanakan segala dasar yang di gubal oleh kerajaan baru itu.

Jika Pakatan Rakyat memerintah maka kita boleh memberikan harapan untuk membina kembali semangat persekutuan yang telah diranapkan oleh UMNO sejak Dr Mahathir memerintah dahulu. Saya secara peribadi berharap Pakatan Rakyat akan menghormati kedaulatan kerajaan-kerajaan negeri pilihan rakyat itu. Cara untuk menghormati rakyat ialah dengan menghormati kerajaan-kerajaan negeri pilihan mereka kerana negeri-negeri itu adalah kepunyaan rakyat yang merdeka dan berdaulat.

Saya ingin mengulangi tidak akan ada kerajaan persekutuan tanpa kerajaan-kerajaan negeri yang berdaulat itu. Tetapi semangat itu tidak pernah dihormati oleh pimpinan persekutuan kerana mereka terlupa agaknya yang negara kita ini adalah negera persekutuan bukannya negara ‘unitary’ seperti Thailand dan Indonesia. Pimpinan di Putrajaya berfikir yang seluruh negara ini adalah kepunyaan ibu bapa atau datuk nenek mereka sahaja dan boleh memaki hamun rakyat yang selama ini telah memberikan mandat yang mereka lalaikan selama ini.

Apabila rakyat sudah mula sedar, maka mundar mandirlah Najib di setiap negeri dan daerah memaki hamun pihak lain dan sentiasa menyalahkan PR dan rakyat kerana kelemahan yang mereka wujudkan sendiri. Rakyat kini sedar yang kepercayaan yang hanya UMNO boleh menjamin masa depan rakyat itu hanyalah satu ‘myth’ yang dibina oleh UMNO dan BN memalui media masa perdana selama ini. Sekarang rakyat sudah sedar yang UMNO telah mengelirukan mereka dan itulah yang membuatkan Najib tidak kering peluh berjalan ke sana ke mari meminta tolong dan beliau tidak sedar yang beliau sekarang adalah seorang kembiri politik yang paling sibuk dalam sejarah politik negara.

Najib bercakap besar dengan nada yang tinggi seolah-olah beliau dan UMNO sahaja yang boleh mentadbir negara ini. Rakyat yang mendengar ucapan beliau di kaca TV setiap malam seolah-olah kita semua ini adalah ‘little cousins’ beliau. Rakyat yang mendengar itu kebanyakannya adalah mangsa UMNO yang selalu mengelirukan mereka dan mereka tidak mahu lagi diperbodohkan oleh Najib dan pimpinan negara yang lain. “Enough is enough. No more listening to silly statements from Najib please!” kata salah seorang bekas Menteri yang berakap dengan saya pagi semalam.

Najib has over sold himself bro” kata seorang yang baru saya kenali dalam satu majlis hari raya beberapa minggu yang lepas. “Najib talks too much to an extent of clowning himself. The more he talks the more weaknesses uncovered from him. Najib is telling too much lies that he now believes his own lies” sambung kenalan baru saya itu..Saya hanya menjawab , “Let him tell lies about us, but we can tell the truth about him”.

Pendeknya Najib sedang sedaya upaya untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu-isu peribadi yang sedang beliau hadapi sekarang ini. Yang menjadi mangsa di atas kesalahan beliau adalah rakyat yang ramai ini. Mahal betul harganya untuk mengekalkan Najib dan BN ini. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Bajet 2013: Hak rakyat Sabah diketepikan

Hamzah Abdullah, 01 Okt 2012
PAS Sabah merasa kesal dengan pembentangan Bajet 2013 yang langsung tidak mengembil kira hak kebajikan rakyat Negeri ini. Bagi pihak rakyat Sabah, saya telah meneliti kandungan Bajet yang dibentangkan oleh PM Umno, dan merumuskan bahawa yang akan 'kenyang' daripada dentuman Bajet ini hanya pemimpin Umno BN.

Rakyat Sabah, khususnya pribumi Sabah, yang rata-rata masih berada dibawah paras miskin hanya bakal menerima tangki-tangki air dan keperluan asas yang hanya  boleh bertahan paling lama 8 bulan. 40,000 tangki air yang bakal diagih-agihkan kepada orang-orang kampung hanya 'menggemukkan' pembekal yang tentunya kroni-kroni Umno BN mempunyai saham dalamnya iaitu dalam bentuk komisyen. Tangki air ini hanya mempunyai jangkahayat paling lama 8 bulan kerana ianya jenis yang rendah kualiti.

Umno BN jangan fikir rakyat masih bodoh dan boleh diperbodohkan seperti zaman sebelum wujudnya ICT. Sekarang kita berada pada era dimana maklumat berada dihujung jari. Rakyat Sabah masih tidak lupa dengan teguran Ketua Audit Negara bagaimana peralatan sekolah dan alat kelengkapan tentera seperti teropong telah dibeli dengan harga sehingga melonjak 1000% dari harga asal!! Ini lah yang mesti rakyat sedar dan usah teruja terhadap pembentangan yang masih jauh dari jangkauan kita.

PAS Sabah menuntut supaya dipulihkan semula saham Amanah Tun Mustapha yang telah diasaskan oleh Bapa Kemerdekaan Sabah, Almarhum Tun Mustapha di era pemerintahan USNO. Almarhum Tun Mustapha adalah pemimpin Sabah pertama yang mempunyai ciri-ciri pemimpin seorang yang berjiwa rakyat dan menitikberatkan kebajikan rakyat Sabah.

Di zaman Tun Mustapha jugalah pelajar-pelajar Sabah yang cemerlang dalam peperiksaan Senior Cambridge akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke UK atau Australia diperingkat A-Level dan seterusnya ijazah dengan pembiayaan wang Yayasan Sabah, yang mempunyai konsesi balak pemberian Kerajaan Negeri.

Almarhum Tun Mustapha juga telah menggunakan wang kerajaan Negeri bagi membiaya kos menunaikan haji bagi jemaah haji Sabah, termasuk membiayai guru-guru agama yang bertauliah untuk mengajar disekolah-sekolah agama seluruh Sabah. Pelajar-pelajar cemerlang dari sekolah menengah akan di hantar ke Semenanjung bagi meneruskan pengajian di Tingkatan 4 dan Enam juga dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Sabah.

PAS Sabah menuntut supaya Datuk Pairin mengambil tanggungjawab sepenuhnya diatas pemansuhan Amanah Tun Mustapha kerana dizaman PBS lah amanah saham ini telah dihentikan!!

PAS Sabah seterusnya mencabar Pairin supaya 'cakap serupa bikin' kalau benar dia bersetuju dengan slogan 'rakyat didahulukan'. Ini masanya kehendak rakyat diutamakan memandangkan Datuk Pairin masih berkuasa didalam kerajaan Umno BN Sabah sekarang setelah partinya tewas pada 1994.
PAS Sabah menuntut supaya pembayaran amanah saham ini dibuat dengan mengambil kira tahun ianya dimansuhkan iaitu sekitar tahun 1988. Ertinya rakyat Sabah berhak mendapat saham ini  untuk tempoh ianya tertunggak sejak 1988 yang bererti selama 24 tahun. Kalau setiap tahun rakyat Sabah yang layak mendapatnya berjumlah rm200 setiap tahun, maka setiap seorang rakyat yang layak mesti diberikan hak mereka berjumlah RM4,800.00!!

PAS Sabah akan membawa isu ini ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Pakatan Rakyat yang akan datang bagi diterima sebagai sebahagian daripada manifesto pilihanraya.

*Penulis adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah

Masalah utama ekonomi ialah pengurus kewangan

Harakahdaily, 01 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Buatlah perbelanjaan semesra manapun – ia tidak akan membawa makna sekiranya tiada pelan dan peruntukan untuk menyelesaikan masalah pokok kepada ekonomi negara.

“Masalah utama ekonomi negara ialah pada mereka yang menguruskan kewangan negara yang sebati dengan budaya ketirisan, kebocoran, pembaziran dan diancam gelaja rasuah yang berleluasa,” kata Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan Tantawi (gambar) dalam satu kenyataannya hari ini.

Nasrudin menegaskan pemacuan pertumbuhan ekonomi tidak hanya dilihat pada nilai dan jumlah angka yang ditabur kepada rakyat untuk mengembirakan penerimanya tetapi mesti juga memastikan operasi kawal aliran serta kitaran ekonomi yang telus, saksama dan adil.

Oleh yang demikian, katanya pemacu ekonomi negara perlu diperkaya dengan keutuhan nilai dan spiritual.

“Jika pengurus dan pemacu ekonomi negara tidak cakna dosa dan pahala dalam mengusahakan pendapatan dan perbelanjaan negara, belanjawan sebaik manapun tiada guna, apatah lagi satu belanjawan yang berPhD dalam berbelanja tapi masih bertadika dalam meningkatkan hasil negara,” sindirnya.

Nasrudin berkata berlakunya rasuah, penyalahgunaan dana awam, ketirisan, pembaziran dan pecah amanah adalah berpunca dari rendahnya nilai modal insan yang dimiliki oleh negara.

Beliau berhujah bahawa sebagaimana berlakunya jenayah, salah laku moral dan aneka kemungkaran adalah berpunca juga dari tandusnya agenda atau program membina spiritual sepantas pembinaan material yang mencakar langit.

“Jangka panjang, segala gejala negatif tersebut akan meruntuhkan peradaban negara dan tamadun kemanusiaan. Belanjawan yang dibuat semata-mata untuk mendapatkan undi adalah sangat tidak sihat dalam pertumbuhan ekonomi negara.

"Candu hari ini adalah racun pada generasi yang akan datang. Ini mengkhianati Allah swt Tuhan yang menurunkan rezeki,” tegasnya.

Kata Nasrudin, fenomena ini akan berterusan tanpa pembangunan spiritual yang mantap selari dengan pertumbuhan material.
Jesteru, beliau menjangkakan bahawa negara terus akan mengalami kepincangan ketara kerana sumber manusia  atau modal insan adalah faktor terpenting untuk memastikan pengurusan ekonomi terlaksana dengan baik dan gemilang.

“Lebih menyedihkan, Belanjawan 2013 terus mengenepikan pertumbuhan spiritual rakyat – yang penting untuk membina benteng kepada menularnya gejala rasuah, penyalahgunaan dana awam, ketirisan, pembaziran dan pecah amanah yang telah menjadi budaya pemerintah masa kini,” tambah beliau.

Nasrudin, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang III menegaskan bahawa Malaysia sebagai negara yang diterajui oleh pemerintahnya yang majoritinya beragama Islam, penekanan mulai sekarang harus diberikan untuk mewujudkan institusi membina kefahaman, kesedaran dan penghayatan Islam kepada rakyat demi pembangunan negara masa hadapan.

"Negara perlu melahirkan generasi yang berintegriti untuk menggantikan generasi pemerintah kini yang sudah sebati dengan gejala rasuah, penyalahgunaan dana awam, ketirisan, pembaziran dan pecah amanah.

"Atas sebab itu, sayugia pembangunan Islam mesti dijadikan agenda terpenting sebagai sebahagian dari 'mesin' yang berkualiti tinggi untuk menghasilkan sumber manusia yang mempunyai kredibiliti,” tegas beliau.

Nasrudin turut menyatakan rasa kesalnya dengan Belanjawan 2013 yang terus mengenepikan Sekolah Agama Rakyat [SAR] yang sehingga kini tiada usaha berkesan dan peruntukan wajar diberikan untuk SAR untuk tujuan membangun minda dan jiwa anak bangsa.

"SAR terus dianak tirikan dan terus menjadi mangsa dendam politik yang tidak memulangkan kebaikan kepada rakyat khasnya ummat Islam,” tegasnya.

Bubar SPR sebelum bubar Parlimen - SAMM

Harakahdaily, 01 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Sebelum Parlimen dibubarkan, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibubarkan terlebih dahulu.


(Laporan akhbar Daily Ekspress yang melaporkan pengakuan pembelian Mykad)

Ini berikutan pengakuan terbuka seorang warga asing di mahkamah bahawa beliau mendapat Mykad dengan harga RM1,000.

Akhbar Daily Express bertarikh 29 September 2012 melaporkan, seorang warga asing bernama Hassannuddin Bin Manna memberitahu mahkamah bahawa dia telah membeli Mykad palsu dengan harga RM1000.

Mahkamah juga telah memutuskan Hassannuddin didenda dan dipenjara kerana memiliki dokumen palsu, sekaligus mengesahkan Kad Pengenalan yang diperolehi Hassannuddin adalah palsu.

"Namun setelah disemak nombor kad pengenalan milik Hassannuddin (741029125463), SAMM mendapati nombor Kad Pengenalan palsu tersebut wujud dalam pangkalan data SPR dan juga merupakan pengundi yang sah," kata Edy Noor Reduan, Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dalam satu kenyataannya.

SAMM sebelum ini telah membuat pendedahan kerjasama SPR dan JPN untuk menutup kerja kotor penipuan pilihanraya.

"Persoalannya, bagaimana seorang warga asing yang telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana memiliki kad pengenalan palsu didapati layak untuk mengundi?

"Kad Penganalan yang dikenalpasti tidak sah, tetapi sah untuk mengundi mengikut bancian senarai pengundi SPR? Bagaimana ini berlaku?" soal beliau.

(Nama Hassannuddin Manna ada dalam daftar pemiolih)

Kad pengenalan ini juga didapati mempunyai rekod di JPN dengan status 'telah diambil'.

Ini bermakna Kad Pengenalan palsu ini telah diluluskan di JPN.

"Siapa pegawai yang meluluskannya? Siapakah kerani kaunter yang melepaskan kad pengenalan palsu ini untuk diambil?" soal beliau lagi dalam kenyataannya.

Beliau seterusnya mempersoalkan, apakah ini satu lagi kerjasama utuh di antara Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga melibatkan bantuan dari Jabatan Imigresen?

"Inikah hasil daripada program 6P yang cuba dilaksanakan secara terburu-buru oleh Jabatan Imigresen?" soal beliau.

Isu pemberian Mykad kepada warga asing merupakan satu isu yang sangat serius ketika ada warga sendiri yang masih tidak diberi kad pengenalan kerana birokrasi melampau.

Percayalah lambat laun warga negara sendiri terpaksa merempat di bumi bertuah ini, katanya.

Keadaan menjadi lebih parah apabila warga asing diberikan pula hak untuk mengundi oleh SPR.

(Eddy Nor menuntut sokongan semua NGO)

"Apakah demokrasi negara ini dibiarkan terjual kepada warga asing demi menyelamatkan Barisan Nasional daripada kehilangan kuasa?" soalnya lagi.

Lihatlah bagaimana kedudukan warga asing di serata pelusuk negara walaupun tanpa memiliki dokumen yang sah, mereka mampu berniaga di pasar pagi, pasar petang siang dan malam, membuka gerai, bengkel malah ada yang mempunyai syarikat pembinaan sendiri.

Bayangkan jika warga asing diberikan kad pengenalan secara sewenang-wenangnya demi mempertahan regim pemerintah sedangkan ia sebenarnya satu skim menjual negara, katanya.

Bagi Edy Noor, Barisan Nasional sudah semakin lemah dan tidak mampu untuk menang dalam pilihanraya yang juga beberapa kali ditangguh.

Barisan Nasional juga, katanya,  kini ditolak oleh rakyat negara ini, maka idea memberikan kewarganegaraan segera kepada warga asing merupakan satu jalan singkat yang mengundang padah kepada seluruh rakyat negara ini.

Banyak pendedahan telah dibuat dan pendedahan terbaru ini menjadi bukti kewujudan pemberian 'kewarganegaraan segera' sedang berleluasa.

SAMM , katanya, sebagai peneraju anak muda bingkas sekali lagi menyeru kepada seluruh rakyat agar tidak berdiam diri ketika negara sedang dijual sehabisnya.

Semua persoalan ini bukan sahaja wajib dijawab malah SPR yang gagal membersihkan senarai pengundi wajib dibubarkan segera sebelum parlimen dibubar, tegas beliau.

Sehubungan itu, SAMM memanggil semua NGO dan individu yang cintakan demokrasi, cintakan negara ini harus menyertai gerakan membubarkan SPR dengan segala bentuk tekanan walaupun dengan melakukan satu lagi protes terbesar menuntut pilihanraya bersih dan adil - BERSIH 5.0.
Selagi pilihanraya tidak bersih, selagi itulah wajarnya protes ini dengan pelbagai pendedahan yang tidak disangkal sebagai bukti.

"Perubahan itu harus didesak bukan ditunggu," tegasnya.

Laporan Audit sedarkan dari ‘candu’ bajet Najib

Harakahdaily, 01 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Pembentangan belanjawan gula-gula oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menumpukan kepada pemberian one-off merupakan gambaran ketandusan idea seorang pemimpin bagi memakmurkan ekonomi rakyat, menjana pendapatan dan mencari jalan bagi menerajui masa depan ekonomi negara yang lebih berdaya saing.


Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, tindakan mengurniakan pembayaran one-off hanya menggembirakan penerima untuk sementara waktu, sedangkan peningkatan kos hidup terus bertambah dan seluruh rakyat menerima bebanan berterusan.

Ini, katanya umpama candu yang melalikan dan melalaikan buat sementara waktu tapi perit kesakitannya pasti mengunjung tiba, bahkan barah itu bakal ditanggung generasi akan datang.

Menurutnya, asas kepada pembinaan ekonomi negara  bukan hanya dilihat kepada apa yang dicurah, tetapi juga sejauh mana asas kawalan perbelanjaan negara diurus.

“Dengan kedudukan ekonomi dunia yang tidak menentu, tindakan PM dilihat hanyalah untuk menghabiskan dana negara dalam bentuk pemberian one-off bagi menarik golongan sasar di kalangan pengundi baru untuk membeli jaminan kerajaan korup ini terus berkuasa,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Kini, ujar beliau rakyat menanti pembentangan laporan audit negara yang sepatutnya dibekalkan bersama kepada seluruh ahli parlimen sewaktu pembentangan belanjawan.

Beliau berkata, Laporan Ketua Audit Negara yang sengaja digagalkan untuk dikemukakan oleh kerajaan, menyebabkan analisa belanjawan hanya tertumpu apa yang diumum tanpa melihat sejauh mana ketirisan, penyalahgunaan kuasa, dana dan kemampuan urus tadbir oleh kerajaan BN.

“Laporan Audit ini bakal menjadi ubat penyedar kepada mereka yang terkena ‘candu’ yang ditanam dalam bajet Najib,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Ini kerana, tambah beliau Laporan Audit dua tahun kebelakangan ini mendapati betapa kerajaan yang ada gagal melakukan pembaikan, walaupun ianya ditegur setiap tahun oleh Ketua Audit Negara.

BN, katanya sudah tentu ingat bagaimana mereka hampir tidak melakukan apa-apa dalam isu NFC, berdiam seribu bahasa dalam isu pembelian komputer RM40,000 dan juga binokular bernilai RM56,350.

Justeru, ujar beliau rakyat seharusnya berfikir secara serius berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai betapa perlunya sebuah kerajaan baru yang lebih amanah bagi menerajui masa depan negara dan bukannya berdasarkan candu racun yang ditanam dalam bajet untuk menang pilihanraya Barisan Nasional.

Ali Rustam pecah rekod tetapi duit siapa..

Harakahdaily, 30 Sep 2012

MELAKA: Majlis perkahwinan anak lelaki Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam memecahkan rekod apabila 130,000 tetamu menyertai majlis yang berlangsung lapan jam itu.

Majlis yang berlangsung di Dewan Tun Ali Bukit Katil, Ayer Keroh itu adalah untuk perkahwinan anak lelakinya, Mohd Ridhwan, 26, dengan isterinya, Nur Azieha Mohd Ali, juga 26.

Antara tetamu yang hadir adalah Sulatn Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Yang DiPertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop dan bekas Ketua Menteri Abu Zahar Ithinin yang juga bapa pengantin perempuan.

Ekoran jumlah tetamu itu, Ali menerima sijil Malaysian Book Of Rekod (MBR) dari  wakilnya, Zulhairi Md Zin.

Anggota Parlimen Taiping, Nga Kor Ming memalui Twitternya berkata, jika satu orang dibelanjakan RM30, kosnya sebanyak RM4 juta.

"Itu duit siapa?" soal beliau.

Namun Lim Kit Siang meramalkan kosnya lebih tinggi. Beliau menganggarkan kos setiap orang adalah RM100. Jika begitu, beliau menjangkakan kos untuk makan sahaja adalah RM13 juta?.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim pula dalam kenyataannya berkata, Umno tentu bangga kerana mempunyai pemimpin Melayu yang boleh mengumpulkan 130,000 orang untuk makan percuma.

Sebelum ini, Ali pernah menerima hukuman dari Umno sendiri setelah terbukti memberikan rasuah.

Ratusan rakyat Libya serah senjata

Asharq-e terjemahan Mohamad Yahya, 01 Okt 2012

(Rakyat Libya berbaris menyerahkan senjata mereka)

BENGGHAZI (Libya): Ratusan rakyat Libya Sabtu lalu berkumpul di dataran utama di Benghazi dan satu lagi di Tripoli sebagai reaksi positif kepada seruan pihak tentera untuk menyerahkan senjata mereka.

Mereka hadir dengan membawa kereta berperisai, kereta kebal, kenderaan dengan senjata anti-pesawat dan ratusan pelancar roket.

Seruan oleh ketua kakitangan Libya telah disiarkan di stesen TV swasta Ogos lalu.

Tetapi ia baru mendapat reaksi positif ekoran serangan terhadap konsulat Amerika Syarikat di Benghazi di mana duta Amerika dan tiga kakitangan konsulat telah terbunuh.

Insiden itu diikuti oleh kegemparan militia bersenjata yang semakin mencabar pihak berkuasa.

Sebagai tindak balas, kerajaan telah mengarahkan pembubaran semua militia atau mereka menyertai pusat yang menyelaraskan antara pihak tentera dan militia.

Kerajaan telah banyak bergantung kepada militia untuk mengawal keselamatan semasa kekacauan berikutan penyingkiran dan pembunuhan Moammar Gaddafi.

Kolonel tentera, Omran al-Warfali berkata kehadiran penyerahan senjata amat memberangsangkan.

"Ratusan orang datang sejak awal pagi ini untuk menyerahkan senjata mereka dari semua lapisan masyarakat, lelaki, wanita, dewasa, belia, termasuklah kanak-kanak yang datang untuk menyerahkan peluru yang mereka jumpai di jalanan," katanya.

Sebelum ini, kerajaan menganggarkan bahawa lebih 200,000 rakyat Libya adalah bersenjata.

Kerajaan telah mencuba beberapa skim penyerahan senjata, termasuk menawarkan pekerjaan kepada mereka yang menyerahkan senjata, atau menawarkan untuk membeli senjata. Skim-skim tersebut bagaimanapun tidak begitu berhasil.

Seorang pegawai tentera telah menggesa rakyat Libya melalui iklan di stesen TV yang popular untuk menyerahkan senjata mereka.

Stesen TV tersebut, Libya alHurra atau Libya yang Bebas menyiarkan secara langsung program penyerahan senjata Sabtu lalu.

Ahmed Salem, penganjur program di Benghazi berkata, lebih 800 orang menyerahkan senjata di pusat pungutan utama.

Lebih dari 600 jenis senjata telah dikumpulkan, termasuk senjata anti-pesawat, bom tanah, pelancar roket dan roket meriam.

Moussa Omr, bekas pejuang menentang Gaddafi yang tinggal di pinggir bandar Benghazi berkata, sudah tiba masanya untuk menyerahkan senjata ke negara Libya.

"Apabila saya melihat pengumuman di televisyen saya datang ke Benghazi dengan isteri dan anak saya untuk menyerahkan senjata kepada tentera kerana saya mahu bergerak dari peringkat revolusi ke pembangunan negara," katanya.

"Saya percaya kepada tentera. Mereka telah bersama kami di barisan hadapan dan saya kenal mereka seorang demi seorang. Saya tidak memerlukan senjata selepas hari ini, militia telah diusir dari Benghazi dan tentera akan melindungi kita."

Kemarahan terhadap militia tercetus selepas serangan September 11 ke atas konsulat AS.

Kebanyakan militia Libya muncul semasa perang lapan bulan menentang Gaddafi, tetapi kebanyakan yang lain pula muncul selepas berakhirnya pertempuran Oktober lepas.

Militia tidak begitu mengendahkan kerajaan interim yang cuba membina semula negara selepas pemerintahan diktator selama 42 tahun.

Militia dituduh membuli rakyat, menjalankan operasi penjara, dan mengadakan perbicaraan ringkas ke atas pengikut setia Gaddafi.

Hujung minggu lalu, ribuan penunjuk perasaan berarak membantah  militia di Benghazi, tempat bermulanya pemberontakan menentang Gaddafi, dan menyerbu dua halaman militia.

Di Tripoli, sekurang-kurangnya 200 bekas pejuang telah menyerahkan senjata mereka, termasuk dua kereta kebal, di dataran Martyrs di pusat bandar.

Seorang ulama menggesa pejuang-pejuang muda untuk menyerahkan senjata mereka.

"Negara ini dibina dengan pengetahuan bukannya senjata," ucapnya sambil berdiri di tengah-tengah dataran.

Hamas seru boikot perlawanan Barcelona vs Real Madrid

Al Jazeera terjemahan Mohamad Yahya, 01 Okt 2012


(Mahmoud al-Sarsak menolak jemputan untuk menghadiri perlawanan el clasico selepas Hamas menyeru memboikot perlawanan tersebut.)



GAZA: Bekas pemain bola sepak Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel baru-baru ini telah menolak jemputan oleh kelab bola sepak, FC Barcelona untuk perlawanan menentang Real Madrid.

Mahmoud al-Sarsak menolak jemputan tersebut Ahad lalu selepas Hamas, kumpulan Palestin yang mengawal Gaza, menyeru supaya memboikot perlawanan Barcelona-Real Madrid jika kelab Catalan itu meneruskan rancangan untuk menjemput Gilad Shalit, seorang bekas tentera Israel ke perlawanan tersebut.

Shalit, yang dibebaskan Hamas Oktober lalu dalam satu perjanjian pertukaran banduan dengan Israel, telah ditahan oleh Hamas lebih daripada lima tahun selepas dia ditangkap pada tahun 2006.

Barcelona menjemput tiga warganegara Palestin ke perlawanan tersebut selepas menerima kritikan atas jemputan mereka kepada Shalit, yang dikenali sebagai peminat bola sepak di negara asalnya.

Hamas berkata kehadiran Shalit ke perlawanan pada 7 Oktober itu akan menyinggung perasaan banyak pihak.

"Kita menyeru kepada semua media Islam, Arab dan Palestin untuk tidak menyiarkan perlawanan ini jika Shalit menghadirinya," Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri berkata.

Sarsak memberitahu agensi berita AFP Jumaat lalu bahawa jemputan untuk menghadiri pertembungan gergasi Sepanyol itu sangat  bermakna kepada beliau dan rakyat Palestin, tetapi dia tetap tidak akan hadir jika dia terpaksa berkongsinya dengan Shalit.

"Jemputan ini sangat penting bagi saya dan bagi rakyat Palestin tetapi saya tidak akan dapat menerimanya melainkan Pihak Berkuasa Palestin memberikan saya kebenaran," ujar Sarsak.

Sarsak telah ditangkap pada Julai 2009 semasa dalam perjalanan dari Gaza untuk menyertai sebuah kelab di Tebing Barat dan telah ditahan tanpa perbicaraan di bawah undang-undang Israel "pejuang yang menyalahi undang-undang".

Rabu lalu, FC Barcelona berkata mereka telah bersetuju untuk menjemput Shalit ke perlawanan el clasico, yang menyebabkan kemarahan Hamas.

Keesokan harinya, kelab Catalan berkata mereka juga telah menjemput presiden Persekutuan Bola Sepak Palestin,Jibril Rajub,  duta Palestin ke Sepanyol dan Sarsak untuk perlawanan tersebut.

Rajoub dan Duta Palestin ke Sepanyol telah mengesahkan kehadiran.

Tiada ulasan: