Isnin, 1 Oktober 2012

RAKYAT DIDULUKAN...RUMAH MEREKA SELESA DARI RUMAH RAKYAT...JANJI DITEPATI...BOLEH CAYA KE...

Belanja Pelajaran berkurang gara-gara PM, TPM mesra?

Abdul Aziz Mustafa, 01 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Belanja pembangunan yang semakin berkurangan kepada Kementerian Pelajaran dalam Belanjawan 2013 boleh mengancam masa depan negara, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Dalam keadaan kementerian-kementerian lain menikmati kenaikan dalam perutukan untuk pembangunan mereka atau sedikit sahaja pengurangannya berbanding tahun sebelumnya, Kementerian Pelajaran sangat ketara penurunan peruntukan pembangunannya," kata beliau.

Menurut Mahfuz, peruntukan pembangunan Kementerian Pelajaran dalam belanjawan 2013 merudum sehingga RM2,118,519,100 berbanding RM4,581,995,900 dalam belanjawan 2012.

"Kita boleh memahami bahawa beberapa kementerian mengalami penurunan kecil peruntukan pembangunan masing-masing berikutan jumlah raksaksa untuk peruntukan pengurusan Jabatan Perdana Menteri (JPM), mungkin ada kaitan dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Tetapi adalah tidak wajar dikorbankan peruntukan pembangunan Kementerian Pelajaran kerana ia boleh mengancam masa hadapan negara," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu sambil menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai bertentangan dengan tradisi belanjawan negara sejak merdeka yang memberikan keutamaan kepada pelajaran.

Mahfuz bimbang apa yang berlaku itu mempunyai kaitan dengan apa yang dilaporkan sebagai hubungan pura-pura mesra antara Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita tidak mahu kepentingan pelajaran generasi pelapis negara di masa akan datang diseret dan dimangsakan akibat apa yang semakin disebarluaskan sebagai keretakan hubungan mereka berdua," katanya.

Mengulas lanjut belanjawan 2013 itu, Mahfuz melihat belanjawan tersebut tidak popular dan disambut dingin oleh rakyat seiring penurunan populariti Najib.

"Adakah pandangan umum rakyat menunjukkan Najib sudah mula tidak laku?" beliau mempersoalkan sambil menyatakan belanjawan Najib itu "tidak ada umph dan tidak ada penerokaan baru untuk merangsang ekonomi".

Beliau juga mempersoalkan, adakah apa yang berlaku itu menunjukkan apa yang Najib cakap, bentang dan lancarkan sudah tidak mempunyai impak yang besar?

"Adakah semua itu menunjukkan rakyat semakin beranggapan apa sahaja yang Najib buat tidak memberi faedah kepada mereka dan Najib sudah lagi tidak relevan sama seperti tidak relevannya Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) menjelang pilihan raya 2008?" soal beliau lagi.

Mahfuz melihat, semua propaganda Najib hanya berkisarkan dirinya sendiri, bukan Umno, bukan Barisan Nasional (BN) dan bukan kerajaan.

"Bila Najib sudah tidak lagi relevan dalam pemikiran rakyat, propagandanya bukan sahaja gagal malah memakan diri.

"Adakah (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dan Muhyiddin sudah ke peringkat membuat kesimpulan bahawa Najib sudah tidak relevan lagi?" tanya beliau.

Tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaysia (UMCEDEL) yang disiarkan baru-baru ini menunjukkan populariti Najib terus merosot.

Siasat dalang pengeluar kad pengenalan palsu

Harakahdaily, 01 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius dakwaan terdapat warganegara asing mudah mendapatkan hak kerakyatan serta hak mengundi di negara ini.
Ini berikutan pengakuan seorang warga asing bernama Hasanuddin bin Manna yang mengaku membeli Mykad palsu dengan harga RM1,000.00.

“Bahkan nama beliau juga wujud dalam pengkalan data SPR dan menjadi pengundi yang sah,” kata Ketua Penerangan DPPPM, Riduan Mohd Nor kepada Harakahdaily.

Menurutnya, meskipun hanya seorang individu yang ditangkap dan dihukum, ia cukup menimbulkan kesangsian bahawa wujudnya skandal pemberian kad pengenalan palsu.

“Apakah ada sindiket yang menjalankan aktiviti mengeluarkan dan menjual kad pengenalan palsu kepada warga asing dan mungkinkah jumlahnya beribu orang kes seperti ini yang belum dibongkarkan?” soalnya.

Bagi DPPM, ujarnya kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia melibatkan kedaulatan negara.

Katanya, kedaulatan negara sudah boleh dijual beli sesuka hati kepada sesiapa sahaja demi kepentingan pihak tertentu, seolah-olah ada suatu usaha secara terancang dan teratur yang dijalankan oleh segelintir pihak dengan niat tertentu.

Tegasnya, DPPM bimbang jika gejala ini tidak disekat, akan menularnya perbuatan jenayah dan gejala sosial yang tidak terkawal di negara ini. Lebih dari itu, ia adalah suatu pencabulan dalam hak demokrasi di negara ini.

Tambahnya, warga asing didaftarkan sebagai pemilih dan dibenarkan menentukan kerajaan serta pemimpin dalam negara ini.

Katanya lagi, keselamatan negara boleh terjejas dengan kebanjiran warga asing di mana-mana yang mampu mendapat kad pengenalan palsu secara mudah.

Justeru, tegasnya DPPM mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang terlibat dan mengheret mereka ini ke muka pengadilan supaya ianya tidak lagi berlaku di masa hadapan.

Selain itu, kata beliau DPPM juga mendesak kerajaan menyiasat jumlah pemilih dari kalangan warga asing yang didaftarkan dalam rekod SPR serta membersihkannya sebelum pilihan raya umum ke-13.

“Sia-sia rakyat menyertai pilihan raya jika masa depan negara ditentukan oleh warga asing yang mempunyai hak yang sama dengan warga tempatan,” tegasnya lagi.

Siapa bakal MB dan kabinet bayangan BN?

Harakahdaily, 01 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya mengamalkan apa yang beliau katakan dan jangan berat sebelah dengan mengarahkan BN di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor untuk membentangkan Exco bayangan sekiranya BN bersungguh mahu menawan kembali negeri-negeri tersebut.


“BN sebenarnya lebih teruk daripada Pakatan Rakyat (PR) kerana BN bukan sahaja tidak mempunyai kabinet bayangan untuk negeri-negeri PR tetapi juga tidak melantik calon Menteri Besar di Selangor, Kelantan dan Kedah,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, sungguhpun BN berbohong bahawa PR tiada bakal Perdana Menteri, PR telah pun bersepakat dan bersetuju bahawa Perdana Menteri Malaysia yang seterusnya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PR juga, ujarnya telah menggunakan pendekatan unik untuk kabinet bayangan dengan melantik 3 orang daripada setiap parti PR (PAS, DAP dan PKR) bagi setiap portfolio kementerian.

Ini, jelasnya menunjukkan yang pemimpin PR bukan gilakan kuasa  tetapi dahagakan dasar yang bermanfaat buat rakyat.

Menruutnya lagi, itu adalah budaya politik baru oleh PR dengan dasar berkesan berpaksikan rakyat berbeza dengan  dasar memuja tokoh BN yang mengkayakan kroni.

“DAP sesungguhnya tidak bersetuju bahawa penghapusan tol akan menyebabkan kejatuhan Bursa Malaysia kerana kebanyakkan pemegang konsesi adalah syarikat tersenarai awam,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Sekali lagi, kata beliau Najib telah mendedahkan secara bawah sedar bahawa beliau lebih bimbangkan tentang nasib sebahagian kecil syarikat tersenarai awam berbanding mata pencarian 28 juta rakyat Malaysia.

Katanya, Perdana Menteri mengancam bahawa penghapusan tol seperti Lebuh raya Utara-Selatan akan menyebabkan kejatuhan bursa adalah salah sama sekali.

“Bagaimanakah Bursa mampu jatuh apabila Plus telah pun diambil swasta tahun lepas dan tidak tersenarai pun di dalam Bursa Malaysia?” tanya beliau.

Baginya, jelas ancaman sedemikian bukan sahaja mengarut tetapi juga tidak bertanggungjawab, lebih-lebih lagi ia datang daripada seorang Perdana Menteri.

Tiada air di 7 kampung: Dakwaan MTRK meleset

Aslani M, 01 Okt 2012
MACHANG: Dakwaan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) kononnya penduduk di tujuh kampung di Dun Pulai Chondong tidak menikmati air bersih kerana kegagalan kerajaan negeri menyediakan bekalan air ternyata meleset.

Ini kerana Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mempunyai jajaran paip-paip air di kawasan tersebut.

Jajaran paip tersebut siap dipasang Jun lalu dengan paip 6 dan 4 inci ke Kampung Kuala Merabang, Jenereh Bongkak, Kampung Peradong, Kampung Galang, Kampung Bukit, Merbau Chondong dan Bukit Jong.

Pengurus Besar AKSB, Ir Mohamad Hanapi Mahmood berkata, kawasan tersebut terletak tidak jauh daripada Loji Rawatan Air Merbau Chondong, di mana rekod tekanan air di kawasan Pangkal Gong sekitar 20 mH.

“Pemeriksaan air di pili bomba di Kampung Peradong ke Kuala Merabang didapati bekalan di kampung berkenaan baik dan tekanan air amat memuaskan,” katanya.

Beberapa akhbar sebelum ini melaporkan penduduk di tujuh kampung di Dun Pulai Chondong tidak pernah mendapat bekalan air sejak 30 tahun lalu.

Presiden MTRK, Azmi Ali dilaporkan berkata, kerajaan PAS tidak mampu menyelesaikan masalah dihadapi penduduk di kampung terbabit.

Ketua Operasi AKSB Machang, Nik Nasrukhat @ Azmi Manaf berkata, AKSB melalui penghulu-penghulu mukim telah menghebahkan kepada penduduk dengan harga promosi bagi mendapat bekalan air bersih AKSB.

Katanya harga yang ditawarkan antara RM250 hingga RM300 tanpa perlu pemasangan tangki, sedangkan harga biasa lebih RM1,300.

“Namun sambutan penduduk agak hambar. Ini kerana mereka lebih berminat menggunakan sumber air tandak dan air perigi,” katanya.

Menurutnya juga hasil pemeriksaan di lokasi bersama pegawai dari Pejabat Tanah dan Jajahan Machang serta penghulu hari ini didapati paip air sudah disediakan bagi membolehkan penduduk mendapat bekalan air bersih.

Oleh itu kata Ir Hanapi tidak berbangkit sama sekali AKSB tidak menyediakan bekalan bersih ke tujuh kampung di Dun Pulai Chondong seperti didakwa MTRK.

Anwar cabar Najib umum MB bayangan S'gor

Hazayani Zakaria, 01 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Perdana Menteri yang mempersoal ketiadaan kabinet bayangan dari Pakatan Rakyat.

Sedangkan kata Anwar, Datuk Seri Najib Razak sendiri belum mengumumkan siapa Menteri Kewangan jika BN menang dalam pilihan raya umum ke-13.

Najib juga katanya tidak mengumumkan siapa Menteri Besar Selangor jika BN berjaya merampas kembali negeri tersebut.

"Masalah kabinet bayangan, Datuk Seri Najib umum siapa Menteri Besar Selangor? Dia umum siapa Menteri Kewangan lepas dia menang? Tak ada...," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen petang tadi.

Ahli parlimen Permatang Pauh itu juga menjelaskan, kabinet bayangan hanya diamalkan di United Kingdom dan Australia.

"Kabinet bayangan hanyalah amalan di United kingdom, di Australia, tidak di Perancis, di Amerika, tidak di Indonesia, Thailand," katanya.

Namun katanya, Pakatan Rakyat sudah menyediakan senarai nama pimpinan kanan sebagai persediaan jika mengambil alih Putrajaya nanti.

"Siapa dia yang bakal menjadi menteri dan timbalan menteri, itu senarai pimpinan kanan kalau kita menanglah. Kalau kalah tak bolehlah.

"Ada yang ditugaskan seorang daripada setiap parti dalam pakatan Rakyat ditugaskan untuk setiap sektor," katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, demokrasi di Malaysia belum cukup matang untuk mengamalkan kabinet bayangan.

"Kabinet bayangan akan sampai ke satu tahap apabila demokrasi itu cukup matang. Malaysia baru nak masuk gear satu. Bila negara mencapai demokrasi, baru kabinet bayangan perlu.

"Jadi kalau kami diherdik kerana tidak mengeluarkan kabinet bayangan itu maksudnya mereka tak faham," katanya.

Sebelum ini, Najib berkata, Pakatan Rakyat tidak layak bercakap mengenai hasrat untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan sedangkan mereka masih belum bersedia dengan kabinet bayangan.

Susah ke nak faham bajet BN vs PR... baca ini

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, 01 Okt 2012
Alkisah seorang petani -- kehidupannya diringkaskan seperti di bawah.

Pendapatan --> Hasil tanaman bergantung pada harga pasaran

Apa yang diperlukan untuk mendapatkan pendapatan (kos)
Tanah --> disewa daripada tuan tanah
Air --> bil air dibayar ke tuan tanah
Cangkul tempatan --> harga pasaran berdasarkan harga import cangkul luar negara oleh tuan tanah
Baja --> harga pasaran berdasarkan tuan tan
ah
Makanan seharian --> harga pasaran bergantung pada nilai baja

Petani ini hidup di tanah Tuan Tanah Lama yang juga pengeluar baja - akan tetapi pemerintah tidak dapat mengurangkan harga baja, malah harga meningkat.

Disebabkan itu, kos makanan seharian juga meningkat kerana kos tanaman sayur-sayuran dan hasil buah meningkat kerana harga baja.

Kadar air pula tinggi dan tanah yang disewa tetap perlu dibayar sewa.

Lebih sedih, harga cangkul tempatan tinggi disebabkan tuan tanah mengenakan cukai lebihan pada cangkul yang diimport daripada luar negara kononnya untuk melindungi pasaran harga cangkul tempatan.

Apabila kos semakin meningkat, duit dalam tangan petani semakin berkurang.

Pada satu hari, datang seorang Tuan Tanah baru untuk mengurangkan beban petani.

Tuan Tanah Lama takut kehilangan petani ini mengisytiharkan:

Imbuhan duit sekaligus RM500 untuk membeli cangkul.
Imbuhan duit sekaligus RM250 untuk membeli baja.
Mengurangkan sewa tanah sebanyak 1 peratus untuk tahun depan.

Ingat, duit Tuan Tanah Lama datang daripada mana? Daripada petani juga - daripada harga cangkul, harga baja, bil air dan sewa tanah - jadi imbuhan tersebut hanyalah menggunakan duit petani untuk dipulangkan kepada petani sebagai imbuhan.

Tuan Tanah Baru pula memberitahu petani baru:

Mengurangkan cukai pada cangkul, dengan ini harga cangkul tempatan akan jatuh.
Free air - 20m3 pertama.
Kurangkan harga baja secara sistematik dan kurangkan monopoli.
Mereka tidak akan memberi imbuhan duit, tetapi mereka akan melaksanakan perubahan pada sistem...

Petani menjadi sangat keliru dengan dua-dua tawaran terbabit. Tuan Tanah Lama asyik menghasut bahawa tawaran Tuan Tanah Baru tidak boleh dilaksanakan, dan imbuhan yang mereka berikan cukup lumayan.

Tuan Tanah Baru pula mengingatkan petani, masalah mereka tidak dapat diselesaikan dengan menerima sejumlah duit - kerana duit yang diterima hanyalah sementara, pendapatan mereka tetap tidak cukup kerana kos akan sentiasa meningkat di bawah Tuan Tanah Lama. Tawaran mereka, ya, tidak diberi imbuhan wang, tetapi segalanya adalah berkisarkan untuk mengurangkan kos-kos yang menghimpit kehidupan mereka.

Petani harus berfikir sejenak:
1. Jika mereka menerima tawaran Tuan Tanah Lama, adakah masalah yang mereka hadapi sekarang tidak akan lagi berulang pada tahun kedua? Ya, tahun pertama mereka akan berasa lega sedikit, tapi tahun kedua dan ketiga bagaimana pula? Dapatkah mereka menyewa lebih banyak tanah untuk diusahakan pada tahun kedua, ketiga dan seterusnya? Sudah 50 tahun keadaan tidak berubah... apakah ini akan berubah?

2. Apa pula yang petani dapat daripada Tuan Tanah Baru? Kos baja yang semakin menurun maka kos makanan menurun, kos cangkul menurun, lebih banyak pendapatan dapat disimpan pada tahun pertama, kedua dan ketiga, maka lebih banyak tanah yang disewa maka lebih pendapatan yang dapat dijana pada tahun-tahun berikutnya... Apabila lebih banyak tanah disewa, maka Tuan Tanah Baru juga mendapat untung yang lebih untuk cover pengurangan kos... Ya, ia tidak pernah dicuba, tapi apakah ia tidak berbaloi untuk dicuba untuk sekali ini?

Jika anda adalah petani tersebut, siapa yang anda patut pilih? Ambillah analogi ringkas ini untuk bandingkan apa yang ditawar BN dan PR dalam belanjawan mereka - dan buatlah keputusan dengan bijak.

Sekadar celoteh pagi Isnin. Jika ok, kongsilah dengan rakan-rakan di luar sana. Senyum.

Anwar bidas Najib tak hadir bahas bajet

Harakahdaily, 01 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Seperti dijangka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiada dalam Dewan Rakyat ketika Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tempat membahaskan Bajet 2013 pagi ini.

Anwar yang bangun membahaskan bajet itu hampir 90 minit pada sesi pagi ini hanya berdepan dengan celahan oleh pemimpin dan back-benchers BN lain.

Sepanjang membahaskan Bajet 2013 itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut melontar beberapa persoalan kepada kerajaan khususnya kepada Najib.

Bagaimanapun lontaran persoalan itu cuba dijawab oleh back-benchers BN dengan angka dari jabatan statistik.

Antara yang bangkit mencelah semasa Anwar membahaskan bajet itu adalah Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) serta Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak).

Anwar yang nyata kecewa dengan keadaan berlaku itu sempat membidasnya di hujung perbahasannya.

"Sebab itu dalam belanjawan, tradisinya bila kita hujah menteri kewangan (Najib) kena ada. Ini kita ajak debat tak berani, nak bahas di parlimen pun tak sanggup, kemudian suruh back-benchers sahaja pertahan.

"Dia tak pernah duduk dalam kabinet, dia tak tahu apa dasar. Dia hanya baca angka ikut jabatan statistik" katanya merujuk kepada back benchers.

Anwar akan menyambung perbahasannya selepas sesi rehat parlimen jam 2.30 petang ini.

Semalam, Anwar turut melontarkan cabaran kepada Najib agar hadir ke Dewan Rakyat hari ini ketika beliau membahaskan bajet.

“Saya cabar Najib hadir bagi mendengar ulasan saya mengenai Bajet 2013. Dia nak cakap (mencelah), saya bagi peluang untuk dia berhujah, barulah boleh jadi pemimpin.

"Ini huha huha depan geng dia, depan aku hang tak berani,” katanya ketika berucap di program Jelajah Merdeka Rakyat di Taman Medan semalam.

Beliau juga turut mencabar Presiden Umno itu untuk berdebat berkenaan ekonomi negara.

Kerajaan digesa sedia rumah lebih selesa

Hazayani Zakaria, 01 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Wakil-wakil penduduk ladang, peneroka bandar, penghuni rumah flat dan orang asal hari ini menyerahkan memorandum menuntut kerajaan menyediakan perumahan mampu milik yang lebih selesa sempena Hari Habitat Sedunia.

Memorandum mengandungi enam tuntutan tersebut diserahkan oleh jurucakap Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), R Thevarajan kepada Dr Michael Jeyakumar Devaraj (PSM-Sungai Siput) dan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) untuk dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Lima lagi tuntutan adalah:

-Menghentikan ancaman kepada Habitat Rakyat dengan projek seperti Lynas, Lombong Emas di Bukit Koman dan Projek Petrokimia di Pengerang
-Kerajaan harus mengambil alih penyelenggaraan bagi flat kos rendah dan sederhana di seluruh Malaysia
-Menggubal undang-undang Skim Perumahan Sendiri Pekerja Ladang
-Mengiktiraf tanah adat orang asal dan menghentikan rampasan tanah adat.
-Menghentikan pengusiran paksa dan iktiraf hak peneroka bandar.

Wakil-wakil adalah terdiri daripada jawatankuasa (JK) Bertindak Taman PErmata Dengkil, JK Bertindak Ladang Bukit Jalil, JK Bertindak Kampung DBI, Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Taman Pertama, JK Peneroka Bandar Kampung Perak Hydro, JK Peneroka Bandar Kampung Gopal, JK Peneroka bandar Kampung Bahar, JK Peneroka Bandar kampung baru Sungai Buloh dan Gabungan Penduduk Green Cow.

Thevarajan berkata, belanjawan 2013 yang dibentangkan Jumaat lalu hanya memberikan insentif sementara tanpa mampu menyelesaikan isu-isu asas khususnya masalah perumahan.

"Akibat harga rumah yang mealmbung tinggi masyarakat miskin bandar tidak dapat memiliki sebuah rumah.

"Masyarakat peneroka bandar pula disumbat dalam flat-flat kos rendah bagaikan sarang burung yang mengundang pelbagai masalah sosioekonomi. Pekerja ladang dihalau dari ladang tanpa sebarang perumahan alternatif," katanya.

Tiada ulasan: