Selasa, 2 Oktober 2012

ORANG MACAM NI PUN ADA

Bonus 1.5 bulan: Bayar dahulu baru mohon?

Harakahdaily, 02 Okt 2012
TEMERLOH: Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bonus sebulan setengah kepada kakitangan awam sangat mengelirukan kerana sudah ada bonus yang telah dibayar sebelum Belanjawan 2013 dibentangkan Jumaat yang lalu.


“Pertama kerana setengah bulan pertama telah dibayar pada bulan Ogos lalu, manakala bakinya akan dibayar pada dua kali iaitu setengah bulan pada bulan Disember manakala setengah bulan lagi pada Januari depan.

"Apa yang menghairankan bagaimana pembayaran dibuat sedangkan permohonan peruntukan baru masih dibuat,” soal Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini.

Berlatarbelakangkan demikian, Tuan Ibrahim juga mempersoalkan peruntukan mana yang digunakan untuk bayaran bonus setengah bulan pada bulan Ogos lalu.

“Ini kerana perisytiharan bonus sebulan setengah baru diumumkan. Ertinya baru dipohon untuk diluluskan.

"Apakah ia telah masuk didalam peruntukan tambahan tahun ini? Kalau begitu, tak perlulah dinyatakan dalam pembentangan belanjawan 2013,” kata beliau.

Namun, kata Tuan Ibrahim, sekiranya ia menggunakan Belanjawan 2013, maka persoalannya ialah pembayaran yang telah dibuat menggunakan dana dari mana.

“Lebih elok perkara ini ditanya dan dijawab oleh ahli-ahli parlimen dalam perbahasan bajet memandangkan pembentang bajet sudah menghilangkan diri daripada parlimen,” sindir beliau merujuk kepada ketidakhadiran Najib dalam perbahasan bajet oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Sekiranya peruntukan untuk membayar bonus adalah daripada Belanjawan 2013, Tuan Ibrahim menyoal mengapa Najib perlu menebal muka untuk mengumpulkan bonus yang telah dibayar dengan bonus tahun depan bagi menggambarkan banyaknya bonus yang diberi.

“Tindakan ini tidak lebih dari usaha menunjukkan pentadbiran kerajaan BN sangat prihatin kepada kakitangan awam.

"Kalau begitu, lebih baik kalau beliau campurkan semua bonus bonus sejak Merdeka sampai kini, barulah rakyat terbeliak biji mata melihat slogan Janji 55 tahun sudah ditepati,” sindir beliau lagi.

Najib tidak mahu debat, tiada keyakinan diri

Aspan Alias, 02 Okt 2012
Sekarang sibuk tentang debat Anwar dan Najib berhubung dengan pembentangan belajawan 2013 di Parlimen baru-baru ini. Isu debat ini timbul kembali bila Anwar membidas Najib kerana sindiran Najib yang mengatakan bajet bayangan PR tidak realistik  dan tidak mempunyai nilai langsung. Najib menambah lagi serangan terhadap buku jingga semasa majlis anjuran parti Gerakan dan sambil berkata buku jingga itu tidak bernilai dan tidak sepadan untuk dicetak di atas kertas pun.
Sebagai seorang Perdana Menteri kata-kata Najib itu diambil serius dan dinilai oleh semua pihak. Kata-kata seorang Perdana Menteri itu melambangkan banyak perkara tentang seorang Perdana Menteri itu. Apa yang diluahkan dari mulut itu melambangkan apa yang ada di dalam jiwa atau karektor seseorang itu. Najib sedang cuba untuk menjual ‘minyak’nya dengan memuji bajet yang dibentangnya dan memperlekehkan bajet bayangan PR yang dibentangkan oleh Ketua Pembangkang itu dua hari sebelum Najib membentangkan belanjawan BN untuk tahun hadapan.

Semasa Ketua Pembangkang mendebatkan belanjawan Najib itu Najib sebagai Menteri Kewangan tidak berani hadir untuk mendengar apa-apa kritikan yang dibentangkan oleh Ketua Pembangkang. Tetapi semasa membentangkan belanjawan itu Najib telah menyindir yang Pakatan Rakyat telah membentangkan bajet yang tidak bernilai dan tidak realistik sambil mengejek-ngejek Anwar yang sama-sama berada di dalam dewan semasa itu.

Kata-kata nista Najib terhadap PR itu tidak mempunyai moral kerana beliau tidak menyedari yang ejekan beliau itu akan mendapat reaksi dari pihak pembangkang. Najib tidak berani untuk berhadapan dengan reaksi dari Anwar dan beliau menghilang diri dan tidak hadir di Parlimen semasa Anwar membahaskan bajet pilihanraya beliau itu.

Najib seperti burung yang terbang tinggi yang hinggap di dahan hanya untuk meninggalkan tahinya sahaja. Najib tidak mempunyai sifat ‘gentleman’ dan Anwar membalas dengan meminta Najib berbahas dengan beliau (Anwar) tentang bajet BN dan bajet bayangan PR. Najib hanya membisu kerana seperti biasa beliau selalu mengelak dari berdepan dengan Ketua Pembangkang secara terus.

Anwar pernah beberapa kali meminta diadakan debat di antara beliau dengan Perdana Menteri dalam beberapa isu sebelum ini tetapi Najib enggan berbuat demikian dengan alasan debat itu bukan budaya kita. Rupa-rupanya berdebat secara terbuka itu bukan budaya kita tetapi bercakap di belakang itu adalah budaya Najib. Beliau hanya berani dalam situasi beliau bercakap seorang diri seperti membentangkan bajet tersebut. Rupanya budaya Najib ialah bercakap dan membebel di tempat lain seperti semasa persidangan parti Gerakan dan majlis-majlis yang lain.

Jika Najib benar-benar yakin yang bajet beliau bentang itu merupakan bajet yang terbaik tidak ada sebab kenapa beliau tidak berani berdebat dengan Anwar sedangkan beliau beranggapan yang bajet bayangan PR itu tidak realistik. Jika benar bajet PR itu tidak realistik Najib sepatutnya dengan senang hati akan menerima cabaran Anwar itu tanpa was-was untuk membezakan bajet yang beliau bentang dengan bajet bayangan yang dibentang oleh Anwar bagi pihak Pakatan Rakyat.

Berdebat bukannya perkara ganjil di dalam sebuah negara demokrasi dalam mengolah satu-satu isu yang berhubung kait dengan kepentingan rakyat dan negara. Rakyat juga mahu menyambut cabaran Najib supaya menilai beliau dari rekod beliau. Sekarang Najib telah menunjukkan rekod yang beliaulah PM yang paling pengecut untuk berhadapan dengan pembangkang secara terbuka di hadapan rakyat.

Najib sepatutnya keluar ke hadapan dan berikan alasan kenapa buku jingga dan bajet bayangan PR itu tidak realistik supaya rakyat dapat menilai kedua-dua pemimpin itu. Sesungguhnya sememangnya Najib adalah seorang yang terkenal dengan sikap pengecutnya. Beliau hanya bercakap besar dalam situasi pihak lain belum boleh menjawabnya. Najib hanya boleh membaca khutbah dalam mana makmum yang ramai itu ditegah untuk bercakap walaupun bercakap untuk meminta makmum yang lain untuk berdiam diri. Najib hanya suka berkata-kata yang tidak disahut.

Rakyat mahu tahu apakah benar yang Najib ini mempunyai pemikiran sendiri tentang belanjawan negara yang beliau bentangkan sendiri itu. Jika benar Najib mempunyai ‘clarity’ dalam pemikiran yang beliau persembahkan kepada rakyat itu, Najib sepatutnya akan ke hadapan dengan sukaria untuk mempertahankan pelan dan pemikiran beliau.

Keengganan Najib untuk berdebat itu sudah membuatkan orang ramai ‘conclusive’ tentang pandangan mereka bahawa Najib hanyalah seorang pemimpin yang pandai bercakap dan tidak memahami sepenuhnya apa yang beliau cakapkan dalam pembentangan bajet itu.

Dalam isu ini sahaja sudah cukup untuk orang ramai memberikan penilaian terhadap Najib dan jika rakyat memilih untuk tidak memilih BN lagi, itu adalah tindakan yang tidak boleh dipersalahkan oleh sesiapa.

Kita mesti ingat seseorang pemimpin itu harus berani menerima cabaran seperti cabaran yang dilontarkan oleh Anwar itu. Jika tidak berani ia hanya memberikan gambaran yang Najib tidak berani mempertahankan bajet yang beliau bentangkan sendiri. Jika begitu jangan pula menyalahkan rakyat memilih pihak alternatif di dalam pilihanraya nanti.

Rakyat tidak akan memberikan pimpinan kepada seseorang yang tidak mempunyai keyakinan diri. Maka memberikan sokongan terhadap Najib itu adalah ‘self insulting’. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Najib: Berani bentang tak berani berdepan

Mohd Sayuti Omar, 02 Okt 2012
Bagi seorang individu dan rakyat yang bermaruah, menerima pakai dan menjunjung semangat perundingan, perdebatan dan mencari konklusif secara baik akan merasa malu dengan tindakan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Najib Razak yang menuang parlimen semasa ketua pembangkang Anwar Ibrahim membahas bajet yang dibentangnya.

Apakah ertinya bajet dibentangkan kalau ianya tidak diberi pandangan dan ulasan? Lebih 'mahabul' atau 'samrawit' lagi kalau pandangan dan teguran diberikan tidak didengar oleh orang berkenaan. Seolah-olah terguran dan pandangan itu penting dan bajet yang dibentangkan itu sudah perfect seartyas peratus.

Saya tidak tahu apakah Najib memahami sistem parlimen, fungsi dan juga tanggungjawabnya. Parlimen ada dewan legislatif untuk membicarakan hak-hak kepentingan rakyat dan negara. Di situlah segala keputusan dirumus demi kebaikan rakyat dan negara dicernakan. Di dalam parlimen seharusnya tidak ada perasaan benci membenci sebagai seteru politik sebagai mana di pentas pidato. Parlimen adalah dewan perdamaian dan pencurahan idea dinamik. Ia berbeza sekali dengan pentas ceramah.

Dalam hal ini Najib perlu melupai dia seorang Umno yang fanatik terhadap idealismenya manakala Anwar pula melupai dia sebagai seorang PKR, pembangkang yang sepanjang masa mahu menumbangkan kerajaan. Seharusnya bila kaki sudah melangkah ke bendul parlimen tidak ada lagi perseteruan dan ruang kesempatan diambil untuk mencanangkan nafsu politik masing-masing.

Pembangkang dalam konotasi perlimen ialah pihak membuat teguran terhadap apa-apa juga yang dipandang tidak baik agar ia menjadi baik. Bangkangan juga memberi idea atau input baru bagi mencantikkan lagi apa-apa keadaan yang tidak indah bukannya menambahkan keburukan dan kejelekan. Misalnya kalau pembangkang memberi teguran dan menambah makluamt terhadap bajet diberikan Najib ia akan menjadikan bajet itu cantik dan sempurna lagi. Natijahnya yang mendapat nama dari kebaikan itu bukan pembangkang tetapi Najib dan kerajaan sendiri.

Tetapi apabila beliau mengambil sikap dan budaya merasakan pembangkang itu selamanya membangkang dan prejudis kepada kerajaan ia adalah satu sikap negatif yang tidak membawa keuntungan. Sikap tidak perlu diamalkan oleh seorang perdana menteri. Perangai atau pun pendirian seperti itu tidak wajar dijadikan tradisi dalam berpolitik dan berkerjaan. Apa yang Najib lakukan itu bakal diamalkan oleh species di dalam Umno selepas ini dan ia adalah politik anti tamadun.

Ironisnya semasa Najib membentangkan bajet selama hampir dua jam, ia didengari dan ditekuni dengan cermat oleh pembangkang termasuk Anwar. Mereka mendengar bukan sahaja untuk mencari salah dalam ucapan Najib tetapi sebagai menghormati itulah bajet untuk negara yang dibentangkan oleh perdana menteri. Mereka mendengar untuk memberi pandangan dari perspektif mereka serta tanggungjawab sebagai pembangkang dalam hakikat sebenarnya.

Makanya kalau Anwar dan sekalian ahli pembangkang lain boleh menahan diri, menahan sabar dengan gurauan Najib yang sesekali memedihkan telinga dan memanaskan hati, kenapa Najib begitu sombong dan 'agah' untuk berbuat demikian? Apakah sudah ada satu perlembagaan baru (sub seksyen) yang digubalkan di mana perdana menteri tidak berhak atau perlu mendengar ulasan dan perbahasan ke atas bajet yang dibentangnya. Bahawa telinga Najib sudah ' berbolot' dengan tahi telinga tatkala Anwar bangun berucap? Begitukah?

Paling menjahilkan lagi keadaan dan politik di sebelah kerajaan, apabila bukan sahaja Najib tetapi timbalannya juga terikut-ikut dengan sikap dan ulah Najib. Mereka juga tidak hadir untuk mendengar ulasan atau perbahasan bajet oleh pembangkang. Rakyat yang bermaruah dan tahu terlalu berpolitiking akan bertanya di manakah maruah dan integriti mereka? Jangan salahkah rakyat, kalau rakyat merasa mual dan menganggap mutu siasah mereka sebagai pemimpin sangat rendah.

Najib dan sekalian menteri harus faham yang menjadi pemerhati dan mengambil bahagian dalam politik bukan saja rakyat kelas tiga yang seronok dengan cara mereka berbasi basi dalam politik. Tetapi parlimen atau tingkas laku mereka juga diperhati oleh golongan cerdik pandai, baik di dalam negara maupun di luar negara. Mereka akan memerhati sejauh mana penerimaan Najib dalam hal ini. Seorang pemimpin yang hebat dan agung itu mengambil sikap terbuka dan tahu meletakkan sesuatu kepentingan dan tanggungjawab itu pada tempat dan masanya.

Kalaulah Najib berkorban untuk mendengar ucapan Anwar semalam, dia akan dilihat bukan saja bertangjungjawab dan berani tetapi ia akan disuluh sebagai seorang ahli politik yang praktikal dan gentlemen. Sikap itu akan dihormati oleh rakyat, oleh pembangkang juga dan penyanjungan kepada menjadi lebih tinggi lagi.

Kita tahu di dalam parlimen Najib atau menteri kewangan ada wakilnya. Para pegawai akan mencatat apa-apa yang diulas dan ditegur oleh pembaangkang kemudian akan dibawa ke pengetahuannya. Manakala back-bencer pula akan mengganggu mana-mana ucapan pembangkang yang langsung mengkritik Najib atau pun melencong jauh dari topik asalnya. Namun kewujudan dan keberadaan mereka di situ tidak 'sebermakna' dengan adanya sendiri menteri kewangan dalam dewan. Atau dengan adanya timbalan-timbalan menterinya. Kandati Najib mengikuti perbahasan oleh Anwar menerusi live tv di pejabatnya, namun hakikatnya rekod akan dicatat sebagai beliau berada di luar dewan.

Orang akan melihat Najib bukan seorang menteri yang badut kalau beliau memaksa diri sekejap mendengar ulasan Anwar. Bukan sahaja Anwar malahan seluruh ahli parlimen akan melihat Najib sebagai seorang pemimpin gentlemen dan bertanggungjawab. Sebagai insan, sudah tentu akan ada sentuhan jiwa bila berlaku pandangan mata. Bila situasi ini wujud ia boleh menyejukkan kepala dan timbul rasa damai di hati. Tetapi bila keadaan seperti itu terus berlaku, berjauhan dan pulau memulau inilah menyebabkan wujud ketegangan sepanjang masa.

Implikasi buruk sebenarnya diterima Najib apabila beliau enggan mendengar ucapan Anwar. Orang yang cerdik akan menganggap bahawa Najib tidak seberani yang ditunjukkan menerusi aksi dalam syarahannya. Orang akan menganggap Najib seorang tidak bertangungjawab seperti mana dilaung-laungkan. Dan lebih parah lagi orang akan kata Najib tidak sanggup berdepan mendengar perbahasan dan ulasan Anwar, kerana Najib tidak mampu untuk berbahas secara spontan dan langsung melainkan hanya mampu membaca baris-baris, komen dan titik apa yang telah disuratkan.

Hakikat ini jelas apabila isi, perkataan dan laras bahasa di dalam tiga bajet Najib yang saya dengar adalah perulangan frasa-frasa yang sama, perulangan sebutan-sebutan dan ayat retorika yang sama, perulangan sindiran-sindiran yang sama, cuma yang ada sedikit pengubahan figure dari kecil menjadi besar sebaliknya dari yang besar diperkecilkan mengikut keperluan sesama.

Apapun yang ketara dalam pembentangan bajet kali ini Najib berani memakai sut berwarna hijau, warna syurga yang menjadi milik Pas? Seharusnya bila Najib berani memakai baju hijau dia juga sepatut menjadi lebih berani dan terkeluar dari pradigma diqueen control oleh politik pondan.

Eh..eh... kenapa Mat tersenyum tu, Mat mana lagi kalau bukan Ahmad Maslan. Felda apakah khabar Mat? - http://msomelayu.blogspot.com

MB Pahang ugut Selangor, lucu!

Subky Latif, 01 Okt 2012
TIADA yang lebih lucu dalam politik kerajaan Barisan Nasional selain dari amaran Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob untuk membatalkan membekalkan air ke Selangor kiranya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menolak rancangan kerajaan pusat.
Amaran MB Pahang itu dikira satu ugutan kepada kerajaan Selangor. Kiranya Selangor berkeras dengan sikapnya dalam isu air ini, maka kerajaan Pahang akan membatalkan persetujuannya untuk membekalkan air ke negeri jirannya itu.

Semua tertawa lucu dengan amaran itu.

Adakah Adnan merasakan kerajaan hendak sangat air dari Pahang itu yang menyebabkan ia akan membayar kira-kira 80 juta setahun kepada Pahang.

Kerajaan Selangor seronok sangat kalau Adnan membuat keputusan itu. Kurang tapak tangan, akan ditadah nyiru oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.

Jika benar Adnan anak  jantan, dia umumkan pembatalan itu sekarang! Nescaya pertikaian antara kerajaan pusat dan kerajaan Selangor selesai kiranya kerajaan Pahang bertindak demikian.

Tidak berbangkit lagi isu pembinaan Langat-2 yang menurut Timbalan Perdana Menteri ia akan diteruskan tidak kira Selangor setuju atau tidak setuju dengan rancangan kerajaan pusat atas isu itu. Malah kerajaan pusat memang bernafsu untuk membuka tender pembinaan Langat-2 itu.

Memang kita nampak siapa yang hendak membida tender Langat-2 itu dalam keadaan kerajaan Selangor tidak member laluan. Selangor tidak sedia membenarkan buminya digunakan untuk projek itu.

Jika Langat-2 ditender juga, maka yang masing-masing nampak ruang yang kerajaan pusat boleh gunakan ialah ruang udara dari Pahang ke loji Langat-2 itu di mana-mana tanah milik kerajaan pusat di Langat.

Kerajaan pusat terpaksa menggunakan teknologi yang tidak menggunakan tiang buat projek itu sepanjang dari sempadan Pahang-Selangor hingga ke tapak Langat-2 itu. Sebagaimana langit dibina tanpa tiang, maka demikian juga Langat-2.

Selangor telah menyatakan ia tidak membenarkan tanah di negeri itu digunakan untuk projek itu. Tentulah ia tidak akan membenarkan tiang-tiang projek itu menggunakan  tanahnya bagi tapak tiang–tiang yang diperlukan.

Dengan dasar Selangor yang demikian   siapakah yang sedia untuk membida projek itu?

Pihak yang paling keciwa jika Adnan  Yaakob membatalkan pembekalan air itu ialah keraaan pusat yang membuat propaganda untuk membina juga projek itu sama ada Selangor setuju atau tidak.

Untuk apa lagi Langat-2 itu jika Pahang membatalkan pembekalan  airnya?

Selangor pada masa ini tidak memerlu bekalan air dari luar baik yang sudah dirawat mahupun tidak. Negeri Selangor cukup air untuk keperluan penduduknya jika sumber air yang banyak itu dirawat.

Kebarangkalian Selangor putus bekalan air bukan kerana negeri yang setiap hari hujan itu tidak cukup air tetapi ialah pihak yang diberi tanggungjawab tidak merawat air yang banyak itu.

Pertikaian isu air ini berlaku pada ketika adanya kemajuan teknologi merawat air laut  dan sungai yang amat canggih.

Singapura  dan Israel sudahpun memanfaat teknologi yang canggih itu bagi menggunakan  air laut untuk keperluan penduduknya. Jepun dan lain-lain negara maju tentu sudah mengirim orang ke Selangor bagaimana air pantai Selat Melaka di Selangor itu boleh menjadi alternatif  kepada air Pahang atau kiranya berlaku kemarau.

Jika benar Adnan hendak bertindak, tiadalah yang lebih gembira selain dari Tan Sri Khalid Ibrahim. Kerajaan Selangor rasanya dengan senang hati mempersilakan Adnan Yaakob buat  apa saja yang patut.

Kisah Ketua MB di Terengganu

-, 01 Okt 2012

Apakah benar-benar telah wujudnya jawatan ‘Ketua Menteri Besar’ dalam pentadbiran kerajaan negeri Terengganu sekarang ini?

Dan apakah Ketua Menteri Besar ini lebih berkuasa dari Menteri Besar yang ada sekarang ini?

Inilah persoalan besar yang kini sedang menjadi perbincangan serta ‘buah mulut’ kebanyakan penjawat awam Terengganu terutamanya di Wisma Darul Iman yang menempatkan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Sri Ahmad Said sekarang ini.

Di kalangan pegawai-pegawai kerajaan ini, telah timbul cakap-cakap mengenai isu 'Ketua Menteri Besar' yang terdiri dari segelintir individu 'berkepentingan’ yang dikatakan lebih berkuasa dalam menentukan polisi serta perjawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri sekarang ini.

Telah timbul desas desus serta rasa tidak puashati di kalangan mereka ini apabila beberapa perlantikan jawatan penting dalam kerajaan negeri telah melangkaui tangga jawatan dan menafikan hak pegawai-pegawai yang lebih berpengalaman dan lebih lama berkhidmat dalam kerajaan negeri.

Tindakan ini dilihat amat tidak wajar lebih-lebih apabila hak perjawatan mereka telah dinafikan secara rakus oleh individu-individu tertentu tanpa mengira peraturan dan arahan perbendaharaan yang menjadi garis panduan setiap penjawat awam.

Persoalannya, apakah individu-individu ini benar-benar lebih besar kuasanya daripada pemimpin kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sendiri, Datuk Mazlan Ngah?

Apakah mereka inilah juga individu-individu yang dikatakan berkuasa di Wisma Darul Iman bagi menentukan kelulusan setiap pemberian projek kepada kontraktor untuk kepentingan mereka sendiri.

Lebih parah lagi apabila soal kelulusan tender-tender balak dan bahan galian di seluruh negeri Terenganu juga dikaitkan dengan kelompok 'Ketua Menteri Besar’ ini.

Namun realitinya, dalam konteks politik tempatan di negeri Terengganu, para pegawai dan kakitangan kerajaan amat besar pengaruhnya dalam menentukan kemenangan sesuatu parti politik setiap kali pilihanraya diadakan.

Penjawat awam ini dilihat sebagai golongan yang ‘tidak berpihak’ dan ‘non-partisan’. Mereka diajar menjalankan tugas secara beramanah dan telus mengikut arahan ‘Government of the day’ atau kerajaan yang memerintah.

Lebih-lebih lagi mereka juga sentiasa diingatkan agar bersikap ‘neutral’ (berkecuali) dan ‘tidak berpihak’ apabila melaksanakan tugas mereka di semua peringkat.

Penjawat awam ini  jugalah yang menjadi ‘penggerak’ serta ‘mata dan telinga’ kepada perjalanan sesebuah kerajaan.

Dalam menjalankan tugas, mereka diajar menghindari sebarang bentuk penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.

Begitu juga apabila membuat sesuatu keputusan, mereka di latih agar tidak mendiskriminasi rakyat kerana semata-mata berbeza fahaman politik atau parti.

Mereka juga mesti berpegang teguh kepada dasar pentadbiran dan pembangunan kerajaan negeri yang berkonsepkan ‘merakyatkan pentadbiran’ dan ‘membela rakyat’ Terengganu.

Namun, jika berlakunya sebarang kepincangan dan salah urus dalam pentadbiran kerajaan negeri, sudah pasti akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka.

Persoalan membela rakyat Terengganu yang rata-rata miskin dan hidup ‘kais pagi makan pagi kais petang makan petang' amat diteliti oleh setiap penjawat awam ini.

Begitu juga hubungan mereka dengan ahli politik yang memerintah kerajaan negeri pada hari ini.

Mereka sentiasa membuat penilaian samada ahli politik yang memerintah telah menjalankan tugas secara telus dan beramanah sesuai dengan kehendak rakyat dan aspirasi negeri Terengganu sendiri?

Di negeri Terengganu, saya yakin penjawat awam sedang membuat pertimbangan dan penilaian secara teliti mengenai prestasi dan legasi kepimpinan Menteri Besar  dan kerajaan Umno-BN yang memerintah sekarang ini.

Apakah mereka yang berkhidmat ini sudah berpuas hati dengan corak pentadbiran Menteri Besar dalam melaksanakan setiap polisi di negeri ’Darul Iman’ ini?

Atau apakah rasa tidak puas hati penjawat awam ini akan diterjemahkan dalam pilihanraya akan datang ini yang boleh mengakibatkan kepimpinan ’Ketua Menteri Besar’  ini akan kecundang?

Ya, inilah realiti politik dan penjawat awam di negeri ’Penyu Bertelur’ ini. Seperti yang sedang diperkatakan oleh banyak pihak; 'diam-diam mereka (Penjawat Awam) tetapi tetap berisi’...'Jangan disangka air yang tenang tidak ada buaya didalamnya’.

Jawapan dan penentunya adalah 'Undi’ dalam pilihanraya umum yang akan datang ini.

----------------------------------------------------------
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS dan Adun Batu Burok, Terengganu. Beliau boleh dihubungi melalui Email: syedazmans@yahoo.co.uk twitter: @syedazman

Giant Killer sedia cabar Presiden Pas di Marang
MOHD AZLIM ZAINURY
2 Oktober 2012
Giant Killer sedia cabar Presiden Pas di Marang
Abdul Rahman ketika menyampaikan bantuan netbook kepada lebih 1,400 pelajar di kawasan Dun Rhu Rendang pada Majlis Penyerahan Netbook 1Malaysia di SMK Rhu Rendang.
MARANG – Bekas Ahli Parlimen Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar tidak menolak sekiranya namanya dicalonkan semula untuk mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding di Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Abdul Rahman yang pernah menewaskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1986 dan 2004 ketika dihubungi bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tidak meminta agar namanya dicalonkan sebaliknya ia terserah kepada pucuk pimpinan.

Difahamkan, Parlimen Marang merupakan salah satu kawasan paling panas dan menjadi sorotan setiap kali pilihan raya apabila seorang presiden parti bertanding di sini. Malah, mana-mana calon BN juga dikatakan tidak mampu menggugat Abdul Hadi.

Abdul Hadi mula bertanding pada pilihan raya umum 1978 di Dun Marang tetapi kalah dengan kekurangan 64 undi kepada calon BN Tengku Zahid Tengku Musa dan berjaya merebutnya semula pada 1982 dengan majoriti 320 undi.

Pada 1986, Abdul Hadi menang sekali lagi di Dun Rhu Rendang iaitu nama baru bagi Dun Marang selepas persempadanan semula dan beliau berjaya menewaskan Abdul Latif Muda dan mengekalkannya sehingga sekarang dan berkemungkinan pada PRU13 kelak.

Tetapi bagi kerusi Parlimen Marang pada tahun itu, beliau kalah kepada Abdul Rahman dan kembali merebutnya pada 1990, terus menang pada 1995 dan 1999 tetapi tewas sekali lagi kepada Abdul Rahman pada 2004 dan memenanginya semula pada 2008.

Pas boleh tewas jika BN letak calon betul

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, walaupun terdapat andaian mengatakan Parlimen Marang adalah kubu kuat Pas, namun Presiden Pas itu masih boleh ditumbangkan jika BN berupaya untuk meletakkan calon yang diterima oleh rakyat di Marang.

Malah, Abdul Rahman yang pernah digelar ‘Giant Killer’ berkata, Presiden Pas yang bertindak selaku ketua pembangkang di Parlimen perlu ditumbangkan terlebih dahulu sebelum `mencantas’ pengikut beliau agar ketua parti itu hilang suara di Parlimen.

“Ketua seperti Abdul Hadi perlu ditewaskan memandangkan dia Presiden Pas. Kalau Abdul Hadi kalah seperti kepala macam sudah hancur. Tiada kepala, tidak boleh berjalan . Kita bukan kerat ekor (dahulu), bukan kerat badan, cantas kepala terus.

“Di Marang terdapat satu tempat, iaitu satu Parlimen yang menjadi penghulu segala Parlimen di Malaysia kerana ketua Pas ada di sini (Marang),” katanya.

Abdul Rahman berkata, sehubungan itu, calon BN perlu mengalahkan Abdul Hadi demi menyelamatkan bukan sahaja Parlimen dan negeri, bahkan negara daripada jatuh ke tangan pemimpin yang berpengaruh dalam Pakatan Rakyat (PR) itu.

“Apabila di peringkat negara tiada presiden (Pas), secara automatik dalam Dewan Rakyat juga tiada lagi suara pembangkang,” katanya

Calon berkredibiliti mampu lawan Abdul Hadi

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata, hanya calon BN yang memiliki kredibiliti sahaja mampu menumbangkan Abdul Hadi dan pemilihan calon perlu dapat memberi impak positif kepada pengundi bagi berhadapan pemimpin pembangkang yang berpengaruh itu.

“Dengan tumbangnya Abdul Hadi, (ia) membolehkan tiga lokaliti utama, Marang, Terengganu dan Malaysia dapat diselamatkan. Jadi, kita harap pihak berkenaan betul-betul fokus di Marang.

“Saya kira kalau BN Marang boleh menang, boleh menaikkan lagi moral dan imej BN di Terengganum malah akan menghakiskan pengaruh Pas di negara ini,” katanya.

Beliau juga menganggap bahawa kemenangan calon BN menumbangkan Abdul Hadi tidak sama dengan kemenangan BN di 10 kerusi Parlimen lain kerana kemenangan BN di Parlimen Marang sesuatu yang sangat penting dan istimewa.

“Jadi, kena pilih calon yang betul-betul layak, yang betul-betul ada rekod, yang betul-betul rakyat terima, yang betul-betul boleh menang. Pilihan calon jangan ikut emosi, jangan ikut suka tidak suka, jangan ikut individu, tapi ikut suara rakyat.

“Kena pilih hati-hati. Perlu menanyakan semua orang Marang. Buat bancian perlu melibatkan ramai pengundi, mungkin 5,000-6,000 orang dan jangan hanya merujuk kepada sepuluh orang sahaja sebelum membuat kesimpulan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman juga berpendapat di Parlimen Marang perlu diberi peluang sekurang-kurangnya kepada dua muka baru manakala selebihnya mengekalkan pemimpin sedia ada.

Tiada ulasan: