Rabu, 3 Oktober 2012

ISLAM TAK MENGHALANG WANITA MENCAPAI KEMAJUAN TETAPI BIAR IKUT ACUAN ISLAM DAN TIDAK LANGGAR SYARAK ATAS TINDAK TANDUK KITA

Tubuh suruhanjaya bantu SPRM kendali kes profil tinggi

Salmiyah Harun, 03 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Anggota panel khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Salahudin Ayub mendesak kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-undang.

Beliau berkata, penubuhan suruhanjaya itu bagi membantu SPRM mengendalikan isu-isu yang melibatkan rasuah khususnya kes yang berprofil tinggi

Panel ini berperanan untuk membantu dan memberi komitmen ke atas SPRM pada tahun 2009, antara lain panel ini akan menasihati Perdana Menteri serta meneliti laporan SPRM di samping mengemukakan cadangan ke arah penambahbaikan SPRM.

"Di mana dalam penjelasan yanag saya dapat dari SPRM  saya selaku anggota panel khas SPRM telah dilantik kembaali oleh Yang di-Pertuan Agong untuk penggal kedua.

"Jadi ada banyak perkara yang tidak boleh dibawa oleh SPRM. Saya tegaskan suruhanjata undang-undang hendaklah ditubuhkan untuk melihat kembali seksyen 23 dan 50, yang perlu penelitian semula," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu dalam sidang media.

Beliau yang dilantik semula sebagai ahli panel oleh Yang di-Pertuan Agong, berkata, undang-undang rasuah ini termasuk dalam undang-undang lapuk yang memerlukan pembaharuan malah perkara ini turut dikritik oleh pengamal perundangan.

"Saya mahu jelaskan dalam dokumen yang diberikan  kepada kami oleh pihak SPRM termasuk isu-isu yang melibatkaqn kelemahan undang-undang, menyebabkan isu pengakuan tidak diterima di mahkamah Malaysia, berlainan di Amerika, Hong Kong, Singapura," katanya.

Misalnya kata beliau, seorang anggota polis membuat pengakuan secara bertulis menerima wang rasuah sebanyk RM800 namun, mahkamah negara ini berpendapat bahwa perbuatan itu merupakan cendera hati.

Salahuddin turut dimaklumkan dalam mesyuarat, SPRM telah membuka enam kertas siasatan terhadap seorang ke atas seorang "ketua negeri" berhubung dakwaan rasuah.

Namun, katanya pendakwaan terhadap tokoh popular dan memiliki harta yang banyak itu tidak dapat dibuat kerana kelemahan peruntukan undang-undang bawah Akta SPRM 2009.

"Sebab itu SPRM mencadangkan kepada pihak panel untuk bawa dalam parlimen supaya diadakan reform terhadap undanga-undang ini," katanya yang turut membangkitkan perkara ini di dalam perbahasannya semalam.

Menanti BN duduk di blok pembangkang

Mohd Rashidi Hassan, 03 Okt 2012
PILIHAN Raya Umum sudah tidak lama lagi. Sama ada dibuat bulan ini atau sehingga Mac 2013, pasti kita akan tempuh juga.

Bagi Pakatan Rakyat, persediaan secukupnya sudah dipasak sejak beberapa bulan lepas, dengan satu niat dan tekad, iaitu untuk menawan Putrajaya, sekali gus menumbangkan Barisan Nasional.

Oleh sebab itu, berbanding dengan 12 kali PRU yang lepas-lepas, BN kali ini, berada dalam situasi yang amat gelabah.

Mereka gelabah kerana gema suara untuk menumbangkan BN, berkumandang di seluruh pelosok negara, sehingga BN berasa amat was-was dan ragu.

Keraguan timbul kerana tiada lagi kawasan yang benar-benar selamat buat BN. Semua negeri yang menjadi tapak kubu kuat mereka, semakin hari semakin goyah dilanda badai rakyat.

Di Sarawak 'wind of change' berkumandang pada Pilihan Raya Umum negeri, sehingga menyebabkan hampir 15 kerusi Parlimen dijangka dirampas Pakatan, berikutan kemenangan pada kerusi Dewan Undangan Negeri.

Manakala di Sabah, seluruh rakyatnya, sudah mempopularkan slogan 'ini kali lah', iaitu slogan keramat yang mengisyaratkan kali ini, rakyat benar-benar bersedia untuk menolak BN.

Sehingga ia mencetuskan fenomena penghijrahan pemimpin Umno-BN ke Pakatan Rakyat. Mereka yang keluar Umno atau BN, bukan yang sudah masuk kategori bersara, tetapi mereka yang masih memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri dan sebagainya.

Johor pula menerima kesan berganda, hasil daripada gerakan politik yang rancak di Semenanjung. Daripada negeri kelahiran Umno, negeri kubu Umno, ia bakal bertukar menjadi pro pembangkang.

Khabarnya pihak-pihak yang membuat perisikan dan kajian politik, amat terkejut apabila dapatan info yang mereka selidiki, menunjukkan sekurang-kurangnya sembilan kerusi Parlimen, semakin menjadi milik Pakatan.

Begitu juga dengan kajian-kajian dari Merdeka Center atau yang terbaru dari Universiti Malaya, walaupun ada 'dented' di beberapa buah negeri Pakatan, yang tidak dapat kita nafikan ianya wujud, namun secara keseluruhannya kerajaan negeri Pakatan dijangka kekal.

Dapatan-dapatan ini menunjukkan bahawa, gerakan politik Pakatan Rakyat, yang didukung majoriti rakyat, amat berkesan dan 'trend' kecenderungan rakyat menolak BN semakin ketara.

Dari sudut purata undi, pada PRU ke 12 2008 yang lalu, walaupun hanya menang 82 kerusi dari 222 kerusi Parlimen,  beza undi popular Pakatan dengan BN hanyalah di sekitar 3 peratus sahaja.

Sokongan lebih 48 peratus rakyat Malaysia kepada parti pembangkang merupakan suatu 'force' yang besar. Ia boleh jadi lebih besar dari ombak 'Tsunami' yang bila-bila masa bakal meranapkan keegoan BN.

'Force' ini adalah kuasa rakyat. Iaitu kuasa rakyat yang komited, menggerakkan Perhimpunan Bersih, Himpunan Hijau, Himpunan Oren dan Gelombang Merah.

Kesemua himpunan dan gelombang ini, didukung kuasa rakyat. Iaitu rakyat yang terdiri dari kalangan berbilang kaum dan agama, dengan satu tekad iaitu untuk membuka jalan yang dinamakan 'Road to Putrajaya' atau RTPJ.

RTPJ diasaskan oleh kuasa rakyat yang mendukung Pakatan Rakyat, sebagai suatu pakatan alternatif untuk menggantikan BN sebagai kerajaan pada PRU ke-13 nanti.

Soalnya apakah impian menuju ke Putrajaya itu suatu yang realistik? Soalnya, bolehkah Pakatan Rakyat memerintah, jika dibandingkan pengalaman BN selama 55 tahun menjadi kerajaan?

Penulis teringat suatu peristiwa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Kedah beberapa bulan sebelum PRU 2008. Di mana berlaku perdebatan di antara pembangkang ketika itu yang diketuai Ustaz Azizan Abdul Razak dengan Menteri Besar, Dato' Seri Mahdzir Khalid.

BN Kedah ketika itu agak sinis dengan PAS dan memperlekehkan ucapan Ketua Pembangkang, Ustaz Azizan. Ketika itu, mereka mempunyai majoriti yang besar dalam Dun Kedah.

Dalam reaksi spontan terhadap sikap pemimpin Umno-BN, Ustaz Azizan berkata, "Hangpa jangan perlekeh kami, mana tahu PRU depan, kami duk sebelah sana, hangpa mai tang ni."

Maksudnya, Ustaz Azizan ketika itu mengatakan, tidak mustahil Umno-BN akan duduk di blok pembangkang dan PAS duduk di blok kerajaan.

Reaksi spontan Ustaz Azizan dianggap seloroh yang melucukan. Pemimpin Umno BN ketawa terbahak-bahak mendengar ungkapan Ustaz Azizan. Pegawai kerajaan juga ketawa sinis.

Tetapi hanya beberapa bulan selepas itu, kata-kata seloroh Ustaz Azizan menjadi realiti apabila PAS benar-benar menang dalam PRU dan menjadi kerajaan.

Hilai tawa pemimpin Umno yang mempersendakan PAS sebelum ini, menjadi tangisan yang tidak berlagu.

Bukan sahaja di Kedah. Malah kebongkakan mereka di Pulau Pinang, Perak dan Selangor, turut dileburkan dengan kuasa rakyat.

Lebih hodoh buat Umno-BN Selangor, yang MBnya ketika itu, Dato' Seri Mohd Khir Toyo menyasarkan 'sifar pembangkang', turut terlungkup. Hasilnya masa depan politik Khir terus sifar dan terkubur dalam Umno.

Oleh sebab itu, dalam konteks Persekutuan, Umno-BN tidak wajar mempunyai sifat bongkak. Mereka hanya mengharap ihsan daripada rakyat untuk kekal berkuasa.

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan barisan Kabinetnya, mulai sekarang sudah patut bersedia untuk berpindah dari Putrajaya.

Tempat duduk yang bakal mereka duduki ialah kerusi-kerusi di blok pembangkang di sebelah kiri Speaker dan mereka boleh duduk di pejabat pembangkang di Tingkat 14 Parlimen Malaysia.

GST berselindung disebalik Bajet 2013?

Salmiyah Harun, 03 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan BN jelas tidak ikhlas dalam pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), malah kelihatan seperti menggunakan tipu helah untuk mengaburkan pelaksanaan ini dalam Bajet 2013 yang dibentang minggu lalu.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan jelas ingin meyakinkan sektor kewangan bahawa kerajaan persekutuan mampu untuk meneruskan pentadbiran biarpun dipenuhi ketirisan dan budaya rasuah serta kronisme.

"Perenggan 80-83 dalam Ucapan Bajet Menteri Kewangan mengandungi kod-kod yang berkata kepada sektor kewangan bahawa pelaksanaan GST amat hampir," katanya dalam sidang media bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong.

Antaranya, perenggan kod 80 berbunyi, selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar, kajian semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan bagi memastikan sistem cukai negara akan lebih menggambarkan kedudukan kewangan setiap isi rumah.

Peralihan daripada sistem cukai berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih menyeluruh serta saksama akhirnya memanfaatkan semua rakyat Malaysia.

Manakala kod 81 pula berbunyi, langkah ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa mahupun semberono tetapi selepas kajian teliti dan pelaksanaan penuh tertib dibuat.Ia tidak akan mengesankan rakyat terbanyak khususnya golongan berpendapatan rendah serta sederhana kerana perkara-perkara asas sama ada makanan, perumahan mahupun pengangkutan awam akan terus dilindungi.

Jelas Dzulkifli, Perenggan 145 pula menunjukkan pemotongan satu peratus cukai adalah berkaitan dengan pelaksanaan GST, yang secara asasnya bermaksud penjimatan yang dinikmati dari pemotongan ini akan akhirnya dibayar balik melalui GST.

"Dalam proses peralihan daripada sistem cukai sedia ada yang berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih adil dan saksama, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan satu mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 ringgit sehingga RM50,000," katanya.

Bagi Dzulkifli, Ucapan Perdana Menteri ini jelas bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan kabinet beliau.

"April lalu, apabila ditanya di Parlimen mengenai kaitan antara GST dan TUKAR (Program Transformasi Kedai Runcit) Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengatakan bahawa "TUKAR tiada kaitan dengan GST,"tegasnya.

Laman web Kementerian tersebut turut menyatakan bahawa objektif TUKAR, sebagai salah satu EPP yang bertujuan memodenkan kedai runcit di bawah NKEA termasuk, program membangunkan  kedai-kedai runcit tempatan jenis 'mom and pop', peningkatan tahap kompetitif peruncit dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dan usaha-usaha menyediakan peruncit untuk pelaksanaan Goods and Services Tax (GST).

Justeru katanya, kenyataan yang bercanggah sebegini adalah percubaan untuk menipu parlimen, wakil rakyat, dan rakyat Malaysia amnya.

Katanya, Pakatan Rakyat menentang pelaksanaan GST hinggalah perkara-perkara tertentu dilaksanakan termasuklah reformasi ke atas sistem yang dipenuhi rasuah dan budaya kronisme.

Selain itu katanya, kerajaan pasca PRU-13 nanti perlu mengambil langkah agar tidak menzalimi golongan menengah dan golongan miskin, tetapi membantu mereka meningkatkan pendapatan dan pendapatan boleh guna demi memastikan kualiti hidup ditingkatkan, serta mereka mempunyai lebih banyak wang agar boleh membantu memacu ekonomi dalam negeri.

Kerajaan BN, katanya harus ingat bahawa 60 peratus isi rumah mempunyai pendapatan bulanan kurang RM3,000, yang membolehkan mereka menyertai program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Dengan terlaksananya cukai GST, kumpulan ini terpaksa membayar cukai yang lebih dari apa yang mereka dapat dari BR1M," katanya.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa beratus jenis barangan yang dinikmati golongan miskin tidak dikenakan cukai GST kerana pelaksanaan BR1M.

"Kerajaan wajib ikhlas dalam kenyataan-kenyataan yang dibuat mengenai dasar-dasar ekonomi, lebih-lebih lagi apabila berkaitan isu cukai.

"Untuk berselindung disebalik kod-kod dan kenyataan yang samar adalah satu tindakan yang cukup tidak bertanggungjawab,"katanya.

Oleh itu, katanya, BN patut mengangkat isu GST dan membawanya ke PRU yang akan datang dan tanyakan sendiri kepada rakyat Malaysia sama ada mereka akan memilih sebuah Malaysia yang kotor dengan GST, ataupun yang disarankan Pakatan Rakyat iaitu sebuah Malaysia yang bersih tanpa GST.

Budayakan kempen sihat dalam politik negara

Riduan Mohd Nor, 03 Okt 2012
Penganalisis politik, Dr Lim Teck Ghee, Pengarah Pusat Inisatif Dasar (CPI) memberikan pandangannya bahawa kempen politik yang memburukkan lawan menjadikan pengundi merasa muak dan jijik serta menyebabkan parti terbabit kehilangan sokongan dalam pilihan raya.


Beliau menjelaskan pengundi akan menumpukan kepada isu-isu sebenar yang memberi kesan kepada mereka seperti rasuah, pendidikan dan ekonomi apabila membuat keputusan, dan bukannya kempen memburuk-burukkan lawan.

Seorang lagi pengalisisis politik, Dr Faizal Hazis juga berkongsi pandangan yang sama.

Pandangan beliau adalah pengundi atas pagar mahu melihat penyelesaian konkrit kepada isu-isu penting bagi mereka dan politik Malaysia harus dibentuk oleh idea-idea dan perbahasan dan bukannya kempen negatif yang tidak sihat.

Pandangan kedua pengalisis ini amat baik dan perlu diberi perhatian penting. Sebenarnya kempen negatif telah merwarnai politik negara sudah terlalu lama.

Budaya memburukkan pemimpin tertentu melalui media utama adalah strategi paling ampuh yang digunakan bagi menjatuhkan lawan politik mereka.

Sudah tentu, yang sering menjadi mangsa sejak dahulu sehingga sekarang adalah pembangkang (Pakatan Rakyat).

Rakyat mungkin tidak melupakan bagaimana teruknya Datuk Seri Anwar Ibrahim diaibkan melalui rakaman video lucah yang disiarkan dalam media-media utama. Beliau dimalukan saban waktu, dari pagi sehingga malam dengan cerita dan kisah tanpa tapisan.

Selain beliau, ramai lagi pemimpin PR yang diaibkan melalui pelbagai skandal yang direka cipta dengan tujuan untuk memburuk-burukkan pemimpin tersebut. Ia termasuk juga dengan kempen memburukkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat. Seolah-olah kerajaan negeri PR gagal dalam menguruskan kerajaan mereka, dan tidak ada perkara baik yang dilaksanakan oleh PR sepanjang pemerintahan mereka.

Hasilnya, kesemua kempen negatif ini sebenarnya menimbulkan rasa benci rakyat ke atas pelakunya dan sebaliknya pula menerbitkan rasa simpati ke atas mangsa.

Seharusnya, kesemua pihak mengambil pengajaran penting bahawa politik negatif adalah budaya liar yang ditolak oleh masyarakat Malaysia.

Rakyat kini semakin matang berpolitik dan tahu menggunakan hak mereka. Rakyat muak disajikan dengan berita lucah, kotor, fitnah dan busuk terhadap mana-mana pemimpin mahupun parti.

Rakyat juga benci melihat perlakuan kasar dan ganas mana-mana pihak terhadap lawan politik mereka.

Tindakan menghalang ceramah, gelagat agresif seperti membaling batu, menyimbah cat, asid, mensabotaj kenderaan pemimpin, memukul dan mencederakan pemimpin atau penyokong, dan lain-lain lagi adalah natijah dari kempen negatif yang ditolak rakyat.

Sebenarnya yang rakyat mahukan adalah gagasan, wawasan serta idea baru bagi membangunkan negara.

Rakyat juga mahu parti politik menyelesaikan kemelut permasalahan mereka dan masing-masing parti politik perlu berlumba-lumba dalam memberikan perkhidmatan serta tawaran terbaik untuk rakyat.

Inilah politik sihat yang menjadi budaya terkini masyarakat Malaysia dan ia perlu difahami oleh pemerintah jika mereka ingin kekal berkuasa.

Justeru pemimpin perlu kreatif dengan pemikiran terbuka dan luas dalam memikirkan masa depan negara.

Mana-mana pemimpin yang kontang ideanya dan pendek akalnya serta gagal memikirkan masalah rakyatnya, sehingga terpaksa memutarkan kembali skrip lama yang memburukkan lawan politik mereka perlu berundur secara terhormat, sebelum dibuang oleh rakyat secara terhina.

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Jawapan Pakatan Rakyat Kepada Chua Tee Yong

Harakahdaily, 03 Okt 2012
Kami merujuk kepada kenyataan akhbar yang dibuat oleh Dato’ Chua Tee Yong yang menuduh angka-angka di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 adalah tidak tepat berdasarkan perkiraan ringkas beliau seperti berikut:
1.            Bentuk kenaikan gaji hasil dari dasar-dasar Pakatan Rakyat adalah kenaikan gaji guru sebanyak RM2.4 bilion (hasil dari pelaksanaan Elaun Khas Perguruan sebanyak RM500 setiap bulan bagi setiap orang guru), kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak RM2 bilion (hasil dari pelaksanaan gaji minima RM1,100 di sektor awam dan pelarasan gaji kepada semua kakitangan) dan kenaikan gaji anggota polis sebanyak RM754 juta (hasil dari cadangan untuk membekukan pengambilan baru anggota polis sehingga tahun 2015).

2.      Mengikut perkiraan beliau, jumlah kesemua kenaikan gaji ini sebanyak RM5.1 bilion tidak selari dengan angka di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menunjukkan pertambahan gaji sebanyak hanya sebanyak RM4 bilion.

Berdasarkan perkiraan mudah itu, beliau menuduh Belanjawan Pakatan Rakyat mengandungi angka-angka yang menipu dan hasil dari penyelidikan yang kucar-kacir.

Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan dokumen-dokumen rasmi termasuklah Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 ada mengambil kira semua perkara ini dalam menentukan angka-angka yang digunapakai.

Seharusnya Dato’ Chua Tee Yong membaca sepenuhnya keseluruhan dokumen Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menerangkan pendekatan Pakatan Rakyat untuk menggunakan jumlah anggota polis sedia ada bagi memenuhi tuntutan melindungi keselamatan awam tanpa perlu menambah tenaga kerja melalui pengambilan baru. Ini berbeza dengan pendekatan Barisan Nasional yang ingin meningkatkan pengambilan baru sehingga mencecah 30% menjelang 2015, yang sudah tentu akan meningkatkan tanggungan gaji.

Cadangan Pakatan Rakyat adalah dengan memfokuskan anggota polis sedia ada kepada kerja-kerja membanteras jenayah dengan menukar anggota Cawangan Khas ke Jabatan Siasatan Jenayah. Penjimatan dari langkah ini (kerana tiada pengambilan baru menjelang 2015) bolehlah digunakan untuk menaikkan gaji anggota polis.

Maka, ia satu proses yang akan berjalan dalam satu tempoh, bukannya kenaikan gaji serentak kerana proses penukaran anggota Cawangan Khas melibatkan latihan dan lain-lain. Sebab itu di mukasurat 8 Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 ada menyebut bahawa Pakatan Rakyat mengunjurkan kenaikan gaji 15% sekiranya proses ini berjalan.

Oleh kerana ia melibatkan satu proses, maka ia juga melibatkan kenaikan berperingkat dalam satu tempoh masa kerana kenaikan gaji itu perlu dibiayai dari penjimatan kerana tiada pengambilan baru dalam tempoh 3 tahun.

Kesan kewangan bagi tahun 2013 dianggarkan satu pertiga dari jumlah kenaikan gaji RM754 juta bagi kesemua kakitangan, iaitu sekitar RM250 juta.

Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat memutuskan bahawa kenaikan ini boleh dibiayai dengan menyemak semula perbelanjaan untuk “Faedah-faedah Kewangan Yang Lain” (Kod Akaun: 15000) yang telah mencecah RM1.04 bilion dalam tahun 2013. Kerajaan Pakatan Rakyat akan meneliti bentuk-bentuk faedah bukan gaji untuk mengelakkan pembaziran, dengan memastikan hanya faedah bukan gaji kepada kakitangan awam disediakan pada kos yang berpatutan. Ini penting bagi memastikan Kod Akaun 15000 (“Faedah-faedah Kewangan Yang Lain”) tidak melibatkan peruntukan bagi perbelanjaan yang boros. Kami yakin penjimatan dari semakan terhadap perbelanjaan faedah bukan gaji boleh menampung kesan kewangan bagi tahun 2013 yang dianggarkan RM250 juta itu.

Mengambil kira pertimbangan ini, kenaikan peruntukan gaji kakitangan kerajaan hanyalah RM4 bilion seperti yang terkandung di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013.

Kami mengucapkan tahniah kepada Dato’ Chua Tee Yong kerana mengambil sedikit masa untuk meneliti angka-angka yang dibentangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013.

Namun, beliau lebih berhati-hati apabila ingin berhujah menggunakan angka kerana reputasi beliau sebelum ini pun terjejas teruk apabila angka-angka yang digunakan sering bertukar-tukar.

Bagi pihak Jawatankuasa Dasar & Manifesto Pakatan Rakyat

YB Dr Dzulkefly Ahmad
Ahli Parlimen Kuala Selangor/AJK PAS Pusat


Rafizi Ramli
Pengarah Strategi Keadilan


Dr Ong Kian Ming
Strategis Pilihanraya DAP

Bajet: Slogan, gula-gula BN untuk pancing undi

Dr Ghazali Hasbullah, 03 Okt 2012
Dewan Pemuda PAS Malaysia sedar begitu banyak pihak sudahpun menyatakan pandangan dan pendirian masing-masing berkenaan belanjawan 2013 ini. Bagaimanapun, izinkan kami untuk menyampaikan pandangan mewakili golongan berpendapatan sederhana, 'middle income group' dan penjawat awam, yang sebahagiannya adalah golongan yang membayar cukai, dan berhak mengetahui serta memberi pandangan bagaimana duit 'kami' sepatutnya dibelanjakan.
Di bawah tajuk meringankan kos sara hidup, Belanjawan 2013 menawarkan diskaun 50% kadar tambang bagi pengguna komuter berpendapatan kurang RM3,000. Malang bagi kerajaan Barisan Nasional ini, masih tidak memahami apa yang diperlukan rakyat. Apa yang lebih penting, sebenarnya adalah untuk meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam. Tumpuan sepatutnya diberikan kepada pertambahan jumlah koc, dan meningkatkan kekerapan tren. Kesesakan di dalam tren, serta masa menunggu yang lama sekian lama menghantui warga kota yang menggunakan perkhidmatan komuter ini. Penurunan harga tiket, (walaupun dapat mengurangkan beban kumpulan pengguna terbabit) tidak bersifat menyeluruh, dan dikhuatiri hanya akan menambah kesesakan sekiranya tidak disusuli dengan peningkatan prasarana.

Bonus satu bulan setengah gaji (termasuk setengah bulan gaji yang sudah diberikan Julai lalu) bagi penjawat awam ternyata bukanlah penyelesaian jangka panjang. Walaupun ia disambut dengan baik dan diperlukan oleh 1.4 juta kakitangan awam (kira-kira 10% daripada jumlah tenga kerja di Malaysia), tetapi bagaimanakah pemberian ini dapat membantu mereka dari segi jangka masa panjang? Apa yang lebih diperlukan oleh penjawat awam sebenarnya adalah kos sara hidup yang lebih rendah, termasuk membantu keperluan mereka seperti mendapatkan rumah dan kereta. Begitu juga dengan pemberian BR1M yang kedua. Benar, wang itu memang diperlukan rakyat yang kurang berkemampuan. Bagaimanapun, apakah pemberian yang bersifat 'one-off' ini dapat membantu mereka mengubah taraf hidup? Nampaknya belanjawan kali ini masih memberikan ‘ikan’ kepada rakyat, dan bukannya ‘joran’.

Satu lagi kelemahan yang langsung tidak disentuh di dalam belanjawan kali ini adalah berkenaan skim perjawatan dan pelarasan gaji yang tidak seimbang di dalam sektor pekhidmatan utama. Di dalam perkhidmatan kesihatan sebagai contoh, isu 'brain-drain' merupakan isu yang serius dan sekiranya tidak ditangani dengan baik, boleh mengakibatkan kualiti penyampaian sistem kesihatan di negara ini semakin buruk. Kian hari semakin ramai pakar perubatan yang meletakkan jawatan di universiti dan hospital kerajaan untuk berkhidmat di swasta. Masalah ini menjadi semakin buruk apabila jumlah pegawai perubatan yang menyertai universiti dan fakulti perubatan sebagai pensyarah semakin berkurang, disebabkan skim gaji yang lebih baik di kementerian kesihatan. Akibat daripada ini, dikhuatiri kualiti pengajaran bakal-bakal doktor semakin menurun. Akhirnya yang akan menerima kesan adalah rakyat terbanyak yang mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerajaan.

Klinik 1Malaysia hanya merupakan satu lagi gimik politik dan bersifat retorik semata-mata. Klinik-Klinik ini tidak mempunyai doktor dan rawatannya terhad berbanding klinik-klinik kesihatan. Malah, ada di antaranya yang terletak sangat berhampiran dengan klinik kerajaan sedia ada. Siapakah yang beroleh manfaat dari Klinik 1Malaysia ini? Tindakan menambahkan jumlah Klinik 1Malaysia tidak mungkin mencapai matlamat kesihatan yang terbaik untuk rakyat. Sepatutnya, jumlah peruntukan dimaksimumkan untuk penambahbaikan klinik-klinik kerajaan yang sedia ada, serta memberikan tumpuan lebih kepada pembangunan modal insan.

Pemberian rebat RM200 untuk pembelian telefon pintar sekadar mengabsahkan tuduhan bahawa Belanjawan 2013 ini tidak lebih dari sekadar gula-gula politik Barisan Nasional. Sekiranya manfaat dari telefon pintar ini begitu tinggi, mengapa ia dihadkan kepada mereka yang berusia 21-30 tahun sahaja? Apakah ini boleh dikaitkan dengan demografi pengundi muda yang baru berdaftar sebagai pengundi? Mengapakah sehingga RM300 juta diperuntukkan untuk tujuan ini, berbanding hanya RM100 juta untuk menambahbaik klinik kesihatan yang boleh dimanfaatkan rakyat keseluruhannya?

Skim rumah pertamaku yang dinaikkan had pendapatan individu juga dilihat tidak banyak membantu. Ia mungkin berguna untuk menyelesaikan masalah mereka yang tiada tabungan untuk membayar deposit. Tetapi ia tidak melihat kepada masalah rumah yang terlalu mahal dan ketidakmampuan rakyat untuk membayar pembiayaan dan ansuran bulanan rumah tersebut. Cadangan Pakatan Rakyat untuk menubuhkan Perbadanan Perumahan Negara dilihat relevan, dengan sasaran untuk menyediakan rumah mampu milik secara besar-besaran.

Secara kasar, LPPM melihat belanjawan ini merupakan satu lagi belanjawan 'gula-gula', dikarang dan dibentang semata-mata untuk mengekalkan kuasa politik parti memerintah tanpa memikirkan masa hadapan negara. Barisan Nasional semakin tertekan, di dalam suasana di mana sokongan terhadap Barisan Nasional dilihat semakin merudum, dan ini merupakan belanjawan terakhir sebelum parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihanraya umum ke-13. Belanjawan 2013 masih kekal dengan sikap boros dan berbelanja melebihi keperluan.

Tidak ada penyelesaian jangka panjang bagaimana untuk mengatasi lambakan hutang negara yang semakin meruncing. Tidak ada perancangan yang jelas dan konkrit bagaimana untuk meningkatkan daya saing ekonomi negara. Tidak ada kaedah tertentu bagi mengatasi ketirisan dan pembaziran dana negara. Tidak ada penumpuan diberikan kepada meningkatkan taraf hidup rakyat bagi tempoh yang panjang dan mengurangkan kos sara hidup. Juga tidak ada langsung disebut langkah-langkah persediaan di dalam bidang automotif, sedangkan pelan liberalisasi industri automotif dan pemansuhan AP kereta dijanjikan untuk dilaksanakan menjelang 2015.

Lihat pula Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat. Ia jauh lebih relevan, menepati kehendak rakyat dan berpijak di bumi nyata. Teras-teras utama untuk meningkatkan daya saing ekonomi negara, reformasi dan ketelusan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), menurunkan harga kereta, hasil minyak untuk negeri, mengangkat martabat wanita, dan reformasi membanteras jenayah, semuanya memberikan keyakinan kepada rakyat berkenaan kebolehan Pakatan Rakyat untuk memerintah.

Sesungguhnya bajet 2013 oleh kerajaan Barisan Nasional tidak menepati seperti yang dilaksanakan.

Penulis ialah Pengerusi Lajnah Pekerja dan Profesional Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tidak tunai tuntutan Bersih, lagi himpunan 3 Nov

Salmiyah Harun, 03 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat julung kalinya akan menganjurkan himpunan besar-besaran yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November nanti.

Dengan tema 'Himpunan Kebangkitan Rakyat', Pakatan Rakyat mensasarkan kehadiran sejuta rakyat negara ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu berkata, himpunan itu bertujuan untuk menggesa lapan tuntutan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang hampir tidak dihiraukan langsung oleh pemerintah.

Katanya, dua perkara pokok harus diberi penekanan oleh pemerintah terutama daftar pemilih yang bersih dan media yang langsung tidak berubah.

Jelasnya, kempen mengutuk himpunan Bersih 3.0 berterusan di media perdana sedangkan pendengaran awam di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) telah menunjukkan bagaimana pihak keselamatan langsung tidak mengikuti prosedur operasi standad (SOP) ketika mengendalikan himpunan pada 24 April lalu.

"Oleh kerana keadaan berterusan dan lapan tuntutan oleh rakyat tidak dihiraukan maka kami perlu lagi satu himpunan pada 3 Nov nanti iaitu Himpunan Kebangkitan Rakyat," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, himpunan itu akan melibatkan Pakatan Rakyat, badan bukan kerajaan dan rakyat di luar sana untuk menuntut seterusnya menyambung tuntutan Bersih yang mahukan pilihan raya yang bebas dan telus.

"Apa terus meragukan misalnya ditemui 60 000 daftar pemilih pos yang tanpa proses semakan, yang perlu dijelaskan oleh SPR.

"Bagaimana hendak adakan pilihan raya sedangkan daftar pemilih dan juga penglibatan pengeluaran mykad palsu yang ditemui begitu ketara sekali," katanya.

Justeru, Pakatan khuatir bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengendalikan pilihan raya yang bersih untuk PRU-13 ini.

Turut bersama dalam sidang media Pakatan Rakyat, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof, Ahli Parlimen Kota Raja Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke,  dan Ahli Parlimen Batu Tian Chua.

Keputusan mahkamah buktikan ISA zalim - GMI

Harakahdaily, 03 Okt 2012

KUALA LUMPUR: Gerakan Memansuhkan ISA (GMI) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang menetapkan penangkapan terhadap 5 aktivis di bawah ISA pada tahun 2001 sebagai tidak sah.
Demikian dinyatakan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dalam satu kenyataan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam keputusannya menyebutkan tuduhan Ketua Polis Negara pada ketika itu iaitu Tan Sri Norian Mai terhadap kelima-lima aktivis tersebut adalah fitnah dan berniat jahat.

Dalam penghakiman yang dibuat, mahkamah menetapkan kelima-lima mangsa ISA telah diperlakukan secara zalim sepanjang berada di bawah tahanan ISA.

Mereka dipaksa berbogel di hadapan pegawai penyiasat, dipaksa berjalan dengan kaki ayam ke tandas yang kotor, disiasat selama berjam-jam secara berterusan dan bagi yang muslim tidak dibenarkan untuk menunaikan solat.

Oleh itu mahkamah mengarahkan setiap daripada mereka dibayar pampasan yang setimpal dengan penindasan yang telah mereka alami.


Dalam keputusannya, Hakim Datuk Lau Bee Lan menganugerahkan aktivis Hishamuddin Rais dan empat yang lain masing-masing RM15,000 bagi setiap hari penahanan mereka di bawah Seksyen 73 Akta Keselamatan Dalam Negeri dan RM30,000 sebagai gantirugi teruk.

Ini menjadikan jumlah gantirugi itu ialah RM4.06 juta.

Bagaimanapun, mahkamah memihak kepada defendan berhubung dengan Seksyen 8 ISA.

Mahkamah juga mendapati kenyataan akhbar yang dibuat oleh Ketua
Polis Negara (IGP) ketika itu, Tan Sri Norian Mai ekoran penangkapan plaintif pada April 2001 adalah berunsur fitnah terhadap mereka, kecuali kepada Badaruddin Ismail.

Untuk ini, Hakim Lau anugerahkan RM60,000 sebagai gantirugi am dan RM40,000 bagi gantirugi teruk dan teladan.

Mahkamah juga anugerahkan RM200,000 sebagai kos.

Selain Hishamuddin dan Badaruddin, plaintif lain ialah Saari Sungib, Badrulamin Bahrom dan Tian Chua Chang  yang lebih dikenali sebagai Tian Chua.

“Hal ini menjustifikasikan segala tuntutan yang pernah GMI kemukakan kepada kerajaan Malaysia.

“Dalam episod perjuangan GMI menentang akta zalim ini, GMI telah mendedahkan pelbagai kekejaman dan kezaliman yang berlaku terhadap tahanan ISA,” ujar Syed Ibrahim.

Namun, katanya Kerajaan Malaysia melalui Menteri Dalam Negeri terus menafikan dakwaan GMI tersebut dan terus mempertahankan ISA sebagai undang-undang yang adil.

“Dengan mengambil kira keputusan mahkamah ini, apakah Menteri Dalam Negeri masih boleh menafikan kekejaman berlaku terhadap tahanan semasa ISA?” soal beliau.

Beliau menegaskan, GMI sehingga ke hari ini sentiasa konsisten mendedahkan siri-siri kekejaman yang terpaksa dilalui oleh tahanan yang masih meringkuk di bawah penahanan ISA.

Katanya, namun setiap pendedahan itu tidak langsung dijawab secara bertanggungjawab oleh Menteri Dalam Negeri yang lebih gemar untuk berdiam diri.

Sebagai menghormati keputusan mahkamah, kata Syed Ibrahim seharusnya Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara sewaktu kelima-lima aktivis tersebut ditahan pada 2001 memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kedua-dua individu ini perlu bertanggungjawab atas keterlanjuran yang telah mereka lakukan sehingga menyebabkan aktivis rakyat yang tidak bersalah ditahan dan diseksa secara kejam di bawah ISA,” ujarnya.

Katanya, ISA hanya akan berfungsi sekiranya Menteri Dalam Negeri memberi restu untuk pihak polis menahan seseorang yang dikatakan memberi ancaman kepada keselamatan negara.

“Kuasa inilah yang telah disalah guna oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara pada waktu itu untuk menahan aktivis rakyat yang menjadi musuh politik  kepada Barisan Nasional pada ketika itu.

“Bekas tahanan ISA ini difitnah oleh bekas Ketua Polis Negara sebagai ancaman kepada keselamatan negara dengan memiliki senjata berbahaya seperti pelancar roket, molotov cocktail, dan dilabel sebagai pengganas.

“Semua ini perlu dibersihkan oleh kerajaan Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, GMI mengira sudah tidak ada hujah yang boleh dijadikan alasan oleh Menteri Dalam Negeri untuk terus menahan tahanan ISA di Kem Tahanan Kamunting.

Tegasnya lagi, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein perlu segera membatalkan segala perintah tahanan dan membebaskan kesemua mangsa kezaliman ISA.

Katanya, keputusan mahkamah itu memberi gambaran bahawa kesemua pertuduhan yang dikenakan kepada bekas tahanan ISA mahupun tahanan semasa boleh diragui.

“GMI yakin keputusan mahkamah ini akan menyemarakkan lagi perjuangan mangsa-mangsa ISA untuk menuntut keadilan,” katanya.

GMI juga, tegasnya tidak menolak akan lebih ramai bekas-bekas tahanan ISA akan tampil untuk mengheret Kerajaan Malaysia ke muka pengadilan sekiranya kezaliman ini tidak diperbetulkan segera.

Menurut Syed Ibrahim, satu-satunya cara untuk kerajaan Malaysia membetulkan segala kesilapan telah berlaku di bawah ISA ialah dengan membebaskan segera kesemua tahanan ISA dan membayar pampasan yang setara dengan kezaliman yang telah mereka lalui.

“Kerajaan juga perlu menutup Kem Tahanan Kamunting yang selama ini telah menjadi simbol kekejaman pihak kerajaan terhadap rakyat.

“Akhirnya, GMI sekali lagi sifatkan keputusan mahkamah ini sebagai kemenangan buat bekas Tahanan ISA, keluarga tahanan dan rakyat Malaysia secara keseluruhan,” ujarnya lagi.

Najib: Menteri Wanita tidak tahu kemajuan wanita

Muhammad Faizal, 03 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Wanita Pakatan Rakyat menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak mengetahui langsung dengan pencapaian dan kemajuan wanita di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.

Perkara tersebut merujuk kepada ucapan Najib sempena Hari Wanita Kebangsaan 2012 semalam yang mengatakan bahawa gerakan wanita adalah tidak perlu kerana wanita telah diberikan hak mereka sejak kemerdekaan lagi.

Berkata pada sidang media di parlimen, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menyifatkan Najib gagal mendapat nasihat yang tepat dari kepimpinan Wanita Umno-Barisan Nasional.

Malah menurut beliau lagi, Najib juga gagal membezakan hak mengundi dengan penglibatan wanita diperingkat nasional.

"Kita berada ditahap pemberdayaan wanita dan mengarus perdanakan peranan wanita.

"Proses pemberdayaan ini amat lemah apabila laporan dalam The Global Gender Index Gap 2011 menyatakan Malaysia berada pada kedudukan 97 dari 135 negara dalam empat aspek penilaian iaitu penglibatan dan peluang ekonomi, pencapaian pembelajaran, kelangsungan kesihatan dan hidup dan pemberdayaan politik," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusoff menyatakan dengan Najib memegang jawatan Menteri Wanita sudah pasti kedudukan pemberdayaan politik wanita dalam Gender Global Index akan menjunam jauh dari kedudukan 115 pada masa sekarang.

"Ini satu penghinaan kepada wanita Malaysia, seolah-oplah wanita Malaysia menghala ke jalan buntu.

"Sebaliknya Agenda Wanita Malaysia (AWM) yang ditawarkan Wanita Pakatan Rakyat fokus kepada tujuh tuju tumpu yang mana empat tumpu di atas diterapkan sebagai kayu pengukur dalam pemberdayaan wanita Malaysia," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Wanita Pakatan Rakyat menyatakan dengan tindakan Najib melantikkan dirinya sebagai Menteri Wanita telah mengaibkan seluruh wanita Malaysia.

Selain itu juga, Wanita Pakatan Rakyat juga berpendirian bahawa lantikan Najib sebagai menteri adalah satu kesilapan besar yang terpaksa ditanggung wanita Malaysia.

Wanita Pakatan Rakyat juga turut menegaskan bahawa Agenda Wanita Malaysia yang menawarkan polisi yang mesra gender akan mengangkat martabat dan membela wanita dan bukannya meremeh temehkan peranan wanita di Malaysia.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Ketua Wanita DAP, Chong Eng, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Tiada ulasan: