Selasa, 2 Oktober 2012

HUKUM ALLAH PUN ADA YANG TAK YAKINI...INI PULAK BAJET PEMBANGKANG....BILA MANUSIA MEMIKIR DUNIA LUPA AKAN BALASAN AKHIRAT

September saksikan 365 orang terbunuh di Iraq

Al Jazeera terjemahan Mohamad Yahya, 02 Okt 2012
(September adalah bulan paling teruk untuk Iraq)

BAGHDAD: September adalah bulan paling dahsyat bagi Iraq dalam tempoh lebih daripada dua tahun, dengan angka rasmi seramai 365 orang terbunuh dalam keganasan serangan-serangan di seluruh negara.

Pejuang dianggap lebih lemah berbanding tahun 2006 dan 2007 apabila keganasan mencapai kemuncaknya, tetapi mereka tetap mampu menjalankan serangan besar-besaran di seluruh negara.

Statistik yang disusun oleh Kementerian Kesihatan,  Dalam Negeri dan Pertahanan menunjukkan bahawa  182 orang awam, 88 polis dan 95 askar terbunuh dalam serangan pada bulan September.

683 yang lain pula tercedera, termasuk 453 orang awam, 110 polis dan 120 askar.

Ia adalah angka bulanan tertinggi yang diumumkan kerajaan sejak Ogos 2010, dengan 426 orang terbunuh dan 838 cedera dalam bulan tersebut.

Sebelum ini, bulan Julai adalah bulan yang paling banyak merekodkan kematian, dengan 325 orang terbunuh dalam serangan.

Keganasan terburuk bulan ini berlaku pada 8 dan 9 September, apabila lebih daripada 30 serangan di seluruh negara membunuh 88 orang dan mencederakan lebih daripada 400 yang lain.

Mahkamah Rusia haram video hina nabi

Asharq-e terjemahan Mohamad Yahya, 02 Okt 2012
MOSCOW: Mahkamah Rusia membuka jalan bagi potensi penutupan You Tube, sebuah laman web perkongsian video dengan mengharamkan video hina Nabi Isnin lalu yang mencetuskan protes ganas di seluruh dunia Islam.

Mahkamah Tverskoy di Moscow memutuskan bahawa video yang dibuat di Amerika Syarikat dan menggambarkan Nabi Muhammad sebagai bodoh dan kasanova, adalah "ekstrem".

Pendakwaraya, Viktoria Maslova memberitahu mahkamah bahawa video tersebut "memburukkan agama Islam dan menyebabkan peningkatan sikap tidak bertoleransi terhadap agama di Rusia," lapor agensi berita Itar-Tass.

Di bawah undang-undang yang akan berkuat kuasa pada 1 November ini, laman-laman Internet yang kandungannya diharamkan di Rusia akan diletakkan di dalam suatu daftar, dan pembekal-pembekal internet akan menyekat akses kepada laman-laman tersebut.

Pemilik YouTube, Google Inc, berkata mereka akan menyekat akses filem kepada pengguna di Rusia sejurus selepas mereka menerima keputusan mahkamah itu, lapor agensi RIA.

Namun, Google tidak memberi sebarang komen apabila dihubungi Reuters.

Google telah menyekat video selama 13-minit itu di beberapa negara-negara Islam termasuk Mesir dan Libya, dua negara di mana konsulat Amerika Syarikat telah diserang oleh penunjuk perasaan.

Menteri Komunikasi, Nikolai Nikiforov, antara yang menentang undang-undang baru itu, berkata bulan lepas bahawa video hina Nabi boleh digunakan sebagai alasan untuk menutup YouTube.

Sentimen keagamaan telah menjadi subjek perbahasan sejak demonstrasi anti-Kremlin oleh kumpulan punk, Pussy Riot di gereja utama di Moscow yang menyebabkan kemarahan Gereja Ortodoks Rusia yang mempunyai kuasa politik.

Tiga ahli kumpulan tersebut menerima hukuman penjara dua tahun untuk 'keganasan berdasarkan kebencian agama'.
Mereka berkata mereka sebenarnya dihukum kerana secara terbuka mengkritik Presiden Vladimir Putin.
Tidak mungkin Pas tumpas
W.SAIDATUL FADZILAH W.NAJEMUDIN
2 Oktober 2012
Tidak mungkin Pas tumpas
Yahaya (kiri) berkata sesuatu kepada Abdul Hadi pada satu majlis anjuran Pas.
KUALA TERENGGANU –  “Tidak mungkin!” Demikian tegas Yang Dipertua Pas Kawasan Marang, Yahaya Ali berhubung keinginan Barisan Nasional (BN) untuk merampas kedudukan kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Walau siapa sahaja individu dicalonkan BN di kerusi terbabit, beliau yakin kepimpinan Pas akan tetap mempertahankan kerusi yang kini disandang presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, walaupun kerusi Parlimen Marang pernah jatuh ke tangan BN sebelum ini, beliau berkeyakinan keupayaan Pas untuk terus mempertahankan kerusi berkenaan tidak harus dipandang ringan pihak lawan.

“Saya penuh keyakinan, ‘no way’ (tidak mungkin dapat dirampas BN)! Keputusan seterusnya, ALLAH SWT yang tentukan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini.

Yahaya berkata, tidak kira sesiapa sahaja calon BN, sejarah pilihan raya umum lalu menggambarkan rakyat mahukan perubahan besar, bukan sahaja di peringkat negeri tetapi negara.

Tidak hairan dengan pendirian BN

Beliau juga seolah-olah tidak hairan dengan pendirian BN negeri yang turut memperlihatkan keyakinan mendapatkan Parlimen Marang dengan menyifatkannya tidak lebih sebagai perang saraf untuk menampakkan kekuatan BN di parlimen tersebut.

“Orang parti memang macam itu. BN akan kata yakin (rampas Parlimen Marang) dan kalau tanya saya, saya juga yakin tetapi dengan perkembangan yang ada, insya-Allah kita yakin (pertahan kemenangan),” katanya.

Yahaya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Terengganu memberitahu, ada sesuatu dalam kepimpinan BN yang menyebabkan rakyat menolak parti itu pada pilihan raya umum nanti.

Keadaan itu boleh berlaku kerana rakyat sudah bijak menilai kepimpinan parti untuk membawa hala tuju negara ke arah yang lebih baik selain pemimpin yang perlu ditonjolkan di Parlimen.

“Sedangkan Umno berdasarkan projek dan antaranya boleh dipertikai sebagaimana yang pernah kita sebutkan sebelum ini khususnya di Terengganu,” katanya.

Abdul Hadi perlu tanding

Berdasarkan perkembangan politik terkini, beliau berkata, wujud pergerakan yang sentiasa berkembang dari masa ke masa di negeri ini walaupun tidak sehebat PRU 1999.

Menurutnya, gelombang pergerakan rakyat itu aktif di Pantai Barat dan bergerak seiring di kawasan Pantai Timur.

“Secara umumnya, kita nampak perkembangan gelombang ini di Pantai Barat nampak hebat,” katanya.

Ditanya sama ada Abdul Hadi kekal dicalonkan di kerusi tersebut, Yahaya berkata, sebagai Presiden parti selayaknya Abdul Hadi mempertahankan kerusi berkenaan dalam usaha Pakatan Rakyat (PR) menuju ke Putrajaya.

Menurutnya, walaupun soal calon belum dimuktamadkan kepimpinan, namun beliau melihat presiden parti perlu bertanding untuk mempertahankan kerusi yang sekian lama disandang.

“Kalau tanya saya, sebagai presiden, selayaknya beliau pertahankan kerusi berkenaan. Macam mana kita mahu menuju ke Putrajaya kalau presiden tidak bertanding,” katanya.

Giant Killer sudah hilang taring

Sementara itu, mengulas berhubung Senator Datuk Abdul Rahman Bakar yang pernah menewaskan Abdul Hadi sehingga digelar ‘Giant Killer’, beliau berkata, zaman kegemilangan pemimpin tersebut sudah berlalu.

Keadaan itu secara tidak langsung memperjelaskan bahawa kepimpinan Pas melihat Abdul Rahman sudah ‘hilang taring’ untuk melawan Abdul Hadi.

“Setiap pemimpin ada zaman masing-masing, zaman gemilang dan zaman merudum. Bagi saya, sekarang ini, Datuk Abdul Rahman Bakar bukan zaman dia. Dia bukan lagi pemimpin sebagaimana dahulu, bukan lagi Ketua Umno Bahagian,” katanya.

Bagaimanapun, Yahaya berkata, terserah kepada Umno dan BN mempertaruhkan mana-mana calon untuk melawan calon Pas di kerusi Parlimen terbabit.

Pada pilihan raya umum lepas, Abdul Hadi menewaskan calon BN, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir di kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 2,747 undi.
Rebat telefon pintar hanya melalui 'pembekal terpilih'
  • Aidila Razak
  • 11:11AM Okt 2 2012
 
Individu yang layak menerima rebat telefon pintar RM200 yang dicadangkan dalam belanjawan 2013 hanya boleh mendapatkan diskaun itu melalui "pembekal terpilih".
Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Datuk Irwan Siregar Abdullah berkata individu yang layak boleh mendapatkannya melalui pembekal yang berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Bernama sebelum ini melaporkan saranan daripada satu badan yang kurang dikenali, Persatuan Pemilik-pemilik Telefon Bimbit (Perbit) , yang mahu SKMM melantik ejen terpilih untuk menjual telefon pintar itu.

Persatuan itu bimbang, bekalan telefon itu terjejas dan pengedar akan menjual telefon bukan asli dan menaikkan harga.

Kerajaan memperuntukkan RM300 juta untuk rebat yang layak diterima oleh golongan berusia antara 21 hingga 30 tahun dan berpendapatan kurang RM3,000.

Sementara itu, Mohd Irwan turut mengulas mengenai belanjawan alternatif yang dikemukakan Pakatan Rakyat akan menyebabkan satu kejutan kepada ekonomi.
Nenek melatah lawan penyamun
KU NOOR FAIZAH KU MUSTAFA
2 Oktober 2012
Nenek melatah lawan penyamun
Keadaan mulut mangsa.
PENDANG - Setengah jam bergelut dalam kelambu, akhirnya perompak yang tidak tahan dengan latah dan jerit pekik seorang warga emas terus cabut lari dan meninggalkan mangsanya yang cedera.

Kamaliah Ismail, 85, cedera di mulut, kerongkong dan telinga manakala tangan dan badan mengalami lebam-lebam setelah dicucuk menggunakan batang besi dalam kejadian rompakan di rumahnya dekat Kampung Air Puteh Dalam dekat sini awal pagi, Sabtu lalu.

Ketika kejadian jam 5 pagi itu mangsa ketika itu tidur dalam kelambu, tiba-tiba diterkam seorang lelaki bertopeng lalu duduk di atas dada sambil menarik rambut mangsa.

Anak mangsa, Zainol Mustafa, 58, berkata, dia difahamkan ibunya, perompak itu cuba bertindak kasar dengan menyumbat besi ke dalam mulut dan mencucuk besi itu sehingga ke bahagian kerongkong selepas ibunya menjerit.

“Bila lelaki bertopeng itu cuba menanggalkan rantai tangan dan leher dipakai ibu bernilai RM10,000, ibu menjerit dan lelaki itu gagal mengambil barang kemas itu.

“Latah ibu di tahap serius. Ini menyebabkan dia (ibu) ada kekuatan melawan perompak itu walaupun dipukul teruk di badan dan disumbat serta dicucuk besi sehingga ke kerongkong,” katanya.

Zainol berkata, setengah jam ibu bergelut dengan perompak dan melawan sehingga tangannya diikat dengan kain kelambu.

“Perompak itu masuk melalui tingkap dapur dan ibu terjaga, namun menyangka kucing menyebabkan dia tidak bangun melihat. Kurang satu minit perompak itu bertindak menerkam dalam kelambu ibu tidur.

“Terkejut dengan tindakan yang dilakukan itu menyebabkan ibu melatah dengan melawan perompak itu sehingga dia gagal melarikan barang kemas dan beredar,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu disedari cucunya yang bersiap untuk bekerja apabila terdengar bunyi dari rumah neneknya, namun menyangka neneknya sedang bermimpi dan memanggil neneknya, tetapi tidak disahut.

“Ketika cucunya masuk, dia mendapati ibu berlumuran darah dan keadaannya tidak bermaya manakala gigi palsu yang dipakai patah dan berselerak di tempat kejadian.

“Kejadian ini kali pertama berlaku pada keluarga saya dan di kampung ini,” katanya.

Mangsa hanya mampu terlantar dan sukar untuk makan disebabkan kecederaan teruk di bahagian mulut dan kerongkong, manakala kes telah dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang.
Bajet PR libat semua
RUWAIDA MD ZAIN
28 September 2012
Bajet PR libat semua
Keratan Sinar Harian semalam
SHAH ALAM – Pas menolak dakwaan parti itu kurang berperanan dalam Bajet Pakatan Rakyat (PR) 2013 yang dibentang Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin

Ahli Jawatankuasa Lujnah Politik PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, misi bajet untuk membangunkan sebuah negara berkebajikan yang mempunyai rakyat berbilang agama dan bangsa dengan mengeluarkan mereka yang berpendapatan rendah dari kepompong kemiskinan membuktikan peranan Pas.

“Itu (Pas kurang berperanan) tidak benar sama sekali. Teras negara berkebajikan adalah membangunkan rakyat, memberikan ruang mereka berperanan dalam tuntutan beragama dan mendayakan diri mereka.

“Apabila ekonomi sesebuah keluarga berada di tahap stabil, dari sini dapat mengurangkan penceraian, jenayah, keruntuhan akhlak sebabnya isi rumah boleh membina keluarga dengan pendapatan yang wajar dan bermaruah dan institusi keluarga lebih terjamin,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, PR menggunakan pendekatan penyelesaian dalam Islam iaitu penyelesaian yang holistik (membantu mengubah sesuatu ke arah yang lebih baik dari yang sebelumnya).

Beliau berkata, pemimpin bertanggungjawab mengeluarkan rakyat keluarga dari garis kemiskinan kerana mengurangkan kos perbelanjaan dari segi rumah, kenderaan, pinjaman pendidikan akan membantu rakyat memperoleh ‘pendapatan boleh berbelanja’.

“Saya hendak bezakan yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak buat, mengesan golongan miskin, kekalkan mereka di tahap itu dengan memberikan mereka infrastruktur sesuai untuk mereka.

“Golongan miskin diberikan Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia. Situasi ini menunjukkan golongan miskin tidak diberikan peluang untuk mengubah kehidupan mereka. Tidak membantu mengeluarkan mereka dari keluarga miskin kepada yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, membantu rakyat tidak cukup dengan memberikan bantuan sahaja dan mengharapkan mereka akan berubah, sebaliknya, beberapa perkara perlu dipertimbangkan.

“Dalam menyediakan bajet itu, kami memandang dan menimbang dalam kedudukan negara di ambang pelbagai ancaman seperti hutang yang terus membengkak. Memandang kepada defisit bajet yang hampir 14 tahun berterusan, berbelanja lebih dari pendapatan. Dan memandangkan jurang kaya miskin semakin melebar, yang paling lebih di antara negara Asia,” katanya.
Prof UKM: Bajet Pakatan 2013 tidak yakinkan

1 Oktober 2012
Bajet 2013 BARU
Bajet 2013
KUALA LUMPUR - Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas lebih meyakinkan berbanding belanjawan yang dikemukakan Pakatan Rakyat, kata seorang profesor ekonomi hari ini.
  
Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, belanjawan pakatan pembangkang yang hanya memberi fokus kepada aspek "memberi, memberi, memberi" tidak mempunyai kerangka yang jelas berbanding Bajet 2013 kerajaan.
  
"Apabila pakar ekonomi mempersoalkan belanjawan pembangkang secara terperinci, mereka gagal memberikan jawapan yang meyakinkan dan jelas, dari aspek ekonomi.
  
" Sebaliknya, pembangkang akan mendakwa pakar ekonomi bertanyakan soalan yang berbaur politik," katanya pada sesi perbincangan "Belanjawan 2013 dan Transformasi Ekonomi Negara" pada Wacana Majlis Profesor Negara (MPN) Pasca Belanjawan 2013: Mentransformasi Negara anjuran MPN di sini, hari ini.
  
Noor Azlan berkata demikian ketika diminta membuat perbandingan di antara Belanjawan 2013 dan belanjawan pakatan pembangkang oleh salah seorang peserta perbincangan itu.

Beliau yang merupakan salah seorang anggota panel perbincangan itu berkata, pelbagai pemberian yang dijanjikan oleh parti pembangkang dalam belanjawan itu dilihat hanya bertujuan memancing undi.
  
Noor Azlan berkata, Bajet 2013 yang dibentangkan pada Jumaat lepas adalah begitu menyeluruh dan mengandungi pelan dan strategi yang jelas terutama dalam membantu semua golongan masyarakat dan pelbagai sektor.
  
Beliau juga turut mempersoal hasrat pakatan pembangkang untuk menurunkan harga kenderaan kerana ini akan hanya menambahkan bilangan kenderaan di jalan raya dan sekali gus menambah kesesakan.
  
"Lebih baik tingkatkan sistem pengangkutan daripada mengurangkan harga kenderaan. Nanti lebih banyak kenderaan daripada jalan raya," jelasnya.  
  
Noor Azlan berkata, ini dapat dilihat di negara-negara maju di mana rakyatnya tidak perlu memiliki kenderaan kerana sistem pengangkutan negara berkenaan begitu efisien.
  
Beliau berkata, adalah lebih baik Malaysia mencontohi sistem pengangkutan awam negara maju daripada menurunkan harga kenderaan.
  
Sementara itu, Pengerusi Pusat Kajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Madya Dr Fuad Mohd Jali berkata,  Bajet 2013 menunjukkan komitmen Perdana Menteri untuk merealisasikan aspirasi negara seperti yang dijanjikannya sebelum ini.
  
Bajet 2013 membantu memberikan golongan tua dan muda di negara ini menikmati hidup yang lebih sejahtera, katanya.
  
Ia juga mampu memberi kesan positif terhadap pandangan rakyat kepada kerajaan, katanya dalam perbincangan kedua bertajuk "Mentransformasikan Sosio Politik Negara".
  
"Malah sebelum Bajet 2013 dibentangkan, transformasi yang dilakukan kerajaan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA) sudah menunjukkan hasil positif," katanya.  - Bernama
'Saya tidak anti bahasa asing'
ROSMIZA KASIM
2 Oktober 2012
'Saya tidak anti bahasa asing'
Nik Aziz (tengah) ditemani Awang (kiri) ketika menyempurnakan perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 peringkat Negeri Kelantan semalam.
KOTA BHARU-Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam menegaskan bahawa beliau tidak sesekali bersikap anti kepada bahasa asing bahkan baginya amat perlu untuk mempelajarinya.

Nik Abdul Aziz berkata, orang ramai perlu mempelajari bahasa asing terutamanya bahasa Arab yang merupakan bahasa mulia serta bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa.

Namun baginya, sekiranya menidakkan keperluan Bahasa Melayu sehingga menjadikannya kelas kedua di tanah air sendiri hakikatnya merupakan satu tindakan yang akan menghakis ketuanan bahasa tersebut.

“Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perlu diperkasakan dengan sehebat mungkin. Malah saya malu dan kesal terhadap sikap segelintir daripada kita yang lebih gemar bertutur dengan bahasa asing di dalam majlis kita dalam  kalangan kita sendiri.

“Ini  kerana persepsi kononnya bercakap dengan bahasa asing lebih moden dan lebih dihormati. Akhirnya, wujudlah sindrom bercakap guna bahasa campuran. Melayu pun tidak, Inggeris pun tidak,” katanya dalam ucapan perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 peringkat Negeri Kelantan di sini, semalam.

Hadir sama pada program itu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Awang Sariyan dan Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan.

Sehubungan itu, dalam memperkasakan Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan, beliau mencadangkan ia dijadikan sebagai bahasa ilmu.

“Sekarang ini ilmu dipelajari di seluruh dunia jarang sekali disusun di dalam Bahasa Melayu. Kita lebih mengenali bahasa asing sebagai bahasa ilmu.

Ini ditambah pula dengan langkah janggal sebahagian daripada kalangan orang Melayu sendiri yang mengambil langkah ke belakang dengan memansuhkan bahasa Melayu di dalam beberapa subjek di sekolah.

“Tanpa disedari, langkah seperti ini sebenarnya lambat laun akan memusnahkan ketuanan Bahasa Melayu di kalangan rakyat Malaysia sendiri. Alhamdulillah, langkah ini telah ditarik balik selepas terbukti ia tidak sesuai dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan tulisan jawi selaku tulisan asal kepada bahasa Melayu dan katanya, di Kelantan, selaku pemerintah pihaknya mewajibkan setiap papan tanda yang ingin dipaparkan hendaklah mengandungi tulisan jawi.

“Hari ini, dalam pada kita bercakap soal pemerkasaan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan, di manakah pula keprihatinan kita di dalam memartabatkan tulisan jawi? Oleh itu, saya amat mengharapkan pihak berwajib dapat melipatgandakan usaha meningkatkan penguasaan tulisan jawi di kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

“Jika tidak, tidak mustahil kita akan menyaksikan tulisan ini pupus dan masyarakat masa depan hanya akan mengenali tulisan rumi selaku tulisan bahasa Melayu,” katanya.

Tiada ulasan: