Khamis, 11 Oktober 2012

BILA BANYAK BADAN2 BERKANUN/SYARIKAT2 KERAJAAN BERPENYAKIT@BERMASALAH... MUNGKIN INI DISEBAB TAK PANDAI URUS ATAU SALAH URUS...NI JUGA DISEBABKAN KEGAGALAN PIHAK YANG BERKUASA MEMIMBING@MEMANTAU UNTUK MENCAPAI KEJAYAAN...DAN MUNGKIN BERLAKU PENYELEWENGAN

Halakan senapang kepada musuhmu...

Harakahdaily, 10 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Semua ahli dan pemimpin PAS dinasihatkan supaya "Halakan peluru kepada musuhmu dan jangan kamu halakan muncung senapangmu kepada kawanmu."

Nasihat ini dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Nasihat itu dikeluarkan dalam posting terbaru Facebooknya hari ini.

“Halakan peluru kepada musuhmu, dan jangan kamu halakan muncung senapangmu kepada kawanmu. Walau tiada peluru di dalamnya sekalipun,” tulis Tuan Ibrahim di laman Facebooknya.

Bagi beliau, tiada perlu yang diulaskan mengenai nasihat di atas, yang pastinya para pemimpin PAS dan ahlinya faham maksud tersirat yang perlu disampaikan.

Royalti: Program R dan Amanah di Bachok 13 Okt

Harakahdaily, 10 Okt 2012
KUALA LUMPUR: R Malaysia dan Amanah Merdeka Malaysia (Amanah) bersetuju untuk mengadakan program bersama bagi menerangkan isu Tuntutan Royalti dan Pendaratan Minyak & Gas ke Bachok yang dinafikan sejak 1990-an lagi.
Setiausaha R Malaysia, Mohd Hisyamuddin Ghazali dalam satu kenyataan berkata, Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang yang juga Pengasas Petronas, yang menandatangani Perjanjian Petronas dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohammad Nasir pada 9 Mei 1975 lalu dan DatUK Husam Musa, Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti & Pendaratan Gas Negeri Kelantan juga telah mengesahkan kehadiran ke Ceramah Mega R dan Amanah Rakyat di Padang Istiadat, Bachok pada 9 malam, 13 Oktober ini.

Katanya, program yang bermula dengan Konvoi R Tuntut Royalti dari Kota Bharu ke Bachok yang melibatkan lebih 500 buah motosikal dengan mengibarkan bendera R dan memakai baju T dengan logo "R" dan "Amanah".

Ujarnya, dalam program itu nanti akan mengadakan jamuan rakyat di tempat yang sama bermula jam 12 tengah hari, pemberian sumbangan hamper kepada fakir miskin, golongan OKU, pelajar cemerlang dan mereka yang memerlukan bantuan sekitar Bachok.

Presiden R Malaysia, katanya Nazri Deraman juga akan hadir memberikan ucapan berkaitan gerakan R yang kini menjadi fenomena luar biasa kebangkitan rakyat Kelantan menuntut royalti yang kini berjumlah RM10.4 billion selepas kejayaan program mega R Tuntut Royalti ke Putrajaya tempoh hari.

Pengerusi Amanah Kelantan, Dr Zaiyadi Awang Noh juga akan hadir memberikan ucapan pada malam tersebut.

Menurutnya, bagi mengiatkan lagi usaha tuntutan royalti pihaknya akan mengadakan  program seluruh negara iaitu pada 12 Oktober sempena perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Kelantan dengan Selangor di Stadium Shah Alam.

“Pada program ini pihak R akan mengedarkan lebih 20,000 keping sticker “R” yang menjadi rebutan anak muda Kelantan masa kini,” katanya.

Katanya lagi, pada 13 Oktober, serentak program di Bachok, R juga mengadakan Konvoi R Tuntut Royalti Di Malaysia Utara (Kedah–Perlis) di mana sebanyak 500 buah kenderaan bermula di Alor Setar, Kedah dan berakhir di Kuala Perlis melibatkan anak-anak perantauan di kedua-dua negeri itu.

Anak mahu pastikan generasi kedua miliki rumah

Anis Nazri, 10 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Bagi memastikan anak peneroka generasi kedua memiliki rumah kediaman mereka, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menggesa satu jawatankuasa khas ditubuhkan berhubung pembinaan rumah tersebut. Pengerusinya, Mazlan Aliman, berkata jawatankuasa itu perlu ditubuhkan memandangkan ketika ini anak peneroka yang dikategorikan sebagai 'selesa' mendapat manfaat darinya.
Sedangkan, tambah Mazlan, rumah untuk generasi kedua itu mensasarkan anak-anak peneroka yang kurang berkemampuan bagi memiliki rumah berkenaan.
"Tidak mengapa mereka dapat rumah itu, tetapi sasaran untuk generasi kedua yang menetap di situ tidak tercapai. Yang selesa, mereka ada kelebihan dengan slip gaji yang memudahkan mereka membuat pinjaman, berbanding dengan mereka yang meneroka," jelas Mazlan.
Beliau berkata pada satu sidang media yang diadakan di lobi parlimen, hari ini. 

Turut serta pada sidang media tersebut ialah Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.
Mengulas lanjut perkara tersebut, Mazlan berkata biarpun bajet 2013 memperuntukkan sebanyak RM 1.5 bilion bagi pembinaan rumah bagi generasi kedua, perkara itu sudah lama heboh diperkatakan sejak 20 tahun lalu.
"Sejak 20 tahun lalu perkara berkaitan rumah untuk generasi kedua diperkatakan.  Apa tindakan susulan kerajaan? Bagaimana proses unuk membangunkan rumah tersebut dilakukan?
"Justeru, selain satu jawatankuasa khas ditubuhkan, saya juga mencadangkan Koperasi Permodalan Felda (KPF) diberi hak untuk membina rumah tersebut dengan satu pelan yang benar-benar menepati sasaran," tegas Mazlan lagi.
Rancangan perumahan bagi generasi kedua Felda turut menjadi salah satu agenda yang diperjuangkan Anak sejak ia ditubuhkan pada Nov 2009.

Kenapa Felcra belum bayar RM200 juta kepada Kedah?

Muhammad Faizal, 10 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) sehingga sekarang masih belum membuat pembayaran keuntungan RM200 juta kepada Kerajaan Negeri Kedah.

Perkara itu diungkit Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria sewaktu membahaskan Bajet 2013 di Dewan Rakyat.

Mohd Nasir turut mempersoalkan tindakan Felcra yang juga dilihat bermusuhan dengan kerajaan negeri apabila sehingga sekarang belum hadir mesyuarat yang diadakan oleh pihak Menteri Besar mahupun kerajaan negeri.

"Saya ingin meminta kepastian dan penjelasan kenapakah sehingga sekarang belum ada pembayaran keuntungan RM200 juta dibuat kepada Kerajaan Negeri Kedah.

"Malah dalam masa yang sama saya juga melihat seolah-olah Felcra ingin 'berperang' dengan kerajaan negeri apabila tidak menghadiri mesyuarat yang diadakan oleh pihak kerajaan negeri," katanya.

Tambahnya lagi, keengganan Felcra mahupun kerajaan menyerahkan hak milik kerajaan negeri sebanyak RM200 juta itu menimbulkan persoalan.

Malah menurut beliau lagi, terdapat perjanjian yang dibuat yang mana ada ladang-ladang yang dibangunkan oleh Felcra yang sebahagiannya diambil daripada tanah-tanah yang diusahakan oleh orang kampung.

"Dijanjikan oleh pemimpin-pemimpin politik pada ketika itu akan diberi keutamaan kepada pengusaha-pengusaha tanah yang asal yang kebun mereka sudah pun boleh mengeluarkan hasil.

"Tetapi itu tidak diberikan kepada pengusaha-pengusaha malah hasil yang dikatakan ada perjanjian 60 peratus untuk kerajaan negeri dan 40 peratus kerajaan pusat itu turut tidak diterima oleh kerajaan negeri," jelas beliau lagi.

Beliau yang berharap Felcra dan kerajaan pusat dapat bertindak dengan membuat pembayaran tersebut agar ia dapat digunakan untuk tujuan pembangunan serta keperluan rakyat di Kedah.

Kertas putih hutang Talam akan dihebah kepada umum

Harakahdaily, 10 Okt 2012
SHAH ALAM: Kertas putih mengenai kutipan hutang Talam telah diserahkan kepada Pejabat Dewan Negeri Selangor bersama-sama dengan laporan audit oleh KPMG dan dokumen-dokumen lain yang berkaitan dengan pembayaran hutang oleh Talam kepada kerajaan negeri.
“Kertas putih ini akan dihebahkan kepada umum selepas dibentangkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor selewat-lewatnya pada 19 November depan,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan.

Katanya, orang ramai yang berminat untuk melihat dokumen ini perlu memohon kepada pejabat Dewan Negeri Selangor selepas ia dibentangkan.

Sementara itu, jelasnya siri jelajah penerangan mengenai hutang Talam ke seluruh negeri akan bermula Sabtu ini, 13 Oktober di Kajang.

Siri jelajah itu, ujarnya  diadakan secara serentak pada setiap malam Sabtu yang mana empat jurucakap rasmi yang dilantik kerajaan negeri akan berada di tempat berbeza untuk menyampaikan pembentangan.

Katanya, kerajaan berharap agar rakyat Selangor yang masih belum memahami isu Talam ini menghadiri sesi penerangan ini untuk mendapatkan maklumat yang betul dan tepat.

Menurutnya, pembentang akan menerangkan dari awal hutang ini terjadi sehinggalah kaedah yang digunakan untuk mengutip kesemua hutang RM392 juta.

“Kita akan menerangkan juga bagaimana hasil kutipan ini dikembalikan semula kepada rakyat Selangor menerusi program-program di bawah Geran Selangorku terutamanya  membaiki infrastruktur dan kemudahan asas lain.

“Dalam perkembangan lain, saya masih menunggu perkenan DYMM Sultan Selangor berhubung cadangan mengadakan sidang khas dewan sebelum 19 November.

“Sekiranya cadangan ini mendapat perkenan DYMM Sultan, kita akan bentangkan kertas putih mengenai kutipan Talam pada sidang khas ini bersama-sama dengan satu kertas putih mengenai penstrukturan semula air,” jelasnya.

Katanya lagi, kertas putih penstrukturan semula air ini mengandungi segala dokumen hasil perbincangan dengan kerajaan Pusat dan segala surat menyurat yang menunjukkan kerajaan negeri amat komited untuk mengambilalih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi.

Beliau menjelaskan, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, satu laporan mengenai Program Pendemokrasian “Selangorku Bersih” juga akan dibentangkan pada sidang khas dewan ini.

“Selepas pembentangan ini, kerajaan negeri akan menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan perjumpaan bagi membincangkan hasil kajian yang menemui 110,000 nama pengundi yang diragui dan gagal dikesan,” katanya.

Baling kasut: Imam Hoslan dibebas esok

Salmiyah Harun, 10 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Imam Hoslan Hussin, 46, yang dijatuhi hukuman penjara selama setahun ekoran membaling selipar terhadap tiga hakim Mahkamah Persekutuan dijangka akan dibebaskan tengah hari esok.

Perkara itu turut disahkan oleh Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS (Juham) Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami.

Menurut Ahmad Zamri, Hoslan yang menjalani hukuman di penjara Kajang dibebaskan awal dari tarikh yang sepatutnya iaitu kurang dari lima bulan tempoh sebenar.

"Beliau didapati berkelakuan baik, dan dibebaskan awal. Beliau menerima hukuman lebih dari enam bulan sahaja. Kita akan jemput beliau di penjara Kajang esok, " katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Hoslan yang dijatuhkan hukuman setahun bermula pada 8 Mac lalu, selepas Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datin Paduka Zaharah Zahari mendapati dia bersalah menghina mahkamah.

Ekoran pembebasan Hoslan, Juham akan mengadakan majlis kesyukuran pada malam esok bertempat di Surau PPR Chochrane.

Hoslan yang pernah menjadi imam ratib Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan bertindak membaling selipar ke arah ketiga-tiga panel hakim ketika mahkamah bersidang di Mahkamah Persekutuan I, Istana Kehakiman, antara 10.15 pagi dan 10.30 pagi pada 22 Feb lepas.

Dalam kejadian itu, Hoslan gagal mendapat kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahihan tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengosongkan unit kuarters yang didudukinya selepas pelantikannya sebagai imam ditamatkan, empat tahun lalu.

Ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, dia bertindak membaling sepasang selipar pada panel hakim dan satu daripadanya terkena Timbalan Pendaftar yang bertugas.

Bajet pakatan, ekonomi rakyat – negara berkat

Subky Latif, 10 Okt 2012
Pakatan Rakyat adalah kerajaan menunggu. Apabila membentangkan versi bajetnya, tiadalah yang dapat dikuatkuasakannya selagi jadi kerajaan menunggu.

Lalu diperli BNlah, berangan-anganlah.

Tetapi ia adalah persediaan apabila Putrajaya dapat dibebaskan selepas PRU13 kurang daripada enam bulan dari sekarang. Apabila bertukar saja ia dari status kerajaan menunnggu kepada kerajaan betul, maka bajetnya itu akan diisinyalah.

Semua yang digaris dalam bajet itu adalah menjuruskan kepada keperluan ekonomi tuan punya Negara ini iaitu rakyat. Apabila ia diisi dengan keperluan rakyat, maka moga-moga negara pun berkat.
Ia menuju kepada sebuah negara yang berkat. Kerajaannya adalah kerajaan dunia, tetapi menyediakan segala yang diperlukan oleh orang yang hendak  ke akhirat.

Doa dalam tema bajet itu ialah mencari sebuah negara yang  berkat. Berkat itu adalah kata-kata menuju akhirat. Iaitu mencari kesenangan di dunia dan kesenangan di akhirat.

Itulah matlamat hidup Islam. Bagi orang Islam ia dapat semua – kesejahteraan di  dunia dan di akhirat. Ia juga dengan sendirinya menjadi dunia yang disenangi oleh orang bukan Islam, baik mereka rakyat dan yang bukan rakyat yang bertandang ke sini.

Itulah tema dan persedia untuk menjadi sebuah negara berkebajikan. Pengisian terperincinya, bacalah keterangan pembentangan Ketua Pembangkang atas bajet itu.

Ia memberi tempoh kurang daripada enam bulan dari sekarang kepada penguasa yang ada sekarang untuk berbuat apa-apa yang suka sebelum Putrajaya terlepas daripada tangan.

Inilah masa untuk melarikan apa-apa yang ada di Petronas dan apa-apa  yang boleh dicapai sebelum kerajaan menunggu mengambil alih kerajaan.

Lepas itu, Petronas tidak boleh buat apa-apa yang ia suka lagi. Ia akan ikut apa yang aktanya mahu dan apa-apa yang ia suruh buat.

Negeri yang berminyak iaitu Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan sedang menunggu akan ada syarikat minyak dan gasnya sendiri yang dinaungi oleh pentadbiran baru Petronas.

Berkata mereka itu, apalah untungnya Petronas selepas  ini? Negeri yang ada minyak akan ambil panggunya dulu. Royalti terjamin dan untang syarikat pula melapangkan lagi. Yang Petronas dapat, tidak lagi akan dibolot klik Qarun seperti yang bersarang dalam Pertamina di seberang Selat Melaka dulu.

Pada peringkat mula ini, sekalian lintah darat yang gerun hilang harta Qarun yang disedutnya selama ini menakutkan orang-orang awam tentang banyaknya tawaran percuma yang hendak diberi kerajaan menunggu.

Tiada lagi pinjaman PTPTN. Boleh mengaji percuma, boleh lalu lebuhraya tanpa tol, motokar sudah murah kerana tidak banyak cukai  lagi.

Cukup duitkah kerajaan? Royalti minyak naik sampai 20 peratus. Dulu semua duit masuk pada Petronas, lepas ini sebahagiannya diniagakan oleh syarikat negeri berminyak itu. Cukupkah duit?

Memang banyak yang kerajaan terpaksa tanggung bagi menampung segala pampasan konsesi lebluhraya dan lain-lain. Tetapi ketirisan dan duit yang disapu oleh lintah darat dan segala tumbuk rusuk lebih banyak lagi. Dengan segala beban yang kerajaan tanggung itu jadi sikit dibandingkan dengan yang lintah darat hisap.

Adapun kerajaan menunggu itu tiadalah memfaraidkan duit kerajaan dan duit rakyat. Segala-galanya akan dicurahkan balik kepada rakyat. Apabila rakyat tak payah bayar tol, belajar percuma, motokar murah dan minyak murah. Banyak duit mereka lebih.

Yang takut dengan bajet Pakatan itu ialah lintah darah dan klik Qarun. Rezeki sempit. Tetapi rakyat awam Insya-Allah akan dilimpahi barakah.

Genting Berhad diminta nafi miliki saham FGV

Anis Nazri, 10 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Genting Berhad digesa memberi penjelasan sama ada pihaknya memiliki atau pernah memegang saham Felda Global Ventures Holding (FGV), atau sebaliknya.

Gesaan itu dibuat Pengerusi Pertubuhan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman ekoran penafian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, baru-baru ini.

Menurut Mazlan, sekiranya benar Genting Berhad tidak mempunyai sebarang pegangan saham dalam FGV, syarikat besar itu boleh menafikan secara jelas berhubung dakwaan tersebut.

"Tapi, hingga saat ini, tiada sebarang pendirian atau jawapan daripada Genting Berhad bagi mengesahkan atau menafikannya.

"Sedangkan, Ahmad mengatakan tidak ada satu peratus pun saham Genting dalam FGV ketika menafikannya," tegas beliau pada satu sidang media, di lobi parlimen, hari ini.

Pada sidang media itu juga, Mazlan turut menunjukkan statistik yang dikeluarkan Bloomberg Peers, yang tertera syarikat terbabit memiliki 407, 005, 000, yang jika dijumlahkan bernilai hampir RM 2 bilion.

Sementara itu, Mazlan turut mendesak Ahmad agar memikirkan secara serius berhubung kedudukan saham FGV yang kini berada pada tahap RM 4.75.

"Dari bicara soal remeh seperti status Anak, adalah lebih baik beliau dan kerajaan berfikir mekanisme terbaik bagi membantu pemegang saham, khususnya para peneroka," tegas beliau lagi.

Kes Mat Sabu lwn Utusan: Saksi utusan di'gril'

Harakahdaily, 10 Okt 2012
PULAU PINANG: Perbicaraan kes fitnah yang difailkan oleh Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu ke atas Utusan Malaysia mendedahkan banyak perkara baru yang boleh dilihat dakwaan pihak penjajah British bahawa Mat Indera adalah seorang komunis adalah sangat-sangat diragui.

(Dr Karl Hack yang dibawa Utusan untuk mempertahankan dakwaannya)


Pada perbicaraan yang berlangsung pada hari isnin dan semalam di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pihak Utusan nampaknya bersungguh untuk mempertahankan dakwaan dan tuduhan bahawa Mat Indera adalah seorang komunis.

Mereka memanggil seorang ahli sejarah kelulusan Universiti Oxford, Dr.Karl Hack untuk membantu dakwaan itu.

Dalam keterangannya saksi orang Inggeris tersebut mendakwa berdasarkan rujukan beliau dari keterangan Mat Indera yang diberikan kepada polis British pada tahun 1950, beliau berpendapat Mat indera adalah seorang komunis.

Perbicaraan tersebut menjadi panas apabila peguam Mat Sabu, Hanipa Maidin mempertikaikan pendapat Dr Hack.

Ketika menyoal balas saksi tersebut, Hanipa mempersoalkan bahawa bukan di dalam tugas dan skop bidang beliau untuk menentukan ideologi seseorang termasuk Mat Indera, namun saksi menolak saranan Hanipa tersebut.

Hanipa menyatakan "Dr Karl Max (maaf saya maksudkan Dr Karl Hack), saya katakan bahawa bagi menentukan sama ada seseorang seperti Mat Indera sebagai komunis atau tidak, tidak cukup untuk anda sekadar memahami ideologi komunis, anda juga perlu tahu tentang Islam khususnya ajaran islam tentang sikap orang Islam terhadap penjahan?"

Saksi menjawab "bagi saya tidak perlu".

Hanipa menyatakan hanya kerana Mat Indera bersama Partai Komunis Malaya, tidak semestinya beliau adalah seorang komunis kerana pada masa itu tahun 1950 semua pertubuhan selain Umno telah diharamkan.

(Hanipa mengiringi Mohamad Sabu)

Hanipa bertanya "setuju pada masa itu semua organisasi yang melawan British telah diharamkan kecuali Umno?"

Saksi bersetuju.

Hanipa menyoal "Setuju dengan saya Mat Indera hanya menggunakan platform PKM untuk memerangi British kerana pada masa itu pertubuhan-pertubuhan lain kecuali Umno diharamkan British.

"Adakah anda tahu dalam Islam adalah wajib bagi orang Islam melawan penjajah dan bagi tujuan itu mereka dibenarkan bersama-sama dengan mana-mana pihak yang lain termasuk dengan pihak bukan Islam yang juga mempunyai tujuan yang sama?"

Dr Hack menjawab "Mengapa beliau (Mat Indera) tidak guna cara lain, Mat Indera menyokong revolusi dan istilah revolusi adalah istilah komunis."

Hanipa lantas bertanya "Bagaimana pula revolusi Iran, adakah ia juga komunis?"

Hakim Datuk Seri Zakarian Sam juga bertanya saksi "bagaimana pula revolusi Perancis?
Saksi akhirnya mengakui dia tersilap.

Peguam Utusan Datuk Hafarizam Haron pula membantah tindakan Hanipa mempersoalkan krebiliti laporan Dr Hack dan menyatakan jika Hanipa ingin menyatakan bahawa Mat Indera adalah bukan komunis kerana menentang penjajah beliau perlu panggil saksi pakar dia iaitu ulama Islam bagi memberikan pendapat tentang hukum menentang penjajah.

Hanipa menjawab "Yang Arif, kita tidak perlu panggil ulama untuk beritahu perkara yang jelas, orang Islam perlu tahu mementang penjajah yang datang menjajah negara kita adalah satu jihad yang wajib.
"Maka tidak perlu panggil ulama untuk perkara itu."

Saksi juga mengakui bahawa beliau tidak mengambil maklumat tentang bagaimana kenyataan Mat Indera kepada pihak Polis British diambil dan samada ada unsur ancaman, ugutan dan pujukan.

Beliau juga bersetuju beliau juga tidak merujuk kepada pendapat pakar sejarah yang lain yang mengatakan Mat Indera adalah bukan seorang komunis.

Tiada ulasan: