Selasa, 9 Oktober 2012

BERSYUKUR PADA ALLAH BUKAN PADA MANUSIA...BERTERIMA KASIH BOLEH LAH...BAGAIMANA PENIPUAN...PENINDAS DAN KEZALIMAN...SAMPAI ADA YANG MINTA MAAF PADA SESEBUAH NEGERI DIMALAYSIA...ALLAH TAHU SAPE ZALIM DAN KAKI BUAT MUNGKAR...

Karpal tetap mahu saman Nasharudin
JAMILAH HAMZAH
8 Oktober 2012
karpal-singh
Karpal Singh
KUALA LUMPUR - Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh menegaskan bahawa beliau tetap akan meneruskan prosiding fitnah terhadap bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Bagaimanapun beliau belum menetapkan tarikh kes itu akan difailkan.

Menurutnya, disebabkan kekangan masa dan kerja, beliau tidak mempunyai kesempatan untuk meneruskan prosiding menyaman fitnah terhadap Nasharudin.

Katanya, "Ya akan, mana boleh tak mahu, saya belum tetapkannya lagi bila."

"Saya ada banyak masalah dan kerja di mahkamah, ikut undang-undang saya ada masa selama enam tahun untuk membuat perkara itu (saman fitnah)," kata beliau kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
Sebelum ini, pada Ogos lalu, Karpal memulakan prosiding fitnah terhadap Nasharudin ekoran kenyataannya berhubung isu hudud dan Islam.
"Kenyataan Nasharudin bahawa saya bukan hanya menentang hudud malah menentang Islam, adalah tidak bertanggungjawab, tidak berasas dan kejam," katanya sebelum ini.

Membalas kenyataan dua bulan itu, Nasharudin dilaporkan akan menunggu tindakan Karpal di mahkamah dan turut mencabarnya untuk terus mengambil tindakan di mahkamah.

Justeru, Karpal  yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata prosiding akan diteruskan mengikut keadaan yang sesuai.

"Saya akan teruskan, dalam masa terdekat tetapi ikut keadaanlah.

"Saya bukan melewatkan hal itu, dan mungkin tidak berapa lama lagi," katanya lagi.
Pemimpin PKR Selangor desak Faekah letak jawatan
AHMAD NORMAN ABU TALIB
8 Oktober 2012
Borhan Aman Shah
Borhan (tengah) mendesak Faekah meletak jawatan pada sidang media di sini semalam
SHAH ALAM – Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Borhan Aman Shah mendesak Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin meletak jawatan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan boleh mencetuskan kekeliruan dan salah faham dalam Pakatan Rakyat (PR).

Borhan berkata, desakan itu dibuat kerana Faekah didakwa mengkritik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali secara terbuka menerusi sebuah portal berita baru-baru ini.

Menurutnya, beliau berharap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dapat mengambil tindakan terhadap isu tersebut.

“Kami selaku pemimpin-pemimpin PKR Selangor mendesak agar pimpinan pusat mengambil tindakan keras terhadap Faekah.

“Faekah perlu meletakkan jawatannya dengan serta-merta dan kami faham kuasa penuh ada di tangan Menteri Besar untuk membuat sebarang keputusan mengenainya,” katanya pada sidang media di pejabat PKR Selangor di sini semalam.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Azmin mengeluarkan kenyataan Abduk Khalid akan dilantik sebagai menteri pusat sekiranya PR berjaya merampas Putrajaya.

Dalam pada itu, Azmin menafikan membuat kenyataan seperti itu dan Faekah mempersoalkan niatnya itu.

Tindakan Faekah itu menyebabkan beliau ditegur oleh Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei.

Faekah diingatkan supaya tidak memberi kenyataan secara membuta tuli kerana boleh mengeruhkan lagi hubungan antara pimpinan parti.

Borhan berkata, beliau mempersoalkan tindakan Faekah mengkritik Azmin secara terbuka kerana dia tidak mempunyai sebarang jawatan di dalam parti.

Katanya, Faekah perlu ingat bahawa Azmin mengeluarkan kenyataan berdasarkan kapasiti selaku timbalan presiden, pengerusi majlis pimpinan negeri merangkap pengarah pilihan raya.

“Perkara ini dah berlaku berulang kali dan kita harap Faekah lebih teliti pada masa akan datang sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Sebarang komen perlu dirujuk terlebih dahulu kerana kita khuatir perkara seumpama ini boleh menimbulkan pertelingkahan,” katanya.

Dalam pada itu, semalam Sinar Harian Online melaporkan Faekah mengambil pendirian tidak akan mengulas lagi isu melibatkan kedudukan Menteri Besar.

Faekah juga akur dengan teguran kepimpinan PKR supaya tidak membuat kenyataan balas mengenai isu berkenaan.
Saman selesai selepas Chamil dan Utusan mohon maaf dengan Teresa Kok

8 Oktober 2012
KUALA LUMPUR - Saman fitnah RM30 juta yang difailkan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim terhadap kolumnis Utusan Malaysia Datuk Chamil Wariya dan Utusan Melayu Sdn Bhd diselesaikan hari ini kedua-dua defendan memohon maaf secara terbuka kepada ahli politik itu.

Kedua-dua kenyataan maaf dibacakan di mahkamah terbuka oleh peguam Zalil Mohd Mess yang mewakili Chamil, yang juga Ketua Eksekutif Institut Akhbar Malaysia dan T.K.B. Mohana Kumar yang mewakili Utusan Melayu, sebagai sebahagian daripada penyelesaian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.

Peguam Kok, S.N.Nair memaklumkan mahkamah bahawa berdasarkan terma penyelesaian, defendan pertama (Chamil) perlu membaca permohonan maaf itu di mahkamah terbuka tanpa sebarang perintah atau kos.

Bagaimanapun, defendan kedua (Utusan Melayu) perlu membaca permohonan maaf itu dan membayar kos RM50,000 kepada Anggota Parlimen itu dan juga menerbitkan permohonan maaf itu dalam halaman sastera Mingguan Malaysia.

Dalam saman yang difailkan pada 12 Dis, 2008, Kok, yang juga exco kerajaan negeri Selangor, menamakan Chamil, penyumbang artikel bertajuk "Politik Baru YBJ" dan Utusan Melayu Sdn Bhd, yang menerbitkan artikel itu, sebagai defendan.
 
Kok mendakwa artikel dalam Mingguan Malaysia itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa beliau adalah seorang politik yang anti-Islam dan anti-Melayu.

Terdahulu Zalil semasa membacakan permohonan maaf itu berkata anak guamnya ingin menjelaskan bahawa karya fiksyen genre cerpen yang tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia itu bukan lagi karya aslinya dan sebilangan watak dalam cerpen itu telah diubah dan tidak sama dengan watak-watak tertentu dalam karya asalnya.

Zalil berkata segala pindaan yang dilakukan bukan sahaja tidak mendapat persetujuan Chamil malah beliau juga tidak dihubungi atau dimaklumkan langsung.

Sementara itu, Mohana membantah kenyataan Chamil yang dimasukkan dalam permohonan maaf itu dan meminta mahkamah merekodkannya.

Ketika membacakan permohonan maaf itu, Mohana berkata dalam melaksanakan hak sebagai penerbit akhbar Mingguan Malaysia, pihaknya telah menukar beberapa nama dalam skrip asal cerpen itu tanpa mengubah jalan ceritanya.- Bernama
Pemandu teksi mati ditikam di perut, kepala
AHMAD ISMADI ISMAIL
8 Oktober 2012
Pemandu teksi mati ditikam di perut, kepala
Anggota forensik memeriksa mayat pemandu teksi di Cheras, malam ini.
KUALA LUMPUR - Mayat seorang pemandu teksi ditemui dengan keadaan berlumuran darah serta beberapa kesan tikaman dipercayai dibunuh sekumpulan lelaki di kawasan perkuburan Kristian Jalan Kuari, Cheras di sini, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an itu ditemui orang awam yang melalui jalan pintas di kawasan jirat itu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa dipercayai ditikam di perut serta cedera di kepala.

"Mangsa cuba melarikan diri sejauh kira-kira 200 meter dari teksinya selepas ditikam oleh lebih seorang suspek di dalam teksi berkenaan berikutan penemuan kesan darah di tempat duduk pemandu," katanya.

Menurutnya, dokumen pengenalan diri mangsa juga tidak ditemui dan kita percaya ia dilarikan suspek bersama barang berharga mangsa.

"Polis turut menemui dua bilah pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek, sebilah pisah ditemui berhampiran dengan teksi dan sebilah lagi di lokasi mayat mangsa terbaring," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan
Mahathir: Orang Melayu perlu syukur dengan jasa BN

8 Oktober 2012
Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
MELAKA - Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa bimbang dengan sikap orang Melayu, khususnya generasi muda yang tidak bersyukur dan menghargai jasa kerajaan selama ini dalam memberi keselesaan kepada mereka.
 
Bekas Perdana Menteri itu berkata sebaliknya golongan tersebut menolak dan menuduh kerajaan sebagai "penindas".
 
Sebagai contoh katanya, apabila mereka dihantar belajar ke luar negara dan pulang ke tanah air, mereka menolak kerajaan yang memberi nikmat kepada mereka kononnya kerajaan tidak adil dan menindas orang lain.
 
"Kalau kita bersyukur, akan mendapat banyak lagi nikmat, sebab itu, kita perlu selalu bersyukur sekali gus dapat membentuk masyarakat yang baik dan mampu berjaya," katanya ketika sesi soal jawab pada majlis sarapan bersama alumni Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah Melaka 1982-1986, di sini hari ini.
 
Katanya ramai dalam kalangan generasi muda juga mudah terpengaruh dengan pihak tertentu dan gagal menggunakan pengetahuan mereka dengan bijaksana.    

"Selain daripada ilmu pengetahuan, apa yang lebih penting ialah nilai moral kerana ilmu saja tidak akan membentuk mereka menjadi sesuatu yang baik...ilmu tidak menjamin generasi muda dan akan datang untuk memimpin kemajuan negara," katanya.
 
Sehubungan itu katanya pelajar perlu disemai dengan nilai-nilai positif serta mempelajari sejarah agar mampu mempertahankan diri daripada pengaruh negatif.
 
Dr Mahathir berkata pembangunan dan keharmonian dikecapi hari ini tidak akan kekal jika rakyat hidup dalam suasana bertelagah dan berpecah-belah.
 
Keamanan dan keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum merupakan anugerah yang tidak ternilai kerana tidak semua negara menikmatinya, katanya. - Bernama
PR bukan hendak ambil alih Petronas
RUZY ADILA IDRIS
8 Oktober 2012
Mustafa Ali
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
SHAH ALAM – Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menjelaskan semua pihak tidak bimbang mengenai cadangan perikatan mahu menubuhkan syarikat minyak dan gas jika berjaya mengambil alih Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, walaupun kerajaan PR menubuhkan syarikat berkenaan, kedudukan dan hak syarikat pengeluar minyak nasional Petronas tidak akan terjejas.

Mustafa, pemimpin Pas dari Terengganu berkata, penubuhan syarikat itu tidak akan melibatkan kerja-kerja Industri Huluan Petroleum yang dijalankan oleh Petronas sebelum ini, sebaliknya hanya membabitkan kerja-kerja Industri Hiliran Petroleum.

“PR hanya hendak menubuhkan syarikat dan bukannya mengambil alih tugas ataupun hak Petronas.

“Keuntungan pada kadar 20 peratus itu yang bersamaan RM12.5 bilion akan digunakan untuk pembangunan negeri-negeri pengeluar minyak seperti Kelantan, Sabah, Sarawak dan Terengganu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Kelmarin, Tengku Razaleigh Hamzah menasihatkan PR mengkaji peruntukan akta sedia ada sebelum mewujudkan syarikat petroleum dan gas di negeri-negeri pengeluar minyak itu.

Pemimpin veteran yang mengasaskan Petronas itu berkata, syarikat tersebut tidak boleh mengambil hasil minyak negara kepunyaan Petronas, mengikut Akta Kemajuan Petroleum 1974, yang menyatakan dengan jelas kedudukan royalti minyak untuk Kelantan dan negara-negeri lain.

"Ia boleh dilakukan dan akan mendapat sambutan daripada orang ramai tetapi mungkin syarikat yang dicadang ini tidak boleh disamakan dengan Petronas.

"Di mana Petronas memiliki minyak yang diperoleh daripada kerajaan pusat dan kerajaan negeri kerana milikan itu sudah berpindah kepada Petronas di bawah Akta Kemajuan Petroleum sebelum ini," katanya yang mesra dengan panggilan Ku Li yang juga Ahli Parlimen Gua Musang.

Tambah Mustafa, manfaat daripada keuntungan dari syarikat itu nanti akan disalurkan kepada kerajaan negeri untuk tujuan pembangunan neger-negeri berkenaan.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, Ku Li tidak meneliti dengan baik perkara yang dimaksudkan oleh PR mengenai penubuhan syarikat itu.

Ujar Tian Chua, penubuhan syarikat itu oleh PR bukanlah bertujuan untuk mengambil alih Petronas sebalik syarikat itu juga dapat menyertai dalam tander-tander yang membabitkan projek penggalian dan penapisan.

“Mungkin syarikat-syarikat itu juga boleh mendapat kontrak seperti di Timur Laste dan Brunei.

“Secara tidak langsung, keuntungan itu nanti akan dapat membantu pembangunan negeri-negeri berkenaan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai apa yang bakal berlaku kepada syarikat-syarikat kdownstream' yang sedia ada, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua pula menyifatkan perkara ini akan memberikan saingan sihat kepada industri petroleum negara.

“Apa yang penting hak negeri-negeri pengeluar minyak itu terpelihara dan tidak dipinggirkan.

“Cara pelaksaannya akan difikirkan kelak jika PR menang PRU13 kelak,” jelas beliau.
Pengemis kaya bukan dongeng
ROSMIZA KASIM, IZWAN ROZLIN, MOHD AZLIM ZAINURY, HAZELEN LIANA KAMARUDIN, HIDAYAH HAIROM
8 Oktober 2012
Muka Depan Sinar Harian Edisi Isnin.
Muka Depan Sinar Harian Edisi Isnin.
pengemis
Sikap mudah percaya dan tidak usul periksa menggalak bilangan pengemis.
KITA biasa dengar atau baca cerita pengemis yang kaya, menginap di hotel atau dijemput dengan kereta selepas minta sedekah di kaki lima.
Namun satu kisah benar yang dibongkar di sebuah rumah kebajikan di Marang, Terengganu, seharusnya membuka mata semua pihak.
Seorang penghuni rumah kebajikan itu (nama dirahsiakan) yang sering curi keluar untuk mengemis, didapati menyimpan wang tunai lebih kurang RM15,000 di bawah katilnya selain mempunyai tiga akaun bank berasingan dengan nilai simpanan RM60,000.
Ini semua ditemui selepas dia meninggal dunia kira-kira sebulan lalu.
Jadi, cerita pengemis kaya di negara kita bukan hanya kisah dongeng atau cerita mulut ke mulut, sebaliknya suatu realiti yang menuntut kita bersama-sama berfikir, bagaimana ini boleh terjadi?
Bukan kita mahu menghalang orang daripada membuat kebajikan, namun manipulasi dalam kegiatan mengemis ini bukan cerita baru.
Dengan adanya pengemis yang kaya, kita tidak mahu negara bertuah ini dianggap sebagai negara yang kaya dengan pengemis.
Lihat sahaja di mana-mana, pengemis sekarang bukan sahaja berwajah tempatan, malah ada juga yang 'diimport'.
Ini terjadi kerana dalam keadaan kita dihadap dengan pelbagai cerita hal pengemis, masih ramai mahu berbaik sangka dengan alasan "saya ikhlas mahu buat kebajikan. Soal mereka menipu, itu antara mereka dengan ALLAH."
Ya, memang benar namun sama ada kita sedar atau tidak, sikap mudah percaya dan tidak usul periksa juga menggalakkan lagi bilangan pengemis yang sekali gus menimbulkan banyak masalah dalam masyarakat kita.
Kita bukan tidak pernah dengar mengenai sindiket yang mengaut kekayaan dengan cara mudah memperalatkan golongan kurang upaya untuk meminta sedekah bagi pihak mereka.
Apabila kita memberi sumbangan kepada golongan ini, kita bukan membantu mereka tetapi menggalakkan lagi penganiayaan terhadap golongan ini kerana hasilnya bukan kepada mereka tetapi kepada pihak sindiket. Ada laporan bahawa sindiket yang tidak berperikemanusiaan ini malah tergamak mencederakan atau merosakkan anggota tubuh pengemis yang diperalatkan bagi memudahkan lagi mereka mendapat simpati.
Itu belum termasuk kumpulan memperalatkan kanak-kanak, berselindung di sebalik penjualan produk, si celik yang kononnya membantu si buta menjual tisu atau penanda buku, walhal tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk berkongsi hasil.
Tidak kurang juga kehadiran pengemis dalam masyarakat kita ada yang berakhir dengan jenayah seperti ragut atau samun.
Soalnya, kita bukan mahu menghalang orang membuat kebajikan atau membantu mereka yang benar-benar memerlukan.
Namun hakikatnya di negara kita, untuk golongan kurang bernasib baik ini, mereka dilindungi dengan sebaik mungkin oleh kerajaan di bawah undang-undang yang khusus untuk melindungi hak dan kepentingan mereka, Akta Orang Papa 1997 (Akta 183).
Selain itu, terdapat agensi yang khusus untuk membantu mereka seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan bukan sahaja perlindungan malahan kursus kemahiran bagi membantu golongan kurang upaya menjana pendapatan sendiri, rumah perlindungan bagi warga emas untuk mengelak mereka jadi kutu rayau dan sebagainya.
Di negeri-negeri, peruntukan bawah bidang kuasa agensi pungutan zakat juga terbuka luas untuk golongan ini.
Kerana itu, berhadapan dengan golongan pengemis, tidak kira apa modus operandi, mereka harus dicurigai.
Jika tidak, memberi sumbangan kepada mereka yang kita anggap sebagai sumbangan kebajikan, sebenarnya ia juga sumbangan untuk meningkatkan lagi masalah sosial dalam masyarakat kita.
Fokus: 40 tahun jadi pengemis, boleh dapat RM200 sehari
Wartawan Sinar Harian
8 Oktober 2012
pengemis
Berbekalkan cawan plastik, Wan Arifin mencari rezeki dengan meminta sedekah.
KOTA BHARU – Berbekalkan cawan plastik, Wan Arifin Ahmad,60, duduk bersila di atas tanah tanpa sebarang alas dan mengalunkan alunan zikir sambil tangannya yang memegang cawan tersebut dihulurkan ke hadapan untuk meminta simpati orang ramai.

Dia yang sudah 40 tahun mengemis berkata, hanya kerja tersebut yang mampu dilakukan olehnya disebabkan cacat penglihatan semenjak berumur tujuh tahun lagi.

“Pakcik tidak mampu hendak buat kerja lain, jadi inilah yang terbaik daripada duduk di rumah  menunggu bantuan daripada orang lain,’’ katanya ketika ditemui di pasar malam pusat bandar Pasir Puteh.

Dia yang berasal dari Pasir Puteh berkata, setiap hari akan mengupah seorang lelaki dengan bayaran RM5 untuk menghantarnya ke mana-mana pasar pagi atau malam di sini dengan menaiki motosikal.

Wan Arifin berkata, sekali mengemis di mana-mana pasar pagi atau malam yang dikunjunginya itu dia akan memperoleh sekitar RM60 hingga RM70 sehari.

“Itu baru sehari, jika paginya pakcik mengemis di pasar pagi dan sebelah malamnya pakcik ke pasar malam pula, pendapatan sehari dapatlah RM200.

“Duit itu pakcik simpan sendiri untuk bekalan bila sudah tidak sihat nanti," katanya yang kini menumpang di rumah rakannya sebaik sahaja kematian isteri tercinta beberapa tahun yang lalu.

Menurutnya, dia mempunyai dua orang anak lelaki tetapi kedua-duanya tidak menghiraukan dirinya sehingga terpaksa menumpang kasih dengan rakan seusianya.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada membantu tetapi RM60 sebulan yang diterimanya tidak cukup untuk menampung kehidupan sehariannya itu.

Antara kelebihan yang ada pada Wan Arifin ialah, walaupun cacat penglihatan dia tahu mengecam nilai duit yang dihulurkan oleh orang ramai, dan katanya kecekapan tersebut dipelajari sepanjang 40 tahun mengemis.
Isteri mangsa simbah asid harap pembunuh suami ditangkap
AZIZAN INCHE HARUN
8 Oktober 2012
Isteri mangsa simbah asid harap pembunuh suami ditangkap
Zaiton (kanan) bersama Syed Othman meninjau keadaan tingkap rumah yang dibeli arwah Khairul Zaman yang telah reput.
PASIR GUDANG – “Saya kerap mimpikan arwah suami, yang seolah-olah meminta tolong carikan orang yang menyimbahnya dengan asid,” kata isteri mangsa simbah asid di Taman Rinting, dekat sini, Mei tahun lalu.

Zaiton Aris, 51, berkata, dia hanya mampu sedekahkan bacaan Yassin dan Al-Fatihah serta berdoa agar roh arwah suaminya tenang setiap kali terjaga daripada mimpi itu.

Menurutnya, anak bongsunya yang sepatutnya berada di tingkatan satu terpaksa berhenti sekolah kerana masih tidak dapat menerima kenyataan arwah ayahnya meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati.

“Saya selalu nampak dia bercakap dengan gambar arwah ayahnya dan ada beritahu saya arwah ayahnya datang dan minta dia jaga saya dengan baik.

“Saya tahu dia masih tertekan walaupun sudah lebih setahun arwah pergi meninggalkan kami, tambahan pembunuh arwah ayahnya masih belum berjaya ditangkap,” katanya.

Zaiton berkata, kehidupannya sekeluarga agak tersepit selepas kehilangan suami kerana sepenuhnya mengharapkan bantuan anak sulung yang bekerja di salah sebuah pasar raya, di sini.

Katanya, bayaran sewa rumah yang didiaminya sudah lebih tiga bulan tertunggak dan berhasrat untuk berpindah ke rumah yang dibeli arwah suami, tetapi tidak mempunyai sambungan bekalan air dan elektrik.

“Saya bukan dah tak nak sambung berniaga di tempat lama, tapi tak kuat untuk melupakan kenangan bersama arwah di tempat itu.

“Bagaimanapun saya masih menunggu bantuan Baitulmal yang berjanji untuk memberikan bantuan berbentuk peralatan untuk saya berniaga sarapan pagi di depan rumah,” katanya.

Dalam pada itu, jauh di lubuk hati Zaiton masih berharap agar pembunuh suaminya berjaya ditangkap dan menerima hukuman yang setimpal.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya telah mengadakan gotong-royong membersihkan kediaman yang dibeli arwah suami Zaiton.

Katanya, pihaknya juga akan menampung kos menyambung semula bekalan elektrik dan air termasuk menukar pintu dan tingkap yang telah rosak.

“Kita akan cat semula rumah ini dan membaik pulih bahagian depan rumah yang agak uzur supaya Zaiton lebih selesa tinggal di rumah sendiri,” katanya.

Pada Mei tahun lalu, media melaporkan Khairul Zaman, 47, yang merupakan pemandu teksi disimbah asid ketika ditahan dua lelaki yang bertanyakan arah jalan.

Sebaik membuka cermin tingkap teksinya, dua lelaki terbabit bertindak menyimbah asid ke mukanya sehingga menyebabkan kematian selepas lebih sebulan bertarung nyawa di hospital.
Bila peragut kena belasah
SUHARNE ZAINUDIN, ANITA ABU HASAN & NUR FARHANA ABDUL MANAN
8 Oktober 2012
Izzah
Bila peragut kena belasah
Mukadimah
Jenayah dan kes ragut di Malaysia bukan sekecil lubang jarum. Bukan calang-calang kemarahan orang ramai kepada peragut.
Perbuatan meragut membabitkan kekejaman. Bayangkan ibu sarat mengandung, terbunuh akibat peragut. Belum lagi ratusan mangsa cedera parah ketika menyelamatkan diri daripada peragut.
Pokoknya pelbagai insiden melibatkan nyawa disebabkan peragut.
Dalam kecoh sana sini peragut, tidak kurang juga ada kalangan mereka yang salah sasaran.
Terjolok sarang tebuan dan buku bertemu ruas.
Bukan seorang dua yang pernah tersadai dilanyak orang awam.
Sebenarnya kes peragut dibelasah orang awam bukan isu baru lantaran kemarahan masyarakat tidak pernah surut.
Tidak keterlaluan dikatakan, kini menjadi satu kepuasan bagi sesetengah individu apabila berjaya menyepak, menerajang menumbuk  dan memaki hamun peragut. Ada di kalangan peragut  hampir hilang  nyawa akibat dibelasah.
Misalnya, kejadian di Kepala Batas, Pulau Pinang. Dua lelaki cedera teruk dibelasah dengan batang golf oleh sekumpulan 20 penduduk ketika cuba melarikan beg tangan milik seorang guru.
Bahkan sejak akhir ini, media memaparkan satu demi satu kisah peragut dilanyak orang ramai.
Bayangkan puluhan manusia melanyak seorang peragut. Namun, adakah ini tindakan betul? Bolehkah kita menghukum peragut dengan undang-undang tangan sendiri hanya kerana geram.
Bicara Isnin minggu ini, tidak berkempen untuk melanyak peragut tetapi menyingkap sama ada wajar kita menggunakan siku, tangan, kayu dan belantan sendiri untuk mengajar si peragut.
Geram peragut minta tubuh isteri

“Aku geram apabila peragut itu meminta tubuh isteri ku hingga aku tekad membelasahnya,” akui Izmir Ahmad.
Cerita Izmir, sebelum itu beg tangan mengandungi telefon bimbit milik isterinya, Izzah telah diragut ketika perjalanan ke sebuah pasar raya berhampiran rumahnya.
“Isteri ku mendail nombor telefon bimbitnya. Ternyata berhasil dan suara lelaki mengangkat talian itu. Izzah meminta lelaki berkenaan memulangkan beg tangannya kerana mengandungi pelbagai dokumen.
Tetapi tanpa segan silu, peragut itu meminta isteri ku mengadakan hubungan kelamin. Izzah menceritakan segalanya kepada ku dan aku segera memasang perangkap dengan mengatakan Izzah sudi menyerahkan tubuhnya.
Aku sendiri menghantar Izzah bertemu peragut itu. Tiba di tempat temu janji, aku dan beberapa rakan ku mengepung lelaki itu. Setelah berjaya menangkapnya, aku dan rakan ku membelasah lelaki kurang ajar tersebut sepuas hati. Itu sebagai pengajaran!” Ketika itu aku sangat geram kerana si peragut yang ingin mencemar maruah isteriku.
Sebagai suami, aku rasa tercabar dan kemarahan itu aku lepaskan dengan memijak-mijak tubuh serta menendang muka si peragut.
Aku bukan membelakangkan undang-undang tetapi jika lelaki lain ditempatku pasti akan bertindak sama. Bayangkan, dia minta tubuh isteriku. Adakah boleh sabar?
Peragut itu mendapat habuannya tatkala dibelasah bukan sahaja aku dan rakan-rakan, tetapi orang sekeliling yang membelasahnya dengan topi keledar, besi dan kayu. Semoga kejadian ini menjadi pengajaran kepada peragut lain,” ujar Izmir.
Puas dapat belasah

“Aku juga ada pengalaman membelasah peragut. Ketika itu aku dan beberapa orang awam berada di Puchong, Selangor.
Secara tiba-tiba mendengar jeritan mangsa dan tanpa berlengah kami mengepung dan berhasil menangkap si peragut.
Apa lagi, teruk peragut itu kami kerjakan hingga lunyai,” cerita Azman. Dia beranggapan, peragut itu ialah penagih dadah berdasarkan keadaan fizikal.
Sebelum itu, dia bersama yang lain mengejar peragut tersebut sejauh beberapa meter dan begitu penat berlari.
“Selepas dapat mencapai bajunya, aku biarkan orang lain membelasahnya cukup-cukup. Akhir sekali barulah aku mengambil  bahagian menendangnya bertubi-tubi. Peragut itu lunyai seperti lauk basi dihurung semut. Begitulah kemarahan kami waktu itu,” ujar Azman, berusia 34 tahun.
Katanya, bukan tidak takut undang-undang, tetapi geram kerana peragut sewenangnya  mencuri hasil rezeki orang lain  dan mereka sangat kejam apabila menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa bahkan ada yang terbunuh.
"Aku memukulnya untuk pengajaran supaya jangan ambil mudah hal masyarakat dnegan menyumbangkan jenayah," akhiri Azman.
Taman 'port' memadu asmara
NOR AINNA HAMZAH
8 Oktober 2012
Azahar Kasim
Pasangan yang duduk berdua-duaan di Taman Rekreasi Tampin.
TAMPIN – Memalukan. Itulah luahan orang awam berikutan lokasi riadah pada waktu petang dicemari dengan segelintir pasangan muda memadu kasih di situ.
Tindakan pasangan berkenaan bukan saja melangkaui batasan agama, malah menunjukkan contoh kurang sopan kepada golongan kanak-kanak, lebih-lebih lagi kawasan itu menjadi tumpuan keluarga.
Itulah situasi yang berlaku di Taman Rekreasi Tampin, di sini, seolah-olah tiada pemantauan pihak berkenaan.
Penduduk tempatan, Azahar Kasim, 40-an berkata, dia sering menghabiskan waktu petangnya di taman berkenaan untuk berjoging.
Azahar mengakui sering ternampak pasangan kekasih muda atau mungkin masih di bangku sekolah berkelakuan tidak sopan di sebalik pokok besar di taman berkenaan.
“Mula-mula memang saya terperanjat dan malu kerana budaya ini tidak sepatutnya berlaku di negara ini.
“Namun, apabila ia semakin berleluasa, rasa malu saya bertukar menjadi marah dan berharap agar pihak berkenaan segera buat pemantauan," katanya kepada Sinar Harian.
Tinjauan Sinar Harian juga mendapati, lokasi terbabit dicemari 'drama' segelintir pasangan seawal 2 petang di lokasi terlindung daripada orang ramai.
Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Rahmat, 50-an berkata, dia kesal kerana taman rekreasi itu disalahgunakan golongan muda.
“Jika pasangan terbabit beri alasan mahu berehat di sini, kelakuan mereka tetap salah kerana duduk dengan pasangan bukan muhrim dalam keadaan mencurigakan," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Razali Bakar berkata, taman rekreasi itu adalah kemudahan yang terdapat berhampiran pusat bandar bagi membolehkan masyarakat beriadah dalam usaha membudayakan cara hidup sihat.
“Bagaimanapun, sekiranya perkara ini berlaku iaitu kelakuan tidak senonoh pasangan di lokasi tersembunyi di taman ini, diharap pihak berkenaan dapat memantau aktiviti tidak bermoral ini," katanya.
CTOS dan CCRIS diminta longgar syarat bantu belia beli rumah

8 Oktober 2012
KUALA LUMPUR - Institusi perbankan disaran memberi kelonggaran kepada golongan muda yang namanya tersenarai dalam Credit Tip-Off Sdn Bhd (CTOS) dan Central Credit Reference Information System (CCRIS) untuk mendapatkan pinjaman perumahan.
 
Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) menyarankan agar syarat CTOS dan CCRIS itu tidak dikenakan kepada golongan muda yang ingin membeli rumah.
 
"Mereka ini mungkin tersilap langkah dalam mengurus kewangan di peringkat awal, akibatnya nama mereka disenarai dalam CTOS dan CCRIS dan menghadapi masalah untuk memohon pinjaman perumahan, jadi saya cadang Kementerian Kewangan dan pihak bank memberi kelonggaran kepada mereka," katanya.
 
Idris, yang juga Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), berkata langkah itu tidak akan menjejas golongan muda melabur dengan peluang lebih baik.

"Rumah ini merupakan harta tak alih, bukannya harta boleh alih seperti kereta dan motor, ia juga boleh dijadikan cagaran, jadi jika pemohon lari, bank boleh lelong rumah pada harga yang dia kerugian," katanya.
 
Selain itu, Idris turut menyarankan kerajaan agar memperkenal polisi harga siling terhadap pemaju perumahan mewah, khususnya di kawasan bandar, bagi mengawal kenaikan harga rumah dan mengelak spekulasi hartanah.
 
Idris turut mencadangkan tempoh cukai keuntungan pelupusan hartanah (RPGT) dipertingkat daripada lima ke sepuluh tahun bagi mengelak penjualan hartanah pada masa yang singkat.
Pilihan raya: 6 syor PSC tidak dilaksana

8 Oktober 2012
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
KUALA LUMPUR - Enam daripada 32 cadangan dalam Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya tidak dapat diteruskan atas faktor perundangan dasar dan kos kewangan yang besar, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, keputusan itu bagaimanapun tidak bererti bahawa syor-syor itu tidak tidak dapat dilaksanakan pada masa hadapan.
 
Beliau memaklumkan secara keseluruhannya terdapat 32 syor PSC berhubung dengan penambahbaikan proses pilihan raya terdiri 10 syor yang diluluskan Dewan Rakyat pada 1 Dis 2011 dan 22 syor dipersetujui Dewan Rakyat pada 3 Apr 2012, untuk dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi-agensi kerajaan berkaitan.
 
"SPR telah memaklumkan bahawa sebahagian syor tersebut telah pun diberi perhatian dan tindakan yang wajar telah dan sedang dilakukan untuk merealisasikannya," kata Mohamed Nazri ketika menjawab soalan Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong).
 
Chow bertanyakan status cadangan terkandung dalam laporan jawatan kuasa itu dan sama ada cadangan supaya SPR bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan bukan Jabatan Perdana Menteri akan dilaksanakan.

Antara syor Jawatankuasa itu yang akan dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 termasuklah penggunaan dakwat kekal, membenarkan orang yang dipercayai oleh Orang Kelainan Upaya (OKU) membantunya dalam urusan pengundian, mengadakan peruntukan undang-undang bagi menjalankan pengundian awal dan kemudahan undian pos kepada petugas media.
 
Berhubung syor pengukuhan SPR, Mohamed Nazri berkata suruhanjaya itu akan mengkaji dengan lebih lanjut syor tersebut untuk dilaksanakan pada masa depan.
 
Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa kuasa dan kebebasan mutlak SPR diperuntukan dalam undang-undang.
 
"Secara dasarnya, SPR adalah sebuah institusi di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong, yang bertanggungjawab untuk memelihara, mengawasi dan mengekalkan proses demokrasi di negara ini menerusi sistem pilihan raya yang bebas, adil dan saksama dengan melaksanakan bidang kuasanya yang telah ditetapkan mengikut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
 
"Oleh yang demikian, Jabatan Perdana Menteri hanya bertanggungjawab dalam hal ehwal pentadbiran harian SPR dan pengurusan semasa," katanya. - Bernama
Undi-Soros: Ibrahim Ali pertahan Mahathir
JAMILAH HAMZAH
8 Oktober 2012
Ibrahim Ali
Ibrahim Ali
KUALA LUMPUR - Presiden Perkasa,  Datuk Ibrahim Ali mempertahankan kenyataan Tun Dr.  Mahathir Mohamad sambil menegaskan pandangan bekas Perdana Menteri itu hanya satu langkah mengingatkan rakyat tentang keburukan mempunyai hubungan dengan pengkhianat negara termasuk George Soros.

Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas, Kelantan ini menambah, Dr Mahathir berhujah berdasarkan fakta dan tidak mempunyai agenda tertentu untuk menyemai perasaan benci terhadap pembangkang.

Katanya, "saya yakin Dr Mahathir berhujah berdasarkan fakta dan pengalaman yang dia ada, dan tidak mempunyai agenda tertentu untuk menakutkan rakyat."

"Kenyataan Dr Mahathir lebih kepada memberi peringatan tentang Soros yang didakwa sebagai seorang pegkhianat yang boleh memusnahkan negara," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Mahathir menyifatkan keputusan rakyat mengundi Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum ke-13 ibarat memberikan undi kepada Soros.

Kenyataan Dr Mahathir telah dibidas oleh PR yang menyatakan beliau dihambat dengan bayang-bayang sendiri.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, Dr Mahathir, yang juga Penaung Perkasa, mengeluarkan pandangan sedemikian ekoran beberapa orang pemimpin PR mengaku menerima dana asing untuk menguruskan pentadbiran mereka, antaranya Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Dalam pada itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Dr Mahathir sebagai mencemarkan imejnya serta nama baiknya menjelang hari-hari terakhir selepas melepaskan jawatan perdana menteri.

"Saya rasa kenyataan beliau tak wajar.

Kenyataannya seperti mencemar nama baik serta imejnya pada hari-hari terakhir (selepas bersara)," katanya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Justeru, ketika ditanya mengenai kenyataan Pua yang melabelkan Dr Mahathir sebagai 'nyanyuk', Ibrahim menyelar dan menyifatkannya sebagai melampau.

"Inilah manusia yang tidak tahu sejarah, sebab Dr Mahathir mempunyai pengalaman yang banyak.
"Jadi kalau nak menuduh Dr Mahathir itu 'nyanyuk' adalah biadap," katanya lagi.

Tiada ulasan: