Isnin, 3 Januari 2011

BUATLAH SESUATU YANG ORANG ATAU RAKYAT SUKA....ASALKAN IA TIDAK BERTENTANG DENGAN HUKUM SYARAK....

Selangor tidak rai SUK
Harakahdaily

SHAH ALAM, 3 Jan: Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya telah mengadap DYMM Sultan Selangor hari ini bagi membincangkan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

DYMM Sultan Selangor telah berpandangan bahawa Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Ini kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa persekutuan.

DYMM Sultan Selangor mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik. Saya mengucapkan terima kasih kepada DYMM Sultan atas nasihat dan pandangan baginda.

Justeru itu, demi kebaikan Negeri Selangor dan menjunjung titah Tuanku, Kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut.

Sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, maka kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Dato’ Khusrin Munawi tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor sebagai ex-officio.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan mencadangkan kepada Dato’ Speaker untuk mengadakan sidang Dewan Negeri Selangor tergempar bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM,

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR



SUK: Muhammed Khusrin Mulakan Tugas, MB Selangor Menghadap Sultan

SHAH ALAM: Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Muhammed Khusrin Munawi memulakan tugasnya pada pukul 6.45 pagi Isnin dalam suasana tegang ekoran pelantiknnnya oleh kerajaan Pusat tanpa sebarang rundingan dengan Menteri Besar selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun spekulasi mengatakan bahawa hari pertama Muhammed Khusrin bekerja sebagai SUK juga merupakan hari terakhir baginya selepas Abdul Khalid mengadakan pertemuan dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Khalid dijadual mengadakan pertemuan dengan Sultan Sharafuddin pada pukul 11 pagi.

Bernama melaporkan kenderaan rasmi Menteri Besar dilihat memasuki Istana Mestika pada pukul 10.50 pagi dan keluar kira-kira 12.20 tengah hari.

Pihak media yang berkumpul di hadapan pintu utama istana itu sejak jam 10 pagi hampa apabila tidak mendapat sebarang komen daripada Menteri Besar yang terus beredar dari situ.

Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Abdul Khalid tidak berhenti walaupun dikerumuni oleh para wartawan dan jurugambar.

Difahamkan Abdul Khalid menghadap Sultan Selangor bagi mengemukakan nama tiga calon yang dipilih oleh sebuah panel kerajaan negeri yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim bagi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sementara itu Muhammed Khusrin dijangka akan mengeluarkan kenyataan media pada pukul 3 petang




MB Selangor Cadang Sidang DUN Tergempar Pinda Perlembagaan

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor bercadang untuk memanggil sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif kepada Sultan dan Menteri Besar.

Tiga jawatam pegawai eksekutif berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pada masa yang sama kerajaan negeri akan mengikut nasihat Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi mencari penyelesaian terbaik.

"Demi kebaikan negeri Selangor dan menjunjung titah Tuanku, Kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Selain itu Abdul Khalid berkata, sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, maka kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Datuk Khusrin Munawi tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor sebagai ex-officio," katanya





Hasil balak Kedah meningkat 205 peratus
Muhayat Jasmin

ALOR SETAR,3 Jan: Kerajaan Kedah di bawah Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya meningkatkan hasil balak hampir 205 peratus berbanding hasil yang dikutip oleh Barisan Nasional (BN) semasa pemerintahan mereka sebelum ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengulas mengenai pencapaian memberansangkan ini berkata, hasil dari sistem tender terbuka yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah PR berjaya memberi pulangan yang menggalakkan kepada negeri.

"Sistem tender terbuka yang diperkenalkan memberi pulangan positif kepada kerajaan dan rakyat negeri ini. Pada tahun 2008 yang lalu semasa pengambilalihan kuasa pentadbiran, hasil pungutan balak hanyalah sebanyak RM35 juta. Ia meningkat kemudiannya kepada RM39 juta pada tahun 2009 yang lalu.

"Namun begitu pada tahun 2010 hasilnya premium balak berjaya mencecah sehingga RM50 juta," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, hasil ketelusan dan sistem tender terbuka yang menjadi polisi kepada Kerajaan Kedah turut membuktikan bahawa gejala rasuah dan kronisme dapat dielakkan.

Sebelum ini Laporan Ketua Audit Negara telah melaporkan Kedah berjaya meningkatkan pendapatan dari hasil balak sebanyak 205 peratus pada tahun 2010 jika dibandingkan dengan tahun sebelum 2008 semasa pemerintahan BN dengan mendapat pulangan dalam lingkungan RM8 juta sahaja




Kelantan hadiah rumah untuk Khairul Fahmi
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 3 Jan: Penjaga gol skuad Harimau Malaya yang berjaya membantu negara menjuarai Piala AFF Suzuki, Khairul Fahmi Che Mat dihadiahkan sebuah rumah oleh kerajaan negeri Kelantan hari ini.

Pengumuman mengenainya dibuat sendiri oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika meraikan kepulangan beliau ke Kelantan di Chabang 4, Cherang dekat sini hari ini.

Bagaimanapun tidak dinyatakan apakah nilai rumah berkenaan. Pengumuman itu dibuat di majlis yang dianjurkan oleh pejabat Anggota Parlimen Kota Bharu dan juga kerajaan negeri Kelantan.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis menyambut kepulangan Wira Negara itu berkata beliau yang turut menyaksikan perlawanan akhir kedua di Indonesia mengakui aksi Fahmi memang hebat.

"Saya memang kagum, saya tengok dia beraksi begitu hebat bergetah sungguh tangan budak ni," ujarnya sambil disambut laungan takbir oleh orang ramai.

Khairul Fahmi berjaya mempertahankan gawang Malaysia dari ditembusi semasa Indonesia bertandang ke Malaysia yang membawa Malaysia menang 3-0 dalam pusingan pertama perlawanan akhir piala itu di Bukit Jalil.

Beliau juga berjaya menjaga gawang Malaysia dengan baik apabila pasukan negara itu berkunjung ke Jakarta termasuk menyekat sepakan penalti oleh Indonesia.

Malaysia menang dengan agregat 4-2 walaupun kalah di Jakarta dengan 2-1.

Media hari ini melaporkan, sebuah laman web menyiarkan berita kononnya Mancester United berminat dengan Khairul Fahmi apabila pengurusnya, Sir Alex Ferguson mengarahkan lamaran ke atas Khairul dibuat selepas dua jam perlawanan akhir di Jakarta itu.

Sebelum ini kerajaan negeri Kelantan pernah menghadiahkan rumah kepada Nik Madihah, pelajar Kelantan yang berjaya menjadi pelajar terbaik Malaysia dalam peperiksaan SPM








Dengarlah rintihan penghuni Flat Ladang Gemilang
Dr Azman Ibrahim

Status penghuni Bandaraya Warisan Pesisir Air yang dimiliki oleh penduduk Bandaraya Kuala Terengganu bukanlah suatu kemegahan andai suasana kehidupan semakin menekan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Sepatutnya pengisytiharan Kuala Terengganu sebagai Bandaraya pada pada 1 Januari 2008 daripada Majlis Perbandaran ketika itu akan membantu mempertingkatkan kualiti kehidupan penduduk, menambahbaik segala kemudahan, meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk dan seterusnya membentuk ke arah kehidupan bandar yang lebih sejahtera.

Bukanlah perkara yang patut berlaku andai kemegahan dengan status bandaraya akhirnya memangsakan rakyat bawahan. Tambahan pula Datuk Seri Ahmad Said meletakkan slogan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ sebagai motto kerajaan negeri.

Mudah difahami, kepentingan rakyat tentunya menjadi keutamaan bagi setiap agenda pentadbiran dan pembangunan. Disokong dengan Bajet tahunan negeri yang melebihi RM1.8 bilion, tentunya tidak sukar bagi Ahmad Said untuk memastikan janji mampu dikota.

Jangan sampai rintihan rakyat kecil di kesampingkan, nanti slogan akan tinggal slogan. Lebih malang kalau rakyat mula menyindir benarkah ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ atau lebih tepat ‘Mengkronikan Pentadbiran dan Pembangunan’?

Dilema yang dihadapi penghuni Flat Ladang Gemilang, Kuala Terenggganu adalah antara siri retetan rintihan rakyat berpendapatan rendah yang rata-ratanya terdiri dari nelayan, peniaga kecil dan pemandu teksi.

Sebahagian besar dari penduduk yang menghuni flat yang dibangunkan oleh Terengganu SEDC (Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu) ini adalah penduduk yang dipindahkan ekoran pengambilan balik tanah oleh kerajaan di Kampung Ladang Tok Pelam dan Ladang Mengabang, Kuala Terengganu dengan kadar bayaran pampasan yang tidak seberapa.

Keseluruhan penduduk amat menyesali kadar pampasan yang diterima hanya sebanyak RM6,000 sahaja apatah lagi dengan lokasi tanah mereka terletak di pusat bandar dan mereka telah mendiaminya semenjak turun temurun.

Faktor pertimbangan kemanusian juga mungkin tidak diambil kira apabila arahan supaya penduduk berpindah serta merta sebelum hari raya puasa yang lalu, seolah-olah bagaikan ada projek penting dan mustahak perlu didirikan segera di atas tanah tapak rumah yang telah begitu lama menyimpan suka duka memori kehidupan mereka sekeluarga.

Rayuan penduduk agar diberikan sedikit masa untuk berpindah sekurang-kurangnya selepas menyambut hari raya tetap tidak diendahkan. Malangnya sehingga hari ini belum ada sebarang projek yang bermula.

Walaupun menyedari beban yang dipikul untuk berpindah amat berat, penduduk secara paksa rela berpindah juga ke flat ini dengan janji kadar bayaran sewa sebanyak RM126 sebulan secara sewa beli. Sekurang-kurangnya suatu hari nanti unit-unit flat ini akan menjadi milik mereka dan mereka akan memiliki sebuah kediaman.

Kelegaan penghuni nyata tidak berpanjangan apabila baru-baru ini mereka mendapat sepucuk surat dari Terengganu SEDC memaklumkan bahawa semua penduduk perlu membayar sewa bulanan sebanyak RM300 dan status sewa beli flat hanya akan dilaksanakan selepas berlalu tempoh tiga tahun mereka menduduki flat, bukannya serta merta sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini.

Penduduk sebelumnya amat berharap, dengan duit bayaran pampasan itu, walaupun tidak seberapa akan membantu sedikit sebanyak mereka memiliki kediaman sendiri tetapi segalanya hampa apabila janji dimungkiri dan mereka kini hanya berstatus penyewa dengan kadar sewa melebihi dua kali ganda dari yang dijanjikan.

RM300 mungkin murah bagi yang tinggal di Bandaraya Kuala Lumpur, Shah Alam, Georgetown, Kuching atau bandaraya-bandaraya lain tapi bukan bagi Bandaraya Kuala Terengganu yang sehingga kini masih terdengar suara-suara yang mempertikaikan kelayakannya dari segi kemudahan infrastruktur, bilangan penduduk dan jumlah perolehan hasil tahunan untuk melayakkannya bergelar bandaraya. Sesiapa pun yang pernah berkunjung ke Kota Bharu dan Kuala Terengganu tentu dengan mudah, tanpa ragu-ragu boleh menyatakan bahawa Kota Bharu lebih besar dan lebih ketara pembangunannya walaupun cuma bertaraf Majlis Perbandaran.

Apatah lagi penghuninya adalah rakyat bawahan ditambah lagi dengan peningkatan kos sara hidup yang mencengkam di segenap sudut kehidupan. Tolonglah Datuk Seri dengar rayuan dan rintihan rakyat. Jangan ulangi kesilapan sama yang dilakukan Datuk Seri Idris Jusoh





SUK Selangor: Bukti Umno BN wajar ditolak
Harakahdaily

IPOH, 3 Jan: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain (gambar) berkata, isu perlantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor merupakan suatu lagi petanda diberikan Allah kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan Umno BN wajar ditolak dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, kes perlantikan tersebut jelas menunjukkan kerajaan Umno BN memberi amanah bukan untuk kepentingan rakyat tapi untuk kepentingan peribadi mereka.

Menurutnya lagi, tujuan utama perlantikan SUK kerajaan negeri, di mana-mana negeri sekalipun, adalah supaya dapat membantu menggerakkan pengurusan kerajaan negeri berkhidmat kepada rakyat.

“Menjalankan tugas mentadbir sesuatu negeri bukan suatu yang mudah malah memerlukan kelayakan dan kerjasama daripada pelbagai pihak baik Adun yang dilantik oleh rakyat ataupun kakitangan kerajaan,” jelas beliau di dalam blognya.

Dalam kes di Selangor, perlantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK sepatutnya tidak berlaku kerana beliau telahpun mempunyai masalah yang kritikal sebelum ini dengan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor sewaktu beliau masih menjawat jawatan Pengarah Jais.

Jelas, ujarnya ini menunjukkan beliau tidak boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri seterusnya menjalankan amanah yang diberikan dengan baik.

Beliau juga berkata, Khusrin jelas dilihat sebagai agen yang dihantar Umno Barisan Nasional untuk mengganggu pentadbiran Pakatan Rakyat di Negeri Selangor

Ini, katanya kerana Umno BN tidak dapat menerima kenyataan bahawa kerajaan Selangor kini di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat.

Beliau juga menyatakan bahawa Umno BN sememangnya cuba untuk mendapatkan semula negeri Selangor dengan apa cara sekalipun dan buktinya Umno BN sudah Berjaya mendapatkan Perak dengan cara rampasan kuasa sebelum ini.

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyeru agar rakyat Malaysia menolak kerajaan BN kerana perlantikan itu menunjukkan kerajaan BN tidak meletakkan khidmat kepada rakyat sebagai misi utama mereka sebaliknya berkhidmat memenuhi kepentingan dan kehendak nafsu mereka.

Menurutnya lagi, jika sebelum ini rakyat tercari-cari apakah buktinya bahawa kerajaan pusat BN sering menindas kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat, kes perlantikan SUK itulah bukti yang kukuh.

“Inilah perangai yang ditunjukkan kerajaan BN iaitu mengutamakan kepentingan peribadi berbanding amanah berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Beliau juga mengajak semua pihak untuk bertakwa kepada Allah.

Jelasnya, semua pihak harus ingat bahawa berkhidmat untuk rakyat bukan sekadar membantu rakyat menghadapi kehidupan dunia, sebaliknya membantu rakyat menghadapi kehidupan dunia dan akhirat yang kekal abadi.

Tambahnya, lagi dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. digambarkan bahawa kemusnahan akan berlaku sekiranya amanah diberikan kepada orang yang bukan ahlinya.

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w., bertanya tentang bilakah terjadi kiamat. Rasulullah s.a.w. menjawab yang bermaksud: Apabila hilang amanah, tunggulah kiamat itu. Orang itu bertanya lagi: Bagaimanakah keadaan itu berlaku? Jawab Rasulullah s.a.w. : Iaitu apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamatnya (kerosakan).


Tiger Show dibiar, pakaian Nie Ching dipersalah

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 3 Jan: PAS mempersoal sikap 'tutup mulut' pemimpin Umno berhubung isu pertunjukkan maksiat 'Tiger Show', dalam satu majlis makan malam di Marriot Hotel, Putrajaya pada 16 Disember lalu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo'lo' Mohamad Ghazali melahirkan rasa pelik apabila Umno sangat cepat menyelar cara pemakaian Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dalam satu majlis senam robik, namun dalam isu pakaian separuh bogel tarian tiger show, Umno seperti tidak peduli.

"Adalah malang isu YB Teo Nie Ching yang hanya bersenam robik dengan pakaian sukan yang biasa dipakai wanita bukan Islam menjadi berita muka depan Utusan Malaysia, tetapi kemungkaran yang lebih besar seperti ini didiamkan oleh media pro Umno," katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.

Majlis makan malam tersebut didakwa dianjurkan Syarikat Sony dan sebahagian yang hadir adalah orang Melayu beragama Islam.

Mengulas lanjut, Lo'lo' berkata, beliau juga kesal dengan sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang didakwa tidak memperdulikan atau bertindak ke atas penganjur majlis makan malam tersebut.

Katanya, majlis tersebut secara jelas telah menghina Islam namun seperti dihalalkan pula oleh kerajaan Umno BN.

"Pertunjukan ini yang bukan setakat 'free show', malah 'free touch' dihadiri sebahagian besarnya oleh orang-orang Melayu yang mungkin beragama Islam.

"Lebih malang lagi YB selaku Menteri Hal Ehwal Islam, (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) Jakim dan (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) Jawi sebagai berwajib terlalu 'mandom' dalam menangani isu ini," katanya lagi yang bercadang membuat surat terbuka kepada menteri.

Minggu lalu, Harakahdaily telah melaporkan kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudi Hassan yang mahu pihak berwajib dalam hal ehwal agama bertindak segera.

Katanya, Malaysia sekali-kali tidak boleh dibiarkan menjadi hub maksiat atau hub tarian lucah seperti yang dianjurkan syarikat pengeluar barangan elektrik dan elektronik itu dalam majlis makan malam di hotel tersebut.

Gambar-gambar pertunjukan pada majlis makan malam tersebut, kini tersebar dan hangat diperdebatkan di blog-blog dan laman sosial Facebook.

Sehubungan itu, mereka mencabar menteri dan pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera ke atas Sony sebagai penganjur dan pihak Hotel Marriot sebagai pengendali majlis

Tiada ulasan: