1. Pertama kali saya menyampaikan ceramah di Felda Tenang bersama Cikgu Normala Sudirman, calon PAS mewakili Pakatan Rakyat di N 05 Tenang, saya tertarik dengan ucapan bertenaga dan menyakinkan dari Cikgu Mala dengan ungkapan " .... tangan yang menghayun buaian ini insyaallah akan menggoncangkan dunia ...." 2. Ternyata Cikgu Mala tidak perlu menunggu lama, hari kedua beliau turun berkempen sempena pilihanraya kecil N 05 Tenang ini sebagai calon pilihan, tangan beliau telah menggoncangkan ketenangan UMNO dan BN di Tenang. Kelam kabut sekutu rapat UMNO dalam BN iaitu MCA melalui Presidennya mempersoalkan kenapa Cikgu Mala tidak bersalam dengan lelaki ajnabi [ yang bukan mahramnya ] 3. Biasanya sesuatu isu ditimbulkan dalam musim pilihanraya kerana isu tersebut menggugat. bagi pihak PAS malah DAP dan PKR yang berkawan dengan PAS sangat maklum situasi ini. Sememangnya muslimat PAS tidak akan bersalaman dengan kaum lelaki yang halal nikah dengan mereka kerana ia adalah suatu larangan dalam agama Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Namun ia dilihat asing oleh Presiden MCA. Mungkin berdua - duaan dengan pasangan yang tidak sah di dalam bilik hotel lalu melakukan hubungan sulit itu lebih bermoral dan normal bagi Presiden MCA berbanding sikap Cikgu Normala yang tidak bersalam dengan lelaki. 4. Tidak bersalaman oleh seorang perempuan yang teguh agamanya dengan seorang lelaki yang sah nikah dengannya bukanlah suatu perkara ganjil dalam negara ini yang majoriti penduduknya adalam muslim. Bahkan tidak sepatutnya ia menjadi isu. Justeru ia bukanlah satu tindakan yang boleh merosakkan kemesraan dan hubungan dengan masyarakat. Sebaliknya masih banyak elemen lain yang lebih penting untuk membentuk kemesraan dan hubungan dengan masyarakat tanpa "salam tangan" antara lelaki dan perempuan seperti ziarah, kebajikan, bertanya khabar dan lain - lain. 5. Sungguhpun tanpa "salam tangan", calon pilihan ini tidak menang tangan dan senyuman untuk bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat tanpa pula mengira latar belakang kaum dan jantina. Lebih menarik apabila masyarakat menilai bahawa Cikgu Mala adalah seorang yang teguh peribadi dan berprinsip sementara itulah kriteria seorang pemimpin yang diperlukan oleh rakyat. 6. DAP dan PKR cepat memahami situasi ini lantas mengambil langkah mempertahankan tindakan Cikgu Mala malah sangat menghormatinya apabila mengetahui bahawa ini adalah prinsip agama. Sedang prinsip agama inilah menjadikan PAS sebuah parti yang teguh dan berdisiplin. Malang MCA gagal pula memahami situasi ini biarpun sekian lama berselimut dengan UMNO di dalam BN. 7. Jawapan mudahnya kerana MCA tidak melihat prinsip ini wujud di dalam UMNO. Pemimpin wanita mereka bukan sahaja boleh bersalaman sesuka hati malah boleh berlaga pipi, boleh berpelukan dan sebagainya. Akhirnya Presiden MCA sendiri keliru angkara UMNO yang tidak mempertahankan prinsip beragama. Inilah fitnah besar dari kegagalan UMNO menjalani kehidupan sebagai sebuah parti yang patuh pada suruhan agama . 8. Selama ini UMNO berhujjah kononnya DAP anti Islam, kafir harbi dan macam - macam tuduhan lalu mempersoalkan kenapa PAS bekerjasama dengan DAP ? Kini Allah swt mendedahkan siapa pula MCA di sisi UMNO ? secara terbuka kini MCA melalui Presidennya menghina Islam dan mempersendakan ummat Islam yang beramal dan berpegang teguh dengan amalan Islam itu. Sementara DAP pula semakin hari semakin lunak dan memahami asas Islam yang diperjuangkan oleh PAS. 9. Terbaru melalui perubahan sikap yang ditunjukkan oleh Pengerusi DAP karpal Sigh mengenai negara Islam yang ditentang oleh beliau sejak dulu. Beliau tidak lagi keras menolak negara Islam seperti dulu sebaliknya menganggap isu ini boleh dibincangkan. Ia satu perkembangan yang positif berbanding sikap MCA yang terus kekal dalam kejahilan sejak lama dulu sehingga sekarang. 10. Saya ucapkan syabas kepada Cikgu Mala dan mengharapkan beliau terus thabat [teguh] pendirian dan usah gundah dengan provokasi musuh. Allah bersama dengan insan yang sabar menghadapi ujian perjuangan ini. Ubah sekarang Selamatkan Malaysia !
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan Nasrudin bin Hassan * Penulis adalah Ketua Pemuda PAS
Ahmad dicabar debat isu Felda di Tenang Harakahdaily | LABIS, 25 Jan: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, sekali lagi mencabar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berdebat berhubung isu Felda.
Surat tawaran kedua itu telah telah dihantar ke Pejabat Felda Wilayah Segamat pada tengahari ini oleh naib presiden ANAK Shamsul Bakri dan setiausahanya Zabidie Abas.
Tawaran itu merupakan kali kedua dibuat Anak, selepas kali pertama ditolak oleh Ahmad pada satu pertemuan kedua-dua mereka di parlimen pada bulan Julai tahun lalu.
Menurut Mazlan, debat kali ini akan memfokuskan kepada beberapa masalah utama dialami warga peneroka termasuk nasib generasi kedua dan ketiga Felda.
"Pihak Datuk Ahmad Maslan memainkan satu sentimen bahawa Pakatan Rakyat sebagai penghasut, pembawa fitnah dan memecahbelahkan masyarakat Felda.
"Tetapi kita ada fakta dan hujah yang boleh dipegaang," katanya dalam satu sidang media pagi ini.
Ahmad, diberi tempoh dua hari untuk menjawab surat tawaran tersebut yang kan diadakan pada 28 Januari iaitu dua hari sebelum hari pengundian 30 Januari.
Bagaimanapun, Mazlan menyerahkan kepada Ahmad untuk menetapkan tempat debat yang dirasakan sesuai kepadanya dalam Dun Tenang.
Sekiranya tiada jawapan daripada Ahmad, pihaknya akan menyediakan tempat bagi debat terbuka itu, katanya lagi.
Sebelum ini, Mazlan memberitahu terdapat desakan dari pihak peneroka sendiri yang mahu debat itu direalisasikan agar mereka mendapat penjelasan sebenar dari timbalan menteri itu berhubung masalah mereka.
Peneroka kata Mazlan, tidak berpuas hati dengan tindakan Ahmad sebelum ini yang menolak tawaran debat pertama yang dikemukannya.
Ahmad ketika kempennya kepada peneroka sebelum ini juga didakwa ada menyatakan debat pertama gagal diadakan ekoran Anak yang tidak mahu berdebat dan bukannya beliau tidak berani.
Ekoran itu, Mazlan mahu Ahmad menyahut cabaran kedua ini agar peneroka boleh menilai dan mendapat penjelasan sebenar.
Pakatan jaga rakyat tanpa mengira bangsa Harakahdaily | LABIS, 25 Jan: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, hanya Pakatan Rakyat sahaja yang benar-benar menolong dan menjaga kepentingan rakyat. “Pakatan Rakyat nak tolong dan jaga semua rakyat kerana Pakatan Rakyat berjiwa rakyat. “Kita (dalam Pakatan Rakyat) Melayu boleh tolong Cina, Cina boleh tolong India, India boleh tolong Melayu, bukan Melayu tolong Melayu, Cina tolong Cina dan India tolong India,” ujarnya pada Majlis Mesra Rakyat di pekan ini, petang tadi. Ini, katanya berbeza dengan BN dan parti komponennya seperti Umno, MCA dan MIC yang tidak membela kaum masing-masing. Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP menambah, Umno sendiri terbukti gagal membela dan menjaga kepentingan kaum Melayu. Menurutnya, begitu juga dengan MCA dan MIC yang tidak menolong bangsa sendiri sebaliknya mengutamakan pemimpin masing-masing. Justeru, beliau mengingatkan para pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Tenang supaya mengundi calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Cikgu Mala pada 30 Januari lalu. Berucap pada majlis itu, Cikgu Mala berharap pengundi dapat memberikan sokongan kepadanya untuk membawa suara rakyat dalam Dun Johor. Para hadirin yang terdiri daripada kalangan masyarakat Tionghua pada program tersebut sepakat menyatakan sokongan kepada Cikgu Mala.
Cikgu Mala tidak mahu serang peribadi musuh Harakahdaily | LABIS, 25 Jan: Biarpun diserang dengan pelbagai fitnah, kempen calon PAS, Normala Sudirman atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mala, bertemu pengundi Dun Tenang sedikit pun tidak terjejas.
Pada sidang medianya semalam, Cikgu Mala menampilkan keperibadian yang tinggi apabila menjelaskan beliau tidak akan sesekali membalasnya dengan membuat serangan peribadi kepada pihak lawan.
"Saya tak akan buat serangan peribadi terhadap pihak lawan. Itu pendirian saya walau apa pun mereka buat pada saya.
"Saya percaya Tuhan akan melindungi saya," katanya.
Tambahnya lagi, beliau sedikitpun tidak terkesan dengan serangan peribadi yang dibuat terhadapnya kerana telah membuat persedian awal sebelum nekad menerima tawaran menjadi calon.
Selain itu katanya, beliau tidak mahu membuang masa untuk menjawab fitnah tersebut kerana mahu fokus bertemu seramai mungkin pengundi Dun Tenang sepanjang tempoh kempen ini.
"Saya telah buat persiapan jiwa dan mental...saya sentiasa berdoa agar Tuhan melindungi saya.
"Ianya sedikit pun tidak melemahkan perjuangan saya untuk membela nasib rakyat," ujarnya lagi.
Sejak tempoh kempen bermula 22 Januari lalu, Ciku Mala berdepan beberapa serangan peribadi yang dilemparkan Umno BN.
Ianya termasuk isu tidak bersalam dengan lelaki ketika hari penamaan calon yang dibangkitkan presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Selepas itu, Cikgu Mala kemudiannya memakai sarung tangan bagi membolehkannya bersalam dengan semua orang.
Namun beliau tetap diserang dengan mempersoal kenapa bersalam dengan wanita juga memakai sarung tangan.
Bagaimanapun, isu itu telah dijelaskan oleh Naib Presiden PAS Salahudin Ayub yang mengatakan ia bukan isu kerana setiap kaum mempunyai cara tersendiri untuk mengucapkan salam dan bersalaman.
Selain itu, Cikgu Mala turut difitnah sebagai pernah bertanya kepada seorang peniaga Cina "kenapa jual minuman arak".
Tuduhan itu dilaporkan dibuat oleh ahli parlimen Labis Chua Tee Yong.
Bagaimanapun Cikgu Mala menafikan perkara itu malah PAS mencabar Chua menyatakan di mana, bila dan tempat, calon PAS bercakap sedemikian.
Chua juga diberi tempoh 24 jam bagi menjelaskan tuduhan tersebut, atau berdepan tindakan saman fitnah yang dijangka akan dikemukakan PAS sekiranya tiada jawapan munasabah dari Chua dalam tempoh tersebut. | |
| |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan