Isnin, 24 Januari 2011

BILA MANUSIA RAKUS MAKAN WANG DAN HARTA RAKYAT...DAN TAK RASA BERSALAH....INIKAH PEMIMPIN RAKYAT...BOHONG...MEREKA LUPA 'ZAKOM' DLM NERAKA ALLAH SWT..

Pengasas Umno kecewa dengan Umno
Khairil Abdul Rahim

ROMPIN, 22 Jan: "Saya ni pengasas Umno Rompin, saya bersama-sama berjuang menuntut kemerdekaan tapi dalam hati dan jiwa saya kini sudah tidak ada lagi Umno.

“Perit kami berjuang untuk menuntut kemerdekaan demi maruah bangsa, tapi hari ini saya sedih melihat pemimpin Umno sekarang ini berjuang hanya untuk kaya dan memewahkan diri sendiri.”

Demikianlah luah pengasas Umno Rompin, Tuan Haji Nik Ahmad Bin Nik Hassan, 81, kepada Naib Ketua Pemuda PAS Pahang Fadzli Ramly ketika menziarahi tokoh tersebut bersama Pengarah Jabatan Pilihan Raya (JPN) PAS Pahang, Abdul Majid Hassan, di rumahnya di Kampung Pulau Helang dekat sini baru-baru ini.

"Fadzli teruskanlah perjuangan demi anak bangsa dan agama," katanya kepada Fadzli yang juga bekas calon PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Tioman pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Pesara guru yang mesra dengan panggilan Cikgu Nik itu merupakan pejuang awal kemerdekaan dari Rompin sejak menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris (STIC) bersama dengan Allahyarham Tun Ghafar Baba.

Sebaik pulang dan berkhidmat di Rompin, beliau telah menubuhkan Umno Kuala Rompin dan rapat dengan bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Razak Hussein.

Ketika perisytiharan darurat pada 1948, beliau sendiri berkawal di bandar Kuala Rompin.

Kini Cikgu Nik sudah tidak kuat lagi kudratnya dan terpaksa bertongkat akibat kaki yang agak lemah kerana diabetes.

Namun dalam kelemahan fizikalnya beliau tetap mengikuti perkembangan politik tanah air. Paling membimbangkannya ialah penghakisan tanah rizab Melayu serta ramainya bangsa Melayu yang terjebak dengan gejala sosial.

Difahamkan, ahli Umno sendiri kurang menziarah Tokoh Guru dan isterinya yang juga sedang sakit itu menyebabkan beliau merasa terpinggir dan berkecil hati.


Jadikan filem media dakwah
Ismail Hashim

Pendokong Gerakan Islam di negara ini disaran segera menggunakan ruang media filem yang sedang terbuka luas bagi menyampaikan mesej dakwah dan persoalan semasa kepada rakyat.

Aktivis sosial Islami, Dr Muhaimin Sulam (paling kiri) berkata, industri filem bernilai RM6 bilion ini sewajarnya menjadi lapangan baharu untuk gerakan Islam sertai dalam usaha mengharmonikan pemikiran dan tindakan positif rakyat.

Muhaimin sebelum ini merupakan penggerak kepada Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS Pusat, baru-baru ini berjaya menamatkan pengajian empat tahun dalam pengkhususan sains politik di University of Wales Triniti St Davies, United Kingdom.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Wacana Industri Lakonan dan Dunia Artis Menurut Islam di Dewan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar anjuran Pemuda Persatuan Ulamak Malaysia (PUM).

Turut serta adalah Ketua Ulama Majlis Syura Sekreatariat Ulama Muda Umno (iLMU), Fadlan Mohd Othman lulusan bidang Hadis daripada Universiti Madinah dengan Editor Islamika PTS, Ustaz Zahiruddin Zabidi sebagai moderator.

Bercakap lebih lanjut, Muhaimin berkata, mereka yang memperjuangkan perancangan dan ideologi sekular kelihatan lebih kehadapan dengan mengambil kesempatan sepenuhnya dari dahulu lagi.

Menurutnya, pihak yang tidak mendokong gerakan Islam ini sedang mewarnai bidang perfileman dalam negara ini sejak sekian lama tanpa sebarang gugatan dan mereka dengan semahunya mengaut keuntungan wang dan misi propaganda.

"Setakat ini tidak ada sebuah filem pun yang menceritakan kebaikan gerakan Islam khususnya PAS, dalam masa sama kebanyakan filem sarat dengan mesej negatif kepada penonton.

"Kita tidak menetapkan ciri-ciri sesebuah filem Islami itu mesti ada perlambangan seperti pelakon mesti berjanggut, bersongkok dan ada kalimah Arab di dalam skripnya namun natijah akhirnya mesti menyedarkan khalayak tentang kebenaran," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan, kelihatannya filem-filem bikinan barat lebih memberikan impak lebih berkesan berbanding kebanyakan filem hasil kerja tidak bermanfaat ke arah mendidik masyarakat terbitan syarikat filem dalam negara.

Beliau tidak menafikan wujud segelintir kecil mereka yang berusaha dengan bersungguh-sungguh mendatangkan kesan positif kepada penonton seperti antaranya, Pengarah Haji Abu Hassan Morad dan Puan Erma Fatima.

Ketika ditanya tentang persediaan PAS menangani isu ini jika berjaya memerintah negara, Muhaimin menjawab, Dasar Perfileman 2005 sudah ada dan selepas menang, segala peruntukan dan penguatkuasaan boleh dilaksanakan sebaik mungkin.



Kebangkitan rakyat di Tunisia dan Jazerah Arab
Suhaimi Mokhtar *

Kebangkitan kuasa rakyat sedang melanda ke seluruh Jazirah Arab menentang regim-regim diktator, rasuah, zalim dan tidak demokratik yang menindas majoriti rakyat dengan polisi-polisi mengekang kebebesan bersuara, hak asasi dan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan.

Kebangkitan ini dengan demonstarsi besar-besaran rakyat memenuhi jalanraya berlangsung di Tunisia. Mesir. Algeria, Kuwiat, Jordan dan lain-lain negara umat Islam. Ia fenomena yang membimbangkan negara-negara diseluruh Semenanjung Arab.

Negara-negara umat Islam lain sedang memperketatkan kawalan keselamatan dengan menambahkan kehadiran pasukan keselamatan di lokasi-lokasi strategik bagi membendung kebangkitan. Negara-negara ini turut merasakan tempias bahang kebangkitan rakyat ini.

Regim-regim ini yang mengamalkan dasar keras dan kukubesi yang hampir sama berada dalam kebimbangan melihat kebangkitan di Tunisia dan di beberapa negara umat Islam.

Negara-negara ini bimbang teori domino bakal berlaku. Selepas Tunisia akan muncul kebangkitan rakyat di negara mereka. Reaksi dari kebangkitan di Tunisia mulai dirasakan di Mesir, Kuwiat, Algeria, Jordan apabila rakyat negara-negara ini berhimpun berdemonstrasi menggerakkan perjuangan kebangkitan rakyat.

Kebangkitan rakyat di Tunisia yang bermula sejak sebulan lalu kerana membantah polisi kerajaan yang tidak dapat mengadakan pekerjaan kepada golongan muda yang terpelajar di negara itu sehingga menyebabkan kadar pengangguran di Tunisia begitu tinggi sedangkan elit pemerintah memperkayakan diri dan keluarga mereka. Jurang pemisah antara yang kaya dengan yang miskin terlalu jauh.

Polisi kerajaan terus memperkayakan yang kaya dan yang miskin terus menjadi miskin. Kekayaan hanya berkisar di sekitar kalangan pemerintah dan konco-konconya.

Kenaikan kos sara hidup dengan harga barangan keperluan asas yang tinggi tambah memarakkan suasana penentangan rakyat untuk keluar ke jalan-jalan raya berdemonstrasi.

Perbuatan rasuah, kezaliman dengan tindakan mengekang kebebasan bersuara dengan mengawal ketat dan menguasai media, memenjarakan ahli-ahli politik yang tidak sehaluan dengan kerajaan telah menimbulkan keresahan rakyat yang akhirnya keluar kejalanraya berdemonstrasi menyebabkan regim diktator presiden Zine El-Abidine bin Ali atau lebih dikenali sebagai Ben Ali ditumbangkan. Ben Ali lari meninggalkan Tunis dan kini tinggal dalam buangan di Saudi Arabia.

Kuasa rakyat berjaya menumbangkan pemerintahan Ben Ali selama 23 tahun. Ben Ali memerintah secara autokratik sejak rampasan kuasa tanpa menumpahkan darah pada tahun 1987. Regim Ben Ali selama pemerintahannya menyekat aktiviti politik pembangkang dan ramai penentang-penentang politiknya dipenjarakan.

Salah seorang tokoh pimpinan Pergerkan Islam Tunisia, Rachid Ghannuchi kini berada di London tinggal dalam buangan bagi mengelak dari ditangkap apabila Ben Ali mengharamkan beberapa buah parti politik pembangkang.

Apa yang mengambil tempat di Tunisia bagaikan satu ledakan bom jangka dan ia memungkinkan ledakan bom jangka akan berlaku di beberapa buah negara umat Islam lain di rantau Timur Tengah kerana setail pemerintahan regim-regim ini hampir sama dengan cara pemerintahan kuku besi di Tunisia.

Di Tunisia, segala-galanya bermula apabila seorang pemuda terpelajar yang menganggur sedang menjual barangan tanpa mempunyai permit, lalu dia ditahan polis dan barangannya dirampas. Pemuda ini bertindak membakar diri kerana membantah dan dia akhirnya meninggal dunia. Permulaan inilah yang memercikkan api kebangkitan rakyat yang menukar lanskap politik Tunisia.

Peniruan perbuatan ini berlaku di Mesir dan di Algeria, apabila saorang anak muda di Mesir dan di Algeria cuba membakar diri masing-masing sebagai tindakan memprotes situasi politik dan ekonomi di kedua buah negara umat Islam itu. Ia menandakan bahawa rentetan tragedi berdarah di Tunisia menyeberangi melampaui sempadan Tunisia, mengheret seluruh Jazirah Arab.

Demonstrasi turut mengambil tempat di Jordan dan Kuwiat tetapi laporannya sengaja tidak diperbesar-besarkan. Apa yang berlaku di Tunisia membimbangkan negara-negara umat Islam lain termasuk Saudi Arabia, negara Ben Ali sedang mendapat perlindungan politik.

Perkembangan politik di Asia Barat berlangsung begitu cepat. Regim di Mesir dibawah Presiden Hosni Mubarak setakat ini dapat membendung situasi yang diilhami dari Tunisia walaupun sebelum kebangkitan rakyat di Tunisia, berlaku tunjuk perasaan kalangan aliran koptik kristian di Mesir yang memprotes kejadian pengeboman di gereja mereka menjelang perayaan hari Krismas. Demonstrasi di Algeria, Jordan dan Kuwiat juga setakat ini dapat dikawal.

Regim sementara telah dibentuk oleh Perdana Menteri (PM) Mohammad Ghannuchi yang memasukkan beberapa orang tokoh pemimpin pembangkang dalam kabinet tetapi meninggalkan tokoh pergerakan Islam terutama Rachid Ghannuchi. Tanpa penyertaan pergerakan Islam dalam kerajaan yang dipanggil sebagai kerajaan perpaduan, tidak akan menyelesaikan konflik politik di Tunisia. Kebanyakan anggota kabinet kerajaan sementara ini masih lagi muka-muka lama yang ada kaitannya dengan Ben Ali. Mereka memegang portfolio penting Pertahanan, Dalam Negeri, kewangan dan Luar Negara.

Keanggotaan kabinet sementara ini menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat yang menumbangkan regim Ben Ali dan akibatnya kemungkinan demonstrasi jalanan akan diteruskan, walaupun keadaan dikatakan terkawal.

Perlembagaan Tunisia menghendaki pilihanraya diadakan dalam masa 60 hari selepas penubuhan kerajaan sementara. Pentadbiran Mohammad Ghannuchi yang merupakan rakan Ben Ali dijangka akan membuat beberapa pembaharuan politik yang akan membuka ruang parti-parti pembangkang mengambil bahagian dalam pilihanraya. Di era pemerintahan Ben Ali ada parti politik pembangkang yang diharamkan dan ada pula yang dibenarkan. Tindakan Ben Ali ada kaitannya untuk membendung kebangkitan Islam di Tunisia dan Ben Ali merupakan sekutu AS dan barat yang akrab.

Kelangsungan kebangkitan rakyat di Tunisia telah menukar lanskap politik di Jazirah Arab. Ia memberi harapan kepada kebangkitan Islam di negara itu dan di negara umat Islam yang lain di rantau itu. Perkembangan di Tunisia sedang mendapat perhatian serius AS dan barat yang bimbang dengan kemunculan pergerakan Islam menjadi tenaga politik berkesan di negara itu.

Bersama dengan perkembangan di Tunisia dan negara-negara di rantau itu yang sedang menerima percikan bahang kebangkitan rakyat itu, berlaku dua perkembangan politik penting yang lain iaitu referendum pemisahan Selatan Sudan yang akan menjadikan Sudan terbahagi dua, Utara Sudan bermojoriti penduduk Islam yang berpusat di Khartoum dan Selatan Sudan bermajoriti penganut kristian. Perkembangan terakhir di Sudan ialah penangkapan pemimpin pergerakan Islam Sudan, Hassan Turabi oleh regim Omar Al-Bashir di Khartoum.

Satu lagi perkembangan yang menegangkan suasana di Timur Tengah ialah tumbangnya kerajaan Saad Hariri di Lubnan, apabila kabinet yang disertai blok Hizbulllah dan sekutunya seramai 11 orang meninggalkan kerajaan dan tidak akan menerima lagi Saad Hariri menjadi PM.

Tindakan Hizbullah berikutan penerimaan tribunal antarabangsa oleh Saad Hariri yang dianggap Hizbullah bertujuan untuk mengaitkan beberapa pemimpin mereka sebagai mereka yang terlibat dalam mendalangi pembunuhan PM Rafik Hariri pada 2005. Rafik Hariri ialah ayah kepada Saad.

Penerimaan tribunal adalah atas desakan dan tekanan AS dan barat yang ada kaitannya dengan tuntutan regim zionis untuk mengasingkan Hizbullah yang mempertahankan Lubnan dari serangan regim zionis dalam perang yang dilancarkan terhadap pergerakan Hizbullah dua tahun lalu.

Segala perkembangan ini meletakkan rantau Timur Tengah dan negara-negara umat Islam terus berada dalam kancah sengketa, konflik dan perang. Semuanya kerana akibat penglibatan AS dan barat.
----------------------------------------

Penulis adalah bekas Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Pernah menjadi Setiausaha Akhbar Presiden PAS dan juga Ketua Pengarang Harakah. Beliau menulis dua kali seminggu untuk Harakahdaily.


Revolusi Tunisia, gerakan Islam dan harapan perubahan dunia Arab
Haris Zalkapli

Perubahan politik di Tunisia telah mencetuskan harapan ramai untuk melihat hal yang sama berlaku di negara-negara Arab lain.

Protes yang berlaku ekoran episod di Tunisia di negara-negara lain menambahkan lagi jangkaan untuk melihat pemimpin korup dan zalim di negara Arab lain dijatuhkan.

Selepas Tunisia, antara negara lain yang mempunyai potensi ialah Algeria dan Mesir, yang masing-masing telah menunjukkan perubahan sebenar berlaku – tetapi dihalang dengan kekerasan – dan potensi perubahan menolak rejim lama.

Satu pandangan yang optimis melihat perubahan bersandarkan kes Eropah Timur yang kerajaan-kerajaan Komunis rantau tersebut jatuh dalam masa yang singkat.

Hal tersebut berlaku demikian disebabkan faktor penting ideologi dan negara penaung yang sama iaitu Kesatuan Soviet, yang menjadi faktor utama berdirinya rejim Komunis tersebut.

Pada masa sama, penentang-penentang rejim Komunis turut menerima sokongan daripada kuasa Barat yang bersaing dengan Komunisme.

Di dunia Arab, perkara yang sama tidak kelihatan dan setiap rejim mempunyai ideologi dan pragmatisme tersendiri dalam menghadapi musuh-musuh politik.

Rejim-rejim lama terbabit, yang sudah masak dengan pelbagai cara menyekat dan memerangi penentangan juga boleh dijangka sudah melaksanakan langkah-langkah pencegahan untuk menghalang protes-protes dan pelbagai bentuk penentangan lain.

Rejim-rejim Arab juga masih mendapat sokongan kuat kuasa besar kerana kestabilan dan kepastian yang diberikan sejak sekian lama.

Mereka masih boleh diharapkan untuk mewakili kepentingan Barat dalam banyak hal, seperti usaha memerangi teroris dan militan yang sedang menjadi tumpuan pada masa ini.

Malah, satu pemerhatian awal di media utama Amerika Syarikat behubung “Revolusi Jasmin” turut menyebut “peluang dan risiko” perubahan itu kepada AS.

Kumpulan-kumpulan berhaluan kanan di negara itu juga telah mula memberi amaran supaya gerakan Islam tidak dibenarkan mengambil kesempatan daripada perkembangan itu.

Di Mesir misalnya, Presiden Hosni Mubarak yang kembali kelihatan sihat kebelakangan ini menjadi sandaran pihak Barat untuk menjaga kepentingan mereka.

Tunisia di bawah pimpinan Presiden Zine al-Abidine Ben Ali juga mendapat sokongan kuat Barat selama ini, hakikat yang sebahagiannya dijelaskan oleh pemerintahannya yang mencapai 23 tahun.

Kedua-dua pemimpin republik Arab-Afrika tersebut mempunyai satu persamaan dalam menyekat dan menekan gerakan Islam di negara mereka.

Ikhwan al-Muslimin dan gerakan al-Nahdah di Mesir dan Tunisia menjadi musuh politik utama rejim-rejim pemerintah negara masing-masing.

Mesir yang sering menjadi perhatian dalam berita telah menunjukkan bagaimana pelbagai langkah sekatan dikenakan oleh pemerintah terhadap gerakan Islam dan kumpulan-kumpulan pembangkang lain.

Tunisia turut menyaksikan hal yang sama, dengan gerakan Islam ditekan hingga mendorong pemimpinnya meninggalkan negara dan tinggal di Eropah.

Gerakan Islam menjadi musuh kuat rejim lama Tunisia (walaupun perubahan sikap dalam hal ini belum boleh dipastikan dalam kerajaan baharu negara itu) sehingga ada pemerhati berpendapat perubahan di negara Afrika Utara itu boleh berlaku kerana gerakan Islam tidak terlibat.

Penglibatan gerakan Islam yang menjadi musuh utama rejim Ben Ali didakwa akan mengundang respons keras rejim sehingga berupaya menggagalkan sebarang usaha penentangan.

Perubahan politik yang mendadak sentiasa membuka ruang ketidakpastian dan sering perubahan yang berlaku sukar diuruskan sehingga berpotensi mendatangkan kesan berpanjangan.

Potensi ini menjadikan perubahan yang tidak dirancang tidak dikehendaki oleh negara-negara kuasa besar yang menyokong rejim terbabit.

Ketidakpastian dan potensi gerakan Islam mendapat tempat dalam politik baharu negara terbabit menjadikan rejim-rejim lama terus mendapat sokongan.

Malah, seperti disaksikan di Algeria, kuasa Barat boleh menutup mata terhadap pelbagai pencabulan dan jenayah dilakukan untuk menghalang perubahan berlaku.

Perubahan yang berlaku di Tunisia juga masih kelihatan belum selesai walaupun kerajaan baharu telah menunjukkan usaha memisahkan diri daripada rejim lama.

Perdana menteri Mohammed Ghannouchi dan Fouad Mebazaa, speaker dewan rendah dan presiden sementara telah meninggalkan parti Ben Ali untuk memisahkan diri dan membina kredibiliti kerajaan perpaduan yang baharu ditubuhkan.

Orang ramai juga terdedah kepada kecenderungan melihat simbol-simbol perubahan dan dialihkan tumpuan daripada melihat keperluan perubahan yang lebih bermakna dan mendalam.

Parti Islam masih belum dapat dilihat penglibatan mereka dalam Tunisia baharu yang sedang dibentuk ini, walaupun selama ini menjadi mangsa utama rejim Ben Ali.

Dalam laporan-laporan media Barat tentang Tunisia, penglibatan al-Nahdah dalam politik masih disertai dengan kebimbangan terhadap “politik Islam” di Tunisia, yang terdedah kepada persepsi dikaitkan dengan terorisme dan unsur negatif lain.

Penglibatan al-Nahdah dalam politik negara itu disebut sebagai mencetuskan kebimbangan terhadap pelaksanaan Islam yang didakwa menyekat kebebasan.

Barat masih melihat parti politik Islam sebagai bertentangan dengan demokrasi dan nilai-nilai yang mereka terima.

Kepulangan tokoh al-Nahdah Rachid Ghannouchi dilihat dengan kebimbangan oleh banyak pihak di Barat.

Persepsi ini berupaya untuk memberi kesan kepada rakyat dan kerajaan baharu Tunisia, lebih-lebih lagi melibatkan reaksi negara asing dan kuasa besar.

Perubahan di Tunisia itu tetap tidak boleh dilihat secara terpisah daripada perkembangan di dunia Arab dan seluruh dunia, ketika kesedaran terhadap penglibatan dalam proses demokrasi semakin menjadi tuntutan.

Istilah Revolusi Jasmin yang digunakan memberi petanda kebangkitan seterusnya di negara lain masih boleh berlaku, tetapi tidak mudah untuk melihatnya berlaku, terutama dalam tempoh yang singkat.

Revolusi warna dan simbol (Ros, Jingga, Tulip) menjadi satu topik khusus dalam politik global hari ini dan memberikan harapan kepada orang ramai.

Seperti yang boleh diperhatikan melalui revolusi seperti itu di Asia Tengah, keputusannya masih bercampur-campur, dengan tidak ada petunjuk jelas perubahan yang bermakna.

Walau bagaimanapun, Revolusi Jasmin di Tunisia telah sekurang-kurangnya mencetuskan harapan dan inspirasi di seluruh dunia Arab. Lembaran baharu ini masih mempunyai potensi untuk rakyat rantau itu tidak melihat perubahan sebagai sesuatu yang mustahil.

Tiada ulasan: