DUNIA
Kuan Yew gesa penduduk Islam kurang patuh pada agama
SINGAPURA - Pengasas Singapura, Lee Kuan Yew menggesa masyarakat Islam di negara itu supaya menjadi kurang tegas dalam hal pematuhan ajaran agama demi meningkatkan integrasi dan proses pembangunan negara bangsa.
Singapura didominasi oleh penduduk etnik Cina manakala kaum minoritinya dibentuk oleh kelompok Melayu beragama Islam dan orang India.
Kuan Yew sering menekankan mengenai pentingnya keharmonian kaum.
"Saya ingin menyatakan pada hari ini, kita boleh mengintegrasikan semua agama dan kaum kecuali Islam," kata Kuan Yew dalam bukunya yang bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going.
Buku tersebut mengandungi pandangan-pandangan jujurnya mengenai Singapura dan masa depannya.
"Saya fikir kita bergerak maju dengan baik sehinggalah timbulnya Islam dan jika kamu tanya tentang pemantauan saya, komuniti-komuniti lain lebih mudah berintegrasi, kawan-kawan, perkahwinan berlainan bangsa dan sebagainya.
"Saya fikir masyarakat Islam secara sosialnya tidak menimbulkan sebarang masalah, tetapi mereka berbeza dan terpisah," kata Kuan Yew yang menggesa komuniti Islam untuk menjadi kurang tegas dalam mematuhi Islam.
Sewaktu pelancaran buku tersebut pada Jumaat lalu, beliau yang menyifatkan dirinya sebagai seorang yang pragmatik memberi amaran kepada rakyat Singapura tentang perasaan puas hati mereka.
Kuan Yew turut menyatakan republik yang majoritinya terdiri daripada etnik Cina itu masih dalam proses membangunkan sebuah negara bangsa.
Di dalam bukunya, beliau menyifatkan Singapura sebagai sebuah bangunan 80 tingkat yang dibina di atas tanah berpaya.
Kuan Yew menegaskan bahawa Singapura mesti berdepan dengan perasaan bermusuhan daripada jiran-jiran beragama Islam yang lebih ramai.
"Kita mempunyai jiran-jiran yang peramah? Sedarlah... Inilah yang melemahkan kita kerana kita merupakan orang yang gemar mencampuri urusan orang lain," katanya yang mendakwa usaha Malaysia dan Indonesia untuk menjejaskan perniagaan pelabuhan Singapura.
Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 ekoran perbezaan besar terhadap dasar Kuala Lumpur yang memberi keistimewaan kepada kaum Melayu. Sejak itu, Singapura telah mewujudkan pasukan tentera paling moden di Asia Tenggara untuk menangani ancaman negara asing.
Bercakap tentang politik tempatan, Kuan Yew menyatakan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah sejak tahun 1959 apabila Singapura memperoleh autonomi politik daripada pemerintah kolonial Britain akan kehilangan kuasanya pada satu hari nanti.
"Akan tiba satu masa apabila orang ramai berkata, mari cuba pihak yang satu lagi. Sama ada kerana kualiti PAP telah menurun atau pihak pembangkang sudah menghasilkan satu pasukan yang setanding dengan PAP. Hari itu akan tiba. Bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, saya tidak fikir ia akan berlaku. Menjangkau tempoh itu, saya tidak tahu," katanya.
Kuan Yew menyatakan walaupun satu kaji selidik menunjukkan sebaliknya, beliau percaya rakyat Singapura masih belum bersedia menerima seorang perdana menteri yang bukan daripada etnik Cina.
"Satu undian menyatakan 90 peratus masyarakat Cina Singapura menyatakan mereka akan melantik seorang bukan Cina sebagai PM. Baiklah, ini adalah ideal. Anda percaya undian-undian ini? Betul-betul sampah. Mereka bercakap apa yang secara politiknya betul," tegasnya.
Kuan Yew juga mempertahankan dasar mempromosikan perkahwinan sesama rakyat Singapura yang berpendidikan tinggi.
Dasar itu dilihat oleh para pengkritik sebagai satu proses kejuruteraan sosial dan menafikan tanggapan mengenai cinta pandang pertama.
"Rakyat mendapat pendidikan. Golongan yang cerdik akan naik statusnya dan mengahwini pasangan yang sama-sama menerima pendidikan yang bagus. Hasilnya, anak mereka pasti lebih pandai berbanding anak-anak tukang kebun.
"Ini adalah hakikat kehidupan. Anda mempunyai seekor kuda betina yang bagus, anda tidak mahu membuat kacukkan antara ia dengan seekor kuda biasa. Anda akan mendapat anak kuda yang kurang bagus. Manusia yang tertarik kepada karakteristik fizikal akan menyesal mengenainya," katanya lagi.
Kuan Yew mendedahkan beliau telah mendermakan semua pendapatannya berjumlah AS$10 juta (RM30.6 juta) kepada kebajikan sejak mengundurkan diri sebagai perdana menteri pada tahun 1990 selepas 31 tahun berkuasa.
Menteri-menteri kabinet Singapura mendapat bayaran gaji tertinggi di dunia sebagai sebahagian daripada strategi mencegah rasuah dan menarik bakat dari sektor swasta.
Kuan Yew yang memegang jawatan khas, Mentor Perdana Menteri kini bertindak selaku penasihat kepada Perdana Menteri Singapura yang juga merupakan anak lelakinya, Lee Hsien Loong yang mula memerintah sejak tahun 2004.Di sebalik kata-katanya yang tegas, Kuan Yew menunjukkan ciri-ciri kelembutannya apabila ditanya tentang mendiang isterinya, Kwa Geok Choo yang meninggal dunia pada usia 89 tahun, Oktober lalu.
"Ia membawa makna lebih keseorangan," kata Kuan Yew dalam buku tersebut yang mengandungi siri temu ramah eksklusif dengan wartawan-wartawan akhbar Straits Times. - AFP
Bagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, anggota Parlimen bukan sahaja hanya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun malah perlu diberi latihan bagaimana untuk mengawal tekanan memandangkan tanggungjawab mereka.
Anggota parlimen Santubong itu berkata walaupun ajal dan maut di tangan Tuhan, tetapi wakil rakyat mestilah menjaga kesihatan bagi memastikan mereka sihat untuk berkhidmat.
Sebagai orang yang berpengalaman sebagai wakil rakyat, iaitu telah menjadi wakil rakyat sejak 20 tahun lepas dan mewakili dua kawasan parlimen yang berbeza iaitu di Batang Lupar selama tiga penggal (1990-2004) dan di Santubong sejak pilihan raya umum 2004 hingga kini, beliau berkata terdapat masalah yang berbeza dari satu kawasan ke satu kawasan.
"Untuk jadi wakil rakyat perlu bersedia dengan semua ini," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa pihaknya akan membawa ke mesyuarat mingguan jemaah menteri minggu ini untuk mewajibkan wakil rakyat menjalani pemerikasaan kesihatan berikutan banyak pilihan raya kecil diadakan berikutan kematian wakil rakyat disebabkan masalah kesihatan.
Sejak pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008, sebanyak 14 pilihan raya kecil telah diadakan dengan 10 daripadanya berikutan kematian wakil rakyat kerana pelbagai masalah kesihatan.
Sementara yang terbaru ialah kematian ADUN Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada Khamis lepas kerana serangan jantung yang menjadikan jumlah pilihan raya kecil meningkat kepada 15.
Dua lagi wakil rakyat BN yang meninggal kerana serangan jantung ialah Datuk Razali Ismail anggota Parlimen Kuala Terengganu pada 28 Nov 2008 dan ADUN Batang Ai Datuk Dublin Unting Batang Ai, 55, pada 24 Februari 2009.
Selain itu tiga wakil rakyat Pas iaitu anggota parlimen Bukit Gantang Roslan Shaharom, 50, pada 9 Feb 2009, ADUN Manek Urai Ismail Yaacob, 60, (25 Mei 2009), ADUN Permatang Pasir Datuk Hamdan Abdul Rahman,63, (31 Julai 2009) juga meninggal akibat sakit jantung.
Seramai tiga wakil rakyat meninggal kerana penyakit kanser iaitu anggota parlimen Hulu Selangor Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR pada 25 Mac 2010 kerana barah otak, anggota Parlimen Sibu Datuk Robert Lau dari BN, 68, pada 9 April 2010 kerana kanser hati dan Adun Galas Chek Hashim Sulaima dari Pas, 47, kerana barah usus pada 27 Sept 2010.
Bagi anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar cadangan Liow itu adalah satu inisiatif yang baik, malah beliau sendiri sejak menjadi wakil rakyat pada 1999 sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.
"Tetapi pemeriksaan ini bukanlah satu cara untuk mencegah kematian. Mungkin dalam tempoh enam bulan selepas melakukan pemeriksaan kita jatuh sakit, kita tidak akan tahu perkara itu dan ianya di luar kawalan doktor," kata Naib Presiden Pas itu.
Anggota parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahalan pula mencadangkan maklumat mengenai kesihatan wakil rakyat itu perlu dirahsiakan dengan hanya pemimpin parti sahaja yang mengetahui mengenainya.
Abdul Rahman juga mencadangkan supaya wakil rakyat juga perlu berhati-hati dalam menggunakan pengangkutan semasa melawat kawasan kerana ada yang terpaksa menaiki bot ataupun menaiki kenderaan berjam-jam untuk sampai ke kawasan masing-masing terutama di luar bandar.
Bagi Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw, 69, yang merupakan antara anggota Parlimen paling lama iaitu anggota Parlimen Kepong sejak pilihan raya umum 1982 dan seorang doktor berkata berkata:
"Walaupun kita tidak boleh menjamin kesihatan seseorang selepas pemeriksaan kesihatan setiap tahun (atau berkala), ia boleh memberikan peringatan kepada mereka mengenai betapa pentingnya kesihatan itu (untuknya)."
--Bernama
Ini kerana katanya, jentera pilihan raya BN terpaksa mengagihkan kekuatan mereka sekali gus memberi ruang kepada pakatan pembangkang.
"Kita parah kalau pilihan raya kecil kerana seluruh jentera itu (BN) tertumpu ke situ, tetapi kalau pilihan raya umum, dia (BN) kena jaga semua," katanya kepada pemberita, di Kuala Lumpur hari ini.
Pandangan Anwar itu bertentangan dengan Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng yang dilapor berkata pilihan raya serentak memberi kelebihan kepada BN khususnya daripada segi kempen.
Cadangan pilihan raya serentak itu dicetuskan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Talib Mahmud yang dilapor media sebagai mahu berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenainya.
Mengulas lanjut, Penasihat PKR itu juga berkata pakatan PKR-DAP-PAS sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan tersebut.
"Kita sudah bersiap sedia (dengan mewujudkan) team media, pembahagian kerusi juga sudah mulakan team mereka, tetapi kita beri banyak kuasa kepada negeri-negeri untuk berbincang di peringkat negeri," kata Anwar.
--Bernama
Bagi pengamal undang-undang Datuk Mohd Hafarizam Harun katanya walaupun Speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim mempunyai kuasa mengosongkan kerusi itu, ia hanya boleh disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Sama ada kerusi itu kosong atau tidak, ia akan hanya ditentukan oleh SPR. Jadi tindakan menghalang Badrul Hisham menghadiri sidang DUN adalah tidak wajar.
Ini dilihat seperti mahu mengurangkan jumlah yang hadir pada sidang itu (esok) yang akan melakukan pindaan pada perlembagan negeri. Notis itu (melarang hadir) jelas Speaker ada agenda tersembunyi," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
Mohd Hafarizam berkata demikian bagi mengulas kenyataan Teng pada Jumaat lepas bahawa Badrul Hisham tidak lagi layak menghadiri persidangan DUN esok kerana beliau bukan lagi seorang ADUN.
Rabu lepas, Teng mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang sebagai kosong berkuatkuasa 16 Jan lalu berikutan kegagalan penyandangnya Badrul Hisham, ADUN Bebas menghadiri persidangan DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah.
Teng menghantar notis pemberitahuan tentang kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang kepada SPR pada Jumaat lepas.
Mohd Hafarizam berkata isu kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang itu sepatutnya dibahaskan dalam dewan, dengan Badrul Hisham dibenarkan hadir untuk memberi penjelasan.
“Apa yang diputuskan Speaker itu sebenarnya tidak muktamad. Memang Speaker mempunyai kuasa penuh dalam dewan, tetapi mengenai pilihan raya atau kekosongan kerusi, ia menjadi kuasa SPR,” katanya.
--Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan