Al-Quran tidak pernah meletakkan kesalahan Adam yang melanggar perintah Allah dalam syurga atas bahu isterinya, Hawa. Sekalipun Bible dan riwayat Israiliyyat dalam sesetengah buku tafsir menyatakan Hawa punca Adam memakan buah larangan di syurga, namun al-Quran tidak pernah menyatakan demikian.
Menurut al-Quran, kesalahan tersebut ditanggung oleh kedua belah pihak. Sementara Bible (Genesis 3:6-17) menceritakan Hawa (Eve) mempengaruhi Adam, dengan itu Tuhan menghukum Hawa dengan diberikan kesakitan ketika melahirkan anak. Hal ini juga disebut riwayat Israiliyyat yang sering dibaca sesetengah penceramah di masjid dan surau. Namun, pengkaji hadis mendapati riwayat-riwayat itu tidak boleh dijadikan pegangan dan bercanggahan dengan apa disebut dalam al-Quran.
Al-Quran menyebut: “dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Menetaplah engkau dan isterimu di dalam syurga, dan makanlah daripada makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua suka, dan janganlah kamu berdua hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan termasuk dalam golongan zalim. Maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan Adam-Hawa dikeluarkan dari nikmat berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian daripada kamu menjadi musuh kepada sebahagian lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”. (Surah al-Baqarah: 35-36).
Dalam Surah Taha pula Allah berfirman: “dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka pun sujud, kecuali Iblis, dia enggan sujud. Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam! Sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan itu nanti kamu akan menderita. Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, kamu tidak akan lapar di dalam syurga dan tidak akan bertelanjang. Sesungguhnya kamu juga tidak akan dahaga di dalamnya, dan tidak akan berasa panas matahari”. Kemudian, syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya (Adam), dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan lenyap?”. Kemudian mereka berdua memakan daripada pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mula menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). (Surah Taha: 116-121).
Ayat-ayat ini jelas kesalahan Adam yang membuatkan manusia tercampak ke bumi, bukanlah berpunca daripada isterinya Hawa, sebaliknya berpunca daripada kelemahan Adam sendiri yang ditipu Iblis, akhirnya dia dan isterinya terlibat bersama dalam kesalahan tersebut.
Ini berbeza dengan Bible. Berbeza juga dengan cerita-cerita sesetengah penceramah agama yang mengutip kisah Adam dan Hawa daripada riwayat Israiliyyat, ataupun Bible atau diwarisi cerita daripada satu ustaz ke satu ustaz tanpa dibandingkan dengan apa yang terkandung dalam al-Quran. Lebih buruk lagi, kononnya Iblis masuk ke syurga melalui perut ular dan pelbagai lagi episod ‘kartun’ yang dimuatkan.
Cerita Hawa yang dipergunakan oleh Iblis sehingga mengeluarkan manusia dari syurga adalah unsur luaran yang dimasukkan ke dalam pemikiran umat Islam. Kata Dr Abu Syahbah: “Semuanya ini dari sumber Bani Israil yang mereka tokok tambah dan mencampurkan antara benar dan batil”.(Dr. Muhammad Abu Syahbah, al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al-Tafasir, 179. Kaherah: Maktabah al-Sunnah).
Maka, umat Islam atau lelaki Muslim tidak akan menganggap punca kejatuhan lelaki kesemuanya bermula daripada wanita.
Walaupun wanita itu memang mempunyai pengaruhi kuat ke atas lelaki, seperti mana pengaruh lelaki terhadap wanita, namun kejatuhan lelaki atau wanita daripada kelemahan sendiri yang kadang-kala dieksploitasi oleh pasangannya.
Muslihat wanita
Namun masa yang sama, al-Quran juga menyatakan kehebatan ‘usikan’ wanita atau lebih jelas ‘muslimat’ mereka jika bermaksud ingin melakukan ‘perancangan halus’. Wanita jika kena gaya boleh menjadikan lelaki ‘mengidaminya’ angau dan terpengaruh atas kehendaknya. Perancangan wanita begitu hebat sehingga al-Quran merakamkan ungkapan yang ditujukan kepada isteri Menteri Mesir (riwayat Israiliyyat konon menamakannya Zulaikha) dalam kisah Yusuf: “Ini adalah perancangan kamu (wanita), dan sesungguhnya perancangan kamu itu hebat”. (Surah Yusuf: 28).
Perkataan Arab yang al-Quran gunakan dalam ayat berkenaan ialah kaid bermaksud perancangan yang ada unsur licik. Sebab itu Louay Fatoohi dalam bukunya The Prophet Joseph menterjemahkan perkataan Kaid sebagai scheme bermaksud tindakan licik dan perancangan sulit yang kadangkala membabitkan tipu daya. Kata beliau: “..this word, which I have translated as scheme means guile and plotting that could involve lies, as in this case”. (ms 86. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust). Maka, atas kelicikan itu, ramai lelaki yang tewas.
Wanita ada kuasa ‘licin’ dan licik. Walaupun Nabi Yusuf tidak tewas, tetapi ramai lelaki, selain Nabi yang tewas dengan ‘kaid’ wanita. Senjata rahsia wanita pada tubuh, bahasanya dan jelingannya. Walaupun bukan semua mereka ada kelebihan itu, namun bagi yang berkelebihan jika perangkapnya mengena, sukar untuk lelaki terlepas daripadanya, kecuali mereka yang memenangkan takwanya atau godaan atau Kaid tersebut.
Nabi SAW pernah bersabda: “Aku tidak tinggal cubaan lebih hebat ke atas lelaki lebih daripada wanita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Sabda baginda juga: “Sesungguhnya dunia itu manis lagi hijau dan Allah menjadikan kalian berketurunan di atasnya. Allah melihat apa kalian buat. Takutlah kamu kepada (fitnah) dunia dan takutlah kepada (fitnah) wanita, kerana sesungguhnya awal fitnah yang menimpa Bani Israil daripada wanitanya” (Riwayat Muslim).
Maka, tidak hairan berapa ramai pemimpin gagah, tetapi ditewaskan oleh wanita idaman, atau isteri kesayangannya. Betapa banyak reputasi pemimpin dirosakkan isteri mereka sehingga rakyat membenci seseorang pemimpin kerana gelagat isterinya. Di negara tertentu, kerenah wanita yang memakai gelaran first lady boleh menghancurkan kerjaya dan masa depan politik seorang pemimpin negara.
Demikian kerenah isteri pemimpin di pelbagai peringkat. Maka, tidak hairanlah jika Elena Ceausescu, isteri bekas diktator Romania Nocolae Ceausescu dihukum mati bersama suaminya oleh rakyat Romania disebabkan peranannya dalam pemborosan harta negara dan kezaliman kuasa. Maka, jika suami tidak berperanan sebagai pembimbing dan pengawal yang soleh terhadap isteri, pelbagai kemungkinan boleh berlaku atas kemahiran wanita dalam perancangan atau kaid mereka.
Perhiasan terindah
Namun wanita itu apabila solehah, mereka kadangkala lebih baik daripada lelaki. Kehidupan buruk seseorang lelaki boleh diubah dengan kehalusan budi dan nilai ada pada wanita. Nama baik seorang lelaki bertambah indah dengan kebaikan isterinya. Wanita benar-benar hiasan kehidupan lelaki. Lelaki tanpa wanita adalah cacat tabiatnya.
Allah menjadikan wanita pasangan lelaki. Mereka tempat lelaki bermanja dan mendambakan perasaan kelakian. Nabi SAW bersabda: “Dunia perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita solehah” (Riwayat Muslim). Ada harta tiada wanita dalam kehidupan tiada ertinya. Ada rupa, tiada wanita tiada maknanya. Namun, wanita bagaimana lelaki perlukan dalam dalam mengharungi bahtera kehidupan? Ya, wanita solehah yang membahagiakan suami, jaga nama baik diri dan suaminya.
Sabda Nabi SAW: “Sebaik-baik wanita dia menggembirakan suami apabila engkau melihat kepadanya, mentaatinya apabila menyuruhnya, tidak menyanggahi suami dalam diri dan hartanya” (Riwayat al-Nasai, Ahmad dan al-Hakim, dinilai hasan oleh al-Albani).
Sabda Nabi SAW: “Tiga daripada kebahagiaan: “Wanita yang apabila engkau melihatnya, ia mengagumkan, apabila engkau tiada bersamanya dia menjaga diri dan harta engkau” (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai hasan oleh al-Albani).
Untuk menjadikan wanita itu berfungsi dengan baik, suaminya juga hendaklah baik. Jika tidak, kebaikan wanita akan hilang pada pandangan suami yang songsang, seperti mana hilangnya kebaikan Asiah di mata firaun yang zalim. Suami yang baik juga, tidak akan dapat dilihat kemuliaannya di mata isteri yang jahat seperti isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut a.s.
Perjuangan wanita zaman Rasulullah
Wanita Islam pada zaman Rasulullah SAW mempunyai peranan istimewa dalam melaksanakan amal kebajikan bagi melengkapkan peranan kaum lelaki. Bahkan peranan mereka mengatasi peranan lelaki dalam sesetengah bidang yang didominasi oleh kaum wanita.
Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustazah Norsaleha Mohd Salleh berkata, kaum wanita mempunyai beberapa keistimewaan dari sudut kesediaan, kemampuan, sifat-sifat keperibadian, kejiwaan dan perasaan yang berbeza daripada kaum lelaki (Muhamad Uthman al-Khatht 1984).
“Walaupun ciri-ciri ini turut dimiliki oleh lelaki, tetapi ia menjadi kelebihan kepada kaum perempuan. Ia disebabkan oleh pengaruh dalaman yang menjadikan wanita mudah menerimanya berbanding dengan lelaki.
“Kajian dilakukan Sally Chautz dan Beat (al-Wasat 1995) mendapati kaum wanita mudah terdedah dengan pengaruh perasaan apabila membuat keputusan berbanding lelaki yang mengetepikan perasaan apabila membuat sesuatu keputusan atau hukuman,” katanya.
Institusi-Institusi wanita pada zaman Rasulullah
Penubuhan Badan Kebajikan (Suffah Wanita)
Ustazah Norsaleha yang juga pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) memberitahu, penubuhan badan kebajikan yang dikenali sebagai Suffah Wanita itu merupakan satu bumbung yang dikhususkan untuk wanita di Masjid Nabawi (al-Umariyy (1991).
Beliau berkata, tempat itu menjadi perhimpunan sekumpulan wanita yang berkasih sayang, bersaudara dan bertekad sesama mereka untuk melakukan beberapa amal kebajikan yang bermanfaat.
Wanita pertama yang mencadangkan penubuhan badan kebajikan itu dikenali Asma’ Yazid al-Ansariyah. Beliau antara wanita yang melakukan baiah dengan Rasulullah SAW di Aqabah. Beliau mempunyai akal pintar dan pendirian agama yang teguh menyebabkan wanita Madinah melantiknya sebagai wakil mereka untuk menyampaikan pandangan dan pendapat wanita kepada Rasulullah SAW. Ini terbukti melalui kata-kata Asma’ Yazid “Sesungguhnya aku adalah utusan kepada kumpulan wanita di belakangku. Mereka semua sependapat denganku” (Layth al-Su’ud Jasim). Peranan Asma’ ini telah diikuti pula oleh Kaulah Qays yang turut serta dalam pembukaan kota Kabul bersama suaminya Hisyam Amir.
Dalam situasi ini, Ustazah Norsaleha berkata, wanita pada zaman Rasulullah SAW dibenarkan berpersatuan dan mengeluarkan pendapat dan pandangan. Ini menunjukkan aktiviti wanita yang dijalankan secara berkumpulan atau individu bagi mencapai objektif dan kepentingan yang selari dengan tuntutan syarak.
Rujukan: Petikan daripada al-Jami’ al-Sahih li al-Bukhari pada bab menyatakan adakah Rasulullah SAW memperuntukkan hari tertentu buat kaum wanita, jil 1. hlm 34.
Penjara wanita
Penjara wanita terletak berdekatan dengan masjid. Ia digunakan bagi mengurung tawanan wanita selepas berlaku peperangan antara umat Islam dengan kaum musyrikin sehingga keputusan dibuat untuk menentukan kedudukan mereka seterusnya. Antara wanita yang pernah dikurung di penjara itu ialah Saffanah Hati mal-Ta’iyy yang menjadi tawanan sewaktu Perang Tabuk. Sewaktu Rasulullah melalui kawasan penjara tersebut, beliau meminta baginda membebaskan beliau kerana kedudukannya sebagai seorang puteri kepada ketua kabilah. Permintaan Saffanah diterima oleh Rasulullah SAW di mana baginda meminta wanita itu dibebaskan kerana bapanya seorang yang baik dan berakhlak mulia.
Kisah ini menunjukkan keprihatinan umat Islam terhadap mereka yang dipenjarakan, terutamanya golongan wanita. Kurungan itu dipilih untuk didirikan berhampiran dengan masjid kerana ia merupakan tempat paling selamat. Di samping itu, mereka dilayan dengan penuh kemuliaan oleh Rasulullah SAW menyebabkan Saffanah dan abangnya akhirnya memeluk agama Islam (Ibn Hajar).
Institut Kesihatan dan Khidmat Masyarakat
Menurut Ustazah Norsaleha, golongan wanita pada zaman Rasulullah sememangnya terkenal dengan sikap suka bantu-membantu. Mereka sanggup menggadaikan nyawa dalam memastikan kehidupan umat Islam selesa.
“Sebagai contoh, sebuah khemah Rufaydah al-Aslamiyah telah dibina. Ia merupakan hospital pertama dibina pada zaman Rasulullah SAW. Khemah dibina seorang srikandi terbilang, Rufaydah Ka’ab al-Aslamiyah. Beliau mempunyai ilmu perubatan dan telah mewakafkan dirinya untuk membantu umat Islam yang memerlukan bantuan, terutama tentera yang mengalami kecederaan sewaktu perang. Rasulullah SAW menganugerahkan kepada Rufaydah sejumlah harta rampasan Perang Khaibar sebagai mengiktiraf sumbangan Rufaydah dan saudara beliau yang bernama Ku’aibah dalam merawat tentera Islam yang cedera.
Hak-hak wanita pada zaman Rasulullah
Berikut beberapa hak yang telah berlaku terhadap golongan wanita zaman Nabi antaranya hak-hak terhadap ekonomi, perkahwinan, menuntut ilmu, harta pusaka, bekerja dan mencari nafkah serta keluar berperang bersama Rasulullah SAW.
Mengenai hak menuntut ilmu, Ustazah Norsaleha berkata, Islam mempunyai hak untuk bermegah sebagai satu sistem hidup manusia yang pertama mengakui wanita sebagai makhluk manusia dan mewajibkan mereka mencari ilmu sebagaimana kewajipan itu kepada golongan lelaki. Islam amat menghormati dan menghargai wanita dengan memberikan mereka hak-hak kemanusiaan yang sama dengan orang lelaki.
“Walau bagaimanapun kita tidak dapat menafikan kejadian lelaki dan wanita adalah berbeza dari sudut fungsi dan fizikalnya. Perbezaan fungsi dan fizikal antara dua jenis makhluk ini memberikan kesan kepada tindak balas mereka terhadap kehidupan dalam bentuk yang berbeza,” katanya.
Tentang hak bekerja dan mencari nafkah, golongan wanita mempunyai hak untuk bekerja. Pada zaman Rasululah SAW wanita keluar bekerja sekiranya keadaan memerlukan seperti untuk menyara kehidupan, pendapatan keluarga yang tidak mencukupi atau keperluan masyarakat.
Asma’ Abu Bakar sanggup berjalan dua batu semata-mata mendapatkan air untuk keperluan keluarga kerana suaminya sibuk di medan perang. Antara pekerjaan yang dilakukan oleh wanita pada zaman Rasulullah SAW ialah memintal benang atau bulu bagi menghasilkan pakaian. Ummu Salamah dan Ummu Ammarah, antara wanita Islam yang terlibat dalam pekerjaan memintal benang. Dalam Perang Uhud, Saidatina Fatimah mengambil secebis tikar lalu membakarnya untuk merawat luka yang dialami oleh Rasulullah SAW.
Perusahaan menyertu kulit bangkai merupakan pekerjaan yang mendapat sambutan dalam kalangan wanita pada zaman Rasulullah SAW. Mereka menyertu kulit bangkai untuk dijadikan hamparan rumah atau pakaian musim sejuk. Mereka juga membuat kasut, bekas meletak makanan dan minuman. Saidatina Zainab Jahsyi r.a, Saidatina Sawdah Zam’ah r.a dan Asma’ Umais antara wanita mahir membuat kraf tangan daripada kulit binatang.
Hasil daripada jualan itu, mereka memberi sumbangan dan sedekah kepada golongan fakir miskin. Kegiatan menjahit juga menjadi kegemaran wanita pada zaman Rasulullah SAW. Zainab Jahsyi, antara wanita yang mahir menjahit kulit menjadi bantal, hamparan dan kusyen. Asma’ Umais telah membawa masuk ke Madinah teknologi membuat keranda, di mana Saidatina Fatimah merupakan wanita pertama yang dibuat keranda semasa beliau meninggal dunia.
Berhubung hak keluar berperang, beliau berkata, beberapa wanita hebat beraksi di medan perang, antaranya Nusaibah Kaab.
“Sewaktu Perang Uhud, Rasulullah SAW melihat seorang wanita menghayun pedangnya dengan gagah perkasa melindungi baginda. Baginda memandang ke kiri dan sekali lagi melihat wanita itu melakukan hal sama, menghadang bahaya demi melindungi pemimpin dan orang-orang beriman.
"Kehebatan Nusaibah di medan perang melayakkan beliau menerima anugerah Ummu Umarah - pahlawan wanita yang mempertaruhkan jiwa dan raga demi Islam.
“Seorang lagi tokoh wanita yang berani menggadaikan nyawanya demi agama dan Rasulullah SAW tercinta ialah Khaulah Azwar,” katanya.
Kesimpulannya, sumbangan wanita pada zaman Rasulullah SAW terhadap perkembangan Islam dan kemajuan ummah amat besar. Mereka berganding bahu dengan lelaki bagi memastikan kelangsungan dakwah terus berkembang hingga serata dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan