Sabtu, 29 Januari 2011

INSYAALLAH JIKA PERJUANGAN KITA IKHLAS TUK ISLAM...ISLAM AKAN MENANG...JIKA ALLAH MEMBANTU TIADA SAPE TERDAYA MELAWAN KEHENDAK ALLAH...BERTAKWALAH..

Ribuan sertai ceramah perdana terakhir
Gambar oleh Wan Zahari

LABIS, 29 Jan: Ribuan penyokong menyertai ceramah perdana yang diadakan oleh PAS dan Pakatan Rakyat di Dataran Cikgu Mala sempena ceramah penutup kempen utama mereka di Tenang malam tadi.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng menyertai majlis itu yang turut disertai oleh para pemimpin kanan dari parti dalam komponen Pakatan Rakyat.

Kawasan tanah lapang yang disewa oleh PAS berhadapan dengan Dataran Wayang Pacak mereka telah diberikan nama jolokan iaitu Dataran Cikgu Mala sempena dengan nama calon PAS untuk pilihan raya kecil Tenang.

Kehadiran begitu ramai ini memberikan gambaran sokongan kepada Pakatan Rakyat. Kalau tidak semua mereka adalah penduduk tempatan, kesanggupan mereka datang membayangkan sokongan untuk Pakatan dari seluruh negara walaupun dimomokkan dengan pelbagai isu oleh media BN.

Berikut adalah gambar-gambar yang dirakamkan oleh jurukamera Harakah, Wan Zahari Wan Salleh.



Perubahan wajah MCA dan wajah sebenar DAP
Ahmad Tajdid

RAMAI penganalisis politik menyifatkan keputusan pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang mempunyai signifikan tertentu dalam episod terkini politik tanah air. Ia menjadi penanda aras bagi BN mengukur kestabilan pengaruh di kawasan kebal yang dikuasainya khususnya negeri Johor. Di masa yang sama, Dun Tenang juga menguji kemampuan Pakatan Rakyat untuk menembusi kubu Umno dan BN yang telah berakar sejak lebih 50 tahun lalu.

Satu lagi aspek penting yang patut dilihat adalah perubahan ' rupa dan pendekatan' parti-parti dominan Cina dalam meraih sokongan masyarakat Tionghua dalam suasana real politik yang ada.

Aspek paling ketara dilihat sepanjang PRK Dun Tenang adalah perubahan pada rupa, wajah dan pendekatan MCA dalam memperdagangkan isu ketika berkempen. Di masa yang sama, komitmen tinggi yang ditunjukkan para pemimpin DAP dalam membantu calon PAS juga berjalan seiring dengan wajah dan pendekatan parti itu yang begitu kontradik dengan persepsi dan tanggapan majoriti masyarakat Melayu negara ini; khususnya yang mempunyai kecenderungan politik terhadap Umno dan BN.

MCA yang dikenali sebagai parti kerabat BN yang moderat, moden dan toleran dengan realiti masyarakat majmuk di negara ini tiba-tiba muncul sebagai sebuah parti 'ekstremis sekular' yang tidak langsung mahu menghormati adab, tatasusila dan ajaran agama (dalam konteks ini Islam sebagai agama rasmi negara). Ini dapat dilihat daripada isu bersalam calon PAS dengan pengundi lelaki, usaha menakut-nakutkan kaum Tionghua dengan konsep negara Islam dan momokan terhadap hukum syariah khususnya hudud pada kelompok pengundi yang sama.

Malah anak Presiden MCA yang mewarisi kerusi parlimen Labis daripada ayahnya, pergi lebih jauh dengan berbohong kononnya calon PAS, Normala Sudirman mempersoalkan tindakan seorang peniaga Cina yang menjual arak di kedai kopi yang diusahakannya. Chua Tee Yong @ Chua Jr bagaimanapun gagal memberikan sebarang bukti terhadap dakwaannya itu apabila dicabar PAS. Malah berdolak-dalih kepada media apabila diminta mendedahkan perkara sebenar.

Tindakan Chua Jr ini dilihat tidak menggambarkan keberanian yang dimiliki ayahnya, Dr Chua Soi Lek yang mengaku sebagai lelaki yang dirakam melakukan hubungan seks dengan seorang wanita di sebuah hotel di Segamat. Keberanian Chua diiktiraf anggota MCA sehingga menobatkan beliau sekali lagi sebagai presiden parti setelah melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan ekoran skandal yang menjijikkan itu.

Sebelum kontroversi dicetuskan Chua Jr, ayahnya sendiri Chua Soi Lek memulakan kempen serangan peribadi terhadap calon PAS apabila mempersoalkan tindakan Normala yang memakai sarung tangan apabila bersalaman dengan pengundi lelaki.

"(Normala) memakai sarung tangan ketika berjabat tangan. Jika anda boleh menerima nilai Islam sebegini, undilah PAS," katanya.

Keceluparan Soi Lek ini disambut beberapa pemimpin utama MCA dan Gerakan seperti Naib Presiden MCA, Ng Yen Yen, Chua Jr, Fong Chan Onn dan Ketua Wanita Gerakan, Tan Lian Hoe.

Yen Yen dilaporkan berkata, "... mengapakah (Normala) membesar-besarkan isu berjabat tangan dengan pengundi lelaki?"

Chua Jr dalam laman Twitternya menyebut, "Normala memakai sarung tangan dan pembantunya sedang berjabat tangan bagi pihaknya. Sudah pasti dia akan mendakwa faktor kesihatan atau pun sebab peribadi."

Chan Onn menyindir melalui Twitter, "Apa akan berlaku jika (Normala) nampak seorang lelaki dilanggar kereta. Adakah dia akan membantu?" dan menambah, "Tidak bersalam adalah langkah pertama ke arah pengasingan jantina. Selepas itu lelaki dan perempuan tidak dibenarkan berada dalam dewan yang sama..."

Lian Hoe pula berkata, "Bukan saja lelaki, tetapi dia juga memakai sarung tangan apabila berjabat tangan dengan perempuan. Ini tidak peramah, seolah-olah dia menganggap tangan kami ini kotor."

Kenyataan-kenyataan tidak beradab pemimpin MCA dan Gerakan ini sebaliknya mendapat kecaman daripada para pemimpin DAP. Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok dalam kenyataan medianya 'mengutuk keras' tindakan pemimpin MCA dan Gerakan itu dan menyifatkan mereka sebagai 'ekstremis'.

"Cemuhan pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan (terhadap Normala) membuktikan bahawa mereka tidak dapat menerima pengamalan agama yang berbeza daripada agama mereka sendiri. Mereka berkeras memaksa Normala untuk mengaibkan pegangan agamanya. Tindakan mereka seakan-akan memaksa seseorang 'vegetarian' untuk memakan daging.

"Hakikatnya, pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan ini merupakan ekstremis tersendiri. Segala sokongan mereka terhadap konsep 1Malaysia merupakan wayang semata-mata demi memelihara kepentingan politik mereka."

Menurut Teresa, sekiranya pemimpin MCA dan Gerakan benar-benar ikhlas mendokong konsep 1Malaysia, sudah pasti mereka memahami bahawa amalan agama adalah pilihan peribadi setiap orang dan tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan berunsur penghinaan.

Sentimen Teresa dikongsi bersama seluruh pemimpin DAP. Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng ketika berceramah di Dun Tenang menyifatkan tindakan MCA memomok-momok masyarakat Tionghua dengan isu bersalaman, negara Islam dan hudud bertujuan menghalang mereka (masyarakat Tionghua) daripada memahami Islam.

Pelbagai pihak khususnya badan NGO Islam mengecam kempen tidak beretika MCA ini. Umno yang pada mulanya berdiam diri terhadap tindakan menghina Islam para anggota kerabat BNnya akhirnya terpaksa 'memujuk' MCA supaya tidak lagi memainkan isu itu. Langkah itu dibuat setelah menyedari isu bersalaman calon PAS tidak mendatangkan kesan kepada pengundi Tionghua malah merugikan BN.

Semangat setiakawan yang ditunjukkan DAP dalam pilihan raya kecil Tenang perlu dijadikan renungan para pengundi Melayu. Mereka sewajarnya mengetepikan sentimen dan kecurigaan terhadap DAP yang selama ini dimomokkan sebagai parti ekstremis Cina, anti-Melayu dan anti-Islam. Sentimen dan kecurigaan ini berjaya ditanam Umno sejak sekian lama sehingga sisi positif kehadiran DAP (sebagai sebuah parti pelbagai kaum dan agama) dalam politik negara tidak langsung dilihat.

PRK Dun Tenang berjaya memperlihatkan kita real politik tanah air masa kini. Ia memperlihatkan transformasi MCA daripada sebuah parti kaum Cina yang dianggap moderat, moden dan toleran kepada sebuah parti perkauman yang ekstrem dan anti-Islam.

Sebaliknya DAP yang selama ini dimomok-momokkan Umno sebagai parti chauvinis Cina, anti-Melayu dan anti-Islam berjaya menonjolkan imej yang moderat, mesra Islam dan reseptif dengan realiti kewujudan Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan agama.

Sudah sampai masanya untuk rakyat Malaysia khususnya di Dun Tenang melakukan perubahan bagi masa depan negara dan generasi akan datang.

HUAN!!!

BERUBAH!!!



PAS yakin masyarakat Cina kekal bersama Pakatan
Harakahdaily
LABIS, 29 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yakin masyarakat Cina di Dun Tenang akan bersama Paktan Rakyat pada pilihan raya kecil itu esok.

Berucap pada majlis makan malam anjuran DAP malam tadi, beliau yakin sokongan lebih besar akan diberikan kaum itu berbanding Pilihan Raya Umum lalu.

“Pada 2008, kaum Cina telah memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. PAS dan DAP menang di kawasan Cina, harap kemenangan selepas ini lebih besar.

“Saya yakin pengundi Cina akan melakukan kerja menumbangkan Barisan Nasional untuk anak tangga menuju Putrajaya,” lapor portal The Malaysian Insider.

Tambahnya, hasrat utama Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP adalah untuk membela nasib rakyat semua kaum yang ditindas kerajaan BN selama ini.

“Pakatan yang diajar oleh Islam dinamakan tahaluf (kerjasama politik). Dalam satu negara, kita berpakat menegakkan keadilan dan membanteras kezaliman.

“Kita berpakat dalam perkara asas yang sama. Umno Islam duduk dalam BN, barisan ini berbaris bukan berpakat... Umno tidak konsisten dan tak tunjuk perangai baik depan orang bukan Islam.. Ini tidak selesai masalah,” katanya.

“Kita perlu mengajar pengundi memahami dengan betul perbezaan antara PAS dan Umno dan perbezaan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

“Orang melihat secara zahir Umno Islam dan Pas Islam... PAS tegakkan Islam sepertimana dalam al-Quran dan Umno anggap Islam hanyalah agama rasmi dalam Perlembagaan (Persekutuan) yang digubal British. Islam adalah sekular, Ini beza PAS dan Umno.

“Dalam politik yang dianjurkan Islam adalah berbeza dengan (Islam) yang dianjurkan Umno-Barisan Nasional, tiada masalah kita berbilang bangsa tinggal di tanah air, kita menolak politik perkauman,” katanya menjelaskan perbezaan.

Sehubungan itu jelasnya, semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat yang telah terbukti di beberapa buah negeri yang diperintah memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira perbezaan agama dan kaum.

“Selamanya kita berpakat di atas persetujuan mengekalkan keadilan dan menolak yang zalim, adil untuk semua, tolong rakyat tanpa mengira kaum.

“Boleh tanya orang Kelantan, orang bukan Islam macam mereka diberi hak yang sama. Di Terengganu juga begitu, kita selesaikan tanah di Kampung Baru," kata bekas menteri besar Terengganu itu.

39 peratus pengundi Dun Tenang adalah terdiri daripada masyarakat Cina.

Pengundian diadakan esok. Kempen akan berakhir secara rasmi tengah malam ini.

Turut berucap pada majlis itu ialah Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Calon PAS, Normala Sudirman akan berdepan calon BN, Mohd Azahar Ibrahim.



Cikgu Mala berkarisma, lebih bertanggungjawab
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 29 Jan: Calon BN bagi pilihan raya kecil Dun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim sehingga hari ini masih lagi gagal menjawab dakwaan terhadap beliau yang melelong tanah penduduk semasa menjadi Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat.

Oleh itu, beliau tentunya dilihat oleh orang ramai bukanlah sebagai seorang yang layak dipilih dalam pilihan raya Dun Tenang 30 Januari ini kerana tidak selayaknya menjadi pemimpin.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, sekiranya calon BN itu tidak bersalah, beliau pasti sudah dapat menjawab dakwaan terhadapnya itu, tetapi sehingga kini beliau tetap gagal menjawabnya.

Menurut beliau, sebaliknya, semua kenyataan yang dibuat oleh calon BN itu berhubung dakwaan tersebut bukanlah jawapannya, sebaliknya jauh menyimpang dari jawapan dan realiti sebenar.

"Keadaan itu amat jauh bezanya dengan calon PAS, Cikgu Normala Sudirman yang sememangnya diketahui umum sebagai seorang yang baik, berkarisma dan bertanggungjawab.

"Keistimewaan Cikgu Normala itu bukan hanya pada mata saya, tetapi turut diakui oleh penduduk di kawasan Tenang sendiri dan mereka yang mengenalinya," katanya ketika ditemui di sini.

Selain itu, keistimewaan Cikgu Normala juga, katanya, boleh dilihat dengan jelas oleh orang ramai apabila beliau pernah dianugerahkan dengan anugerah guru cemerlang oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri sewaktu beliau menjadi guru dulu.

Mohd Azahar sewaktu menjadi ADO didakwa dengan cuai telah melelong tanah seseorang secara tidak sah dan tidak mengikut prosedur.

Semua kesalahannya itu sudah terbukti apabila keputusan Mahkamah Tinggi Muar pada tahun 2008 sudah pun mengarahkan tanah tersebut dipulangkan kepada pemilik asalnya, Mansor Mohamad bersama kosnya.

Azahar akan dibicarakan di dalam satu tuntutan saman di mahkamah oleh pembeli tanah Mansor melalui lelongan tersebut iaitu Norhana Mohd Ali yang mendakwa terpedaya oleh Azahar, sehingga menyebabkan beliau membeli tanah Mansor secara lelongan yang disyaki palsu dan tidak sah itu.

Menurut Nurul Izzah, kes yang dihadapi oleh Azahar itu tidak mampu disembunyikan oleh beliau kepada orang ramai terutama kepada penduduk di kawasan Tenang, sehingga menyebabkan semakin ramai orang yang semakin hilang keyakinan terhadapnya.

"Ini amat berbeza dengan Cikgu Normala yang sememangnya semakin mendapat tempat di hati para pengundi di kawasan itu.

"Buktinya, semasa saya pergi ke Tenang Selasa dan Rabu lalu dan mengadakan ceramah di kawasan felda, ramai penduduk di kawasan itu yang hadir.

"Jumlah kehadiran mereka ratusan orang. Ini amat jauh bezanya ketika saya mengadakan ceramah di kawasan felda lain termasuk di kawasan Felda Suharto," jelasnya yang juga Naib Presiden PKR.

Kehadiran dengan jumlah itu di kawasan felda, menurut beliau, merupakan satu jumlah yang besar.

Ini jelas membuktikan Cikgu Normala dari PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada pilihanraya itu semakin diterima oleh orang ramai, setelah didedahkan kepada orang ramai tentang keistimewaannya oleh para pemimpin dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, beliau yakin Normala mempunyai harapan besar untuk menang dalam pilihanraya itu, memandangkan para pengundi di kawasan itu sendiri ternyata amat senang kepadanya.

Namun, beliau turut kesal kerana Umno atau BN terus menggunakan politik kotor dalam kempen mereka di Tenang, termasuk menggunakan politik mengugut para pengundi dengan ugutan yang bukan-bukan agar mereka tidak menyokong calon PAS.


Tiada ulasan: