Ahad, 16 Januari 2011

SEMUA CALON NAK MENANG...MENANG BIARLAH DENGAN BERMARUAH IAITU BUKAN MENANG DENGAN TIPU MUSLIHAT.....

Normala Sudirman calon PAS di Tenang
Hazayani Zakaria

LABIS, 16 Jan: Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Normala Sudirman diumumkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, 30 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di majlis pengisytiharan calon di Dataran Wayang Pacak, dekat sini, malam ini.

Normala, 38 merupakan seorang guru lulusan Maktab Tuanku Bainun, Pulau Pinang sebelum meletakkan jawatan pada akhir 2010 kerana mahu menumpukan sepenuh masa kepada tugas parti.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Serom 3, Muar Johor ini merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik.

Bapanya, Sudirman Suratman merupakan bekas ketua peserta Felcra dan juga pengerusi koperasi Felcra Sekijang manakala ibunya Mukmini Yahya juga merupakan peneroka Felcra.

Beliau yang mesra di kalangan penduduk setempat dengan panggilan Cikgu Mala, mendirikan rumah tangga dengan Makrof Abd Mutalib dan mempunyai tiga orang anak.

Normala mula bergiat aktif dalam PAS selepas tamat pengajian di maktab pada tahun 1997.

Pada tahun 2000 beliau dilantik sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Labis.

Selain Ketua Muslimat Johor, beliau juga merupakan Exco Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Kini beliau menumpukan kepada usaha membantu masyarakat Labis setelah dipertanggungjawabkan sebagai penyelia pusat aduan rakyat Dun Tenang.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad, Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin, Ketua Wanita DAP, Chong Eng dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.



Tolak cubaan heret Sultan dalam isu berbangkit
Muhammad Shubihi Zain

ALOR SETAR, 16 Jan: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah meminta rakyat di negeri ini agar berwaspada dan menolak sebarang percubaan pihak tertentu mengheret institusi raja-raja dalam isu-isu yang berbangkit.

Baginda mengingatkan rakyat supaya sentiasa memelihara keamanan serta menumpukan usaha untuk meningkatkan taraf hidup dan tidak perlu gusar tentang ancaman atau gangguan keselamatan ke atas mereka.

"Peristiwa yang berlaku di beberapa tempat lain akan menyebabkan timbulnya perpecahan di kalangan rakyat kerana kadangkala permainan politik tidak mengambil kira ketenteraman awam dan kecetusan huru-hara.

"Beta yakin ikatan perpaduan yang erat di kalangan penduduk berbilang kaum dapat menjadi benteng untuk memelihara keamanan dan usaha kerajaan beta untuk terus mengeratkan perpaduan hendaklah disokong sepenuhnya,” titah baginda.

Langkah kerajaan negeri yang berusaha meningkatkan keyakinan dan kemasukan pelabur asing dan tempatan bagi memajukan sektor pembuatan di negeri itu turut menarik perhatian baginda dalam titah tersebut.

"Kerajaan beta telah memberi perhatian khas bagi mempercepat dan membantu para pelabur menjayakan projek masing-masing dan beta berharap inisiatif seperti ini dapat mempercepatkan kelulusan dan melancarkan segala urusan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-darjah serta Bintang-bintang Kebesaran sempena ulang tahun ke-83 keputeraan baginda di Istana Anak Bukit, pagi tadi.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam ucapannya pada majlis yang sama berkata, kerajaan negeri akan terus mendukung konsep federalisme dan prinsip demokrasi dan pembahagian kuasa seperti yang terkandung dalam perlembagaan negara.

Beliau juga berharap agar kerajaan pusat dapat menuruti dan menghayati prinsip yang sama demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

"Segala harapan rakyat telah diterjemahkan kepada pelbagai projek yang dirancangkan dan perancangan kerajaan tidak akan menjadi kenyataan tanpa mendapat kerjasama semua pihak," katanya.

Anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Hamdan Mohamed Khalib dan Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamudden Md Taib telah dianugerahkan Datuk Setia DiRaja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk.


Tenang: PAS umum calon sebentar lagi
Hazayani Zakaria

LABIS,16 Jan: Teka teki siapakah calon PAS yang akan mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang akan terjawab sebentar nanti.

Pengumuman calon yang dipilih akan dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu majlis ceramah di Pekan Labis jam 9 malam ini.

Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang dijangka hadir malam ini ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Sehingga petang ini, pelbagai desas desus timbul mengenai calon yang akan diumumkan termasuk individu itu ialah seorang anak muda dan tidak kurang juga yang menjangkakan calon itu seorang wanita.

Bagaimanapun, PAS sebelum ini memberitahu calon yang akan dipilih merupakan anak tempatan kawasan itu.

Sementara itu, Anwar dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS selepas mesyuarat bulanan Pakatan Rakyat Khamis lalu berkata, Pakatan meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada PAS dalam memilih calon bagi melawan Umno BN.

"Kita percaya dan menyokong sepenuhnya calon yang dipilih PAS.Tidak ada masalah dalam soal calon," katanya yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

BN pula akan mengumumkan calon mereka pada 19 Januari ini yang digembar-gemburkan adalah wanita.

Penamaan calon akan berlangsung pada 22 Januari manakala proses pembuangan undi pada 30 Januari.

Kedua-dua tarikh tersebut jatuh pada hari cuti.


Calon PAS di Tenang: Firdaus atau Normala?
Abdul Rahim Sabri
Jan 16, 11
1:08pm


Dua nama telah dikemukakan kepada PAS pusat untuk dipilih sebagai calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Januari ini.

NONEMereka ialah ketua Dewan Pemuda PAS Segamat, Firdaus Mas'ud dan ketua Muslimat PAS Labis, Normala Sudirman (kanan).

Firdaus (bawah) seorang peguam, juga merupakan exco Pemuda PAS Johor. Normala pula merupaka exco Muslimat PAS pusat dan bekas seorang guru.

Sumber-sumber berkata kedua-dua calon mempunyai peluang yang seimbang untuk dipilih sebagai calon, tetapi PAS dijangka memilih Normala.

Sementara itu, naib presiden PAS, Salahuddin Ayub pula dilaporkan berkata, PAS akan mengumumkan calonnya bagi pilihan raya kecil DUN Tenang malam ini.

NONEKatanya, pengumuman tersebut akan dibuat oleh presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang di pekan Labis yang akan disertai ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penasihat DAP Lim Kit Siang.

"Setakat ini, terdapat dua calon yang dikemukakan kepada kita untukdiputuskan selewat-lewatnya petang ini dan calon tersebut akan diumumkan malam nanti pada jam 8 malam di pekan Labis, Johor," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Salahuddin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian tidak menolak kesukaran menentukan siapa calon parti itu yang benar-benar layak dipilih mewakili PAS dalam pilihan raya kecil itu dan mengakui salah seorang calon tersebut ialah wanita.

"Bagaimanapun, pimpinan akan putuskan soal calon itu petang ini," katanya sambil menambah kedua-dua calon itu adalah anak tempatan Tenang.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN itu ditetapkan pada 22 Januari ini dan hari pengundian pada 30 Januari.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha, 59, dari BN pada 17 Disember tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri.




Najib hanya mahu calon yang boleh menang
Jan 16, 11 3:30pm


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan menunaikan haknya sebagai pengerusi BN untuk menolak calon-calon berpotensi yang mempunyai kedudukan dalam parti, bagi memastikan hanya mereka yang boleh membawa kemenangan menjadi calon dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan para pemimpin BN Sarawak bagi mendapatkan konsensus berhubung prinsip calon-calon yang boleh membawa kemenangan terutama di kalangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), dalam pilihan raya negeri yang akan datang.

"Ini merupakan satu prinsip yang sangat penting sebab kalau kita meletak calon, itu bererti calon itu mewakili BN dan kita perlu calon itu menang sebab kita nak membentuk kerajaan," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan konvensyen SUPP bertemakan "Berjuang Untuk Rakyat" di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Wujud keperluan untuk memastikan bahawa calon-calon yang dipilih juga diterima rakyat di kawasan pilihan raya kerana ia merupakan satu-satunya cara bagi SUPP untuk kekal relevan dalam usaha menawan semula lapan daripada 19 kerusi yang hilang dalam pilihan raya negeri pada 2006, katanya.

Berdasarkan prinsip itu, beliau berkata semua parti komponen BN di negeri ini perlu menjalankan penilaian bukan dari sudut kedudukan calon dalam parti semata-mata tetapi berfikir lebih mendalam supaya ada opsyen atau pertimbangan yang lain.

Sebelum itu, Najib memberitahu 6,000 perwakilan yang hadir bahawa beliau mahu SUPP mengemukakan nama-nama mereka yang boleh menang dalam pilihan raya akan datang.

"Tolong beri saya calon-calon yang boleh menang, saya tidak peduli sama ada mereka tua, baru atau pertengahan umur asalkan mereka boleh menang."

Dalam usaha menghidupkan semula parti dan membariskan muka-muka baru, beliau berkata SUPP, yang kebanyakannya mewakili kawasan bandar, perlu untuk berhubung, memahami dan menyelami kehidupan rakyat dan melindungi kepentingan mereka.

Beliau berkata kepimpinan BN akan menyokong dan memberi ruang yang diperlukan kepada SUPP asalkan ia wajar dan matang dalam kerjanya tanpa mengeluarkan kenyataan yang mungkin menyinggung parti-parti komponen negeri yang lain.

"Cakap dengan saya atau Pengerusi BN negeri Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Kita akan menyelesaikan banyak masalah termasuk isu tanah yang mana premium tanah Sarawak merupakan yang termurah di negara ini.

"Tapi anda (SUPP) tidak boleh terus mendesak tanpa memberi respons. Anda mesti respons kerana kita tidak boleh terus memberi tanpa mendapat sebarang sokongan untuk BN," katanya yang jelas merujuk kepada permintaan seperti lebih banyak peruntukan pusat bagi sekolah Cina dan mubaligh, industri kecil dan sederhana dan tanah negeri bagi tujuan pertanian yang dibawa oleh Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan.

Dalam menangani kepelbagaian masyarakat hari ini, yang banyak menitikberatkan kepada kualiti hidup, beliau mengesyorkan supaya SUPP membentuk unit siber untuk berhubung dengan generasi muda terutama penduduk kota mengenai isu berkaitan bandar termasuk perumahan dan mengurangkan banjir.

"Ya, kita kalah dalam perang siber pada pilihan raya lalu tetapi apa yang kita buat mengenainya," katanya.

Beliau berkata golongan muda bukan anti-kerajaan berdasarkan respons yang diterima dalam akaun Facebooknya dengan 500,000 peminat setakat ini dan akaun twitter #tanya Najib, yang merupakan akaun kelima paling aktif dalam dunia blog mikro dalam jangka masa singkat.

Najib berkata, sebagai parti di mana BN juga bergantung harap bagi mendapatkan sokongan daripada komuniti bandar, SUPP perlu memahami mengenai masyarakat yang sedemikian kompleks yang tidak bergantung kepada politik pembangunan atau politik meluluskan peruntukan kerajaan seperti yang berlaku dalam pilihan raya kecil Sibu.

"Baru sahaja umumkan beberapa juta ringgit untuk sekolah-sekolah Cina semasa pilihan raya kecil tidak menjamin sokongan dari kaum Cina," kata merujuk kepada kekalahan BN kepada DAP di Sibu.

Bagaimanapun, Najib yakin bahawa SUPP melalui proses muhasabah dan transformasi politik, kerjasama dan sokongan daripada tiga parti komponen di Sarawak, akan menjadi satu kekuatan untuk diambilkira.

- Bernama



Polis tolak unsur jenayah dalam kematian pramugari MAS

Jan 16, 11 8:15pm


Polis Belanda menolak kemungkinan wujud unsur jenayah dalam kematian pramugari Malaysia Airlines (MAS) Chin Swee Len di tempat letak kereta di Radisson Hotel, Amsterdam pagi Jumaat lepas.

Jurucakap Wisma Putra berkata hari ini polis negara itu memberitahu pihak kementerian bahawa buat masa ini belum ada maklumat lanjut berhubung kematian Chin.

Mayat Chin, 34, ditemui pada kira-kira jam 9 pagi hari tersebut oleh tetamu hotel, tempat beliau menginap.

Chin dijadualkan berlepas dari Amsterdam ke Malaysia dengan penerbangan MAS MH17 pada hari yang sama iaitu 14 Januari.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu maklum balas dari polis Amsterdam berhubung kes tersebut, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Hussin Ismail.

Bercakap kepada pemberita semasa melancarkan kempen balik kampung rumah selamat di USJ Summit di sini, beliau berkata pihaknya bersedia untuk memberi kerjasama dengan polis Amesterdam bagi menyelesaikan kes tersebut.

Sementara itu, Pengarah Operasi MAS Kapten Azharuddin Osman dalam satu kenyataan berkata, MAS kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Amsterdam yang sedang menyiasat untuk menentukan sebab-sebab kematian Chin.

Azharuddin berkata pihak MAS sedih dengan berita kematian Chin secara mengejut itu.

Kehilangan beliau disedari bila beliau gagal melaporkan diri untuk taklimat pra-penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

"Perhatian utama kami sekarang ialah membantu keluarga berkenaan sedapat mungkin. Mereka telah diberitahu dan persiapan dibuat hingga membolehkan anggota kedua-dua keluarga diterbangkan ke Amsterdam malam tadi," kata beliau.

Beliau berkata Chin menyertai MAS pada 1997 dan rekod perkhidmatannya sepanjang masa adalah cemerlang.

"Chin disifatkan oleh rakan sebagai cukup berdisiplin, mesra dan peramah. Beliau meninggalkan suami dan seorang anak ," kata beliau.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T.Murugiah menasihatkan pramugara dan pramugari semasa di luar negara, berjalan secara berkumpulan dan tidak bersendirian bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Chin.

- Bernama





Bakun terus tegangkan Putrajaya - Petra Jaya
Jan 16, 11 7:24am


Beberapa penilaian terutamanya daripada segi kos perlu diteliti sebelum penjualan projek hidroelektrik Bakun kepada kerajaan negeri Sarawak dimuktamadkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib.

Katanya penglibatan kos serta beberapa perkara lain masih dalam rundingan antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak.

NONEPerdana Menteri bagaimanapun enggan menyatakan tempoh masa rundingan itu ketika ditanya soalan mengenainya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Uma Belor di Skim Penempatan Semula Sungai Asap di Belaga, semalam.

Terdahulu, Najib yang diiringi Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta beberapa anggota Kabinet Persekutuan dan negeri terpaksa membatalkan lawatan ke tapak projek hidroelektrik Bakun berikutan cuaca buruk.

Mengikut program asal, Perdana Menteri dijadual mendengar satu taklimat dan membuat tinjauan di sekitar kawasan projek berkenaan.

NONEEmpangan berkeupayaan 2,400 megawatt itu dijangka menjana 300MW bekalan elektrik menjelang Jun tahun ini.

Projek Bakun bernilai RM7.3 bilion ini dimiliki Sarawak Hidro Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Kawasan seluas 69,500 hektar itu akan ditenggelamkan selepas penakungan bermula sejak 13 Okt lalu.

-Bernama

Tiada ulasan: