KOTA BHARU, 13 Jan: Usahkan hendak berdebat dengan pemimpin utama Pakatan Rakyat, kedudukan Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda Umno pun seolah-olah tidak diiktiraf Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak. Ini kerana tiada dalam sejarah Umno seorang pemimpin kanan sayap parti tidak dilantik memegang apa-apa jawatan dalam kabinet atau kerajaan. Namun, tiba-tiba anggota parlimen Rembau itu muncul mahu menyahut cabaran debat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ganti kepada Najib. “Sepatutnya Khairy sedar kedudukannya sekarang kerana tiada kapasiti untuk bercakap mewakili kerajaan dengan kedudukannya sekarang. ”Sedangkan Ketua Pembangkang mengajak Perdana Menteri mendebatkan isu Program 100 Hari Pakatan Rakyat memandangkan gagasan itu dipersendakan Najib,” kata Ketua Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir kepada Harakahdaily. Semalam media melaporkan Khairy yang juga menantu kepada bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menawar diri untuk berdebat mengenai Program 100 hari Pakatan Rakyat sebagai ganti Presiden Umno. Menurutnya Perdana Menteri tidak perlu membuang masa dengan Anwar kerana banyak perkara lebih penting diuruskan. Abdul Aziz yang juga anggota parlimen Ketereh berkata, sekiranya Najib sendiri tidak menerima kehadiran Khairy bagaimana beliau mahu mewakilinya berdebat dengan Anwar. ”Setidak-tidaknya tokoh yang mahu mengganti Najib berdebat biarlah orang kanannya dan mempunyai kedudukan di peringkat kabinet. ”Bukan saya mahu menghina Khairy, namun beliau perlu sedar dengan kedudukannya sekarang dan tidak perlu mengambil kesempatan bagi mempopularkan dirinya dalam isu ini,” ujarnya. Anwar sebelum ini mencabar Perdana Menteri berdebat secara terbuka berkenaan program 100 Hari Pakatan Rakyat yang dianggap Najib boleh memufliskan negara. Pada konvensyen Pakaan Rakyat di Kepala Batas Disember lalu beberapa program dijanjikan dalam agenda 100 Hari termasuk imbuhan khas kepada guru berjumlah RM500 sebulan. Selain itu jaminan subsidi minyak akan dikekalkan untuk golongan berpendapatan rendah. Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Abdullah Yaakub berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) begitu takut dengan tawaran dikemukakan Pakatan Rakyat. Adun Pasir Tumbuh, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, Perdana Menteri begitu bimbang dengan janji dikemukakan Pakatan kerana ia realistik dan boleh diterima orang ramai
Shamsul sedia debat dengan Khairy Harakahdaily | PETALING JAYA, 13 Jan: Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin sedia berdebat dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berhubung Pelan 100 Hari Pakatan Rakyat. Beliau mengikuti perkembangan mengenai cabaran debat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai isu isu ekonomi khusus mengenai Pelan 100 Hari Pakatan Rakyat vs Program Transformasi Ekonomi Kerajaan (ETP). Namun, katanya sangat mendukacitakan apabila Najib kelihatan berdolak dalih dalam cabaran itu, dengan mengandaikan debat ini sekadar ‘membuang masa’ beliau. “Mungkin beliau kurang arif bahawa budaya debat polisi seumpama ini merupakan amalan puluhan tahun lampau yang diamalkan pemimpin negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom,” ujarnya dalam satu kenyataan. Tambahnya, lebih mengejutkan apabila Khairy Jamaluddin pula yang kelihatan begitu bernafsu untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar. Ini, ujarnya ternyata pelik kerana sudah puluhan cabaran debat yang dikeluarkan oleh Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) kepada beliau tetapi tiada satupun yang bersahut. Harus diingat, katanya berdasarkan beberapa prestasi Khairy di dalam rancangan forum-forum sebelum ini, nyata beliau belum sampai ke tahap untuk berhadapan dengan tokoh seperti Anwar. “Justeru, atas kapasiti Ketua AMK, dengan ini secara rasmi menawarkan platform debat Pemuda satu lawan satu di antara saya dan Khairy, yang saya percaya lebih cocok dan sesuai dengan mengambil kira kapasiti kami selaku ketua sayap pemuda Umno dan Keadilan,” tegasnya. Menurutnya, surat pelawaan rasmi telah dikeluarkan kepada Khairy dan menyeru rakyat Malaysia mendoakan agar ahli Parlimen Rembau itu tidak berdolak dalih untuk menyahut cabaran debat tersebut.
Khairy, Nazri bukan tandingan Anwar Dr Mohd Zuhdi Marzuki | Sebagai seorang warganegara Malaysia, saya begitu berharap debat antara Najib Tun Razak dan Anwar Ibrahim akan menjadi kenyataan, terutama menjelang Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13). Debat seumpama ini akan menjadi perintis kepada politik yang lebih sihat, supaya rakyat diberi peluang yang seluasnya bagi mengetahui agenda-agenda parti yang bakal dipilih oleh mereka untuk meneraju negara. Oleh sebab itu, sesiapa sahaja sama ada dalam Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) seharusnya berlapang dada dan mengharapkan debat antara kedua-dua tokoh tersebut akan berlangsung. Kedua-dua Najib dan Anwar mempunyai pengalaman yang hampir seimbang dalam memimpin negara. Najib mempunyai kelebihan dari segi kejayaannya sehingga ke kemuncak kuasa, di samping laluan politiknya yang tidak berliku-liku. Anwar pula mempunyai kelebihan dari segi jaluran politiknya yang penuh berwarna-warni, bermula daripada politik Islam sehingga politik plurality. Kini kedua-dua mereka seperti berada di persada yang seimbang, Najib sebagai Perdana Menteri manakala Anwar sebagai Ketua Pembangkang. Dengan melihat kepada aspek-aspek tersebut sememangnya debat antara kedua-dua mereka begitu dinanti-nantikan. Wacana-wacana terbuka antara tokoh-tokoh politik seperti ini merupakan satu langkah positif ke arah menyebarkan pendidikan politik. Seperti yang sering diulang-ulangkan oleh Najib, zaman kerajaan tahu segala-galanya telah berlalu. Demikian juga, zaman momokan hanya BN yang patriotik sedangkan pembangkang adalah pengkhianat negara juga telah berlalu. Dalam sebuah negara demokrasi, kedua-dua parti yang menerajui kerajaan dan yang menjadi pembangkang mempunyai tanggungjawab yang sama kepada negara. Melalui persaingan siapakah yang dapat menyempurnakan tanggungjawab yang terbaik, dialah yang bakal dipilih oleh rakyat. Pemilihan pemimpin yang terbaik dalam menunaikan tanggungjawab adalah idaman semua manusia. Para ilmuan dari seluruh peradaban sering berbicara tentang pemimpin yang seperti ini sama ada Plato, Kung Fu Tze, Kautilya dan al-Mawardi. Secara sejagatnya kesemua mereka mengharapkan pemimpin yang berilmu, bermoral dan berintegiriti. Dengan adanya elemen-elemen tersebut, maka rakyat dapat mengharapkan tertegaknya keadilan dan kebajikan. Perbahasan-perbahasan para ilmuan itu sehingga hari ini kekal dalam lembaran-lembaran ilmu dalam bentuk bahasa-bahasa retorik. Bagaimanapun, seseorang pemimpin politik dari dahulu hingga kini, jarang menggunakan bahasa-bahasa retorik. Sebaliknya mereka lebih gemar menggunakan bahasa-bahasa politik, iaitu bahasa yang sering difahami dengan mudah oleh rakyat. Dengan pengertian lain, peranan bagi seseorang pemimpin politik yang berwibawa ialah menterjemahkan bahasa retorik tentang kenegaraan kepada bahasa politik untuk memahamkan rakyat. Di sinilah letaknya kepentingan wacana politik sama ada bercorak ceramah, diskusi atau debat. Menyedari hakikat tersebut, debat antara Najib dan Anwar itu bukanlah membazir masa, bahkan sangat perlu dalam mendidik rakyat tentang politik kenegaraan. Sangatlah malang bila terdapat pula pihak-pihak lain yang ingin ‘kacau daun’ untuk menggagalkan debat ini atau mungkin mempunyai agenda tersendiri. Antara mereka ialah Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin. Dari segi kedudukan politik, awal-awal lagi kedudukan politik mereka berbanding Anwar adalah tidak seimbang. Nazri Aziz hanya seorang menteri biasa yang tidak ada jawatan-jawatan kanan dalam parti, manakala Khairy pula seorang yang ada jawatan kanan dalam parti tetapi tiada apa-apa dalam kabinet. Sepatutnya kedua-dua mereka mencari lawan yang sesuai supaya tidak ditanggapi mereka mempunyai agenda tersendiri dalam berdebat. Dari segi kewibawaan peribadi pula, kedua-dua Nazri dan Khairy belum mempunyai wibawa untuk menandingi Anwar. Kebetulan saya mempunyai pengalaman berdialog atau mungkin juga boleh dikatakan berdebat dengan mereka. Dengan Nazri perdebatan secara tidak langsung manakala dengan Khairy perdebatan secara langsung. Perdebatan secara tidak langsung dengan Nazri ialah ketika saya bersama beberapa yang lain membantu persiapan Salahuddin Ayub berdebat dengan Nazri berhubung dengan Isu “Penarikan Geran Perkapita Sekolah Agama Rakyat”. Perdebatan yang berlangsung pada 17 Februari 2003 itu memperlihatkan kedangkalan Nazri dalam berhujah, semata-mata bergantung kepada janji harapan untuk mengembalikan geran itu setelah pemerintahan Dr Mahathir berakhir. Hujah-hujah yang dikemukakan oleh Salahuddin lebih mantap bersama-sama dengan fakta-fakta yang berkaitan. Manakala Nazri pula lebih bersifat cuba “menegakkan benang basah” dengan jaminan sekolah agama rakyat tidak akan dipinggirkan, walaupun hakikatnya dengan penarikan geran perkapita itu bererti satu peminggiran. Sesiapa yang menyaksikan debat pada malam itu di Dewan Bahasa dan Pustaka, boleh menilai apakah kewibawaan Nazri setara dengan Anwar atau tidak? Sekiranya berlangsung juga perdebatan antara Nazri dan Anwar, tiada apa yang berfaedah melainkan menyelamatkan Najib daripada cabaran itu. Manakala dengan Khairy pula berlaku secara langsung semasa Forum Intelektual tentang “Malaysia and Its Competetiveness in the Future” di UIA pada 27 Julai 2010. Forum itu juga disertai oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Dr Marzuki Mohammad. Saya hadir dalam forum tersebut sebagai ‘bidan terjun’ menggantikan seorang sahabat yang berkeuzuran, dan hanya dimaklumkan beberapa jam sebelum forum. Saya juga terpaksa hadir lewat sedikit disebabkan mempunyai komitmen kerja sehingga hampir malam. Tujuan saya hadir untuk mengemukakan tiga point penting iaitu: a. Competitiveness sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada sektor ekonomi semata-mata tetapi juga faktor-faktor lain termasuklah demokrasi yang telus, pentadbiran yang bersih, kebebasan akademik dan lain-lain. b. Kesemua faktor-faktor yang menyokong kepada peningkatan daya saing negara itu telah diruntuhkan semasa era pemerintahan Dr Mahathir, seperti kebebasan kehakiman, dan dasar pengasingan kuasa. c. Bagi memulihkan semula daya saing itu, perlu dilakukan reformasi sistem atau dasar bukan sekadar meletakkan pemimpin-pemimpin yang baik. Pemimpin-pemimpin yang baik bukanlah satu jaminan reformasi ke arah kebaikan akan berlaku. Walaupun, Khairy mempunyai ‘golden chance’ untuk memukul ahli-ahli panel lain kerana beliau diletakkan di giliran terakhir semasa penggulungan, saya lihat ketiga-tiga point yang saya kemukakan tidak tergugat. Yang paling menarik, bila saya menyatakan bahawa faktor-faktor yang berkaitan dengan daya saing negara telah runtuh semasa era Dr Mahathir, Khairy hanya mengulas: “no comment” dengan nada mengiyakan apa yang berlaku. Strategi saya memerangkap Khairy dengan ‘memuji’ kepimpinan Pak Lah yang cuba membaiki kerosakan yang dibuat oleh Dr Mahathir benar-benar mengena. Oleh sebab itu, pada pandangan saya Khairy juga belum layak untuk berdebat dengan Anwar. Perdebatan Khairy dengan Anwar tidak lebih daripada untuk menaikkan semula dirinya dalam dunia percaturan politik UMNO. Berdasarkan pengalaman-pengalaman itu, saya melihat Nazri dan Khairy tidak sepatutnya menjadi ‘pengacau’ ketikamana pelbagai pihak berusaha untuk menjayakan debat antara Najib dan Anwar. Berikan peluang keemasan kepada rakyat Malaysia untuk menyaksikan satu perdebatan bersejarah yang akan menjadi titik tolak kepada budaya politik yang lebih sihat di negara ini. Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Pengarah Institut Kajian Polisi (IPS) Dewan Pemuda PAS Pusat
Pakistan medan perang terorisme dunia Haris Zalkapli | Pakistan, negara jiran Afghanistan di Asia Selatan menjadi salah satu lokasi operasi tentera Amerika Syarikat ekoran serangan 11 September, 2001. Akibat kedudukannya berkongsi sempadan, kumpulan etnik, bahasa dan medan aktiviti kumpulan al-Qaeda dan Taliban, negara itu diletakkan dalam tajuk yang sama - disebut sebagai Af-Pak - dengan Afghanistan oleh komuniti dasar luar AS. Hari ini, hampir 10 tahun operasi tentera Barat di Afghanistan, Pakistan menjadi satu isu tersendiri, dengan masalah yang bukan sahaja berkait dengan Afghanistan tetapi juga politik dalaman dan serantau, melibatkan kuasa-kuasa AS, India dan China. Satu topik besar yang tidak dapat dielakkan apabila berbicara tentang Pakistan ialah serangan dron atau pesawat tanpa juruterbang di negara itu. Tahun 2010 menyaksikan Pakistan mencatatkan rekod serangan dron kendalian Agensi Perisikan Pusat, CIA, meningkat dengan dramatik berbanding tahun sebelumnya. Sejak dimulakan di bawah Presiden George W Bush – yang memulakan “perang menentang terorisme” pada 2001 – pada 2004, serangan dron di Pakistan dilakukan sebanyak 43 kali, hingga akhir tempoh Bush pada 2008, menurut satu anggaran. Anggaran kematian, termasuk orang awam ialah 405 nyawa. Apabila Presiden Barack Obama mengambil alih pemerintahan, 53 serangan dron dilakukan pada 2009, menyebabkan lebih 700 kematian, melebihi jumlah serangan dan kematian sepanjang tempoh pentadbiran Bush. Sepanjang 2010, 117 – atau 118 menurut satu penilaian lain – serangan dron diluluskan Obama, menyaksikan sehingga 938 kematian. Presiden yang telah dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan itu jauh mengatasi Bush dalam meluluskan serangan dron, dan turut meningkatkan kehadiran tentera AS di Afghanistan. Perkembangan di Pakistan itu, walaupun kurang mendapat perhatian termasuk di dunia Islam – terutama apabila dibandingkan dengan kes kapal Mavi Marmara – merupakan antara isu terbesar pada tahun lalu. Apa yang berlaku ini menjadikan Pakistan sebagai satu medan perang utama dunia, dengan penglibatan kuasa besar yang mendalam. Penglibatan kuasa besar AS, China dan India membentuk respons kerajaan Pakistan terhadap pelbagai isu, paling utama kini ialah terorisme. Hubungan baik Pakistan dengan China turut menjadi faktor AS mendekati Islamabad dan menjadikan negara itu salah satu isu utama dasar luar. Islamabad menjadi antara penerima terbesar bantuan ketenteraan daripada Washington, berjumlah AS$19 bilion sepanjang dekad lalu. Pada 2010, AS dilaporkan menyalurkan sebanyak AS$700 juta untuk kelengkapan dan latihan ketenteraan kepada Pakistan, meningkat daripada AS$400 juta tahun sebelumnya. Dana ini, yang dikhaskan untuk pembelian peralatan memerangi militan, meningkat kepada AS$1.2 bilion tahun ini. Dengan jumlah sebesar ini, sukar untuk dibayangkan kerajaan Pakistan akan menolak bantuan tersebut. Kegiatan al-Qaeda dan Taliban di negara itu telah menjadi satu punca utama untuk kerajaan menerima bantuan beratus juta dolar itu. Islamabad didakwa sesetengah pemerhati sebagai gembira menerima bantuan itu dan akan terus memperbesarkan ancaman militan di negara itu, walaupun serangan dron tersebut mencetuskan implikasi negatif kepada politik dalam negara. Walau bagaimanapun, berdasarkan laporan-laporan tentang Pakistan sejak beberapa tahun lalu hingga ke hari ini, tidak banyak yang berubah di negara itu, melibatkan isu-isu asas seperti demokrasi dan juga aktiviti al-Qaeda dan Taliban. Pakistan menerima lawatan Naib Presiden AS, Joseph Biden semalam, dan isu bantuan untuk memerangi teroris menjadi satu topik yang dibincangkan. Dalam lawatan singkat itu, Biden menggesa kerajaan Pakistan lebih agresif memerangi militan, mengukuhkan lagi hujah untuk Islamabad terus menerima bantuan beratus juta dolar dari AS. Kitaran ini boleh dijangka akan berterusan, kerana serangan dron dan bantuan AS kepada Pakistan akan terus mencetuskan tindak balas daripada militan dan ekstremis di Pakistan. Tindak balas itu pasti akan mengukuhkan lagi kedudukan Pakistan sebagai medan utama peperangan terorisme di dunia.
PAS lapor polis Pengarah Pelajaran kempen BN di Tenang Khairil Abd Rahim | SEGAMAT,13 Jan: PAS Johor semalam membuat laporan polis terhadap Pengarah Pelajaran Negeri Johor, Markom Giran kerana mendakwanya berkempen untuk Barisan Nasional (BN) sempena pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang. Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Mazlan Aliman dalam laporannya menyebut, Markom, telah menyalahgunakan kuasa dengan memberi tekanan kepada semua Pengetua dan Guru Besar dalam DUN Tenang agar mengundi Barisan Nasional,
“Berdasarkan bukti-bukti yang diserahkan bersama, Markom jelas telah memberi tekanan kepada semua Pengetua dan Guru Besar dalam DUN Tenang agar mengundi Barisan Nasional. Beliau juga memberi tekanan kepada guru-guru kaunseling daerah Segamat agar berkempen dan mengundi Barisan Nasional dalam PRK N.05 DUN Tenang.
“Markom juga berkempen kepada guru-guru di SMK Munshi Ibrahim Labis, SK Kg Tenang, SK Pekan Air Panas, SK Felda Chemplak dan SMK Tenang Station agar mengundi Barisan Nasional. Secara jelasnya, beliau berkempen untuk Barisan Nasional di PRK N.05 DUN Tenang.
“Markom adalah penjawat Awam, DG 54 yang kini memangku Jusa C. Sedangkan mengikut Peraturan 21, melarang Pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi, kumpulan Pengurusan dan Profesional mengambil bahagian dalam parti politik secara khusus,” jelasnya.
Tegas Mazlan,tindak tanduk Markom adalah sangat melampau dan boleh dirujuk kepada tindakan tatatertib, surat tunjuk sebab dan ditahan kenaikan pangkat.
Tambahnya lagi, jika menurut peraturan yang sama seseorang penjawat awam seperti Markom tidak boleh membuat pernyataan yang menyebelahi mana-mana parti politik juga tidak boleh merayu undi.
“Dengan demikian tindakan Markom ini boleh menjejaskan reputasi Jabatan Pelajaran dan contoh yang sangat buruk kepada lebih 30 ribu warga pendidik seluruh negeri Johor.
“Justeru itu saya mohon laporan polis ini disiasat dan tindakan segera dapat dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu PAS Johor juga turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di atas penyalahgunaan kuasa.
Sidang meja bulat Interlok 3 petang ini Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 13 Jan: Pemuda PAS Pusat akan mempengerusikan sidang meja bulat melibatkan budayawan dan NGO India petang ini bagi menyelesaikan kontroversi berhubung Interlok, novel yang digunakan sebagai teks sastera pelajar tingkatan lima. Menurut Ketua Penerangannya, Suhaizan Kaiyat, pertemuan muhibbah itu akan berlangsung jam 3 petang ini di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seksyen 8 Bangi. Ia akan menemukan sepuluh wakil daripada budayawan dan sepuluh wakil daripada NGO India. Antara individu yang akan mewakili budayawan ialah Pengerusi Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi), Dinsman, anggotanya Hasni Abas manakala NGO India akan diwakili oleh Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hindraf, Malaysia Indian Watch (MIW), dan Indian Movement. "Matlamat kita petang ini lebih kepada bertukar fikiran, berbincang untuk mendapat kefahaman bersama untuk menangani isu ini dan kalau perlu mungkin akan ada beberapa dialog lagi selpas ini dengan kelompok NGO India yang lain," kata Suhaizan ketika dihubungi Harakahdaily hari ini. Suhaizan berkata, beliau yakin kontroversi Interlok ini boleh diselesaikan menerusi pertemuan meja bulat apabila kedua-dua pihak memahami situasi sebenar. "Isu ini mudah sahaja bukan rumit sangat dan boleh diselesaikan melalui meja rundingan sahaja. "Kalau masing-masing guna kaedah bakar novel, tumbuk muka sasterawan, disambut dengan laporan polis dan tekanan politik, tak akan selesai masalah. "Ia perlu kepada rundingan untuk mengesan apa masalah sebenar. Itu lebih penting," katanya. Diminta mengulas mengenai penolakan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) mengenai kesediaan Pemuda PAS untuk menjadi orang tengah kerana tidak mahu melibatkan campur tangan politik, Suahaizan Berkata, pertemuan petang ini langsung tidak akan menyentuh soal politik. "Kita cuma menjadi mederator, mempertemukan dua kelompok yang mempunyai pandangan berbeza, tidak akan menyentuh mengenai politik. "Isu negara ini banyak. Ada peranan yang Gapena boleh ambil, ambillah. Apa yang kita (Pemuda PAS )boleh ambil, kita ambil. Yang penting masalah selesai. "Kita mahu jadi orang tengah pun sebab memang kita rapat dengan golongan budayawan dan NGO India," katanya. Tambahnya, setakat ini Gapena memang tidak akan menghantar wakilnya namun jika Gapena menukar fikiran, pemuda mengalu-alukan penyertaan mereka. Pertemuan petang ini diadakan secara tertutup dan sidang media akan diadakan sejurus selesai perbincangan, dijangkakan pada jam 5 petang. | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan